26 Mei 2010

KDN rampas tabloid Kabar Era Pakatan

11 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Baru dua bulan di pasaran, tabloid politik - Kabar Era Pakatan - sudah berdepan dengan tekanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) apabila kira-kira 3,000 nashkah tabloid tersebut dirampas Jumaat lalu kerana memuatkan isu yang menyentuh perdana menteri.

Akhbar yang dirampas itu merupakan nashkah edisi pertama (5 hingga 20 April) dan edisi ketiga (9 hingga 22 Mei).

Ketua pengarangnya, Mat Zahari Ali hairan mengapa akhbar tersebut dirampas sedangkan KDN tidak mengeluarkan apa-apa notis kepadanya sebelum tindakan tersebut diambil.

Sepatutnya, kata beliau, KDN bertindak lebih profesional dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada mereka sebelum mengambil tindakan seperti itu.

Tambahnya, nashkah tersebut dirampas di beberapa premis pengedar di Ipoh dan Taiping di Perak dan juga Gombak, Selangor.

"Ada juga dirampas di kedai-kedai, saya percaya ia bertujuan menakut-nakutkan penjual," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Mat Zahari mendakwa, beliau tidak menerima apa-apa surat daripada kementerian tersebut yang boleh mengesahkan rampasan berkenaan.

"Cuma pada Jumaat lalu saya dimaklumkan (oleh seorang pegawai kementerian) melalui telefon dan melalui e-mel supaya berjumpa mereka bersabit soal permit.

"Tapi mereka langsung tidak cakap mengenai rampasan. Apabila saya tanya (telefon) beberapa orang pegawai kementerian, mereka meminta saya merujuk kepada pegawai atasan.

"Jadi saya rasa tindakan ini diambil dari segi politik, kerana isu-isu yang dimuatkan," katanya.

Keluaran pertama akbar tersebut mengandungi tajuk utama "Siasat hubungan Najib-APCO: Anwar" manakala keluaran ketiga pula digariskan dengan tajuk besar "Najib, Razak Baginda tersenarai" berhubung isu pembelian kapal selam Scorpene.

Mat Zahari sebelum ini merupakan ketua pengarang Konsep Era Pakatan yang berjaya diterbitkan sebanyak 20 keluaran, namun permit tabloid politik itu tidak diperbaharui sejak September tahun lalu.

Berikutan itu, beliau menerajui pula tabloid Kabar Era Pakatan yang mula diterbitkan dengan kekerapan dua minggu sekali sejak awal April lalu.

Mat Zahari menjelaskan, keluaran pertama itu adalah berkenaan hubungan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan firma perundingan awam Apco Worldwide.

"Keluaran ketiga (kanan) pula pula berkenaan skandal pembelian kapal selam Scorpene," katanya.

Katanya, kesemua pegawai KDN yang dihubunginya enggan memberi penjelasan memuaskan.

Pagi ini beliau ke ibu pejabat KDN di Putrajaya untuk bertemu dengan seorang pegawai bernama Abdul Razak Abdul Talib, daripada bahagian permit penerbitan.

"Saya tanya dia kenapa akhbar ini dirampas, dia kata dia tak tahu kerana itu (urusan) bahagian penguatkuasa.

"Saya hairan kenapa bahagian penguatkuasa tidak rujuk bahagian permit. Sepatutnya (Abdul Razak) maklum dengan perkara itu," katanya.

Mat Zahari berkata, beliau kini sedang berusaha untuk menghubungi ketua setiausaha bahagian kawalan penerbitan tersebut Datuk Zaiton Abdul Samad.
"(Ada pegawai) yang kata tindakan itu sebab tajuk tidak sama dengan contoh penerbitan yang dihantar kepada kementerian," katanya lagi.

Mat Zahari berkata, pegawai berkenaan juga memberitahunya bahawa penerbitan itu dikeluarkan tanpa permit.

"Kenapa pula (sebab) tidak ada permit, sebab di (kepala) akhbar ini memang dicetak sekali nombor permit," katanya.

Malaysiakini/-

Malaysia setuju serah tanah KTMB di Singapura

11 Jamadil Akhir H

Malaysia bersetuju memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar di Singapura ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.

Malaysia akan juga menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP.

Keputusan itu dicapai pada pertemuan Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong di Hotel Shangri-La Hotel di Singapura.

Pada sidang akhbar bersama itu, kedua-dua pemimpin berkenaan berkata tanah yang akan dikosongkan itu akan dimajukan oleh sebuah syarikat usaha sama Malaysia-Singapura dikenali M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan sebelum 31 Dis tahun ini.

Syarikat itu melibatkan Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia yang akan memegang 60 peratus kepentingan, dan Temasek Holdings Limited, cabang pelaburan kerajaan Singapura, yang akan memegang baki 40 peratus ekuiti dalam syarikat usaha sama itu.

Menurut satu kenyataan bersama, pertemuan Najib dan Lee banyak berkisar kepada Perkara-perkara Dipersetujui (PoA) mengenai tanah KTMB di Singapura yang menjadi penghalang kepada hubungan baik antara kedua-dua negara.

Tanah KTMB di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah tambahan di Bukit Timah, yang kesemuanya berjumlah 271 hektar, akan diserahkan kepada syarikat berkenaan untuk dimajukan.

Menurut kenyataan berkenaan, tanah-tanah yang dimajukan itu boleh ditukar, berdasarkan nilai masing-masing, dengan tanah di Marina South dan Ophir Rochor di Singapura.

Kedua-dua negara akan membuat penilaian masing-masing, dan Lee dijangka melawat Kuala Lumpur dalam tempoh sebulan ini, dengan cadangan mengenai penukaran tanah itu untuk pertimbangan Malaysia.

Malaysiakini/-

Lesen judi: PAS pohon Raja Melayu campurtangan

11 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Abdul Rahim Sabri & Puteri Aida Haryani

PAS hari ini menyerahkan memorandum kepada Raja-raja Melayu melaui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi memohon campur tangan baginda dalam isu pemberian lesen judi bolasepak.

Memorandum berkenaan disampaikan kepada Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli parlimen Pokok Sena, pemberian lesen bagi membolehkan pertaruhan bolasepak akan membawa padah kepada rakyat, khususnya golongan muda.

"Kelab bolasepak dan pemain mereka menjadi idola remaja, jadi kita bimbang tindakan kerajaan itu akan membawa padah kepada golongan muda,” katanya.

Menurut Mahfuz, alasan kerajaan pemberian lesen itu bertujuan menghindarkan kegiatan pertaruhan secara haram juga tidak dapat diterima.

Dalam pertemuan tersebut, Engku Ibrahim berkata beliau akan mempersembahkan memorandum berkenaan kepada Raja-raja Melayu.

Selain Mahfuz, rombongan itu turut disertai beberapa ahli parlimen PAS yang lain, termasuk Khalid Samad (Shah Alam); Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa); Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat); Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang).

Sementara itu, pada sidang medianya, Mahfuz mendakwa keputusan kerajaan meluluskan lesen judi sukan khususnya lesen judi bagi bola sepak Piala Dunia sebagai amat “memalukan” dan "tidak menghormati Raja-raja Melayu, tidak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan tidak menghormati agama yang menolak kegiatan perjudian".

"Seingat saya, ini kali kedua Datuk Seri Najib meluluskan (lesen judi) sejak mengambil alih menjadi perdana menteri, dengan meluluskan perjudian baru - pertama cabutan khas dan kedua yang ini (lesen judi sukan)," katanya.

Katanya, memorandum ini tidak tertumpu kepada lesen judi untuk Piala Dunia sahaja, malah bantahan itu turut meliputi sukan bola sepak yang lain termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-juara Eropah (UEFA Champions).

Menurutnya, seingatnya, Raja-raja Melayu pernah campurtangan berhubung isu judi apabila membincangkan perlaksanaan loteri kebajikan masyarakat pada tahun 1960-an.

"Tuanku Raja Perlis (Almarhum Tuanku Syed Putra) pada masa itu begitu kuat menentang perlaksaan loteri kebajikan (pada waktu itu)," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Raja-raja Melayu bertindak segera untuk membatalkan lesen perjudian yang diluluskan itu "demi menyelamat maruah mereka daripada dicalar oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab".

Menurut Mahfuz lagi, tindakan kerajaan meluluskan judi ini, telah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk bekas pemain bola sepak negara Datuk Abdul Ghani Minhat.

Mengulas lanjut, beliau berkata Majlis Raja-raja yang akan bersidang pada 26 Jun ini - sewaktu Piala Dunia berlangsung - akan dipengerusikan oleh Tuanku Raja Perlis Syed Sirajuddin ibni Syed Putra.

"Saya memohon perkenan Tuanku Raja Perlis (Syed Sirajuddin) memainkan peranan seperti ayahanda baginda yang menentang loteri suatu ketika dahulu.

"Apakah kita mahu jadikannya sebagai hobi... nampaknya macam nak jadikan (judi) sebagai budaya dalam masyarakat. Isteri dan anak-anak sudah tentu akan menjadi mangsa kepada judi, malah mungkin anak-anak akan turut terlibat sama dalam kegiatan judi.

"Apakah kita akan bahagia satu keluarga akibat ketagih judi. Saya lihat slogan 1Malaysia, sama seperti, 1Malaysia, semua berjudi," katanya sinis.

Menurut Mahfuz yang juga timbalan pesuruhjaya II PAS Kedah, isu loteri suatu ketika dahulu mendapat bantahan daripada ulama-ulama Umno sehingga mereka meninggalkan parti itu dan menubuhkan Persatuan Islam Se-Tanah Melayu dan tertubuhnya PAS.

Antara ulama yang menentangnya, kata Mahfuz, termasuk Ahmad Badawi Abdullah Fahim, ayah kepada mantan perdana menteri Tun Abdullah dan bapa kepada ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.

"Saya juga berharap ulama-ulama pada hari ini, termasuk ulama rasmi dalam kerajaan, mereka harus berperanan secara lebih besar untuk membuat teguran dan bantahan terhadap pelaksanaan judi ini," katanya.

Sehubungan itu, katanya Dewan Harian PAS semalam memutuskan akan menghantar rombongan bagi bertemu dengan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menerangkan sebab-sebab parti Islam itu membantah pemberian lesen judi sukan.

Katanya, rombongan tersebut bakal diketuai oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun tarikh rombongan itu belum ditetapkan dan akan diputuskan oleh pejabat Agung PAS.

Malaysiakini/-

M'sia, S'pura setuju kurangkan tol Linkedua

11 Jamadil Akhir 1431 H

Malaysia dan Singapura bersetuju mengurangkan kadar tol di Linkedua bagi meningkatkan hubungan darat antara kedua-dua negara.

Persetujuan itu dicapai pada pertemuan Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong di Hotel Shangri-La di Singapura hari ini.

Tol di kedua-dua belah Linkedua itu, yang menghubungkan Tuas di Singapura dan Tanjung Kupang di Johor, akan diturunkan pada kadar yang besar, kata kedua-dua pemimpin itu pada satu sidang akhbar bersama di Singapura selepas pertemuan berkenaan.

Kadar baru itu akan diumumkan dalam masa sebulan ini.
Najib berkata beliau dan Lee bersetuju bahawa untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala, hubungan darat antara Malaysia dan Singapura perlu dipertingkat dan dipermudahkan.

Kedua-dua pemimpin itu juga mengumumkan bahawa Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Iskandar Malaysia, yang ditugaskan meningkatkan perhubungan
antara kedua-dua negara, telah bersetuju mengenai beberapa langkah.

Perkhidmatan bas berjadual antara kedua-dua negara akan digandakan dengan memperkenalkan lapan laluan baru, masing-masingnya empat di setiap negara, antara Pasar Bakti dan Larkin di Johor dan dua pusat percutian (Resort World Sentosa dan Marina Bay Sands Singapore), Boon Lay, Yishun, Newton dan Lapangan Terbang Changi di Singapura.

Perkhidmatan teksi antara kedua-dua negara juga akan dipermudahkan, dengan membenarkan teksi mengambil dan menurunkan penumpang dari mana-mana lokasi dalam laluan domestik berbanding dengan hanya di terminal teksi tertentu.

Mengenai pelancongan, kedua-dua negara sedang mengkaji kemungkinan mengadakan produk ekopelancongan berkembar.

Malaysia dan Singapura akan juga berkongsi pengalaman dan merangka secara bersama pelan membersih sungai sejajar dengan usaha yang dijalankan oleh Iskandar Malaysia.

Malaysiakini/-

K'jaan Pakatan tidak lulus premis judi baru

11 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Abdul Rahim Sabri & Puteri Aida Haryani

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat berhasrat untuk mengurang dan menghapuskan perjudian dengan tidak meluluskan premis judi baru sepertimana yang dilakukan di Kedah, kata naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Atas keprihatinan rakyat, semua kerajaan Pakatan mengambil tindakan bersungguh-sungguh dan serius (untuk mengharamkan judi)," kata Mahfuz tang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kedah.

Beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena menegaskan demikian ketika diminta mengulas cabaran Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dan pemimpin Umno kepada kerajaan Pakatan Rakyat supaya mengharamkan judi di negeri yang ditadbir mereka.

Sebelum itu, Mahfuz (kanan sekali) dan beberapa pemimpin PAS yang lain menghantar memorandum kepada Raja-Raja Melayu agar mereka campurtangan bagi membatalkan pemberian lesen judi sukan untuk pertaruhan Piala Dunia bulan depan.

Selain PERKASA, Jumaat lalu, bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dilaporkan mencabar kerajaan Pakatan Selangor supaya menarik balik lesen lebih 4,500 premis perjudian dan rumah urut di negeri itu sekiranya benar-benar berhasrat menghapuskannya.

Dr Khir yang juga ketua pembangkang DUN Selangor berkata, cubaan PAS dan PKR mensensasikan isu berhubung pemberian lesen judi berkenaan, menunjukkan sikap 'double standard' mereka.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, premis judi yang banyak di negeri Pakatan Rakyat, termasuk di Selangor, adalah ‘najis’ peninggalan Umno sewaktu mentadbir negeri-negeri berkenaan.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, ahli parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad menegaskan terdapat gambaran kononnya terdapat pertambahan premis perjudian atau arak di Selangor.

Katanya, dakwaan tersebut adalah satu "pembohongan" dan "tiada pertambahan premis baru yang diluluskan" oleh kerajaan negeri.

"Kita sedang berusaha untuk membersihkan dan mendidik masyarakat agar meninggalkan budaya buruk yang ditanam oleh Umno," katanya yang juga ahli jawatankuasa biro politik PAS.

Malaysiakini/-

JK Aduan SPRM selesai siasat kematian Teoh

11 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazlan Zakaria

Jawatankuasa Aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyelesaikan siasatan dalaman terhadap pegawai SPRM berhubung kematian Teoh Beng Hock tahun lalu, kata pengerusinya, Datuk Mohd Noor Abdullah.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi menentukan sama ada SPRM mematuhi langkah atau prosedur siasatan ketika menyoal-siasat Teoh pada awal pagi 16 Julai lalu.

Pembantu politik itu kemudiannya dijumpai mati pada hari itu, dipercyai jatuh dari ibu pejabat SPRM di Shah Alam.

Pada sidang media di Putrajaya hari ini, Mohd Noor mengesahkan siasatan pihaknya sudah selesai tetapi enggan mengulas.

"Jawatankuasa telah menyediakan laporan dan menyerahkannya kepada ketua pesuruhjaya. Kerja kita selesai di sini dan terpulang kepada suruhanjaya itu untuk bertindak,” katanya.

Sementara itu, menurut Bernama Mohd Noor juga mencadangkan SPRM supaya mewujudkan bilik khas bagi pemeriksaan saksi dan rakaman pernyataan, yang mempunyai kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV), supaya proses siasatan dapat dijalankan dengan lebih selesa.

Katanya, mereka juga perlu mengenal pasti dan menggariskan kriteria tertentu bagi menetapkan keperluan siasatan dari segi penetapan masa, keselesaan saksi dan pegawai tanpa memudaratkan siasatan.

Cadangan penambahbaikan itu adalah antara lapan cadangan yang terdapat dalam laporan pemeriksaan prosedur siasatan berkaitan kes kematian Teoh.

Mohd Noor yang mempengerusikan jawatankuasa aduan itu adalah juga bekas hakim Mahkamah Rayuan.

Jawatankuasa yang ditubuhkan sejak Februari tahun lalu itu turut dianggotai bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Muhammad Mohd Noor, bekas Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Peguamcara dan Peguambela dari Tetuan Chooi & Co Chooi Mun Sou serta Peguamcara dan Peguambela dari VM Ravi & Associates V Ravindran.

Laporan tersebut turut mencadangkan agar proses siasatan mengambil kira faktor kesihatan, keselesaan dan keselamatan saksi serta tanggungjawab pegawai terhadap saksi tersebut sehingga saksi meninggalkan premis SPRM.

SPRM juga perlu membangunkan aspek keselamatan fizikal seperti kelengkapan pagar, pemasangan jeriji, pengawal keselamatan dan kelengkapan CCTV bagi menjamin keselamatan pejabatnya, selain menambah peralatan dan keperluan logistik dari segi kemudahan komputer sehingga cadangan pembinaan kompleks SPRM bagi menjamin aspek keselesaan, keselamatan dan kerahsiaan.

Selain itu, SPRM disaran agar memperbaiki kelemahan dan mengemaskini Perintah-Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya mengenai prosedur mengendalikan saksi dan merakam pernyataan sesuai dengan keperluan siasatan, serta menyemak, mengkaji dan mengadaptasi prosedur pemeriksaan saksi dari agensi penguatkuasaan undang-undang luar negara seperti Hong Kong.

SPRM juga perlu mengadakan kursus komprehensif dan latihan intensif kepada pegawai bagi membentuk kemahiran dan kepakaran dalam pelaksanaan siasatan, menurut laporan itu.

Laporan itu diserahkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, bersama-sama dengan Laporan Tahunan Jawatankuasa Aduan SPRM 2009, di Putrajaya hari ini.

Pemeriksaan prosedur siasatan yang dijalankan sejak Julai tahun lalu itu turut menetapkan lapan terma rujukan iaitu menyemak sama ada SPRM mempunyai garis panduan mengenai aspek mengendalikan saksi dan merakam pernyataan, serta memutuskan sama ada pegawai telah mematuhi garis panduan mengendalikan saksi dan merakam pernyataan dalam kes tersebut.

Ia juga menyemak sama ada SPRM mempunyai garis panduan dalam melaksanakan pemeriksaan saksi (soal siasat), menyemak sama ada undang-undang membenarkan pegawai memeriksa dan mencatatkan jawapan saksi sebelum proses sebenar merakam pernyataan, serta menilai keterdesakan siasatan dalam merakam pernyataan saksi
sehingga lewat pagi.

Ia turut menentukan sama ada saksi yang mendapat kebenaran balik ke rumah tetapi memilih untuk berada di premis SPRM masih dalam tanggungjawab SPRM, menilai tahap keselesaan saksi menjalani proses siasatan di premis SPRM serta menyemak kelengkapan logistik dan menilai tahap keselamatan fizikal premis SPRM.

Ketua pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed juga tidak mahu menghurai lanjut tetapi berjanji akan bertindak berdasarkan dokumen lapan perkara berkenaan.

Ditanya sama ada laporan itu akan dikeluarkan semasa inkues kematian Teoh, Abu Kassim berkata ia akan dilakukan jika ada permintaan bagi berbuat demikian.

Malaysiakini/-

Desak Samy letak jawatan, 2 lagi pemimpin MIC dipecat

11 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: S Pathmawathy

Dua lagi pemimpin MIC yang turut mendesak Datuk Seri S Samy Vellu meletak segera jawatan presiden, telah dipecat dari MIC.

Mereka ialah ahli jawatankuasa MIC - KP Samy dan G Kumar Amaan - yang mengadakan sidang akhbar minggu lalu untuk menyuarakan kekecewaan mereka terhadap Samy Vellu kerana tidak meletakkan jawatan lebih awal.

Dengan itu, tiga pemimpin parti itu telah dipecat kerana berani membuka mulut menentang pemimpin nombor satu MIC itu.

KP Samy dan Kumar dimaklumkan secara bertulis mengenai pemecatan mereka hari ini atas alasan mereka bertindak berlawanan dengan kepentingan parti.

Mereka dipecat lima hari selepas timbalan ketua Pemuda MIC, V Mugilan dipecat kerana secara terbuka mendesak Samy Vellu meletak jawatan dengan segera dan menyifatkan beliau (Samy) sebagai satu liabiliti kepada BN.

Ini adalah kali ketua KP Samy dipecat dari parti itu kerana lantang melawan presiden. Kali pertama ialah pada 1988 bersama dengan naib presiden ketika itu, MG Pandithan, yang mendakwa wujud politik kasta.

Malaysiakini/-

Zaid fail petisyen isytihar keputusan Hulu S'gor tak sah

11 Jamadil Akhir 1431 H

Calon PKR yang ditewaskan bagi kerusi pilihan raya kecil parlimen, Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim hari ini memfailkan petisyen bagi mengisytiharkan keputusan pilihan raya itu tidak sah.

Beliau mendakwa berlakunya amalan rasuah yang berleluasa oleh pencabarnya.

Petisyen itu difailkan dengan hujah calon BN, P Kamalanathan telah “secara langsung ataupun tidak” mengetahui tawaran yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa berkempen.

"Petisyen tertumpu kepada janji RM3 juta oleh Najib (kepada SRKJ (C) Rasa) dan tawaran-tawaran kepada peneroka Felda," kata peguam Zaid – Malik Imtiaz Sarwar semasa sidang akhbar di rumah Zaid di Petaling Jaya.

Petisyen pilihan raya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi Tetuan Thomas Philip itu, menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Hulu Selangor Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai defendan.

Pada sidang media sebelum ini, Zaid mendakwa jentera dan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) mengamalkan rasuah melalui pelbagai janji yang dibuat untuk meraih undi rakyat.

Katanya, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa gagal mengendalikan pilihan raya kecil itu dengan adil.

Pada pilihan raya itu, calon BN, P Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi.

Malaysiakini/-

25 Mei 2010

Setiausaha PAS Gerik meninggal dunia.

Satu kehilangan besar kepada PAS Kawasan Gerik apabila kembalinya ke Rahmatullah Setiausaha PASnya, Hj. Ahmad Damanhuri bin Din pada jam 4.45 petang tadi di Hospital Ipoh.

Menurut maklumat dari PAS Kawasan Gerik jenazah akan disembahyangkan pada jam 11.30 malam ini di Mesjid Gerik

Bagi sahabat yang ingin menziarahi sila ke No. 1B, Kg. Terap 33300 GERIK, berdekatan dengan Bandar Gerik.

Beliau terlibat dengan satu kemalangan selepas Isya malam tadi apabila kenderaan motosikalnya melanggar sebuah lori yang berhenti di tepi jalan di Kampung Padang Kunyit .

Selepas itu dia dimasukkan ke Hospital Gerik sebelum di pindahkan ke Hospital Ipoh pagi tadi. Dikatakan arwah mengalami kecederaan serius dibahagian dada dan mengalami pendarahan paru-paru akibat kemalangan itu.

Semuga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan menempatkan rohnya bersama roh orang yang soleh, al Fatihah...

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Sivakumar

10 Jamadil Akhir 1431 H

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar, untuk mengenepikan keputusan benarkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang keluar parti menjadi wakil rakyat Bebas untuk mengekalkan kerusi masing-masing.

Sivakumar dalam permohonannya berkata keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini dibuat tanpa kuasanya dan mahu keputusan itu dibatalkan..

Penghakiman pada 9 April itu menafikan bahawa kerusi tiga ADUN yang berpaling tadah itu yang diisytiharkan kosong oleh Sivakumar supaya pilihan raya kecil boleh diadakan.

Keputusan panel tiga hakim hari ini juga mengesahkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai kuasa mutlak mengisytiharkan kerusi berkenaan kosong.

Perihal judi dan masa depan Islam

10 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: ZAMRI

Allah swt berfirman dalam surah al Baqarah 219:

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.

Isu yang terpampang di hadapan kita pada hari ini adalah lesen judi bolasepak yang diberitakan akan diberi oleh kerajaan Pusat kepada konglomerat judi Berjaya Group milik Tan Sri Vincent Tan. Lesen ini nanti akan membolehkan Berjaya mengambil pertaruhan dari rakyat Malaysia khasnya sempena kejohanan bolasepak Worl Cup 2010 di Afrika Selatan mulai 11 Jun sehingga 11 Julai nanti. Denganlesen inijuga syarikat ini nanti boleh memungut pertaruhan untuk berbagai jenis sukan lain.

Alasan pemberian lesen itu kononnya mahu mengelakkan judi secara “black market” atau haram yang hanya akan merugikan pihak kerajaan.

Hari ini di Malaysia kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional bertanggungjawab meluluskan beberapa lesen judi pertaruhan nombor yang diberikan kepada beberapa syarikat antara yang terbesar termasuklah Magnum, Pan Malaysian Pools dan Berjaya sendiri. Hasil cukai yang dipungut dari industri yang diharamkan oleh Islam ini mencecah RM1.2 bilion.

Ayat di atas jelas mengharamkan kegiatan judi samada berlesen atau tidak dikalangan umat Islam. Sudah pastilah mana-mana umat Islam yang diberi kuasa oleh Allah swt memerintah, akan terpikul beban di atas bahunya untuk memastikan yang kegiatan yang dimurkai oleh Allah swt ini tidak diizinkan dikalangan rakyatnya khasnya yang beragama Islam.

Pada suasana hari ini ayat ini tidak terkena di atas kepala Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin sahaja, tetapi turut terkena pada kepala Nik Abd Aziz, Azizan Abd Razak, Khalid Ibrahim dan lain-lain.

Tetapi di Malaysia pihak yang memberi lesen kepada kegiatan judi adalah Menteri Kewangan iaitu dari kerajaan Pusat. Sejak dari zaman loteri kebajikan masyarakat lagi, kuasa memberi lesen ini terletak pada kerajaan Pusat. Kerajaan-kerajaan negeri sekadar memberikan lesen premis melalui Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing. Contohnya di Kelantan dan dahulu Terengganu semasa PAS memerintah, lesen-lesen premis bagi kegiatan atau aktiviti judi berlesen telah diharamkan.

Hari ini isunya adalah lesen judi sukan yang mahu diberikan kepada Vincent Tan. Apakah perlu dan mendesak sangat lesen ini pada ketika ini? Hari ini tentangan terhadapnya bukan hanya didengar dari PAS malah pimpinan Umno, BN dan NGO turut bersuara menentangnya. Mantan PM Abdullah Badawi turut mendesak agar pihak kerajaan menghormati pandangan rakyat dan tidak meluluskan lesen ini.

Isu kononnya lesen ini bukan lesen baru tetapi lesen yang dikeluarkan semula kepada Berjaya tidak berbangkit. Yang penting adakah kerajaan BN akan melulus atau mengeluarkan semula lesen ini tanpa mengambil kira bantahan orang-ramai, tanpa sensitif pada luahan hati umat Islam, tanpa taku pada peringatan Allah swt?

Dalam mendepani isu ini kita lihat malah kalangan ahli dan pimpinan Umno pun tidak bersetuju. Tetapi adalah juga segelintir yang menangguk di air keruh. Ada antara yang berkata kenapa kerajaan PR yang turut disertai PAS tidak menuntut agar diharamkan judi yang ada di negeri-negeri PR seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor?

Ternyata ianya usaha untuk lari dari isu sebenar, tapi tak mengapalah, bukankah itu memang pun sikap mereka.

Kepada Khir Toyo yang turut termasuk dalam golongan ini, tidakkah saudara sedar lesen premis judi yang ada di Selangor hari ini yang diluluskan oleh pihak PBT seluruh Selangor merupakan warisan kelulusan yang diberikan semasa saudara dan barisan MB sebelum saudara (semua dari Umno) berkuasa dahulu! Kalau Umno benar berjuang untuk kepentingan agama, bangsa dan negara mengapa tidak saudara tutup sahaja premis-premis ini sebagaimana yang dilakukan oleh Nik Aziz di Kelantan?

Atas alasan Selangor negeri berbilang kaum, kita raikan dahulu warisan ini. Namun setahu saya ahli-ahli majlis PAS yang duduk dalam 12 PBT seluruh Selangor tidak akan bersubahat meluluskan mana-mana lesen baru di kawasan masing-masing. Saya sendiri selaku ahli majlis di Subang Jaya sepanjang PR memerintah telah menolak lesen-lesen baru dan rakan-rakan ahli majlis dari DAP dan PKR menghormati pendirian PAS itu.Adakah semasa Umno dahulu perkara yang sama berlaku?

Dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor,PBT di Selangor sering mengadakan operasi memastikan premis-premis judi ini tidak dilanggani oleh orang Islam. Dan insyallah kita akan meneruskan operasi ini supaya orang-orang Islam yang terpesong ini tidak lagi melakukan amalan haram itu.

Kehadiran PAS di Selangor contohnya walaupun dengan saham kecil dalam kerajaan campuran ini, tetap tidak sekali-kali menggadai prinsip dan dasar perjuangan. Kita insaf yang kita rakan terkecil namun dalam bab hukum-hakam dan syiar Islam kita sekali-kali tidak akan rela ia dipersenda atau dipermainkan apalagi tidak dihormati. Pencapaian kita yang paling besar adalah menerima pengiktirafan dan penghormatan dari rakan-rakan DAP dan PKR.

PAS akan terus memainkan peranannya kerana tuntutan perjuangannya tidak akan sekali-kali pada dalam apa keadaan dan suasa sekali pun.

Umno bagaimana? Marilah dalam bab Islam ini kita mengenepikan politik kepartian. Umno punya kuasa diperingkat pusat. PM dan TPM serta semua MB-MB kecuali KM Sarawak adalah dari Umno. Mengapa perlu berdolak-dalik dalam isu lesen judi baru kepada Berjaya ini? Batalkan sahaja atau jangan beri kelulusan atas nama Islam. Malah masyarakat bukan Islam pun saya yakin tidak nampak manfaat yang besar dari judi ini yang hanya membawa kesan sosial yang negatif dan keruntuhan rumah tangga.

Kalau Umno berani menjual saya yakin PAS pun berani membeli demi masa depan dan kelangsungan Islam. Kita hormati hak dan amalan rakyat yang bukan Islam tetapi atas sesama Islam kita perlu bertegas dalam memelihara dan mempertahankan Islam.

Buktikan keikhlasan kita bukan hanya menuntut di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang tetapi juga di Perlis, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Kita pelihara dan martabatkan Islam menurut keupayaan kita.

Yang mendesak hari ini rakyat mahu lihat kerajaan pusat batalkan lesen judi ini, Malaysia boleh?

Terjaminkah Hak Asasi Manusia di Malaysia?

10 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: ZAMRI

Saya terbaca dalam sebuah akhbar betapa pihak polis di Negeri Sembilan menolak permohonan permit ceramah yang dipohon oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu. Kononnya penolakan permit itu atas alasan faktor keselamatan.

Baru minggu lepas kita dapat tahu yang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) telah mengangkat Malaysia menjadi anggota Majlis Hak Asasi Manusia (UNHRC) badan dunia itu. Ketika pengumuman lantikan itu dibuat Wisam Putra mengeluarkan kenyataan bahawa perlantikkan Malaysia itu mencerminkan komitmen negara ini terhadap mempertahan dan mempromosi hak asasi manusia diperingkat global.

Hak asasi manusia apa jika hak bersuara pun dilarang?

PKR adalah sebuah parti politik yang sah berdaftar yang mempunyai ahli parlimen di Dewan Rakyat dan Negara malah punya MB dan anggota EXCO di negeri-negeri di Malaysia, selain ADUN di negeri-negeri termasuk di Negeri Sembilan.

Tidakkah menafikan permit ini suatu penafian hak asasi? Alasan keselamatan yang diberikan sungguh tidak relevan. Bilakah kali terakhir sebuah ceramah politik anjuran Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan berakhir dengan rusuhan dan huru-hara?

Bagi saya penafian permit ceramah ini memberi aib kepada negara setelah dilantik duduk dalam UNHRC.

Sepatutnya sebagai anggota UNHRC, Malaysia membuktikan bahawa hak asasi manusia dijamin, dipertahankan malah dipelihara dalam negara sendiri. Apa guna jadi juara global sedang anak di rumah mati kelaparan?

Demokrasi atau kuku besi?

10 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: ZAMRI

Saya cukup terganggu melihat gambar dalam akhbar The Star hari ini.
Gambar menunjukkan ADUN Sarawak dari PKR Dominique Ng ditahan oleh anggota polis apabila beliau bertindak untuk masuk ke bangunan DUN Sarawak.

Dominique telah digantung oleh DUN beberapa hari lalu apabila enggan mematuhi arahan Speaker.

Bagi saya penggantungan tidak bermakna beliau tidak boleh masuk ke bangunan dewan untuk apa sahaja urusan lain. Sejak bilakah negara kita mengamalkan peraturan kuku besi sebegini?!

Bayangkan gambaran dunia antarabangsa melihat seorang wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi tetapi diperalakukan begini bagaikan seorang penjenayah.

Saya pasti rakyat Sarawak mengikuti perkembangan ini. Tidak mustahil rakyat akan bertindak balas, dan mangsanya sudah pastilah BN dalam pilihanraya negeri tidak lama lagi.

JUDI BOLASEPAK: UMNO TETAP SOKONG

10 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat kesal diatas kegagalan Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak untuk hadir bersama-sama seluruh rakyat yang berhimpun membantah kelulusan lesen judi bolasepak Piala Dunia tahun ini oleh Kerajaan Pusat kepada Berjaya Group walaupun ada membuat kenyataan sokongan terhadap bantahan didalam media tetapi tidak langsung menjawab surat jemputan yang telah di sampaikan oleh DPPN Pk untuk bersama dalam himpunan aman bagi melahirkan rasa kesal dan bantahan terhadap isu tersebut.

DPPN Pk melihat, Pemuda Umno Perak begitu takut untuk menzahirkan bantahan atau menyatakan sokongan terhadap himpunan tersebut tidak sepertimana Gagasan Melayu Perak (GMP) yang telah menghubungi DPPN Pk menyatakan sokongan himpunan bantahan dan mengarahkan Ahli-ahlinya untuk hadir bersama-sama. Inilah sikap sebenarnya Pemuda Umno Perak yang tidak langsung sensitif terhadap kelulusan lesen judi bolasepak tersebut dan sanggup menjadi seorang muslim yang dayus dan pengecut dalam isu-isu yang berkaitan Islam.

DPPN Pk juga amat kesal dengan sikap tidak profesional pihak Polis di dalam memastikan kelancaran bantahan tersebut dengan mencentuskan suasana tegang menyebabkan rakyat masih marah terhadap pihak Polis. Isu yang di utarakan adalah berkaitan kepentingan seluruh rakyat dan Polis seolah-olah menyekat bantahan tersebut kerana Kerajaan yang telah meluluskan lesen judi tersebut. Apa yang dikesali, rakyat yang diberikan kebebasan bersuara bagi menyampaikan bantahan tersebut disekat oleh pihak Polis.

Bagi DPPN Pk berharap ramai lagi pihak akan terus membantah kelulusan lesen judi bolasepak tersebut demi memelihara rakyat dari terus dirosakkan moral dan masalah sosial yang akan terus meningkat akibat daripada kebenaran kelulusun lesen judi tersebut. Bagi yang Beragama Islam, sudah tentu akan merosakkan akidah kerana Kerajaan telah meluluskan suatu yang tidak sepatutnya berlaku di dalam Negara kita ini.

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Makan Malam Amal PAS Kawasan Miri dan Mesyuarat Agung Kali Pertama dirasmi oleh YB Mahfuz

10 Jamadil Akhir 1431 H
pasmiri@gmail.com

Alhamdulillah buat julung kali setelah disahkan pendaftaran PAS Kawasan Miri;seluruh ahli telah berkumpul di Hotel Telan Usan bagi menjayakan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Miri kalai pertama. Lebih manis ia telah dirasmikan oleh Naib Presiden PAS,Tuan Haji Mahfuz Omar.

Tuan Haji Mahfuz dalam ucapan perasmian;telah mengajak seluruh ahli PAS Miri untuk meneruskan agenda dakwah dan tarbiyyah bagi memastikan teras perjuangan ISLAM disampaikan kepada seluruh masyarakat Sarawak. Usaha dakwah ini bukan sekadar untuk kemenangan pilihanraya semata tetapi adalah untuk generasi yang akan datang.

YB menegaskan akan peri penting memahami semua ilmu siasah syariah dalam mendepani isu semasa;apatah lagi kerjasama UMNO/BN dengan Yahudi APCO pasti akan berusaha menghalang usaha dakwah ISLAM ini. Dalam ISLAM;kepimpinan adalah satu AMANAH bukannya Ghanimah(mencari kekayaan).

YDP PAS dalam ucapan dasar telah menggariskan hala tuju PAS Miri berpaksi pada perkaderan,tarbiyyah dan dakwah seterusnya pemantapan organisasi dan ekonomi jemaah.
Dengan ini;insyaALLAH PAS Miri akan menghantar perwakilan ke Muktamar PAS Pusat di Pusat Tarbiyyah Islami Kelantan (PUTIK) pada 11-13 Jun ini. TAKBIR!

Makan Malam Dana Kebajikan PAS Miri

Alhamdulillah;satu majlis makan malam bagi Pelancaran Dana Kebajikan PAS Kawasan Miri telah berjaya diadakan dengan cukup meriah sekali di Hotel Mega , Miri pada Jumaat 21 Mei 2010. Program yang dimulai dengan Solat Isya ' berjemaah di Masjid Jamek Miri diikuti dengan pengisian rohani dengan bacaan Al-Quran;selain ucapan pimpinan Pakatan Rakyat Miri disamping ucaptama Tuan Haji Mahfuz Omar;Naib Presiden PAS yang buat kali pertama hadir ke Miri. Turut diadakan penyampain sumbangan kepada 11 keluarga penerima Tabung Kebajikan PAS Miri.

YDP PAS Miri;Tuan Haji Jofri dalam ucapan aluan menyatakan program makan malam yang diadakan paada waktu yang hampir sama dengan makan malam sambutan hari jadi Ketua Menteri;Taib Mahmud pasti memberi signal jelas akan kemunculan PAS dalam mengambil alih peranan PBB yang semakin ditolak oleh Rakyat. Kehadiran orang ramai memenuhi setiap ruang dalam Dewan di Hotel Mega menjadi saksi kebangkitan suara rakyat Miri dalam membuat perubahan besar di Miri seterunya seluruh Sarawak. Bagi rakan DAP;Sdr Michel Ding menganngap program Makan malam itu sebagai satu penghargaan besar tenaga kerja Pakatan dalam membantu menjayakan misi kemenangan DAP/Pakatan di Sibu. Untuk rekod PAS Miri turut menghantar 20 orang petugas sepanjang kempen diadakan.

Dr Michael Teo;Ketua PKR Miri pula menzahirkan keperluan seluruh jentera Pakatan Rakyat Miri untuk meneruskan usaha membongkar kezaliman BN untuk disampaikan kepada rakyat khasnya isu penyelewengan dan rasuah;tindakan zalim BN terhadap ADUN Pakatan semasa sidang DUN dan skandal besar negara seperti Scorpene dan Fitnah Liwat 2 DSAI. Puan Magdeline;Ketua Wanita SNAP pula;menjelaskan akan kerja buruk BN yang telah dilakukan BN sejak SNAP berada dalam kerajaan. Hasil negeri tidak digunakan untuk kebajikan rakyat tetapi untuk kepentingan kroni BN sahaja.

YB Mahfuz Omar dalam ucapan beliau mengingatkan seluruh jentera Pakatan Rakyat akan cabaran yang lebih kuat oleh BN dalam menghalang kemaraan rakyat ketika ini. Kerjasama APCO-UMNO pasti akan merancang untuk menyekat usaha reformasi rakyat ;tapi beliau yakin solidariti Pakatan Rakyat mampu membuat perubahan besar di Miri,lantas ke seluruh Sarawak dan terus ke seluruh negara. dalam ucapan selama 45 minit itu;YB Mahfuz memberi jaminan akan keterbukaan PAS dalam kerjasama erat Pakatan Rakyat disamping mengingatkan semua pimpinan dan ahli bahawa agenda perjuangan untuk rakyat dan berkebajikan ini bukan sekadar untuk pilihanraya akan datang tetapi adalah untuk memastikan kecemerlangan generasi akan datang.

Program berakhir dengan penuh jaya sekali dengan hampir lebih 2 ribu ringgit dikutip sepanjang makan malam dan ini menjadi peniup semangat jentera PAS bersama Pakatan dalam meneruskan agenda rakyat dan berkebajikan. Sudah pasti sambutan hari lahir Taib Mahmud ke 74 di Hotel Parkcity Miri kira kira 10 km dari Hotel Mega merupakan satu mimpi ngeri untuk Ketua menteri paling lama didunia itu.