30 January 2014

Penempatan Orang Asli Kelantan diwarta

28 Rabiul Awal 1435H.
KOTA BHARU:Mana-mana kawasan yang didiami penduduk Orang Asal akan diwartakan sebagai kawasan penempatan mereka, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Katanya, Kelantan merupakan negeri negeri pertama di negara ini mengambil langkah tersebut bagi memastikan kehidupan masyarakat Orang Asal lebih terbela.

“Sehingga sekarang dua penempatan sudah diwartakan termasuk Pos Jedip di Gua Musang. Dua lagi kawasan yang baru dilulus di peringkat jawatankuasa.

“Kerajaan negeri mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi mengenal pasti lokasi-lokasi lain,” katanya di sini.


Baru-baru ini beberapa akhbar dan media elektronik mendakwa kampung Orang Asal di Kuala Koh disodok bagi aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah.

Laporan itu mendakwa kira-kira 70 keluarga Orang Asal suku kaum Batek di penempatan tersebut terancam dengan aktiviti tersebut.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah dan Sumber Asli berkata, selepas lokasi dan keluasan dikenal pasti kerajaan akan mengangkat kertas cadangan untuk digazetkan.

Beliau juga memberitahu setakat ini tidak ada projek pembangunan ladang atau pembalakan dilulus di kawasan penempatan Orang Asal di Kelantan.

“Kalau ada penempatan Orang Asal kerajaan negeri tidak lulus sebarang projek. Kita terlebih dahulu mendapat laporan Pejabat Tanah dan Jajahan, PTG dan agensi-agensi berkaitan.

“Begitu juga kawasan hutan simpan tidak dibenarkan sebarang aktiviti. Kawasan hutan simpan juga dijadikan sebagai zon penampang,” katanya.

Beliau juga memberitahu setiap kelulusan bagi projek pembangunan tanah perlu mematuhi syarat ditetapkan termasuk laporan kesan alam sekitar (EIA).

Oleh itu katanya, sekiranya berlaku pelanggaran syarat tersebut agensi penguatkuasa perlu bertindak berdasar bidang kuasa mereka.

No comments: