17 Disember 2008

PAS mahu tindakan telus dalam pencegahan rasuah

KUALA LUMPUR, 15 Dis - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa meminta agar kerajaan mengamalkan dasar dan tindakan yang lebih telus dalam pelaksanaan rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata demikian dalam perbahasan rang undang-undang SPRM di Dewan Rakyat hari ini.

"Lembaga Penasihat yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong seramai tujuh orang merupakan jumlah yang sedikit dan tidak mewakili segmen utama dalam masyarakat, sebagai contoh mempelbagaikan segmen dan bidang iaitu segmen agama,"katanya kepada sidang dewan.

tegasnya, ini disebabkan jenayah rasuah itu sendiri bukan sekadar kesalahan dari sudut undang-undang bahkan juga merupakan kesalahan dari segi agama.
Beliau turut mengulas pelantikan lima orang ahli jawatankuasa aduan dalam SPRM oleh menteri yang dianggap tidak bebas.

"Ia tidak sepatutnya dilantik oleh menteri bagi memastikan ia benar-benar bebas," ujarnya.

Dalam pada itu, Nasharudin sempat menempelak Umno-BN yang kini sedang giat memberikan habuan wang kepada penduduk terengganu menjelang Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari akan datang.

"Kita lihat kini rakyat Terengganu dibayar royalti sebanyak RM400 juta, rasuah kah ini? kerana rasuah merupakan suapan untuk tujuan tertentu.

"Sinonimnya keadaan ini berlaku sebaik sahaja PRK diumumkan di Kuala Terengganu seolah-olah ianya merupakan rasuah berskala besar kini telah diterima umum sebagai norma sebaik sahaja tibanya pilihan raya kecil," katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau juga menegaskan ia merupakan perilaku kerajaan pusat yang sering menyalah gunakan kuasa dalam PRK seperti mana sebelum ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membacakan rang undang-undang SPRM buat kali kedua.

Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan keupayaan BPR sedia ada dengan menambah 5,000 anggota dalam tempoh lima tahun bagi membantu BPR mempercepat proses penyiasatan dan memberi perkhidmatan pencegahan rasuah yang lebih baik kepada masyarakat.mr - HarakahDaily_