06 Januari 2012

Felda digesa selesai isu bonus insentif

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LIPIS, 6 Jan: PAS memandang serius isu 39 peneroka Felda Sungai Koyan 3 yang tidak menerima bonus insentif produktiviti seperti yang dijanjikan Perdana Menteri sedangkan mereka mendakwa layak menerima wang berkenaan.

Timbalan Yang Dipertua PAS Lipis, Roslan Zainal, berkata pihak pentadbiran Felda sepatutnya lebih prihatin dan mengetahui peneroka yang sepatutnya layak menerima bonus.

Tambahnya, kecuaian memberikan kepada yang berhak tambahan dijanjikan oleh Perdana Menteri pula hanya akan menyebabkan mereka makin tertekan tambahan menjelang tahun baru dan awal sesi persekolahan.

“Bayangkan sudah sebanyak mana hasil tuaian ladang mereka yang diusahakan Felda Technoplant dan dihantar pula ke kilang sawit Felda. Itupun belum diambil kira gred kadar perahan yang dibayar rendah.

“Jadi sebagai sebuah agensi pembangunan tanah dan industri kerajaan, kita mahu Felda sesesaikan segera isu bonus insentif yang hanya dinikmati setahun sekali itu,” katanya.

Roslan yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Pahang berkata, pihak kerajaan dan Felda mesti sedar bahawa pada awal tahun ini semua pihak termasuk peneroka memerlukan wang yang banyak untuk persekolahan anak masing-masing.

Tambahnya, jika bonus yang layak mereka dapat pun dinafikan sudah tentu akan menjejaskan kewangan mereka yang rata-rata terdiri daripada orang Melayu, yang sebelum ini sudahpun menghadapi tekanan akibat harga barang keperluan semakin melambung.

“Kita tidak mahu Felda berkokok dalam soal penyenaraian saham, bisnes di luar negara dan sebagainya sedangkan hakikatnya kebajikan peneroka yang telah berjasa membangunkan ladang terbesar di dunia itu diabaikan,” ujarnya.

Roslan berkata demikian ketika diminta mengulas isu 39 peneroka Felda Sungai Koyan 3 yang mendakwa tidak menerima bonus insentif seperti disiarkan sebuah akhbar baru-baru ini.

Agihan bonus kepada peneroka telah diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Disember lepas.

Berdasarkan kenyataan peneroka yang terkilan dan kecewa itu, pihak pengurusan Felda di rancangan berkenaan tidak mengendahkan tuntutan bonus tersebut meskipun mereka layak menerimanya kerana ladang diuruskan Technoplant.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: