Memaparkan catatan dengan label tsunami. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tsunami. Papar semua catatan

13 Mac 2011

Tsunami@Jepun - Pantai batu Burok lengang tanpa pengunjung

07 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU – Orang ramai dan pengunjung di Pantai Batu Burok dekat sini dinasihati tidak berada di kawasan pantai sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan ekoran kejadian tsunami di Jepun, semalam.

Pegawai Penguatkuasa Polis Trafik Kuala Terengganu, Mohd Nizam Hanafiah berkata, pihak polis menerima arahan daripada bilik gerakan bencana di Bukit Aman bagi membuat kawalan di sepanjang kawasan pantai sehingga keadaan terkawal.

“Kami akan mengadakan kawalan dari masa ke masa bagi memastikan keselamatan pengunjung di sini memandangkan lokasi ini menjadi tumpuan orang ramai terutamanya pada hujung minggu,” katanya ketika di temui di lokasi, semalam.


Sementara itu , Pengarah Jabatan Meteorologi Terengganu, Azemi Daud berkata, keadaan di sini masih lagi terkawal dan sehingga kini pihaknya masih tidak menerima sebarang arahan amaran kecuali bagi penduduk di kawasan Labuan dan Sabah.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian ke pantai Batu Burok yang dilakukan beberapa minit selepas arahan dikeluarkan mendapati keadaan di sepanjang pantai itu lenggang dan pengunjung mula beredar dari kawasan itu seperti mana yang diarahkan oleh pihak berkuasa. - SH

Tsunami@Jepun - Satu lagi loji nuklear Jepun bermasalah

07 Rabiulakhir 1432H. [MOD] - TERKINI

TOKYO: Satu lagi loji reaktor nuklear dikesan bermasalah apabila sistem penyejuknya tidak berfungsi dan berisiko untuk meletup ekoran gempa bumi kuat melanda, dua hari lalu.

“Semua fungsi untuk menyejukkan paras air di Reaktor No 3 gagal di Loji Fukushima No 1,” kata jurucakap pengendali loji berkenaan, Tokyo Electric Power (Tepco), hari ini.
“Setakat jam 5.30 pagi (waktu tempatan), sistem penyejukan air terhenti dan tekanan dalaman dikesan terus meningkat," katanya.

Beliau berkata, kegagalan logi nuklear itu untuk berfungsi sudah dilaporkan kepada kerajaan untuk tindakan seterusnya. - AFP

Tsunami@Jepun : PM Jepun dikecam kerana bertindak perlahan

07 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan hari ini berdepan kecaman media berikutan tindakan kerajaan yang perlahan bagi menangani masalah kebocoran loji nuklear berikutan kejadian gempa bumi kuat, dua hari lalu.

“Tindakan kerajaan menyampaikan maklumat menimbulkan persoalan," kata akhbar Yomiuri Shimbun dalam ruangan pengarangnya.

Ini berikutan berlaku letupan pada bumbung dan dinding di loji reaktor nuklear Fukushima No 1 yang terletak kira-kira 250 kilometer di utara Tokyo selepas gempa paling kuat melanda serta membawa tsunami, Jumaat lalu.

Kebocoran radiasi dilaporkan berlaku di loji berkenaan tetapi kerajaan cuba mengurangkan ketakutan di kalangan penduduk dengan berkata letupan itu tidak memberi kesan radioaktif.

Namun, menurut akhbar itu, kerajaan mengambil masa lima jam untuk menafikan berlaku kebocoran nuklear di loji berkenaan selepas letupan berlaku dengan mendakwa reaksi yang perlahan itu mencetuskan kekeliruan di kalangan penduduk setempat.

"Adakah ia sudah terlambat," kata Yomiuri.

Akhbar harian Asahi Shimbun juga mengutuk tindakan lembab kerajaan apabila menangguhkan operasi mengeluarkan penduduk dari kawasan loji nuklear yang meletup itu.
Akhbar itu memberi tajuk berita: "Pengurusan krisis lintang pukang. Arahan menyelamat tidak tetap."

Akhbar Mainichi Shimbun juga mengkritik Tokyo Electric Power (Tepco), pengendali reaktor nuklear berkenaan apabila sistem pengurusan krisisnya tidak berkesan apabila berdepan nahas.

Akhbar itu memberi tajuk: “Ini adalah di luar daripada bayangan fikiran kita." - AFP

Tsunami@Jepun - PM Jepun Arah Operasi Menyelamat Besar-besaran

07 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Tokyo - Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan (gambar) semalam mengarahkan operasi menyelamat besar-besaran melibatkan lebih 50,000 anggota tentera selepas gempa bumi kuat dan ombak besar tsunami mengorbankan lebih 1,000 orang di timur laut Jepun.

Beliau memberitahu, sekitar 200 pesawat tentera dan 25 buah kapal akan dihantar ke timur laut Jepun, bahagian yang paling teruk terjejas dalam malapetaka itu.

"Saya mengarahkan operasi besar-besaran kerana menyedari betapa dahsyat kemusnahan yang dicetuskan oleh tsunami kali ini," kata Kan selepas meninjau kawasan-kawasan yang musnah dengan menaiki helikopter.

"Sebahagian besar rumah di pesisir pantai musnah sama ada dihanyutkan ombak tsunami atau hangus dalam kebakaran," tambahnya.

Angka kematian rasmi bencana tersebut setakat ini kekal melebihi 574 orang dengan 1,115 lagi masih hilang manakala 1,128 yang lain cedera.

Namun, pihak berkuasa percaya, beribu-ribu orang maut akibat terperangkap di bawah runtuhan atau lemas dihanyutkan tsunami.

Polis Jepun menyatakan, antara 200 hingga 300 mayat telah ditemui di Sendai, bandar paling hampir dengan pusat gempa terletak di timur laut Jepun.

Menurut pihak berkuasa, lebih 220,000 orang kini tinggal di lebih 1,350 penempatan sementara di lima negeri di timur laut Jepun dengan lebih 1 juta kediaman terputus bekalan elektrik dan air.

Namun, pihak berkuasa berkata, banyak lagi mayat dipercayai tertimbus dalam timbunan runtuhan.

Setakat semalam, pekerja-pekerja penyelamat belum tiba di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas akibat malapetaka tersebut.

Bahagian timur laut Jepun mengalami kemusnahan paling dahsyat dengan beberapa bandar diratakan selepas gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter itu menggegarkan Jepun kelmarin dan mencetuskan gelombang tsunami setinggi 10 meter yang melanda daratan.

Sementara itu, masyarakat antarabangsa mula menghantar pasukan bantuan semalam bagi membantu mangsa-mangsa bencana di Jepun.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lewat kelmarin mengumumkan empat pasukan penyelamat dari Australia, New Zealand, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) sedang dalam perjalanan ke negara matahari terbit itu. - Agensi