13 Oktober 2010

PAS juga umum calon Galas 24 Oktober

04 Zulkaedah 1431 H

PAS akan mengumumkan nama calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Galas pada 24 Oktober, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun.

Beliau berkata semua senarai calon parti itu untuk pilihan raya tersebut telah diserahkan kepada Majlis Syura untuk diperhalusi sebelum diputuskan secara muktamad.

"Kita (PAS) bercadang membuat pengumuman nama calon 24 Oktober ini serentak dengan hari pengumuman yang akan dibuat oleh parti lawan BN, ini dikirakan sesuai dan adil bagi semua pihak," katanya kepada Bernama di Pasir Mas hari ini.

Beliau yang juga anggota DUN Bukit Tuku berkata, mengikut kebiasaannya selepas mengumpul senarai nama calon berkenaan, anggota pimpinan PAS pusat akan membuat kaji selidik dan semakan secara terperinci latar belakang calon terbabit sebelum membuat keputusan.

"Mereka akan turun ke bawah untuk memastikan calon yang paling sesuai dan memenuhi ciri-ciri kriteria yang dikehendaki sebelum membuat keputusan muktamad," katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Mat membayangkan bahawa Orang Asli adalah antara senarai nama calon yang dicadangkan oleh parti kawasan berkenaan untuk diserahkan ke peringkat pimpinan parti itu.

Mengenai pelancaran jentera pilihan raya PAS bagi menghadapi kempen di kawasan Galas itu, Abdul Fatah berkata, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan merasmikan majlis pelancaran jentera pilihan raya itu pada 19 Oktober ini.

"Tarikh itu dianggap sesuai sebagaimana dipersetujui Menteri Besar Kelantan itu sendiri," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan pada 4 Nov jika ada pertandingan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Che Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkann hari penamaan calon ialah pada 26 Oktpber.

Malaysiakini/-

CAP: Harga rokok patut naik RM30 sekotak

04 Zulkaedah 1431 H

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat, bagi mengawal tabiat merokok, harganya perlu dinaikkan kepada RM30 sekotak.

Presidennya SM Mohamed Idris berkata, harga produk tembakau itu harus dinaikkan lebih tinggi untuk mencegah orang ramai membelinya.

"Membeli dua kotak sehari masih mampu kepada kebanyakan orang, jadi harga sekotak rokok perlu dinaikkan kepada RM30.

"Rakyat Singapura membayar RM35.40 sekotak dan rakyat Norway RM22," kata SM Mohamed (kiri).

Pada 5 Oktober lalu, kerajaan menaikkan kadar duti eksais bagi rokok sebanyak tiga sen sebatang, berkuatkuasa 1 Oktober.

Dengan kenaikan itu, amaun kenaikan cukai bagi sekotak rokok 20 batang ialah kira-kira 63 sen, iaitu 60 sen daripada duti eksais dan tiga sen daripada cukai jualan.

Sebelum ini, kadar duti eksais bagi rokok ialah 19 sen dan 20 peratus sebatang.

Lesen kepada peruncit

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata kenaikan hampir 70 sen sekarang tidak menjadi sebarang perbezaan kepada poket perokok.

"Jadi apakah langkah yang dilakukan ini sejak ia dilaksanakan dua minggu yang lalu?

"Adakah ia telah menyebabkan lebih ramai orang meninggalkan tabiat buruk, tidak sihat dan boleh membunuh ini? Atau menambahkan lagi pendapatan kerajaan?" soalnya.

SM Mohamad berkata, rokok tidak seharusnya dibenarkan untuk dijual di tempat awam seperti restoran, kedai kopi, pasar raya atau kedai runcit atau di tempat tumpuan remaja.

Beliau turut mencadangkan kedai runcit diberikan lesen khusus yang tertakluk kepada pembaharuan setiap tahun.

"Hanya dengan cara ini maka ia (usaha membanteras rokok) akan dipandang serius," kata SM Mohamad sambil menyenaraikan pelbagai kesan negatif akibat merokok.

Mengambil contoh negara lain, beliau juga memberitahu terdapat, Australia telah menetapkan rokok mestilah dijual dalam kotak biasa yang kosong dan tidak menarik menjelang 1 Julai 2012.

Malaysiakini/-

Konsert artis 'gay': Pemuda PAS hantar memo bantah

04 Zulkaedah 1431 H

Pemuda PAS hari ini menghantar memorandum bantahan terhadap Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) kerana meluluskan konsert artis 'gay' Adam Lambert.

Menurut memorandum dua halaman yang ditandatangani oleh timbalan ketuanya Azman Shapawi Abd Rani itu, kerana ia bakal membawa "keruntuhan akhlak masyarakat", khasnya di kalngan anak muda.

"Adam Lambert adalah seorang artis yang secara terbuka, bukan sahaja mengaku sebagai gay dan pengamal homoseksual tetapi beliau turut mempamerkan aksi gaynya dengan seringkali mencium dan mengucup penari lelaki serta menggayakan tarian serta aksi lucah bersama kumpulannya," memorandum itu dipetik.

Konsert sulung Lamber berjudul 'Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010' dijadual berlangsung 14 Oktober (Khamis) di Stadium Putra Bukit Jalil.

Menurut Azman Shapawi seharusnya peka dengan perkembangan budaya songsang itu kerana di msyarakat Barat sendiri didakwa menolak artis pop Amerika Syarikat itu.

Beliau juga menyatakan kekesalannya kerana pada hari yang sama seorang artis 'nasyid' popular Sweeden Maher Zain mengadakan persembagan di Shah Alam tidak diberikan tempat.

"Fakta dan nasihat yang bagaimana lagi mahu diberikan kepada pihak kerajaan agar menginsafi bahawa program seperti inilah yang akhirnya merosakkan akhlak generasi kita sekali gus membawa budaya dan cara hidup yang bertentangan dengan fitrah?" soal Azman Shapawi.

Dalam memorandum itu, Pemuda PAS menggesa semua penganjuran konsert mematuhi garis panduan PUSPAL dan meminta agensi itu memberikan perhatian serius terhadap penerimaan artis luar negara.

Malaysiakini difahamkan memorandum yang ditujukan kepada Pengerusi PUSPAL Datuk Kamaruddin Siaraf itu diserahkan sendiri oleh Azman Shapawi di pejabat agensi bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Kuala Lumpur pagi tadi.

Lambert, 28, merupakan penyanyi pop, penulis lirik dan pelakon daripada California. Album bekas peserta American Idol itu For Your Entertainment pada 2009 terjual sebanyak 198,000 selepas seminggu berada dalam pasaran.

Malaysiakini/-

Ibrahim Ali didakwa tidak hormati mendiang Chong

04 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Joseph Sipalan

Ahli parlimen pembangkang hari ini membidas Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), yang dikatakan tidak berdiri dan terus bercakap di telefon ketika Dewan Rakyat bertafakur menghormati pemergian wakil rakyat Batu Sapi, Edmund Chong Ket Wah.

Ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata presiden PERKASA itu tidak sopan dan "sengaja memprovokasi", dan memberi amaran bahawa wakil rakyat pembangkang boleh mengemukakan usul terhadap Ibrahim.

Bercakap di lobi Parlimen, Khalid berkata, seorang rakan MP telah meninggal dan ia hanya satu minit bertafakur sebagai tanda hormat.

Bagaimanapun, katanya, Ibrahim terus duduk dan bercakap dengan kuat di telefon, seperti mahu menunjukkan semangatnya sebagai juara Melayu.

Menurut Khalid lagi, jelas kepada semua ahli parlimen yang Ibrahim sedang bercakap di telefon kerana hanya suaranya sahaja yang kedengaran sedangkan orang lain diam bertafakur.

Khalid berkata, walaupun Ibrahim akhirnya berdiri, tetapi hanya pada penghujungnya.

Dalam SMS kepada Malaysiakini lewat petang ini, Ibrahim mendakwa tuduhan terhadapnya itu adalah tidak benar.

"Saya bangun. Cuma lewat sikit. Tak sampai sesaat. Kalau kata saya tak berdiri hormat adalah dusta," demikian kandungan SMS tersebut.

Dalam SMS tambahan yang dihantar Ibrahim selepas itu, beliau menulis: "Tak kan la hal macam ni pun jadi isu... Saya bangun dan masih bertafakur. Cuma lambat sikit. Tak Sampai sesaat."

Malaysiakini/-

Cina lebih takutkan Umno dari PAS - TMI

04 Zulkaedah 1431 H

KUALA LUMPUR, 11 Okt: MCA diberi peringatan bahawa masyarakat Cina di negara ini sekarang lebih bimbang dengan Umno berbanding dengan PAS. Peringatan ini diberikan oleh pengarang laman web The Malaysian Insider (TMI).

Peringatan ini diberikan ekoran amaran yang diberikan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kononnya PAS akan memerintah negara ini dengan Islam autokratik jika Pakatan Rakyat berkuasa.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memberi amaran, meskipun PAS memperlihatkan kesederhanaan parti Islam itu pasti tidak akan mengetepikan “pendirian autokratik Islam” jika PR menguasai Putrajaya.

“Kami merasakan jika Pakatan berkuasa, PAS akan berada di tempat kapten.

“PAS tidak akan melupakan dasar autokratik Islam dan jangan terkejut jika PAS memperoleh kuasa, ia akan kembali keterbelakang,” tegas Dr Chua dalam ucapan dasar presiden MCA pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-57 semalam.

Amaran itu dijawab oleh pengarang laman web TMI itu semalam.

"Sesiapa yang tinggal di Kelantan akan memberitahu anda, bahawa pentadbiran PAS jauh lebih toleransi dan menghormati hak lain-lain pihak berbanding dengan negeri-negeri yang diperintah Umno.

"Faktanya jelas, undi Cina bandar sangat penting dan mereka lebih bimbangkan Umno berbanding PAS," tulis pengarang TMI itu.

Bagi TMI, pandangan Chua itu hanya mengulangi rekod lama yang dibuat MCA untuk menakut-nakutkan pengundi Cina sahaja.

"Masejnya adalah, walau pun Umno dan MCA tidak baik, PAS lagi buruk," tulis pengarang laman web itu semalam.

Bagi pengarang itu, dengan keadaan Umno yang sangat baik dengan Perkasa yang dipimpin Ibrahim Ali, keboleh percayaan orang terhadap ancaman MCA itu diragui.

"MCA sekarang tidak dihiraukan lagi oleh Umno. Dan tidak banyak lagi yang boleh ditawarkan oleh Chua kepada masyarakat Cina kecuali menakut-nakutkan mereka," tulis pengarang itu.

Sementara itu, seorang bekas petugas sebuah badan yang dimiliki MCA menjangka, 80 peratus pengundi Cina di Galas akan mengundi PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Ketika ditemui di majlis hari raya yang dianjurkan Harakah baru-baru ini, beliau berkata, walaupun tidak ada kajian mengenainya, "Saya yakin angka ini betul."

Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, 24.01 peratus dari 10, 330 pengundi Galas adalah dari masyarakat Cina.

Harakahdaily/-

Sosilawati: PAS persoal lambat selesai siasatan

04 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mempersoal kelambatan pihak-pihak terbabit dalam siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Salahudin ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Parlimen hari ini berkata, kelambatan jelas berlaku dalam siasatan kes ini apabila laporan DNA sendiri belum diperoleh.

"Berdasarkan kepada laporan dan penyiasatan polis, kertas pendakwaan telah pun dikemukakan kepada peguam negara kemudian peguam negara telah menghantar balik kertas sisasatan tersebut untuk tindakan selanjutnya oleh pihak polis.

Ujarnya, laporan DNA seharusnya dikeluarkan dalam tempoh tidak lebih daripada seminggu. Namun sehingga kini laporan berkenaan belum dikeluarkan.

"Ini menunjukkan berlakunya beberapa beberapa lagi kekurangan-kekurangan untuk tindakan selanjutnya oleh pihak polis. Kalau laporan profesional DNA oleh jabatan kimia (sepatutnya) mugkin paling cepat (diperoleh) dalam masa satu atau pun dua hari atau tiga hari. Tetapi kita lihat laporan DNA pun masih lagi tidak dikeluarkan.

Sebelum itu, ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menyatakan tarikh/jenis laporan-laporan polis yang dibuat terhadap adik-beradik peguam yang disyaki terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai Datuk Sosilawati di Banting, serta tindakan terkini terhadap laporan-laporan polis berkenaan.

Menjawab soalan tersebut, Hishamuddin menegaskan bahawa pasukan siasatan sedang menjalankan tugas sepenuhnya tanpa henti untuk dibawa ke muka pengadilan.

"Dua agensi yang terlibat dalam siasatan ini, pertamanya pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia), pasukan siasatan dan juga pihak peguam negara.

"Kedua-dua pihak ini, hari ini 24 jam sedang siasat dan memastikan bahawa ianya dapat dibawa secepat mungkin, tak boleh saya laporkan ke dewan ini hari ini," katanya.

Sementara itu, bercakap dalam satu sidang media selepas itu, Salahuddin berharap KDN dapat memastikan kes itu diselesaikan secepat mungkin.

Harakahdaily/-

Tanam semula: Ahmad guris perasaan peneroka

04 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Datuk Ahmad Maslan diminta menghentikan segera pembohongan dan dolak dalik berhubung isu Felda khususnya wang tanam semula kepada peneroka persendirian.

Gesaan itu dibuat Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman merujuk kepada beberapa kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang dianggap bukan sahaja cuba memperbodoh peneroka malah tidak wajar keluar dari mulut seorang menteri.

Antaranya kenyataan Ahmad yang mendakwa kebun peneroka tanam sendiri menjadi hutan, penuh dengan babi, ular sawa, tikus dan kumbang.

Beliau juga mendakwa wang tanam semula RM17,000 diguna peneroka membeli motor, kereta dan membaiki rumah.

"Saya gesa beliau menarik balik kenyataan yang mengguris perasaan lebih 14,00 peneroka sawit yang mengurus kebun mereka secara persendirian dengan kadar segera.

"Jika tidak, laporan polis besar-besaran akan di buat di seluruh negara," kata Mazlan pada sidang media di parlimen hari ini.

Hadir sama pada sidang media tersebut, wakil-wakil peneroka yang menanam sendiri dan bekas kakitangan yang bekerja hampir 30 tahun Felda.

Selain itu beliau turut mempersoal adakah Felda memberi kebebasan kepada peneroka untuk mengurus kebun secara persendirian, sedangkan pada masa yang sama Felda juga mengeluarkan pekeliling melarang peneroka berbuat demikian.

"Kalau tiada paksaan, kenapa Felda mengeluarkan pekeliling mengugut peneroka agar mencabut anak sawit yang telah ditanam secara persendirian?" soalnya.

Menurutnya lagi, terdapat peneroka yang telah menanam sendiri hampir 10 tahun, namun wang tanam semula yang dijanjikan Felda tidak diperolehi.

Sehubungan itu, beliau juga mendesak Ahmad dan Felda jangan berdolak dalik, sebaliknya menjelaskan bayaran wang tanam semula dalam masa tiga bulan.

"3,000 peneroka di Pahang sekarang ini masih lagi menunggu wang tanam semula mereka.

"Jika gagal berbuat demikian, Anak akan atur rombongan peneroka setiap minggu ke Ibu Pejabat Felda di jalan Semarak setiap minggu," katanya lagi.

Kumpulan pertama yang akan dihantar adalah dari Felda Gugusan Sungai Dusun Ulu Selangor yang dijanjikan wang tanam semula oleh Felda pada pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

"Jika tidak dapat wang tanam semula, peneroka tidak teragak-agak membawanya ke mahkamah.

"Peneroka pilih mahkamah sebab itu jalan terakhir setelah perundingan dibuat begitu lama namun Felda belum bayar," jelasnya.

Harakahdaily/-

Gred baja Felda diragui

04 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Bekas kakitangan Felda, Khamis Saad hari ini mendedahkan bukti mengenai penipuan Felda dalam gred baja yang dibekalkan kepada peneroka.
Beliau yang juga Pengerusi Alumni Bekas Peneroka Felda berkata, baja yang dibekalkan oleh Felda telah dicampur dengan pasir menyebabkan kandungan aslinya berkurangan.

"Baja yang datang daripada Jerman yang dibekalkan kepada peneroka yang dibekalkan melalui syarikat-syarikat tertentu di Malaysia, kemudian dibungkus balik poleh Felda kemudian dicampur dengan pasir yang menyebabkan kualiti berkurangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di parlimen hari ini yang diiringi Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Menurutnya, zat tambahan yang terdapat dalam baja asli dapat meningkatkan pengeluaran minyak sawit dan getah.

"Daripada saya bekerja daripada tahun 70-an sehingga 90-an inilah baja yang kami pakai yang tidak berkualiti menyebabkan pengeluaran tidak memuakan," katanya.

Menurut Mazlan pula, salah satu sebab peneroka enggan mengikuti program tanam semula dengan Felda adalah kerana faktor baja yang didedahkan itu.

"Kenapa salah satu sebab peneroka tidak mengikuti program tanam semula kerana Felda membekalkan baja yang sangat diragui kualitinya.

"Potongan yang dibuat sangat tinggi dalam setiap bulan lima hingga tujuh ratus untuk baja sahaja dan untuk setiap tahun tujuh hingga lapan ribu sedangkan hasilnya begitu rendah," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Mazlan turut menyentuh isu wang tanam semula yang belum dilunaskan oleh Felda seperti yang dijanjikan kepada peneroka.

Turut bersama dalam sidang media itu ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli yang juga Bendahari PAS Pusat.

Harakahdaily/-

35,000 kes orang hilang memalukan

04 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa statistik yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa kira-kira 21,000 kes dapat diselesaikan daripada 35,000 lebih kes orang hilang suatu yang memalukan, bukan membanggakan.

Khalid mendakwa demikian sebagai respons kepada jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di dalam dewan bahawa pihak polis telah menjalankan tugas mereka dengan cemerlang.

"Cara beliau memberikan jawapan dalam dewan tadi seolah-olah beliau bangga dengan pencapaian ini Ini bukan tahap pencapaian yang kita seharusnya rasa bangga.

"Kemungkinan daripada 21,000 kes yang selesai itu, bukan semuanya diselesaikan oleh pihak polis sebaliknya orang yang hilang itu sendiri yang kembali selepas tiga hari. Tapi polis mengaku mereka yang selesaikan," kata beliau dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Khalid juga berkata, beliau bimbang sekiranya pencapaian sedemikian menjadi kebanggaan KDN, prestasi pihak polis akan terus merosot.

"Kita khuatir kalau inilah tahap pencapaian yang dibanggakan oleh pihak KDN, da merupakan satu KPI yang boleh diisytiharkan dengan penuh bangga dalam Parlimen, kita huatir prestasi polis akan semakin merosot kerana tidak ada satu standard atau tahap pencapaian yang lebih tinggi ditetapkan," katanya.

Menurutnya juga, jawapan Hishammuddin itu menunjukkan sikap acuh tidak acuh kerajaan Barisan Nasional.

"Ini menunjukkan sikap acuh tak acuh kerajaan BN dalam semua kes termasuk kes orang hilang rasuah, jenayah dan lain-lain lagi," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan terus membangkitkan isu itu di Parlimen selain mendesak satu siasatan awam diadakan bagi mencari penyelesaian kepada kes jenayah terutamanya dalam kes orang hilang ini.

"Ahli parlimen Pakatan Rakyat akan menjadikan ini satu isu yang akan terus dibangkitkan dan kita akan mendesak diadakan satu siasatan awam, kajian atau jawatankuasa khas untuk mencari punca sebenar kenapa begitu besar rakyat Malaysia hilang," katanya.

Terdahulu, Hishammuddin dalam sesi soal jawab menjawab soalan ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang megenai laporan polis yang dibuat terhadap adik-beradik peguam yang disyaki terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tindakan-tindakan terkini terhadap laporan-laporan polis berkenaan.

Harakahdaily/-

Usaha lebih ikhlas perlu untuk kawal merokok

04 Zulkaedah 1431 H
Oleh: SM Mohamed Idris

Kenaikan sebanyak tujuh puluh sen bagi sebungkus rokok. Jadi apakah langkah yang dilakukan ini sejak ia dilaksanakan dua minggu yang lalu? Adakah ia telah menyebabkan lebih ramai orang meninggalkan tabiat buruk, tidak sihat dan boleh membunuh ini? Atau menambahkan lagi pendapatan kerajaan?

Perdebatan kami daripada bertahun-tahun mengkaji isu ini, ialah adalah 70 sen lebih itu tidak menjadi sebarang perbezaan kepada poket perokok.

Sudah tentu ia akan menambah pendapatan kepada kedai runcit di setiap kejiranan yang menjual rokok sebatang atau dua atau lebih kepada perokok dan pelajar sekolah yang pada hari ini boleh dilihat merokok di kawasan taman dalam berpakaian sekolah!

Oleh sebab itu, kepada CAP tidak terdapat keikhlasan di pihak kerajaan untuk berusaha dengan ikhlas dan melaksanakan langkah anti merokok.

Kami telah lama menggesa supaya langkah yang lebih produktif diambil untuk mengawal tabiat merokok yang semakin meningkat, memandangkan kenaikan harga yang minimum sahaja tidak mencukupi. Jadi kenapa kerajaan tidak bertindak? Adakah industri tembakau terlalu berkuasa?

Dengan lebih daripada 4,000 bahan kimia di dalam asap rokok, bahan kimia toksik, penyebab kanser atau penyebab sebagai iritasi, merokok telah diterima di seluruh dunia sebagai salah satu penyebab utama kanser.

Statistik hospital kerajaan menunjukkan kanser paru-paru merupakan bentuk kanser paling biasa dalam kalangan lelaki dan penyebab kanser ini adalah penggunaan tembakau. Kajian menunjukkan kanser paru-paru semakin meningkat pada kadar 17% setahun.

Merokok di Malaysia telah mencapai peringkat membimbangkan. Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2001, kira-kira separuh daripada lelaki Malaysia merokok dan setiap hari kira-kira 50 remaja di bawah usia 18 tahun mula merokok.

Kajian menunjukkan kira-kira 30% remaja lelaki (berusia 12 hingga 18 tahun) merokok. Merokok dalam kalangan remaja perempuan juga semakin meningkat.

Menurut dua kajian ke atas remaja yang dijalankan di Malaysia pada 1996 dan 1999, bilangan remaja perempuan yang merokok meningkat daripada 4.8% kepada 8%.

Pada keseluruhannya, kajian 1999 mendapati hampir seorang daripada lima remaja Malaysia merokok.

Kajian WHO (http://www.wpro.who.int/media_centre_/fact_sheets/fs_20020528.htm) juga menggelar Malaysia sebagai “kota iklan tidak langsung” dunia. Sesetengah industri tembakau kebanyakannya dengan sewenang-wenangnya berusaha untuk mensasarkan golongan muda boleh dilihat di Malaysia.

Perbelanjaan untuk pengiklanan tembakau di Malaysia amat tinggi. Pada 1997, industri ini membelanjakan kira-kira US$90 juta, manakala pada tahun 2000, dua firma tembakau sahaja melaporkan membelanjakan lebih US$40 juta untuk pengiklanan.

Merokok telah menyebabkan kematian kepada kira-kira 10,000 orang setahun, belum dinyatakan kos yang besar yang menelan berbilion ringgit untuk merawat penyakit berkaitan tembakau.

Di seluruh dunia, kajian WHO memberi amaran: penyakit berkaitan merokok menyebabkan empat juta kematian setiap tahun dan jika aliran semasa ini berterusan, merokok akan membunuh seorang dalam setiap enam orang setiap hari menjelang tahun 2030.

Oleh sebab itu, CAP sekali lagi menggesa supaya merokok diharamkan di semua tempat awam termasuk taman, kawasan rekreasi, bangunan awam, semua restoran, disko dan bar.

Rokok tidak seharusnya dibenarkan untuk dijual di tempat awam seperti restoran, kedai kopi, pasar raya atau kedai runcit atau di mana-mana tempat yang menjadi tumpuan remaja. Hanya sebilangan tempat yang terhad perlu dibenarkan untuk menjual rokok serta jauh dari kawasan kediaman.

Kedai runcit seharusnya dikeluarkan lesen khusus yang tertakluk kepada pembaharuan setiap tahun dan dengan syarat yang disertakan untuk penjualan rokok. Peniaga yang didapati melanggar sebarang syarat seperti menjual kepada mereka di bawah umur, perlu dikenakan tindakan yang tegas dan hukuman yang keras termasuk denda yang berat serta hukuman penjara mandatori. Hanya dengan cara ini maka ia akan dipandang serius.

Harga rokok semasa perlu dinaikkan lagi, lebih tinggi untuk mencegah lebih ramai daripada penduduk negara ini membelinya. Membeli dua kotak sehari masih mampu kepada kebanyakan orang, jadi harga sekotak rokok perlu dinaikkan kepada RM30. Rakyat Singapura membayar RM35.40 sekotak dan rakyat Norway RM22.

Banyak kerajaan telah mengambil langkah untuk tidak menggalakkan merokok dengan menjadikan harga tembakau sebagai cukai larangan. Contohnya di Australia, jumlah cukai ke atas rokok pada 2007 merupakan 62.5% daripada harga akhir sekotak rokok.

Langkah lain yang diambil oleh kerajaan Australia yang mensasarkan merokok ialah rokok mestilah dijual dalam kotak biasa yang kosong yang tidak menarik seperti sekarang menjelang 1 Julai 2012.

Kementerian Kesihatan terutamanya melambat-lambatkan usahanya terhadap merokok dan masalah yang disebabkan olehnya kepada negara.

Walaupun Malaysia menandatangani Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) WHO yang menetapkan mekanisma untuk mengawalselia tindakan negara dan mempertanggungjawabkan kepada mereka.

Peruntukan FCTC akan mengukuhkan kemampuan negara untuk melaksanakan kawalan tembakau, menawarkan padang permainan yang sama rata bagi semua pihak dan lebih cepat serta perjanjian antarabangsa paling meluas dengan kira-kira 170 negara terlibat.

Kementerian Kesihatan telah menandatangani FCTC pada September 2003 dan dua tahun kemudian, pada September 2005, Malaysia telah meratifikasikannya dengan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Kementerian Kesihatan telah membincangkan FCTC WHO dengan penekanan kepada perlunya komitmen politik yang kuat untuk memajukan dan menyokong langkah kawalan tembakau, dengan masyarakat awam di seluruh negara, tetapi tiada sesuatu pun yang keluar daripada ini.

Dalam jangka panjang, ia adalah langkah yang wajar untuk mengharamkan rokok dan produk tembakau lain.

Harakahdaily/-

Para huffaz harta tidak ternilai

04 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 11 Okt: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggangap para huffaz merupakan harta yang tidak ternilai pada negara kerana memerlukan kepimpinan berketrampilan dan mempunyai cara hidup beragama yang tinggi.

Katanya, jika tidak mengamalkan cara hidup beragama yang tinggi beliau yakin negara boleh musnah ekoran krisis moral yang semakin mengancam negara.

"Para huffaz sama ada yang hadir pada hari ini atau yang ada di luar negara adalah harta yang tidak ternilai pada negara. Kepimpinan yang berakhlak mulia akan mengemudikan negara dengan baik," ujarnya ketika berucap sempena Majlis Pengiktirafan Al-Hafiz dan Ijtimak Huffaz Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, pagi tadi.

Oleh itu, sambung beliau sejak tiga tahun lepas Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan sumbangan kepada golongan terbabit sebagai menghargai jasa mereka yang sanggup menghafal Al-Quran.

Kerajaan juga, ujarnya menyalurkan bantuan khusus kepada aktiviti keagamaan semata-mata memartabatkan Islam di negeri ini dan hasil program tersebut terhadap pertambahan 40 orang huffaz untuk tahun ini berbanding tahun lalu.

Ia juga, katanya selari dengan matlamat Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang mahu melahirkan 'satu keluarga satu hafiz'.

"Saya yakin hasil dari pengiktirafan itu menambahkan lagi para huffaz di negeri ini. Untuk tahun ini sahaja saya difahamkan 40 orang telah dilahirkan. Ini satu kebanggaan," tegasnya.

Selain memberikan pengiktirafan kepada para huffaz yang hadir kerajaan negeri juga memberikan sumbangan kepada Johan Program Imam Muda, Muhammad Asyraf Mohd Ridwan yang telah menaikkan imej Negeri Pulau Pinang serta boleh dijadikan motivasi kepada para huffaz di sini.

Beliau merupakan seorang huffaz lulusan Maahad Tahfiz Al Quran Pulau Pinang yang kini dikenali sebagai Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (Kitab).

Turut hadir dalam majlis tersebut Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Datuk Seri Utama (Dr) Abdul Rahman Abas.

Harakahdaily/-

Manfaatkan waktu anda.

04 Zulkaedah 1431 H

“Tidaklah bergeser kedua kaki seorang hamba (menuju batas shiratul mustaqim) sehingga ia ditanya tentang umurnya untuk apa ia habiskan, ilmunya untuk apa ia amalkan, hartanya dari mana ia peroleh dan kemana ia habiskan dan badannya untuk apa ia gunakan” (HR. Tirmidzi dan Ad Darimi)

Kita seringkali memerhati perjalanan waktu melalui jarum jam atau pergerakan matahari. Namun, tidak sedikit di antara kita yang tidak melihat diri sendiri dalam menempuh waktu yang terus berlalu.

Seandainya mahu dilihat, maka akan nampak ruang waktu yang tidak terisi dengan baik, baik dalam waktu satu hari atau waktu seumur hidup. Dalam waktu yang terisi pun masih ada kemungkinan rugi, apalagi dalam kekosongan waktu yang tidak terisi. Jelas amat rugi, bila direnungkan oleh manusia yang berfikir. Dalam waktu yang terisi pun, boleh jadi tidak cukup atau kurang baik.

Ibadah sholat yang dilakukan oleh seseorang hamba, kadangkala kualitinya jauh dari syarat-syarat sahnya. Demikian juga puasa, haji, dan amalan lainnya. Ini jelas suatu kerugian, kerana kesempatan untuk berbuat yang terbaik, terisi dengan yang kurang atau dengan yang sia-sia.

Lebih dahsyat lagi ruginya bagi hamba-hamba Allah yang waktunya banyak kosong dan bahkan terisi dengan kejahatan. Diisi atau tidak, waktu akan terus berlalu dan tidak akan pernah terulang.

Bila waktu tidak terisi, maka kesempatan berbuat baik, yang sebenarnya akan kembali kepada diri sendiri, akan terbuang begitu saja. Namun yang harus diingatkan pada diri sendiri, meskipun waktu tidak diisi atau dibiarkan kosong,

pertanggungjawabannya tetap akan diminta suatu ketika nanti. Kerana itu, sempatkanlah untuk senantiasa berdoa kepada Allah, agar mampu memanfaatkan waktu dengan kebaikan.

Air pasang di Kuala Bagan Tiang dapat perhatian ADUN.

Drs. Khalil dan penduduk tempatan meninjau keadaan jalan dan benteng yang rendah dan tidak berfungsi sebagai penahan kepada gejala air pasang besar.


Beginilah keadaan benteng yang telah dibina dengan keadaan berlubang dan tidak kukuh.

4 Zulkaidah 1431H.

TITI SERONG , 10 Okt,:- Beberapa buah rumah di kawasan perkampungan nelayan Kuala Bagan Tiang dalam DUN Titi Serong ditenggelami air beikutan air pasang besar yang naik dan melimpahi tebing yang telah dibina oleh kontraktor sebelum dari ini.

Salah seorang warga tempatan menjelaskan bahawa benteng penghalang air berhampiran rumah penduduk telah dibina oleh kontraktor yang dilantik membina benteng itu dengan mengabaikan aspek ketinggian yang sepatutnya, diangarkan puluhan rumah menerima nasib yang malang dimana rumah mereka dimasuki oleh air masin serta bau yang busuk berikutan air pasang yang luar biasa selama 4 hari berturut-turut.

Drs. Khalil yang meninjau kawasan terbabit pada jam 9.00 pagi dengan diringi oleh Ketua PAS cawangan Kuala Bagan Tiang, Hj. Bakhtiar.

Penduduk memaklumkan bahawa masalah ini akan selesai jika pihak penguasa tempatan dapat membina benteng penghalang air ini mengikut saranan penduduk yang mencadangkan supaya benteng tersebut perlulah dibina sekitar dua kaki lebih tinggi dari paras jalan yang sedia ada,.

Sebahagian kecil telah dibina mengikut ketinggian yang boleh mengelakkan limpahan air namun itu pun tidak menepati piawai benteng yang kukuh, tinjauan mendapati benteng walaupun dibina dengan ketinggian dua kaki, tetapi amat nipis, beberapa retakan serta pecah telah ditemui pada kawasan bawah benteng tersebut.

Penduduk juga memaklum bahawa benteng tersebut perlu ada paip besar yang memudahkan saliran air yang bertakung untuk mengalir ke sungai .

ADUN sedang cuba untuk menghubungi pihak berwajib bagi mengatasi masalah tersebut.

Dengarlah peringatan untuk kebaikan.

04 Zulkaedah 1431 H

“Berilah peringatan kerana peringatan itu akan bermanfaat bagi orang yang beriman” (QS. Adz-Dzariyat : 55).

Merupakan pertanda orang baik ialah memiliki kecenderungan untuk menyukai perkara yang baik-baik. Di antaranya, mendengar peringatan untuk kebaikan. Sedangkan pertanda akhalk yang buruk ialah merasa berat hati untuk hal-hal yang baik.

Menjadi sangat berbahaya bagi suatu kaum, bila orang-orang yang tergolong dalam kelopok yang kedua terpilih menjadi pemimpin dan wakil-wakil kaum tersebut. Menurut Rasulullah, salah satu pertanda kehancuran bagi suatu kaum ialah memiliki pemimpin-pemimpin yang buruk.

Alasan Rasulullah tersebut sangat masuk akal. Pemimpin atau orang yang mewakili rakyat adalah para penggembala bagi kaum tersebut.

Suara dan pandangan mereka yang akhirnya melahirkan dasar-dasar pemerintahan yang merupakan peraturan bagi tata kehidupan rakyat.

Jadi pemimpin atau wakil-wakil rakyat yang buruk akanmendorong ke arah keburukan, ketidakadilan, kezaliman dan sebagainya. Meskipun mereka sudah diingatkan untuk tidak berbuat demikian, namun mereka tetap angkuh dan sobong. Mereka akan tetap demikian, kerana pendengaran, penglihatan dan hati mereka sudah tertutup.

Oleh kerana itu, bersyukurlah bila ada pemimpin atau wakil rakyat yang mau mendengar peringatan untuk kebaikan dan perbaikan.

Itu pertanda peringatan bermanfaat bagi mereka. Itu juga sebagai petanda pertanda mereka masih beriman dengan peringatan-peringatan dari Allah SWT.

Batu Sapi: SPR bermesyuarat Jumaat ini

04 Zulkaedah 1431 H

KOTA KINABALU 11 Okt. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat Jumaat ini bagi membincangkan Pilihan Raya kecil Parlimen Batu Sapi ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah.

Pengarah SPR negeri, Mohd. Idrus Ismail berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

“Saya sendiri akan hadir pada mesyuarat itu bagi membincangkan proses pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi termasuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi perlu diadakan selepas kematian Edmund kelmarin.

Edmund yang juga Bendahari Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) terbunuh apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Coastel Tanjung Aru-Kota Kinabalu di sini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Edmund yang juga Ketua PBS Elopura, menang kerusi Parlimen tersebut setelah menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Beliau memperoleh 9,479 undi manakala Kwong Wing mendapat 5,771 undi.

Utusan Malaysia/-