31 Mac 2011

Kos dua kapal selam RM50 juta setahun

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Kos penyelenggaraan dua kapal selam negara, iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak, yang dikendalikan Tentera Laut Diraja Malaysia dianggarkan RM50 juta setahun, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Katanya, kos itu meliputi perkhidmatan sokongan serta logistik kedua kapal selam jenis Scorpene itu dan tidak melibatkan kos alat ganti.

Menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam, beliau berkata, kontrak penyelenggaraan kedua-dua aset strategik negara itu, dianugerahkan dan dilaksanakan syarikat usaha sama tempatan dengan pembuat Scorpene iaitu Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd.

Abdul Latiff berkata kontrak antara kerajaan dan syarikat penyelenggaraan itu meliputi perjanjian selama enam tahun.

“Penyelenggaraan (setiap sebuah kapal selam) bernilai RM25 juta setahun itu untuk pastikan kita (negara) sebagai pengguna aset itu boleh menggunakan aset itu pada bila-bila masa.

“Kalau ia tidak boleh memenuhi hasrat TLDM, kita boleh denda (syarikat itu) mengikut perjanjian yang dimeterai,” katanya

Kepada soalan wakil yang sama, Abdul Latiff berkata kerosakan teknikal pada KD Tunku Abdul Rahman seperti yang dilaporkan sebelum ini telah berjaya diatasi dengan ujian selaman yang berjaya dilaksanakan pada 22 Februari tahun lepas.

Sebelum ini dilaporkan kerosakan mekanikal dikesan pada 17 Jan tahun lepas ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar.

Abdul Latiff mengingatkan semua pihak agar tidak mendedahkan keburukan serta kelemahan aset pertahanan negara kepada anasir luar seperti yang seringkali dilakukan oleh pembangkang sebelum ini.

“Masalah teknikal yang dihadapi adalah biasa yang boleh dialami oleh mana-mana kapal selam dunia,” katanya. - Bernama

Jembalang: Tak payah komen, bodoh sangat

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Kenyataan Timbalan Perdana Menteri menggelar parti selain BN, yang akan berkempen pada pilihan raya negeri Sarawak sebagai 'hantu' dan 'jembalang', mencerminkan ketakutan pemimpin BN itu.

Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikian bagi menutup kelemahan BN setelah lebih 46 tahun menguasai negeri Bumi Kenyalang itu namun masih ketinggalan.

"Tak payah komen la...bodoh sangat.

"46 tahun lebih mereka di Sarawak, apa yang dibuat?" soalnya yang juga ahli parlimen Pengkalan Chepa.

Katanya, rakyat harus sedar bahawa BN telah menganaktirikan Sarawak sejak sekian lama.

Walaupun Sarawak kaya dengan hasil mahsyur jelasnya, namun rakyat dan negeri itu sendiri masih ketinggalan dari arus pembangunan.

Dan tidak pelik katanya jika Muhyiddin menuding jari kepada pihak lain bagi menutup kelemahan mereka apatah lagi berdepan pilihan raya negeri itu 16 April ini.

"Baru sekarang nak buat itu, buat ini," tambahnya.

Muhyiddin semalam menyifatkan parti selain BN yang akan menyertai pilihan raya Sarawak sebagai 'hantu' dan 'jembalang' dan perlu ditolak rakyat.

Katanya, sebahagian 'hantu' dan 'jembalang' itu sebahagiannya datang dari Semenanjung manakala sebahagian yang lain sudah ada di negeri ini dan akan menawarkan janji-janji manis.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Bersama Rakyat di pinggir Sungai Sarawak di Kampung Boyan-Gersik di Kuching semalam.

Harakahdaily/-

Presiden loji nuklear masuk hospital

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

LOJI Fukushima Dai-ichi di Okumamachi, Fukushima musnah teruk akibat tsunami 11 Mac lalu.

Krisis terbaru menimpa TEPCO ketika bertungkus lumus menstabilkan loji jana kuasa

TOKYO: Bacaan tahap radiasi dalam air laut berhampiran loji nuklear Jepun yang rosak akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu, mencatatkan paras tertinggi semalam ketika presiden syarikat pengendali loji itu dimasukkan ke hospital.

Presiden Tokyo Electric Power Co (TEPCO), Masataka Shimizu, tidak kelihatan hampir dua minggu selepas muncul dalam satu sidang media di sini, dua hari selepas gempa bumi yang merosakkan sistem penyejukan loji Fukushima Dai-ichi dan menyebabkan kebocoran radiasi.

Shimizu, 66, dibawa ke sebuah hospital di sini, kelmarin selepas mengadu pening dan mengalami tekanan darah tinggi, kata jurucakap TEPCO, Naoki Tsunoda.

Sebelum ini terdapat banyak spekulasi berhubung kesihatan Shimizu sejak beliau menghilangkan diri dari pandangan umum, dengan Naib Presiden syarikat Sakae Muto muncul menggantikannya dalam taklimat berita.

Pihak berkuasa TEPCO sebelum ini tidak banyak menjawab soalan berhubung kesihatan Shimizu, hanya menyatakan beliau sedang ‘berehat’ di ibu pejabat syarikat.

Ia adalah krisis terbaru yang menimpa TEPCO yang masih bertungkus lumus menstabilkan loji jana kuasa yang terlebih panas dan membendung radiasi menyusup dari kompleks loji ke laut dan tanah berhampiran.

Gempa dengan magnitud 9.0 menghasilkan tsunami yang memutuskan bekalan elektrik dan sistem sokongan penting untuk memastikan suhu turun di dalam loji reaktor.

Penduduk dalam lingkungan 20 kilometer dari loji dipindahkan dua minggu lalu, sementara mereka yang tinggal 30 kilometer digesa berpindah secara sukarela sejak beberapa hari lalu.

Paras radiasi meningkat di sekitar loji, sayuran, susu mentah dan air.
Minggu lalu, air paip sejauh Tokyo ini terletak 220 kilometer ke selatan dikesan mengandungi paras iodin-131 penyebab kanser dianggap tidak selamat untuk bayi.

Semalam, pegawai keselamatan nuklear berkata air laut di luar loji didapati mengandungi 3,335 kali paras biasa iodin radioaktif iaitu kadar tertinggi setakat ini dan ia satu tanda bahawa lebih banyak air tercemar memasuki laut.

Jumlah iodin-131 ditemui di tepi pantai 300 meter selatan loji itu tidak memberi satu ancaman segera kesihatan manusia namun ia satu ‘kebimbangan’, kata pegawai Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri, Hidehiko Nishiyama, semalam.

Katanya kegiatan menangkap ikan tidak berlaku di kawasan itu.

“Kami akan menamatkan punca dan melakukan sedaya upaya untuk menghalangnya daripada terus meningkat,” katanya.

Nishiyama sebelum ini mengakui sesetengah air tercemar dari loji itu menyusup ke dalam laut, namun tidak jelas bahagian loji mana yang bocor.

Plutonium yang amat toksik turut ditemui menyusup ke dalam tanah di luar loji, kata TEPCO.

Pegawai keselamatan berkata, jumlah itu tidak memberi risiko kepada manusia, namun beberapa penemuan menyokong perasaan curiga bahawa air radioaktif berbahaya bocor dari rod bahan api nuklear yang rosak. – AP

Rumah pertamaku: Golongan muda dibebani hutang

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 30 Mac: Skim Rumah Pertamaku yang baru diperkenal kerajaan hanya akan menyebabkan golongan muda bukan sahaja terus dibebani hutang malah berdepan insolvensi.

AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata skim yang dilancar Perdana Menteri pada 8 Mac lalu itu tidak lebih hanya sebagai tindakan populis namun pada masa yang sama, memusnahkan masa depan golongan muda.

Dengan tawaran 100 peratus pinjaman tanpa deposit sehingga RM200 ribu, golongan muda katanya bukan dibantu, namun dibebankan hutang tambahan selain hutang pinjaman barangan lain yang sedia ditanggung.

Malah jelasnya juga, peserta skim ini terpaksa menanggung bayaran ansuran bulanan yang tinggi untuk tempoh 30 tahun.

Jelasnya, apa yang lebih dituntut generasi muda ketika ini adalah tambahan ke atas pendapatan mereka.

"Isu yang lebih kritikal berhubung pemilikan rumah adalah menangani isu pendapatan sebenar bakal pemilik rumah.

"Majoriti golongan pekerja masih terperangkap dalam pendapatan sederhana," katanya yang juga ahli parlimen Kuala Selangor pada sidang media di parlimen hari ini.

Turut serta pada sidang media itu Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Beliau turut memberi contoh pengiraan mudah bagi seorang pekerja berpendapatan RM3000.

"Ansuran bulanan kereta RM500, bil telefon RM80, sewa kediaman RM400, makanan RM500.

"Hanya ada RM1,000 sahaja lagi lebihan selepas pemotongan EPF dan Socso," katanya.

Untuk rekod, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melaporkan sejumlah 50,361 kes berkaitan kegagalan membayar hutang pinjaman.

Dari jumlah itu 10.6% adalah mereka yang tidak membayar hutang kad kredit manakala 74.3% bermasalah membayar pinjaman rumah, kereta dan baki kad kredit.

Kamaruddin dalam pada itu berkata, PAS bersedia memberi penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

Tambahnya, kehadiran melebihi jangkaan iaitu 300 ribu golongan muda pada pameran kerjaya anjuran Pemuda Umno baru-baru ini membuktikan masih ramai sebenarnya golongan belia menganggur.

Harakahdaily/-


Kenapa baru sekarang BN berjanji mahu berubah


26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

PARIT BUNTAR, 31 Mac: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim menggesa rakyat supaya menilai semula semua slogan BN termasuk sebagaimana yang dilaung-laungkan di Sarawak sekarang.

"Rakyat Sarawak secara matang dan sedar mesti melihat kepada tempoh yang cukup panjang dan peluang yang telah diberikan kepada BN, kenapa sekarang baru BN berjanji untuk berubah," katanya.

Katanya, sejarah membuktikan Barisan Nasional gagal dan tidak mampu berubah sementara slogan BN mampu berubah hanya kata-kata kosong dan janji manis pemimpin BN.

Beliau berkata ungkapan BN berubah tidak lebih dari usaha untuk mengaburi mata rakyat supaya kembali menyokong BN.

Menurutnya, usaha BN untuk menarik sokongan rakyat sering meningkat apabila hampir dengan pilihan raya.

Oleh kerana itu, katanya rakyat mestilah berhati-hati dengan media pengampu yang akan memaparkan janji-janji manis pemimpin BN.

Mengenai peranan pemimpin yang diamanahkan oleh rakyat untuk memimpin, beliau menegaskan bahawa pemimpin BN mengkhianati amanah tersebut.

“Pemimpin BN telah mengkhianati amanah yang telah diberikan lebih 50 tahun. Kerana itu negara memerlukan pemerintah yang bijak mengawal aset negara untuk manfaat rakyat secara holistik, bukannya hanya untuk berapa kerat elit kerajaan seperti yang diamalkan oleh BN,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambahnya, pemerintah dalam apa jua keadaan mesti mendahulukan rakyat, ianya bukan sekadar slogan seperti yang dilaungkan oleh pemimpin BN.

"Bagi saya BN telah mempersendakan rakyat dengan pelbagai slogan, namun jauh dari realiti pelaksanaannya.

“Saya ingin mempersoalkan kenapakah dasar-dasar yang tidak dikaji dengan baik sebelum ia dilaksanakan sehinggakan bayak wang rakyat telah dibazirkan,” katanya yang juga Adun Titi Serong.

Katanya, kini banyak bukti sebagaimana yang dipaparkan melalui media baru banyaknya kelemahan BN mentadbir urus Malaysia.

Situasi itu, katanya memberi petunjuk bahawa negara berada dalam situasi tidak selamat.

Oleh itu, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak menyeru seluruh rakyat supaya berubah sekarang untuk selamatkan Malaysia.

Harakahdaily

Pembunuhan Banting: Peguam Dibicara Julai

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM: Seorang peguam, N. Pathmanabhan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini pada Julai ini atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang dilaporkan hilang bersamanya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menetapkan perbicaraan berjalan selama tiga bulan bermula 4 Julai hingga 30 September.

Pathmanabhan, 42, akan dibicarakan bersama tiga pekerja ladangnya, iaitu T. Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Khatavarayan, 31, yang turut didakwa melakukan kesalahan itu.

Terdahulu, semua mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 Ogos 2010 di Lot 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini. Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 yang memperuntukkam hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

mStar/-

Empat Maut Pesawat Ringan Terhempas di Australia

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SYDNEY: Penyiasatan sedang dijalankan selepas empat orang terbunuh dan dua lagi cedera parah apabila sebuah pesawat ringan terhempas di wilayah New South Wales.

Pesawat dengan enam tempat duduk itu terhempas ketika cuaca agak baik lewat semalam berdekatan kawasan tempat meletak karavan di utara wilayah berkenaan.

Ketika empat orang terunuh, seorang bapa dan anak perempuannya berusia 13 tahun terselamat apabila pesawat berkenaan terhempas kurang satu kilometer berdekatan Lapangan Terbang Moree, kira-kira 600 kilometer dekat Sydney.

"Pesawat itu kelihatan mahu menuju lapangan terbang dan secara tiba-tiba ia terjatuh dari langit," kata penduduk tempatan, Lex Baguley kepada wartawan.

Seorang lagi saksi berkata, pesawat itu mungkin terlanggar pokok. -AFP

Tarian poco-poco haram?

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Langkah tarian ini, ke depan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan dikatakan menyerupai bentuk salib.

Barangkali ramai peminat tarian poco-poco di negara ini terkejut apabila mengetahui tarian yang berasal dari negara seberang ini adalah haram. Tarian ini sangat popular di negara kita pada masa kini.

Ia bukan sahaja dilakukan oleh orang kebanyakan malah oleh golongan atasan dalam pelbagai bentuk majlis keraian. Jabatan kerajaan juga tidak ketinggalan mengadakan tarian poco-poco sebagai menggantikan senaman pagi untuk peserta kursus.

Namun dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-186 yang diadakan pada 24 hingga 26 Januari 2011 lalu memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan. Surat berkenaan ditandatangani Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Asas pengharaman kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica serta bercirikan agama Kristian. Mesyuarat tersebut juga telah mengambil keputusan bahawa pengharaman tersebut akan diwartakan.

Langkah tarian ini, ke depan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan dikatakan menyerupai bentuk salib. Sinar Harian cuba mendapatkan komen atau pendapat daripada tokoh agama berkenaan pengharaman tarian poco-poco ini.

Sinar Harian/-

Kira-Kira 3,000 Mangsa Banjir Kini Berada Di Pusat Pemindahan Di Perlis

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KANGAR: Kira-kira 3,000 mangsa banjir dari 729 keluarga dipindahkan ke 31 pusat pemindahan banjir di Perlis sehingga pukul 10 malam Rabu.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Perlis berkata daripada jumlah itu, seramai 2,147 orang dari 546 keluarga ialah di Kangar manakala yang lain dari Padang Besar dan Arau.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid berkata banjir yang berlaku sejak Isnin lepas itu adalah akibat taburan hujan yang tinggi dan bukannya berpunca dari empangan Timah Tasoh.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis Ir Nishad Mohamad berkata empangan Timah Tasoh terpaksa melepaskan air yang berlebihan apabila kadar taburan hujan begitu tinggi.

"Air empangan Timah Tasoh dialirkan melalui Sungai Perlis ke laut dan tidak mungkin ia menyebabkan banjir," katanya.

Sementara itu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Abdul Rashid berangkat melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan banjir, antaranya Sekolah Kebangsaan Sena dan Sekolah Kebangsaan Behor Empiang. - BERNAMA

Adun DAP gesa sedia peruntukan besar untuk SAR

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 30 Mac: Adun Sekinchan, Ng Swee Lim menggesa Kerajaan Negeri Selangor memberikan peruntukan besar kepada semua Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Wakil rakyat DAP itu membuat gesaan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali.

Menurut Swee Lim, memandangkan keadaan SAR ini agak ketinggalan, dengan kewangan yang disalurkan dalam jumlah besar itu membolehkan mereka menambahbaikkan bangunan dan persekitaran sekolah agar lebih selesa.

Hari ini masuk hari kedua persidangan Dun Selangor untuk penggal pertama sidang kedua belas yang dirasmikan Sultan Selangor pada 28 Mac lalu dan sesi sidang pula bermula semalam sehingga 5 April depan.

Dr Halimah di dalam jawapannya, menyatakan ucapan terima kasih di atas perhatian tinggi Adun Sekinchan itu meskipun bukan beragama Islam tetapi tetap prihatin dengan perihal SAR berbanding dengan pembangkang yang bersikap sebaliknya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal, Dr Halimah berkata, sebanyak 769 Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mendapat bantuan pendidikan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Semua bantuan itu, jelasnya, berjumlah RM32 juta bagi tahun 2009 dan 2010 dalam usaha mencapai matlamat kerajaan memperkasakan pendidikan di negeri ini sebagai Hub Pendidikan dan Hub Ilmuan.

"Sebanyak 820 permohonan dibuat 2009 dan 2010 dengan 769 permohonan diluluskan sebanyak 320 sekolah bagi 2009 manakala 449 sekolah untuk 2010 dengan pecahan mengikut sekolah adalah 160 buah bagi SAR, 77 (SJKC), 97 (SJKT) bagi 2009 manakala bagi 2010 adalah sebanyak 252 (SAR), 100 (SJKC) dan 97 (SJKT).

"Jumlah permohonan 2010 meningkat berbanding 2009 iaitu sebanyak 134 permohonan dan jumlah permohonan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 129 permohonan.

"Bagi SJKC dan SJKT permohonan yang dibuat dapat diproses dengan baik tanpa ragu-ragu kerana sekolah yang membuat permohonan adalah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran, namun berbeza dengan SAR yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak sama ada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau Kementerian Pelajaran," tegasnya.

Tambahnya, program bantuan agihan pendidikan sekolah-sekolah ini adalah merupakan di antara langkah-langkah diambil kerajaan negeri bagi memantapkan visi pendidikan untuk menjadikan Selangor sebagai Hub Ilmuwan dan Hub Pendidikan.

"Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri memberikan perhatian kepada beberapa perkara seperti keadaan infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang ada di sekolah, kemahiran peningkatan pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru-guru sekolah, kualiti para pelajar terutama dari aspek akademik dan sahsiah serta kelicinan dan pengurusan sekolah yang sistematik dan efektif.

"Selain bantuan pendidikan itu, katanya, kerajaan negeri turut memberi latihan kursus perguruan kepada guru-guru SAR di mana guru-guru itu tidak pernah diberi kursus dan pihak sekolah juga tidak ada dana yang mencukupi untuk tujuan itu," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan negeri melalui Yayasan Selangor (YS) turut mewujudkan dermasiswa dan meluluskan pembinaaan Tadika Rakyat di negeri Selangor pada 2009.

Dr Halimah berharap Kerajaan Negeri Selangor akan mendapat sumber rezeki kewangan yang lebih di masa akan datang untuk memberikan lebih manfaat besar kepada rakyat negeri terutamanya dalam bidang pendidikan.

Katanya, beliau sendiri secara peribadi ingin melihat SAR yang berjumlah 500 buah itu akan dapat dibantu dalam usaha kerajaan mencapai matlamat yang diidamkan oleh kerajaan negeri, selama ini yang inginkan Selangor menjadi Hub Ilmu Hub Pendidikan.

Harakahdaily/-
Oleh : Ismail Hashim

Perompak rempuh lori samun bahan RM1 juta

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SEREMBAN: Sekumpulan perompak merempuh sebuah lori syarikat keselamatan yang membawa bahan semikonduktor bernilai lebih RM1 juta sebelum melarikannya di
Lorong Senawang 2/3 Kawasan Perindustrian Senawang di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang, berkata dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, seorang perompak memandu sebuah treler curi dan melanggar bahagian depan lori terbabit menyebabkannya berhenti di tengah jalan.

“Pada masa sama, empat lagi rakannya bersenjatakan parang yang menaiki kereta datang dari belakang lori berkenaan sebelum mengarahkan tiga pengawal keselamatan menyerah diri.

“Mereka tidak bertopeng kemudian memecahkan pintu belakang lori berkenaan dan memindahkan barangan dibawa ke dalam kereta sebelum melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, pengawal keselamatan yang memandu lori cedera ringan akibat rempuhan dan dua lagi tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

Berita Harian/-



Nilai Harta Pusaka Gagal Diselesaikan Kini Cecah RM42 Bilion

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA: Nilai harta pusaka yang dibekukan berikutan kes gagal diselesaikan pewaris kerana ketiadaan wasiat kini dianggar mencecah RM42 bilion.

Ketua Pegawai Pemasaran, Amanah Raya Bhd (ARB) Ahmad Saruji berkata, anggaran itu meliputi kira-kira sejuta kes di negara ini.

Kajian ARB pula mendapati hanya dua peratus rakyat Malaysia menulis wasiat, yang membolehkan segala maklumat harta didaftarkan, sekali gus memudahkan urusan pembahagian, katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

Katanya lagi, bagi membudayakan penulisan wasiat pada kalangan masyarakat, ARB dengan kerjasama syarikat pengurusan harta pusaka Islam, Warisan Mukmin Sdn Bhd melancarkan kempen 'Tahun Menulis Wasiat 2011'.

"Kami tidak mahu masalah ini bertambah lagi. Kempen ini akan diadakan sepanjang tahun ke seluruh negara untuk menyampaikan mesej kepentingan menulis wasiat sekali gus mengelakkan masalah lain yang timbul terutamanya keretakan institusi kekeluargaan," katanya.

Sempena kempen tersebut, orang ramai boleh memiliki dokumen wasiat bagi menguruskan pengurusan harta pusaka bernilai ribuan ringgit dengan hanya melibatkan kos permulaan serendah RM30 sebulan serta bayaran bulanan yang fleksibel.

Kempen tersebut yang bermula dari Januari hingga Disember tahun ini adalah untuk memudahkan masyarakat membuat wasiat sekali gus mengelakkan pembekuan harta dan perbalahan keluarga.

Sementara itu Pengerusi Warisan Mukmin Datuk Mohd Nahwari Hashim berkata syarikat itu mensasarkan pendaftaran 5,000 wasiat sehingga akhir tahun ini.

mStar/-

Tak berbangkit MPKB BRI abai kebajikan peniaga

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 31 Mac: 'Tunggal pun dikatakan hantu..' Mungkin inilah yang dapat digambarkan apabila Persatuan Peniaga Arked MPKB mendakwa kerajaan negeri tidak berpegang kepada janji.

Kelmarin anggota jawatankuasa persatuan itu mendakwa menerima surat kuning supaya mengosongkan bangunan mulai hari ini, sedangkan sebelum itu dijanjikan sebelum 31 Mei depan.

Seorang anggota jawatankuasa persatuan itu mendakwa notis penamatan sewa dikeluarkan Blue Lang Marketing.

Sedangkan pengurus syarikat terbabit, Wan Muhamad Azha Wan Omar memberitahu notis kuning yang dikeluarkan bagi menyatakan pihaknya

tidak lagi bertanggungjawab ke atas kutipan sewa, bil elektrik dan kebersihan premis selepas 30 Mac dan peniaga dikehendaki menjelaskan tunggakan sewa dan bil elektrik sehingga 31 Mac.

”Peniaga mungkin salah faham terutamanya kepada peniaga di tingkat satu,” katanya seperti dilaporkan sebuah akhbar semalam.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) menjelaskan pihak perunding mengesahkan Arked MPKB tidak lagi selamat diduduki kerana terdedah kepada litar pintas kabel elektrik.

Yang Dipertuanya, Nazran Muhamad berkata, air sentiasa bocor dan mengalir sehingga menyebabkan kekuatan konkrit semakin merosot dan
menurun.

”Ini tidak ekonomik untuk dibaiki kerana kos sangat besar di samping rumit dari segi pelaksanaan.

”Selaras dengan peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan semua bangunan di kawasannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya MPKB BRI telah membuka tawaran dan bersetuju pembangunan semula tapak Arked MPKB kepada sebuah syarikat dengan keseluruhan pulangan sebanyak RM6.8 juta.

”Pembangunan semula tapak Arked MPKB merupakan satu usaha ke arah mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi setempat, di samping membuka peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk Kota Bharu,” ujarnya.

Oleh itu kata beliau sepatutnya tidak berbangkit soal jual beli bangunan arked kepada pemaju kerana perkara tersebut sudah selesai.

Nazran berkata, sebelum Arked MPKB diroboh, MPKB BRI telah membeli ruang niaga di tingkat satu Bazar Tengku Anis bagi menyelesaikan masalah dihadapi peniaga.

Bagaimanapun katanya, peniaga tingkat atas Arked MPKB tidak bersetuju berpindah ke Bazar Tengku Anis sebaliknya memilih Bazar Tok Guru.

”Keluasan lot di Bazar Tok Guru sepatutnya tidak berbangkit kerana saiz tersebut telah pun dipersetujui bersama dalam mesyuarat pada 20 Januari 2010 yang turut dihadiri wakil peniaga Arked MPKB dan ArkedUda.

”Persetujuan saiz lot tersebut bagi membolehkan semua peniaga dikedua-dua bazar ditempatkan di ruang niaga tingkat bawah Bazar Tok
Guru,” katanya.

Difahamkan pada mesyuarat yang diadakan itu peniaga diwakili Abdul Salim Ahmad daripada Arked MPKB dan Wan Lukman Wan Salleh (Arked Uda).

Ketika itu wakil peniaga terbabit memohon penempatan semula semua peniaga berdaftar di Arked MPKB dan Arked Uda seramai 415 orang.

Manakala sebahagian besar peniaga makanan di tingkat bawah Arked MPKB bersetuju menerima tawaran lot di sekitar Bazar Tengku Anis dan terminal bas di Lembah Sireh.

Nazran berkata, kerajaan negeri dan MPKB-BRI telah menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya bagi menjaga kebajikan peniaga selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam.

”Tidak berbangkit langsung kerajaan negeri mengabaikan kebajikan dan kepentingan peniaga malah lebih bersifat prihatin bagi menjaga masa depan mereka,” ujarnya.

Harakahdaily/-
Oleh : M Faqih

Gempa Bumi Di Kepulauan Fiji

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi 6.2 pada skala Ritcher berlaku di Kepulauan Fiji pada 8.12 pagi, Khamis.

Jabatan Meteorologi Malaysiajn sedang memantau perkembangan tersebut.

mStar/-

Menteri Luar Libya Letak Jawatan

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

LONDON: Menteri Luar Libya, Mussa Kussa, terbang ke Britain dan mengumumkan beliau meletakkan jawatan serta tidak mahu mewakili rejim pemerintah Tripoli itu.

Kenyataan Pejabat Luar Negera, berkata Mussa tiba di Lapangan Terbang Farnborough, barat London.

"Beliau melakukan perkara itu atas kehendak sendiri. Beliau memberitahu kami sudah meletakkan jawatan.

Musa adalah pemimpin kanan kerajaan Muammar Gaddafi dan beliau tidak mahu mewakili kerajaan rejim itu di peringkat antarabangsa," tambahnya lagi. - AFP