05 Mei 2011

Real Mangsa Konspirasi

1 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


BARCELONA - Cristiano Ronaldo mendakwa pengadil memihak kepada Barcelona selepas Real Madrid tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Selepas tewas 0-2 pada aksi separuh akhir pertama di Santiago Bernabeu minggu lalu, Real sekadar seri 1-1 pada pertemuan kedua di Nou Camp, sekali gus tewas dengan agregat 1-3.

Sebelum ini, pengurus Real, Jose Mourinho turut mendakwa wujud konspirasi dalam Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) untuk membantu Barcelona mencatat kemenangan dan mara ke final di Stadium Wembley pada 28 Mei ini.

"Kami sedar, kami mampu menewaskan Barcelona tetapi pengadil tidak memberi kami peluang," kata Ronaldo.

"Sekali lagi, pengadil telah menentukan keputusan perlawanan itu.

"Pengadil pada perlawanan pertama (Wolfgang Stark) 'merampas' peluang kami untuk mara ke final. Sesiapa sahaja yang terbabit dalam bola sepak sedar Barcelona mendapat layanan yang istimewa."

Real mungkin berpeluang untuk mengalahkan Barcelona sekiranya jaringan Gonzalo Higuain pada awal babak kedua tidak dibatalkan oleh pengadil, Frank De Bleeckere.

De Bleeckere menyalahkan Ronaldo kerana mengkasari pemain tengah Javier Mascherano sebelum Higuain menewaskan penjaga gol Barcelona, Victor Valdes.

"Gol Higuain adalah sah," kata Ronaldo yang meledakkan gol tunggal kemenangan 1-0 Real ke atas Barca pada final Piala Raja Sepanyol bulan lalu.

"(Gerard) Pique menolak saya dan saya terjatuh di atas Mascherano. Dia tidak pernah berlakon di England tetapi dia mengamalkan tabiat buruk di sini sama seperti pemain lain."

Sementara itu, pemain tengah Real, Xabi Alonso turut mempersoalkan mutu pengadilan yang teruk selepas jaringan Higuain dibatalkan tanpa sebab.

"Sekiranya kami menjaringkan gol pertama, perlawanan ini sudah pasti berubah tetapi kami rasa banyak keputusan pengadil tidak memihak kepada kami dan kami tidak gembira mengenainya," kata Alonso.

"Kami rasa kami telah bermain dengan baik tetapi keputusan pengadil tidak menyebelahi kami. Itulah apa yang kami rasa." 

Agensi

Tiada ulasan: