18 September 2011

Mansuh ISA: Kerajaan perlu penuhi syarat ‘taubat’

20 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 18 Sept: Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Razali menegaskan bahawa kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Umno sekarang hendaklah memenuhi syarat ‘bertaubat’ sebelum ianya diterima.
Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Malaysia dalam satu perutusan kelmarin yang mengambil keputusan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia.
“Kita mengalu-alukan tindakan tersebut tetapi kita juga mendesak tidak akan undang-undang yang baru pada masa yang akan datang yang mempunyai matlamat dan pendekatan yang sama diwujudkan untuk menggantikan ISA, jangan bertukar kulit sahaja tapi isi tetap serupa,” ulas beliau ketika dihubungi semalam.
Katanya, kerajaan Malaysia yang mengambil keputusan untuk memansuhkan ISA hendaklah memenuhi sekurang-kurangnya empat syarat ‘taubat’ sekiranya mahu membuktikan keikhlasan kerajaan.
Menurutnya, syarat taubat yang pertama ialah kerajaan hendaklah benar-benar menyesal terhadap segala dosa yang telah dilakukan sebelum ini khususnya terhadap mangsa-mangsa kezaliman ISA yang telah terseksa di atas kehilangan orang yang dikasihi di dalam kehidupan mereka, apatah lagi mereka ditahan tanpa sebarang perbicaraan yang adil.
Tambahnya, syarat taubat yang kedua ialah kerajaan hendaklah berazam dan bertekad tidak mengulangi kezaliman yang telah dilakukan sebelum ini.
Kata beliau, ianya bermaksud jangan ada lagi undang- undang yang menyerupainya ataupun hampir menyerupainya, juga bermaksud kerajaan juga wajib memansuhkan semua undang-undang yang menzalimi rakyat dan menyekat kebebasan rakyat.
Beliau berkata, syarat taubat yang ketiga ialah kerajaan hendaklah meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya terhadap para mangsa ISA yang menderita selama ini kerana kezaliman undang-undang tanpa bicara itu.
Syarat taubat keempat, ujarnya ialah mengembalikan hak kepada mereka yang berhak.
Ini, jelasnya bermaksud kerajaan wajib membebaskan seluruh tahanan ISA segera tanpa sebarang syarat.
Ini juga, katanya termasuk pampasan dan gantirugi yang sewajarnya hendaklah dibayar kepada para tahanan ISA sekiranya masih hidup atau kepada pihak waris sekiranya tahanan ISA itu telah meninggal dunia.
“Dan syarat yang paling penting walaupun ianya berkaitan dengan hati dan tidak dapat diukur dengan zahir, yang mana ianya telah diletakkan oleh para ulama ialah pemansuhan ISA ini mestilah dilakukan kerana ingin mencapai keredhaan Allah SWT dan bukannya kerana ingin memancing undi atau kepentingan politik singkat dan terdesak sahaja untuk mengekalkan undang-undang jahiliah yang bukan datang daripada Allah SWT, apatah lagi kita sedang berada di gerbang pilihanraya umum yang ke-13,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas, bukan sahaja ISA yang dimansuhkan bahkan semua undang-undang yang zalim hendaklah dimansuhkan dan digantikan dengan keadilan Islam.

Tiada ulasan: