19 September 2008

UMNO sendiri tidak sebulu mengenai ISA

PUTRAJAYA: Para pemimpin Umno sendiri, khususnya jemaah kabinet Pak Lah semakin bercelaru dan kelihatan benar-benar tidak sependirian, malahan bertelagah sesama sendiri berhubung penahanan tiga mangsa terbaru di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bagaimanapun pujian harus diberikan pada Dato Zaid Ibrahim yang terus mempertahankan pendiriannya yang bertentangan dengan tindakan kerajaan menahan wartawan Sin Chew Daily, blogger RPK dan Exco Selangor Teresa Kok.

Ekoran itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang dipilih dan dilantik menjadi Senator oleh Pak Lah itu kehilangan jawatannya kerana tidak sebulu dengan tindakan diambil. Nampaknya kalangan anggota kabinet Umno/BN sendiri pun seakan bersetuju Zaid ‘dipecat’.
Pak Lah mengumumkan menerima perletakan jawatan oleh Zaid. Beliau menghantar surat perletakkan jawatannya Isnin lepas.

Zaid bagaimanapun terus mempertahankan pendiriannya untuk meletakkan jawatan sambil berkata, tindakannya itu bagi mengelakkan bertambahnya masalah pada Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sedang berhadapan dengan pelbagai konflik dalaman Umno dan cabaran lain.

Pada sidang medianya, Zaid berkata, beliau gagal membuat pembaharuan dalam sistem kehakiman dan perundangan Negara kerana seringkali berhadapan dengan “tentangan” daripada anggota cabinet dan Umno terhadap cadangan yang dikemukakannya.

“Saya bukan keletihan. Saya hanya kecewa,” katanya sambil mengucapkan terima kasih pada Pak Lah yang menyarankannya bercuti dahulu.

“Saya tidak peduli siapa. Saya hanya mahu melihat perubahan,” kata Zaid ketika diajukan soalan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membuat perubahan – jika beliau berjaya tubuhkan kerajaan.

“Beliau (Anwar) belum bentuk kerajaan. Tak kiralah siapapun sama ada Pak Lah, DS Najib, Tengku Razaleigh Hamzah, Muhyiddin (Tan Sri) atau Anwar, katanya sambil menegaskan selama enam bulan menjadi Menteri beliau menghadapi pelbagai tuduhan kononnya tidak memperjuangkan hak Melayu dan Islam dan menghadapi pelbagai kritikan lain di Parlimen.

Sambil menyebut Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman sebagai salah seorang pengkritik, Zaid berkata, beliau telah mencuba tetapi gagal menyakinkan mereka yang berkuasa untuk membuat perubahan kesaksamaan sepertimana tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan agar kerajaan boleh maju ke depan.

Antara isi kandungan surat perletakan jawatannya, Zaid menyebut bahawa beliau mengariskan beberapa kekecewaannya dalam usaha membuat pembaharuan itu dan yang terbaru berhubung dengan penahanan tiga mangsa terbaru di bawah ISA itu.

Tiada ulasan: