06 Januari 2012

Hudud: Mohd Amar cabar Umno

12 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Umno kembali memainkan isu hudud Pas selepas bekas Ketua Dewan Ulama Pas, Wan Ismail Wan Ahmad meminta penjelasan mengenai hukum tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau dan beberapa pemimpin Pas sudah kerap kali menjawab isu tersebut namun mereka daripada Umno seolah-olah tidak mahu memahaminya.

“Apa yang ditimbulkan Wan Ismail itu hanya kekeliruan ketika menjawab kenyataan saya yang meminta orang ramai menunjukkan bahagian mana yang tidak betul dalam hudud yang dibawa Pas pada program Wacana Sinar Harian baru-baru ini.

“Hukuman yang kita ambil sememangnya tercatat dalam al-Quran, kita gubal dalam bentuk enakmen untuk disesuaikan dengan keadaan semasa, saya tidak faham apabila mereka masih mengatakan itu hudud Pas,” katanya.
Sejak diluluskan pada 1993, Umno katanya, menolaknya dengan mengatakan ia hudud Pas dan bukan hukum hudud yang terkandung dalam al-Quran.

“Saya cabar Umno supaya membawa kepada kita hudud yang dikatakan betul agar kita dapat melaksanakannya, kita terbuka dalam hal ini dan sampai sekarang mereka tidak mengemukakannya,” katanya demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Pelajar Cemerlang Penilaian Menengah Rendah dan Barangan Industri Kecil dan Sederhana Peringkat Dun Panchor dekat sini, semalam.

Katanya, soal teknikal boleh berlaku kerana terdapat khilaf mengenainya seperti menetapkan hukuman kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan hanya mengenakan hukuman kepada orang Islam.

Katanya, perbezaan pendapat ulama dalam fekah perkara biasa, apa yang penting ialah hasrat murni untuk melaksanakannya.

Sementara itu, katanya, surat sudah dihantar kepada Ahli Jawatankuasa Teknikal untuk perlaksanaan hudud dan akan mesyuarat akan diadakan selepas mendapat jawapan daripada mereka.

Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panchor menyampaikan sumbangan pelajar cemerlang, pelan Takaful Kifalah, barangan IKS, barangan pertanian dan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi kepada 184 penerima.

Mengenai persiapan Pas untuk Pilihan Raya Umum Ke-13, Mohd Amar berkata, Pas bersiap sedia menghadapinya pada bila-bila masa selepas senarai akhir calon untuk Kelantan dihantar Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Pas Pusat.

“Saya difahamkan senarai itu sudah diterima Pas Pusat dan sehingga hari ini senarai itu kekal, tidak ada perubahan calon,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: