06 Januari 2012

Nenek dakwa dipukau

12 Safar 1433H. [MOD] -

BANDAR PEKAN – Seorang nenek mendakwa dipukau selepas menyedari beg tangannya dilarikan dua lelaki tidak dikenali ketika pergi ke bandar untuk menyelesaikan urusan peribadi kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Mangsa, Sadiah Awang, 66, yang berseorangan dari Nenasi ke bandar menaiki bas mendakwa dipukau ketika dalam perjalanan ke terminal bas untuk pulang ke rumah selepas membeli barang keperluan di sebuah pasar raya di sini.

Menurutnya, ketika tiba di kawasan pondok telefon awam terminal bas, tiba-tiba dia ditegur dua lelaki berusia lingkungan 30-an di mana seorang daripadanya kemudian mengeluarkan sebentuk batu permata berwarna kuning daripada poket seluar untuk ditunjukkan kepada mangsa.

“Selepas memegang batu permata itu, saya seperti lupa segala-galanya dan hanya menurut ajakan untuk pergi ke bahagian belakang pasar raya berhampiran kerana mereka mahu memberi penjelasan lanjut mengenai batu tersebut.

“Ketika berada di belakang pasar raya itu, lelaki terbabit mengarahkan saya menyerahkan rantai bersama loket dan cincin emas termasuk beg tangan berisi RM200,” katanya.

Sadiah berkata, seorang daripada mereka kemudian memberi RM10 yang diambil daripada beg tangannya sendiri dan menyuruh membeli sabun serta air mineral sebelum mendapati mereka melarikan diri.

“Saya hanya sedar dipukau apabila pergi semula ke belakang pasar raya untuk menyerahkan sabun dan air mineral seperti diarahkan dua lelaki terbabit. Ketika itu, hanya Tuhan tahu perasaan saya.

“Walaupun sedar harta benda hilang, namun ingatan mengenai kejadian itu masih samar-samar hinggalah anak menemui dan membawa saya membuat laporan polis,” katanya.

Dalam kejadian itu, Sadiah kerugian lebih RM2,500 apabila barang kemas termasuk wang tunai miliknya dilarikan dua lelaki yang dipercayai mahir memukau menggunakan permata berwarna kuning.

Dia berharap orang ramai terutama mereka yang sering menggunakan kemudahan awam lebih berhati-hati untuk mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada Sadiah berhubung kejadian itu, kelmarin.

Yahaya berkata, menurut rekod, pihaknya ada menerima aduan kes seumpama itu dan berusaha mengesan kedua-dua penjenayah terbabit yang dipercayai mempunyai kemahiran melakukan rompakan menggunakan ilmu hitam atau pukau.

“Saya menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran menjual barangan seperti batu permata untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Sikap waspada dan sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dapat membantu kita mencegah risiko kejadian jenayah,” katanya.

Sinar Harian

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

KEJADIAN PUKAU BERLAKU KEBANYAKANNYA TERHADAP WARGA TUA YANG JALAN BERSENDIRIAN. MUNGKIN MEREKA SUDAH DIPERHATIKAN LAMA OLEH PEMUKAU. SELALUNYA WARGA TUA SUKA MEMAKAI BARANGAN KEMAS.BAGAIMANA KEJADIAN PUKAU BOLEH DITANGANI?