22 Februari 2011

AirAsia tawar 1 juta tiket murah

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 21 Feb. - AirAsia Bhd. (AirAsia) akan memulakan promosi Jualan Hebat (Big Sale) pada 22 Februari ini dengan tawaran terendah bagi sejuta tempat duduk untuk destinasi domestik dan antarabangsa.

Promosi tersebut bermula pada kadar serendah RM5 ke pelbagai destinasi laluan mereka.

Tempoh tempahan adalah dari 22 Februari hingga 27 Februari untuk penerbangan antara 13 September 2011 hingga 29 Februari 2012.

Promosi tersebut boleh didapati di www.airasia.com.

Selain laman web, promosi juga terdapat melalui mobile.airasia.com, aplikasi Blackberry AirAsia , aplikasi talian telefon android AirAsia serta aplikasi iPhone AirAsia.

Ketua Rantau Komersialnya, Kathleen Tan berkata, 'Big Sale' itu merupakan tanda penghargaan kepada pelanggan yang telah memberikan sokongan sejak tiga tahun lalu.

''Tawaran terhebat adalah tambang serendah RM5 ditawarkan ke pelbagai destinasi menarik dengan satu juta tempat duduk telah diperuntukkan untuk promosi itu.

''Promosi kami sering dinantikan oleh orang ramai. Melalui promosi Mind Blowing Fare dan kempen tempat duduk percuma pada 2010,

AirAsia telah mendapat sambutan menggalakkan dalam tempoh 24 jam.

''Berdasarkan beberapa maklum balas diterima daripada pelanggan yang menginginkan promosi sedemikian dan yakin bakal menerima sambutan memberangsangkan pada kali ini,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

AirAsia turut melancarkan 'Bargain Hunters 101' yang merupakan senarai semakan sendiri pelanggan bagaimana untuk menempah pesawat secara efektif.

Bargain Hunters 101 boleh didapati di Facebook AirAsia dengan pelanggan hanya perlu 'Like' untuk memiliki kelebihan itu.

Berita baik buat Azizulhasni

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kiri) dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong melawat Azizulhasni di Hospital Manchester Royal Infirmary di Manchester semalam.

MANCHESTER, England - Berita baik buat pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang apabila disahkan boleh kembali berkayuh walaupun mengalami kecederaan selepas serpihan kayu tajam menembusi betis kirinya ketika beraksi dalam acara akhir keirin Siri Piala Dunia Klasik di sini, Sabtu lalu.

Hasil pembedahan di Hospital Diraja Manchester mendapati tiada anggota penting lain yang rosak atau tercedera.

Malah ketua jurulatih negara, John Beasley mengesahkan yang pelumba bimbingannya itu mampu dan sempat pulih untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London nanti.

"Kebimbangan besar kami ialah jika ada kerosakan dalaman yang lebih teruk. Mujur ia tidak berlaku terutama selepas imbasan dilakukan dari semua sudut kecederaan itu," kata Beasley.

Bagi menyegerakan proses pemulihan, Beasley berkata, Azizul- hasni akan dibawa pulang terus ke Melbourne minggu depan.

Di samping itu, Beasley turut mengesahkan cabaran buat pelumba berusia 24 tahun itu musim ini sudah berakhir dan tiba masanya untuk berehat daripada kecederaan yang dialami itu.

"Memang dia terpaksa menanggung kesakitan yang amat sangat. Tetapi jelas dia begitu kuat semangat walaupun semala- man menjalani ujian imbasan dalam kesakitan.

"Namun, tumpuan kini ialah kepada usaha mengembalikan semula kecergasannya untuk Olimpik 2012. Seperkara lagi yang penting untuk dilakukan ialah menge- lak jangkitan kuman selepas pembedahan," tegas Beasley.

AZIZULHASNI menahan kesakitan apabila betis kaki kirinya tertusuk kayu pada saingan akhir keirin Siri Piala Dunia Klasik di Manchester, England kelmarin.

Pelumba Britain, Jason Quelly yang muncul juara Olimpik pada tahun 2000 pernah menerima nasib sama seperti Azizulhasni ketika beraksi di Edinburg pada 1996.

Quelly kini telah pun lama menarik diri daripada menyertai acara keirin selepas ditusuk serpihan kayu tajam yang lebih panjang daripada Azizulhasni iaitu 46 sentimeter.

Serpihan kayu yang menusuk betis Azizulhasni hanyalah sepanjang 20 sentimeter selepas terbabit dalam perlanggaran pada kelajuan tinggi dengan tiga pelumba lain ketika menuju ke garisan penamat.

Azizulhasni bagaimanapun sempat bangkit semula dalam keadaan serpihan kayu itu menembusi betisnya untuk menduduki tempat ketiga dan meraih gangsa, sekali gus ditabalkan sebagai juara keseluruhan keirin Piala Dunia musim ini.

Malangnya insiden itu menyebabkan dia tidak dapat beraksi di Kejohanan Trek Dunia di Apel- doorn, Belanda bulan depan.

Kosmo/-

Bank Islam perkenal Debit-i Visa

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) hari ini melancarkan kad pelbagai guna yang menggabungkan ciri-ciri mesin juruwang automatik (ATM) dan kad visa yang dinamakan Debit-i Visa Bank Islam.

Setiap individu yang berumur 15 tahun ke atas yang mempunyai akaun semasa atau akaun simpanan (CASA) dengan Bank Islam dan berkeupayaan penuh untuk menguruskan akaun mereka, layak memohon kad tersebut.

Pengurus Besar Perbankan Pengguna Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, melalui kad Debit-i ini, pelanggan Bank Islam dapat menikmati kemudahan transaksi tanpa tunai atau sebarang kesulitan di mana-mana sahaja terutamanya di tempat kad Debit-i ini diterima.

Katanya, jumlah peniaga yang terlibat menggunakan kad tersebut dianggarkan melebihi 24 juta di seluruh dunia.

''Ahli kad debit tersebut juga bakal menikmati rebat tunai sebanyak 0.5 peratus bagi belian runcit yang dilakukan dengan menggunakan kad Debit-i Visa Bank Islam.

''Rakyat Malaysia kini boleh mengakses deposit mereka dengan lebih baik di mana generasi muda dapat menikmati manfaat kad pembayaran yang berfungsi seperti kad kredit dan kad ATM,'' katanya.

Kad Debit-i Bank Islam ini membolehkan ahli kad mengeluarkan wang tunai di semua mesin ATM MEPS di Malaysia.

Tambah Khairul, bagi pengeluaran wang tunai di luar negara, ahli kad boleh melakukannya di mesin ATM yang memaparkan logo Visa Plus.

''Pelancaran kad Debit-i ini yang mana pembayaran ditolak secara automatik daripada CASA ahli kad debit berkenaan akan menambah baik portfolio khidmat pembayaran yang kami tawarkan kepada para pelanggan kami," ujarnya.

Menurut Khairul lagi, kad Debit-i Visa Bank Islam tersebut membolehkan ahli kad melaksanakan transaksi seperti pembayaran bil, makan di restoran, sumbangan amal, berbelanja secara dalam talian, pembelian petrol, transaksi Tabung Haji atau tempahan tiket dengan menggunakan dana mereka sendiri dan bukan secara kredit.

''Kad Debit-i ini menawarkan pelbagai faedah kerana tidak mengenakan syarat pada pendapatan individu dan tiada sebarang caj pembayaran lewat," tambahnya.

Selepas setiap transaksi, jumlah yang dipotong secara automatik daripada akaun ahli kad akan tertera dalam penyata akaun mereka dengan segera tanpa caj keuntungan untuk membolehkan pengurusan akaun yang lebih efektif oleh ahli kad.

Khairul memberitahu, kad Debit-i, Bank Islam turut menyokong inisiatif kerajaan untuk mempromosikan transaksi tanpa tunai melalui penggunaan kad Debit-i sebagai jaminan keselamatan dan kemudahan ahli kad.

''Kami yakin akan ada peningkatan yang ketara dalam jumlah transaksi tanpa tunai oleh ahli kad kami dengan pelancaran kad Debit-i Visa Bank Islam ini,'' katanya.

Dengan pelancaran kad Debit-i, Bank Islam menyasarkan untuk menjadi pengeluar kad debit berlandaskan syariah nombor satu di negara ini.

Zunar: Contohi Bob Lokman, buang budaya takut

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Saya mengucapkan syabas dan mengalu-alukan penyertaan pelakon/pencipta lagu Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman ke dalam Pakatan Rakyat melalui PAS.

Seperti dimaklum, iklim seni dan budaya di Malaysia berada ditahap paling lekeh dalam soal hak asasi dan hak berpolitik. Karyawan dan aktivis seni sering dimomokkan tentang risiko yang akan ditanggung sekiranya menyokong atau menyertai Pakatan Rakyat.

Pelakon diugut disenarai-hitamkan oleh stesen-stesen TV, penyanyi dipulau oleh syarikat rakaman, aktivis teater pula dilarang mementaskan karya di Istana Budaya dan sebagainya.

Telah puluhan tahun momokan ini membelenggu fikiran golongan artis ia turut memandulkan kreativiti golongan artis. Ia memerlukan seorang yang berjiwa besar untuk merentas jalan memecahkannya dan Bob Lokman telah membuktikan.

Apa yang perlu sedari oleh golongan artis ialah tiada siapa berhak menghalang mereka untuk berpolitik.

Dengan menyertai Pakatan Rakyat Bob Lokman telah melaksanakan haknya sebagai rakyat Malaysia untuk menyertai parti pilitik pilihannya.

Beliau akan tetap berhadapan risiko dan aparat pemerintah dan saya percaya perkiraan itu telah diteliti beliau sebelum membuat keputusan.

Saya berharap lebih ramai golongan karyawan tampil mengikut jejak langkah Bob Lokman kerana hanya dengan cara itu ia berupaya merobek budaya takut yang menghantui mereka.

Bahkan mutu seni budaya negara yang selama ini suram akan kembali subur sekiranya ia dikerjakan oleh mereka-mereka yang berfikiran bebas.

Selamat berjuang Bob Lokman. Apa yang saya harapkan, beliau akan terus giat memperkembangkan karya-karya seni dengan lebih bernutu setelah menjejak kaki ke 'daerah perjuangan'.

Karya-karya Shahnon Ahmad, A Samad Said, Dinsman, Hishamuddin Rais, Meor, Pyan Habib dan sebagainya diangkat dan dihormati setelah mereka memilih berjuang bersama rakyat.

Harakahdaily/-

21 Terjejas

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SUNGAI PELEK - Semua berlaku sekelip mata! 21 rumah termasuk enam daripadanya di Kampung Hulu Chucoh di sini rosak teruk akibat kejadian ribut kira-kira jam 4.45 petang kelmarin.

Ribut sama juga menjejaskan tujuh pengusaha homestay di kampung tersebut selepas kebanyakan bumbung kediaman rosak.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Basir Wagiman berkata, 21 rumah terjejas manakala enam daripadanya mengalami kerosakan di beberapa bahagian rumah.

“Tujuh pengusaha termasuk Homestay Baghuris mengalami kerugian akibat kerosakan terutamanya pada bahagian bumbung rumah. Perkara ini dikhuatiri menjejaskan perusahaan homestay yang diusahakan penduduk jika tidak dibaiki segera.

Sinar Harian/-

Gempa kuat 6.3 magnitud landa Christchurch

KLIP video menunjukkan reaksi orang ramai melihat keadaan bangunan yang runtuh dan rosak di pusat bandar raya berkenaan dengan batu dan bumbung roboh akibat gempa kuat 6.3 magnitud menggegarkan Christchurch di selatan New Zealand awal hari ini. - Foto Reuters

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

WELLINGTON: Gempa kuat 6.3 magnitud menggegarkan Christchurch di selatan New Zealand awal hari ini dengan beberapa penduduk dilaporkan cedera parah serta merosakkan bangunan di bandar raya berkenaan.

Klip video menunjukkan bangunan yang runtuh dan rosak di pusat bandar raya berkenaan dengan batu dan bumbung roboh. Ratusan mangsa yang panik menjerit dan menangis di jalan raya selepas keluar menyelamatkan diri dari rumah dan bangunan.
Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker, berkata ketika gempa beliau berada di tingkat atas bangunan pejabat bandar raya dan gegaran yang kuat itu menyebabkannya terhumban ke bilik bersebelahan.

“Saya terus berlari ke jalan raya dan saya lihat orang ramai dalam keadaan terkejut dan panik.

“Saya sedar di dalam bangunan kami itu beberapa orang terperangkap dan cedera. Saya juga menerima laporan ada beberapa penduduk yang mengalami cedera parah di sekitar bandar raya ini," katanya.
Radio New Zealand melaporkan sebuah gereja berdekatan pusat bandar raya berkenaan runtuh.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa berlaku di 5 kilometer dari Bandaraya Christchurch di kedalaman 4 kilometers jam 12.51 tengah hari waktu tempatan.

Christchurch pernah dilanda gempa paling kuat 7.1 magnitud pada 4 September tahun lalu menyebabkan kerosakan bangunan dan premis kediaman yang teruk serta mencederakan penduduk. - AFP

Tambah 20 tahun

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SARAWANAN (kiri) dan Suresh dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
Mahkamah Tinggi pinda hukuman dua pekerja ladang lupus bukti pembunuhan

SHAH ALAM: Dua pekerja ladang yang sebelum ini dipenjara tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, terpaksa merengkuk lebih lama apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam, meminda tempoh hukuman itu menjadi 20 tahun.

Keputusan Hakim Datuk Mohtarudin Baki meminda hukuman ke atas kedua-dua tertuduh, K Sarawanan, 20, dan U Suresh, 27, disambut gembira anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, yang menganggapnya sebagai kemenangan dalam mendapat pembelaan terhadap kematian ibunya.

Erni Dekritawati atau lebih dikenali dengan panggilan Rita, berkata keputusan itu jelas menggambarkan keprihatinan mahkamah terhadap derita dan gangguan emosi yang ditanggung ahli keluarga semua mangsa termasuk beliau dan lima adiknya.

“Sebelum ini, tempoh hukuman tujuh tahun yang dikenakan terhadap kedua-dua suspek amat mengejutkan. Memang kami semua kecewa ketika itu, namun apa yang berlaku hari ini (semalam) satu berita yang menggembirakan serta kami anggap sebagai satu kemenangan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Rita yang juga Pengarah Urusan Nouvelle Visages, turut mengesahkan kereta mewah BMW X5 yang digunakan ibunya pada hari mangsa dilaporkan hilang, sudah diserahkan kepada keluarganya petang semalam selepas siasatan ke atas bahan bukti itu selesai.

Terdahulu, Mohtarudin pada prosiding rayuan dan semakan hukuman asal yang dijatuhkan terhadap kedua-dua tertuduh oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, pada 15 Oktober lalu, berpendapat kesalahan itu sangat serius.

Kedua-dua tertuduh dihukum penjara tujuh tahun oleh Majistret Hurmain Hussain selepas mereka mengaku bersalah atas empat tuduhan mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati, 47, pegawai bank Norhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Hurmain memerintahkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 9 September tahun lalu.

Sarawanan didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001 Jalan Tanjung Layang Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos tahun lalu, manakala Suresh didakwa melakukan kesalahan itu di Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting pada 31 Ogos tahun lalu.

Sarawanan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya. Pada masa sama, Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa di bawah Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah untuk menyemak keputusan yang dibuat oleh Hurmain.

Dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata, beliau menolak rayuan Sarawanan yang mendakwa bahawa pengakuan salahnya itu tidak dibuat secara sukarela dan berlaku paksaan untuk beliau berbuat demikian.

“Perlu diingat prosiding yang dijalankan oleh majistret adalah perbicaraan terus di bawah Seksyen 173 Kanun Acara Jenayah di mana kedua-dua tertuduh sudah mengaku bersalah serta faham sifat dan akibat pengakuan,” katanya.

Mohtarudin berkata, hujahan peguam berhubung jurubahasa Tamil yang tidak menerangkan pertuduhan, sifat dan akibat pengakuan serta fakta kes juga dianggap remeh.

Beliau berkata, jurubahasa Tamil adalah kakitangan mahkamah serta berkelayakan dan tiada aduan ketika prosiding di Mahkamah Majistret berhubung jurubahasa berkenaan tidak dapat menguasai bahasa Tamil dan sebagainya.

Mengenai hujahan bahawa peguam yang mewakili Sarawanan dan Suresh tidak dilantik oleh kedua-dua tertuduh, Mohtarudin berkata, ia tidak dibantah oleh mereka ketika prosiding di Mahkamah Majistret.

Mohtarudin juga berkata, sebahagian tohmahan dalam afidavit yang difailkan agak keterlaluan, seperti terhadap jurubahasa dan peguam, apatah lagi terhadap majistret yang menjalankan kuasa di bawah undang-undang yang bersesuaian dengan Seksyen 114 (e) Akta Keterangan 1950.

“Saya tidak bersedia untuk merobohkan benteng yang akan menyebabkan penyalahgunaan proses undang-undang, kecuali salah laksana keadilan dibuktikan.

“Dengan itu saya menolak rayuan terhadap sabitan dan juga tidak mendapati apa-apa tindakan yang menyalahi undang-undang, perbuatan yang salah atau tidak betul dalam rekod prosiding oleh majistret serta tiada salah laksana keadilan berlaku,” katanya.

Selain itu, Mohtarudin berkata, kedua-dua tertuduh dihukum penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak, iaitu hukuman maksimum di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 87(1) Akta Mahkamah Rendah 1948, kuasa majistret dalam menjatuhkan hukuman ialah maksimum lima tahun saja, tetapi majistret dalam kes itu telah mengguna pakai kuasa di bawah Seksyen 87(2) akta sama di mana beliau mungkin menjatuhkan hukuman maksimum berdasarkan rekod kesalahan lampau atau kesalahan tertuduh sebelum ini (antecedents).

“Kedua-dua tertuduh tiada rekod kesalahan lampau dan majistret mengambil kira antecedents kedua-dua tertuduh, iaitu mereka telah melakukan empat kesalahan.

“Saya bersetuju dengan peguam tertuduh bahawa antecedents bererti perkataan sebelum kesalahan yang dipertuduhkan. Jika dilihat pertuduhan itu sendiri, masa dan tempat adalah sama.

“Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas empat pertuduhan bukan satu pertuduhan dan meminta tiga pertuduhan lain dipertimbangkan. Adalah jelas majistret terkhilaf dalam perkara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Mohtarudin berkata, beliau membenarkan rayuan dan menjalankan kuasa semakan dengan menggantikan hukuman penjara tujuh tahun kepada lima tahun bagi setiap pertuduhan bagi kedua-dua tertuduh.

“Hukuman penjara lima tahun adalah jelas tidak memadai kerana kes ini amat mengejutkan di mana empat orang dibunuh dalam satu kejadian dan ia adalah kesalahan paling serius.

“Dengan itu bagi menjalankan kuasa semakan di bawah Seksyen 325 Kanun Acara Jenayah, saya memerintahkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan setiap tertuduh hendaklah berjalan berturutan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan,” katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani, manakala Suresh diwakili peguam A S Dhaliwal dan Datuk Harpal Grewal. Dhaliwal juga turut mewakili Sarawanan.

Dhaliwal ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.

Berita Harian/-

Gempa gegar bangunan di Manila

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

MANILA: Gempa bumi dengan kekuatan sekurang-kurangnya 4 pada skala Richter menggegarkan bangunan di ibu negara Filipina hari ini.

Bagaimanapun, tiada laporan awal kerosakan. “Ia dirasai di Metro Manila. Malah, Phivolcs bangunan (Institut Gunung Berapi dan Seismologi Filipina) bergoncang,” kata ahli seismologi, Danny Tacadino. - AFP

Hadiah istimewa buat ibu bapa

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PASIR MAS – Pengumuman keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) menggembirakan seorang tukang sapu apabila anaknya, diumumkan sebagai pelajar cemerlang peringkat negeri Kelantan, semalam.

Nor Aizan Mohd Nor, 46, yang bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, terharu apabila anak keempat dari tujuh beradik, Attarmizi Ramli, 20, mendapat keputusan 5A dalam STPM tahun lalu.

“Saya tahu, dia sememangnya seorang anak yang soleh dan rajin mengulang kaji pelajaran, sehingga menjadi yang terbaik di peringkat sekolah, sekali gus peringkat negeri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Nor Aizan berkata, dengan keringat membantu suaminya, Ramli Che Husain, 51, yang bekerja sebagai peniaga kecil-kecilan, dia turut membantu keluarga bagi menambahkan pendapatan untuk pengajian anak-anak.

Sementara itu, pelajar cemerlang, Attarmizi berkata, dia tidak menyangka bahawa keputusannya dalam melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam akan mencipta sejarah buat sekolah dan dirinya sendiri.

“Saya mendapat keputusan 5A dalam lima mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Ekonomi, Sejarah, Geografi dan Pengajian Am.

“Saya menanam niat untuk berjaya dalam pelajaran, maka saya pastikan tidak meninggalkan solat lima waktu, malah diselitkan juga dengan solat tahajud serta solat hajat,” katanya.

Attarmizi berkata, dia tidak mahu membiarkan ibunya bekerja membanting tulang sebagai tukang sapu bagi menyara pengajiannya kelak.

Katanya, dia akan berusaha membantu ibu bapanya mengharungi kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan, dengan mengejar cita-citanya sejak kecil iaitu menjadi seorang guru.

“Saya amat berterima kasih kepada Pengetua sekolah, Wan Ibrahim Wan Yusoff, guru-guru sekolah dan semua rakan-rakan yang banyak membantu dalam mengejar impian saya untuk bersama-sama mendapat keputusan cemerlang ini,” katanya.

Sinar Harian/-

13 maut kemalangan di Thailand

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

BANGKOK 22 Feb. - Seramai 13 orang penumpang terbunuh dan 16 lagi cedera apabila sebuah bas yang membawa sekumpulan guru terbabas di sebelah utara Thailand, semalam.

Menurut seorang jurucakap polis, Leftenan Kolenal Kiattiyod Suwannakatsi, pemandu bas tersebut kurang mahir terhadap terhadap jalan raya di wilayah Nan adalah punca utama kejadian kemalangan tersebut.

Bas tersebut merempuh sebatang tiang lampu sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 200 meter. - Agensi

Penunjuk perasaan tawan beberapa bandar di Libya

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KAHERAH 22 Feb. - Penunjuk perasaan ketika ini telah mengambil alih beberapa bandar di Libya manakala pasukan rejim juga dilihat sudah berpaling tadah terhadap pemerintahan Moamer Kadhafi yang dilaporkan telah melarikan diri dari negara ini.

Menurut Persekutuan Hak Asasi Manusia Antarabangsa (IFHR) yang berpengkalan di Paris, beberapa bandar termasuk Benghazi di sebelah timur Libya telah ditawan oleh penunjuk perasaan menentang rejim Kadhafi, 41, selepas pasukan keselamatan meninggalkan bandar-bandar tersebut. - AFP

Krisis Politik Libya : Lebih 200 Terbunuh, Gaddafi Kian Tertekan

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TRIPOLI 22 FEB : Kol Muammar Gaddafi, yang memimpin lebih empat dekad, terus berhadapan dengan tekanan ekoran tunjuk perasaan yang tidak pernah diduga di ibu negara dan pembelotan beberapa diplomat kanan sejak beberapa hari lalu.

Penunjuk perasaan jalanan di Tripoli lewat semalam pula berhadapan dengan pasukan keselamatan yang menggunakan peluru hidup dan gas pemedih mata dalam usaha menyuraikan mereka.

Benghazi, bandar raya kedua terbesar di Libya, berada dalam kawalan penunjuk perasaan.

Bagaimanapun anak lelaki Muammar, Saif al-Islam memberi amaran Libya akan berhadapan dengan perang saudara jika keadaan tidak dikawal.

Dalalam ucapan panjang lebar, Saif menawarkan reformasi politik yang signifikan tetapi rejim bertekad akan "bertarung sehingga peluru terakhir" terhadap "elemen-elemen hasutan."

Beliau mengakui bandar raya sebelah timur - Benghazi dan al-Bayda telah jatuh ke tangan pembangkang.

Hari ini, laporan-laporan dari Tripoli menunjukkan jalan-jalan kelihatan sunyi dengan pasukan keselamatan masih meronda Dataran Hijau selepas pertempuran dengan penunjuk perasaan yang saksi menamakannya sebagai "pembunuhan beramai-ramai."

Situasi di Libya terus keliharan keliru dan huru-hara.

Ada laporan yang mengatakan Muammar telah meninggalkan Tripoli untuk menuju ke kampung halamannya di Sirt atau kawasan padang pasir Sabha.

Di Tripoli sendiri, elemen pasukan keselamatan masih mengawal jalan-jalan utama meskipun keganasan kelihatan semakin mengecil.

Ketika waktu malam ada serangan kejam ke atas penunjuk perasaan yang berhimpun selepas khabar angin menyebut Muammar telah meninggalkan negara itu.

Dari semasa ke semasa terdapat detik pembelotan.

Hampir kesemua pemimpin suku kelihatan menyertai tindakan pembangkang, begitu juga pemimpin-pemimpin agama dan beberapa duta kanan Libya.

Laporan BBC menyebut, hampir keseluruhan sebahagian timur sudah berada di luar kawalan kerajaan.

Malah katanya, kuasa Muammar yang sudah memerintah negara itu selama 42 tahun semakin lemah dari hari ke hari.

Duta Libya ke Liga Arab, Abdel Moneim al-Honi mengumumkan beliau menyertai revolusi manakala duta ke India, Ali al-Essawi pula memberitahu BBC, beliau meletakkan jawatan ekoran tindakan ganas kerajaan ke atas penunjuk perasaan.

Mohamed Bayou, yang sehingga sebulan lalu merupakan ketua jurucakap kerajaan Libya berkata, kepimpinan negara itu salah dalam mengancam bahawa akan menggunakan kekerasan ke atas pihak yang membangkang.

"Saya berharap bahawa (Muammar) akan... mengubah ucapan untuk memperakui kewujudan bangkangan popular dalaman, untuk menyertai dialog berkaitan dengan perubahan mendalam dalam sistem Libya," kata beliau dalam satu kenyataan diperoleh Reuters.

Badan Human Rights Watch pula mengumumkan lebih 200 orang sudah terbunuh sejak Khamis lalu meskipun Saif mendakwa angka itu sengaja dibesar-besarkan.

Ketua Liga Arab Amr Moussa menyifatkan tuntutan penunjuk perasaan sebagai sesuatu yang sahih.

Muammar menerajui Libya sejak 1969.

Satu lagi laporan Reuters menyebut Pejabat Luar Britain telah memanggil duta Libya ke Britain bagi mengecam penggunaan pasukan "maut" untuk mengatasi tunjuk perasaan.

Setiausaha Luar William Hague meminta agar tindakan ganas dan tindakan membunuh penunjuk perasaan dihentikan segera.

Tv Selangor/-

Gempa bumi kuat landa selatan kepulauan Fiji

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SUVA, Fiji 22 Feb. — Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.4 pada skala Richter berlaku di selatan Kepulauan Fiji pada pukul 6.57 petang ini.

Menurut Jabatan Kajian Giologi Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan di sini berkata pusat gempa itu terletak di 26 darjah Selatan dan 178.4 darjah Timur, iaitu 878 kilometer dari selatan Suva, Fiji dengan kedalaman 540 kilometer.

Kejadian tersebut tidak membawa sebarang ancaman tsunami. - Agensi

Enam sekolah catat peningkatan

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

BACHOK – Tiga daripada enam sekolah menengah dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok, mendapat kelulusan 100 peratus bagi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2010 yang diumumkan semalam.

Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Saupi Majid berkata, tiga sekolah yang mencatatkan peningkatan kelulusan am bagi tahun lalu, ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Perdana (100 peratus), SMK Badak (97.4 peratus) dan SMK Bachok (93.7 peratus).

Tiga sekolah lain yang cemerlang ialah SMK Long Yunus dengan 98.9 peratus (berbanding 96.5 peratus pada 2009), SMK Sri Gunung dengan 99.3 peratus (100 peratus pada 2009) dan SM Teknik dengan pencapaian pertamanya 98.5 peratus.

“Bagi pencapaian kecemerlangan 5P pula, melibatkan lima sekolah menengah iaitu SMK Badak apabila 66 calonnya mendapat 5P dengan catatan 47.5 peratus, berbanding 26.9 pada 2009, SMK Sri Gunung 65 calon dengan peratusan 41.9 berbanding 39.4 peratus pada 2009 dan SMK Bachok 41 orang iaitu 35 peratus berbanding 39.4 pada 2009.

“Dua sekolah yang lain ialah SMK Long Yunus mencatat 25 calon 5P dengan 26.3 peratus dan SMK Teknik dengan seorang calon mendapat 5P (0.02 peratus),” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM peringkat PPD Bachok di pejabatnya semalam.

Bagi kecemerlangan Gred Purata Sekolah (GPS) yang melibatkan keputusan ‘Straight A’ hanya menobatkan dua sekolah iaitu SMK Sri Gunung (dua calon) dan SMK Badak (tiga calon).

Saupi berkata, semua kejayaan tersebut adalah hasil komitmen pihak pentadbiran, guru dan pelajar yang saling bertungkus lumus menggembleng tenaga dan kemahiran untuk meningkatkan tahap pendidikan sekolah masing- masing.

Katanya, pelbagai program yang diadakan setiap tahun untuk meningkatkan prestasi pelajar memainkan peranan penting untuk meningkatkan motivasi dan kecemerlangan mereka.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua enam sekolah yang berjaya mencatatkan peningkatan tahun ini.

“Tidak lupa juga kepada pelajar, guru dan pihak Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) yang memainkan peranan menyokong pihak sekolah dalam setiap aktiviti.

“Saya harap, semua sekolah akan menghargai kejayaan ini akan mendorong lebih ramai lagi calon cemerlang pada masa depan,” katanya.

Sinar Harian/-

Mesir Dan Kempen Demokrasi Global

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Mesir yang menyaksikan satu perubahan politik pada masa ini membawa tajuk demokrasi dan hak asasi manusia dalam tajuk utama berita dunia hari ini.

Suasana yang wujud di Mesir dan seluruh Asia Barat ketika ini semakin menjadikan demokrasi dan hak asasi manusia sebagai agenda utama dalam politik rantau terbabit dan juga seluruh dunia.

Dalam hal ini, melalui debat di media global, peranan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar pendukung ide kebebasan demokrasi dan hak asasi manusia mula kelihatan dengan jelas, walau apapun penilaian sebenar peranan AS di Asia Barat.

Perkembangan di Tunisia dan Mesir kini mencetuskan kembali gelombang perubahan akibat protes rakyat yang kali terakhir berlaku di bawah Presiden George W Bush.

Sejak Barack Obama memenangi pilihan raya dan menjadi presiden AS pada 2009, agenda mempromosikan demokrasi seperti yang ditafsirkan daripada satu ucapan Presiden Woodrow Wilson telah bermula.

Agenda di bawah Obama ini dimulakan dengan satu bentuk yang lebih bergaya dan menarik, menjarakan diri daripada kempen "menyebarkan demokrasi" di bawah Bush.

Pada asasnya, usaha penyebaran demokrasi seperti dilaksanakan melalui dasar luar AS bersandarkan pada 14 perkara yang digariskan oleh Wilson suatu masa dahulu.

Walaupun melalui tafsiran yang berbeza-beza, kempen menyebarkan demokrasi, dengan asas hak asasi manusia telah menjadi satu dimensi penting dasar luar AS sejak Perang Dingin.

Di bawah Presiden Jimmy Carter, hak asasi mula menjadi satu tunjang penting dalam dasar luar AS, dalam usaha memenangi sokongan dan ikutan dalam persaingan dengan kuasa Komunis.

Sehingga hari ini, hak asasi manusia dan demokrasi yang menjadi salah satu agenda paling menarik dalam politik antarabangsa, dengan Washington mengambil peranan kepimpinan dalam hal ini.

Demokrasi dan hak asasi manusia juga menjadi alat dala diplomasi untuk mencapai pelbagai tujuan, termasuk sebagai kempen menentang negara bukan sahabat.

Melalui kepimpinan moral dalam isu ini, AS membina dan mengukuhkan pengaruhnya, menjelaskan kepentingan hak asasi manusia dan demokrasi dalam diplomasi AS di seluruh dunia.

Melalui kepimpinan ini juga AS memperolehi satu senjata dalam persaingan dengan kuasa lain seperti China dan Rusia, dalam usaha mengukuhkan pendekatan yang dikenali sebagai "konsensus Washington."

Melalui badan-badan seperti National Endowment for Democracy (dengan International Republican Institute dan National Democratic Institute for International Affairs di bawahnya), Freedom House dan sebagainya, kepimpinan moral AS dalam agenda demokrasi dan hak asasi manusia terus diperkukuhkan.

Di luar Jabatan Negara, pertubuhan-pertubuhan ini menjadi tunjang yang melaksanakan dasar luar AS.

Secara praktiknya, ide yang disebarkan oleh AS itu diletakkan dalam satu pakej yang bukan sahaja mengandungi kebebasan demokratik dan hak asasi tetapi juga dasar ekonomi pasaran bebas yang direstui kuasa-kuasa Barat.

Negara-negara di bawah naungan China dan Rusia menjadi medan persaingan kuasa AS dengan dua kuasa yang jauh kurang demokratik tersebut.

Dalam banyak kes, ide demokrasi, hak asasi manusia dan pasaran bebas menjadi sangat menarik bagi negara-negara yang dinaungi kuasa tidak menyanjung ide kebebasan seperti Barat.

Malah, di negara Iran, kuasa yang menganggap dirinya sebagai satu kuasa yang cukup besar untuk menjadi penaung dalam sistem global, tarikan ide kebebasan Barat turut mampu menggugat, sepeti disaksikan dalam pilihan raya presiden pada 2009.

Revolusi di Mesir dan Tunisia hakikatnya merupakan kesinambungan perubahan-perubahan rejim yang disaksikan di rantau Asia Tengah dan Kaukasus pada separuh pertama dekad lalu.

AS sebagai penyebar demokrasi tetap mempunyai peranan, melalui hubungan dengan masyarakat sivil, pembangkang dan pelbagai kumpulan di negara-negara yang mengalami kebangkitan rakyat itu.

Revolusi warna dan simbol yang berlaku di rantau itu dan juga di seluruh dunia terus diletakkan di bawah tajuk yang sama sehingga hari ini.

Sejak 2003, Asia Tengah dan Kaukasus menyaksikan satu demi satu diktator tumbang, dalam satu siri peristiwa berpofil tinggi yang dikemukakan sebahagian besar media Barat sebagai peralihan bermakna daripada autoritarianisme kepada demokrasi pasaran bebas.

Bermula 2003, tercetus Revolusi Ros di Georgia, Revolusi Jingga di Ukraine pada 2004, dan Revolusi Tulip di Kyrgyzstan pada 2005.

Tidak jauh dari situ, berlaku Revolusi Hijau di Iran pada 2009. Terbaru dunia menyaksikan Revolusi Jasmin di Tunisia dan kebangkitan di Mesir yang masih belum mempunyai satu nama yang dipersetujui.

Kesemua kebangkitan ini dikemukakan sebagai desakan menuntut kebebasan, demokrasi dan hak asasi manusia dan juga ekonomi pasaran bebas, dengan dimensi geopolitik dan persaingan kuasa besar menduduki tempat kedua.

Hal yang sama boleh diperhatikan di Tunisia dan Mesir, yang ekonomi dan kebebasan menjadi perhatian utama, dan juga cerita yang paling menarik seperti tindakan membakar diri.

Persoalan moral dalam isu ini dimulakan dengan pemimpin zalim tersebut, dengan isu sokongan kuasa besar terhadap rejim itu sehingga membolehkan mereka bertahan berdekad-dekad agak diabaikan.

Kenyataan-kenyataan dari Washington berhubung perubahan di Mesir tetap ditunggu-tunggu sejak awal lagi, membei kredibiliti dan peranan kepimpinan kepada kuasa besar itu dalam pembentukan Mesir baru pasca-Mubarak.

Isu menyebarkan demokrasi kini kembali muncul dengan prominen dalam debat dasar luar AS, menegaskan bahawa agenda ini, walaupun kontroversi, akan terus menjadi satu asas dasar luar negara itu.

Dengan presiden yang berwajah menarik untuk ditonjolkan kepada dunia tarikan nilai-nilai demokrasi yang terus mendapat sambutan, usaha mempromosi demokrasi jelas sekali terus dilaksana di bawah Obama, dengan hanya sedikit perubahan berbanding pentadbiran Republikan sebelumnya.

Pelaksanaan agenda ini, walaupun sarat dengan komplikasi moralnya, tidak dapat dielakkan daripada diteruskan, kerana isu demokrasi dan hak asasi manusia ini memberi satu kelebihan moral kepada kuasa besar itu untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam persada global yang semakin mencabar dengan peningkatan kuasa-kuasa lain kini.

Tv Selangor/-