30 Disember 2009

MOHD IKHMAL: Kecelakaan bas: Antara teori, retorik dan pelaksanaan

12 Muharram 1431H

Kemalangan yang melibatkan bas menumpang baru-baru ini sungguh menyayat hati. Apa tidaknya, kemalangan ini mengorbankan 10 orang penumpang termasuk sepasang suami isteri yang berasal dari Klang, Selangor.

Bas yang membawa 48 penumpang itu dalam perjalanan dari Klang menuju ke Kangar dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan di LebuhRaya Utara Selatan (Plus) kira-kira 8km dari Plaza Tol Ipoh Selatan. Menurut siasatan awal, kemalangan itu berpunca daripada pemandunya yang mengantuk dan terlelap seketika.

Sejurus media menayangkan berita ini samada di media massa atau media cetak, ramai cakap-cakap mencadangkan pelbagai idea bagi mengelak malapetaka ini dari terus berlaku. Cadangan-cadangan tersebut adakalanya bersifat jangka pendek mahupun bersifat jangka panjang.

Seharusnya, pihak-pihak berkenaan perlu melihat kecelakaan ini tidak berpunca daripada ‘human factor’ semata-mata. Apakah mungkin terdapat faktor-faktor lain yang mengakibatkan kecelakaan ini terus berlaku? Adakah ia mungkin disebabkan juga faktor fizikal (bas, jalanraya, cuaca) dan faktor undang-undang (dasar kerajaan)

Justeru itu, apakah mekanisme yang sesuai dalam memastikan kecelakaan ini dari tidak terus berlaku?

Pada hemat saya yang daif ini, beberapa mekanisme perlu digabungjalinkan dan dilakukan secara bersama bagi mengelak kecelakaan ini dari terus berlaku

Faktor fizikal:-

1. Bas :

Seperti mana yang kita sedia maklum, terdapat bas-bas yang uzur yang masih lagi dibenarkan beroperasi di atas jalan raya. (Cuba lihat intercity bas). Walaupun kita tahu bas-bas ini sudah lulus pemeriksaan dari Puspakom, tetapi adakah sesiapa dapat bertanggungjawab jika bas-bas yang usianya melebihi 10-20 tahun ini menempuh kecelakaan di atas jalan raya?

Sebagai contoh dengan dasar Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Kenderaan Perdangangan (LPKP) yang membenarkan bas sekolah beroperasi walaupun berusia hingga 30 tahun sangat mendukacitakan malah dasar ini ternyata berpontensi mengundang pelbagai malapetaka dan kecelakaan kepada penggunanya khususnya kanak-kanak sekolah.

Disamping itu juga, bas-bas penumpang ini perlu dilengkapkan dengan beberapa ‘gadget’ tertentu bagi memastikan bas ini dapat beroperasi di tahap yang optimum. Antara ‘gadget’ yang perlu dipasang dalam setiap bas penumpang adalah system GPS, kotak hitam dan penyekat kelajuan. Walaupun ‘gadjet’ tersebut mahal, ia mampu bertindak sebagai pemberi isyarat awal kepada pengusaha dan pemandu bas terhadap keupayaan dan kebolehpanduan sesuatu bas itu. Tentang kosnya? Kerajaan boleh mengenakan rebat atau potongan cukai kepada pengusaha bas yang menggunakan ‘gadjet’ ini dalam setiap bas mereka.

2. Jalan raya

Jalan raya di Malaysia yang diiktiraf sebagai antara Jalan Raya yang terbaik di Asia Tenggara seharusnya memperlihatkan tiada kemalangan yang direkodkan akibat daripada faktor jalan raya ini. Walaubagaimanpun perkara ini tidak boleh menyebabkan penyelenggaran jalan raya dilakukan seolah-olah melepaskan batuk di tangga. Masih ada jalan-jalan persekutuan mahupun jalan-jalan negeri yang keadaan tidak menyenangkan dengan hanya diturap ketika menjelang pilihanraya semata-mata. Justeru itu setiap jalan raya baik jalan –jalan negeri, persekutuan dan lebuh raya diselenggarakan secara konsisten bagi memastikan jalan raya di Malaysia berada dalam keadaan yang optimum

3. Cuaca

Cuaca di Malaysia yang panas dan lembab memungkinkan hujan turun secara tiba-tiba. Walaubagaimanapun, faktor cuaca ini seharusnya tidak dijadikan sebagai penghalang dalam kita memastikan tiada lagi kecelakaan bas yang direkodkan. Dengan hampir majoriti bas-bas penumpang menggunakan LebuhRaya Utara Selatan (PLUS) sebagai jalan utama, bas-bas penumpang ini perlu memanfaatkan setiap hentian Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan jika cuaca dalam suatu ketika itu tidak mengizinkan perjalanan diteruskan. Apa salahnya, pemandu dan penumpang berehat seketika daripada tetap meneruskan perjalanan yang mana mendatangkan risiko yang tinggi kepada mereka. Jika perjalanan kapal terbang boleh ditangguhkan akibat cuaca buruk, adakah sistem bas penumpang kita tidak boleh mengaplikasikan sistem yang sama?

Faktor manusia

1. Pemandu

Pemandu adalah duta kecil kepada sesuatu syarikat bas. Malah dengan kata lain, nyawa 48 penumpang berada di kedua belah tangan pemandu. Walaubagaimanapun, adalah kurang cermat malah keterlaluan jika sesuatu malapetaka itu dipertanggungjawab ke atas pemandunya semata-mata. Dalam menelusuri permasalahan seseorang pemandu itu, mari kita selongkar beberapa perkara terpencil seseorang pemandu itu.

Tidak dinafikan, untuk menjadi seorang pemandu bas mereka hanya perlu mendapatkan lesen daripada JPJ sahaja selepas menjadi beberapa ujian tertentu. Apabila ujian tertentu itu selesai dan mereka dapat melepasinya dengan jayanya, maka mereka akan dinobatkan sebagai pemandu bas. Tetapi dalam senario terkini, adakah lesen daripada JPJ sahaja sudah mencukupi sedangkan nyawa 20-48 penumpang di dalam tanggungjawab mereka? Seharusnya suatu akademi khusus ditubuhkan bagi melatih pemandu bas ini supaya menjadi pemandu bas yang professional dan kompeten selaras dengan tuntutan semasa. Jika pemandu teksi diminta profesional dalam pemanduan mereka selaras dengan tanggungjawab mereka selaku duta kecil negara, pemandu bas juga wajib diangkat sebagai pemandu profesional selaras nyawa 20-48 penumpang berada di dalam tanggungjawab mereka.

Disamping itu juga, sering terdengar gaji asas pemandu bas ini terlalu kecil. Untuk mendapat lebih pendapatan, mereka perlu mengejar ‘trip’ dalam sesuatu hari. Adakah ini berbaloi dengan nyawa-nyawa penumpang yang berada didalam sesuatu bas itu berbanding ‘extra’ pendapatan yang cuba diraih oleh pemandu dalam sesuatu bulan. Justeru itu, tangga gaji minima perlu dilaksanakan kepada pemandu bas bagi memastikan kebajikan mereka dibela selaras nyawa penumpang juga terpelihara.

2. Pengusaha bas

Siapa yang berniaga hendak rugi. Itulah falsafah yang dipegang oleh setiap usahawan khususnya pengusaha bas. Dengan memperkudakan ‘bas lama’, dan meletakkan gaji asas yang rendah kepada pemandu, pengusaha bas bakal menikmati pendapatan lumayan pada hujung tahun pendapatan.

Seharusnya dalam menerobos dunia perniagaan yang lebih mencabar, konsep tersebut perlu dikikis dan dibuang sama sekali. Pengusaha bas juga perlu dipertanggungjawabkan jika sesuatu malapetaka berlaku. Jika sesuatu malapetaka itu berlaku dan disiasat bahawa pengusaha bas bertanggungjawab kepada malapetaka itu, maka nama setiap ahli lembaga pengarah dan ahli keluarga mereka disenarai hitam dari memiliki dan mengusahakan sebarang perkhidmatan pengangkutan awam di masa akan datang.

Seharusnya pengusaha bas sedar, kerajaan telah memberi bantuan dan insentif yang banyak kepada mereka. Sebagai contoh, kerajaan membenarkan surcharge 30% kepada setiap tiket bas yang dibeli oleh pengguna khususnya untuk bas ekspress. Walaupun kerajaan pernah berkata surcharge ini bersifat sementara, ia masih dikuatkuasakan hingga ke saat ini. Dan kerajaan juga membenarkan harga tiket bas dikaji dari semasa ke semasa. Dan sebagai timbal balas kepada pengguna mahupun pemandu, pengguna perlu dibekalkan dengan perkhidmatan yang berbaloi dan pemandu juga perlu digajikan dengan gaji yang setimpal dengan usaha mereka. Tidak hanya keuntungan ini dinikmati oleh pengusaha bas seorang sahaja.

Faktor kerajaan

1. Dasar kerajaan

Dasar kerajaan yang flip-flop sebenarnya turut menyumbang kepada permasalan kecelakaan bas penumpang ini. Sebagai contoh, kerajaan pernah menetapkan setiap bas dilengkapkan dengan kotak hitam. Walaubagaimanapun, selepas rungutan daripada pengusaha bas, dasar tersebut ‘disimpan di bawah karpet’. Senyap begitu sahaja. Dahulu, kerajaan pernah menetapkan seorang pegawai JPJ tanpa uniform ditempatkan dalam bas secara rawak. Adakah dasar tersebut masih dikuatkasakan sekarang? Dan juga kerajaan pernah menetapkan setiap bas yang keluar dari sesuatu terminal bas akan melalui pemeriksaaan JPJ. Sekali lagi ditanya, adakah dasar dan peraturan tersebut masih berjalan.

Hakikatnya dasar dan peraturan kerajaan yang bersifat sementara dan hangat-hangat tahi ayam sungguh mendukacitakan dan menjadi bahan lawak oleh sesetengah pengusaha bas. Seharusnya dasar dan peraturan kerajaan perlu dilaksanakan secara konsisten dan tidak bermusim. Kerajaan melalui JKJR, JPJ, LPKP, MOT, dan JAS perlulah memastikan setiap dasar yang dibentuk, dilaksanakan secara konsisten. Bukan hanya dilaksanakan apabila timbul sesuatu kecelakan besar menimpa khususnya yang melibatkan bas Sani Ekspress tempoh hari

2. Peranan LPKP

Apa itu LPKP? LPKP merupakan singkatan kepada Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan yang bertanggungjawab mengikut Akta LPKP 1987. Ia bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas seperti berikut

* Membangunkan usahawan Bumiputera dalam sektor industri kenderaan perdagangan melalui latihan dan program pembangunan usahawan.
* Menimbang dan meluluskan permohonan untuk mendapatkan lesen baru, membaharui dan ubah syarat bagi semua kelas lesen kenderaan perdagangan di Semenanjung.
* Mengenakan syarat-syarat ke atas semua kelas lesen kenderaan perdagangan yang meliputi penetapan kadar tambang, penentuan peringkat tambang, jadual perjalanan, bilangan penumpang, kawasan operasi, berat muatan, jenis barang-barang, hal-hal pengendalian dan syarat-syarat khas yang lain.
* Menggantung, membatal atau mengenakan apa-apa hukuman yang sesuai ke atas mana-mana kelas lesen kenderaan perdagangan yang disabitkan kesalahan melanggar syarat lesen atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan Akta LPKP 1987 (Akta 334) serta kaedah-kaedah yang diperbuat di bawahnya serta undang-undang lain yang berkuatkuasa.
* Menentukan tempoh kuatkuasa lesen bagi semua kelas lesen kenderaan perdagangan.
* Melesenkan kenderaan perdagangan dari Singapura, Thailand atau negara lain yang dibenarkan beroperasi di Semenanjung Malaysia.
* Membuat kajian laluan baru sebelum memberi pertimbangan ke atas permohonan untuk mendapatkan lesen bas bagi laluan-laluan yang dipohon.
* Mengumpul rekod, penyata kewangan, statistik atau dokumen-dokumen berhubung perniagaan pemegang lesen kenderaan perdagangan.
* Menentukan prosedur permohonan, memproses dan menimbang permohonan lesen, mengenakan bayaran, menetapkan penalti dan menentukan tanda pengenalan kepada kenderaan perdagangan.
* Melaksanakan tugas-tugas yang berhubung dengan penguatkuasaan ke atas syarat-syarat lesen kenderaan perdagangan

Walaubagaimanapun, tugas LPKP terlalu terhad malah seringkali bertindan dengan skop tugas JPJ, JAS dan POLIS.

Dengan LPKP telah diangkat sebagai suatu lembaga yang beroperasi dibawah Jabatan Perdana Menteri, ia ternyata suatu kesilapan yang jelas dengan ia dilihat membesarkan lagi jurang antara LPKP dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan dengan pengangkutan awam.

Seharusnya dengan skopnya yang menjurus kepada pengangkutan awam, LPKP sepatutnya beroperasi di bawah Kementerian Pengangkutan dan diberi suatu authoriti penuh dalam melaksanakan pemodenan pengangkutan awam di Malaysia.

Sebenarnya, LPKP layak untuk diangkat sebagai sebuah lembaga yang tersendiri sama seperti JPJ. Walaubagaimanapun demi menjaga segelintir poket-poket menteri, LPKP kini berpindah ke Jabatan Perdana Menteri (Sebelum ini dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi). Kenapa ini berlaku? Teorinya cukup mudah, supaya Perdana Menteri dapat mengawal jumlah permit teksi yang dikeluarkan dan permit teksi ini dapat diberikan kepada penyokong politik mereka.

Bilamana peranan LPKP itu dimanipulasi sedemikian rupa, maka janganlah kita harap pengangkutan awam di Malaysia khususnya pengangkutan bas awam dapat berdiri megah sama seperti yang berlaku di negara-negara eropah.

Tepuk dada Tanya selera, Kuasa di tangan anda.

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

cikgunizar berkata...

kenapa salahkan bas Sani Ekspress lagi.. bukankah bas berada didalam keadaan terbaik ketika itu? bukannya bas lama seperti dakwaan penulis asal.. malahan mengikuti semua peraturan dan langkah2 mencegah kemalangan.. malahan lebih baik dari lain2 bas yang dimiliki pengusaha bukan Melayu..

inilah yang dikatakan takdir, kalo Tuhan nak bagi jadi, sesaat saja pemandu tutup mata mungkin terlelap pn, terus melanggar besi penghadang jalan. . dan 10 orang dicabut nyawanya dalam kejadian itu..

sebenarnya menaiki bas adalah lebih selamat berbanding menaiki kereta, dan jika menaiki motosikal nyawa pula kita lebih mudah melayang 10x ganda berbanding m,enaiki bas untuk perjalanan jauh..

fikir2kan lah