16 Julai 2010

Polis Perancis sebut Najib-Rosmah ketika soal Bala

3 Syaaban 1431 H
Oleh: Chen Shaua Fui

PARIS, 14 Julai: "Najib" dan "Rosmah Mansor" antara nama yang disebut oleh polis Perancis, dalam masa lebih daripada tiga jam ketika mengambil keterangan daripada penyiasat persendirian, Balasubramaniam a/l Perumal.

Malah, nama-nama seperti Abdul Razak Baginda, Deepak Dinesh, ASP Suresh dan beberapa nama baru yang belum dikenalpasti turut disebut sepanjang proses ini, menurut sumber maklumat.

Balasubramaniam ialah saksi penting dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, tiba di Direction Centrale de la Police (DNIF), Nanterre Prefecture pada pada jam 2.30 petang (waktu Perancis) Isnin lalu, ditemani peguamnya, Manjeet Singh Dhillon.

Menurut sumber maklumat, polis Perancis sendiri mengungkit nama Perdana Menteri Najib Razak (gambar kiri, kanan) dan isteri beliau, Rosmah Mansor (gambar kiri, kiri) ketika mengambil keterangan Balasubramaniam.

Malah, nama tertuduh ketiga dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Abdul Razak Baginda; dan Deepak Dinesh (peniaga permaidani yang dituduh mengatur perjalanan Bala ketika melarikan diri) juga disebut sepanjang keterangan Bala diambil.

Dalam satu laporan eksklusif MerdekaReview pada 10 Julai 2010, Balasubramaniam (gambar kanan) yang melarikan diri ke London telah menerima panggilan rasmi daripada polis Perancis untuk memberi keterangan berhubung kes pengambilan komisen dalam urus-niaga pembelian kapal selam oleh Malaysia daripada Perancis.

Selain itu, sumber maklumat juga memberitahu MerdekaReview, Balasubramaniam telah bertemu dengan peguam SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) di Perancis, Joseph Breham untuk dua jam, semalam. Beliau kini sedang merangka satu kenyataan untuk diedarkan pada hari esok, kata sumber maklumat itu.

Harakahdaily/-

Pakatan tangguh terbit Harakah, Suara Keadilan, Roket

3 Syaaban 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria & Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Pakatan Rakyat hari ini membuat keputusan untuk menangguhkan penerbitan akhbar rasmi ketiga-tiga parti, Harakah, Suara Keadilan dan Roket buat sementara waktu sehingga mendapat penjelasan rasmi daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berhubung permit tiga akhbar tersebut.

Keputusan itu diumumkan pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang, parlimen hari ini.

Hadir sama pada sidang media tersebut, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan ahli pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti.

"Kita akan ikut semua proses dan peraturan yang dikehendaki. Parti-parti telah menunjukkan surat tunjuk sebab dan lain-lain yang dikehendaki. Buat sementara waktu, akhbar rasmi ketiga-tiga parti ditangguhkan penerbitannya," kata Anwar.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh juga meminta pertemuan dengan Hishammuddin dipercepatkan bagi membolehkan Pakatan membuat keputusan mengenai langkah yang harus diambil.

"Kita meminta supaya dipercepatkan pertemuan dengan Datuk Hishamuddin. Ini kerana menteri yang bertanggungjawab sepenuhnya dan memberikan pertimbangan yang sewajarnya dan memberi ruang supaya jangan nampak Malaysia ini tidak mengamalkan demokratik dan kebebasan media," katanya lagi.

Tuan Guru Abdul Hadi pula berkata, semua parti bersedia untuk menghantar wakil daripada pihak pengurusan akhbar untuk bertemu dengan Hishammuddin dan bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak kementerian.

"Kita memberi jawapan kepada semua soalan yang dikemukakan dan semua parti akan menghantar wakil dari pihak pengurusan suratkhabar menemui Kementerian Dalam Negeri untuk memberi penjelasan dan menjawab soalan yang dikemukakan dan lepas itu kita tunggu dan lihat," katanya.

Mengulas pujian KDN kepada kerjasama yang diberikan pihak Harakah, Anwar berkata, KDN sewajarnya membenarkan akhbar tersebut diterbitkan jika pujian itu benar-benar ikhlas.

"Kita ucap tahniah dan kalau betul dia puji berilah kebenaran Harakah bukan sahaja dijual kepada ahli tapi dibenarkan dijual kepada seluruh rakyat. Barulah benar pujian itu. Kalau tidak, pujian itu berniat jahat," katanya.

Harakahdaily/-

Peneroka serah bukti dakwa penyelewengan Felda esok

3 Syaaban 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Peneroka Felda dari seluruh negara akan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya esok bagi membuat laporan berkenaan dakwaan penyelewengan Felda.

Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman (gambar) sewaktu mengesahkan perkara itu berkata, rombongan mereka akan ke sana menyerahkan dokumen yang didakwa sebagai bukti penyelewengan ke SPRM jam 11 pagi esok.

"Setelah laporan polis dibuat berkenaan penyusutan rizab tunai Felda, jadi sekarang kita akan hantar laporan dan dokumen kepada SPRM, beserta dengan lampiran- lampiran tambahan berkenaan isu-isu yang berkait rapat dengan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan penyelewengan di dalam pengurusan Felda," katanya.

Laporan serupa jelasnya turut disampaikan kepada SPRM di setiap negeri dalam masa terdekat.

Tindakan ke SPRM itu dibuat selepas penolakan debat oleh menteri berkaitan dan setelah beberapa laporan polis dibuat di seluruh negara.

Mengulas penolakan debat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, beliau berkata kebanyakan pimpinan Umno BN di peringkat akar umbi sendiri turut gusar dengan debat tersebut kerana khuatir lebih banyak salah urus Felda akan dibongkar.

"Isu Felda kini telah menjadi isu nasional yang paling hangat. Inilah pertama kalinya dalam sejarah di mana kewibawaan pimpinan Barisan Nasional tergugat. Mereka berusaha untuk menutup isu ini, tetapi tidak boleh. Bila pimpinan Umno BN diajak berdebat, mereka tidak mahu. Dari sudut lain, integriti Felda itu sendiri dipersoal," katanya lagi.

Ahmad sebelum ini mengakui rizab tunai Felda merosot daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada 2009.

Kemerosotan itu, jelasnya ekoran RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula, termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil, RM603 juta pinjaman pembesaran rumah peneroka, RM662 juta untuk bangunan baru Menara Felda.Bagaimanapun, Anak berpendapat banyak keraguan di sebalik penjelasan tersebut.

Harakahdaily/-

PAS sudah tolak berunding dengan Umno

3 Syaaban 1431 H
Oleh: Nik Abdul Aziz Nik Mat

Sukacita saya merujuk kepada laporan beberapa akhbar hari ini (14 Julai 2010), khususnya menyentuh permasalahan hubungan PAS dengan Umno.

Sukacita dinyatakan, isu berunding antara PAS–Umno sudah selesai. PAS sudah menolak untuk berunding dengan Umno. Sekarang PAS sudah menerima kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Kalau Umno ingin sangat menjaga perjuangan orang Melayu, lebih baik Umno menukar dasarnya kepada Islam. Kerana Islam yang menyelamatkan manusia dan KITA HARUS INGAT penghujung hidup manusia adalah Akhirat. Sebab itu, Islam mengajar hidup manusia mesti berpandukan ad-Din, iaitu cara hidup berpandukan agama. Hanya agama diambil kira di Akhirat.

Atas maksud untuk memenuhi tuntutan hidup beragama, maka setiap kali umat Islam sembahyang, hendaklah membaca al-Fatihah yang di dalamnya mengandungi perkataan “maliki yaumiddin” yang bermaksud hari agama, hari berlakunya pembalasan mengikut neraca agama. Sementara agama itu pula terkandung di dalam 30 juzuk al-Quran. Oleh sebab itu, Islam mengajar kita supaya menerima pakai semua ayat al-Quran sebagai panduan hidup. Kita tidak boleh pilih untuk pakai ayat-ayat tertentu, sementara ayat-ayat tertentu pula kita tolak.

Atas prinsip agama begini, maka PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua bangsa dan agama dan merekalah yang mengundi PAS atas nama Islam. Kalau tidak masakan PAS dapat menang besar tahun 1990 dan 2008 lalu.

Apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, maka Umno boleh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat. Bila Umno boleh bersama PAS atas dasar Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh.

Sekaranglah masanya untuk Umno menukar dasar Melayunya itu. Jangan terikut-ikut dengan puak Yahudi. Kerana pengasas perjuangan bangsa itu adalah puak Yahudi. Ia disambung pula oleh puak Arab. Sedangkan perjuangan atas dasar kaum atau bangsa tidak diterima di sisi Nabi Muhammad SAW. Sedangkan di akhirat kelak kita akan masuk syurga. Untuk masuk syurga mestilah dengan syafaat Nabi. Macam mana untuk mendapat syafaat Nabi sekiranya kita berjuang tidak mengikut seruan Nabi.

Wallahu’alam.
YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.

Kerjasama: Kenapa tak ajak Anwar sekali

3 Syaaban 1431 H
Oleh: Mohd Ali Hashim

JERAI, 14 Julai: “Kenapa tidak diajak Datuk Seri Anwar bersama yang ternyata mempunyai sokongan yang begitu kuat juga di kalangan rakyat,” kata Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

Baginya, pelawaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbaik dengan PAS adalah antara agenda mereka untuk memecahbelahkan kekuatan yang ada pada Pakatan Rakyat (PR).

"Ini jelas membuktikan Umno dan Barisan Nasional sudah tidak yakin dengan dasar dan perjuangan mereka. Perjuangan PAS yang berlandasakan Islam adalah menjadi alternatif kepada mereka. Rakyat juga harus melihat dari sudut kegagalan Umno dan BN mengurus tadbir negara," katanya yang juga Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat.

Beliau juga melahirkan keyakinan beliau bahawa pilihan raya umum tidak begitu jauh dari jangkaan sebenar.

Mengulas tindakan yang semakin rakus diambil oleh kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri dalam beberapa isu yang membabitkan akhbar parti pembangkang seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket telah menunjukkan kekangan yang semakin terdesak oleh pihak kerajaan.

"Dengan kekangan ini mereka merasakan maklumat tidak akan sampai kepada rakyat, tetapi itu adalah satu kesilapan yang besar mereka lakukan. Ianya bukan saja menambah kebencian rakyat terhadap sikap yang mereka ambil, tetapi juga melipatgandakan hasrat rakyat ingin mendapatkan bahan yang terlarang pada anggapan mereka,” katanya.

Harakahdaily/-

Gantung permit mungkin formula APCO

3 Syaaban 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Keputusan kerajaan menggantung kesemua permit akhbar milik PAS, DAP dan PKR mungkin hasil nasihat Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa demikian kerana firma yang dikaitkan dengan proksi Yahudi itu sebelum ini bertanggungjawab mempopularkan Umno sebagai sebuah parti yang demokratik lagi toleransi di beberapa media antarabangsa, khususnya di Amerika Syarikat sendiri.

"Di luar negara, APCO memberi gambaran bahawa Umno ini demokratik dan toleransi," katanya petang tadi selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Ketua Pembangkang, Parlimen.

"Saya tidak faham, mungkin APCO ada memberi nasihat kepada Perdana Menteri, Najib Tun Razak untuk membuat keputusan."

Difahamkan, APCO mula dipandang sebagai proksi Yahudi di Dewan Rakyat sejak pertengahan April lalu apabila Anwar mendedahkan Simen Stein (bekas duta Israel di Jerman), Itamar Robinovich (bekas duta Israel di Amerika Syarikat) dan Doron Bergerbest-Eilon (bekas Ketua Agensi Keselamatan Israel-ISA/Shin Bet).

Sejak dari itu, Suara Keadilan milik PKR, Harakah (PAS) serta Roket (DAP) itu dilihat kian menjadi perhatian rakyat apabila mengaitkan kepemimpinan tertentu Umno dengan rangkaian misteri Yahudi-Israel khususnya di Amerika Syarikat.

Akibatnya, Anwar sendiri pada 1 Julai lalu mengaku bahawa beliau mulai menjadi mangsa serangan balas APCO melalui tulisan seorang kolumnis berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam akhbar The Washington Post.

Pun begitu, beliau yang juga Ketua Umum PKR meminta Najib supaya tidak tunduk pada telunjuk APCO lagi.

Di sebalik penggantungan permit akhbar-akhbar terbabit, beliau yakin bahawa tindakan keras itu bukan hasil pendirian Najib dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri) semata-mata.

"Saya kurang pasti sama ada tindakan keras yang dilakukan ke atas media-media alternatif oleh Perdana Menteri Najib dan Menteri Dalam Negeri kerana pilihan raya dekat," ujarnya.

Sambil mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat sedia menangguhkan penerbitan akhbar milik parti masing-masing, beliau berkata, tindakan Najib dan Hishammuddin itu seakan mencerminkan bahawa media-media penerangan oposisi banyak menyuntik kesedaran dalam kalangan rakyat.

"Tapi, ternyata penerangan yang disampaikan oleh media-media Pakatan Rakyat ini berkesan," katanya.

Dakwanya lagi, keberkesanan media-media terbabit turut menggamit kesedaran ahli-ahli Umno sendiri.

Ekoran itu, katanya, Umno dalam suasana tertekan hatta terpaksa mengambil tindakan tidak demokratik dengan menggantung permit akhbar-akhbar terbabit.

"Jadi, Umno nampaknya begitu tertekan dan terpaksa mengambil tindakan autokratik ini," tambahnya sambil diakui bersama-sama oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), Lim Kit Siang (Penasihat DAP) serta beberapa anggota majlis yang lain.

Tuntas dari itu, beliau menasihatkan Najib supaya memulihkan semua kebebasan akhbar demi kepentingan negara.

"Berilah ruang supaya jangan Malaysia ini dilihat sebagai negara kuku besi," ujar beliau dalam nada yang kesal.

Harakahdaily/-

Najib sudah hilang tuah

3 Syaaban 1431 H
Oleh: Tunku Abdul Aziz Ibrahim

Baru-baru ini saya mendengar khabar angin bahawa Datuk Seri Najib Razak, seorang individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi, tidak dapat tidur lena. Adalah amat tidak adil terhadap dirinya jika kita menganggap Najib mampu tidur lena seperti bayi. Ini kerana pertamanya, beliau bukannya seorang bayi.

Kedua, saya diberitahu Najib kini berasa amat bimbang. Saya pun akan berasa begitu jika berada dalam keadaan seperti beliau. Agak memeranjatkan jika Najib mampu tidur langsung.

Najib seorang yang amat resah ketika ini. Apa tidaknya dengan segala tuduhan dan dakwaan terhadapnya, umpamanya menjadi kaitan kepada kes pembunuhan yang berlegar disekitar beliau.

Saya pun akan merasa begitu juga. Saya berasa kasihan terhadap beliau kerana walaupun memegang tampuk kekuasaan, ada sahaja warga Malaysia samada di dalam atau luar negara yang tidak menghargai jasa baik serta budinya dan tidak mahu meninggalkan beliau dalam aman.

Kenapa mereka amat nekad untuk menelanjangkan peribadi sebenar Najib dan mendedahkan segala apa yang mereka percayai sebagai kejahatan Najib?

Raja Petra Kamarudin, blogger tersohor Malaysia kini bergabung tenaga dengan orang kuat KEADILAN dan peguam terkemuka, Datuk Zaid Ibrahim untuk menumbangkan pengaruh dan kedudukan Najib. Tidak cukup dengan itu sejumlah warga Malaysia yang berhemah juga turut mendesak Najib untuk mendapatkan jawapan kepada soalan mereka.

Sebagai warga Malaysia yang taat, mereka berhak untuk mengharapkan, walaupun sedikit, kebenaran dari Perdana Menteri mereka.

Setakat ini mereka telah dikecewakan kerana walaupun dengan kewujudan bukti kukuh, ditambah pula dengan akuan bersumpah Bala, Najib dan Rosmah terus menerus membisu seribu bahasa dan menonjolkan adegan mereka teraniaya.

Zaid menuduh Najib takutkan RPK dan Bala kerana apa yang mereka tidak tahu tentang pembunuhan Altantuya sebenarnya tidak langsung bernilai. Maka adakah sesuatu yang mengejutkan sekiranya tiada usaha dilakukan untuk menyoal Bala di London? Ya, kita melihat sedikit drama yang dimainkan oleh SPRM untuk mengaburi mata masyarakat dunia yang memerhati.

Dengan menggunakan beberapa alasan yang tidak dapat diterima akal, SPRM mempastikan kebenaran tidak akan terbongkar. Bagaimana SPRM boleh mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat jika inilah alasan terbaik mampu mereka rekacipta? Dan untuk PDRM, tidak ada apa-apa lagi yang boleh kita katakan

Seolah-olah siapa yang menyimpul perumpamaan Inggeris yang berbunyi, 'sesiapapun boleh terlepas selepas membunuh' nampaknya memikirkan mengenai Malaysia memasa menciptanya. Tindakan Khairy Jamaluddin mendakwa pihak polis lembab mengambil tindakan terhadap RPK cukup untuk memnggutakan lagi teori konspirasi saya.

Adalah jelas bahawa Khairy dan Najib sememangnya menunjukkan sikap permusuhan yang nyat terhadap RPK.

Ditambah pula dengan apa yang Bala tahu mengenai pembunuhan Altantuya sudah cukup untuk menamatkan riwayat politik Najib sementara Khairy pula seorang yang dalam keadaan tergesa-gesa dalam mengejar cita-cita politiknya. Saya harap dia tahu apa yang beliau sedang lakukan, demi kebaikan dirinya sendiri.

Jadi sekarang apakah pilihan yang ada pada Najib? Walau pun pilihan yang bakal dibuat pahit dan sukar ditelan, Najib tidak punyai jalan lain kecuali menyerahkan nasib kepada penelitian dan siasatan rapi pihak berkuasa bagi membersihkan namanya.

Bersandarkan kepada keyakinan bahawa kebenaran akan akhirnya terbongkar, mungkin beliau ada sedikit peluang untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

Kalaulah caranya begitu, beliau bukan sahaja akan disayangi dan dihormati oleh warga Malaysia tetapi dalam proses itu akan menguatkan lagi tuntutan moral dan etika untuk memimpin negara.

Adakah Najib memiliki kekuatan dan integriti karakter sebegitu untuk mempertahankan namanya dan maruah beliau dalam mahkamah?

Saya harap atas nama kebaikan sejagat Perdana Menteri kita memiliki kekuatan moral untuk membiarkan mahkamah membuat keputusan mengenai nasibnya.

Harakahdaily/-

Percaturan Umno untuk pecahbelahkan PR

3 Syaaban 1431 H
Oleh: Tok Pepijat

Melihat kepada Kronologi berita dan isu terkini negara, beberapa perkara boleh dirumuskan. Antaranya isu permit Suara Keadilan, Harakah dan terbaru Roket.

Dalam masa yang sama Anwar dilabelkan "agen Yahudi" berdasarkan penulisan seorang blogger di Amerika dan juga wawancara dengan CNN. Juga tidak ketinggalan dengan kisah Zaid belanja ais kacang kepada Raja Petra dan Bala dan "ketakutan" SPRM menyoal secara langsung Bala di London.

Terkini TPM Muhyiddin pelawa PAS bertemu untuk perpaduan Melayu.Kesemua kronologi di atas saling berkait. Ini semua percaturan UMNO. Target utamanya adalah Anwar Ibrahim. Dan memecah belahkan Pakatan Rakyat terutama antara PAS dengan PKR.

Lihat, ada seperti tawar menawar dalam isu permit Harakah. Tetapi tidak kepada Suara Keadilan. Seolah UMNO melalui KDN sedang tawar menawar dengan PAS. Jika mahu permit Harakah, anda (PAS) perlu setuju berdialog dengan UMNO.

Skrip ini sama seperti isu JI di war-warkan. Akhirnya berbondong-bondong "ulamak muda" dalam "ketakutan" sujud kepada UMNO! Semuanya takut jadi warga Kamunting!

Kita melihat begitu "ganas" Umno menyerang PKR. Dua manusia yang paling ditakuti UMNO terkini. Keduanya anak Ibrahim. Anwar dan Zaid.

Tuduhan terhadap Anwar saling bertukar label. Dulu sebagai petualang, agen asing, agen Yahudi, agen Amerika dan pengkhianat Melayu. Segala yang "jahat" hanyalah milik Anwar.

Harakahdaily/-

'Tak boleh tarik kereta yang lunas 75% pinjaman'

3 Syaaban 1431 H

Institusi kewangan tidak dibenarkan untuk menarik kenderaan yang gagal membuat bayaran bulanan sekiranya penyewa telah melunaskan lebih 75 peratus daripada jumlah pinjaman sewa belinya apabila Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2010 diwartakan kelak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan pindaan syarat itu, institusi kewangan perlu mendapatkan perintah mahkamah sebelum boleh menarik kenderaan tersebut.

"Pemunya (institusi kewangan) hanya boleh melaksanakan proses pengambilan semula melalui perintah mahkamah jika penyewa (pemilik kenderaan) telah membayar lebih daripada 75 peratus daripada jumlah keseluruhan harga tunai barangan tersebut yang dinyatakan di dalam perjanjian sewa beli berasaskan bayaran ansuran bulanan mereka," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2010 berkata sebelum ini kerajaan hanya menetapkan syarat 'satu pertiga' ke atas pemunya (institusi kewangan) berhubung dengan pemilikan semula di bawah Akta Sewa Beli 1967.

Perundangan sekarang menjelaskan pengambilan semula barangan oleh pihak pemunya boleh dilaksanakan apabila penyewa gagal menjelaskan bayaran ansuran sebanyak dua kali dan notis bertulis telahpun diserahkan kepada pihak penyewa.

"Antara keperluan threshold (sewa beli) ini dipinda bagi mengelakkan pertambahan bebanan kes di mahkamah sekiranya threshold terdahulu dikekalkan," katanya.

Ismail Sabri berkata perubahan threshold itu juga dilihat akan membantu rakyat bagi mendapatkan pinjaman kenderan daripada industri perbankan dengan mudah memandangkan syarat terkini lebih munasabah dan praktikal.

Bagaimanapun beliau berkata pemunya boleh melaksanakan pengambilan semula barangan tanpa perintah mahkamah, jika penyewa membayar kurang 75 peratus daripada jumlah keseluruhan harga tunai barangan tersebut yang dinyatakan di dalam perjanjian sewa beli.

Mengenai isu penarik kereta, Ismail Sabri berkata rang undang-undang itu turut mencadangkan kaedah pemberian permit diperkenalkan bagi mengawal selia aktiviti pengambilan semula oleh penarik kenderaan.

Katanya bagi memastikan aktiviti pengambilan semula itu dibuat dengan beretika, kerajaan meningkatkan penalti daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali kepada denda tidak melebihi RM100,000 terhadap mana-mana syarikat yang didapati melanggar peraturan akta berkenaan.

Selain itu, denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan terhadap orang perseorangan yang melakukan kesalahan sama.Ismail Sabri juga berkata rang undang-undang itu bertujuan mengatasi masalah dalam amalan membayar wang tempahan untuk kenderaan yang ditempah.

"Masalah timbul apabila terdapat segelintir pihak yang menggunakan kelemahan perundangan sedia ada dengan tidak mengembalikan semula 'booking fees' (wang pendahuluan) sekiranya terdapat pembatalan penempahan. Terdapat juga kes di mana ejen menipu orang ramai dengan menggelapkan kesemua 'booking fees' daripada pelanggan yang berurusan dengan mereka," katanya.

Selaras itu, pindaan akta berkenaan memperuntukkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak pengedar kenderaan untuk memulangkan semula bayaran tempahan sekiranya terdapat pembatalan dari mana-mana pihak selain menjadikan bayaran tempahan sebagai sebahagian daripada bayaran deposit.Rang Undang-Undang itu kemudian diluluskan.

Malaysiakini/-

Cerpen 'YB J': KDN tegur Mingguan Malaysia

3 Syaaban 1431 H
Oleh: Richard Loo

Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat teguran kepada Mingguan Malaysia berhubung cerpen berjudul 'Politik Baru YB J' yang diterbitkannya itu pada 12 Oktober 2008.

Teresa Kok (DAP-Seputeh) mendakwa cerpen satira politik itu seolah-olah cuba mengambarkan dirinya sebagai YB Josephine, seorang ahli parlimen wanita yang dikatakan sebagai anti-Melayu dan anti-Islam yang berakhir dengan pembunuhan watak itu.

Pada 12 Disember 2008, beliau memfailkan saman ke atas akhbar itu dan juga pengarang cerpen berkenaan, Datuk Chamil Wariya, yang juga adalah ketua pegawai eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) berhubung penerbitan cerita berkenaan.

Dalam jawapan bertulisnya kepada P Ramasamy (DAP-Batu Kawan) di Parliamen hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata cerpen itu menyalahi garis panduan penerbitan kementerian dan dikhuatiri boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keharmonian kaum.
Surat teguran

Sehubungan itu, katanya, KDN mengeluarkan surat teguran kepada Mingguan Malaysia pada 21Oktober 2008.

Dalam jawapannya kepada Ramasamy, Hishamuddin berkata polis telah membuka tiga kertas dan membuat siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan berhubung empat laporan polis yang dibuat terhadap Utusan Malaysia kerana didakwa menyiarkan artikel berbaur hasutan dan perkauman.

Tiada maklumat lanjut diberikan berhubung laporan berkenaan.Satu lagi laporan polis yang dilakukan diklasifikasikan sebagai 'rujuk kepada majistret' tanpa diberikan butiran lanjut.

Katanya, polis akan meneruskan pemantauan ke atas elemen-elemen berunsur hasutan dari semasa ke semasa.

Ramasamy dalam soalannya meminta menteri dalam negeri menyatakan berapa jumlah laporan polis yang telah dibuat terhadap akhbar Utusan Malaysia yang didakwa menyiarkan artikel-artikel berbaur hasutan dan perkauman.

Beliau juga menuntut untuk mengetahui tindakan yang telah dan akan diambil oleh kementerian dan polis terhadap akhbar berkenaan.

Malaysiakini/-

MB: TPM subahat jika tak tangkap pencuri pasir

3 Syaaban 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Selangor telah menghantar surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon kerjasama timbalan perdana menteri itu dalam menangani isu kecurian pasir di negeri itu, kata menteri besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim.

Katanya, surat yang sama telah dihantar hari ini kepada menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan, peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail serta ketua polis negeri Datuk Khalid Abu Bakar.

"Saya telah hantar surat kepada timbalan perdana menteri untuk jelaskan isu kecurian pasir di Selangor dan jemput beliau dan agensi kerajaan persekutuan untuk perangi jenayah ini.

Tambahnya, turut disertakan dalam surat tersebut ialah laporan polis yang dibuat oleh kerajaan negeri berhubung kegiatan tersebut, serta penjelasan mengenai langkah-langkah yang telah dijalankan Selangor dalam menangani isu berkenaan.

"Saya juga telah sertakan semua maklumat mengenai kegiatan curi pasir yang telah diperolehi Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) supaya timbalan perdana menteri dan agensi persekutuan seperti polis dapat membuat tindakan sewajarnya.

"Sebab dalam berita dia kata 'bila kita tahu siapa terlibat, kita akan tangkap.' Jadi sekarang kita telah beri maklumat ini kepada beliau.

"Kalau dia tidak tangkap, dia bersubahat dengan pencuri pasir pula," katanya dalam satu sidang media selepas persidangan DUN Selangor hari ini.

Jelasnya, dalam surat berkenaan juga beliau menjelaskan bahawa usaha yang dijalankan kerajaan negeri itu termasuk menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai setiausah kerajaan negeri.

Satu lagi langkah yang diperkenalkan ialah menawarkan ganjaran kepada orang ramai yang membantu dalam usaha menahan penjenayah berkenaan.

Khalid berkata sistem yang diamalkan Selangor sekarang berjaya meningkatkan hasil pasir daripada RM2.9 juta pada 2007 kepada RM6.3 juta pada 2008.

Katanya, jumlah tersebut semakin meningkat kepada RM5.4 juta pada 2009 dan RM10.3 juta setakat Jun tahun ini.

Menurutnya lagi, sebagai langkah susulan, beliau juga akan mengumumkan senarai individu yang diberikan lesen melombong pasir oleh kerajaan BN sebelum ini.

Jelasnya, walaupun langkah tersebut diketahui tidak akan disenangi beberapa pihak, namun ia perlu dilakukan bagi membolehkan individu tersebut dinilai sama ada mereka layak menerima lesen berkenaan.

Ujarnya, beliau juga berharap pemimpin Umno tidak hanya menimbulkan isu kecurian pasir bagi tujuan politik.

"(Saya) berharap agar dokumen yang diberikan adalah memadai untuk timbalan perdana menteri memberi arahan kepada pihak berkuasa untuk bertindak secara profesional.

Malaysiakini/-

15 Julai 2010

Mahfuz: Umno 'demam', tuduh sesat tapi pelawa

2 Syaaban 1431H.
Harakahdaily.

KUALA LUMPUR, 14 Julai: PAS sedia menyediakan pakar sakit jiwa kepada Umno dan Timbalan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ekoran masih membangkitkan isu kerjasama PAS-Umno biarpun PAS secara jelas menolak pelawaan Umno itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika diminta mengulas perkara itu berkata, Umno juga seperti terkena demam panas yang kuat sehingga mengganggu fungsi otak mereka.

"Kita dah kata dah tak nak, duk bercakap lagi. Orang yang duk bercakap sorang-sorang ni ada problem la. Kita sedia sediakan khidmat pakar psikiatri untuk Umno dan Muhyiddin," katanya sinis.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Umno secara jelas membuktikan mereka dalam keadaan kritikal dan sangat lemah sehingga terpaksa mempelawa PAS.

"Sekarang Umno melihat hanya PAS yang boleh jadi talian hayat kepada mereka tapi PAS sudah jelas, tidak mahu menanggung biawak hidup," katanya.

Umno, jelasnya sedang mengalami krisis sokongan Melayu terhadap mereka lebih-lebih lagi dengan penubuhan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa) yang dilihat telah merubah pemikiran Melayu Umno sehingga berani menentang Umno sendiri.

"Perkasa telah merubah mentaliti orang Melayu sehingga mereka berani mempersoal Umno yang dulu dianggap ‘tangan yang menyuap mereka’," katanya lagi.

Sementara itu beliau juga berkata, orang Melayu sebenarnya akan lebih maju tanpa Umno kerana selama ini yang merosakkan Melayu adalah Umno.

PAS juga, jelasnya akan mengambil peranan menjaga kepentingan Melayu dan Islam seperti termaktub dalam perlembagaan tanpa mengabaikan hak warganegara lain.

Ianya juga antara resolusi semua parti dalam Pakatan Rakyat yang dicapai pada konvensyen Pakatan Rakyat sebelum ini.

Muhyiddin kelmarin sekali lagi mengulangi kesediaan Umno untuk bekerjasama dengan PAS dengan alasan mahu menjaga kepentingan Melayu.

Jenis Kereta Mengikut Peringkat Umur

2 Syaaban 1431 H
Oleh: Shah Bundy

Peringkat 1 (4 bulan hingga 9 bulan - mengikut kesesuaian)
baby walker

Peringkat 2 (9 bulan hingga 3 tahun mengikut jumlah pengisian )

keta tolak (stroller)

Peringkat 3 (3 tahun hingga 7 tahun mengikut kehendak)

keta mainan

Peringkat 4 (7 tahun hingga 12 tahun mengikut kemahuan)

keta kontrol biasa-biasa aje

Peringkat 5 (12 tahun hingga 19 tahun mengikut kemampuan)

keta kontrol berjenama

Peringkat 6 ( 19 tahun hingga 50 tahun mengikut ketebalan poket)

keta mini...keta sport...MPV. ,SUV..sedan

Peringkat 7 (50 tahun ke atas mengikut keperluan)

keta berkerusi roda

Peringkat akhir.....pabila tiba masanya

kereta jenazah.

NEGARA MEREKA ADA SOTONG `CERDIK', NEGARA KITA ADA `KATAK' BODOH

2 Syaaban 1431 H
Oleh: WFAUZDIN NS

NAMPAKNYA nama seekor sotong yang telah menjadi `Nujum Pak Belalang' amat popular semasa Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia baru-baru ini. Kebanyakan `ramalan' si sotong yang dipelihara di Akuarium Sea Life, Selatan Jerman itu menjadi kenyataan . Sebanyak 6 perlawanan yang membabitkan Jerman, ramalan sotong tersebut adalah tepat.

Kekalahan Jerman seperti yang diramal oleh sotong berkenaan amat mengecewakan warga Jerman, sehinggakan diberitahu seorang Chief dari Jerman amat marah dengan kekalahan tersebut . Beliau bercadang ingin menjadikan sotong berkenaan sebagai bahan masakannya. Hebat pengaruh sotong terhadap manusia, kan?

Amalan mempercayai ramalan sebegini di sisi Islam hukumnya Haram dan dianggap Khurafat. Namun, media di negara ini termasuk stesyen TV menghebahkan kisah `ajaib' serta ramalan si sotong sepanjang kejohanan berjalan. Maka, budak-budak dan orang dewasa yang menonton TV di rumah pun ada yang terpedaya dengan ramalan tersebut termasuklah kaki `judi' bola. Maknanya media kerajaan pun ada saham mempromosikan amalan khurafat tersebut. Tidak tahulah kita apa pula nanti yang diperkatakan oleh Ulamak Tua dan Muda di dalam Umno di dalam hal ini.

Seandainya sotong tersebut kerajaan kita beli, mungkin dia boleh dipelihara di rumah Najib. Mudahlah beliau untuk membuat satu-satu keputusan. Mungkin juga sotong tersebut akan digunakan untuk menentukan benar atau tidak kerajaan terlibat di dalam Apco. Mungkin juga boleh dijadikan rujukan atau ilham untuk menentukan tarikh Pilihanraya Umum Ke 13 nanti. Jangan ada yang cuba bertanya sotong berkenaan siapakah yang terlibat membunuh Al-Tantuya sudahlah. Nanti ada sotong yang kena ISA pula kalau pun tidak kena bom C4 .

Itulah kisah sotong yang lebih cerdik dari manusia. Nasib baik di negara kita tiada spesis sotong secerdik ini. Kita cuma ada spesis `katak' yang lapar dan bodoh-bodoh belaka.

MENGAPA UMNO TAKUT DS ANWAR MENJADI PENASIHAT EKONOMI SELANGOR?

2 Syaaban 1431 H
Oleh: Mandor

KERAJAAN Negeri Selangor patut menggugurkan DS Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri? Sebab apa? Kununnya DS Anwar adalah `alat' CIA. Siapa yang kata? Seorang Blogger luar negara Elaine Meinel Supkis. Siapa yang mahu DS Anwar disingkirkan JIKA tuduhan ini benar? Siapa lagi jika bukan pemimpin Umno Noh Omar. Apa katanya lihat di sini.

Mengapa Umno Selangor begitu takut dengan DS Anwar? Tidak lain dan tidak bukan adalah mereka bimbang dengan ketokohan DS Anwar menguruskan ekonomi Selangor, maka harapan mereka untuk merampas Selangor akan berkubur. Perkataan `JIKA' Anwar terlibat sebagai `alat' CIA Amerika sudah cukup menunjukkan bahawa Umno sendiri tidak tahu hujung pangkal atau kebenaran dakwaan Blogger itu.

Maka, Noh Omar pun mencabar DS Anwar supaya menafikannya dengan menyaman Blogger berkenaan. Perlukah DS Anwar melayan seorang Blogger yang entah dari mana asal usulnya dan siapa yang membayarnya menulis perkara yang langsung tidak masuk akal itu? Jika kesemua tulisan murahan itu mahu dilayan, tidak cukup mahkamah dan Hakim untuk membicarakan kes saman terhadap Blogger-Blogger di negara kita. Bukan sedikit Blog yang melakukan kerja fitnah terhadap DS Anwar bahkan siap dengan gambar lucah di dalam blog mereka. Cuba lihat Blog-Blog pro Umno yang ada sekarang. Tidak ubah seperti `tong najis' yang mengumpul segala berita fitnah dan gambar lucah. Mahu layan otak orang sebegini?

Pelik dan menghairankan kita, terlalu mudah pemimpin Umno percaya kepada satu berita dari seorang Blogger. Hinggakan Pak-Pak Menteri yang luas dahi dan botak kepala pun percaya dengan tulisan tersebut. Tanpa ada bukti dan fakta, hanya omongan kosong sudah cukup Blogger luar negara itu `membeli' pemimpin negara kita. Begitu murah kan?

Apakah itu tanda bahawa DS Anwar akan ditahan di bawah Akta zalim ISA? Atau ianya merupakan satu propaganda terakhir untuk mencemar nama baik DS Anwar setelah kisah liwat 2 ditertawakan oleh dunia. Itulah pemimpin yang ada di dalam Umno yang masih disokong kuat oleh sebilangan orang-orang Melayu yang cintakan kerja `fitnah' ini.