01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
SHAH ALAM 5 MEI : Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Datuk Chua Jui Meng menyifatkan pemberian komisyen jutaan ringgit kepada kroni dalam sesebuah projek adalah amalan biasa pentadbiran Umno-Barisan Nasional.
Malah ujar Jui Meng amalan rakus meratah duit rakyat bukan hanya berlaku di Semenanjung malah sudah lama melarat ke Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak.
Justeru katanya, kerajaan Pakatan Rakyat dalam dasar Buku Jingganya menekankan aspek pembasmian rasuah kerana ia memberi kesan yang begitu besar kepada negara.
"Oleh kerana itu, bila kita (Pakatan Rakyat) menjadi kerajaan, kita akan pastikan urus kelola yang telus dengan amalan tender terbuka dan tidak ada lagi amalan pemberian komiysen yang tinggi seperti RM20 juta serta tidak ada lagi harga yag dinaikan dengan begitu besar dan ketara,"katanya kepada Tv Selangor.
Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga mahu institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah pertanggungjawaban Parlimen termasuk dalam urusan pelantikan jawatan-jawatan tertingginya.
Ia adalah kesinambungan dari perang habis-habisan Pakatan Rakyat kepada pentadbiran bercorak rasuah yang diamalkan kerajaan sedia ada sejak sekian lama.
Tambah Jui Meng, walaupun SPRM sebelum ini menjadikan Hong Kong sebagai penanda aras untuk menangani rasuah di negara ini namun nampaknya Malaysia semakin jauh ketinggalan apabila indeks persepsi rasuah (CPI) negara meningkat dari tangga 47 pada 2009 kepada 56 pada tahun lalu.
"Tetapi nampaknya, SPRM tidak mengikut dan menjadikan Hong Kong sebagai contoh malah tertinggal jauh di belakang Hong Kong dan banyak yang harus diubah dalam kepimpinan SPRM sebelum kita mampu menjadi Hong Kong yang kedua," tambah Jui Meng.
Jui Meng berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan komisyen RM20 juta ahli pernigaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah untuk membina jambatan Laluan Antarabangsa Malaysia-Singapura, yang turut dikenali sebagai 'jambatan bengkok' 13 tahun lalu yang pada hematnya melambangkan betapa dahsyat amalan rasuah di negara ini.
Hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenepikan saman yang dikemukakan oleh Eskay berhubung projek tersebut.
Datuk VT Singham dalam penghikamannya berkata, penganugerahan projek berkenaan tidak lagi wujud, maka tuntutan berkenaan juga perlu ditolak.
Eskay memfailkan kesnya pada Januari 2002 dengan mendakwa terdapat pelanggaran kontrak oleh defendan Merong Mahawangsa Sdn Bhd dan Datuk Yahya A. Jalil kerana gagal membayarnya RM20 juta selepas mendapatkan projek itu bagi mereka.
Idea pembinaan jambatan bengkok digerakkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi tidak menjadi kenyataan selepas dibatalkan semasa pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri.
Menurut Jui Meng lagi, walaupun pentadbiran dahulu dibayangi dengan amalan rasuah dan penyelewengan kuasa yang begitu dahsyat,namun Pakatan Rakyat katanya akan membuang sejarah silam itu dan menukarnya dengan sebuah kerajaan yang adil, telus dan mengutamakan kebajikan rakyat.
Malah katanya, kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat sudahpun membuktikannya di beberapa negeri yang ditadbirnya seperti di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.
"Dengan hasil penjimatan ini kerajaan boleh menyalurkannya untuk pembangunan projek dan bantuan terus kepada rakyat seperti apa yang diamalkan di Selangor dan Pulau Pinang dan negeri-negeri Pakatan Rakyat memerintah,"katanya lagi.
Tv Selangor/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan