27 July 2014

PAS Selangor menyokong penuh pendirian tegas Presiden.

29 Ramadhan 1435. [MOD] -

PAS Selangor menyokong penuh pendirian tegas Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI)  sebagai Menteri Besar (MB) Selangor. Pendirian ini telah banyak menghurai kemelut kedudukan TSKI sebagai MB Selangor khususnya dalam menetapkan pendirian dan menyatakan sikap ahli-ahli PAS Selangor dalam menghadapi kemelut ini.


Pandangan TGHH untuk mengekalkan TSKI sebagai MB Selangor dilihat bertepatan dengan kaedah fiqh yang diguna pakai dalam Siasah Syar'yah iaitu segala tindakan pemimpin kepada rakyat adalah berdasarkan kepada maslahah (kebaikan) rakyat itu sendiri. PAS Selangor percaya pertimbangan telah dibuat sematang mungkin bagi menilai semua maslahah (kebaikan) dan mafsadah (kemudaratan) berkaitan pertukaran MB Selangor ini dan meletakkan kepentingan umum (rakyat) melebihi kepentingan yang bersifat khusus yang lain.

PAS Selangor juga memuji sikap PAS Pusat yang telah memanggil beberapa kali semua AJK Badan Perhubungan Negeri Selangor (BPPNS) termasuk ADUN, EXCO dan Ahli Parlimen (MP) di Selangor bagi mendengar sendiri pandangan berkaitan prestasi TSKI sebagai MB Selangor.

PAS Selangor bersetuju dengan pandangan TGHH yang mengatakan segala permasalah yang dibangkitkan tidak langsung melibatkan integriti, khianat dan pecah amanah dan ianya bersifat ruang penambahbaikan yg penting bagi memperkukuhkan lagi kerajaan negeri Selangor bagi terus memantapkan sokongan rakyat Selangor kepada Pakatan Rakyat (PR).

PAS Selangor mengharapkan semua pimpinan dan ahli PAS Selangor mampu untuk terus memberi fokus kepada gerak kerja parti dan khidmat bakti kepada masyarakat khususnya sempena musim perayaan e'dil fitri ini tanpa terganggu dengan mana-mana isu dan polimek.

HJ. ZAIDY BIN ABDUL TALIB
Ketua Penerangan
PAS Negeri Selangor
26/07/2014/ 28 Ramadhan 1435H

No comments: