1 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
BARCELONA - Barcelona berpesta, Real Madrid menderita.Hajat Real melangkah ke final Liga Juara-Juara sekali lagi musnah.
Rekod pengurusnya, Jose Mourinho juga tercalar selepas mencipta nama sebagai pengurus paling unik membawa tiga pasukan berbeza mara ke final.
Rekod cemerlangnya itu bermula pada tahun 2004 apabila membawa Porto muncul juara diikuti kejayaan kedua ketika membimbing Inter Milan pada 2010.
Dia turut menjadi nadi di sebalik kejayaan Chelsea melangkah ke final Liga Juara-Juara pada musim 2007-2008.
Semalam, Real ditunjuk jalan keluar oleh Barca yang menang dengan agregat 3-1 hasil kemenangan 2-0 pada separuh akhir pertama minggu lalu dan seri 1-1 pada aksi kedua.
Barca kini mungkin berdepan Manchester United, pertemuan yang dilihat sebagai ulangan final 2009 yang dimenangi kelab Catalan itu.
Real yang memerlukan tiga gol untuk menyekat kemaraan Barcelona, turun dengan rentak yang lebih agresif pada aksi kedua semalam namun gagal memberi ancaman kepada lawan mereka itu, malah ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Pedro pada minit ke-54 sebelum Marcelo menyamakan kedudukan 1-1 sepuluh minit kemudian, namun ia sudah terlambat buat Real.
"Satu perasaan yang unik untuk beraksi di final sekali lagi," kata Iniesta yang tidak bermain pada aksi pertama minggu lalu akibat kecederaan.
Untuk menambahkan lagi derita Real, jaringan Gonzalo Higuain pada awal babak kedua dibatalkan oleh pengadil.
Situasi tersebut telah menghangatkan lagi kontroversi yang ditimbulkan Mourinho bahawa pengadil lebih memihak kepada Barcelona.
"Saya rasa semua orang sudah boleh melihat tentang apa yang kami cuba katakan sebelum ini (mengenai jaringan Higuain)," kata pembantu jurulatih Real, Aitor Karanka yang menggantikan tempat Mourinho.
Pada pertemuan itu, Mourinho dikatakan berada di bilik hotel pasukannya dan menyaksikan perlawanan tersebut menerusi televisyen.
AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan