14 September 2010

KEJUTAN DARI IBRAHIM ALI YANG KITA TIDAK AKAN TERKEJUT

Oleh: WFAUZDIN NS

PERKASA di bawah Ibrahim Ali MP Pasir Mas akhirnya dimalukan oleh Umno. Umno yang mengaku memperjuangkan nasib bangsa Melayu di negara ini menolak PERKASA yang juga mengaku menjadi hero orang-orang Melayu. Kedua-duanya yang `menjual nama' Melayu ini bersengketa kerana apa? Jawapannya mudah, mereka bersengketa kerana masing-masing sebenarnya tidak ikhlas membela nasib orang-orang Melayu.

Kenyataan Presiden PERKASA, Ibrahim Ali yang mengaku akan membuat kejutan di dalam PRU nanti sebenarnya bukan satu kejutan. Terkejutkah kita jika raja katak Pasir Mas ini mengistiharkan untuk menubuhkan parti baru? Mungkin juga beliau akan keluar dari sarang di Pasir Mas dan berhijrah ke tempat lain yang beliau rasa kawasan itu boleh menyelamatkan beliau untuk kekal sebagai Ahli Parlimen? Ke mana sekali pun raja katak ini berhijrah, ianya tidak mengubah pandangan orang terhadap Presiden PERKASA ini. Jika Umno sebuah parti yang `kuat Melayu'nya pun menolak PERKASA yang dipimpin oleh Ibrahim Ali, bangsa atau kaum mana yang mahu percaya kepada perjuangan beliau?

Ibrahim Ali mendapat sokongan kuat dari Tun Mahathir iaitu tokoh yang mula-mula memecahkan perpaduan Melayu. Tun Mahathir menganggap rugi besar jika Umno menjauhi PERKASA. Kita tidak nampak pula di mana untungnya Umno jika bersama PERKASA, apatah lagi di bawah Najib dengan konsep `1 Malaysia'nya itu. PERKASA lebih banyak `memeningkan' Umno dari memulihkan Umno yang sememangnya sudah `pening' itu.

PAS awal-awal lagi sudah mengumumkan bahawa di dalam PRU akan datang, PAS tidak lagi mahu `bersedekah' kepada Ibrahim Ali kerusi Parlimen Pasir Mas. Memang tepat dan bijak keputusan PAS itu kerana `bersedekah' kepada orang yang `sombong dan khianat' tidak akan memperolehi pahala. Ibrahim Ali Ali juga menyebut bahawa Umno juga tidak mungkin (mustahil lebih tepat) untuk mencalonkan beliau di kerusi Parlimen Pasir Mas. Bahkan, jika Umno terdesak sangat untuk memilih raja katak ini sebagai calon mereka, Umno bakal mendapat malu besar nanti.

Ibrahim Ali menyebut masih banyak lagi kawasan majoriti Melayu yang boleh beliau wakili di dalam Pilihanraya nanti. Mungkin Ibrahim menganggap bahawa kawasan majoriti Melayu adalah kawasan selamat buatnya. Adakah sebelum ini Ibrahim Ali pernah bertanding di kawasan bukan majoriti Melayu? Dan, kawasan mana yang pernah menghilangkan deposit beliau? Beliau mesti ingat bahawa beliau menang di Parlimen Pasir Mas dahulu bukan kerana Ibrahim Ali Melayu, tetapi kerana pengundi-pengundi memilih calon yang dipilih oleh parti yang memperjuangkan Islam bukan memperjuangkan Melayu semata-mata. Di Kelantan, sebuah negeri yang hampir 100 peratus Melayu, sekarang mempunyai Adun dari kaum berbangsa Cina.

Apa pun kejutan dari Ibrahim Ali tidak akan menjadi kejutan kepada mereka yang kenal Ibrahim Ali. Ibrahim Ali bukan sahaja menjadi duri dalam daging buat Umno, bahkan ianya menjadi racun kepada semua. Insan yang satu ketika memuji Tuan Guru Nik Aziz, kemudiannya memperlekehkan MB Kelantan itu dan orang ini juga satu ketika menghina DS Anwar, kemudiannya ingin bersama DS Anwar dan kini kembali menyerang DS Anwar adalah insan yang tidak boleh dipercayai bukan sahaja oleh manusia bahkan binatang sekali pun./wfauzdin.blogspot.com.

Pemasyhuran Sultan Kelantan ke 29

5 Syawal 1431H.

TUANKU Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra menerima Watikah Pemasyhuran sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, di Istana Negeri Kubang Kerian hari ini . - Foto Fathil Asri

Cabaran Idulfitri setelah sebulan ditarbiah

4 Syawal 1431H.
Oleh: Ahmad Baei Jaafar

Khutbah hari raya Idulfitri dibacakan di Masjid Putra Perdana, Taman Putra Perdana, Sepang.

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ
اَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ وَأَشْهَدُ أَنْ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
اَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ. وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ


Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan bersungguh-sungguh melaksanakan suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Dan yang paling penting tidaklah kita dimatikan melainkan dalam keadaan Islam.

Kita baru sahaja tamat menghadiri kursus membina ketaqwaan sepanjang bulan Ramadan. Kini kita berkumpul di sini seolah-olah untuk menerima sijil atau ijazah daripada Allah sebagai menandakan kita telah berjaya mencapai target kursus iaitu membina taqwa. Atau sekurang-kurangnya kita berpeluang menerima sijil penyertaan, adapun ijazah kejayaan mungkin agak sukar kerana tidak semua yang ikuti kursus itu berjaya mematuhi kehendak pengajur, Allah.
Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu puasa sama seperti yang difardukan keapda orang yang terdahulu, semoga kamu beroleh taqwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

Dalam tempoh kursus itu kita diberi latihan:
1. Kawal nafsu syahwat agar tidak terdorong kepada yang diharamkan.
2. Kawal mata daripada melihat perkara yang diharamkan
3. Kawal telinga daripada mendengar perkara yang diharamkan
4. Kawal lidah daripada bercakap perkara yang diharamkan
5. Kawal perut daripada menerima yang diharamkan
6. Kawal tangan agar tidak mengambil perkara yang haram
7. Kawal kaki agar tidak menuju ke tempat yang haram.
Dalam tempoh itu juga kita diajar:
1. Membudayakan segera berbuka puasa
2. Dilewatkan bersahur
3. Dimulakan dengan buah yang terbaik iaitu kurma
Dalam tempoh itu juga kita dibiasakan ibadah sunat:
1. Solat sunat tarawih
2. Solat witir
3. Solat tahajud
4. Solat hajat
5. Iktikaf
6. Sedekah

Selama 30 hari kita diasak, diorientasikan dengan amalan yang baik itu, kita dilatih tubi berhari-hari. Persoalannya adakah asakan orientasi dan latihan tubi selama 30 hari ini sudah cukup untuk mendidik kita? Apakah kita perlu ditambah hari lagi. Jawapannya tentu tidak mahu, tetapi apakah yang kita semua dapat hasil latihan itu?

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ

Saya percaya hari ini kita masing-masing mengharapkan agar dianugerahkan ijazah ketaqwaan, namun adakah kita dapat rasai hari ni bahawa aku layak mendapatnya? Yang pastinya, ijazah ketaqwaan ini akan diberi kepada mereka yang berjaya dalam semua latihan yang disebut tadi. Oleh sebab itu mulai saat, marilah kita muhasabah diri sendiri apakah sudah layak atau tidak.

Walau bagaimanapun Allah yang Maha Adil tidak mahu mengisytiharkan secara jelas, sebaliknya membiarkan kita menilai sendiri. Oleh sebab itu sebagai motivasi diri sendiri marilah kita bersangka baik bahawa kita telah berjaya.

Kuncinya, mereka yang berjaya melepasi latihan itu pasti nafsu dan anggota lahirnya sudah terpimpin, kehidupan akan terbiasa perintah yang baik, dan ibadahnya sudah boleh diistiqamahkan. Mereka dalam keadaan ini sudah tentu berjaya mendapat tawaran Allah, itqun minalnar, pembebasan daripada neraka. Mereka inilah yang selayaknya menyambut idulfitri.

Idulfitri yang bermaksud kembali kepada fitrah merujuk kepada umat Islam yang menyambut idulfitri pada hari ini. Maka secara umumnya kita telah diiktiraf sebagai telah kembali kepada keadaan manusia yang tiada dosa, sebaliknya bertambah pahala.

Kita sudah tahu untuk mengawal nafsu syahwat agar tidak terdorong kepada yang diharamkan. Sudah pastinya dia sudah tahu mengawal mata daripada melihat perkara yang diharamkan. Pada masa yang sama dia juga dapat mengawal telinga daripada mendengar perkara yang diharamkan.

Selain itu kita akan mula berdisiplin dengan menyegerakan amalan yang diperintahkan supaya segera dan melewatkan ibadah yang dibenarkan. Kita juga boleh berdisiplin dalam soal makan minum agar memilih yang halalan taiba. Akhirnya kita boleh berdisiplin dalam melakukan ibadah atau terus istiqamah.

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ

Beginilah keadaan kita pada hari ini. Kita masih bersih sebersih fitrah. Bersih seperti kain putih, bersih seperti baru dilahirkan. Tetapi apakah yang akan terjadi selepas ini dan hari-hari selepas ini? Apakah kita akan terus berada dalam keadaan fitrah? Inilah cabaran yang kita akan hadapi selepas ini.

Nanti selepas ini kita akan menerima tetamu sahabat handai dan rakan taulan. Apakah bualan kita nanti? Siapakah yang akan kita umpatkan? Tetamu yang berkunjung pula akan melihat itu dan ini, apakah yang dilihat itu sesuatu yang halal atau sebaliknya? Biasanya apa yang dilihat itulah yang akan diumpatkan.

Televisyen yang mempunyai pelbagai rangkaian kini telah menyediakan program hiburan yang langsung tidak mendidik jiwa. Anak dan isteri akan terpaku di hadapan TV sehinggalah mereka tertidur. Apakah yang ditonton itu habis begitu sahaja? Tidak, mata akan melihat aurat artis, lidah akan mengumpat, dan telinga akan mendengar perkara yang lagha.

Kalau mereka keluar berziarah, apakah yang akan mereka lihat di sekeliling? Apakah yang akan dibualkan semasa itu. Kalau kita sedang berpuasa, mungkin kita akan beringat-ingat takut hilang pahala puasa, tetapi selepas puasa berakhir tidak ada alasan lagi untuk mereka melihat semua itu.

Ingatlah, kursus selama 30 hari untuk memungkinkan kita beroleh taqwa hanya setahun sekali, maka setelah kita berjaya memperolehnya tentu tidak wajar kita musnahkan hanya tidak sampai satu hari. Bayangkan bagaimana kita harus berhadapan dengan 11 bulan lagi, kalau sehari pun kita sudah gagal. Jadi, awasi semua itu dengan tingkatkan iman diri, isteri dan anak-anak agar mereka terus berada dalam keadaan fitrah.

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ

Sidang hadirin sekalian

Sesungguhnya Allah berbesar hati mengurniakan idulfitri kepada kita pada hari ini, maka gunakan kesempatan ini untuk bergembira sesama kita. Maka ucapkan tahniah kepada sahabat handai, kawan taulan yang kita temui kerana mereka telah berjaya mengharungi ujian dan kita beroleh taqwa. Kalau kita ucapkan tahniah sudah pasti kita juga akan menerima ucapan balas. Ertinya kita saling berdoa ke arah kebaikan. Allah yang mendengar doa hambanya ini akan segera kabulkannya kerana Allah mengikut sangkaan hamba-Nya.

Dengan cara ini, semua orang boleh dinilai sebagai berjaya pada hari ini. Cuba budaya seperti ini belum ada dalam masyarakat kita. Dan inilah yang saya ingin mengajak kita semua ke arah itu. Ucapan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin tiada nilai di sini Allah kerana ucapan selamat menyambut hari raya walaupun ada nilai doa tetapi rendah nilainya. Begitu juga maaf zahir dan batin, kini sudah menjadi ucapan mainan, bukan lagi benar-benar permohonan maaf daripada segala dosa dan kesalahan.

Kalau anda perasan, satu iklan TM di tv3 dialognya berbunyi begini:

Budak lelaki Melayu: “Saya minta maaf”
Budak perempuan Cina: “Buat apa minta maaf tunggulah hari raya”
Padahal mohon maaf mesti dilakukan setiap hari sebaik saja kita melakukan kesalahan. Kita banyak dosa dengan ibu bapa, kawan-kawan, malah dengan Allah. Sudahkah kita meminta maaf? Jangan tunggu hari raya kerana umur kita tidak menjamin untuk sampai ke hari raya akan datang.

Jadi, mulai hari ini selain mengekalkan budaya lama, eloklah kita tukar kepada ucapan tahniah, “Tahniah anda berjaya di hari raya ini, maafkan salah silap saya dan doakan kebaikan saya.” Jawablah, “Terima kasih, tahniah juga atas kejayaan anda, maafkan kesalahan saya dan doakan kebaikan saya.”
Dalam masyarakat Arab Islam selalu diungkapkan:

تهنية بالعيد، انتم من العائدين والفائزين، كل عام وانتم بالخير

Selain saling berdoa kebaikan orang lain, orang ramai yang merasai masih kurang sempurna ibadahnya, bolehlah ditambahkan dengan amalan sedekah kepada anak-anak termasuk anak yatim, kerana pemberian yang ikhlas itu pasti mendapat doa yang baik daripada anak itu. Jadi, selepasa ini berilah kepada mereka walaupun sekadar RM1.00 semoga dinilai oleh Allah.

الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ ، أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَهُمْ دَرَجَاتٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ .

Maksudnya: “Orang yang mendirikan solat dan membelanjakan apa yang direzekikan kepada mereka, mereka itu adalah orang yang beriman yang sebenarnya, bagi mereka beberapa darjat di sisi tuhan mereka dan pengampunan dan rezeki murah.”(Surah al-Anfal 3-4)

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى، وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى، بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا، وَالاَخِرَةًُ خَيْرٌ وَأَبْقَى


“Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan diri dengan beriman dan menyambut-menyebut dengan lidah dan hati akan nama tuhannya serta mengerjakan solat dengan khusyuk. Tetapi kamu orang yang kafir memilih dan menyayangi kehidupan dunia padahal kehidupan akhirat lebih dan kekal.” (Surah al-A’la :14-17)

بارك الله لي ولكم بالقرآن العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الايات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم.
أقول قولي هذا وأستغفرالله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم.
الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، لا اله الا اللهُ والله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ

301,653 pemilih baru didaftar

4 Syawal 1431H.

Parti-parti politik bersaing dalam pendaftaran pemilih baru, dengan lebih separuh daripada 301,653 pemilih baru didaftarkan melalui saluran parti sejak awal tahun hingga Jun lalu.

Sebanyak 56 peratus atau sejumlah 169,850 pemilih baru didaftar oleh penolong pendaftar daripada kalangan wakil parti politik, kata pengerusi jawatankuasa panel pendaftaran dan penyediaan daftar pemilih, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Zainal Abidin Mat Said.

Daripada jumlah itu, DAP mencatat pendaftaran pemilih paling tinggi iaitu 55,321 orang, diikuti oleh Umno dengan 54,872 pemilih didaftar manakala PAS dan PKR masing-masing mendaftar 38,618 dan 13,098 pemilih.

Katanya penolong pendaftar daripada wakil parti politik dibayar RM1 bagi setiap pendaftaran.

Zainal Abidin berkata selain melalui saluran parti politik, pendaftaran pemilih luar pejabat dan program outreach yang dijalankan oleh SPR berjaya mendaftar 72,434 pemilih baru dan 24,663 penukaran alamat bagi tempoh yang sama.

Pada masa yang sama, kaunter pejabat pos turut menjadi pilihan orang ramai mendaftar sebagai pemilih apabila ia mencatatkan 37,142 pendaftaran baru dan 11,903 penukaran alamat.


Zainal Abidin berkata sejumlah 345,261 pendaftaran pemilih dicatat dari Jan hingga Jun lalu, dengan 301,653 pemilih baru dan 43,608 penukaran alamat.

Daripada jumlah itu, Johor merupakan negeri yang mencatat pendaftaran paling tinggi iaitu 56,663 orang, diikuti Selangor (46,764 orang) dan Pulau Pinang (36,841 orang).

Bernama/-

Tuanku Faris Petra, Raja yang dekat di hati rakyat

4 syawal 1431H.

Sultan Kelantan yang baru dimasyhurkan, Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra merupakan seorang raja yang berjiwa rakyat dan dekat di hati rakyat Kelantan.

Sebut sahaja kawasan pedalaman mana yang tidak pernah dilawati baginda bagi menyelami suka duka rakyat termasuk ke kampung-kampung penempatan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli.

Sering mengenakan jubah atau berbaju "gumbang" (baju Melayu) serta berkain pelikat dan berkopiah putih ketika melawat rakyat jelata menyebabkan tiada siapa yang menyangka lelaki segak itu merupakan pewaris Kesultanan Kelantan yang baru.

Pernah satu ketika di Pantai Damat, Bachok, baginda tidak kekok duduk bersila dan mendengar kisah penderitaan seorang ibu tunggal yang uzur dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mata baginda berkaca ketika mendengar kisah keperitan hidup Azizah Abdullah, 41, membesarkan tiga anaknya.

Membahasakan diri baginda dengan perkataan "kita" menyebabkan baginda dan rakyat seperti tidak ada jurang pemisah yang boleh merenggangkan hubungan rakyat dan raja.

Ketika di rumah Azizah, baginda yang turut menghulurkan sumbangan peribadi, juga sempat memberikan perangsang kepada tiga anak wanita itu untuk berjaya dalam pelajaran mereka.

Tuanku Muhammad Faris Petra merupakan putera sulung Sultan Kelantan sebelum ini, Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra.

Pendidikan awal

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Bendahara Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A'Ishah Putri.

Baginda mendapat pendidikan awal di Kota Baharu dan di Kuala Lumpur dan seterusnya di Oakham School Rutland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Kajian Diplomatik di Kolej St. Cross dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Tuanku Muhammad Faris Petra diputerakan pada 6 Okt 1969 dan dianugerahkan gelaran Tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 1985 dan sejak pelantikan itu baginda telah menunjukkan kecenderungan untuk mempelajari dan mendalami selok belok pentadbiran negeri.

Baginda mula menarik perhatian seluruh negara dengan liputan meluas media ketika bertitah merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 2008.

Ketika bertitah pada majlis itu, baginda secara terbuka mengingatkan usaha penyatuan Melayu perlu diberi keutamaan yang tinggi berikutan kedudukan orang
Melayu dan Islam yang kian tercabar kerana ia boleh menjejaskan keharmonian negara.

Baginda berharap segala perbezaan pendapat dan perbelahan diketepikan melalui jalan yang bijaksana dengan perpaduan ummah harus diutamakan demi agama, bangsa dan negara sebagaimana yang diimpikan oleh semua.

Di masa lapangnya, baginda gemar membaca bagi mengikuti perkembangan semasa di dalam dan luar negara di samping meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak.

Selain itu baginda juga menunjukkan minat mendalam terhadap sukan memanah, berkuda, boling serta suka memelihara haiwan kesayangan seperti kuda, kucing, ayam dan burung.

Dalam hubungan dengan rakyat, baginda ternyata mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam-diam dan di luar pengetahuan media, baginda menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan.

Komander Askar Wataniah

Baginda juga turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan dan juga aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan.

Baginda telah dilantik sebagai Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigadier Jeneral (Kehormat).

Umum juga mengetahui hubungan yang akrab baginda dengan ayahanda baginda dan kegeringan Tuanku Ismail Petra pada 14 Mei tahun lalu membuatkan baginda diselubungi kesedihan dan berasa tertekan.

Baginda pernah mengimamkan solat hajat bersama-sama rakyat jelata sebelum ini bagi memohon kesejahteraan ayahanda baginda.

Pada 24 Mei tahun lalu, Tuanku Muhammad Faris Petra telah dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan setelah ayahanda baginda mendapat rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Pelantikan itu membolehkan baginda menjalankan tugas Sultan Kelantan mengikut perenggan (b) Fasal (1) dan (3) Perkara 22A Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang menurut pakar perundangan mempunyai kuasa yang sama dengan Sultan mengikut Perkara 4 Fasal 1 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dan Majlis Perajaan Negeri mengikut peruntukan tersebut.

- Bernama

Sah Tengku Faris dimasyhur Sultan Kelantan


4 Syawal 1431H.

KOTA BHARU, 13 Sept: Pemasyhuran Perlantikan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan telah selamat disempurnakan di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di Kota Bharu pada jam 12.30 tengah hari ini di sini.

Pemasyuran perlantikan itu dibacakan Menteri Besar Kelantan YAB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menurut Perkara 29 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Kedua.

"Bismilhhari Rahmanir Rahim; maka dengan ini adalah diisytiharkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa pada menjalankan kuasa-kuasa menurut Perkara 29 (a) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Yang Kedua, Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang bermesyuarat pada hari ini (4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan 13.9.2010, pukul 9.00 pagi) di Pejabat SUK, Kota Darunaim, Kota Bharu telah membuat keputusan bersetuju memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Pemangku Raja Kelantan waris, menjadi Raja memerintah, menaiki takhta Negeri Kelantan dan Jajahan takluknya bagi menggantikan KDYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra berkuatkuasa pada hari ini 4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan dengan 13 September 2010.

"Padanya, sekalian hamba rakyat mengaku taat setia dan kasih mesra dan kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa dipohon taufiq dan hidayah ke atasnya, semoga Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Kelantan Darulnaim dan seluruh jajahan takluknya memerintah di atas takhta Kerajaan Kelantan, dan memandu negeri dan rakyat sekalian merasa aman sentosa, mewah, makmur, kebajikan serta menaungi.," katanya.

Turut hadir Tengku Bendahara Kelantan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, kerabat negeri, kepimpinan dan pegawai negeri.

13 September 2010

SIAPA DULU DI TALKINKAN ? PERKASA ATAU IBRAHIM ALI ?

4 Syawal 1431H.
Oleh: Mandor

BN yang ditunjangi oleh Umno akhirnya membuat keputusan menjauhi PERKASA sebuah badan NGO yang begitu kuat `kemelayuannya' yang dipimpin oleh raja katak dari Pasir Mas, Ibrahim Ali. Ibrahim Ali seorang Ahli Parlimen yang mendapat kerusi tersebut melalui `ikhsan' dari PAS Kelantan sebelum ini begitu lantang `berzikir' dengan kalimah `Melayu'nya mengalahkan Umno seolah-olah PERKASA lah selama ini yang menyelamatkan seluruh umat Melayu di negara ini.

Walaupun diketahui umum bahawa Umno sememangnya berat hati untuk mencampakkan PERKASA dari dikaitkan dengan Umno, tetapi demi kaum bukan Melayu maka akhirnya Umno melutut juga pada parti-parti komponen di dalam Bn yang sejak awal lagi begitu anti dengan PERKASA. Nampaknya PERKASA keseorangan, Umno menolaknya apatah lagi Pembangkang yang lebih awal kenal dengan PERKASA dan lebih kenal lagi dengan raja katak itu.

Untuk menghilangkan rasa duka, maka Ibrahim Ali menyebut bahawa PERKASA tidak memerlukan mana-mana parti politik untuk berjuang. Hakikatnya, parti-parti politik yang tidak memerlukan PERKASA apatah lagi dengan Ibrahim Ali. PERKASA seperti yang dikatakan oleh Ibrahim Ali hanya memerlukan sokongan rakyat untuk terus berjuang. Paling melucukan, PERKASA mahukan kepada pemimpin yang dipilih oleh rakyat nanti adalah terdiri dari mereka yang bermoral, bertakwa, tidak meninggalkan sembahyang, pendek kata kuat pegangan agamanya. Sekali baca seperti PAS pula kehendak PERKASA ini. Masalahnya, di mana moral Presiden PERKASA yang menjadi Wakil Rakyat yang tidak diredhai oleh majoriti pengundi-pengundi di Pasir Mas itu? Umpama menjadi Imam sembahyang yang tidak diredhai oleh Makmum, apakah itu bermoral?

Selagi raja katak `menenggek' di atas kerusi yang tidak diredhai oleh PAS itu, usahlah Ibrahim Ali mahu bercerita pasal moral. Kebanyakan pemimpin yang ada di dalam PERKASA itu bermoral sangatkah? Roslan Kassim bermoralkah? Tokoh yang begitu kuat dan intim dengan PERKASA seperti Tun Mahathir itu bermoral sangatkah?

Maka, bertempik soraklah MCA, Gerakan dan MIC apabila Umno mencampakkan PERKASA umpama mencampakkan barang buruk yang tidak berharga langsung. Bayangkan, jika Umno sebuah parti yang kuat Melayunya pun tidak mahu PERKASA, maka di mana PERKASA letakkan mukanya? Saya syorkan agar PERKASA didaftarkan sahaja sebagai sebuah parti politik bagi menghilangkan rasa malunya sekarang. Mungkin PERKASA boleh menentang Umno di dalam Pilihanraya Umum akan datang untuk membuktikan bahawa PERKASA lebih Melayu dari Melayunya Umno.

Begitulah nasib PERKASA dan tunggulah saat berkuburnya pertubuhan ini dengan didahului dengan berkuburnya Ibrahim Ali di Pasir Mas nanti./mandor.blogspot.com

MB rai 2000 anak Kelantan Perantauan

4 Syawal 1431H.

KOTA BHARU,12 Sept: Kerajaan Kelantan sentiasa menghargai sokongan anak Kelantan di Perantauan terhadap pemerintahan PAS negeri itu yang kini memasuki tahun ke dua puluh, kata Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, beliau terharu dengan sokongan padu anak Kelantan yang menggambarkan rakyat negeri ini tidak mudah ditipu oleh musuh politik yang sering membawa berita palsu terhadap pentadbiran negeri ini.

“Saya amat bangga kerana setiap kali pilihanraya umum diadakan, anak Kelantan di luar akan pulang untuk membantu PAS dan dapat memberi kemenangan besar dan Alhamdulillah sehingga kini sudah memasuki tahun ke20” ujar beliau juga.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meraikan anak Kelantan di Perantauan anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan di Perantauan( PERAKAN) malam tadi.

Sebelum itu, ketika menyampaikan amanat kepada orang ramai yang hadir memenuhi Dewan Konvesyen Kelantan Trade Centre (KTC), beliau berkata perjuangan yang dibawa oleh kepimpinan ulama di Kelantan sudah melakukan banyak perubahan.

“Sudah banyak perubahan kita laksanakan dan setiap yang kita lakukan adalah untuk kepentingan rakyat negeri ini dan ia sentiasa berasaskan Islam serta amalan berbaik baik dengan bukan Islam adalah satu cara kita tadbir negeri ini,” katanya lagi.

Program tahunan tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr.Muhammad Fadzli Hassan, Exco negeri,Wakil-wakil Rakyat serta Presiden Perakan Mohamad Radzi Yusof.

Malam tersebut juga turut menyaksikan lelongan gambar " Wajah-wajah Tuan Guru" dan mendapat pembida tertinggi dengan nilaian RM1500 yang dibeli oleh anak Kelantan yang bertugas di Perak.

Harakahdaily/-

Cerita Anjing Pintar dan Orang Buta Islam di Singapura

4 Syawal 1431H.
MatSinga

Berikut adalah satu cerita dari Singapura yang saya petik dari Berita HarianSingapura. Bukannya apa, isu ni agaknya boleh buka mata pihak yang mudah melatah di Malaysia? Sambil tu nak tukar sikit suasana seram sejuk di Malaysia terkini.Teringin juga nak dengar sajak dan syair dari pakar-pakar Islam dari kedua-dua pihak (BN & PR). Saja nak jolok sikit lagi, dalam Islam, anjing dan babi tu sama ke tidak? Kalau sama, sikit punya haru jika ada orang buta Islam yang diheret oleh 'babi yang telah dipintarkan' gi jalan-jalan masuk pasaraya. Kalau orang buta Islam tu nak gi solat camne heh? Babi atau anjing pintar tu nak parking kat mana heh? Hai dunia dah tua betui lah ni!!! Mari kita bersama semarakkan suasana Idilfitri!

Berita Harian SIngapura - 8 Sep 2010

RUANGAN FORUM

Kecewa isu Muslim buta diizin bawa anjing pandu jalan

SAYA merujuk kepada artikel yang mengizinkan orang Islam yang buta membawa anjing untuk membantu mereka berjalan (BH, 23 Ogos).

Saya kecewa kerana tiba- tiba Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) membenarkan perkara itu.

Malah, ini termasuk membenarkan orang buta itu membawa anjingnya masuk ke restoran yang ditanggung halal.

Mungkin kita lupa beberapa tahun lalu terdapat seorang pemuda bukan Muslim yang menghina Muslim kerana tidak dapat menyentuh anjing di lelaman blognya. Berikutan kenyataannya, dia diambil tindakan.

Sebelum ini, kita ada ramai lagi Muslim buta, termasuk beberapa penyanyi seperti S. Jibeng dan Rashid Noor. Mereka tidak pernah menggunakan anjing, namun masih boleh mencari rezeki dengan menyanyi.

Malah, ada rancangan Suria yang menyiarkan kehidupan sepasang suami isteri buta dan mereka boleh hidup tanpa bantuan anjing.

Saya meluahkan perkara ini dengan harapan kita usah terlalu memperlekehkan hukum Islam. Sedangkan selama ini orang bukan Muslim sendiri amat menghormati kita dalam perkara ini.

Saya juga tidak mahu perkara seperti ini menimbulkan kekeliruan pada orang bukan Muslim dan pada orang Muslim sendiri.

Ini terutamanya mereka yang cetek pengetahuannya tentang Islam atau golongan muda kita yang berfikiran liberal.

Asmahani Ali

http://cyberita.asia1.com.sg/mforum/story/0,6879,172413,00.html?

PAS ucap takziah, gesa pendakwaan segera

4 Syawal 1431H.
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Sept: PAS mengucapkan takziah kepada keluarga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi yang telah dibunuh secara kejam.

"Bagi pihak PAS, kita merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan harap mereka tabah menerima ketentuan ini.

"Kes pembunuhan ini menggemparkan negara," kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man..

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengesahan pihak polis bahawa Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, telah dibunuh.

Mayat mereka juga dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting.

"Kita mahu pendakwaan segera dibuat terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan ini," katanya lagi.

Menurutnyan kes tersebut juga menggemparkan negara dan menunjukkan peningkatan kadar jenayah dalam negara.

"Kita harap pihak polis berusaha mengekang jenayah, jangan hanya kepong ceramah pembangkang sahaja," katanya.

Kes ini juga jelasnya merupakan cabaran buat Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Ismail Omar untuk menyelesaikan kes tersebut.

Kesemua mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya.

Polis sekurang-kurangnya telah menahan empat lelaki membantu siasatan.

Terdapat sumber menyatakan mereka termasuk dua orang peguam.

Mengulas dakwaan wujud campurtangan pihak ketiga dalam PDRM, beliau menggesa satu suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan.

"Kita tidak mahu dalam kes pembunuhan ini juga ada campurtangan pihak ketiga.

"Kita juga bimbang beberapa laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin Umno BN sampai ke hari ini tidak diambil tindakan. Adakah ini juga wujud campurtangan pihak ketiga," soalnya.

Tengku Muhammad Faris Petra akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan

4 Syawal 1431H.

Tanda tanya dan desas-desus mengenai berita yang tersebar sejak akhir-akhir ini mengenai pemasyhuran Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, sebagai Sultan Kelantan terjawab dengan rasminya dalam blog thekelantaninsider.blogspot.com seperti yang disiarkan pada jam 12.00 tengah malam sebentar tadi.

Berikut ini adalah kenyataan penuh pihak berkenaan :-

1. Dengan izin Allah, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, dijangka akan dimasyhurkan (tetapi bukan ditabalkan) sebagai Sultan Kelantan yang baru pada hari Isnin 13 September 2010 Masihi bersamaan dengan 4 Syawal 1431 Hijrah.

2. Pemasyhuran ini adalah dibuat berdasarkan kepada peruntukan Perkara 23A yang telah dimasukkan ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) melalui Warta Kerajaan Kelantan bertarikh 22 Julai 2010.

3. Perkara 23A ini berbunyi:

“Kelucutan Takhta Kerajaan kerana kecacatan yang besar dan berat
23A. Jika sekiranya setelah disiasat dengan sepenuhnya dan secukupnya, Majlis Perajaan Negeri berpendapat bahawa Raja ada mempunyai apa-apa kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat-sifat Raja, yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk menjadi Raja, maka seorang Pengganti hendaklah dipilih dan dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri untuk menjadi Raja mengikut syarat-syarat di bawah Bahagian ini.”

4. Kemasukan Perkara 23A ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) ini pula adalah dibuat berdasarkan kepada Perkara 3(2) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua)

5. Perkara 3(2) ini berbunyi:

“Syarat-syarat mengenai -

(a) naik Takhta Kerajaan dan pangkat kebesaran adat istiadat Melayu;
(b) pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada Takhta Kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun ahli-ahli Majlis Pangkuan Raja bagi Negeri;
(c) pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada Takhta Raja itu atau bakal Raja ataupun bakal-bakal Rajanya;
(d) pelantikan dan sifat Ketua-Ketua Pemerintah ataupun pangkat kebesaran adat istiadat Melayu yang serupa itu dan ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Majlis Penasihat Raja ataupun badan-badan yang serupa itu; dan
(e) penubuhan, aturan, pengesahan dan pelucutan pangkat-pangkat, gelaran, kehormatan, kebesaran adat istiadat Melayu dan pekurniaan serta sifat pemegang-pemegangnya dan kawalan bagi istana, balai-balai penghadapan dan istana-istana raja,
bolehlah dipinda oleh Yang Maha Mulia dengan Perwawai yang dikeluarkan dengan persertaan dan persetujuan Majlis Penasihat Raja, tetapi tidaklah boleh dipinda dengan mana-mana jalan yang lain.”

6. Selaras dengan perasaan kasih sayang yang mendalam Pemangku Raja Kelantan kepada ayahanda dan bonda Baginda, Baginda telah memastikan bahawa taraf dan kedudukan mereka setelah pemasyhuran Baginda kekal terpelihara melalui satu lagi peruntukan yang telah turut dimasukkan ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

7. Perincian mengenai kesemua perkara ini dijangka akan dijelaskan oleh Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Mohd Aiseri Alias, di dalam satu sidang media yang dijangka akan diadakan di Istana Negeri, Kubang Kerian, pada jam 2 petang hari yang sama.

8. Sukacita ditegaskan bahawa Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, memang bercakap benar apabila menyatakan bahawa beliau belum menerima surat jemputan rasmi untuk menghadiri upacara ini sewaktu beliau berkata demikian.

9. Ketidakselesaan kami ke atas tindakan sebuah akhbar tempatan mendedahkan, di samping ketidaksediaan kami mengumumkan, perkara ini lebih awal adalah disebabkan kesedaran kami mengenai wujudnya cubaan untuk menggagalkan upacara ini.

10. We hereby would also like to take this opportunity to reply to lawyer Rashid Zulkifli’s assertion, as reported in today’s Malaysiakini, that he will challenge the legality of this proclamation on the ground that the Regent, by virtue of the Regent being only the Regent instead of the Sultan, does not have the power to make these constitutional amendments.

11. Our simple answer to lawyer Rashid Zulkifli is: Please kindly take the trouble to read, if you had not, or reread, if you had, the ruling made by the High Court judge, Justice Mohamad Ariff Md Yusof, on 29 January 2010, with regard to this matter.

12. For the benefit of everyone, here is what the learned judge said:
(i) “the definition of the term “His Royal Highness” under the Kelantan Constitution would refer to the Regent in cases when the Sultan is incapacitated from attending to the affairs of the state”.
(ii) “there is no limitation imposed to the Regent to exercise his power and functions during the period”.

Di sini disertakan laporan akhbar mengenai keputusan Hakim Mohamad Ariff Md Yusof yang disebutkan. Disebabkan kami perlu memenuhi janji kami tetapi dalam masa yang sama kami menghadapi masalah untuk meng"upload" dokumen-dokumen rasmi kerajaan yang berkaitan, maka dokumen-dokumen ini akan dimuatkan di dalam Posting 33 yang akan disiarkan di dalam blog ini sebaik sahaja proses peng"uploadan"nya diselesaikan.

ALLAHU AKBAR!

Tengku Fakhry loses case against Regent
(The Star, 30 Januari 2010)
KUALA LUMPUR: Kelantan Regent Tengku Muhammad Faris Petra’s action to revoke his brother Tengku Muhammad Fakhry Petra’s membership in the Kelantan Succession Council cannot be reviewed, ruled the High Court.
In dismissing the latter’s judicial review application, High Court judge Justice Mohamad Ariff Md Yusof yesterday ordered the prince to pay costs to the Regent and seven others named in the civil action.
He ruled that the action of the Regent in revoking his brother’s membership in the council on Sept 16, last year could not be challenged in any court of law as the subject matter was non-justiciable.
“It is non-justiciable as it involves the Kelantan Succession Council and the prerogative powers of His Royal Highness, in this case, the Regent. The court of law is not a suitable forum to decide over this subject matter.”
In his findings, Justice Mohamad Ariff said the definition of the term “His Royal Highness” under the Kelantan Constitution would refer to the Regent in cases when the Sultan is incapacitated from attending to the affairs of the state.
In elaborating his grounds, Justice Mohamad Ariff said there is no limitation imposed to the Regent to exercise his power and functions during the period.

Penjelasan isu tabal Tengku Faris malam ini

3 Syawal 1431H.


KOTA BHARU, 12 Sept: Penjelasan mengenai kedudukan isu pemasyuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan akan dibuat di dalam blog thekelantaninsider.blogspot.com pada jam 12 tengah malam ini.

KOTA BHARU, 12 Sept: Penjelasan mengenai kedudukan isu pemasyuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan akan dibuat di dalam blog thekelantaninsider.blogspot.com pada jam 12 tengah malam ini.

Menurut satu kenyataan yang dibuat oleh blog separa rasmi istana Kelantan itu, adalah diharapkan agar penjelasan, yang turut akan melampirkan dokumen-dokumen tertentu akan membolehkan rakyat yang mungkin sedang tertanya-tanya mendapat maklumat yang tepat mengenainya.

Kenyataan ini dipercayai dibuat ekoran laporan muka depan akhbar Umno, Utusana Malaysia semalam yang melaporkan berita spekulasi kononnya mereka men dapat makumat Tengku Faris akan ditabalkan sebagai Sultan Kelantan Isnin esok.

Laporan sensasi ini mengejutkan banyak pihak kerana kerajaan negeri sendiri tidak tahu menahu hal ini.

Menteri Besar Tuan Guru Nik Aziz sendiri tidak tahu menahu hal ini.

Blog yang selalu menyiarkan berita dan pandangan dari pihak Tengku Faris ini juga melahirkan rasa terkejut mereka dengan laporan muka depan akhbar itu.

Kebakaran kabel TNB di Jambatan Pulau Pinang

Kejadian ini menyebabkan gangguan elektrik di sebahagian kawasan di Bayan Baru, Georgetown dan Gelugor/Gambar-gambar oleh Amran Harun


3 Syawal 1431H.

Ribuan kenderaan terkandas lebih tiga jam di atas Jambatan Pulau Pinang akibat kebakaran kabel bervoltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kilometer 2 menghala ke sini Jumaat.

Kejadian jam 10.02 pagi itu turut menyebabkan trafik menghala keluar dan masuk ke pulau itu dilapor sesak sepanjang lebih 10 kilometer, selain lorong kanan di kedua-dua arah di atas jambatan ditutup.





Prof: Pemangku raja K'tan boleh dimasyhur sultan baru

3 Syawal 1431H.

Kongsi Pakar Perlembagaan, Abdul Aziz Bari berkata Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, boleh dilantik sebagai sultan yang baru - di tengah-tengah laporan yang menyebut kemungkinan istiadat permasyhuran itu akan berlangsung esok.

Abdul Aziz, yang banyak menulis mengenai kesultanan dan perlembagaan negara, berkata permasyhuran itu harus dilakukan oleh Majlis Perajaan, yang diberi tugas tersebut dalam perlembagaan Kelantan.

Menurut Abdul Aziz, majlis tersebut sama seperti Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa yang sama untuk melantik dan memecat Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, prinsip Islam serta pertimbangan perlembagaan berat kepada pelantikan sultan yang baru ketika sultan masih gering dan tidak mampu menjalankan tugas perlembagaan baginda.

Bagaimanapun, beliau menyuara keprihatinnya berhubung berita mengenai permasyhuran tersebut, yang disifatkannya sebagai 'agak misteri'.

"Prosesnya harus terbuka dan telus," katanya.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia memetik sumber sebagai berkata, Tengku Muhammad Faris akan dimasyhurkan sebagai sultan Kelantan yang baru bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra, yang sudah setahun gering.

Laporan itu menyebut bahawa istiadat permasyhuran itu akan berlangsung di Istana Balai Istana Besar mulai jam 11.30 pagi.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat berkata beliau tidak tahu mengenai istiadat permasyhuran tersebut, kerana tidak menerima surat rasmi dari pihak istana mengenai hal itu.

Manakala pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, ketika dihubungi oleh Bernama semalam, enggan mengulas tentang perkara itu.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan anggota Exco kerajaan negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kepada pemberita di Kota Bharu kelmarin dengan mengesahkan dia menerima surat jemoutan untuk menghadiri jamuan Aidilfitri bersama Pemangku Raja di Istana Balai Besar esok.

Polis: Sosilawati dan 3 lagi dibunuh, dibakar

3 Syawal 1431H.

Kongsi 0Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi, telah dibunuh dan mayat mereka dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting, demikian menurut polis.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin berkata bagaimanapun, polis masih memerlukan pengesahan forensik untuk memastikan perkara itu.

Beliau memberita pemberita demikan dalam satu sidang akhbar di ibupejabat polis Banting.

Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya.

Sebelum itu, pasukan forensik polis memasuki kawasan sebuah ladang pertanian bersepadu di Tanjong Sepat dekat Banting bersama-sama dengan sekurang-kurangnya dua suspek yang dipercayai terlibat dengan kehilangan Sosilawati dan tiga orang lagi.

Petugas media yang berada di jalan masuk ke Ladang Gadong melihat dua konvoi kenderaan dengan kawalan ketat polis memasuki kawasan itu, dan dua lelaki dilihat memakai pakaian lokap.

Menurut seorang anggota polis, mereka memasuki sebuah kawasan yang terletak kira-kira 100m dari jalan utama kawasan berkenaan, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) itu.

Pasukan forensik turut ke sebuah restoran, terletak kira-kira empat kilometer dari ladang itu untuk menjalankan siasatan.

Helikopter polis juga dilihat berlegar-legar di kawasan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu pemberita di Kuala Lumpur bahawa polis percaya kes itu dapat diselesaikan segera berikutan penangkapan sekurang-kurangnya empat lelaki.

Ismail enggan menyatakan identiti mereka yang ditahan, walaupun ada sumber menyatakan mereka termasuk dua orang peguam.

- Bernama