10 September 2010

PAS kecam Mahathir tuduh jual agama

30 Ramadhan 1431H.
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Sept: PAS mengecam Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh parti itu menjual agama untuk kepentingan politik sedangkan hakikat yang berlaku Umno yang perkudakan Islam untuk mencapai cita-cita politik.

“Tun Mahathir melahirkan kemarahan kepada PAS kerana insya Allah PAS akan mengganti Umno sedikit masa lagi,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, Mahathir sedar generasi baru hari ini mual dengan Umno, dan telah menjadikan PAS pilihan mereka dalam perjuangan walaupun bapa mereka ‘berkarat biru’ macam bekas perdana menteri itu.

“Kenapa PAS menjadi pilihan mereka, tidak lain dan tidak bukan kerana dasar Islam yang menjadi teras perjuangan PAS yang sentiasa segar, berbanding dengan dasar Umno yang sudah lapuk dan berkulat,” ujarnya.

Menurutnya, mereka yang menyokong Umno termasuk anak-anak Mahathir adalah mereka yang hanya berkepentingan untuk memenuhi tembolok dan perut sahaja sementara perjuangan untuk membela agama dan bangsa memang jauh ke belakang.

Justeru, tegasnya PAS menyangkal tuduhan Mahathir yang menyamakan PAS bekerjasama dengan bukan Islam sama seperti Umno dalam Barisan Nasional.

“Untuk maklumat Tun, PAS bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dalam bentuk tahalluf yang tidak menggadaikan prinsip Islam yang PAS bawa sejak ditubuhkan.

“Umno berkawan dengan orang bukan Islam sehingga menggadaikan prinsip Islam. Selama 53 tahun Umno dalam kerajaan BN gagal mempertahankan Islam, malah imej Islam semakin buruk pada pandangan orang bukan Islam, rakan-rakan dalam parti komponen,” jelasnya.

BN, katanya semakin keliru pemahaman Islam mereka walaupun mereka lihat setiap tahun musabaqah al-Quran diadakan di negara ini tetapi isteri pemimpin Umno daripada muda sampai tua tidak menutup aurat.

Tambahnya, kalau perkara yang kecil macam itu pun Umno gagal memahamkan rakan-rakan BN, apakah lagi perkara yang lebih besar.

PAS, ujarnya ingin menegaskan dalam kerjasama politik yang pernah dilalui oleh PAS sejak kerajaan campuran Barisan Nasional, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, semuanya mengangkat martabat Islam.

Kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat telah berlaku proses Islamisasi yang lebih baik walaupun usia tidak sampai 3 tahun berbanding dengan Umno yang berkuasa lebih 53 tahun.

Justeru, tambahnya PAS mengharapkan Tun Mahathir masih normal dalam membuat penilaian dan perbandingan kejayaan PAS berbanding dengan Umno.

“Apakah Tun Mahathir sakit hati apabila masjid di bawah kerajaan Pakatan Rakyat penuh dengan majlis ilmu sedangkan masjid di bawah kerajaan Umno sudah menjadi kubur?

“Bukankah masjid zaman Tun berkuasa dahulu masjid dibelenggu, ahli jawatankuasa yang aktif dipecat dan diganti dengan AJK yang bukan ahli masjid yang rendah moral dan akhlak?” soalnya.

Katanya, bekas perdana menteri itu bertindak kerana masjid telah menjadi medan penyebaran ilmu yang merugikan Umno terutama selepas keputusan pilihan raya umum 1999.

Katanya lagi, Tun Mahathir juga pertikai kenapa PAS menyokong orang bukan Islam masuk ke masjid dan surau.

Jelasnya, PAS berpendirian demikian bukan kerana PAS membelakangkan hukum agama di mana sebelum satu keputusan hendak dibuat, PAS merujuk pada hukum dahulu, bukan menyatakan secara membuta tuli sahaja.

Pendirian itu, katanya selari dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 1 Mac 2010.

“Tun perlu jujur, apakah tidak ada wakil rakyat BN yang masuk ke masjid?

“ Apakah hukum menjadi halal kalau wakil rakyat bukan Islam daripada BN masuk ke masjid dan berubah menjadi haram kalau daripada DAP, feqah mana yang Tun rujuk?” tanya beliau.

Secara sinis, katanya memanglah ‘feqah Umno’ bukan sahaja orang bukan Islam daripada DAP tidak boleh masuk, malahan ustaz PAS seperti Datuk Dr Haron Din, almarhum Datuk Ishak Baharom, Datuk Ismail Kamus pun tidak boleh masuk ke masjid atau surau untuk memberi ilmu kerana mereka ‘ulamak politik’.

“Kalau ustaz Umno bercakap supaya sokong Umno itu tidak politik, kalau cakap sokong Islam, maka ini politik,” ujarnya lagi.

Mengenai Mahathir membangkitkan PAS sudah tidak mahu kepada hudud sejak berkawan dengan DAP, beliau mempersoalkan adakah sekarang bekas perdana menteri itu pula menyokong hudud.

Katanya, mungkin Mahathir sudah lupa surat amaran yang pernah beliau hantar kepada kerajaan Kelantan supaya jangan melaksanakan kanun jenayah syariah di negeri itu.

“Malahan menuduh ini hudud PAS, bila dicabar pula mana hudud Umno sampai hari ini tidak timbul-timbul. Bukankah sebagai seorang Islam semacam Tun yang sudah meningkat umur tidak sepatut berfikiran begitu,” ujarnya lagi.

4 ulasan:

abusumaiyah berkata...

1. Umat Islam tak perlu bimbang, kerana segala keputusan politik yang diambil oleh PAS telah dibincang dengan teliti oleh Dewan Ulamak dan Majlis Syura serta dibahas semasak-masaknya oleh Lajnah Politik…., supaya segala keputusan yang dibuat adalah demi kepentingan umat Islam dan yang lebih penting ianya tidak bercanggah dengan kehendak islam. Oleh kerana itu, hujah yang mempersoalkan kenapa PAS bersetuju untuk tidak membincangkan soal pelaksanaan hukum hudud dalam PR sekarang ini tidak timbul, kerana ini hanya akan membantutkan usaha untuk menggantikan BN bagi mentadbir negara!

2. Hujah yang mengatakan bahawa DAP akan memerintah negara jika BN & umno tumbang adalah cerita dongeng yang dicipta umno sebagai propaganda untuk menakut-nakutkan umat Islam supaya tidak menyokong PR. DAP pasti tidak akan mengetui pemerintahan kerajaan PR walaupun ditakdirkan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan. Ini adalah kerana DAP hanya akan bertanding di 46 kawasan parlimen sahaja. Jika umno tewas, yang akan menang ialah PAS/PKR(calon melayu)...bukannya DAP! Jadi, jumlah kerusi yang dikuasai oleh orang melayu tak akan terjejas, malah akan bertambah kerana beberapa kerusi BN yang ditandingi MIC dan MCA (kawasan majoriti melayu) akan ditandingan oleh calon melayu samada oleh PAS atau PKR.

Tanpa Nama berkata...

"hujah yang mempersoalkan kenapa PAS bersetuju untuk tidak membincangkan soal pelaksanaan hukum hudud dalam PR sekarang ini tidak timbul, kerana ini hanya akan membantutkan usaha untuk menggantikan BN bagi mentadbir negara!"

Inilah yang saya kesalkan selepas menuduh umno kafir kerana tidak melaksanakan hudud. sekarang pas sama seperti umno tiada beza

Tanpa Nama berkata...

Dinasihatkan orang-orang melayu jangan terpedaya atau jangan mudah tertipu dengan cerita yang dibawa oleh umno/bn, sekarang ini parti reput itu sudah tidak berdaya mempertahankan kekuasaan mereka yang selama ini menjadi kepercayaan khurafat sebahagian orang melayu, yang memegang teguh bahawa "hanya umno sahaja yang boleh menjaga kepentingan orang melayu dan layak memerintah". Benting kepercayaan ini telah dan perlu dirobohkan, yangmana membuatkan orang umno seperti mahathir merasa resah dan gelisah. Hancurkan umno, kerana pemimpin mereka lah yang menjadikan Islam semakin terpinggir dan sistem-sistem yang dibentuk dibawah undang-undang diperkosa,kemuliaan sistem raja berpelembagaan telah dikucar-kacirkan dan orang melayu semakin LAYU dibumi sendiri.

Kejayaan umno ialah melahirkan umat melayu islam jauh dari agama mereka , contohnya dengan
berkembang biaknya orang islam yang meninggalkan sembahyang, meninggalkan agama (murtad), penageh dadah, kelahiran & pembunuhan anak luar nikah, bermacam-macam lagi keruntuhan akhlak yang umno tidak dapat lagi melarikan diri akibat dari kerjabuat mereka itu. Jika umno tiada dimukabumi ini orang melayu lebih baik dan mempunyai jatidiri yang lebih kuat, yakin lah. oleh itu marilah kita sama-sama berusaha melenyapkan kuasa umno dalm PRU 13 nanti. Insah Allah. SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA IDUL FITRI.

Tanpa Nama berkata...

Kepada pengulas kedua saya sarankan supaya banyakan lagi membaca kitab-kitab feqah ulamak tersohor dunia dalam kaedah memerintah negara, berhubung dengan kerjasama "tahaluf siasi" yang diajar dan kaedah-kaedah yang perlu diambil, bukannya hanya melihat sesuatu issu sahaja, saya rasa biar anda kesal (sebagaimana yang anda nyatakan) asalkan Nabi Muhammad tidak kesal dengan apa yang dilakukan oleh umatnya. Seperkara lagi umno/bn telah memerintah negara selama 53 tahun dan memang telah terbukti mereka tidak mahu kepada hukum islam, tetapi PAS belum pun memerintah bagaimana anda boleh berkata 'sekarang pas seperti umno tiada beza', celekkan mata dan mata hati anda, gunakan otak dan bukakan minda serta terus berfikir dan nilaikan dengan keilmuan bukan menilai dengan perasaan. Jika hendak dibandingkan umno dengan pas terlalu jauh bezanya, bukan ruang ini tempat yang sesuai untuk kita berbicara. wallahualam.