01 Jun 2010

Millatfacebook Dilancar Selepas Facebook Hina Nabi Muhammad


17 Jamadil Akhir 1431H.

KUALA LUMPUR: Satu laman web rangkaian sosial popular iaitu Millatfacebook diperkenalkan bertujuan untuk mewujudkan kesejahteraan hidup orang Muslim tanpa sebarang penghinaan ke atas Islam.

Persis rangkaian sosial popular Facebook, Millatfacebook dibina oleh sekumpulan rakyat Pakistan dan merupakan laman web rangkaian sosial pertama negara itu.

Semuanya bermula apabila seorang pengguna Facebook menganjurkan satu pertandingan ‘Hari Melukis Gambar Nabi Muhammad’.

Pertandingan yang diilhamkan oleh seorang kartunis Amerika Syarikat (AS) itu kononnya bertujuan ‘menggalakkan kebebasan bersuara’ telah dilihat oleh umat Islam sebagai menghina agama Islam.

Tindakan tersebut sekaligus menimbulkan kemarahan rakyat Pakistan, malah umat Islam di seluruh dunia.

Koordinator Millatfacebook, Salman Ahmed berpendapat, Facebook sangat popular kerana dua sebab iaitu ia menjadi tempat di mana orang dengan mudah menyalahgunakan hal-hal sulit dan peribadi mereka dan kedua, ia memiliki unsur-unsur berat sebelah dan 'menentang' persamaan hak.

“Saya berkata demikian kerana pada sebelah tangan isu-isu berkaitan Holocaust tidak boleh dibincangkan tetapi pada sebelah tangan yang lain perasaan umat Islam boleh terus disakiti dengan pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad. "Walaupun beribu-ribu aduan telah dibuat terhadapnya (pertandingan karikatur Nabi Muhammad), namun pihak pengurusan Facebook tidak memadam atau mengharamkan halaman itu," katanya.

Halaman Facebook yang menghina Islam itu telah menarik lebih 105,000 peminat dengan paparan lima muka surat yang mengandungi lakaran kasar serta karikatur Nabi Muhammad.

Islam melarang sebarang lukisan yang menggambarkan Nabi Muhammad dan menganggapnya sebagai kufur.

Salman menjelaskan, sebab pihak pengurusan Facebook tidak mengharamkannya kerana ia adalah propaganda kebencian terhadap Islam dan jelas sekali mereka berselindung di sebalik propaganda kebebasan bersuara.

Malah, beliau mempersoalkan tidakkah mereka mempunyai idea tentang sebesar mana sayangnya dan penghormatan orang Islam terhadap Nabi Muhammad.

“Dan percubaan bodoh ini hanya akan menyatukan kami umat Islam sebagai satu umah dan ini menunjukkan betapa kami begitu serius tentang bagaimana untuk mempertahankan serangan-serangan itu,” ujarnya.

Salman mendakwa, Facebook menjana perolehan sebanyak 47 hingga 50 peratus daripada umat Islam dan kira-kira 10 hingga 12 peratus daripada jumlah itu adalah dari Pakistan.

Millatfacebook telah diperkenalkan oleh sekumpulan enam profesional muda teknologi maklumat (IT) dari Lahore, sebuah bandar budaya di Pakistan.

Setakat ini, laman berkenaan mempunyai keahlian kira-kira 64,714 individu dari seluruh dunia.

Fungsinya menyamai Facebook sedia ada yang mempunyai ‘wall’ untuk rakan-rakan bagi membolehkan mereka memberi komen.

Ia turut menawarkan kemudahan lain seperti emel, gambar, video, ruang sembang dan perbincangan.

Salman berkata, Millatfacebook adalah alternatif kepada Facebook dan ia direka menyamainya dari segi ciri-ciri dan kemudahan lain.

“Ia adalah untuk semua, malah sesiapa sahaja dari mana-mana agama tanpa sebarang penghinaan terhadap agama dan perkauman boleh menjadi ahli,” katanya

Mstar/-

Khairy gagal ketepi perintah bayar RM100 juta kepada Anwar

17 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar gagal mengenepikan perintah untuk membayar RM100 juta kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas gagal mengenepikan 'penghakiman engkar' (judgment in default) yang diperolehi Anwar sebelum ini.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nazri Yahya juga mengarahkan beliau membayar kos yang terlibat dalam prosiding hari ini.

Penghakiman engkar terhadap Khairy diperolehi oleh Anwar pada 4 Disember 2008 selepas beliau (Khairy) gagal memfailkan kehadiran selepas disaman Anwar.

Namun begitu, Khairy telah memfailkan rayuan untuk mengenepikan perintah itu pada bulan Februari 2009 lalu.

Anwar menyaman Khairy ekoran ceramah beliau di Lembah Pantai pada 20 Februari 2008 yang antara lain membayangkan Anwar sebagai seorang yang homoseks, rendah moral dan tidak mengamalkan akhlak Islam.

Dalam perbicaraan di depan penolong kanan pendaftar hari ini, Khairy yang juga anggota Parlimen Rembau diwakili oleh Muhammad Shafee Abdullah dan Badrul Munir Bukhari manakala Anwar diwakili oleh Sankaran Nair dan Wan Anuar Syahadat.

Harakahdaily/-

Nik Aziz syukur PAS kekal bersama Pakatan Rakyat

17 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

SEPANG, 30 Mei: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyuarakan rasa syukur kepada Allah kerana kekal memelihara PAS bersama-sama dengan Pakatan Rakyat untuk menggantikan Umno BN pada pilihanraya umum ke-13 (PRU13) kelak.

“Mahu tak mahu, Allah dah siapkan kita bersama DAP dan PKR untuk kita (PAS) sebut tentang Islam untuk ganti Umno.

“Alhamdulillah, sekarang ini PAS dah bersama Pakatan (Rakyat) dan tolak (usaha) perpaduan (PAS) dengan Umno,” jelas beliau tengah hari tadi ketika merasmikan Masjlis Pecah Tanah Kompleks PAS di Paya Indah Wetland, di sini. (Gambar)

Disebabkan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS seharusnya terus mendekati masyarakat bukan Islam dari kalangan kaum Cina dan India untuk menghadapi Umno, selain memperkukuh hubungannya dengan masyarakat Islam berbangsa Melayu.

“Yang lawan kita ini bukannya orang Cina, orang India bukan Islam, yang lawan kita ini dalam pilihan raya nanti orang Melayu (Umno).

“Sebab ini, dalam pilihan raya nanti yang lawan PAS bukannya orang Cina, tetapi orang Islam sendiri (Umno),” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memuji kepemimpinan PAS kerana meletakkan PAS sebagai parti yang disegani oleh masyarakat Islam dan bukan Islam di tanah air.

“Setahun dua ini, orang Cina mulai rapat dengan PAS, orang India mulai rapat dengan PAS atas pemimpin kita yang tolak politik perkauman,” ujar beliau.

Mengambil contoh reaksi rakyat terhadap PAS dalam pilihan raya kecil Sibu baru-baru ini, beliau turut menyuarakan rasa yakin bahawa masyarakat bukan Islam kian mengenali keindahan Islam.

“Di Sibu baru-baru ini, orang Cina yang sokong DAP mula rapat dengan PAS, mula-mula rapat dengan PAS, selepas ini rapat dengan Islam,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, tidak mustahil Islam di tanah air akan dominan dengan keislaman bangsa Cina dan India kerana sejarah membuktikan bahawa kedua-dua bangsa itu lebih awal menerima Islam berbanding bangsa Melayu serta sudahpun mempunyai tamadun Islamnya yang tersendiri.

Sebelum pada itu, Abdul Hadi mewakili kepemimpinan PAS Pusat merakamkan penghargaan kepada Nik Abdul Aziz kerana sudi merasmikan masjlis pecah tanah tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyeru seluruh rakyat khususnya ahli-ahli PAS supaya berlumba-lumba berwakaf harta untuk membina kompleks PAS sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq dengan membeli sebidang tanah untuk didirikan Masjid Nabawi di Madinah.

Turut bercakap di pentas yang sama, Datuk Husam Musa selaku Pengarah Jawatankuasa Pembinaan Kompleks PAS.

Sebarang derma dan sumbangan wakaf boleh disalurkan melalui Bank Islam Sdn. Bhd. (BIMB) bernombor 14023010039098 atas penama Parti Islam SeMalaysia Markaz Tarbiah PAS.

Harakahdaily/-

Mantap ekonomi sebelum melangkah ke Putrajaya

17 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 30 Mei: Naib Presiden PKR, Lee Boon Chai memberi ingatan Pakatan Rakyat tidak boleh mengharapkan isu dalaman Umno sahaja untuk melangkah ke Putrajaya tanpa ada pelan ekonomi yang mantap.

Beliau berkata, sebelum ini banyak pihak bercakap untuk melangkah ke Putrajaya pada pilihan raya umum ke 13 sedangkan pelan ekonomi berteraskan keadilan belum dikemukakan kepada rakyat.

“Urus tadbir yang baik perlu dipertingkatkan. Saya percaya pemimpin kerajaan negeri biar pun menghadapi tekanan namun prinsip urus tadbir berteras kebajikan semakin menjadi kenyataan,” ujarnya ketika menggulung perbahasan sempena Kongres PKR petang ini.

Kata beliau biar pun Menteri Besar Selangor dilantik oleh parti, namun suara dari rakyat perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan rakyat terus merajuk.

“Hulu Selangor walaupun tidak menang, tapi PKR telah menunjukkan kejayaan dalam menghadapi persaingan sengit pihak lawan.

“Seperti kata perdana menteri you help me, me help you. Inilah juga yang menjadi syarat kerajaan BN sehingga memberi lesen judi pada Berjaya Group. Ini perlu didedahkan kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau juga turut mengingatkan budaya tunjuk muka, show face hanya kepada Ketua Umum perlu dielakkan sekiranya ingin memajukan parti dan menjadi tonggak dalam perjuangan Pakatan.

Jalan ke Putrajaya

Seorang lagi Naib Presiden, Sivarasa melahirkan rasa yakin Pakatan Rakyat akan sampai ke Putrajaya mengikut susun atur perjalanan yang berlaku akhir-akhir ini.

Kata beliau contohnya pilihan raya kecil kecil Hulu Selangor dan Sibu merupakan petunjuk Pakatan Rakyat semakin mendapat tempat di hati rakyat.

“Sibu aspirasi dan petunjuk baru angin perubahan mula meniup dengan sokongan hingga 70 peratus masyarakat terhadap Pakatan," katanya.

Beliau berkata, biar pun PKR kecewa di Hulu Selangor, namun terpaka akur kerana BN banyak melaburkan duit untuk menang.

Oleh itu katanya, biar pun tidak menang, namun kerajaan Selangor perlu terus membantu masyarakat di Hulu Selangor teruatamanya dari aspek kemudahan asas yang masih ketinggalan.

“Program kebajikan juga perlu dipertingkat. Kita kena sedar dan faham kawasan estet telah memberi satu mesej yang jelas kenapa kita ditolak. Oleh itu program kebajikan secara berterusan kena diteruskan.

“Ia tanggungjawab bersama dan bukannya kerajaan Selangor sahaja. Kita kena terimalah kenyataan kesilapan yang berlaku sebelum ini," katanya.

Beliau turut berharap program kebajikan diteruskan di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Negara muflis

Azmin Ali yang juga Naib Presiden PKR memberitahu pemimpin Umno sudah tidak boleh diharapkan lagi kerana mereka sedang mengundang negara ke arah hampir muflis.

Menurutnya kerajaan Pakatan rakyat tidak boleh melakukan sama seperti pemimpin kerajaan BN terutama di zaman Tun Dr Mahathir Mohamed yang hanya menjaga kronisme dan kelompok kecil pemimpin parti sahaja.

“Mahathir hanya menyalahkan konspirator barat apabila berlaku kegawatan ekonomi negara, walhal beliau gagal mentadbir negara. Jadi kita tidak mahu peristiwa seperti itu berulang kembali di negeri Pakatan," ujarnya

Azmin yang juga anggota parlimen Gombak mencadangkan ketua-ketua jabatan dari negeri-negeri Pakatan Rakyat hadir pada kongres parti pada masa akan datang kerana pelbagai masalah rakyat dibincangkan.

Pada masa yang sama beliau turut menempelak pengkhianat parti khususnya jaguh lompat supaya jangan lagi mengaku sebagai anak didik Anwar Ibrahim kerana mereka hanya sekejap sahaja bersama pemimpin utama PKR itu.

“Sedangkan lebih ramai lagi yang berada dengan Anwar Ibrahim sampai berbelas tahun terus kekal sehingga ke hari ini. Inilah sebenarnya anak didik Anwar yang kekal istiqomah dalam perjuangan,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Tentera Laut Israel mula kepung Konvoi Gaza

17 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa Gaza (Freedom Flotilla) dalam keadaan bersedia tatkala menghampiri perairan Gaza setelah dimaklumkan bahawa ada beberapa buah kapal yang dikenalpasti dari armada Angkatan Laut Israel mendekati ke arah Mavi Marmara.

Laman web Haluan Palestin yang memetik sumber melaporkan, konvoi Freedom Flotilla pada jam 7.30 pagi ini waktu Malaysia diekori oleh kapal Israel antaranya sebuah kapal selam, tiga kapal perang dan sebuah helikopter.

Namun Mavi Marmara tetap bergerak dengan berhati-hati.
Presiden IHH, menyeru agar semua negara yang prihatin untuk mendesak dan memberi tekanan kepada Israel agar membuka jalan bagi konvoi bantuan kemanusiaan memasuki Gaza. Terdapat lebih dari 50 buah negara menyertai konvoi terbesar itu.

Menurut sumber, di Turki telah diadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Israel mendesak Israel membatalkan hasrat mereka menyekat perjalanan konvoi.

Beberapa saat menjelang Maghrib, staff IHH mengumumkan kepada seluruh peserta konvoi Freedom Flotilla untuk memastikan diri mereka dalam keadaan siap sedia sebelum pukul 7 pagi ini waktu Antalya, Turki atau sekitar pukul 11 WIB.

Semua peserta diarahkan untuk menyimpan passport dan dokumen berharga masing-masing seperti dompet dalam plastik dan membawanya di badan untuk berjaga-jaga kemungkinan terpaksa berenang.

Konvoi Freedom Flotilla mengharungi laut sepanjang malam menuju Gaza. Dijangkakan bahawa keenam kapal konvoi armada kemanusiaan ini, termasuk Mavi Marmara yang terbesar, akan berhenti sekitar 40 batu dari Pantai Gaza untuk menanti hari siang kembali sebelum berusaha menembus sekatan kapal-kapal Angkatan Laut Israel.

Namun, sebagaimana dilaporkan sebelum ini, Israel telah memperluas zon ketenteraan mereka dari 20 batu kepada 68 batu di perairan laut.

Tindakan Israel menyekat bantuan kemanusiaan yang dibawa oleh konvoi Freedom Flotilla adalah melanggar perundangan antarabangsa kerana yang dihadapi Israel saat ini bukanlah situasi perang melainkan sekelompok aktivis kemanusiaan yang membawa bantuan perubatan, pendidikan dan pembinaan bagi rakyat Gaza yang menderita akibat sekatan yang dikenakan.

Dalam beberapa kesempatan sebelumnya, Presiden Insani Yardim Vakfi (IHH), Fahmi Bulent Yildirim menegaskan bahawa tidak ada satu pun persenjataan yang dibawa dalam kafilah Freedom Flotilla.

“Bahkan sebatang paku pun tidak,” katanya.

Semalam, para peserta menghabiskan waktu mereka dengan berzikir dan memohon pertolongan Allah. Gaza dan seluruh muka bumi ini milik Allah Subhanahu wa Ta’ala hanya izin Allah saja yang kita minta untuk berjaya memasuki ke Gaza.

Sementara itu, Ketua Misi Lifeline4Gaza Malaysia, Noorazman semalam memaklumkan bahawa dijangkakan komando Israel akan turun ke kapal melalui helikopter dan cuba merampas kapal konvoi tersebut.

Beliau menyeru umat Islam menunaikan solat hajat dan berdoa kepada Allah supaya anggota konvoi diberikan perlindungan oleh Allah bagi meneruskan misi membantu penduduk Gaza.

Harakahdaily/-

Khalid Ibrahim akur teguran perwakilan

17 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 30 Mei: Biar pun menjadi sasaran kritikan dan teguran perwakilan di Kongres PKR kali ini, namun ia diterima dengan dada terbuka oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Malah disifatkan segala teguran yang dilontarkan perwakilan boleh menjadi panduan kepadanya untuk memacu Selangor ke arah lebih cemerlang.

Ketika menggulung perbahasan petang ini katanya, sepanjang tempoh pentadbirannya sebanyak 105 mesyuarat Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) sentiasa dibaca doa bagi mengelakkan ada Exco negeri terbabit dengan gejala rasuah.

"Pelbagai serangan termasuk isu pasir tetap saya hadapi dengan tabah. Malah kerajaan Selangor masih lagi dapat bertahan bagi melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat," katanya.

Khalid juga bersetuju beberapa saranan perwakilan seperti mewujudkan sebuah portfolio penerangan negeri bagi memberi penjelasan kepada rakyat di seluruh pelusuk Selangor.

Katanya, kerajaan Selangor juga akan membuka ruang kepada golongan muda menyertai pentadbiran negeri termasuk di majlis kerajaan tempatan.

“Kita perlu mencontohi beberapa negara luar yang menggunakan sepenuhnya tenaga muda dalam pentadbiran parti dan negara iaitu mereka di bawah umur 45 tahun,” ujar beliau.

Beliau juga melihat ada ruang untuk melantik pengerusi jawatankuasa kampung bagi menggantikan program Exco Angkat di Dun-dun yang dimenangi pembangkang.

“Saya berharap tidak ada perebutan dan yakin ramai yang boleh buat kerja, jadi janganlah pilih kawan semata-mata bagi kepentingan peribadi kita,” katanya.

Sementara itu Datuk Zaid Ibrahim melahirkan rasa terharu di atas penerimaan dan kepercayaan pemimpin PKR terhadapnya sehingga diberi kepercayaan menjadi calon pada pilihanraya kecil di Hulu Selangor baru-baru ini.

Katanya kekuatan PKR menyebabkan Umno makin gelisah sehingga sanggup melakukan perbuatan tidak bermoral dengan mengumpankan beberapa wakil rakyat parti itu.

“PKR juga perlukan perubahan dalam pelbagai aspek untuk menjadi sebuah parti yang digeruni lawan dan kawan. Resepinya hendaklah sentiasa bersedia menerima teguran dari pelbagai pihak,” ujar beliau.

Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berharap program penerangan perlu diperhebatkan lagi di kawasan Felda bagi membolehkan masyarakat peneroka mendapat maklumat jelas mengenai politik semasa dan kecemerlangan kerajaan Pakatan.

Harakahdaily/-

Lagi 1 tahun 2020, Malaysia bankrap

17 Jamadil Akhir 1431 H
http://gemasuara.blogspot.com/

Kenyataan Idris Jala Malaysia akan Bankrap setahun sebelum 2020 sangat memeranjatkan seluruh rakyat.Malaysia akan bankrap sebelum impian menggunung Malaysia sebagai negara maju melaluli wawasan 2020.

Ini bermakna wawasan 2020 selama ini dislogankan hanya bersifat membentuk pemikiran rakyat untuk menaruh harapan yang tak kunjung datang.Tahun 2020 datang,tetapi kedatangannya dalam keadaan Malaysia dah bankrap.

Sebelum ini dari zaman Tun Dr Mahathir rakyat dibuai kononnya kemajuan akan bakal mendatang rakyat perlu berkorban hari ini untuk kesenangan hari depan.Pelbagai tuduhan dilemparkan pada pembangkang yang mengkritik dasar kerajaan dengan tuduhan anti pembanggunan dan kemajuan.

Rakyat diseret dengan kepentingan politik nepotisme dan kronisma untuk mengenepikan pembangkang khususnya PAS.

Pemimpin umno/bn dan kroni mereka membina kekayaan dari projek- projek mega megah hinggalah kepada komisen kapal selam yang kononnya untuk merealisasikan wawasan 2020.

Mereka meniti jalan 2020 dengan penyelewengan,rasuah pembaziran dan keborosan serta penyalahgunaan kuasa.

Mereka memfaraidkan khazanah kekayaan negara seperti harta mak bapak mereka.Yang menentang mereka diISA.Rakyat ditakut dan dikurafatkan kononnya kalau lain dari Umno/Bn memerintah pembangunan tiada negara huru-hara.

Kini harapan akan diganti dengan kebankrapan impian akan bertukar menjadi kemuflisan.Sekali lagi rakyat diminta demi 2020 hapuskan subsidi kalau tidak Malaysia bankrap.

Inilah dia pemimpin bijaksana Umno/Bn yang membina kekayaan dengan airmata rakyat kini cuba merampas kehidupan rakyat

Datuk Mahfuz Omar,
Naib Presiden PAS.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Tumbang BN secara berstrategi

17 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Amat penting bagi PAS dan Pakatan Rakyat menggunakan medan pilihan raya umum ke-13 akan datang untuk menumbangkan Umno BN secara berstrategi.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, ini kerana kejahatan yang dilakukan oleh parti pemerintah itu sudah tidak dapat dibendung lagi.

"Pilihan raya ke-13 penting bagi kita. Kemungkaran, keburukan dan penyelewengan yang dilakukan Umno/BN sudah sampai ke tahap maksimum.

"Kita kena fikir bagaimana kita mahu ambil kesempatan itu untuk kita rampas pemerintahan daripada BN. Dan ini memerlukan kita kembali kepada apa yang pernah disebut oleh Rasulullah s.a.w. bahawa kita sedang berperang dalam konteks fikrah, strategi, dan pendekatan dengan ummah," katanya dalam ucapan perasmian Ijtimak PAS Wilayah Persekutuan di Dewan Seminar Kohilal, dekat sini, hari ini. (Gambar)

Beliau juga melahirkan keyakinan angin perubahan rakyat pada pilihan raya umum ke-12 lalu akan kekal sehingga pilihan raya umum ke-13 yang dijangkakan akan berlangsung pada masa terdekat ini.

Katanya, segala perancangan jahat dan umpan yang digunakan Umno/Barisan Nasional (BN) untuk membeli hati rakyat menemui kegagalan.

"Daripada perkhabaran yang kita terima, pada 2011 ini mungkin sekali lagi akan berlaku pertarungan bagi kita seperti mana pada tahun 2008 dan kalau itulah keadaannya kita lihat hari ini angin perubahan di kalangan rakyat itu masih kekal.

"Kita lihat segala yang dirancang dan dilakukan oleh Umno/BN banyak yang makan tuan. Strategi mereka banyak yang tidak menjadi. Segala yang mereka lontarkan kepada rakyat untuk membeli hati rakyat tidak menjadi," katanya.

Ahli Parlimen Bachok itu turut berkata, kegagalan Umno/BN menawan hati penyokong PAS adalah kerana dasar dan prinsip PAS yang berbeza dengan organisasi lain dengan meletakkan Islam sebagai asas utama.

"Ini semua bagi kita menunjukkan sebahagian daripada istiqamah kita dan doa kita kepada Allah SWT dan disebabkan dasar dan perjuangan kita yang berbeza dengan organisasi lain.

"Cara PAS mendidik kita dalam politik tidak sama dengan orang lain. Takrif politik yang kita didik juga tidak sama. Oleh itu kita boleh sebut tentang politik di mana sahaja. Di atas pentas politik, di program parti, dalam program terbuka termasuk dalam masjid," katanya.

Justeru ujarnya, pendokong PAS khususnya di Wilayah Persekutuan sendiri, perlu bijak mendekati para pengundi dengan cara yang pelbagai mengikut latar belakang pengundi.

"Orang yang perlu kita dekati terdiri daripada pelbagai latar belakang, kefahaman dan sensitiviti. Jadi tugas kita untuk menggunakan cara yang berbeza mengikut latar belakng mereka.

"Di Wilayah sendiri contohnya, pendekatan yang perlu digunakan tidak sama. Pendekatan yang digunakan di kawasan yang telah menang tidak boleh sama dengan kawasan yang tidak menang.

Semua ini memerlukan kesungguhan dan komitmen setiap tenaga yang terlibat dalam pilihan raya," katanya.

Sementara itu, bercakap pada sidang media selepas merasmikan program berkenaan, beliau memberitahu PAS sedang berbincang secara serius mengenai persiapan teknikal bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Isu utama yang saya sentuh tadi adalah mengenai pilihan raya umum ke-13 sebab kita menjangkakan pilihan raya ini sudah hampir. Jadi persiapan ke arah itu sekarang ini sedang dibincangkan secara teknikal," katanya.

Turut bersama beliau ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali yang juga ahli Parlimen Titiwangsa dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nor Mohamad.

Ijtimak yang dihadiri pesuruhjaya serta wakil-wakil kawasan di seluruh Wilayah Persekutuan itu diadakan sebagai persiapan di peringkat negeri sebelum ke Muktamar PAS Pusat pada 9 hingga 13 Jun ini.

Bendahari Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS membentangkan kertas kerja bertajuk 'Mendepani Cabaran PRU ke-13dan Pengurusan Dana'.

Harakahdaily/-

Bankrap: Kenapa subsidi jadi alasan

17 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa meminta kerajaan mengkaji secara terperinci mengenai dakwaan risiko muflis yang akan dihadapi Malaysia menjelang 2019 jika kerajaan tidak mengurangkan pemberian subsidi.

Beliau berkata, selain daripada pemberian subsidi kepada rakyat seperti yang didakwa, banyak lagi faktor yang membolehkan negara menjadi muflis terutamanya melibatkan perbelanjaan kerajaan yang tidak dikawal dengan baik.

"Satu kajian yang mendalam harus dibuat. Kenapa subsidi yang diberikan alasan kebarangkalian negara akan bankrap sedangkan ada banyak lagi faktor penyumbang lain yang boleh mengakibatkan negara bankrap.

"Antaranya hal yang berkaitan dengan perbelanjaan yang berlebihan yang semacam tidak dikawal," katanya pada sidang media selepas merasmikan Ijtimak PAS Wilayah Persekutuan di Dewan Seminar Kohilal, dekat sini, hari ini.

Menyifatkan cadangan penarikan subsidi itu sebagai tidak munasabah, beliau mempersoal sikap kerajaan yang seolah-olah mengenepikan keperluan asas rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

"Isunya kenapa subsidi yang ada kaitan dengan keperluan kehidupan rakyat biasa sahaja yang dijadikan alasan negara akan jadi bankrap?

“Ini bagi saya satu perkara yang sangat tidak munasabah walaupun kita bukan mahu menjadikan negara ini negara subsidi tapi bagi saya alasan itu sangat tidak munasabah," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala, bahawa Malaysia akan muflis pada tahun 2019 jika kerajaan terus memberikan subsidi sebagaimana yang ada sekarang.

Ahli Parlimen Bachok itu juga memberitahu, beliau akan membawa satu usul di Parlimen mengenai pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi yang akan dijual kepada syarikat swasta untuk dibangunkan sebagai hab komersial.

"Kita akan bawa berkenaan lapangan terbang Sungai Besi yang kan dijual. Kita akan minta justifikasi di parlimen selain daripada isu yang melibatkan tanah KTMB di Singapura dan telaga minyak di Limbang," katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan bahawa pangkalan TUDM Sungai Besi akan akan diubah suai dan dibangunkan sebagai hab komersial termasuk dilengkapi dengan pusat pendaratan helikopter.

Harakahdaily/-

Rakyat Malaysia antara diserang kapal perang Israel

17 Jamadil Akhir 1431H.

Rakyat Malaysia yang menaiki sebuah daripada enam konvoi kapal yang membawa bantuan kepada penduduk Gaza diserang kapal perang Israel mengakibatkan dua orang terbunuh manakala 30 lagi cedera.

Menurut The Star, rakyat Malaysia itu adalah krew televisyen dari Astro yang menaiki kapal dari Turki.

Sementara itu menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan.

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

Malaysiakini/-

Satu lagi positif H1N1 di Perak

17 Jamadil Akhir 1431 H

Satu lagi kes disahkan positif Influenza A (H1N1)di Perak daripada dua laporan kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI) di negeri itu - menjadikan jumlah terkumpul kes berkenaan kini 14,804 di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata jumlah kes ILI yang masih dirawat di hospital seluruh negara adalah 589 kes dengan 49 daripadanya disahkan positif H1N1.

"Lima daripada enam kes H1N1 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah individu yang mempunyai faktor risiko," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata tiada kematian baru direkodkan dengan jumlah kematian kekal kepada 87 kes.

Dr Mohd Ismail turut mengingatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah pencegahan berikutan jangkitan H1N1 masih aktif dalam negara seperti juga di kebanyakan negara lain.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus itu seperti fasiliti kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan pelalian kepada kumpulan berisiko serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari lawan web http://www.moh.gov.my atau http:h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan dengan menelefon 03-88810200/300.

Malaysiakini/-

Khalid Ibrahim jadi tumpuan perwakilan

17 Jamadil Akhir 1431 H

Tan Sri Khalid Ibrahim terus 'dicubit' oleh perwakilan kongres PKR berhubung pelantikan pemimpin parti itu ke jawatan penting dalam kerajaan Selangor.

Hinggakan, pengerusi tetap kongres itu, Ishamuddin Ismail sendiri cuba menenangkan Khalid yang berada di atas pentas dengan mengatakan, "cubit-cubit sayang saja tu, Tan Sri."

Kritikan hari ini disuarakan lagi wakil Selangor, Sarimah Lisut, yang mempersoalkan mengapa sebilangan pemimpin parti itu tidak disertai dalam jentera parti.

"Saya cadang kerajaan negeri Pakatan supaya mengutamakan penjawat penting di kalangan parti yang layak.

"Ramai di kalangan kita yang layak, bukan sekadar mempunyai segulung ijazah tapi dengan pengalaman yang ada.

"Ahli yang layak ini, yang setia kepada parti inilah yang akan bawa agenda parti dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Norhayati juga mencadangkan supaya ditubuhkan satu tabung bagi menyediakan sumber kewangan bagi pakatan itu untuk menghadapi pilihan raya.

"(Perlu) kesepaduan bersama dalam Pakatan Rakyat bagi mewujudkan tabung yang boleh digunakan untuk memenangi negeri-negeri.

"Kalau bukan kita (tubuhkan), adakah BN akan bantu kita?," katanya yang membahaskan usul Pakatan Rakyat.

Dalam nada berlainan pula, seorang lagi wakil wanita Gan Pei Nei berkata pentadbir yang tidak boleh bekerjasama perlu ditukar.

Pentadbir yang dimaksudkannya itu termasuklah pegawai daerah serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung yang tidak membantu kerajaan Selangor.

Beliau yang juga ADUN Rawang itu juga memberikan pesanan kepada Khalid - menteri besar itu perlu mendengar saranan yang disuarakan mereka.

Bagaimanapun, katanya beliau yakin PKR masih mampu menerajui negeri itu sebagai "kerajaan masa depan."

Malaysiakini/-

Jangan sekadar bergantung pada sentimen anti-Umno

17 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

PKR tidak boleh sekadar bergantung kepada sentimen anti-Umno semata-mata untuk mengekalkan kemenangan yang diraih Pakatan Rakyat pada Mac 2008, apatah lagi untuk menguasai Putrajaya, kata naib presidennya, Lee Boon Chye i kongres PKR hari ini.

Dalam ucapan penggulungannya, Lee berkata Pakatan sebaliknya perlu mengemukakan dasar-dasar yang lebih 'superior' daripada BN bagi memenangi hati rakyat.

"Untuk terus maju, menawan Putrajaya, saya rasa kita kena ada aspek baru.Dasar adil bagi membela rakyat dan memacu ekonomi," katanya.

Tambahnya, pemimpin parti yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri juga perlu menunjukkan urus tadbir yang baik.

"Saya rayu, kita kena pegang kepada urus tadbir yang baik. Ini faktor yang memisahkan kita dengan Umno dan BN. Kalau hilang faktor ini, kita akan hilang sokongan," katanya lagi.

Lee yang juga ahli parlimen Gopeng berkata, golongan yang bekerja keras dalam parti juga perlu diberi penghargaan walaupun tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi.

Bagaimanapun, parti itu juga perlu menyisihkan golongan pemimpin parti yang sekadar bermuka-muka di hadapan pemimpin tertinggi.

"Ada pimpinan negeri ada budaya tunjuk muka, 'face presentation'. Bila pimpinan tertinggi, ketua umum datang, dia muncul. Apabila ketua umum tak ada, dia tidur.

"Inilah budaya yang kita boleh saksikan sendiri, mereka yang letih tidak sanggup terus berjuang, biar orang yang lebih bertenaga ambil alih.

"Mereka yang muda harus cabar mereka supaya ada lapisan yang kuat," katanya lagi.

Malaysiakini/-

Selangor Haramkan Judi Piala Dunia Beroperasi

17 Jamadil Akhir 1431 H

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor tidak akan membenarkan mana-mana premis beroperasi di negeri ini untuk menjalankan aktiviti perjudian atau pertaruhan bola sepak.

Walaupun lesen perjudian bola sepak telah dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat Barisan Nasional, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa menghalang aktiviti perjudian bola sepak beroperasi di negeri ini.

Ini kerana syarikat yang berkenaan perlu membuat permohonan lesen perniagaan terlebih dahulu dari PBT untuk menjalankan aktiviti perjudian bola sepak.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata, semua PBT telah diberi arahan supaya tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada mana-mana pihak bagi aktiviti perjudian bola sepak.

“Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan tidak akan teragak-agak untuk menutup mana-mana premis yang menjalan perjudian bola sepak secara haram,” kata Abdul Khalid.

Sambil membantah keputusan Kerajaan Pusat mengeluarkan lesen perjudian sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia yang akan bermula 11 Jun ini, Abdul Khalid berpendapat keputusan itu adalah langkah yang silap dan hanya menghalalkan segala penyakit sosial yang berterusan di negara ini.

Beliau menambah, tiada jaminan bahawa pemberian lesen perjudian itu akan menghapuskan perjudian secara haram.

Sebaliknya, tindakan Kerajaan Pusat itu akan memburukkan lagi penyakit sosial apabila semakin ramai orang yang mahu cepat kaya terutama golongan miskin yang sanggup menggunakan wang gaji atau simpanan untuk membuat pertaruhan.

Abdul Khalid berkata, keputusan kerajaan negeri dalam hal ini diharap dapat mengelak orang ramai, sama ada Islam atau bukan Islam daripada terjerumus dengan perbuatan merugikan dan melalaikan itu.

Katanya, Pakatan Rakyat sepakat bahawa aktiviti perjudian adalah haram dan boleh meninggalkan kesan negatif kepada kehidupan sosial masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah.

mStar/-

MB SELANGOR - TAN SRI KHALID IBRAHIM MESTI KEKAL TAPI WAJIB BERUBAH

17 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: WFAUZDIN NS

MENGAPA kita harus memikirkan Tan Sri Khalid Ibrahim MB Selangor sekarang perlu disingkirkan? Tidak dapat dinafikan desas desus yang menyatakan bahawa ada usaha untuk menggugurkan Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor dan isu ini nampaknya seolah-olah menggambarkan Tan Sri Khalid telah gagal menjalankan tugasnya selaku MB Selangor di bawah PR. Benarkah beliau gagal?

Saya secara peribadi tidak menyokong sebarang usaha untuk menggugurkan Tan Sri Khalid selaku MB Selangor selagi beliau tidak melakukan sebarang kesalahan besar atau penyelewengan. Faktanya, beliau kini berjaya mentadbir Selangor dengan baik dan efisyen serta lebih penting lagi berusaha untuk melaksanakan ketelusan di dalam pentadbirannya.

Jika ingin dibandingkan dengan MB negeri-negeri di bawah kuasa Bn/Umno, jauh bumi dari langit walaupun Tan Sri Khalid baru mencapai lebih kurang 2 tahun pentadbirannya.Berbagai usaha telah beliau lakukan sejajar dengan dasar merakyatkan Selangor. Tetapi, jangan kita taksub dengan beliau kerana masih ada beberapa kelemahan Tan Sri Khalid sepanjang pentadbirannya.Saya bersetuju dengan beberapa pandangan ahli-ahli dan para penyokong PKR terutamanya yang ingin melihat Tan Sri Khalid tidak `meletakkan jawatan' beliau selaku ahli politik setelah beliau menduduki kerusi empuk MB.

Beliau sebelum ini terkenal sebagai ahli koperat sebelum dibawa ke gelanggang politik dan kemudiannya agak lama juga berjuang sebagai pemimpin politik. Hasil perjuangannya di dalam politik lah maka beliau berpeluang menduduki kerusi MB Selangor kerana rakyat inginkan beliau menunaikan janjinya sebagai ahli politik. Politik bukan kotor jika kita tahu bermain politik yang bersih.

Pemimpin politik umpama panglima perang juga di dalam medan perjuangan. Panglima Perang dan juga askar laskar bukan sahaja tahu menggunakan senjata tetapi mesti tahu dan arif di dalam strategi peperangan. Panglima Perang yang bijak adalah yang arif tentang tipu muslihat musuh dan bagaimana untuk menghadapinya. Begitulah juga dengan pemimpin politik. Tan Sri Khalid kini umpama Panglima Perang di dalam PR di Selangor dan bertuahnya kita telah kenal musuh kita iaitu Umno. Tan Sri Khalid tidak boleh bermegah hanya dengan kepandaiannya `bermain senjata' tetapi alpa tentang strategi musuh. Di sinilah saya melihat kekurangan yang ada pada Tan Sri Khalid.

Sukar untuk kita nafikan sememangnya ada beberapa kroni Umno yang dahulunya makan hasil dari suapan Khir Toyo, kini masih menganga untuk disuap pula oleh Tan Sri Khalid. Saya bukan bermaksud Tan Sri Khalid wajib hanya memberi makan di kalangan kita sahaja, tetapi sekurang-kurangnya peluang boleh diberikan kepada muka-muka baru ini untuk merasai nikmat rezeki di bawah pemerintahan PR yang mereka bersusah payah menyokongnya sebelum ini. Jika di waktu zaman Bn/Umno samada di zaman Muhammad Taib atau Khir Toyo, mereka-mereka ini umpama `pengutip sisa' di jalanan dan tidak diberi peluang kerana di waktu itu amalan kronisma amat menebal, amat tidak masuk akal sekiranya ketika kita memerintah mereka ini masih menjadi `pengutip sisa' di jalanan lagi?

Jika pengalaman dijadikan faktor Tan Sri Khalid untuk terus memilih orang yang sama, maka sampai kiamatlah golongan mereka yang terpinggir di zaman Bn/Umno memerintah dulu tidak akan merasai kesan dan nikmat rezeki di bawah parti yang mereka sendiri perjuangkan kerana sampai bila mereka akan mendapat pengalaman sekiranya tidak diberi peluang? Seandainya mereka diberi peluang dan ternyata mereka gagal atau semata-mata ingin kaya cepat tanpa usaha, kita tidak akan membantah sekiranya Kerajaan Selangor tidak lagi memberi peluang kepadanya.

Sekarang ini bukan sedikit rungutan yang kita dengar bukan tentang keupayaan atau ketelusan Tan Sri Khalid sebagai MB, tetapi kerana sikapnya yang tidak bijak atau mempunyai kepintaran sebagai pemimpin politik. Beliau dikatakan mentadbir Kerajaan Negeri seperti mentadbir sebuah syarikat gergasi yang pernah beliau warisi dahulu. Mentadbir sebuah syarikat terlalu jauh bezanya dengan mentadbir sebuah negeri, apatah lagi sebuah negeri yang besar dan kaya seperti Selangor ini. Terlalu banyak musuh yang mengintai untuk merampas kuasa dan mereka ini mempunyai strategi yang mungkin Tan Sri Khalid tidak sedari. Mungkin mereka sudah ada yang meletakkan askar laskar mereka di dalam bangunan pejabat MB atau juga di mana-mana anak syarikat dan Majlis Perbandaran atau di mana jua dengan tujuan untuk meruntuhkan Kerajaan PR Selangor.

Tindakan segera mestilah dibuat dari sekarang. Tan Sri Khalid tidak perlu turun dari kerusi MB Selangor kerana beliau telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik setakat ini. Tan Sri Khalid hanya perlu bertindak sebagai pemimpin politik atau sebagai Panglima Perang yang masih lagi di medan peperangan. Lakukan lah yang terbaik dan penuh kebijaksanaan asalkan tidak lari dari prinsip keadilan dan ketelusan. Semoga Selangor terus maju dan rakyatnya diberkati, InsyaAllah.