03 Ogos 2008

UMNO Perak sekali lagi melamar PAS bentuk kerajaan

Maksud firman Allah SWT:

“Jika kamu mendapat sesuatu kebaikan, maka mereka menjadi tidak senang kerananya; dan jika kamu ditimpa oleh sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami sebelumnya telah memperhatikan urusan kami”, dan mereka berpaling dengan rasa gembira.” (At-Taubah:50)

Dalam ucapan alu-aluan di majlis perasmian Konvensyen PAS Perak Kali Ke-13 di Ipoh pada 26-27 Julai 2008 yang disempurnakan oleh Dato’ Seri Presiden Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, saya mengulangi lagi ketegasan PAS menolak sebarang rundingan untuk membentuk kerajaan dengan UMNO/BN di Perak. Saya menegaskan bahawa PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat. Saya lihat Dato’ Ngeh Koo Ham, Pengerusi DAP Perak dan Hj Ismail Yusof, Pengerusi Perhubungan PKR Perak, kedua-duanya mengangguk-angguk sambil tersenyum mendengar penegasan saya di hadapan lebih 800 orang peserta konvensyen. Turut hadir dif-dif jemputan dari pimpinan DAP dan PKR, ketua-ketua Kelab Penyokong PAS, wakil-wakil NGO dan Dewan Perhimpunan Cina Perak serta Yayasan Orang Asli Perak (YOP).

Tiba-tiba tak semena-mena sehari selepas konvensyen itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Dato’ Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli mengadakan satu sidang akhbar di Ipoh. Kononnya sebagai respon kepada kenyataan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang melontarkan cadangan supaya UMNO dan PAS dibubarkan dan ditubuh satu parti baru berteraskan Islam sekiranya orang Melayu/umat Islam negara ini hendak benar-benar disatukan.

Dalam sidang media itu, Tajol Rosli menawarkan kepada PAS Perak untuk membentuk kerajaan baru bersama UMNO/BN. Beliau bersetuju supaya jawatan Menteri Besar Perak terus dipegang oleh Menteri Besar yang mewakili PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat sekarang. Beliau sendiri tidak akan memegang sebarang jawatan Exco atas alasan supaya tidak dituduh mengontrol kerajaan PAS/UMNO yang dicadangkan itu. Dalam tawaran pada kali ini tidak disebutkan samada jawatan speaker diberi kepada PAS seperti yang pernah ditawarkan dahulunya selain daripada 4 jawatan Exco.

Berita selanjutnya:http://usahmadawang.blogspot.com/

Janganlah penyokong PAS berbalah dengan pemimpin disebabkan muqabalah

Maksud firman Allah SWT:

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal:61-62)

Lebih seminggu saya sibuk bergerak di antara KL/Ipoh/Kota Bharu kemudian balik ke Semanggol dan seterusnya berada di Ipoh selama 3 hari kerana bermesyuarat dan menghadiri Konvensyen PAS Perak Ke-13.


Saya tidak membuat sebarang posting dalam blog saya lebih seminggu kerana menunggu-nunggu agar keresahan dan kekeliruan terutama di kalangan akar umbi penyokong PAS mengenai isu apa yang dinamakan Muzakarah UMNO/PAS dapat diredakan. Ini apabila presiden Tuan Guru Hj Hadi bersama 5 ahli Majlis Syura termasuk saya membuat pertemuan dengan Tuan Guru Mursyidul Am di JKR 10, Kota Bharu pada petang Rabu 23 Julai 2008. Selepas pertemuan tersebut yang berlangsung kira-kira 1 jam, Mursyidul Am memberitahu wartawan media termasuk TV3 bahawa kenyataan beliau mengenai apa yang dikatakan Muzakarah UMNO/PAS itu tdak bercanggah langsung dengan kenyataan Presiden PAS Tuan Guru Hj Hadi Awang, iaitu tidak ada sebarang perbincangan atau perundingan dengan UMNO untuk membentuk kerajaan dengan UMNO/BN. Mursyidul Am menegaskan isu muzakarah sudah ditutup fail. Yang boleh diadakan ialah muqabalah atau pertemuan bersemuka untuk berbincang perkara mengenai kepentingan Islam dan rakyat amnya.

Berita selanjutnya: http://usahmadawang.blogspot.com/

02 Ogos 2008

MB Perak pelawa Tajol sertai Pakatan Rakyat

IPOH, 1 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin mempelawa Pengerusi Umno Perak, Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali menyertai Pakatan Rakyat.

Beliau membuat pelawaan itu sebagai respons balas kepada pelawaan Tajol Rosli yang mengajak Nizar menyertai kerajaan yang kononnya boleh dibina jika PAS dan Umno bekerjasama.

Tajol juga menawarkan kedudukan sebagai Menteri Besar kepada Nizar, sedangkan kata Nizar beliau telah menjawat jawatan itu bersama Pakatan Rakyat.

Namun, Nizar yang telah dilantik sebagai Menteri Besar sebaik sahaja Pakatan Rakyat memerintah Perak, menolak tawaran Tajol yang disifatkan sebagai 'senda gurau'.

"Terima kasih atas tawaran itu, saya juga nak buat tawaran kepada dia setelah PAS Pusat menolak tawaran kerjasama dengan Umno, sebagai Menteri ImageBesar eloklah saya buat tawaran kepada Tajol dan rakan-rakan untuk menyertai kami (Pakatan Rakyat)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak dekat sini petang Khamis, 31 Julai.

Terdahulu beliau telah bertemu dengan Mufti Kerajaan Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria selama sejam dan kemudian bertemu dengan kakitangan Jabatan Agama Islam Perak.

Turut serta dalam pertemuan dengan jabatan tersebut ialah, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato' Jamry Sury; Setiausaha Politik MB, Misbahul Munir Masduki dan Setiausaha Akhbar, Anuar Hashim.

Mengulas lanjut isu pelawaan tersebut, Nizar berkata, Tajol dan rakan-rakannya dari Umno dan Barisan Nasional boleh menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat.

Beliau juga berpendirian PAS Perak dari awal lagi menolak kerjasama dengan ImageUmno, sebaliknya konsisten akan terus bersama Pakatan Rakyat.

Malah kerajaan Pakatan Rakyat yang dibina di Perak telah diperkenan Sultan Perak selain mereka telah bersetia untuk terus bersama Pakatan Rakyat.

Sementara itu ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Norazli Musa pula menyatakan kerjasama antara Pakatan Rakyat di Perak semakin baik sejak isu muzakarah Umno-PAS dimanipulasi media.

Malah katanya, di peringkat pemuda kesemua parti dalam Pakatan Rakyat akan mengadakan 'road show' untuk menjelaskan pendirian mereka bersama pakatan.

Sebenarnya isu kerjasama Umno-PAS seolah tidak timbul di Perak kerana rakyat kini lebih yakin dengan pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.

PAS tolak kerjasama dengan BN bentuk kerajaan - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 31 Julai- PAS menolak mengadakan sebarang rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi mewujudkan kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sebarang tawaran untuk mewujudkan kerjasama politik tidak lagi berbangkit.

"PAS akan terus terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan parti-parti politik, badan bukan kerajaan, institusi ataupun mana-mana individu demi kepentingan agama dan rakyat," ujarnya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

PAS mengulangi pendiriannya untuk terus kekal bersama pakatan Rakyat dan akan memainkan peranan aktif dan positif termasuk perjuangan bersama untuk membuat perubahan.

"Kita mengajak ahli-ahli parlimen BN untuk menyertai Pakatan Rakyat untuk sama-sama sokong dan dokong perubahan yang hendak dilaksanakan," katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh parti tersebut terhadap mana-mana pimpinan yang mengadakan pertemuan sulit dengan BN, katanya, "tiada yang sulit lagi, kita mengatakan boleh mengadakan pertemuan dengan syarat ia dimaklumkan kepada parti."

PAS juga katanya menghargai sokongan bukan Islam dan mereka akan diberikan peranan lebih pada masa akan datang dalam arena politik bersama PAS.

Dalam pada itu, Ustaz Abdul Hadi turut menyatakan bahawa pihaknya turut menyatakan sokongan dalam isu Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Isu tersebut hendaklah diselesaikan mengikut syariat Islam, berdasarkan perlembagaan 121 yakni kes yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah.

"Saya tidak mahu isu ini dipolitikkan. Kalau sekiranya ia tidak boleh (dirujuk kepada mahkamah syariah) Umno kena buat perubahan.

"Ya, saya membela siapa yang kena zalim termasuk Dato' Seri Anwar," ujarnya.

Sidang media tersebut diadakan sebaik selesai Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS yang dibuat secara bulanan, dengan turut dihadiri Majlis Syura Ulama' yang dipengerusikan Ustaz Abdul Hadi.

Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam sidang media tersebut.

Hadir sama, Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah salleh.

31 Julai 2008

MB Perak : Solat adalah penyelesai kepada masalah sosial muda mudi

IPOH, 29 July :- Perlaksanaan solat yang sempurna adalah penyelesai kepada masalah muda-mudi di Perak dan dalam keadaan unsur-unsur menjauhkan rakyat dari sembahyang sangat banyak maka menjadi tanggungjawab kerajaan merapatkan umat kepada aktiviti yang memperbanyakkan pahala kepada Allah SWT.Demikian antara isi ucapan YAB Menteri besar perak, Dato' Seri Ir. Muhammad Nizar jamaluddin semasa meresmikan Program Bulan Galakan Sembahyang Anjuran Jabatan Agama Islam Perak di Dataran Bandaraya Ipoh hari ini.



Progran yang julungkali diadakan itu menarik warga setempat yang melebihi 1000 orang pengunjung dengan didahului dengan Sembahyang Isya berjemaah yang diimamkan sendiri oleh YAB. Menteri Besar.




Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah JAIP, Dato' Jumry bin Sury, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk bandar ipoh, Tn. Hj. Roshidi.

30 Julai 2008

UMNO tersepit, ulang tawaran lama.

Tersebar berita dalam akhbar arus perdana dan media yang lainnya kononnya pendirian PAS berhubung cadangan penubuhan kerajaan gabungan dengan UMNO di Perak akan ditentukan pada Khamis ini. katanya lagi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dijadual diadakan di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut di sini, Khamis ini bagi membincangkan isu tersebut.

Mengejutkan juga didakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka mengumumkan keputusan yang dicapai selepas mesyuarat itu. Menurut sumber itu , isu penggabungan untuk membentuk kerajaan negeri baru di Perak itu adalah antara beberapa ‘perkara yang memerlukan keputusan kepimpinan tertinggi Pas’. Selain isu penggabungan, topik hangat yang turut dibincangkan ialah mengenai muqabalah yang dijangka bakal menyaksikan satu keputusan dibuat oleh parti itu, kata sumber tersebut.


Berita-berita dan khabar angin yang disebutkan diatas hanya ribut dalam "cangkir" UMNO dan BN sahaja. beritanya hebat tapi "menipu".

Saya menafi sekeras-kerasnya akan ada perbincangan dari pimpinan tertinggi PAS mengenai ajakan "orang gila talak" itu.

Sebenarnya tawaran lapuk BN inilah yang telah kami terima seawal mungkin pada malam kemenangan DAP, PKR dan PAS pada 8 Mac 2008. Pada masa itu pimpinan PAS termasuk Ir. Nizar dan saya sendiri tidak putus-putus dihubungi pihak tertentu, tapi kata orang perak "menjeling pun tidak" pada tawaran itu.

Setelah melangkau 100 hari dan kami telah mengenal hati budi antara kami, sudah puluhan program bersama kerajaan kami duduk bersama, sudah puluhan mesyuarat sudah kami lakukan berserta braistromingnya sekali, masakan kami mudah sahaja menerima tawaran itu. Lagi tidak menjeling.

Buktinya bila ditanya kepada MB, dengan tegas beliau mengatakan tidak akan berkerjasama dengan UMNO dan kami akan tetap dalam pakatan Rakyat.

Tidak ada isu sebenarnya melainkan sudah pecah tembelang UMNO dan Tajol Rosli bahawa gimiknya pada 31 0gos Kerajaan Perak berubah adalah bohong sama sekali.

Sayalah orang pertama akan menentang pengabungan dengan UMNO sekiranya dicadangkan sekiranya UMNO masih dengan dasar lama nya. Kalaulah UMNO sudah bubar dan menerima Islam sebagai dasar sebagaimana yang dilakukan PAS, menginsafi segala penyelewengan, penindasan dan kezaliman sebelum ini, lain cerita pula pada masa itu. Tidak ada sebab PAS dan teman dapam PR menolak pelawaan UMNO.

Nizar : Pas negeri akan kekal dalam pakatan pembangkang dan sama sekali tidak akan bekerjasama dengan UMNO.

IPOH, 28 Julai :- Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin memberi jaminan Pas negeri akan kekal dalam pakatan pembangkang dan sama sekali tidak akan bekerjasama dengan UMNO.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri itu berkata, pihaknya sentiasa memberikan komitmen untuk terus bersama-sama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menerajui kerajaan pembangkang di negeri ini.

''Tidak mungkin Pas negeri bekerjasama dengan UMNO negeri ini kerana rakyat telah memilih kita dan kami akan bersama-sama untuk berkhidmat kepada penduduk selama-lamanya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Air Perak di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tawaran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali kepada Pas untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Mohammad Nizar menjelaskan, beliau tidak dimaklumkan mengenai tawaran tersebut dan hanya mengetahuinya selepas diberitahu oleh pemberita.

''Dia (Tajol Rosli) boleh sudi macam-macam tetapi kita tidak setuju dan sama sekali tidak akan menjalinkan kerjasama dengan UMNO.

''Kami tidak akan melayan mana-mana tawaran daripada parti politik di luar pakatan dan kami akan kekal dalam pakatan ini," katanya.

Ketika ditanya, apakah Pas akan bekerjasama dengan UMNO di Perak jika diminta berbuat oleh pimpinan peringkat Pas pusat, beliau berkata:''Pas adalah sebahagian daripada pakatan pembangkang dan perlu mendapat persetujuan daripada pakatan untuk menimbang sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO."

Beliau turut ditanya kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh yang mahu pakatan pembangkang menimbang secara serius keanggotaan Pas dalam pakatan.

''DAP tidak seharusnya meragui Pas kerana parti kita belum mengadakan sebarang muzakarah dengan UMNO. Muzakarah yang diperkatakan itu hanya pertemuan biasa atau muqabalah,'' katanya.

29 Julai 2008

Johan Qari dan Qariah diraikan.

IPOH, 28 July :- Johan Qari dan Qariah Perak, Shamsul Ariffin Supian dan Sharifah Khasif Fadzilah Badiuzzaman yang memenangi Ujian Tilawah Quran peringkat Kebangsaan kali ke 51 yang diadakan di Kedah baru-baru ini diraikan dalam majlis Perhimpunan Executive Talk disni hari ini.Sebelum ini Kerajaan Negeri Perak telah mengumumkan untuk menyampaikan penghargaan kepada mereka berdua dengan kesediaan memberikan saguhati kepada mereka setiap orang RM 10,000.

Johan Qari memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al Quran dari Surah al Mulk sebelum majlis bermula.

Johan Qari dan Qariah bergambar kenangan dengan YAB. Menteri Besar , YB. Dato' Dr. Hassan dan Dr. Abdul Rahman Hashim.

Johan Qariah menerima cenderamata.


Johan Qari menerima cenderamata dari MB Perak.

Ir.Nizar : Tunaikan solat.

IPOH, 28 July :- Mari lah kita berikhtiar dengan penuh keikhlasan untuk tunaikan solat 5 waktu yang barangkali sebelum ini ada kecuaian, marilah kita sudahi baki-baki kehidupan yang masih ada dengan sesempurna mungkin. Demikian antara kandungan ucapan YAB. Menteri Besar perak, Dato' Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin semasa menyampaikan kata-kata aluan bersempena Majlis Perhimpunan Executive Talk Bil 3/2008 disini hari ini.

Majlis tersebut mengundang Exco Agama Negeri Selangor, YB. Dato' Dr. Hassan Mohd Ali sebagai penyampai motivasi sebagai sifatnya seorang pakar motivasi yang tidak asing lagi.

Majlis yang dihadiri oleh lebih 1000 kakitangan awam itu turuh dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dato' Dr. Abdul Rahman Hashim, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Jamalludin Al Amini b. Haji Ahmad, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Parlimen, Ahli Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Perak, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta wakil-wakil pegawai-pegawai kerajaan dari seluruh Negeri Perak Darul Ridzuan.

Ir. nizar juga mengharapkan supaya dijadikan solat yang merupakan tiang seri dalam agama itu sebagai benteng diri semua pihak dari unsur-unsur fahsya dan mungkar sebagai langkah mempersiapkan diri bertemua dengan Allah SWT.

Diakhir ucapannya, berliau mengharapkan kepada yang hadir untuk menyampaikan seruan yang diberi kepada orang bawahan di tempat masing-masing.

Terang lagi bersuluh...

Umno Perak hari ini menawarkan kerjasama dengan Pas untuk membentuk kerajaan negeri itu sebagai Menteri Besar kononnya sebagai langkah permulaan ke arah penyatuan kedua-dua parti berkenaan.

Namun saya berpandangan ini adalah suatu bukti nyata, terang lagi bersuluh bahawa cerita dan gimik mantan MB itu yang mengatakan diserata ceruk negeri bahawa akan berubahnya tampuk pemerintahan pada 31 Ogos sebagaimana dicanang adalah rekaan semata-mata.

Kalaulah itu suatu realiti yang telah disebutkan kepada rakyat dan tersiar dimedia, mana mungkin perlu tawarkan diri untuk bergabung dengan parti PAS. Tunggu sahaja tarikh tersebut apalagi hanya sebulan lebih sedikit saja.

Setahu saya usaha yang dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab ini semakin nampak kegagalannya. Dari tawarkan harga serendahnya RM 5 juta, naik sehingga RM 15 juta, naik lagi kepada RM 20 Juta dan paling tinggi RM 30 Juta. Semuanya tawaran jijik dan kotor dan benar-benar rasuah seperti yang dilaporkan oleh Setiasaha BBC yang juga ADUN Canning dan rakan-rakan lain kepada BPR.Kami tidak sambut malah kami semakin hari semakin berpegang kuat kepada amanah meneraju Kerajaan Perak dengan pakatan Rakyat ini.

Tawaran untuk saya cuma dicuba melalui pemandu, kata pemandu saya kepada yang menalifon itu "hubungi YB sendiri la"namun sekali sahaja mereka manalifon dan terhenti disitu dan sampai sekarang saya tidakpun dihubungi oleh mereka, tidak sempat sebut harga cuma main acah-acah saja.

Tajol Rosli Ghazali, berkata tawaran itu bagi menyahut saranan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Umno dan Pas dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak, termasuk bukan Islam.
Yang diminta oleh PAS ialah Bubarnya UMNO dan bersama dengan PAS yang telah meletakkan Islam sebagai dasarnya dasarnya. kalaupun PAS dibubarkan sama tentu sekali dasar PAS yang akan diletakkan kembali tidak lain Islam yang kita yakini sekarang. PAS yang baru akan sama dengan PAS yang lama.
Realitinya kenyataan Mursyidul Am adalah supaya semua orang melayu berjuang dengan nama Islam bukan dengan nama Melayu, yang telah diterima oleh rakan dalam PR iaitu DAP. Sudah lama PAS berjuang dengan nama Islam, segala tomahan dan momokan untuk menakutkan PAS kepada orang Cina dan India ternyata gagal setelah 50 tahun. Sebelumnya isue ini memenangkan BN dan mengalahkan kami. Sampai pada satu tahap orang Cina dan India sudah tidak percaya lagi.
Kali ini Nik Aziz ingin menyelamatkan Malaysia dan orang Melayu yang tersasar jauh dari ajaran agamanya. Kalaulah UMNO bubar dan bergabung dengan PAS, PAS itulah yang telah diterima oleh orang Cina dan India dalam PR yang lepas, iaitu yang menggunakan Islam sebagai dasarnya.
Bukan hendak menduga namun sudah kedengaran dari pimpnnan UMNO sendiri, mustahil mereka menerimanya. Saya juga menduga perkara demikian.

Tawaran dari Umno dengan 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta seorang dari MCA untuk bekerjasama dengan PAS yang mempunyai 6 Adun bagi membentuk kerajaan negeri berlaku seawalnya di malam kejatuhan BN dalan PR ke 12 pada 8 Mac yang lalu.

Kalimat yang sama pada malam tersebut diucapkan lagi oleh Tajol Rosli, hari ini katanya,“Umno Perak sanggup menerima Menteri Besar dari Pas". Beliau juga pada masa itu dan pada hari ini sekali lagi menawarkan kepada PAS jawatan Exco.

InsyaAlah kerajaan Negeri perak Pakatan Rakyat yang ada sekarang akan terus kekal. "Peluru getah "yang cuba dihalakan kepada kami pasti tidak akan menumbangkan kerajaan ini. InsyaAllah.

Semua Adun BN Pulau Pinang keluar Sidang DUN

GEORGETOWN, 28 July :- Semua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) bertindak keluar Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tidak berpuas hati dengan sikap Exco Kerajaan negeri, Phee Boon Poh (DAP-Sungai Puyu) yang enggan memberi laluan bertanya soalan ketika sesi penggulungan, petang tadi.

Mereka keluar dewan kira-kira jam 6.10 petang, iaitu kira-kira setengah jam sebelum persidangan ditangguhkan. Anggota BN akan masuk semula ke dewan apabila sesi penggulungan bersambung hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim, berkata mereka bertindak keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan sikap Phee yang tidak membenarkan wakil rakyat pembangkang bertanyakan soalan atau meminta penjelasan.

Katanya, tindakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang negeri itu sebagai pengecut kerana tidak berani menerima soalan daripada pembangkang.

Beliau berkata selama 18 tahun menjadi wakil rakyat, tidak pernah berjumpa dengan Exco yang begitu penakut untuk menerima soalan dari wakil rakyat pembangkang pada sesi penggulungan.
"Beliau yang berpengalaman dalam persidangan DUN tidak sepatutnya bertindak demikian. Jelas menunjukkan yang beliau hanya pandai bercakap besar di dalam dewan tetapi berhati kecil untuk menerima soalan.

"Beliau sepatutnya memberi ruang untuk kami bertanya kerana ia membabitkan kepentingan rakyat," katanya.

Azhar berkata, beliau kecewa kerana Phee kerana hanya memberi peluang kepada wakil rakyat pembangkang bertanya.

Namun begitu tindakan yang dilakukan oleh Phee adalah hak nya sendiri yang sah dari segi peraturan persidangan, samada dia ingin memberi laluan atau tidak.

Kejadian yang berlaku untuk sidang DUN di Pulau Pinang hari ini melengkapi kejadian tindakan pembangkang keluar dewan di beberapa negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat .

Sidang DUN di Perak dan Kelantan menyaksikan pembangkang keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan speaker, namun sekali ini lain pula kerana tidak puasa hati dengan exco yang tidak memberi laluan, pembangkang mengosongkan kerusinya di Sidang DUN Pulau Pinang.

28 Julai 2008

Mercedes : Guna terus pun tidak ada masalah !

Ahli Exco dan pegawai kanan Kerajaan Terengganu akan menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi buat sementara waktu sehingga selesai siasatan kes perbelanjaan penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pada masa ini, Perdana V6 itu tidak dapat digunakan semula kerana BPR telah mengambil kereta-kereta berkenaan untuk tujuan siasatan.

''BPR telah ambil kereta Proton Perdana V6 Executive yang digunakan Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri. Jadi mereka kena pakai dululah (kereta Mercedes). Perdana Menteri pun kata sekali-sekala boleh pakai kereta Mercedes ini," ujarnya.


Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam dan ramah mesra dengan pemimpin empat sayap bahagian-bahagian UMNO di sini malam tadi.


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dua hari lepas menegaskan kesemua 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor yang telah dibeli kerajaan Terengganu hanya untuk kegunaan membawa tetamu-tetamu kerajaan negeri dan keputusan itu adalah muktamad.


Saya berpandangan kalau kereta itu digunakan teruspun tidak ada massalahnya kerana ianya sudah menjadi milik sah kerajaaan negeri. Ia dibeli dengan sah bukannya dicuri.

Cuma pertikaian mengenai pengunaaan untuk tamu adalah sesuatu yang boleh di tafsirkan kembali. Adakah ramai sangat tetamu yang datang ke Terengganu sehingga melayakkan 14 buah kereta itu tidak dijual dan disimpan hanya untuk tujuan tersebut saja.

Manalah tahu orang yang datang jumpa dan berurusan dipejabat SUK semuanya dianggap tamu dan melayakkan mereka dihantar balik pakai Mercedes ?

Sebenarnya persoalan dan percaturan mengenai kereta di Terenganu ini adalah percaturan dua pihak iaitu kumpulan Idris Jusoh yang ditolak oleh istana untuk menjadi MB dan kumpulan Ahmad Said yang mendapat restu istana. Saya jangka kalaulah Idris jadi MB beli apapun tidak jadi masalah termasuk membazirkan wang ratus juta ringgit.
Sebab itulah Ahmad Said sudah habis-habisan dengan segala hujah dan fakta adakah pekeliling perbendaharaan dan lainya, tetapi tetap ditolak.

Nasib kamulah Ahmad Said.......Sabar saje la.....

Ann Wan Seng : Orang Melayu lambat berubah.

IPOH, 27 July :-Orang Melayu ambil masa untuk berubah, sebab itu calon Melayu yang bertanding di kawasan majoriti Cina, namun saya rasa pelik ada calon Melayu bertanding dikawasan Melayu tidak menang. Demikian antara ucapan Sdr. Ann Wan Seng semasa membentang kertas kerja dalam Konvensyen PAS Perak ke 13 disini hari ini.



Beliau juga berkata dan mempersoalkan kenapa hanya Cina sahaja dipanggil Cina Muaalaf bila masuk Islam, sedangkan orang India dipanggil India Muslim bila mereka masuk Islam, sambil disambut dengan gelak-ketawa dari hadirin.

Katanya lagi, Kalau orang Melayu pergi ke negeri China dia akan dipanggil muaalaf kerana dinegeri China jumlah orang Islam disana ikut maklumat yang saya dapat berjumlah 130 Juta orang.

Ann Wan Seng menyarankan supaya PAS mengadakan program dan kerjasama dengan Ahli Perniagaan Cina. Katanya lagi maklumat mengenai orang Cina mestilah ada untuk mendapatkan sokongan multiracial khusus dari orang Cina.

Orang bukan Melayu mempunyai kesedaran politik yang tinggi termasuk dalam isu rasuah. Sedangkan orang Melayu sangat sensitif dengan skandal seks.

Beliau berpendapat, kalau kita hendak "tackel" orang cina kita kena memahami budaya orang Cina. Antaranya kita belajar dari akhbar Cina dan ambil seorang yang boleh baca akhbar Cina.

Nik Aziz: Bubar Umno dan PAS, tubuh parti baru

MACHANG, 27 July :-Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mencadangkan supaya Umno dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam

Beliau berkata Islam menepati semua matlamat perjuangan termasuk politik dan perlu dijadikan asas kepada perjuangan mana-mana parti politik yang inginkan kepada perjuangan sebenar."Umno bubar PAS pun bubar, tubuh parti lain dengan syarat berdasarkan kepada Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan ke-37 di Markaz Dewan Ulama Kelantan (MADU) Machang hari ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Umno tidak ada sebab untuk menolak dasar Islam yang dicadangkan oleh PAS melalui parti itu kerana Islam milik semua kaum termasuk bukan Melayu di negara ini."Kalau tidak kena dengan Islam di mana-mana, cuba beritahu dan kalau Umno itu benar dan tidak bertentangan dengan agama cuba beritahu," katanya ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membayangkan kemungkinan diadakan kerjasama politik dengan PAS suatu masa nanti.

Nik Abdul Aziz berkata dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam."Islam untuk semua kaum, bukan untuk orang Melayu sahaja atau Cina, India dan Orang Putih, semua perlu bersatu di bawah Islam," katanya."

Presiden Teras : Memasarkan politik, merakyatkan pemerintah

IPOH, 27 July :- Hari kedua Konvensyen PAS Perak ke 13 pada hari ini melibatkan dua pembentangan Kertas Keraja. Kertas Kerja yang pertama dibentang oleh Presiden Teras, Hj . Mohd Azmi Abdul Hamid yang berjudul Mamasarkan politik ,merakyatkan pemerintah.

Kertas kerja yang kedua akan dibentangkan oleh Sdr. Ann Wan Seng, berjudul Sokongan mulracial mengekalkan kemenangan.
Antara kandungan kertas kerja yang dibentang oleh Presiden teras ialah pantang larang dalam politik dalam politik Islam iaitu :
1.Merebut jawatan dan melobi untuk jawatan yang dianggap memberi peluang lebih selesa untuk mendapat keistemewaan.
2.Membiarkan aktivis politik dalam keadaan tidak terbina dan berada dalam zon selesa.
3.Lupa diri dengan kuasa dan leka dengan jawatan yang disandang namun tidak menghasilkan kerja yang konkrit.
4.Bersikap sempit dada dan dangkal dalam pemikiran untuk menafaatkan kelompok diluar lengkongan sesama rakan seangkatan.
5.Berputik rasa besar diri dan angkuh dengan kuasa sehingga menyebabkan rakyat mula menyedari dan mengambil sikap bebal terhadap pemerintah dan wadah siyasah yang diceburi.
6.menjalar Firqah sesama sendiri sehingga ujud kema atau berpuak-puak dalam jemaah.
7.Timbul rasa tidak perlu mendengar teguran dan merasa cukup dengan keupayaan sendiri sehingga mengakibatkan rakan yang ikhlas ngin membantu menjauhkan diri.
8.Terjangkit dengan sindrom formaliti dan gaya eliitis yang menyebabkan kemesran dengan rakyat semakin menipis.
Beliau berharap supaya Perak berusaha untuk mewujudkan akademi kepimpinan untuk menentukan hala tuju generasi muda, katanya "pernah satu masa saya dihubungi oleh Pemuda PAS Pusat untuk berbincang mengenai hasrat menubuhkan akdemi pemuda tetapi tidak lagi dihubungi sesudah itu.