21 Mei 2011

Jet NATO bedil lapan kapal Libya

18 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


TRIPOLI - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semalam menyatakan jet-jet pejuangnya menyerang lapan buah kapal tentera laut Libya selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama meramalkan pemimpin negara ini, Muammar Gaddafi akan berundur atau digulingkan.

Pihak berkuasa Libya mengecam komen Obama sebagai tidak munasabah selain menafikan laporan bahawa isteri termasuk anak-anak perempuan Gaddafi telah lari ke Tunisia. Pegawai-pegawai Libya juga menafikan Menteri Minyak, Shukri Ghanem telah berpaling tadah.

ASAP daripada kebakaran menjulang tinggi selepas sebuah kapal tentera laut Libya dibedil jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sebuah pelabuhan di Tripoli 

"NATO meneruskan serangan udara yang tepat terhadap tentera Gaddafi dalam tempoh semalaman dengan serangan mengenai tentera Gaddafi di Pelabuhan Tripoli, Al-Khums dan Sirte," kata kenyataan NATO.

"Serangan pesawat-pesawat NATO mengenai lapan kapal perang tentera Gaddafi," tambahnya.

Beberapa letupan didengar di ibu kota Libya di sini awal semalam beberapa jam selepas serangan udara berkenaan menyasarkan pelabuhan negara ini dengan sebuah kapal masih terbakar.

Seorang pegawai NATO, Laksamana Muda Russell menyatakan, semua sasaran serangan udara NATO tersebut adalah sasaran ketenteraan.

Namun, jurucakap pemerintah Libya, Mussa Ibrahim mendakwa NATO cuba menakutkan firma-firma perkapalan antarabangsa daripada berlabuh di pelabuhan yang dikuasai pemerintah.

"Apa jua kapal yang dibedil, ia adalah mesej jelas NATO kepada syarikat-syarikat perkapalan antarabangsa supaya tidak lagi menghantar kapal-kapal mereka ke Libya," kata Ibrahim dalam satu sidang media di sini.

NATO yang turut disertai tentera AS campur tangan dengan melancarkan serangan di Libya atas alasan menguatkuasakan zon larangan terbang seperti yang dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengelak Gaddafi menyerang orang awam.

Tentera Gaddafi kini berdepan dengan kumpulan pemberontak dalam pertempuran yang berlaku sejak 15 Februari lalu.

Para pemberontak itu yang terpengaruh dengan kejayaan kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir mahu gaddafi meletakkan jawatan selepas beliau berkuasa sejak 1969. 

Agensi

1 ulasan:

Mehmed - berkata...

sungguh dahsyat !