17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut cukup yakin Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, ini bakal berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat.
Katanya, berdasarkan senario semasa politik negara hari ini, Terengganu juga akan dimenangi oleh PAS pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, kerajaan PAS pernah memerintah Terengganu sebanyak dua kali iaitu pada pilihan raya pertama tahun 1959 dan PRU10 tahun 1999.
“Kita (PAS) di Terengganu pernah menang dua kali. Kita menang Pilihan Raya Pertama tahun 1959 dan menang kali kedua tahun 1999 dan Insya’Allah, kita (PAS) hendak menang kali ketiga (PRU13) ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dana Pilihan Raya Umum PAS Kawasan Besut.
Majlis Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di Sweet Beach Resort, Semerak Pasir Putih, Kelantan, semalam.
Namun kata Abdul Wahid, kemenangan tersebut perlu diperolehi bukan kerana kelemahan Umno dan Barisan Nasional tetapi atas kekuatan PAS sendiri.
Menurutnya, seluruh jentera parti hari ini sedang bekerja ke arah mencapai kemenangan tersebut.
“Kita (PAS) hendak menang bukan atas kelemahan Barisan Nasional tetapi atas kekuatan PAS sendiri. Kita (PAS) sedang bekerja ke arah untuk mencapai kemenangan pada PRU13, Insya’Allah,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mendakwa PAS negeri telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya (PRU13) sejak bulan November 2011.
Katanya, Umno-BN tidak berani untuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat ini kerana parti itu hilang sokongan rakyat.
Menurutnya, seluruh rakyat terutama di kalangan pengundi Tionghua (Cina) dan India sepakat menolak Umno dan kerajaan BN.
“Umno-BN tidak berani hendak buat pilihan raya dalam masa terdekat ini. Kita (PAS) telah siap sedia sejak bulan November 2011 lagi.
“Kita (PAS) juga bersiap untuk pilihan raya jika bulan Mac 2012 ini. Mereka (BN) telah kehilangan sokongan rakyat secara umum terutama orang (pengundi) Cina dan India,” jelasnya.
Katanya, banyak faktor yang menyebabkan Umno-BN tidak berani mengadakan pilihan raya tersebut seperti kes Dato’ Seri Anwar, Laporan Audit Negara, projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) dan banyak lagi.
Antara pimpinan PAS yang hadir pada majlis tersebut Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, Ketua Muslimat PAS Terengganu, Cikgu Safinah Jusoh, Setiausaha Muslimat PAS Terengganu, Raja Endut Raja Abdul Rahman dan Adun Limbungan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat. HDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan