21 Mac 2011

PAS rakam takziah

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Seluruh ahli dan kepimpinan PAS ingin merakamkan ucapan takziah di atas kemangkatan bonda Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bahriya Sultan Alam Shah pada jam 1.22 pagi tadi di Seri Kota Hospital, Klang, Selangor.

Mewakili mereka, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut berdukacita dan merakamkan agar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong beserta anggota kerabat baginda dapat bersabar dengan ketentuan dari Allah SWT ini.

"Patik semua juga mendoakan agar roh Al MarhumahYang Maha Mulia Bonda ditempatkan di kalangan solehah di sisi Allah SWT," ujarnya dalam kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mengucapkan takziah kepada Yang di-Pertuan Agong di atas kemangkatan bonda baginda.

"Insya allah, sebagai mewakili kerajaan negeri, Datuk Timbalan Menteri Besar akan hadir untuk memberikan penghormatan terakhir. Semoga beliau termasuk di kalangan hamba-hamba Allah yang dirahmati, insya Allah," ujarnya di laman twitter. Al Fatihah.

Harakahdaily/-

Elektrik murah daripada nuklear tidak berasas

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Kenyataan para pemimpin Umno BN yang mengatakan negara perlu melibatkan diri dalam pembinaan nuklear bagi mendapatkan bekalan elektrik yang lebih murah, ternyata amat tidak berasas.

Sebaliknya, negara terpaksa mengeluarkan belanja lebih besar dan mengalami kerugian berlipat kali ganda jika memajukan tenaga nuklear dan membina empangan besar seperti yang dirancangkan itu, memandangkan Malaysia amat kaya dengan sumber-sumber tenaga lain.

Pakar sains dan nuklear, Ahmad Bungsu Hamid Tuah menegaskan, beliau bersedia berdebat dengan mana-mana pihak di Malaysia dan juga dari luar negara berkaitan tenaga nuklear termasuk berhubung perkara itu.

Menurut beliau, untuk memajukan tenaga nuklear memerlukan kos yang amat tinggi termasuk yang melibatkan pembinaan power stesyen, kos penyelenggaraan yang melibatkan gaji-gaji pakar yang cukup tinggi, kos keselamatan, kos penghantaran bahan buangan atau radioaktif ke negara lain.

Katanya, selain itu, kita juga terpaksa menanggung belanja yang besar bagi kos sewa tempat parking sepanjang kenderaan yang menghantar bahan radioaktif itu berada di negara terbabit dalam tempoh masa yang cukup lama, di samping kos keselamatan terhadapnya.

"Apabila cukup tempoh 60 tahun pula, kilang-kilang yang dibina itu mesti dimusnahkan dan dibina yang baru, sedangkan untuk memusnahkan kilang-kilang itu memerlukan belanja yang jauh lebih tinggi dari membinanya," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam masa yang sama, menurut beliau, kerajaan juga terpaksa menanggung risiko besar dengan kemungkinan stesyen nuklear yang dibina itu meletup seperti yang berlaku di Jepun yang berlaku di luar jangkaan, walaupun telah menerima jagaan rapi.

"Jika kejadian di luar jangkaan itu terjadi, ia akan memusnahkan semua orang, bukan sahaja seluruh rakyat negara kita, tetapi juga negara-negara jiran dan negara-negara lain di seluruh dunia.

"Jadi, mana kata murah dan mana kata baiknya? Sebenarnya tentang usaha nak majukan nuklear itu tak ada baiknya. Dari sudut mana pun, nuklear tetap tak ada baiknya, apatah lagi dipandang dari sudut keselamatan manusia," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau yang juga AJK Biro Sains dan AJK Biro Aduan Rakyat PKR Nasional menasihatkan kerajaan mengkaji balik cadangan untuk memajukan nuklear bagi kepentingan negara dan seluruh rakyat negara ini.

"Ada orang kata, kalau mengikut piawaian yang betul dan dijaga dengan baik, jika berlaku insiden pun hanyalah insiden kecil. Tetapi sebenarnya jika stesyen nuklear meletup, semua orang akan musnah, semua orang akan terkena radioaktif.

"Itulah musibah yang perlu difikirkan sebelum kita juga menerima padahnya. Selain yang terbaru di Jepun, cukuplah dengan mengambil pengajaran yang berlaku di beberapa buah negara lain sebelum ini termasuk Iceland dan England yang walaupun dah dijaga dengan baik dan tidak berlaku tsunami, tetapi stesyen nuklear di dua buah negara itu juga pernah meletup," jelas beliau.

Harakahdaily/-
Oleh : Aziz Muda .

Saman ekor, debat, Buku Jingga akan tamatkan BN

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 20 Mac: "Cetak sebanyak mungkin CD siri penerangan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) oleh panel yang dilantik dan sebarkan ke serata pelosok tanah air bagi tujuan memahamkan masyarakat tentang sikap zalim Kerajaan Barisan Nasional (BN)," kata Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, memandangkan Umno begitu resah dengan isu saman ekor dan dua isu besar lainnya membuatkan parti itu terpaksa melaksanakan pendekatan lembut dengan menggula-gulakan rakyat termasuk pada tiga pilihanraya kecil iaitu Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Merlimau dan Kerdau, baru-baru ini.

Katanya, dua lagi isu besar yang harus diketengahkan kepada rakyat ialah Buku Jingga dan debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambahnya, Buku Jingga terus menjadi ketakutan BN sebab apa yang diperkatakan semuanya menjurus kepada 10 jaminan Pakatan Rakyat pada 100 hari pemerintahanya.

"Buat masa ini kita masih tidak mencetak sebanyak mungkin CD siri penerangan Kase, Buku Jingga dan debat antara Anwar dan Najib. Kita tidak buat sesungguhnya untuk tujuan itu walaupun ada negeri telah membuat pelancaran terutamanya buku jingga," tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau yakin rakyat sendiri begitu marah ketika Kerajaan BN memperkenalkan saman ekor yang bertujuan mengutip wang untuk tabung pilihan raya umum yang bakal menjelang.

Tambahnya, tiada jalan lain kecuali bertindak menghukum kezaliman BN dengan bertindak memangkah parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat bagi membuktikan kesungguhan untuk membela rakyat yang daif dan memerlukan bumbung kebajikan.

Menurutnya, siri penerangan Kase yang ke sembilan di Pulau Pinang selepas Kedah merupakan buah tangan untuk rakyat menjawab segala tohmahan BN di mana sahaja.

Selepas ini tambahnya, Kase akan bergerak lebih mantap dan memastikan Pakatan Rakyat dapat menterjemahkan segala manifesto yang ditaburkan.

"Saya yakin saman ekor, debat Anwar dengan Najib dan Buku Jingga akan menamatkan pemerintahan BN di Malaysia," jelasnya dalam program anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri di Markaz Tarbiyah PAS di Pongsu Seribu, Kepala Batas, malam tadi.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Sabri Said .

Libya Diserang Lagi, Gaddafi Umum Gencatan Senjata

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TRIPOLI 21 MAC : Tentera perikatan meneruskan kempen serangan buat kali kedua semalam dan awal pagi ini (waktu Malaysia) ke atas Libya manakala negara utara Afrika itu pula sekali lagi mengisytiharkan gencatan senjata.

Libya juga berbuat demikian kelmarin tetapi Barat melancarkan serangan selepas mendakwa pendirian itu telah dilanggar oleh Muammar Gaddafi.

Serangan hari kedua ini termasuk ke atas ibu negara Libya sendiri.

Seorang jurucakap tentera mengumumkan pendirian Muammar itu, yang dipercayai berkuat kuasa mulai pukul 9 malam waktu Libya (3 pagi tadi waktu Malaysia).

“Angkatan tentera Libya... mengeluarkan arahan kepada semua unit tentera agar mengadakan gencatan senjata bermula 9 malam,” kata jurucakap tentera itu.

Pengumuman itu muncul kira-kira 24 jam selepas pasukan tentera perikatan - Amerika Syarikat, Perancis dan Britain - menyasarkan tindakan mereka untuk menguatkuasakan resolusi PBB yang diluluskan minggu lepas.

Dua negara lain dalam perikatan itu ialah Kanada dan Itali.

Bagaimanapun pada sidang media di Washington (awal pagi ini waktu Malaysia), Pentagon berkata pihaknya mempersoalkan kesemua kenyataan yang datang daripada Muammar termasuk dakwaan bahawa ia akan melaksanakan gencatan senjata.

Lebih 60 orang didakwa terbunuh dalam serangan ke atas Libya, kata media kerajaan negara itu.

Semalam, Muammar berkata serangan ketenteraan perikatan lima negara Barat ibarat tindakan pengganas dan pihaknya akan menewaskan musuhnya.

Dalam ucapannya yang disiarkan menerusi televisyen kerajaan semalam, Muammar berkata Libya bersedia untuk perang yang panjang dan kesemua rakyat Libya akan membawa senjata untuk mempertahankan negaranya.

“Kami tidak akan meninggalkan tanah air kami dan kami akan membebaskannya (dari musuh),” kata beliau.

Siaran televisyen itu membawa suara Muammar tanpa menunjukkan imej beliau.

Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Perancis Laurent Teisseire berkata Qatar juga akan menghantar pesawat perang untuk menyertai operasi bersama jet-jet negara itu.

Ketika ditemui wartawan di Paris, Teisseire berkata Qatar akan menyertai kempen antarabangsa “dalam beberapa jam akan datang” tetapi tidak memberikan butiran.

Muammar berhadapan dengan kebangkitan rakyat sejak sebulan lalu dan ramai melihat negara itu kini berhadapan dengan perang saudara.

Laporan dari Kaherah, Mesir memetik kumpulan pemberontak berkata lebih 8,000 rakyat Libya yang memihak kepada gerakan pemberontakan telah terbunuh sejak kebangkitan rakyat mendesak Muammar melepaskan kedudukannya 41 tahun sebagai ketua negara.

“Bilangan orang kami yang terbunuh dan mati syahid lebih 8,000,” kata jurucakap puak pemberontak, Abdel Hafiz Ghoga.

Tv Selangor/-

Taib Mahmud, antara yang kaya dan miskin

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Sirah nabi banyak mengajar kita berkenaan kepimpinan. Bagaimana tauladan memimpin boleh dilihat melalui tindak-tanduk Nabi s.a.w dan para Sahabatnya.

Seruan Nabi s.a.w tidak sekadar kepada mereka yang miskin sahaja. Bahkan keseluruhannya sama ada yang kaya, tua, muda hatta kepada hamba abdi.

Yang menerima Islam di kalangan yang miskin seperti Suhaib Ar-Rumi yang berbangsa Rom. Mereka yang kaya sendiri adalah Uthman bin Al-Affan dan Mus’ab bin Umair. Bilal bin Rabah, Ammar bin Yassir hamba kepada Bani Makhzum adalah mereka yang memeluk Islam dari kalangan hamba.

Namun, kebanyakan yang awal menerima Islam dari kalangan orang miskin.

Yang kaya, apabila berjuang bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w, selepas itu mereka menjadi miskin. Bukan itu kehendak mereka, bahkan tuntutan amanah perjuangan Islam.

Diriwayatkan bahawa Suhaib Ar-Rumi adalah pendatang daripada negara Rom. Beliau miskin tetapi bijak berniaga. Tinggal di Makkah akhirnya dia menjadi jutawan. Namun apabila diminta berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah s.a.w., seluruh kekayaannya ditinggalkan.

Kaum Quraisy berkata kepadanya: “Dahulu kamu datang kepada kami sebagai seorang yang miskin hina. Kemudian kamu mendapat harta yang banyak dan mencapai kedudukan yang kamu nikmati (di Makkah). Sekarang kamu hendak keluar (ke Madinah) membawa harta dan jiwa kamu begitu sahaja?”

Suhaib berkata: “Aku akan menyerahkan seluruh harta, maka adakah kamu lepaskan aku pergi berhijrah?”. Jawab mereka: “Baiklah.” Lalu jawab Suhaib: “Kalau begitu aku serahkan semua hartaku.”

Berita ini sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w, lalu Baginda bersabda: “Sungguh beruntung Suhaib!”.

Mus’ab bin Umair juga seorang yang kaya. Apabila keluarganya mengetahui keIslamannya, lalu beliau diusir keluar dari rumah. Daripada seorang yang kaya, dia menjadi miskin sehingga tubuhnya diriwayatkan mengelupas seperti ular.

Begitu juga Saidina Uthman bin Affan. Diriwayatkan daripada Imam Tirmizi bahawa ketika Rasulullah memerintahkan sesiapa yang boleh membeli Telaga ‘Al-Ruumah’ yang sangat mahal dan diwakafkan kepada umat Islam untuk digunakan airnya, beliau membelinya. Walaupun pada ketika itu umat Islam tidak mampu.

Selepas beliau menjadi khalifah Islam ketiga, yakni di akhir pemerintahannya, beliau hanya memiliki dua ekor unta sahaja yang akan digunakan untuk beliau berangkat ke Makkah untuk menunaikan Haji dan pulang ke kampung halamannya. Daripada seorang yang kaya, beliau menjadi miskin kerana menunaikan amanah rakyat.

Hari ini sangat sedih, banyak pemimpin menjadikan amanah jawatan sebagai pengumpul harta. Sebelum menjadi pemimpin, dia miskin, selepas menjawat jawatan menjadi kaya. Sangat berbeza dengan sahabat Nabi s.a.w.

Lihat sahaja kekayaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Selepas menjadi Ketua Menteri memiliki harta berbilion-bilion.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Aizat Mohd Salleh.

Reaktor Satu loji ditutup

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

OSAKA - Jurucakap pegawai tertinggi kerajaan Jepun mengeluarkan kenyataan bahawa loji nuklear Fukushima Daiichi yang terjejas dan mengalami krisis berterusan akibat beberapa siri letupan, akan ditutup, semalam.

Sistem penyejuk reaktor di Loji Satu rosak akibat gegaran berkekuatan 9.0 skala Richter dan tsunami yang melanda negara itu, Jumaat lalu.

Jurucakap Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo, Yukio Edano berkata, sukar untuk dia menjelaskan mengenai perkara itu sebelum mengikuti prosedur yang tepat.

"Melihat dari satu sudut pandangan objektif, sudah jelas Loji Satu di loji nuklear Fukushima Daiichi boleh berfungsi atau sebaliknya," menurutnya lagi.

Sinar Harian/-

Tuah di Penang, Malang di Jelebu

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
Oleh: WFAUZDIN NS

APABILA membaca kenyataan KM P.Pinang, Lim Guan Eng yang menyebut bahawa seluruh Negeri P.Pinang akan dibekalkan dengan WIFI percuma termasuk di beberapa kawasan yang diwakili oleh Wakil Rakyat dari Bn, sekaligus menafikan berita karut yang disiarkan oleh media pencacai yang menyebut kununnya hanya kawasan diwakili oleh PR sahaja yang memperolehi perkhidmatan tersebut.

Berita gembira yang seringkali dibawa oleh Lim Guan Eng kepada seluruh rakyat P.Pinang nampaknya sekali lagi membuat saya anak jati Jelebu menggigit jari. Masakan tidak, kawasan Jelebu diwakili oleh seorang Menteri yang menjaga hal ehwal komunikasi dan Penerangan serta budaya, tetapi selaku MP Jelebu anak Yatim ini seperti tidak terasa betapa Jelebu amat jauh ketinggalan dari segi komunikasi. Mungkin beliau lebih berminat menjaga `budaya' terutamanya `budaya menipu dan putar belit'. Sudahlah di Jelebu perkhidmatan bas boleh dikatakan tiada, perkhidmatan 3G di kawasan saya pun tiada, jangan disebut pasal WIFI percuma. Jika Lim Guan Eng boleh memberikan WIFI percuma kepada seluruh negeri P.Pinang, sukar buat anak Yatim ini untuk memberikan WIFI percuma untuk kawasan Jelebu sahaja.

Anak Yatim ini hanya berjanji untuk memberikan WIFI percuma jika ada pilihanraya kecil sahaja. Itu pun belum tentu dapat, sebagai contoh di Bagan Pinang seperti yang pernah dijanjikan sewaktu pilihanraya kecil di situ. Di Dun Galas, Gua Musang pun begitu termasuk juga baru-baru ini di Kerdau. Ini lah mentaliti yang ada pada anak Yatim yang penduduk Jelebu semakin bosan dengannya. Beliau sedikit pun tidak malu dengan Lim Guan Eng yang terus mengutamakan rakyat walaupun tiada pilihanraya kecil di negeri tersebut.

Rakyat seharusnya berfikir dengan lebih bijak lagi, parti manakah yang benar-benar jujur membela nasib rakyat. Kenyataan Lim Guan Eng yang menyebut, "Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah untuk semua penduduk Pulau Pinang, termasuk penyokong BN," adalah satu pendirian yang pemimpin-pemimpin Umno boleh belajar. Jangan jadikan rakyat hamba abdi dan pak turut atau pun dipelihara seperti `ayam daging' yang diberi makan dengan kenyang, bila gemuk ianya disembelih. - Deen

Kanak-Kanak Maut Kena Renjatan Elektrik Tiang Lampu

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak maut akibat terkena renjatan elektrik dari sebatang tiang lampu jalan ketika dia sedang bermain di padang berhampiran rumahnya di Taman Batu 3, Shah Alam, petang semalam.

Mohd Marzuki Muda, 44, berkata kejadian berlaku semasa anaknya Muhammad Naquiddin, 11, dikatakan sedang bermain bola sepak bersama rakan-rakanya di padang berhampiran.

"Tiba-tiba dalam pukul 6.50 petang, kawan-kawan Naqiuddin datang ke rumah beritahu yang anak saya terkena renjatan elektrik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini Ahad.

Beliau berkata setibanya di tempat kejadian, Naqiuddin dilihat sudah tertiarap dengan sebelah kakinya melekat pada salah satu tiang lampu di padang itu.

"Kulitnya yang cerah juga sudah kelihatan gelap, saya cuba tolak kakinya dengan menggunakan kayu dan mengerak-gerakkan tubuhnya namun tiada tindak balas," katanya.

Marzuki berkata beliau kemudian membawa anaknya ke Hospital Pakar KPJ, Shah Alam untuk mendapatkan bantuan kecemasan, dan menurutnya semasa di hospital itu doktor cuba memberikan 'CPR' namun anaknya tidak dapat diselamatkan.

"Sebelum ini ada beberapa jiran beritahu terasa seperti ada tenaga elektrik semasa tiang itu disentuh, namun mereka tidak buat sebarang aduan," katanya.

mStar/-

Kedah fokus baru serangan BN, tapi Pakatan dakwa ‘angkara orang gila talak’

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 21 Mac — Sejak sebulan lalu Umno-BN Kedah memperlihatkan kelainan dengan mempertingkatkan serangan, tetapi Pakatan Rakyat (PR) Kedah menganggap mereka terpaksa melakukan serangan terhadap kerajaan negeri kerana bimbang akan kehilangan terus sokongan rakyat terutamanya orang Melayu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Sebelum ini kerajaan negeri PR di Pulau Pinang dan Selangor menyaksikan serangan bertubi-tubi dengan Kedah seolah-olah ‘terlepas’ daripada kempen Umno-BN itu.

Bagaimanapun sejak bulan lalu Kedah juga sudah tidak terlepas daripada radar serangan itu.

Selain itu, pemimpin PR juga menyifatkan langkah BN itu sebagai usaha terdesak kerana sudah ketandusan idea untuk menjatuhkan kerajaan negeri Kedah diterajui Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar, langkah diambil BN yang secara berterusan kerajaan negeri Kedah membuktikan parti itu bimbang terhadap pendekatan diambil Pakatan Rakyat Kedah.

“Serangan itu angkara orang gila talak yang mahukan sangat kerusi di Kedah dan ia menunjukkan BN bimbang pendekatan pentadbiran yang dilakukan Pakatan Rakyat di sini (Kedah).

“BN bimbang hubungan mesra yang terjalin antara pemimpin Pakatan Rakyat dan rakyat akan menyebabkan mereka kehilangan sokongan, BN bimbang apabila kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Azizan menunjukkan corak pentadbiran telus, tiada penyelewengan dan tiada rasuah.

“BN tak mampu untuk atasi apa yang kita telah lakukan sebab itu mereka lakukan serangan dengan menabur fitnah, memburukkan Pakatan Rakyat dan melaga-lagakan kami hanya untuk dapatkan sokongan rakyat pada pilihan raya umum nanti,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Pokok Sena percaya rakyat Kedah khususnya orang Melayu tidak akan terpedaya dengan taktik kotor BN itu.

“Itu harapan dan tujuan BN agar rakyat Kedah terutamanya orang Melayu akan percaya dan kembali sokong BN.

“BN usah bermimpi, orang Melayu sudah bijak dan menerima perubahan yang kita lakukan, mereka tidak akan terpedaya dengan taktik kotor yang digunakan untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat Kedah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Kedah/Perlis Lee Guan Aik berkata, serangan yang dibuat BN itu adalah semata-mata untuk menjatuhkan imej pentadbiran negeri itu.

“Ini semua kerana pilihan raya, nak dapatkan sokongan sebab BN kalau kita lihat tak habis-habis serang Kedah, apa yang kami buat semua tak kena bagi BN.

“BN gunakan strategi dan taktik kotor untuk menjatuhkan imej kami, banyak risalah berbaur fitnah dan hasutan disebarkan... BN mahu tunjukkan negeri Pakatan Rakyat ini tidak OK dan ada masalah,” katanya.

Beliau berkata BN juga akan memperbesarkan isu kecil dan mempolitikkan banyak perkara selain mencipta provokasi.

“Isu yang kecil diperbesarkan... dipolitikkan, BN buat provokasi untuk jatuhkan Pakatan Rakyat.

“Ini adalah strategi BN sejak dari awal lagi, cuma baru-baru ini serangan itu bertambah hebat,” katanya.

Lee juga percaya rakyat Kedah tidak akan terpedaya dengan apa jua strategi untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di negeri itu.

“BN nak bagi rakyat nampak Pakatan Rakyat ini tak betul tapi saya percaya rakyat Kedah tidak akan terpedaya.

“Kalau kita lihat BN sendiri sudah tidak ada idea, sebab itu gunakan taktik kotor seperti ini,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman.

Umno-BN Kedah dilihat telah memulakan serangan terhadap Pakatan Rakyat negeri itu selepas Umno merombak barisan kepimpinan parti Melayu itu dengan meletakkan Adun Bakar Bata Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Pengerusi Umno Kedah.

Umno membawa perubahan kepimpinan awal tahun ini dengan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya awal tahun ini.

Terbaru Ahmad Bashah berkata berkata kerajaan PAS Kedah tidak perlu bersandiwara lagi tentang dakwaan ia telah melaksanakan 80 peratus daripada janji-janjinya yang dibuat oleh Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum yang lepas.

Beliau berkata sekiranya benar ia telah melaksanakannya, maka senaraikan sahaja janji-janji berkenaan dan tidak perlu berdalih dengan menyatakan akan mendedahkan perkara itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah pada 4 April ini.

Ahmad Bashah berkata sekiranya benar kerajaan negeri telah melaksankan manifesto itu, kenapa Azizan melenting apabila ditanya wartawan tentang manifesto PAS Kedah.

Tambah Mahfuz, dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana kerajaan negeri Kedah telah melaksanakan manifesto itu dengan bertindak menurunkan cukai tanah, menguruskan perbelanjaan wang kerajaan negeri dengan lebih berhemah, pembatalan projek loji penapisan minyak di Yan dan tender pembalakan secara terbuka tidak pernah dilakukan Umno dan BN selama memerintah. - MI/Deen

DUN Sarawak dibubar hari ini, SPR mesyuarat Rabu

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 21 Mac — Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubar hari ini — membuka laluan kepada pilihan raya negeri ke-10 selepas teka-teki dan spekulasi yang berlarutan kira-kira setahun.

Suruhanjaay Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas di Kuching Rabu ini bagi menentukan tarikh pilihan raya.

Sabtu lalu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, beliau telah mengunjungi Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng Khamis lalu bagi mendapatkan persetujuannya untuk membubarkan dewan.

Notis pewartaan pembubaran akan dibuat hari ini.

Ramai menjangkakan penamaan calon dan pengundian akan diadakan pada 6 dan 16 April ini.

Fasal (4) Perkara 21 perlembagaan negeri memperuntukkan bahawa pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

SPR perlu mengadakan mesyuarat dalam tempoh 10 hari sejak wujud kekosongan untuk menentukan tarikh pilihan raya.

Mandat semasa Dewan Undangan Negeri Sarawak yang memperuntukkan 71 kerusi akan tamat pada 23 Julai ini.

Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei 2006.

Ia adalah pilihan raya negeri terakhir bagib Taib dan yang pertama bagi Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri.

Sabtu lalu ketika mengumumkan tarikh pembubaran, Taib yang genap 30 tahun menerajui pentadbiran Sarawak Sabtu ini turut melahirkan hasrat untuk berundur sebagai ketua menteri, menyatakan beliau bercadang berbuat demikian sejak 2006 tetapi terpaksa menangguhkannya kerana tidak dapat dilaksanakan.

Najib juga hadir pada sidang media Sabtu lalu ketika Taib mengumumkannya di Kuching.

Ketika ini, BN negeri menguasai 63 daripada 71 kerusi selepas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili, Dr Jonical Rayong Ngipa, yang bertanding atas tiket parti pembangkang Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), menyertai BN tahun lepas.

DAP menguasai enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.-MI/Deen

Bonda Tuanku Mizan Meninggal Dunia

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bahriya Sultan Alam Shah mangkat di Hospital Seri Kota, Kelang, Selangor pada pukul 1.22 pagi Isnin.

Jenazah almarhum dijangka dibawa pulang ke Kuala Terengganu pada pukul 10 pagi ini melalui Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia Subang, kata Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong Datuk Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Dua mangsa ditemui selamat

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
TOKYO 20 Mac - Seorang wanita berusia 80 tahun dan remaja berusia 16 tahun ditemui masih hidup di bawah timbunan runtuhan bangunan di Ishimaki yang terletak di timur laut Jepun selepas sembilan hari negara ini dilanda gempa bumi kuat dan tsunami, lapor stesen penyiar NHK.

Polis di Miyagi mengatakan kedua-dua mangsa yang terselamat dan berada dalam keadaan lemah memberi respons terhadap panggilan yang dibuat oleh pasukan penyelamat.

Semalam, agensi berita Kyodo dan tentera melaporkan seorang lelaki berjaya diselamatkan dari runtuhan rumahnya tetapi sebenarnya lelaki tersebut telah ke pusat pemindahan sebelum ini dan baru sahaja kembali ke rumahnya.

Sementara itu, Jepun menyaksikan sedikit kejayaan dalam usaha untuk mengelakkan malapetaka di sebuah loji tenaga nuklear yang rosak akibat gempa bumi dan tsunami baru-baru ini, meskipun kebocoran kecil radiasi terus menunjukkan bahaya daripada krisis nuklear terburuk di dunia sejak bencana Chernobyl 25 tahun lalu.

Seramai 300 jurutera bekerja bertungkus-lumus di dalam zon bahaya untuk menyelamatkan keadaan di loji Fukushima yang menempatkan enam reaktor itu sejak kompleks itu dilanda bencana bertimpa pada 11 Mac lalu.

Namun dalam perkembangan positif bagi seluruh rakyat Jepun yang memberi tumpuan kepada operasi di loji tersebut, reaktor No. 3 yang dianggap paling kritikal kerana mengandungi plutonium yang sangat toksik, menjadi stabil selepas trak bomba menyemburkan ratusan tan air ke atasnya selama berjam-jam.

Usaha untuk memulihkan bekalan elektrik ke pam-pam air yang digunakan untuk menyejukkan teras reaktor yang terlalu panas juga menunjukkan kemajuan.

"Kami mencapai kemajuan tetapi kami tidak boleh menjadi terlalu optimistik," kata Timbalan Ketua Pengarah Agensi Keselamatan Nuklear Jepun, Hidehiko Nishiyama.

Juruteknik menyambungkan kabel tenaga ke reaktor No. 1 dan No. 2, dengan harapan untuk memulihkan bekalan elektrik lewat hari ini dalam usaha untuk menghidupkan pam-pam air.

Mereka merancang untuk menyambungkan kabel tenaga ke reaktor No. 3 dan No. 4 tidak lama kemudian.

Jika mereka berjaya, kejayaan itu mungkin menandakan titik peralihan dalam krisis yang dikategorikan sebagai seburuk kemalangan nuklear Three Mile Island di Amerika Syarikat (AS) pada 1979.

Jika tidak, langkah drastik mungkin perlu diambil seperti menimbus loji itu dengan pasir dan konkrit seperti yang dilakukan di Chernobyl, Ukraine berikutan malapetaka reaktor nuklear terburuk di dunia pada 1986.

Selepas bekalan elektrik dipulihkan pun, operator loji Tokyo Electric Co. (TEPCO) masih menghadapi tugas rumit menghidupkan semula pam penyejuk, kerana komponen sistem dijangka rosak akibat gempa bumi atau letupan yang berlaku kemudian.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano berkata, walaupun krisis nuklear itu akhirnya dapat diatasi kelak, kompleks Fukushima akan terpaksa ditutup juga kerana air laut yang menyebabkan karat telah digunakan untuk menyejukkan reaktor, menjadikan komponen penting tidak lagi dapat digunakan. - Reuters/Deen

Rakyat Jepun kekal disiplin dalam bencana

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KAMAISHI 20 Mac - Insiden terpencil kegiatan mencuri oleh mangsa tsunami yang terdesak mula dilaporkan di Jepun, negara yang rakyatnya telah mendapat pujian meluas kerana disiplin mereka sekalipun menghadapi malapetaka bertimpa-timpa.

Negara lain melahirkan rasa kagum dan sedikit cemburu kerana kekacauan tidak berlaku berikutan gempa bumi kuat disusuli tsunami pada 11 Mac lalu yang menyebabkan hampir 20,000 orang terbunuh atau hilang.

Berlainan dengan huru-hara dan keganasan yang menyusuli gempa bumi di Haiti pada tahun lepas atau Taufan Katrina di New Orleans, Amerika Syarikat (AS) pada 2005, tindak balas rakyat Jepun terhadap bencana terburuk di negara ini sejak 1923 memperlihatkan kesabaran dan ketabahan sebuah masyarakat paling stabil di dunia.

Meskipun kekurangan bekalan makanan dan air sangat meruncing di kawasan paling teruk dilanda bencana itu, mesin penjualan makanan pun tidak disentuh, malah kandungannya yang jelas kelihatan di sebalik penutupnya masih tidak diusik.

Namun lebih seminggu selepas tsunami melanda kawasan pantai timur laut Jepun, polis berkata, beberapa insiden mencuri dan pecah masuk dilaporkan dari rumah dan kedai yang rosak teruk dan ditinggalkan.

Fenomena itu jarang berlaku di Jepun kerana polis di negara ini bertindak tegas ke atas jenayah kecil manakala penduduk mendapat ganjaran kerana memulangkan barang yang hilang atau dicuri.

"Disebabkan kami begitu sibuk dengan operasi mencari dan menyelamat dan kemudahan kerja pembersihan, sukar untuk kami mengesan mereka yang mencuri," kata timbalan ketua polis di bandar pelabuhan Kamaishi, Hironori Kodashima di wilayah Iwate.

Katanya, pihak polis baru mula menerima laporan mengenai jenayah itu dan melakukan penangkapan.

"Kami memandang berat perkara ini dan mahu menghentikannya," kata Kodashima yang menyebut kes seorang lelaki yang ditangkap ketika cuba memecahkan sebuah mesin juruwang automatik (ATM).

Beliau berpendapat penduduk mencuri kerana ketiadaan makanan dan wang tetapi mangsa bencana mendakwa, semakin ramai orang luar datang ke kawasan pantai timur laut untuk mengambil kesempatan daripada situasi tidak menentu dan kemusnahan yang berlaku. - AFP/Deen

Amerika dan sekutu bedil Libya besar-besaran

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
TRIPOLI 20 Mac - Tentera Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis membedil Libya dengan peluru berpandu Tomahawk dan serangan udara secara besar-besaran sehingga ke awal pagi ini, mencetuskan kemarahan Muammar Gaddafi yang mengisytiharkan seluruh Mediterranean sebagai 'medan pertempuran'.

Kapal-kapal perang Amerika dan kapal selam Britain melancarkan sekurang-kurangnya 110 peluru berpandu Tomahawk ke Libya mulai semalam, dalam campur tangan Barat yang terbesar di dunia Arab sejak serangan AS dan sekutunya ke atas Iraq pada 2003, kata tentera AS.

Televisyen kerajaan Libya berkata, 64 orang terbunuh dan 150 lagi cedera dalam serangan udara tentera bersekutu itu, termasuk gelombang serangan baru ke atas ibu negara, Tripoli awal hari ini.

Pegawai Pentagon, Laksamana William Gortney memberitahu wartawan, peluru berpandu itu 'mengenai lebih 20 sistem pertahanan udara bersepadu dan kemudahan pertahanan udara lain di darat'.

Serangan itu dilancarkan dua hari selepas resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan sokongan Liga Arab meluluskan tindakan ketenteraan bagi menghalang tentera Gaddafi daripada menghancurkan pemberontakan terhadap pemerintahan autokratik pemimpin Libya itu.

Wartawan AFP berkata, bom-bom digugurkan awal hari ini dekat ibu pejabat Gaddafi di Tripoli, Bab al-Aziziyah, dibalas oleh tentera Libya dengan bedilan antipesawat udara yang berlarutan selama 40 minit.

Televisyen kerajaan sebelum itu berkata, beratus-ratus orang berkumpul sebagai perisai manusia di Bab al-Aziziyah dan di lapangan terbang antarabangsa Tripoli.

Serangan tentera bersekutu itu bermula pada 1645 GMT semalam (12.45 malam tadi waktu Malaysia) dengan serangan jet pejuang Perancis ke atas sebuah kenderaan yang dikatakan dinaiki oleh tentera pro-Gaddafi.

Gaddafi dalam mesej ringkas yang disiarkan oleh televisyen kerajaan mengutuk serangan itu sebagai 'keganasan tentera salib yang kejam dan tidak wajar'.

Beliau berikrar akan melancarkan serangan balas ke atas kedudukan tentera dan awam di Mediterranean, rantau yang telah bertukar menjadi 'medan pertempuran sebenar'. - AFP/Deen

PAS ajak rakyat Sarawak buat perubahan

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 20 Mac: PAS mengajak seluruh rakyat Sarawak melakukan perubahan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak pada kali ini.

“Kita semua sudah sedia maklum bahawa saat yang dinantikan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak telah pun diketahui,” ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, sejak berbulan lamanya PAS telah pun menggerakkan jentera parti dalam menyediakan petugas, ahli dan penyokong bagi berhadapan dengan Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak yang bakal tiba nanti.

“Sehubungan dengan pembubaran ini, maka saya menyeru kepada seluruh pimpinan PAS Pusat, jentera Pilihanraya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Sarawak dan negeri-negeri yang akan membantu agar mula turun ke gelanggang dengan petugas-petugas anak tempatan yang penuh bersemangat untuk melakarkan sejarah baru bagi melakukan perubahan bersama rakyat Sarawak,” katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Petugas parti juga, ujarnya perlulah meneliti dan mengikuti arahan pimpinan di peringkat masing-masing supaya dapat bertugas dengan efisyen nanti.

Beliau menambah, selain dari cita-cita untuk menempah kerusi pertama dari bumi Sarawak ini, jadikanlah medan kali ini sebagai suatu wasilah dakwah dan seterusnya melakukan tajdid terhadap persepsi politik rakyat Sarawak yang dahagakan kepimpinan yang akan membawa mereka jauh lebih baik dari kepiminan BN yang ada pada hari ini.

“Cukuplah kita melihat keengganan Ketua Menteri yang ada sekarang ini untuk berundur dari jawatannya dengan alasan ketiadaan pimpinan yang mampu dan selayaknya bagi menggantikan diri beliau sebagai suatu petaka besar kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Menurutnya lagi, selama puluhan tahun memerintah di Sarawak, BN masih gagal melahirkan pemimpin pelapis yang mampu untuk melakukan perubahan kepada nasib rakyat Sarawak, jauh sekali dari berkhidmat dengan penuh jujur kepada rakyat.

Kesimpulannya, kata beliau ialah BN sememangnya telah memperjudikan nasib rakyat Sarawak yang amat dahagakan perubahan menyeluruh dalam sistem pentadbiran kerajaan, 'deliverable' terhadap rakyat, menyebabkan rakyat di luar bandar telah dipinggirkan selama puluhan tahun ini.

“Hakikatnya ialah, kepelbagaian etnik dan budaya yang ada di Sarawak adalah merupakan aset yang sangat penting dalam melahirkan sebuah Sarawak baru yang lebih baik dari keadaan di bawah BN selama ini,” katanya. - HD/Deen