24 Januari 2009

Pengundi wanita KT tolak BN

Ketua Wanita Umno Terengganu, Wan Ramlah Wan Ahmad berkata, beliau merasa bimbang kerana ramai pengundi wanita di kawasan Parlimen Kuala Terengganu akan menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, mereka menyatakan perkara itu secara terbuka kepada perayu undi Wanita Umno sewaktu berkempen dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari lalu.

Menurutnya, lebih mengejutkan lagi kerana mereka adalah penyokong Umno dan mengundi parti itu dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini.

"Saya tidak tahu mengapa mereka berkata demikian, tetapi perayu undi ada memberitahu, mereka kecewa dengan apa yang berlaku dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.

"Mereka mengadu tidak puas hati dengan pemilihan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Mereka kata, tiada calon BN lainkah, asyik-asyik anak Datuk Wan Salleh...

"Ini kerana dalam pilihanraya umum lalu, abangnya, Datuk Wan Hisham telah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Hisham tewas kepada calon PAS, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dalam pilihanraya umum lalu.

Wan Ahmad Farid kalah kepada calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi. Beliau mendapat 30,252 undi manakala lawannya itu mendapat 32,883 undi.

Tidak dapat sambutan

Manakala calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mendapat 193 undi dan sekaligus hilang wang pertaruhan.

Wan Ramlah juga berkata, ramai pengundi wanita juga mengadu mereka tidak senang dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Ramlah mengakui kempen Wanita Umno tidak mendapat sambutan.

"Kami jangka 15 orang hadir tetapi sekadar dua atau tiga orang sahaja.

"Mereka beri alasan masing-masing sibuk dengan tugas harian.

"Saya tidak tahu salah siapa tetapi Wanita Umno bahagian Kuala Terengganu tidak bekerja sebagaimana sepatutnya," katanya.

Kempen jentera Wanita Umno untuk pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu diketuai oleh ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz.
Malaysiakini.

23 Januari 2009

UMNO perlu dirombak secara besar-besaran ATAU BUBAR TERUS ?

Sejarah telah menyaksikan UMNO pernah diharamkan oleh Mahkamah pada tahun 1986, setelah ketika itu berlaku pertandingan sengit Dr. Mahathir bertanding melawan Tengku Razaligh untuk jawatan Presiden .

Setelah itu UMNO dihidupkan kembali dengan pendaftaran baru dengan nama UMNO Baru. Ahli pertama dengan no pendaftaran no. 1 ialah Dr. Mahadhir sendiri. Ahli No. 1 telah meninggalkan UMNO.

Setelah Kekalahan UMNO di Kuala Terengganu pemimpin UMNO seolah-olah berbalah dan mengeluarkan berbagai cadangan dan pandangan untuk mengembali kekuatan. Antaranya ramai yang mengakui UMNO sudah hilang daya tarik.

Kelmarin lain pula cadangan seorang pemimpin pemuda UMNO . Katanya UMNO perlu dirombak besar-besaran dari segi struktur dan gerak kerja jika parti itu mahu terus relevan dan diterima rakyat.Mukhriz Mahathir berkata lagi , ia melibatkan langkah memenuhi segala tuntutan perubahan yang dimahukan oleh rakyat.

Menurutnya, ini termasuk usaha berterusan memastikan barisan kepimpinan baru parti bersifat amanah dan lebih berorientasikan rakyat.

Tambahnya, memang tidak dinafikan terdapat beberapa usaha untuk mengubah UMNO yang telah dilakukan tetapi ia tidak mencukupi kerana kesannya masih kurang dirasai rakyat.

“UMNO tidak harus takut untuk melakukan rombakan secara besar-besaran seperti dituntut oleh rakyat selagi ia tidak bertentangan dengan ideologi dan prinsip perjuangan parti,” katanya .

Setakat ini saya masih menunggu cadangan yang akan menyelesaikan masalah UMNO itu sendiri iaitu ianya dibubarkan. Kita tunggu pemimpin UMNO yang mana ingin mencadangkan ?

22 Januari 2009

Kenyataan Zahid mengelirukan.

Saya mengecam keras arahan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di JPM yang disiarkan dalam media utusan dan Berita Harian pada hari.

Kenyataan beliau sangat bertentangan dengan dasar Kerajaan Negeri Perak yang berulang kali ditegaskan bahawa kami sentiasa akan menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan. Kami sesungguhnya sentiasa menghormati sistem negara persekutuan dan begitulah diharapkan sebaliknya.

Berita tersebut juga dalam keadaan media menyiarkan sama majlis angkat sumpah Presiden Amerika yang baru. Dalam keadaan rakyat Amerika dan dunia sudah aboleh menerima arus perubahan dengan menerima untuk pertama kalinya seorang yang tidak berkulit putih dan berdarah campur menjadi Presiden, seorang menteri Malaysia mengeluarkan kenyataan yang tidak menerima satu sistem demokrasi yang diktiraf dinegaranya sendiri.

Semua ketua jabatan agensi Kerajaan Persekutuan di negeri ini dilarang menghadiri mesyuarat rasmi anjuran kerajaan Perak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri kata Zahid Hamidi.

Beliau berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta dan semua ketua jabatan hendaklah mematuhi arahan berkenaan. Tindakan tatatertib akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar.

Kenyataan beliau diatas adalah bebaur hasutan dan ugutan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang menteri yang berpelajaran tinggi dan berasal pula dari Negeri Perak.

Saya mempersoalkan kalau ini adalah arahan Kerajaan Pusat dan beliau cuma Menteri Pusat adalah sewajarnya ianya diarahkan oleh PM ataupun TPM bukanya Zahid.

Selain itu kenapa hanya melibatkan negeri Perak sahaja tanpa dalam kenyataannya menyebut negeri-negeri yang berada dibawah Pakatan Rakyat yang lain. Saya mempertikai masalah ini bukan bermaksud sepatutnya semua kena terlibat namun inilah keganjilan kepada suatu arahan yang saya anggap tidak masuk akal.

Saya melihat arahan ini bercanggah dengan dasar yang sepatutnya jelas dan dari mana sebetulnya arahan itu datang.

Petang ini saya memanggil semua Ketua Kampung di bawah DUN Titi Serong untuk menjelaskan isu berkenaan kepada mereka. Antara yang saya jelaskan kepada mereka ialah persoalan tandantangan yang dipetik dari kenyataan Zahid yang mengatakan Kerajaan Pusat juga tidak mengiktiraf tandatangan dan cop rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Penghulu untuk sebarang urusan dengan agensi Kerajaan Pusat.

Beliau mendakwa semua agensi Kerajaan Persekutuan hanya mengiktiraf tandatangan Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Persekutuan (JPPP) yang dilantik oleh Kerajaan Pusat.

"Orang ramai yang hendak berurusan dengan agensi Kerajaan Persekutuan mestilah mendapatkan tandatangan Pengerusi JPPP jika surat atau salinan dokumen memerlukan pengesahan.

"Jabatan Persekutuan tidak mengiktiraf tandatangan Pengerusi JKKK atau Penghulu kerana mereka dilantik oleh kerajaan negeri," katanya.

Siapakah sebenarnya Zaid sehingga menjadi melalut dan pening lalat sampai sampai kesitu. Adakah dengn kekelahan di Kuala Terengganu menyebabkan Zahir sudah jadi kurang waras dan beraa dalam keadaan khayal. Tidakkah belau sedar apa yang sedang dikatakanya adalah jauh sekali dari bidang tugas beliau sendiri.

Semua jabatan yang beliau arahkan tidak hadir Mesyuarat Tindakan Daerah (JKTD) yang dikatakan agensi yang diguna sama seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pertanian dan Jabatan Kesihatan dikecualikan daripada arahan itu. Tidak kah semua Jbatn ini mempunyai Menterinya sendiri yang selayaknya mengarahkan arahan itu.

Zahid hanya layak menghalang pegawai JAKIM dan Tabung Haji untuk hadir ke Mesyuarat itu.

Kalaulah dia mewakili keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet adakah dia layak untuk mewakili kelompok menteri yang besar itu.

Kesimpulannya saya memohon Zahid berfikir panjang sebelum mengeluarkan kenyataan. Masalah Tabika Kemas belum selesai dia sudah mengelirukan rakyat dengan isu baru. Sepatutnya tahun baru hijrah dan masehi diwarnai oleh kenyataan Zahid yang lebih "wangi" bukanya "sebusuk" begitu.

Kepada pegawai kerajaan saya mohon supaya diabaikan ugutan dan kenyataan yang tidak berasas yang telah di keluarkan oleh Zahid.

Kepada seluruh rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan marilah kita bangkit untuk menolak secara total pemimpin UMNO dan BN serta kuncu-kuncu dan pastikan dalam pilihan raya akan datang . Mereka jelas sudah tidak ada daya penarik lagi, yang ada hanya daya penolak . Kini tinggal pemimpin seperti Zahid yang menunggu masa untuk ditolak oleh pengundi ditempatnya sendiri.



Drs.Khalil Idham Lim,
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak,
Timbalan Exco Agama Perak.

Kenyataan bohong Zahid, bukti pemimpin UMNO hilang daya tarik.

Kelmarin Zahid Hamidi bersuara kembali mengenai dakwaannya bahawa Kerajaan Negeri mengarahkan 700 (bukannya 7,000 seperti laporan urusan hari ini)Pihak Kerajaan negeri telah mengeluarkan kenyataan rasmi menyangkal tuduhan dan fitnah yang tidak berasas itu. Saya juga melalui blog ini antara yang terawal menjawab tuduhan tersebut dan mencabar Zahir kemukakan bukti. Setelah lama berdiam diri ADUN Sungai Rapat, Hamidah Osman bersuara dengan mengatakan dia ada bukti ada arahan tersebut. Sekali lagi saya mencabar Hamidah untuk kemukakan bukti.

Kenyataan Zahid yang disiarkan utusan (saya beli untuk jawab tuduhan pembangkang di Perak ) mendakwa Kerajaan Perak telah mengeluarkan arahan rasmi melalui surat bertarikh 23 September tahun lalu meminta semua Pegawai Daerah mengambil semula kunci balai raya dan dewan orang ramai hingga memaksa Tabika Kemas di tutup.

Dengan mendakwa surat itu merupakan bukti yang dimiliki Kerajaan Pusat berhubung penutupan tabika itu bagi menjawab dakwaan Exco kanan kerajaan Perak, Datuk Ngeh Koo Ham bahawa tiada arahan demikian.

Sebenar nya kalau itulah surah yang dimaksudkan oleh Zahid Hamidi, itulah bukti kami bahawa Zahid berbohong, memfitnah, putar belit dan sebagainya. Surat itu tidak ada langsung dengan menyebut arahan menutup Tadika Kemas.

Zahid Hamidi menuduh dalam sidang akhbar itu dengan mendakwa arahan rasmi itu meminta penghulu atau pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri mengambil alih balai raya dan dewan orang ramai yang digunakan sebagai Tadika Kemas atas dakwaan ia milik Kerajaan Perak.

Ternyata Zahid tidak habis-habis memutar belit fakta dan nampak sangat hajinya tidak ada ciri mabrurnya. Saya rasa budak darjah 6 pun kalau baca arahan itu boleh memahaminya tentang maksud arahan itu ialah mengenai penstrukturan semula siapakah milik bangunan adakah persekutuan atau negeri.

Saya menafikan tuduhan Zahid dan saya menyarankan supaya satu laporan Polis dilakukan kembali oleh pihak tertentu dengan "tuduhan dan hasutan" baru beliau yang boleh meresahkan rakyat Negeri Perak.

Tidakkah Tadika Kemas berjalan macam biasa, malah Zahid menjilat ludahannya sendiri dengan berterima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin kerana telah membenarkan semula penggunaan balai raya dan dewan orang ramai terlibat untuk dijadikan Tabika Kemas. Perkataan "membenarkan semula" adalah tidak bertanggungjawab kerana seolah-olah pernah ditutup.

Perlu diingatkan kita membenarkan dari awal terbentuknya Kerajaan pakatan Rakyat di Perak tanpa ada arahan menutupnya.

Cuma Zahid dan pembangkang di Perak yang gatal mulut memfitnah dan memutar belit fakta dengan mengatakan kami mengarah menutupnya. Inilah sebenarnya bukti bahawa UMNO sebenar-benarnya kehilangan daya penariknya dengan punya pemimpin yang suka berbohong dan cari publisiti murah tanpa ada rasa bersalah.

Sia-sialah arahan Najib dan pemimpin UMNO yang lain yang mengharapkan UMNO dikembalikan daya penariknya. Nasihat saya teruskan kerja itu supaya UMNO lagi cepat terkubur dalam kamus politik Malaysia dengan sifat pemimpinnya yang berbohong, dulu kini dan selamanya termasuk Menteri yang jaga hal ehwal agama.

Drs.Khalil Idham Lim,
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak,
Timbalan Exco Agama Perak.

Obama angkat sumpah, harapkan hubungan baru dunia Islam

WASHINGTON: Barack Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) baru - yang ke-44 dan yang pertama daripada kalangan masyarakat kulit hitam sambil berazam untuk menerokai hubungan baru dengan dunia Islam.

"Kita telah memilih harapan di sebalik kebimbangan, perpaduan yang bertujuan di sebalik konflik," kata beliau dalam ucapan sulungnya sejurus selepas mencipta sejarah sebagai Presiden yang baru bagi AS.

"Bermula hari ini kita perlu bangkit, membuang yang keruh dan kembali bekerja untuk membina semula Amerika," kata Presiden berusia 47 tahun, dari parti Demokrat, di hadapan rakyatnya yang masih bimbang dengan kesan kemelesetan ekonomi paling teruk sejak 1930-an.

Malah, ucapannya juga menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia dan negara-negara Islam selepas diselubungi pelbagai persepsi negatif sejak 11 September 2001 di bawah pentadbiran Presiden George W. Bush.

"Amerika merupakan rakan kepada setiap negara dan setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak yang inginkan masa depan yang aman dan bermaruah, dan di mana kami bersedia untuk menerajuinya sekali lagi.

"Kepada dunia Islam, kita harus menerokai perjalanan baru berdasarkan kepentingan bersama dan penghormatan bersama," kata beliau sambil menekankan, "ia tidak diberikan tetapi harus diperoleh."

Bagaimanapun Obama memberi amran bahawa Washington akan berhadapan dengan mana-mana pihak yang menggunakan "keganasan" dan memenggal mereka yang tidak berdosa tanpa sebarang kompromi.

"Kepada dunia Islam, kami inginkan satu arah tuju yang baru," kata Obama lagi.

Malah dalam ucapannya itu, Obama juga bertekad untuk menangani krisis ekonomi dan kesan peperangan di dua negara, yang secara langsung menjejaskan imej Washington di kaca mata dunia.

Obama yang dipilih sebagai Presiden AS pada 4 November lalu menyempurnakan upacara itu kira-kira 1.06 pagi (waktu Malaysia) di hadapan Ketua Hakim John Roberts.

Obama merupakan Presiden AS yang kelima paling muda dan beliau menggantikan Bush.

Sebelum giliran Obama angkat sumpah, bekas Senator Delaware Joe Biden mengangkat sumpah sebagai Naib Presiden yang baru di hadapan Hakim John Paul Stevens.

Terdahulu kedua-dua Obama dan Bush tiba di bangunan Capitol - lokasi angkat sumpah dari White House menggunakan kenderaan rasmi yang sama.

DI PUTRAJAYA, Malaysia mahu Obama melaksanakan dasar luar yang baru dengan tidak mengutamakan pendekatan unilateral dalam mengambil sesuatu tindakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berkata, AS perlu mengambil pendekatan berbincang dengan pihak lain sebelum mengambil sesuatu tindakan.

"Amerika Syarikat tidak boleh bertindak sendirian atau dengan hanya sekumpulan kecil pihak yang menyebelahinya sahaja," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian bagi Penstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Sembilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Najib berkata, AS perlu memperkukuhkan hubungannya dengan badanbadan multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Pendekatan Amerika Syarikat mestilah mempunyai adunan antara hard power (kuasa ketenteraan) dan soft power (pengaruh ekonomi dan moral)," katanya ketika diminta mengulas mengenai harapan Malaysia terhadap Obama yang mengangkat sumpah sebagai Presiden yang baru.

Najib berharap Obama akan menggunakan lebih banyak pendekatan "soft power" daripada "hard power" berbanding dengan George W.Bush yang lebih banyak menggunakan pendekatan "hard power" dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau konflik.

BERITA TERDAHULU

[DIKEMAS KINI, 12.45 TENGAH MALAM] WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru, Barack Obama dan Presiden George W. Bush, yang beliau akan menggantinya, kini berada di bangunan Capitol sempena upacara angkat sumpah.

Obama yang dipilih sebagai Presiden AS pada 4 November lalu akan mengangkat sumpah dalam tempoh kurang sejam dari sekarang.

Menjelang pukul 1 pagi ini (waktu Malaysia) beliau akan mencatatkan sejarah sebagai Presiden pertama daripada kalangan masyarakat kulit hitam.

Obama dan Bush hadir bersama dari White House di mana Bush sebelum itu telah menganjurkan sesi minuman bagi pasangan suami isteri Presiden dan Naib Presiden yang baru.

Terdahulu Obama dan keluarganya menghadiri upacara khas di gereja St. John's Episcopalbersebelahan dengan White House.

Obama akan menyempurnakan upacara angkat sumpah ketika dunia mengharapkan presiden yang ke-44 AS itu akan melakukan sesuatu untuk mengubah dasar luarnya dan persepsi masyarakat dunia terhadap Washington.

Harapan itu memuncak ketika konflik Gaza ekoran serangan Israel menghampiri minggu keempat.

Malah perubahan bukan sahaja diharapkan oleh masyarakat dunia ekoran pelbagai dasar berat sebelah AS, rakyatnya juga mahu Obama membebaskan negaranya daripada kemelesetan ekonomi paling buruk sejak 1930-an, kesan peperangan di Afghanistan dan Iraq dan perubahan dasar White House yang diterajui Bush sepanjang lapan tahun lalu.

Beliau dijadual menyampaikan ucapan sulungnya sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden yang baru dari bangunan Capitol - yang diharap akan menjadi peluang terbaik awalnya untuk memenuhi harapan banyak pihak.

Lebih 12,500 anggota tentera dan polis metropolitan dihimpunkan untuk menjaga keselamatan di Washington.

Obama akan mengangkat sumpah menggunakan kitab injil yang pernah digunakan oleh bekas Presiden Abraham Lincoln yang mengakhiri sistem perhambaan di AS.

Majlis angkat sumpah Obama dan Naib Presiden Joe Biden yang disiarkan secara langsung dijangka menarik kira-kira dua juta orang yang sanggup berhimpun di bawah cuaca teramat sejuk.

Obama, pemimpin Demokrat berusia 47, yang telah menewaskan John McCain pada 4 November telah menjanjikan pendekatan pentadbiran bersifat pragmatik berbanding ideologikal.

Selepas majlis angkat sumpah, Obama akan diiringi dari bangunan Capitol melalui Pennsylvania Avenue untuk ke White House - premis pentadbirannya untuk tempoh empat tahun akan datang.-mstar

21 Januari 2009

Campak bayi marahkan isteri

AMPANG: Perselisihan faham dengan isteri menyebabkan seorang suami hilang pertimbangan hingga sanggup bertindak kejam membuang bayinya yang berusia enam bulan ke dalam tong sampah berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Setiawangsa, awal pagi semalam.

Insiden itu dilihat seorang pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan berkenaan tanpa disedari pasangan terbabit.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, lelaki terbabit mulanya dilihat bersama isteri menaiki Proton Wira hitam sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Lelaki itu kemudian keluar dari kereta lalu mengambil bayi terbabit yang diletakkan di tempat duduk belakang sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Isterinya cuba mengambil kembali bayi terbabit, namun lelaki berkenaan menarik tangannya masuk ke dalam kereta sebelum memecut laju.

Menurut sumber polis, lelaki berkenaan berang kerana mendakwa isterinya berlaku curang selain tidak mempercayai bayi terbabit anaknya sendiri.

Menceritakan kejadian terbabit, pengawal keselamatan itu, Hairul Azwan Hamid, 29, berkata mulanya dia ternampak sebuah kereta berhenti berhampiran tong sampah di stesen LRT terbabit sebelum terdengar orang bergaduh.

“Saya melihat seorang lelaki dalam keadaan marah keluar dari kereta dan pergi ke tempat duduk penumpang sebelum terdengar wanita itu menjerit.

“Saya hanya memerhatikan perbuatan mereka kerana enggan masuk campur,” katanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Kampung Warisan.

Dia mendapati lelaki terbabit menghempas pintu kereta beberapa kali diikuti jeritan wanita itu yang semakin kuat.

“Saya perhatikan kaki wanita itu berada di luar menyebabkan dia cedera akibat tindakan lelaki terbabit menghempas pintu kereta beberapa kali,” katanya.

Hairul segera mencatat nombor plat kereta terbabit kerana khuatir berlaku perkara buruk sambil terus memerhatikan mereka.

Tidak lama selepas itu, lelaki berkenaan membuka pintu belakang kereta dan membawa satu ‘objek’ sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

“Selepas ‘objek’ itu dibuang, saya lihat wanita terbabit keluar dan cuba mengambilnya kembali, tetapi dia dihalang lelaki berkenaan dan ditarik masuk ke dalam kereta.

“Apabila cuba sekali lagi mengambil ‘barang’ dalam tong sampah itu, dia ditarik semula sebelum lelaki itu memecut kereta,” katanya.

Disebabkan perasaan ingin tahun, Hairul pergi ke tong sampah itu dan ketika menghampirinya, dia terdengar suara bayi menangis.

Sejurus melihatnya, dia terkejut kerana mendapati objek terbabit seorang bayi comel sebelum mengangkatnya keluar dari tong sampah.

“Saya menghubungi polis sebelum membuat laporan di Balai Polis Hulu Klang,” katanya yang kecewa dengan perbuatan dilakukan lelaki itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil ketika dihubungi, berkata pasangan suami isteri terbabit sudah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 4.30 petang semalam.

“Mereka yang berusia 30-an itu direman bagi membantu siasatan bermula hari ini. Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.-myMetro

Apa lagi faktor penarik UMNO dan BN?

Faktor ‘penarik’ dalam parti setelah kekalahan BN dan UMNO dalan PR Kuala Terengganu banyak diperkatakan. Setengahnya berpandangan faktor itu mesti dikembalikan itu bagi memastikan ia mampu terus menarik sokongan rakyat sekali gus menepis pelbagai tanggapan negatif yang mungkin membelengu kemampuan ketika ini.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata usaha itu mungkin memerlukan parti berkenaan melakukan perubahan radikal, malah mungkin ‘pembedahan politik’ jika perlu bagi menjamin kekukuhannya pada masa depan.

“Kita perlu ada faktor wow (daya penarik) supaya pengundi kembali kepada kita. Kini kita kehilangan faktor itu dan kita perlu mencari jalan untuk mendapatkan ia kembali,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pengakuan jujur Muhyiddin di atas sekaligus mengesahkan UMNO sudah kehilangan daya tarikan untuk semua golongan masyarakat dalam negara kita.

Yang jelas umum mengetahui bahawa berada dalam UMNO adalah dengan niat untuk berebut kekayaan dan khazanah negara. Walaupun yang mengecapinya adalah segerlintir dan berapa kerat pemimpin yang menipu ahlinya.

Alhamdulillah PAS khususnya masih segar dengan dasar Islam yang merupakan penerusan perjuangan dari Nabi-nabi dan Rasul Allah. Mana lagi perjuangan yang paling suci dan sempurna melainkan penerusan dari perjuangan pesuruh Allah itu.

Keutuhan dan penerusan perjuangan yang ada pada PAS adalah kerana Islam yang diperjuangkan. Kalaupun di sana ada kelemahan bukan kerana Islam yang kami perjuangkan namun kerana atas nama manusia tidak ada siapa pun yang boleh mengelak dari bersifat lemah dan ada kekurangan. Namun kelemahan kami tetap terbimbing dengan Islam yang kami perjuangkan.

Di sana sering berubah pemimpin, datang dan pergi adalah lumrah dalam perjuangan namun dasar yang kami perjuangkan tetap dengan nama Islam.

Jauh dari itu dengan slogan PAS For All, kami mendapat sokongan besar dari orang bukan Islam. Saya yakin mereka percaya dengan dasar Islam yang kami perjuangkan walaupun mereka bukan Islam. Itulah kehebatan daya penarik kami.

Jauh sekali kepada UMNO , pemimpin berganti berubahlah dasar dan cara kepimpinan yang berlandaskan usaha untuk menguatkan jawatan dan kroninya. Tidak hairan ada yang sanggup menabur wang jutaan ringgit untuk mendapat jawatan tertentu.

Adakah UMNO sudah melakukan macam-macam cara dan penambaikan daya penarik yang diperkatakan sekarang ? Jawapannya memang ada dan banyak, tidakkah Puteri UMNO itu daya penarik, ditambah lagi dengan Puteranya dan tidak kah UMNO tidak menganggap tawaran projek dalam kempen dan hamburan duit rasuah berguni-guni bukan nya penarik ?.

"Kalau itu bukan lagi daya penarik kembalilah kepada Islam yang kami perjuangkan." kata Tok Guru Nik Aziz tidak ada sebab kawan lawan demo kalu demo nak ke Islam, dan tidak ada sebab demo lawan kawan sebab kawan dan berjuang dengan Islam.

Saya berseru kepada semua pemimpin UMNO dan ahlinya untuk bersama dengan kami memperjuangkan Islam yang tinggi dan tridak ada yang lebih tinggi dari nya.

20 Januari 2009

Siapa gadai Singapura ?

IPOH, 18 Jan. – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan, tiada sebab untuk beliau meletakkan jawatan berhubung isu pemberian hak milik tanah kekal kepada penduduk kampung baru di negeri ini.

Beliau berkata, apa yang dilakukannya adalah untuk kebaikan rakyat dan yakin perkara itu tidak mengguris perasaan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah.

‘‘Tidak ada sebab mengapa saya perlu letak jawatan. Hubungan saya dengan pihak istana cukup baik. Isu ini tidak sepatutnya timbul,” katanya dalam sidang akhbar disini hari ini.

Mohammad Nizar diminta mengulas gesaan beberapa pihak agar beliau meletakkan jawatan berikutan tindakannya memberi hak milik tanah kekal kepada penduduk kampung baru telah mengguris hati raja-raja Melayu.

Menurut Mohammad Nizar, beliau tidak nampak apa yang dititahkan oleh Tuanku Raja Muda Perak itu menggambarkan perasaan ‘terguris’ baginda terhadap apa yang sedang dilakukannya.

Sebaliknya dakwa beliau, ketika Perak di bawah penguasaan parti Barisan Nasional (BN), lagi banyak tanah di negeri itu yang telah tergadai kepada orang bukan Melayu.

“Seandainya seluruh kampung baru yang mempunyai penduduk kira-kira 47,000 orang diberikan hak milik tanah, kita hanya beri tidak sampai 3,000 ekar (1,200 hektar),” katanya.

ADUN Titi Serong yang juga merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak,Drs. Khalil Idham Lim mengatakan sepatutnya pemilikan tanah di Kampung Baru tidak perlu dipertikaikan lagi kerana generasi yang tinggal disitu adalah melebihi dua generasi. Mereka berhak memiliki hak mereka yang sebenarnya.

Menurut Beliau, pemimpin UMNO telah kehabisan modal dan membangkitkan isu dan mengaitkan pihak yang tidak sepatutnya dikaitkan dengan keputusan Kerajaan Negeri Perak itu.

"Sepatutnya pemimpin UMNO perlu mempertikaikan keputusannya sendiri menggadaikan Singapura kepada pihak lain. Itulah yang lebih terguris dan mengguris hati semua pihak". Jelasnya.

Pakatan Rakyat tubuh Majlis Menteri Besar.

ALOR STAR 18 Jan. – Kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat hari ini menubuhkan Majlis Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri bertujuan meningkatkan hubungan dan kerjasama sesama mereka.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Majlis itu di kenali sebagai Pengisytiharan Mentaloon, majlis tersebut juga bertujuan menyelaraskan agenda, program dan aktiviti di kalangan negeri-negeri yang diterajui Pakatan Rakyat.

“Perbincangan hari ini telah mencapai beberapa persetujuan berhubung apa perlu dibuat Pakatan Rakyat bagi meningkatkan kerjasama dan mengemas kini beberapa kekurangan yang perlu diambil tindakan segera,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat , Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Dalam sesi sidang akhbar Menteri Besar Kelantan diwakili oleh Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

Azizan berkata, mesyuarat tersebut juga bersetuju untuk menubuhkan sekretariat bagi mengendalikan majlis berkenaan di samping penubuhan Majlis Exco Kerajaan-kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Guan Eng berkata, majlis tersebut dibentuk kerana Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri Pakatan Rakyat yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja sering didiskriminasikan.

Kesian pekerja di Malaysia !

Cuepacs mendedahkan kira-kira 10,000 hingga 15,000 kakitangan awam Kumpulan Sokongan Dua yang bekerja 20 hingga 30 tahun dan hampir mencapai umur bersara wajib tidak pernah dinaikkan pangkat.

Mereka bekerja di pelbagai agensi dan jabatan kerajaan seluruh negara tidak mendapat perhatian majikan, sekali gus tidak menikmati kenaikan gaji yang banyak.

Presidennya, Omar Osman, berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana dianggap penganiayaan kepada kakitangan terbabit.

Kita mengharapkan Menteri yang bertanggung jawab menjelaskan isu ini dengan terperinci.

Setahu saya kenaikan pangkat kadang-kadang sampai ke tahap melihat adalah di penyokong kerajaan atau pembangkang. Itulah realiti yang sedang kita hadapi.

Siapa lagi akan jadi Calon BN ?

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kekalahan BN itu disebabkan kesilapan meletakkan calon yang tidak boleh diterima dan tidak disukai orang ramai.

"Sebahagian daripada sebab kekalahan ini ialah kerana pengundi tidak suka kepada calon.

"Pengundi terpaksa membuat pilihan antara calon BN serta Pas dan akhirnya memilih Pas walaupun tidak suka kepada parti pembangkang itu tetapi terpaksa membuat pilihan," katanya.

Dalam kenyataan itu Dr. Mahathir menambah, jika BN mahu mencapai kejayaan pada pilihan raya umum ke-13, Najib perlu melakukan tindakan berani dan salah satunya ialah untuk menolak pemimpin-pemimpin yang terlibat dalam rasuah.

"Pemimpin-pemimpin yang rasuah ini juga tidak boleh dipilih memegang jawatan-jawatan di dalam kerajaan ataupun Kabinet.

"Kalau pemimpin-pemimpin ini masih dipilih oleh ahli parti menjadi pemimpin, mereka tidak boleh dipilih untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti,"

Kalau begitu saya berpandangan kebanyakan pemimpin BN yang ada sekarang memang tidak layak untuk bertanding pada PR ke 13.

Termasuklah Najib yang dilibatkan dengan pelbagai skandal adakah melibat wanita dan harta. Kalau Tun mengatakan Najib tidak boleh dipersalahkan, saya bantah bahawa Najib sekarang dilihat bersalah kerana beliau masih gagal membersihkan dirinya dengan pelbagai tuduhan itu.

Kerana itu rakyat di Kuala Terengganu menghukumnya sekali gus hukuman itu terkena kepada Farid dan BN. Imej Najib lah antara yang memporak perandakan kempen BN di KT.

Banyak pihak yang takut kepada bayang-bayang sendiri. Antaranya saya masih bertanya kenapakah menggantung gambar Altantuya dianggap bersalah ?, dan penampalnya ditangkap di Kuala Terengganu dalam kempen disana.

Siapakah lagi akan jadi calon BN bagi memenuhi kretaria yang disebutkan oleh TDM ? Secara jujur saya yakin semua boleh menjawab mungkin tidak ada lagi, melainkan rakyat akan terus beralih arah kepada calon-calon dari parti Pakatan Rakyat, PAS, DAP atau PKR.

Kemenangan di Kuala Terengganu apa artinya ?

Syukur Alhamdulillah, calon PAS pilihan Dato' Presiden Tn Guru Hj. Hadi Awang telah dianugerahkan Allah kemenangan dalam PRK P036 di KT. Kerjasama jitu dalam berkempen oleh kesemua pimpinan Pakatan Rakyat amat terserlah dan bersemangat. Segala isu yang dimainkan UMNO BN bagi mencemarkan PR khususnya PAS, terbukti palsu dan fitnah. Jutaan duit dan gula-gula yang di janjikan UMNO kepada warga KT tidak membawa kesan mendalam bagi mengubah pendirian pengundi.

Kaum Cina di DUN Bandar khususnya tidak gentar lagi dengan PAS dan ini yang membimbangkan UMNO. Apapun, keputusan tersebut membawa mesej berikut:

1. UMNO BN menuju cepat ke arah tidak relevan pada rakyat Malaysia. Kepunahan UMNO akan bertambah menyerlah menjelang pilihan mereka bulan Mac 2009 ini.

2. PAS di anugerah kan peranan mendepani PR dan bertanggungjawab menjelaskan segala isu yang di lempar atau sengaja di putar belit oleh UMNO.

3. Sokongan dan keahlian PAS serta Kelab penyokong akan menjadi lebih banyak yang memaksa PAS menilai semula kedudukan serta sifat keahliannya.

4. Pas mesti bersedia mentadbir Terengganu dalam PRU 13 dengan syarat semua jentera harus bertugas besar dari sekarang khusus menjalin hubungan berterusan dengan warga Cina DUN Bandar.

5. Penjawat Awam bagi jabatan-jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan sungguh bersimpati dengan PAS dan ini perlu di pupuk dan di raikan. Mereka menjadi bertambah berani walaupun diugut atau di paksa.

6. Anggota keselamatan Polis terbukti merelakan diri mereka khususnya pemimpin di peralatkan UMNO BN. Jumlah yang ramai (nisbah 8 pengundi: 1 anggota) amat memalukan dan ini sekali gus menghina rakyat Terengganu seumpama kaki ganas dan penjenayah.

7. Tahap pengorbanan ahli dan penyokong PAS khususnya Muslimah Pas, seluruh negara terlalu tinggi dan ini perlu dipertahankan dan diraikan.

8. Tuduhan jahat dan fitnah pimpinan UMNO BN kepada kerajaan-kerajaan PR khususnya di Perak, tidak ditelan oleh rakyat bulat-bulat.

http://kamparinn.blogspot.com/

19 Januari 2009

P'raya kecil KT cermin 'mood' politik negara

Cita-cita pembangkang untuk mengambil alih kuasa mendapat anjakan yang memberangsangkan ekoran kemenangan calonnya dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam, yang mengikut para pemerhati, turut menjejaskan kedudukan Barisan Nasional (BN).

Kemenangan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dari PAS - salah sebuah anggota Pakatan Rakyat - dalam pilihanraya kecil tersebut, dilihat sebagai mencerminkan 'mood' politik negara sekarang.
Kemenangan itu juga - walaupun tidak menjejaskan kedudukan kerajaan BN - tetapi ia menunjukkan kerajaan gagal menarik semula sokongan rakyat selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac 2008, sekaligus telah mencetuskan desakan supaya dilakukan perubahan dalam BN.

"Kemenangan itu menjadi bukti bahawa rakyat sememangnya dahagakan perubahan," kata Ketua Pembangkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pakatan Rakyat pimpinannya memenangi lima negeri dan lebih satu pertiga kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Kemenangan calon PAS dengan majoriti selesa 2,631 undi semalam adalah ekoran peralihan sokongan pengundi Melayu kepada pembangkang.

Mohd Abdul Wahid mendapat 32,883 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Desak perubahan

Kekalahan BN di Kuala Terengganu semalam telah mencetuskan desakan dari bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah supaya dilakukan perubahan segera dalam gabungan BN.

Ahli Parlimen Gua Musang dan bekas naib presiden Umno itu menyifatkan BN "dimalukan" sekali lagi ekoran kekalahan semalam.

Katanya, walaupun BN kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu - yang juga terburuk dalam sejarah kerajaan - tetapi tidak nampak langsung sebarang perubahan asas dibuat untuk memperbaiki keadaan atau ia menunjukan BN tidak mengambil iktibar daripadanya.

Malah, beliau melihat BN sekarang seolah-olah terambing ambing seperti sebuah bahtera tanpa nakhoda.

Siva Murugan Pandian, seorang penganalisa politik dari Universiti Sains Malaysia pula berkata, kemenangan pembangkang semalam telah memberi satu anjakan besar kepada Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Jika Datuk Seri Anwar dapat memastikan tidak berlaku keretakan dalam Pakatan Rakyat, maka pembangkang boleh mangambil alih kuasa dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Sokongan pengundi Melayu

"Tetapi ia hanya boleh berlaku jika peralihan sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat berterusan," katanya.

Siva berkata, keputusan semalam juga merupakan satu petanda tidak baik terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang akan mengambil alih jawatan perdana menteri dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selepas pemilihan Umno Mac depan.

Abdullah tidak bertanding dalam pemilihan Umno ekoran desakan kuat dari akar umbi dan kalangan pemimpin tinggi Umno ekoran kekalahan teruk BN, khususnya Umno, dalam pilihanraya umum lalu.

Selepas kesemua 193 bahagian Umno selesai bermesyuarat November lalu, Najib menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden Umno.

Tengku Razaleigh yang mahu mencabarnya, gagal mendapat kuota pencalonan yang mencukupi - sebanyak 58 pencalonan. Beliau hanya mendapat pencalonan dari bahagiannya - Umno Gua Musang.

Manakala Bridget Welsh, pakar politik Asia Tenggara di Universiti Johns Hopkin pula berkata kekalahan BN di Kuala Terengganu akan mencetuskan persoalan mengenai peningkatan kedudukan Najib sebagai perdana menteri.

Reaksi Najib

Ini kerana Najib sendiri mengetuai jentera kempen BN di Kuala Terengganu dan kekalahan BN itu merupakan satu lagi kegagalan kerajaan dalam pilihanraya kecil selepas Permatang Pauh, yang menyaksikan Anwar kembali ke Parlimen.

Ketika mengulas kekalahan calon BN semalam, Najib berkata beliau tidak fikir ia akan memberi kesan kepada BN dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

Najib berkata, beliau juga berkata tidak fikir bahawa pengundi tidak yakin kepadanya untuk mengambil alih kuasa dari perdana menteri sekarang.

Manakala Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre for Opinion Research, pula menyifatkan keputusan pilihanraya kecil semalam menunjukkan kerajaan BN kini berdepan dengan “jurang kredibiliti” dengan pengundi Melayu yang tidak ditangani oleh para pemimpinnya ekoran percakaran sesama sendiri yang berterusan dalam BN.

Pengundi muda dan pengundi di kawasan bandar khususnya tidak senang dengan masalah rasuah dan kroni yang berterusan, serta kegagalan Abdullah menunaikan janjinya untuk membawa perubahan, termasuk membersihkan pasukan polis dan badan kehakiman.

Ibrahim juga bersetuju bahawa gabungan pembangkang kini mendapat momentum yang amat diperlukan dan membuktikan parti komponennya dapat bekerjsama secara berkesan walaupun wujudkan dakwaan bahawa berlaku keretakan dalam hubungan sesama mereka. Malaysiakini.

Gelombang Hijau di Terengganu datang lagi.

Apa bila bercakap mengenai kemenangan PAS di Terengganu dan kesan kepada landskap politik khususnya untuk negeri itu, saya lebih suka untuk mengatakan bahawa Gelombang Hijau muncul kembali di Terengganu.

Kalau dalam PR ke 11 pada tahun 2004 menyaksikan projek Gelombang Biru BN berhasil menumbangkan Kerajaan PAS di Terengganu, saya sangat yakin Gelombang Hijau akan menelan dan mengalahkan BN dalam PR ke 13 akan datang.

Nampaknya dalam kempen PR Kuala Terengganu BN memperkenalkan dua istilah baru iaitu "PAS Kluk Kelek" dan " Dok ghok cethong". Ternyata slogan itu gagal untuk menarik undi sehingga kecundang sudah BN dan dipermalukan dalam satu pertandingan yang saya anggap mempertaruhkan maruah kedua-dua pihak.

Sehari sebelum pengundian dan pada hari pengundian, saya katakan pada teman-teman seperjuangan, kalau PAS menang mujur, dengan maksud mujur disebut dalam bahasa Kelantan bermaksud "alhamdulillah", tetapi kalau kita kalah kata orang Kelantan"munasabah" kerana Kuala Terengganu sebelum ini dimenangi oleh BN.

Lebih tepat saya tegaskan pada saat ini penyokong BN di seluruh pelusuk negara dalam keadaan DIRUNDUNG MALANG, SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA. Malah saya tidak pasti apakah andaian Pak Lah sebelum di ke Timur Tengah, mungkinkah dia sudah mencium bau kekalahan yang bakal diterima BN.

Persoalan lain yang saya fikirkan ialah mengenai kedudukan PAK LAH yang saya ibarat kan bagai anak ikan yang sudah terkeluar dari balang kaca peliharaan tuannya. Adakah masih ada simpati sehingga mungkin dia dibantu dan dimasukkan kembali ke balang kaca untuk menghabiskan sisa hari sebelum berundur. Sedangkan ia sudah cedera.

Atau kerana kegagalan Najib memenangkan BN di Kuala Terengganu, Pak Lah sudah memikirkan plan B ?.

Apapun yang yang cuba diketengahkan, saya juga ingin mengetengahkan bahawa BN sudah tidak Relevan lagi dan ditolak oleh rakyat. Senerio ini saya yakin bukan hanya untuk Terengganu tetapi akan melarat ke negeri lain. Kemenangan di Permatang Pauh menyemarakaan semangat petugas Pakatan Rakyat di Kuala Terengganu. Kemenangan di Kuala Terengganu membuktikan rakyat masih boleh kita anjakkan sokongan mereka untuk memenangkan calon-calon Pakatan Rakyat yang bertanding di mana saja.

Yang tinggal hanyalah gambar Pak Lah, Najib, Mat said dan Farid yang berlakon tersenyum dipapan-papan tanda besar di merata tempat dalam Kuala Terengganu. Sebelum saya meninggalkan Kuala Terengganu tengahari tadi ianya belum dibersihkan lagi. Malah tidak ada yang sudi mengambilnya untuk kenangan. Berlainan pula dengan poster dan gambar Hj. Abdul Wahid, sejak malam tadi semuanya telah diambil oleh penyokong sebagai kenangan dan tanda kejayaan sebuah perjuangan.

Rupanya senyuman mereka dibalas dengan hadiah kekalahan yang sedang kita raya kan di seluruh negara sekarang.

Gambar di Kuala Terengganu.

Hari mengundi diwarnai dengan berbagai gelagat dan suasana yang menjadi kenangan kepada semua apa lagi kemenangan berpihak kepada calon PAS.

Pelbagai gambar menarik yang sempat dikumpulkan oleh juru gambar blog cina Islam. Berikut ini disiarkan untuk tatapan semua pengunjung.











Bersambung......