25 Disember 2009

Najib hadapi krisis kepercayaan

7 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, Dis 24: Kemenangan tipis Barisan Nasional (BN) dalam pengundian Bajet 2010 di Dewan Rakyat 14 Disember lalu menguatkan lagi persepsi bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadapi krisis keyakinan, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Hakikat bahawa 71 orang ahli Parlimen BN tidak hadir dalam pengundian untuk menerima belanjawan sulung yang dibentangkan oleh Najib tidak dilihat sebagai suatu kebetulan semata-mata oleh pasaran dan tokoh-tokoh perniagaan.

"Perkara itu ditimbulkan dalam pertemuan saya dengan tokoh perniagaan dua hari lalu," katanya.

Dalam peristiwa itu, kerajaan Najib melalui saat paling mencemaskan apabila jumlah undi diperolehi terlalu tipis, di mana BN berjaya mengatasi pembangkang hanya dengan tiga undi sahaja (66-63) untuk membolehkan Bajet 2010 akhirnya diluluskan.

Menurut Salahuddin, mereka mempersoalkan adakah ketidakhadiran begitu ramai ahli Parlimen BN itu adalah satu kebetulan atau sesuatu yang dirancang.

"Bagi mereka, apa yang berlaku itu menunjukkan ketidakmampuan Najib menguasai parti yang diketuainya sendiri.

"Mereka juga tidak menolak kemungkinan Najib adalah Perdana Menteri yang paling lemah dalam sejarah Malaysia dan bukan (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi)," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Sekurang-kurangnya Abdullah berjaya menguasai Umno dan BN dan mendapat kepercayaan yang lebih baik dari Najib di tahun-tahun awal pemerintahannya, katanya.

Mengenai apa yang didakwa sebagai reformasi ekonomi yang cuba ditonjolkan sebagai kekuatan Najib, Salahuddin tidak melihat perkara itu diterima tanpa dipersoalkan oleh pasaran.

"Pandangan (Prof) Jomo (K Sundaram) bahawa dasar ekonomi terbuka Najib tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dipandang serius oleh pasaran," katanya.

Malah, kata beliau lagi, isu kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut mendapat perhatian serius pasaran dan masyarakat perniagaan.

"Mereka mempersoalkan, jika Najib tidak menunjukkan prestasi yang meyakinkan dalam menjaga hanya satu kementerian, bagaimana beliau boleh memberi keyakinan umum bahawa beliau mampu menunjukkan prestasi yang baik untuk mentadbir sebuah negara?" kata Salahuddin.

Beliau juga memberitahu, tokoh perniagaan yang ditemui itu juga menunjukkan kepadanya indeks penerimaan terhadap prestasi Najib sebagai Perdana Menteri yang merudum dengan begitu mendadak dalam masa yang singkat.

Menurut tinjauan Merdeka Center yang ditunjukkan oleh tokoh perniagaan berkenaan kepadanya, kata Salahuddin, kadar penerimaan terhadap prestasi Najib sebagai Perdana Menteri mencapai tahap sehingga 65 peratus dalam tempoh 19 Jun hingga 1 Julai tetapi merudum lebih 10 peratus dan berada pada tahap 56 peratus dalam tempoh 4 hingga 14 September lalu.

"Dalam tempoh antara 19 Jun hingga 1 Julai itu juga, sebanyak 74 peratus responden Melayu dan 74 peratus responden India berpuas hati dengan pencapaian Najib sebagai Perdana Menteri, manakala tahap sokongan masyarakat Cina pula melonjak sehingga 48 peratus," katanya.

Bagaimanapun, dalam tempoh 4 hingga 14 September lalu, tahap penerimaan itu merudum kepada 64 peratus di kalangan masyarakat Melayu, 68 peratus di kalangan masyarakat India dan hanya 36 peratus sahaja di kalangan masyarakat Cina, kata Salahuddin lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan Najib semakin dilihat sebagai liabiliti kepada BN dan negara.

HarakahDaily.Net/-

Enjin F-5E: Kegagalan menyiasat punca Polis dipersoalkan

7 Muharram 1431H

POKOK SENA, 24 Dis: Naib Presiden PAS, Dato' Mhafuz Omar persoalkan kredibiliti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di atas kegagalan agensi itu menyelesaikan siasatan berhubung kes kehilangan enjin jet pemintas F-5E seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Mahfuz yang ditemui selepas Majlis Sumbangan Peralatan Sekolah di Pejabat PAS Pokok Sena semalam, berkata, beliau difahamkan laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pada 4 Ogos 2008 yang lalu dan nota pemakluman kepada Jabatan Peguam Negara (AG) hanya dihantar pada Mei 2009.

"Persoalannya, kenapa PDRM perlu ambil masa yang terlalu lama untuk menyiasat insiden yang sebegini serius dan penting?

"Sembilan bulan bukannya tempoh yang singkat, itu pun masih tidak boleh selesai, perlu kepada lanjutan tempoh siasatan, ini yang meragukan dan rakyat persoalkan," katanya.

Menurut Mahfuz, kerajaan perlu menyatakan bentuk tindakan yang telah diambil terhadap syarikat yang memonopoli kerja-kerja penyelenggaraan enjin pesawat pejuang milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) iaitu AIROD SDN BHD.

"Kejadian enjin jet F-5E hilang itu dikatakan berlaku ketika dalam perjalanan dari pengkalan TUDM di Butterworth ke AIROD untuk diselenggarakan, sudah tentu ada kaitannya dengan syarikat itu," katanya.

Beliau turut mengulangi desakannya supaya ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan peringkat Parlimen yang diyakini lebih bersifat terbuka, berintegeriti dan telus dalam usaha menjejaki mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini.

Mahfuz berkata, perletakan jawatan seorang pegawai berpangkat Briged Jeneral dan tindakan memberhentikan perkhidmatan 20 anggota lain yang dikatakan tiada kaitan dengan kes ini turut mengundang keraguan masyarakat yang melihat seolah-olah kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu berkaitan dengan kes ini.

Ini sekaligus menolak kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berjanji tidak akan menyembunyikan siasatan kes dari pengetahuan umum.

Mahfuz menuntut Kementerian Pertahanan mengemukakan alasan ke atas tindakan memberhentikan kerja 20 anggota tersebut dan menyatakan alasan perletakan jawatan pegawai tinggi itu kepada masyarakat umum untuk mengembalikan keyakinan mereka.

"Kalau betul mereka terlibat, kerajaan perlu mengheret mereka ke mahkamah terbuka dan bukannya dakwa mereka di mahkamah tentera yang sudah tentu perbicaraannya tidak akan didedahkan kepada pengetahuan umum," soalnya.

Menjawab soalan pemberita kemungkinan ada motif tertentu berkaitan pendedahan isu ini, Mahfuz berkata, beliau tidak mengetahui agenda sebenar tindakan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Zahid Hamidi mendedahkan satu demi satu kepincangan yang berlaku di kementerian yang sebelum ini dibawah seliaan Najib.

Beliau juga mengulangi pendiriannya menuntut Najib segera memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan pembentukan jawatankuasa khas menyiasat kes kehilangan enjin-enjin jet F-5E dan peralatan lain yang mengakibatkan kerugian kepada negara.

"Saya akan pergi ke pejabat Perdana Menteri dalam minggu ini dan serahkan sendiri surat meminta supaya sidang khas itu diadakan segera," jelasnya.

HarakahDaily.Net/-

Drs. Khalil : Muslimat perlu siap untuk hadapi pilihanraya bila-bila masa .

7 Muharram 1431H
Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Ketua Penerangan PAS Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah menyeru muslimat semua peringkat di seluruh negeri menyiapkan jentera pilihan raya untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa saja.

Katanya, mana-mana kawasan dan juga cawangan, khususnya membabitkan jentera muslimat yang masih belum bersiap sedia, diingatkan supaya tidak melengah-lengahkannya lagi dalam soal untuk menghadapi pilihan raya.

"Walaupun jangkaan kita sebelum ini pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan diadakan pada penghujung November, bagaimanapun tidak berlaku, tetapi tidak bererti tidak akan diadakan langsung.

"Kalaupun tidak berlaku dalam waktu terdekat, pilihan raya umum yang ke-13 pasti akan diadakan juga dan persiapan mesti kena buat juga," katanya ketika menyampaikan taklimat kepada muslimat PAS Kawasan Lenggong di Surau Kampung Gua Badak dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Kawasan, Haji Razman Zakaria, Timbalan YDP, Ustaz Mohd Kushairi Ariffin dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Lenggong, Hajjah Hapipah Mat Saman.

Khalil Idham Lim berkata, melihat suasana mutakhir di Perak, memaksa kita membuat persiapan lebih awal kerana kemungkinan besar DUN Perak akan dibubarkan pada bulan April 2010.

Katanya, sekiranya benar-benar berlaku pembubaran DUN pada ketika itu, pilihan raya akan diadakan dalam masa 60 hari selepasnya, bererti bukanlah satu jangka masa yang panjang untuk kita membuat persiapan sebaik mungkin bagi menghadapinya.

Mulai Januari 2010 nanti, katanya semua jentera pilihan raya di seluruh negeri kena adakan satu ceramah setiap bulan sekurang-kurangnya sepertimana dilakukan PAS Kelantan.

Jentera muslimat kawasan mesti mengarahkan jentera muslimat di peringkat Unit Peti Undi (UPU) membuat persiapan dan adakan lawatan ke semua UPU mulai Januari nanti, katanya.

Sebelum itu, Khalil Idham Lim mengingatkan semua muslimat bahawa perjuangan kita di dalam gerakan Islam, adalah perjuangan untuk menegakkan Agama Allah yang diwariskan oleh para Rasul sehingga kepada Nabi Muhammad SAW.


"Tidak ada perkara yang tinggi darjatnya di sisi Allah, melainkan kerja-kerja yang dibuat terhadap apa yang ditinggalkan oleh para Rasul dan perjuangan kita adalah penerus kerja-kerja Nabi.
"Perjuangan Islam adalah mata rantai daripada perjuangan yang dibawa oleh para Rasul dari Adam sampai Muhammad SAW," katanya.

Khalil dham Lim berkata, sehubungan itu kita kena yakin bahawa perjuangan yang kita dokongi di dalam PAS adalah perjuangan untuk menegakkan kebenaran selaras dengan perjuangan para Rasul.

PMR: 28,188 Pelajar Peroleh Semua A

PUTRAJAYA: Seramai 28,188 pelajar memperolehi A bagi semua mata pelajaran dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini berbanding 26,378 bagi tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, pencapaian cemerlang itu dengan A bagi setiap mata pelajaran telah meningkat sebanyak 0.41 peratus.

Menurutnya, seramai 281,781 calon PMR pada tahun ini memperolehi sekurang-kurangnya gred D bagi semua mata pelajaran berbanding 278,767 calon pada tahun lalu.

"Seramai 397 calon mendapat E untuk semua mata pelajaran berbanding 440 calon pada tahun lalu. Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR 2009 dalam 16 mata pelajaran adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya.

"Nilai Gred Purata Nasional (GPN) pula meningkat dari 2.83 pada tahun 2008 kepada 2.78 (2009) tahun ini. Nilai GPN yang lebih kecil adalah lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan analisis keputusan PMR 2009 di bilik mesyuarat Kementerian Pelajaran, hari ini.

Calon-calon PMR diukur daripada empat indikator iaitu, pencapaian cemerlang (semua A), pencapaian yang baik (minimum D), pencapaian sangat lemah (semua E) dan pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional(GPN).

Sementara itu, Alimuddin memberitahu, jurang perbezaan pencapaian antara calon bandar dan luar bandar pada keseluruhannya semakin rapat.

Jelasnya, nilai GPN calon bandar meningkat dari 2.72 kepada 2.68 manakala calon luar bandar dari 3.02 kepada 2.97.

"Bilangan calon bandar yang mendapat semua A meningkat daripada 7.86 peratus kepada 8.31 peratus manakala calon luar bandar meningkat dari 2.75 peratus kepada 3.09 peratus," ujarnya.

Bagi calon istimewa yang mengalami rabun serta pendengaran pula, Alimuddin berkata, seramai tujuh calon mendapat semua A.

Berhubung dari segi prestasi mata pelajaran, beliau menjelaskan kesemua mata pelajaran menunjukkan sama ada tiada perubahan atau meningkat sedikit kecuali mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Punjabi.

"Diukur dari Gred Purata Mata Pelajaran, Bahasa Melayu menurun dari 2.40 kepada 2.42, Bahasa Inggeris turun dari 3.21 kepada 3.25 dan Bahasa Punjabi turun dari 1.70 kepada 2.02," katanya.

Dalam pada itu, Alimuddin memberitahu, seramai 12 calon Sekolah Seni Malaysia memperolehi gred A bagi semua mata pelajaran teras yang diduduki dalam PMR tahun ini.

Kementerian Pelajaran buat julung kali memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Kesenian dalam PMR tahun ini.

Calon yang mengambil mata pelajaran tersebut mulai tingkatan satu pada tahun 2007 belajar di Sekolah Seni Johor Bahru dan Sekolah Seni Kuching.

Empat bidang kesenian yang ditawarkan ialah Tari, Muzik, Teater dan Seni Visual.

"Bidang teater menunjukkan pencapaian tertinggi dari segi peratusan bilangan memperoleh Band 4 (tertinggi), diikuti Muzik, Seni Visual dan Tari," katanya.

Sejumlah 475,182 calon yang menduduki PMR tahun ini. Daripada jumlah itu, 442,611 (93.1 peratus) adalah calon daripada sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran.

Manakala 4,150 pelajar (0.9 peratus) adalah calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 13,234 (2.8 peratus) calon sekolah swasta, 13,561 calon sekolah agama tadbiran kerajaan negeri (2.9 peratus), 1,288 calon (0.2 peratus) sekolah agama rakyat dan 333calon (0.1 peratus) persendirian. Mstar/-

Gempa terbaru di Padang, pelajar M'sia selamat

Gempa bumi terbaru berlaku di Padang Sumatera Barat, dengan kekuatan 6.1 pada skala Richter (SR) padajam 8.11 pagi.

Bagaimanapun, Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia mengesahkan bahawa kesemua 75 pelajar Malaysia selamat.

Pengarahnya, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata beliau telah menghubungi para pemimpin pelajar Malaysia di Universitas Andalas di sana dan mendapat pengesahan bahawa semua pelajar yang masih berada di Padang adalah selamat.

"Kita ada 75 pelajar di sana sekarang manakala bakinya kira-kira 70 orang lagi sedang bercuti di Malaysia.

'Mereka masih berada di rumah ketika kejadian dan sempat menyelamatkan diri ke luar rumah setelah merasakan goyangan gempa yang agak kuat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun, semua pelajar itu meneruskan kuliah dan latihan praktikal mereka seperti biasa hari ini kerana tidak ada kerosakan harta benda akibat kejadian itu.

Data Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, gempa itu terjadi pada jam 8.11 pagi, dengan pusatnya di kedalaman 10 km pada lokasi kira-kira 56km ke tenggara Pulau Siberut-Mentawai.

Gempa susulan yang berkekuatan 5.3 SR pula berlaku pada pukul 8.47 pagi di kedalaman 25km pada lokasi 46km ke tenggara Pulau Siberut-Mentawai.

Bagaimanapun kedua-dua gempa bumi itu tidak menimbulkan ancaman tsunami, menurut BMKG.

Gempa bumi itu terjadi kira-kira tiga bulan selepas gempa bumi besar berkekuatan 7.9 SR menggegarkan Kota Padang, yang mengakibatkan Malaysia terpaksa menggunakan helikopter tentera bagi membawa pulang lebih 300 pelajar perubatan dari sana.

Sementara itu media massa tempatan melaporkan gempa pagi ini sempat

mengakibatkan rasa panik di kalangan penduduk terutama di Kota Padang yang bertempiaran keluar meninggalkan rumah dan bangunan kerana takut terjadi runtuhan.

Bagaimanapun, sehingga tengah hari ini tiada laporan mengenai sebarang kerosakan harta benda. - Bernama

PAS kaji tiada lagi calon luar tanding di K'tan

PAS Kelantan akan mengkaji sama ada akan terus menerima calon yang bukan anak negeri untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 nanti di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga mursyidul am PAS dan pesuruhjaya PAS Kelantan, berkata dalam Islam, tidak ada perbezaan antara orang dalam atau luar.

"Tetapi jika nampak orang luar tidak perlu lagi tolong Kelantan, kita boleh mencalonkan pemimpin anak negeri ini untuk bertanding dalam pilihan raya umum nanti," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Beliau diminta mengulas saranan Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud Iraqi, yang mahu anak Kelantan dicalonkan dalam pilihan raya umum akan datang.

Antara pemimpin luar yang kini menjadi ahli parlimen di Kelantan ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa (Bachok), Naib Presiden Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Bendahari Dr Hatta Ramli (Kuala Krai).

Mengenai keputusan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir, melepaskan jawatan, Nik Abdul Aziz berkata: "Ikut dialah, itu masalah peribadi."

Semalam, Dr Rosli mengumumkan peletakan jawatan dalam parti kerana tidak mahu namanya dikaitkan dengan Pas ekoran masalah peribadi selepas beliau diperintah oleh Mahkamah Syariah di sini tinggal berasingan sementara dengan isteri keduanya setelah tersebar berita mengenai kesahihan pernikahan mereka.

Dr Rosli adalah juga orang yang meminta menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman supaya segera meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Nik Aziz berkata: "Berapa kali nak ulang benda tu. (Orang) nak kata apapun, katalah. Cukuplah, (kita) dah tutup fail. Mari datuk mana sekalipun, saya kena dengar keputusan daripada (PAS) pusat." katanya. - Bernama.

Mahathir dan Pak Lah, kedua-dua perlu disiasat

7 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mahu kedua-dua mantan Perdana Menteri, Tun Dr mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dihadapkan ke Suruhanjaya Diraja untuk disiasat berhubung dakwaan penyelewengan wang sewaktu pemerintahan zaman masing-masing.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, satu Suruhanjaya Diraja harus ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan itu kerana siasatan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia tidak dapat dijamin ketelusannya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung dakwaan Tun Mahathir bahawa Pak Lah telah menghabiskan sebanyak RM270 bilion dalam masa lima tahun untuk kegunaan peribadi beliau.

Namun katanya, apa yang berlaku sekarang ini, kedua-duanya saling tuduh menuduh berhubung jumlah yang dihabiskan pada zaman masing-masing.

Mahathir juga sebelum ini didakwa menghabiskan 100 bilion dalam masa 23 tahun pemerintahannya.

"Kedua-dua mereka harus dihadapkan ke muka pengadilan iaitu perlu kepada satu proses penyiasatan yang telus ke atas kedua-dua bekas perdana menteri itu. Ianya perlu kepada satu penubuhan Suruhanjaya Diraja.Bagi saya kedua-duanya ada masalah dan mereka perlu menghadapi satu siasatan dan siasatan itu perlu telus, bukan polis, bukan SPRM," katanya.

Menurut Mahfuz juga, jika Suruhanjaya Diraja tidak dapat ditubuhkan, satu jawatankuasa siasatan di peringkat Parlimen harus ditubuhkan dn laopran siasatan berkenaan diletakkan di bawah biang kuasa Speaker Dewan Rakyat untuk dibahaskan," katanya lagi.

"Paling kurang pun satu jawatankuasa siasatan peringkat parlimen yang dianggotai pelbagai latar belakang, diletakkan di bawah parlimen dan laporan (siasatan) dihantar ke parlimenuntuk diperiksa dan dibahaskan," tambahnya.

Mahfuz juga menyifatkan kedua-dua mantan Perdana Menteri itu sebagai penyamun yang saling menuduh sedangkan kedua-duanya terlibat dalam salah guna kuasa dan penyelewengan wang rakyat.

"Sekarang ni penyamun sedang tuduh penyamun.Seorang kata hang yang samun lebih, seorang lagi kata hang yang samun lebih.Dua-dua pun penyamun.

"Kalau Tun Mahathir kata Pak Lah habiskan 28 bilion, sudah tentu beliau (Tun Mahathir) habiskan lagi banyak sebab beliau 22 tahun memerintah berbanding Pak Lah yang hanya lebih kurang 4 tahun," ujarnya.

Mahfuz turut menegaskan, siasatan terhadap projek pembinaan rumah Pak Lah yang berjumlah RM12 juta juga perlu disegerakan kerana pembinaanya dibuat sewaktu Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini katanya membuktikan Najib juga terlibat dalam penyelewenagn dana awam.

"Siasatan ini juga termasuk rumah Pak Lah RM12 juta.Tapi rumah Pak Lah itu dibina di zaman Najib. maksudnya dalam pengetahuan Najib."katanya.

HarakahDaily.Net/-

SPR berbohong mengenai dakwat, rakyat boleh saman

7 Muharram 1431H
http://idrisahmad.wordpress.com

Parti Islam Se-Malaysia (SPR) mahu Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mendedahkan semula dakwaan mereka pada tahun lepas bahawa terdapat individu yang dilaporkan membeli dakwat khas (kekal) untuk tujuan pilihan raya secara haram hingga menyebabkan SPR terpaksa membatalkan pengunaannya bagi Pilihanraya Umum 2008.

Telah lebih setahun setengah dakwaan dibuat oleh pihak SPR namun tiada sebarang khabar berita, bukti, mahupun sebarang tangkapan mengenainya.

PAS melihat bahawa SPR berbohong kepada rakyat dan sanggup membazirkan dakwat bernilai RM 2.4 juta untuk cerekarama yang sengaja dicipta bagi menafikan tuntutan rakyat melalui Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) yang mahu dakwat kekal digunakan.

PAS menuntut SPR mendedahkan siapakah individu yang didakwa mereka itu atau SPR perlu bersedia untuk menerima dakwaan dan saman rakyat dimahkamah kerana menyebabkan Kerajaan kerugian RM 2.4 juta di atas pembohongan yang sengaja dicipta itu.

PAS mengesa para pengundi tampil kehadapan untuk sama-sama menuntut SPR membuktikan dakwaan itu atau bersama menyaman SPR kerana mencipta maklumat palsu dan berbohong kepada rakyat serta membazirkan wang rakyat begitu sahaja dengan membeli dakwat yang sengaja tidak digunakan bagi memenuhi arahan Menteri Kabinet BN ketika itu.

HarakahDaily.Net/-

Enjin F5E- PAS mahu Najib letak jawatan

7 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 23 Dis: PAS mahu Datuk Seri Najib Tun Razak meletakan jawatan serta merta berhubung kes kehilangan dua enjin pesawat pemintas F5E pada 2007 iaitu semasa beliau memegang Menteri Pertahanan dan Timbalan Perdana Menteri.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu, Najib sepatutnya berbuat demikian pada tahun 2008 lagi sewaktu kehilangan itu dikesan.

Namun dakwanya, Najib seperti merahsiakan perkara itu kerana mahukan laluan mudah menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Selaku Menteri beliau bertanggungjawab penuh diatas kecuaian terbesar yang berlaku dalam sejarah pentadbiran Kementerian Pertahanan. Sewajarnya beliau meletakan jawatan pada tahun 2008 iaitu ketika kehilangan enjin berkenaan disedari hilang bagi memberikan laluan kepada siasatan menyeluruh kes ini.

"Jelas beliau cuba merahsiakan perkara ini dari rakyat bagi memastikan laluan mudah agar dirinya dilantik sebagai Perdana Menteri mengantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.Kelicikan politik beliau dalam menyembunyikan kes ini jelas memperlihatkan agenda beliau itu.

Kes kehilangan ini juga jelasnya tidak boleh dianggap remeh kerana ia adalah simbolik disebalik kegagalan sistem pertahanan negara dibawah pentadbiran Najib.

"Dibawah pentadbiran Najib, kita sudah lali mendengar kisah ruang udara negara diceroboh, helikopter nuri terhempas, kapal terbang terhempas, dan juga kisah-kisah perbelanjaan Kementerian Pertahanan yang dihalang untuk di Audit oleh Jabatan Audit negara.

Katanya rakyat tidak harus membiarkan pemimpin yang mementingkan politik peribadi dari keselamatan negara dan rakyat.

Apatah lagi, dizaman beliau juga bermacap program dilaksanakan yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.

"Zaman Najib menjadi menteri pertahanan juga menyaksikan munculnya projek Angkawan Negara yang berakhir dengan kisah Pelancong Angkasa. Program Latihan Khidmat Negara juga dicipta dengan begitu banyak tragedi sedangkan manfaat yang diterima kurang dari 10 peratus dan masalah sosial generasi muda hari ini kian membarah. Zaman beliau begitu banyak kecuaian, kerugian, penipuan dan pembaziran," katanya lagi.

"Jika 2 unit enjin pesawat yang besar boleh hilang dari kawalan pasukan keselamatan negara, esok lusa apa pula yang hilang jika Najib masih kekal menjadi Perdana Menteri," katanya.

HarakahDaily.Net/-

Kerajaan sembunyikan pembaziran RM2.4 juta wang rakyat

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Bendahari PAS, Dr. Hatta Ramli mendakwa kerajaan cuba menyembunyikan isu pelupusan dakwat kekal bernilai RM2.4 juta yang tidak digunakan pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu daripada pengetahuan umum.

Dr. Hatta yang merupakan salah seorang jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) berkata, tindakan kerajaan itu jelas berniat untuk menyembunyikan pembaziran yang dilakukan apabila ianya hanya diketahui umum setelah dibangkitkan pada Persidangan Dewan Negara baru-baru ini.

"Dalam hal ini kita pun tidak sedar bahawa dakwat ini telah dilupuskan begitu sahaja sehinggalah ia ditimbulkan di Dewan Negara baru-baru ini.Jadi ertinya kerajaan cuba menyembunyikan isu ini. Mereka seboleh mungkin mahu menyorokkan isu ini,"

"Jelas ini satu pembaziran akibat perancangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak bijak dalam merancang perbelanjaan wang rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Dr. Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai turut mempersoal keberkesanan tindakan tersebut sedangkan katanya ianya boleh dijual semula bagi mengelakkan pembaziran.

"Siapakah yang akan bertanggungjawab di atas kehilangan wang kerajaan sebanyak RM2.4 juta ini dan kenapakah dakwat itu tidak boleh dikembalikan dan tidak dijual semula untuk mengelakkan pembaziran,"katanya.

Perkara ini juga tegasnya menunjukkan Kementerian berkenaaan gagal mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang baik.

Ini melibatkan KPI Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan SPR.Kalau dalam kes biasa dalam mana-mana jabatan kerajaan tindakan boleh diambil terhadap mereka yang gagal dalam merencanakan penggunaan wang kerajaan," tegasnya.

Bagaimanapun beliau berkata, meskipun dakwat itu telah dilupuskan, BERSIH akan tetap menuntut penggunaan dakwat kekal dalam PRU ke-13 nanti.

"Untuk pilihanraya akan datang, BERSIH akan terus menuntut penggunaan dakwat kekal ini. Kita akan mendesak agar SPR membeli dakwat yang baru dan membenarkan penggunaannya," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong sebelum ini berkata, dakwat yang tidak dapat digunakan kerana masalah keselamatan dan perundangan itu telah dilupus pada 25 November lepas.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegenai keputusan yang dibuat terhadap dakwat kekal yang telah dibeli dan kemudian mahu dijual semula sehingg tarikh luputnya telah berlalu.

Pada PRU ke-12 yang lalu, SPR bersetuju menggunakan dakwat kekal setelah dituntut BRSIH, namun membatalkannya di saat akhir menjelang hari pengundian atas alasan terdapat individu yang dilaporkan membeli dakwat ini secara haram dari negara luar dan berniat membuat kacau.

Namun sehingga sekarang, kerajaan masih gagal membuktikan kebenaran akwaan tersebut malah tida tangkapan spesifik dibuat terhadap individu yang didakwa melakukan kesalahan itu.

HarakahDaily.Net/-

Kecurian Enjin F-5E memalukan negara- Nik Aziz

7 Muharram 1431H

KOTA BHARU, 23 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kes kecurian enjin kapal terbang F-5E milik Tentera Udara Malaysia TUDM yang heboh diperkatakan boleh mencemarkan imej negara dan pemimpin negara ini.

Menurutnya, kecurian yang telah berlaku tahun 2007 itu bukan sahaja sesuatu yang sensitif, malah turut mencemarkan imej negara ini di mata dunia luar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkara itu di pejabatnya hari ini.

Menurutnya, injin berkenaan tidak akan dicuri sekiranya tidak mengamalkan rasuah atau melindungi kes berkenaan dari pengetahuan umum untuk tujuan tertentu.

“Senyap ni sebenarnya satu kecelakaan pada rakyat dan kerajaan, kenapa selepas dua tahun perkara itu berlaku yangmana Menteri Pertahanan sewaktu itu dipegang oleh orang lain, baru sekarang terdedah,”ujarnya.

“Betullah kata Tun Mahathir Umno ni perasuah, bahkan ianya sudah buruk sampai ke usus serta tidak boleh dibaiki lagi, macamana sebuah perkara yang begitu sensitif, injin kapal terbang TUDM boleh dicuri,”ujarnya.

Katanya, rayat sebenarnya harus mengakui Umno dan BN sudah tidak mampu mentadbir negara kerana telah terpalit pelbagai masaalah individu, parti, rasuah, korupsi dan seumpamanya.

“Sudah sampai masanya rakyat menghukum pemimpin BN sekarang dengan menolak parti mereka pada pilihan raya umum akan datang.

“Kalau kudis kita naik ke kaki kita boleh berubat, tetapi naik sampai naik ke kaki tak boleh nak ubati lagi macam Umno yang semakin parah, sudah tidak ada gunanya lagi,”ujarnya.

HarakahDaily.Net/-

DOA PENAWAR HATI YANG DUKA

7 Muharram 1431H
Ahmad Fajar Qomarudin

Don't Be Sad ... Laa Tahzan ... Jangan Bersedih ...
Bacalah do'a ketika Anda bersedih ...

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ

بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ

أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ،

أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ،

أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ وَجَلاَءَ حُزْنِيْ وَذَهَابَ هَمِّيْ

“Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hambaMu (Adam) dan anak hamba perempuanMu (Hawa). Ubun-ubunku di tanganMu, keputusan-Mu berlaku padaku, qadhaMu kepadaku adalah adil. Aku mohon kepadaMu dengan setiap nama (baik) yang telah Engkau gunakan untuk diriMu, yang Engkau turunkan dalam kitabMu, Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu atau yang Engkau khususkan untuk diriMu dalam ilmu ghaib di sisiMu, hendaknya Engkau jadikan Al-Qur’an sebagai penenteram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.”
(HR. Ahmad 1/391. Menurut pendapat Al-Albani, hadits tersebut adalah sahih)

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحُزْنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ
وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ

“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari (hal yang) menyedihkan dan menyusahkan, lemah dan malas, bakhil dan penakut, lilitan hutang dan penindasan orang.”
(HR. Al-Bukhari 7/158. Rasulullah shallallaahu 'alaihi wasallam senantiasa membaca doa ini, lihat kitab Fathul Baari 11/173)

DOA UNTUK KESEDIHAN YANG MENDALAM

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ الْعَظِيْمُ الْحَلِيْمُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمُ

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَرَبُّ اْلأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيْمُ

“Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Agung dan Maha Pengampun. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Tuhan yang menguasai arasy, yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Tuhan yang menguasai langit dan bumi. Tuhan Yang menguasai arasy, lagi Maha Mulia.” (HR. Al-Bukhari 7/154, Muslim 4/2092)

اَللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلاَ تَكِلْنِيْ إِلَى نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ،

وَأَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ

“Ya Allah! Aku mengharapkan (mendapat) rahmatMu, oleh karena itu, jangan Engkau biarkan diriku sekejap mata (tanpa pertolongan atau rahmat dariMu). Perbaikilah seluruh urusanku, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau.”
(HR. Abu Dawud 4/324, Ahmad 5/42. Menurut pendapat Al-Albani, hadits di atas adalah hasan dalam Shahih Abu Dawud 3/959)

لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّيْ كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِيْنَ

“Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau.
Sesungguhnya aku tergolong orang-orang yang zhalim.”
(HR. At-Tirmidzi 5/529 dan Al-Hakim. Menurut pendapatnya yang disetujui oleh Adz-Dzahabi: Hadits ini shahih 1/505, lihat Shahih At-Tirmidzi 3/168)

اللهُ اللهُ رَبِّي لاَ أُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا

“Allah-Allah adalah Tuhanku. Aku tidak menyekutukanNya dengan sesuatu.”
(HR. Abu Dawud 2/87 dan lihat Shahih Ibnu Majah 2/335)

AJK MASJID: PERSEMBAH BUKTI PENJELASAN KEPADA RAJA MUDA PERAK

7 Muharram 1431H

Kenyataan Media (23 Disember 2009)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) akan memberikan penjelasan berkaitan tuduhan dan dakwaan Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Slim yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak sepertimana yang dinyatakan di dalam blognya (http://khusairitgma lim.blogspot. com/) jika diperkenan sembah mengadap Raja Dr Nazrin Shah, Raja Muda Perak merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perak (MAIMPk).

DPPN Pk amat kesal kerana semua tuduhan dan dakwaan tersebut kerana ianya tidak pernah diadukan atau dilaporkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) atau pun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perak (MAIMPk). Persoalannya kenapakah tuduhan dan dakwaan tersebut dibuat sekarang, adakah kerana ingin memastikan semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid mesti berpihak kepada UMNO sahaja. Ini jelas membuktikan semasa pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak isu seperti ini tidak pernah timbul kerana perlantikan AJK Masjid telah diserahkan kepada yang berhak dalam kariah atau jamaah kampung itu sahaja tanpa campur tangan politik.

DPPN Pk menunggu peluang dan ruang yang ada untuk memberikan penjelasan kepada Raja Dr Nazrin Shah jika diperkenan merafak sembah nanti. DPPN Pk tidak mahu semua tuduhan tersebut tanpa memperjelaskan kedudukan sebenar dan hanya berpihak satu pihak sahaja. DPPN Pk menuntut keadilan di dalam perkara ini kerana PAS tidak pernah menjadikan Masjid sebagai gelanggang politik sepertimana yang telah didakwa oleh Dato’ Khusairi. DPPN Pk juga ingin menasihati Dato’ Khusairi supaya tidak cepat melenting dan menfitnah PAS bila setiap kali mendapat teguran tentang ajaran Islam sebenar dari mimbar-mimbar Jumaat dan penceramah-penceramah di Masjid.


SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

SIFAT-SIFAT WANITA AHLI SYURGA

7 Muharram 1431H
Email : Sal Am

Sebuah hadis Nabi menyatakan:
Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai."
(Hadis Riwayat Ahmad)
Menurut hadis di atas sekurang-kurangnya ia telah menggariskan empat dasar atau sifat utama yang menjadi teras bagi seorang wanita muslimah memasuki syurga, iaitu menunaikan kewajipannya kepada Allah dalam makna melaksanakan ibadah-ibadah yang diwajibkan ke atasnya seperti sembahyang, puasa, dan lain-lain ibadah wajib yang mampu dilaksanakan.

Sebuah hadis menyebutkan bahawa sembahyang adalah perkara pertama yang akan disoal di hari Kiamat. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, Nabi Sallallahu Alahi Wasallam bersabda:
"Sesungguhnya perkara yang pertama sekali dikira dari amalan hamba di hari kiamat ialah sembahyang; sekiranya sembahyang itu sempurna, maka beruntung dan berjayalah dia, dan sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah dia, kalau kewajipan fardhu masih kurang, Allah berfirman: Lihatlah adakah amalan-amalan sunat untuk menyempurnakan kekurangan tersebut. Demikianlah seterusnya dengan amalan yang lain"
(Hadis riwayat at-Tirmizi)
Disamping menunaikan kewajipan kepada Allah, menunaikan hak dan kewajipan kepada suami juga merupakan hal yang tidak boleh diabaikan oleh seorang wanita. Tertunainya hak dan tanggungjawab suami barulah akan turun keredhaan dan rahmat Allah kepadanya.
Menjaga kehormatan diri juga merupakan hal yang digariskan oleh hadis di atas. Antara hal-hal yang boleh diketegorikan dalam konteks menjaga kehormatan itu ialah mempunyai sifat pemalu, jika suaminya keluar dia akan menguruskan dan menjaga dirinya dan harta suaminya dengan amanah. Bila suaminya datang kepadanya dia akan menjaga mulut daripada menyebutkan perkataan yang tidak elok didengar.

Sebuah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan bahawa:
"Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak."
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Maksud hadis ini ialah jika kesopanan atau sifat malu sudah hilang, iman juga akan hilang bersama-samanya. Betapa besarnya pengaruh antara kesopanan dan keimanan kepada diri seorang wanita itu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menegaskan dengan sabda baginda:

"Apabila sesesorang itu terlibat dengan penzinaan, ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu mencuri ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu meminum arak ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu menyelewing setelah diberi amanah oleh orang lain ia bukan lagi seorang beriman, dan apabila seseorang diantara kamu menipu ia bukan lagi seorang beriman, oleh itu berjaga-jagalah!"
Taat kepada suami merupakan satu lagi sifat wanita yang digambarkan oleh hadis yang dipaparkan di awal makalah ini. Taat kepada suami adalah tanggungjawab isteri yang wajib di sempurnakan. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka. "
(Hadis riwayat Al Imam Bazzar)

Isteri adalah pusat dan sumber kebahagiaan dan ketenteraman di dalam sebuah rumahtangga. Ia perlu mempunyai sifat-sifat sabar dan perhatian yang sepenuhnya kepada suami dan juga anak-anak. Sikap inilah yang boleh mewujudkan suasana yang tenang, aman dan damai dalam rumahtangga. Dalam hal ini, para isteri sayugialah akan sentiasa bersikap baik kepada suami.

Saidina Abu Bakar Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda:
"Seorang wanita yang menyakiti hati suami dengan lidahnya, dia mendatangkan celaan dan kemurkaan Allah, para malaikat dan umat manusia."
Selain itu, Saidina Ali Radhiallahu Anhu meriwayatkan sebuah hadis mengenai setiap isteri yang tidak menghormati status suaminya.

"Wanita yang berkata kepada suaminya yang tidak melihat apa-apa kebaikan pada suaminya, Allah menghapuskan segala perbuatan baiknya selama 70 tahun, walaupun dia berpuasa selama itu siang hari dan bersembahyang pada malamnya. "
(Hadis Riwayat Imam Majah dan An-Nasai)

Berdasarkan huraian ringkas di atas, para wanita semestinyalah mengamalkan sikap taat dan bertakwa kepada Allah, bertanggungjawab kepada suami dan menjaga kehormatan dirinya. Semoga dengan itu, akan mudahlah mereka mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Rahmat dan redha Allah itulah yang akan menjamin kebahagian hidupnya di dunia dan di akhirat.

DISEDIAKAN OLEH:
USTAZ IBRAHIM BIN ZAKARIA 019-2627636
PENGETUA
MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN DAR AL-ABRAR
E mail:Ibrahim_mtd07@yahoo.com
Sebarang sumbangan Zakat/derma bolehlah dimasukan ke
AKAUN BANK MUAMALAT 08030002138714 @ CIMB BANK 08150000173109

UMNO Perak Menderhaka Sultan Lagi

7 Muharram 1431H
Sumber : http://usahmadawang.blogspot.com

Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ

الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ

أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ

إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Al-Hujuraat: 12)

DYTM Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Perak

Pura-pura Taat

UMNO yang berpura-pura taat setia menjunjung titah Raja dengan slogan “Daulat Tuanku” sekali lagi menzahirkan sifat derhakanya kepada DYMM Sultan Perak, apabila beria-ia membantah perlantikan AJK kariah (masjid) negeri Perak Darul Ridzuan bagi sessi 2009-2012.

UMNO yang terlucut kuasanya di negeri Perak pada 8 Mac 2008, dan kembali berkuasa melalui rampasan kuasa pada 5 Februari 2009, tidak pernah berubah perangai dengan sifat tamaknya untuk membolot kuasa di semua bidang dan ruang, hatta di bidang pentadbiran kariah masjid di seluruh negeri Perak yang tertakluk di bawah bidang kuasa Sultan. Sudahlah ketua-ketua kampung yang dipilih dengan suara rakyat secara demokrasi semasa pentadbiran Pakatan Rakyat (PR), kesemua mereka dipecat sebaik sahaja Zambry menjadi MB kerajaan rampasan kuasa UMNO.

Kini AJK kariah yang telah dipersetujui perlantikannnya bagi seluruh negeri Perak oleh persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak, hendak dirampas kuasa pula oleh UMNO, terutamanya di beberapa daerah pentadbiran agama seperti Slim River, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Lenggong dan Bagan Serai.

Jahil Perlembagaan

Saya tak fikir pemimpin-pemimpin UMNO peringkat Bahagian dan Negeri begitu jahil hingga tidak mengetahui langsung Perlembagaan Negeri Perak yang memperuntukan DYMM Sultan adalah ketua agama Islam negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak, dipengerusikan sendiri oleh DYTM Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah. Zambry sendiri menjadi ahli Majlis itu bersama beberapa orang besar istana dan pegawai-pegawai kanan kerajaan termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang.

Zambry sebagai MB sepatutnya menasihati anak buahnya supaya tidak membantah keputusan yang telah dibuat oleh persidangan Majlis itu.

Akan tetapi beliau tidak bersuara mengingatkan orang-orang UMNO, bahkan dia sepatutnya memberi amaran kepada mereka bahawa perbuatan orang-orang UMNO membantah perlantikan AJK kariah yang telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam yang dipengerusikan oleh DYTM Raja Muda itu adalah bererti menderhaka kepada Sultan, kerana Tuanku Raja Dr Nazrin Shah adalah mewakili Paduka Baginda Sultan Azlan Muhibbudin Shah yang menjadi ketua agama Islam Negeri Perak Darul Ridzuan.

Langgar Undang-undang

Sebenarnya UMNO sejak lebih 50 tahun berkuasa tidak pernah mematuhi kehendak Enakmen atau Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri yang mereka buat sendiri dalam Dewan Undangan semasa mereka berkuasa. Undang-undang itu dibuat hanya untuk menghalang pihak-pihak lain, sekiranya kedudukan kuasa mereka boleh terjejas. Zambry MB UMNO itu tahu bahawa senarai AJK kariah yang dikemukakan partinya tidak dibuat berdasarkan Kaedah-kaedah J/kuasa Kariah 1998, iaitu mengikut kaedah 3 (1) yang memperuntukkan bahawa Pegawai Tadbir Agama (PTA) dan Penghulu, setelah berunding dengan Orang Besar Jajahan (OBJ) hendaklah mencadangkan kepada Majlis, melalui Pengerusi J/kuasa Agama Islam (kini Zambry sendiri penjawatnya) senarai nama cadangan AJK kariah bagi jawatan yang dinyatakan dalam sub-kaedah (2) yang berkaitan.

UMNO selama-lamanya menyalahguna kuasa dengan mengemukakan senarai AJK kariahnya sendiri tanpa melalui PTA dan Penghulu apatah lagi OBJ, padahal UMNO pun tahu bahawa sebahagian mereka yang berkenaan itu tak kurang juga semangat UMNOnya, namun yang penting bagi UMNO bersikap: “Pergi jahanamlah” dengan prosedur atau kaedah-kaedah perundangan itu. Sikap UMNO sedemikian itu mereka cuba tunjukkan juga pada masa kerajaan PR dahulu hingga menyebabkan senarai AJK kariah yang dikemukakan oleh rakyat yang mewakili pelbagai kelompok masyarakat dan aliran politik tidak sempat diluluskan oleh Majlis Agama Islam kerana hendak melayani kerenah UMNO.

Merujuk kepada kenyataan rasmi mengenai permasalahan perlantikan AJK kariah berkenaan yang dikeluarkan oleh pengarah Jabatan Agama Islam Perak Dato’ Sheikh Mohd Nor Mansor Al-Hafiz bertarikh 21 Disember 2009, jelaslah membuktikan bahawa UMNO Perak cuba hendak menimbulkan permasalahan dan fitnah terhadap pentadbiran Agama Islam Perak khususnya terhadap PTA yang kononnya memandai-mandai menukarkan nama-nama dalam senarai AJK yang telah diluluskan dengan menggantikannya dengan nama-nama baru yang tidak disenaraikan. Padahal apa yang sebenarnya berlaku bahawa senarai yang dikemukakan UMNO tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan, maka kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah 1998 digunakan bagi mengemukakan senarai nama cadangan AJK kariah yang kemudian diluluskan oleh Majlis.

Memohon Ampun

Bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh bantahan UMNO Perak dan tuduhan yang tidak berasas ini, Zambry selaku MB UMNO dan Kerajaan BN hendaklah mengeluarkan kenyataan mempertahankan keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak mengenai perkara ini dan menyeru orang-orang UMNO supaya memohon ampun kepada DYMM Sultan Perak dan DYTM Raja Muda Perak atas perbuatan derhaka mereka itu dan janganlah lagi sibuk merebutkan jawatan AJK kariah atau jawatan pegawai-pegawai masjid seperti jawatan imam dan bilal. Zambry sendiri patut sedar dan menyedarkan orang-orang UMNO bahawa amalan mempertikaikan keputusan Majlis dalam perkara-perkara seperti ini boleh memesongkan fokus atau tumpuan Majlis daripada tugasnya yang lebih utama seperti perancangan memakmurkan masjid-masjid itu dan mempertingkatkan kerja-kerja dakwah terutama dalam menghadapi dan menangani gejala sosial dan murtad di kalangan masyarakat Islam di negeri Perak.

Dalam isu yang terang-terang mempertikai kuasa mutlak DYMM Sultan seperti ini SS Mufti Perak Tan Sri Dato’ Seri Hj Harussani Hj Zakaria sewajarnya orang yang pertama mendokong dan mempertahankannya. Setakat ini nampaknya belum kedengaran suaranya yang selalunya amat peka dan cepat memberi kenyataan dalam isu-isu yang melibatkan pakatan politik yang tak serasi dengan UMNO/BN. Beliaulah orang yang sepatutnya menasihatkan UMNO supaya jangan menghabiskan masa berebut-rebut jawatan AJK kariah dan tidak mahu pula berebut-rebut datang ke masjid untuk berjamaah atau mengikuti kuliah pengajian. Tan Sri Dato’ Mufti Perak itu tentu bersetuju dengan saranan ini kerana beliau sendiri pernah memberitahu saya yang beliau sendiri pernah dihalang menyampaikan kuliah pengajian di sebuah masjid di kawasan Ipoh yang AJKnya terdiri dari orang-orang UMNO yang menganggap masjid itu sebagai hak mereka.

Di‘blog’ oleh Ustaz Ahmad Awang pada 23:32