Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berikutankenyataannya mengenai peralihan kuasa dalam Umno.Beliau sebaliknya menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menilai sama ada beliau melakukan kesalahan untuk dikenakan tindakan.
Muhyiddin, juga naib presiden Umno berkata, beliau tidak melakukan kesalahan dan hanya menjalankan tugas dalam kabinet dan parti serta menyampaikan pandangan akar umbi, lapor Bernama.
"Bagi saya, saya tidak fikir kenyataan yang saya buat itu luar biasa,membawa beban kepada negara malah tujuan kita adalah untuk memperbaiki, sedarkan, kalau kita tidak buat sesuatu mungkin ada masalah besar akan berlaku.
"Mungkin ada pihak yang tidak suka tengok muka saya dalam kabinet mendesaklah (untuk letak jawatan), tapi dari segi tugas dan tanggungjawab, saya jalankan, apa yang jadi masalah," katanya selepas melancarkan Anugerah Usahawan Wanita 2008 di Kuala Lumpur hari ini.
Rabu lepas, Muhyiddin meminta Abdullah menimbangkan untuk mempercepatkan tarikh peralihan kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang asalnya dijadualkan pada 2010 memandangkan keadaan politik yang tidak stabil di negara dan tempoh itu terlalu lama.
Kenyataan Muhyiddin itu mengundang pelbagai reaksi beberapa anggota Umno yang mengatakan bahawa beliau perlu berundur atau disingkirkan dalam parti jika tidak puas hati dengan tempoh itu. Malahan Abdullah juga dilaporkan terkejut dengan kenyataan itu.
Muhyiddin berkata beliau bagaimanapun menyerahkan kepada Abdullah jika mahu mengambil tindakan terhadapnya berhubung kenyataan itu."Apa pun saya menyerahkannya kepada perdana menteri (Abdullah) kalau kenyataan saya begitu rupa macam mencabar kepimpinan beliau, itu saya serah kepada beliau.
"Bagi saya, saya tidak lakukan apa-apa yang dianggap bercanggah atau dianggap tidak sehaluan, saya hanya suarakan pandangan beberapa pihak tentang situasi sebenar... terserah kepada beliau (Abdullah)," katanya.Muhyiddin turut menafikan dakwaan yang kenyataannya itu dibuat di khalayak ramai pada satu persidangan di Singapura dan berniat untuk memburukkan imej Malaysia di negara jiran,
lapor agensi berita itu lagi."Kenyataan yang saya buat di Singapura bukan di khalayak ramai dalam persidangan, itu tidak saya lakukan. Semasa persidangan saya cakap tentang Malaysia, promosikan negara dengan beberapa kejayaan. "Kenyataan itu dibuat dalam satu sidang akhbar yang sebahagiannya adalah media Malaysia, saya menjawab pertanyaan dari media mengenai tempoh peralihan kuasa itu.
"Saya sebutlah walaupun sudah diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) tetapi saya tak dapat elak dari menerima pandangan dari akar umbi yang mengatakan tempoh itu agak lama dan kalau boleh dipercepatkan sebab itu saya buat statement, mungkin presiden parti hendak memikirkan semula, tiada kenyataan nak suruh(Abdullah) berhenti," katanya.
Muhyiddin berkata masyarakat tidak perlu rasa sensitif terhadap pelbagai kenyataan kerana perdana menteri mengamalkan sikap keterbukaan dan ketelusan serta berhak untuk menyuarakan pandangan masing-masing.
"Kalau kita sudah tahap matang dalam demokrasi sepatutnya kita cuba lihat bagaimana hak itu dapat digunakan dengan bijaksana bukan merosakkan. Saya berhak bersuara walaupun saya adalah naib presiden, menteri dan sebagai rakyat saya terima banyak pandangan, perlu ada tempoh masa sesuai supaya bakal pengganti ada masa untuk merangka, atur strategi dan mengambil langkah-langkah untuk perbaiki keadaan," katanya.
Mengenai kenyataan Najib, juga timbalan presiden Umno, yang menyerahkan kepada anggota parti untuk memutuskan mengenai peralihan kuasa, Muhyiddin berkata ia menunjukkan bahawa Najib bersikap terbuka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan