19 Oktober 2010

Bajet raih undi, bukan ekonomi pendapatan tinggi

10 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Dr Azman Ibrahim

Bajet 2011 berjumlah RM213 bilion, RM162.8 bilion untuk belanja mengurus, RM49.2 bilion untuk pembangunan. Maknanya belanja mengurus 3 kali ganda belanja pembangunan. JPM sendiri terima peruntukan sehingga RM15 bilion berbanding RM78 juta untuk parlimen.

Bajet ini satu petunjuk yang sangat jelas, pilihan raya sudah dekat. Bajet yang disasarkan untuk mendapat undi, bukan ekonomi berpendapatan tinggi. GST tak jadi dibuat, elaun pengerusi JKKK dan elaun mesyuarat JKKK naik, elaun Tok Batin naik, elaun Tok Imam naik (tapi kenapa bilal tak naik),

elaun guru KAFA naik, imbuhan yang pelbagai tapi adakah rakyat akan merasai imbuhan tersebut? Atau imbuhan-imbuhan ini hanya perangkap. Apa perlunya dibina Menara Warisan PNB setinggi 100 tingkat dengan kos RM5 billion tetapi beban hidup rakyat tidak diringankan.

Menarik kononnya untuk menghargai kaum wanita, cuti bersalin dianjalkan 60 hari ke 90 hari, ada orang kata kerajaan pusat tiru dasar cuti bersalin 90 hari kerajaan PR Selangor. Sebenarnya tidak. Dianjalkan dari 60 hari kepada 90 hari,

maknanya kakitangan awam wanita boleh tentu sendiri berapa hari mereka nak cuti bersalin antara 60 hingga 90 hari dengan maksima 300 hari sepanjang perkhidmatan. Berapa puluh tahun pun seorang wanita bekerja dengan kerajaan, cuti bersalin mesti tak lebih 300 hari.

Tak ada tambahan apa-apa. Maknanya boleh beranak setakat 3 orang saja. Lepas itu tak ada dah cuti. Kalau siapa nak beranak 5 tetap kena ambil cuti bersalin 60 hari sebab 60 x 5 = 300. Tak sama dengan dasar cuti bersalin 90 yang kerajaan Selangor buat. Jangan cepat rasa seronok. Kena kira betul-betul.

First Lady Rosmah bukan menteri kabinet tetapi Program TADIKA PERMATA PINTAR Rosmah seakan ambil alih dan mengecilkan peranan kementerian Shahrizat. Walaupun Rosmah tak ada sebarang jawatan rasmi,

tapi program PERMATA yang dia urus dapat bajet istimewa. RM111 juta peruntukan hasil duit rakyat diberikan seorang suami kepada first lady tersayang sedangkan untuk SAR rendah dan menengah hanya RM95 juta diperuntukan. Satu lagi projek kerajaan BN. Isteri didahulukan, SAR dianak tirikan.

Duti import antara 3 hingga 5 peratus dimansuhkan untuk kira-kira 300 jenis barang-barang kegemaran pelancong dan rakyat tempatan seperti beg tangan berjenama, kasut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut, pakaian dalam, seluar dalam, minyak wangi. Mampukah rakyat biasa beli beg tangan berjenama? Kalau mampu pun, apakah ini keperluan mendesak.

Penyembur rambut, minyak wangi, seluar dalam import. Semua ni keperluan siapa? Keperluan orang kampung atau keperluan mak datin. Seluar dalam pun masuk bajet. Ada orang kampung pakai minyak wangi import, penyembur rambut import? Berapa ramai rakyat biasa pakai dompet berjenama?

Kalau Bajet untuk rakyat, rakyat mana? Apakah rakyat dengan makna kita masyarakat bawahan atau dengan makna ahli politik dan kroni. Kalau bukan untuk rakyat biasa maknanya ia satu lagi bajet untuk kemudahan dan keselesaan warga yang berada.

Mereka sebut projek mega di situ, projek mega di sini, hakikatnya berbillion ringgit akan dapat kepada kroni, rakyat hanya dapat ratusan ringgit.

Masa Najib bentang bajet kelmarin, saya tengah memandu di Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Perak, sambil mengikuti perbentangan bajet di dalam kereta. Menarik bila diumumkan, untuk pengguna-pengguna Lebuh Raya PLUS saya dengan sukacitanya mengumumkan…

PM berhenti sekejap, saya menjangkakan kalau tak dimansuhkan tol mesti sekurang-kurangnya kerajaan mengurangkan kadar tol. Rupa-rupanya… dengan sukacitanya saya mengumumkan kadar tol di semua 4 lebuh raya kendalian PLUS tidak akan dinaikkan dalam tempoh 5 tahun.

Ingatkan nak diumumkan tol dimansuhkan atau sekurang-kurangnya diturunkan. Mungkin ada pemandu di lebuh raya PLUS yang senak perut, tergelak dengar pengumuman ini. Rupanya nak bagi tahu tol tak naik.

Tak naik tak payahlah diumumkan. Saya yakin PLUS tak terjejas apa-apa ekoran kadar tol tidak dinaikkan kerana mereka mempunyai perjanjian dengan kerajaan: Sebarang kekurangan pendapatan PLUS ekoran kadar tol yang tidak dinaikkan akan ditampung pihak kerajaan. Ditampung pihak kerajaan maknanya duit rakyat akan digunakan.

Apa pula keperluan ubah suai Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri dengan kos mencecah RM65 juta. Bukankah ia baru saja diubah suai. Apakah ubah suai ini atas kehendak Rosmah? Sekiranya begini duduk perkara maka amat malang bagi rakyat Malaysia mempunyai ‘First Lady’ yang berselera dan bernafsu tinggi sehingga sang suami perlu membelanjakan puluhan juta ringgit duit rakyat demi memenuhi selera isteri tercinta.

Termasuk tahun ini telah 14 tahun berturut-turut kerajaan BN membentangkan bajet defisit. Untuk Bajet 2011, jumlah defisit kira-kira RM1 billion. Menjadi persoalan kenapa perlu kerajaan berbelanja melebihi pendapatan. Berbelanja melebihi pendapatan bermakna negara perlu berhutang.

Setakat tahun ini sahaja jumlah hutang Negara telah mencapai hampir RM400 billion. Kalau kita terus berhutang tanpa mampu menjelaskannya, memang jelas sebagaimana yang dinyatakan oleh Idris Jala, Negara kita menuju bankrap menjelang 2019, setahun sebelum kita mencapai status negara maju 2020.

Harakahdaily/-

Najib rasis, rakyat tidak akan terpedaya.

10 Zulkaidah 1431H.
Oleh : Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 18 Oktober :- “Saya nak tanya siapakah yang mempersoalkan 153 Peruntukan dalam Perlembagaan? Hak keistimewaan orang Melayu, siapa yang persoalkan?

Siapa yang wujudkan peristiwa tidak mendoakan Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah? Siapa yang mahu buka UiTM (kepada bukan Melayu)? Bukan UMNO tapi orang sebelah sana.” Najib dipetik sebagai berkata pada pelancaran Kelab Umno Pesara Kakitangan Kerajaan di kediaman rasminya di Seri Perdana di Putrajaya pada 16 Oktober baru-baru ini.

“Persoalan sebegini telah menzahirkan siapakah juara perkauman, jelas ia barbaur perkauman yang dicetuskan oleh Perdana Menteri sendiri,” kata ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim.

Beliau merujuk ucapan perdana menteri tersebut bahawa ia sengaja diwujudkan dan menzahirkan beliaulah sebenarnya “orang kuat” PERKASA.

Menurut Drs. Khalil Perdana Menteri berlakon dan cuba memberitahu rakyat bahawa Umnolah pejuang bangsa dan agama yang tulen dengan menyalahkan Pakatan Rakyat telah mengkhianati peruntukan Perlembagaan Negara yang sedia ada iaitu Perkara 153, walhal Pakatan Rakyat telah membuat resolusi bahawa kita akan sokong malah akan pertahankan Perlembagaan Negara termasuk Perkara 153,” katanya.

"UMNOlah penghianat kepada bangsa dan agama yang sebenarnya" jelas Drs. Khalil.

Drs. Khalil Idham Lim yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Perak,berkata “sebagaimana diketahui bahawa NGO tersebut amat sinonim sebagai pencetus sentimen perkauman yang ekstrim, tetapi tidak dikritik oleh Najib selaku pelopor slogan “1 Malaysia” dan ini menggambarkan sikap sebenar Najib.

Sebelum ini pegawai Najib yang mengeluarkan ucapan yang mengguris hati orang Cina dan India iaitu Nasir Safar.

"Saya berharap rakyat tidak terpengaruh dengan lakonan baru dari Najib dan terus bertekad untuk menolak parti rasis UMNO demi menyelamatkan negara Malaysia yang kita cintai" Tegas Drs. Khalil.

Najib amal politik perkauman, adu domba

10 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Gagasan 1Malaysia yang diperkenal Datuk Seri Najib Razak terbukti hanya retorik apabila Perdana Menteri itu masih mengamalkan politik perkauman dan adu domba.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, jika benar Najib ikhlas dengan gagasan 1Malaysianya, sudah tentu beliau tidak menyalakan api perkauman dengan cuba menuduh Pakatan Rakyat mempersoal perlembagaan.

"Saya rasa Najib ketinggalan dan tidak mengikuti poilitik semasa. Pakatan Rakyat telah buat resolusi bahawa kita akan sokong malah akan pertahankan Perlembagaan Negara termasuk Perkara 153," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat, berkata demikian sebagai mengulas ucapan Perdana Menteri ketika melancarkan Kelab Umno Pesara Kakitangan Kerajaan di kediaman rasminya di Seri Perdana di Putrajaya semalam.

Najib dalam ucapannya menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat mempersoal perkara 153 Perlembagaan termasuk isu hak orang Melayu.

Najib juga menuduh Pakatan Rakyat mewujudkan peristiwa tidak mendoakan Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah dan mahu membuka UiTM kepada bukan Melayu.

Semua itu dipersoal Najib bagi menunjukkan betapa Umno memperjuangkan Melayu manakala Pakatan Rakyat pula sebaliknya.

"Najib lupa, Umno lah yang membuat dasar membuka 5 peratus kepada bukan Melayu memasuki MRSM (Maktab Rendah Sains Mara).

"Najib nampaknya sudah mainkan politik adu domba. Di majilis pesara kakitangan kerajaan dia kata PR tidak menghormati perkara 153, waktu rasmi mesyuarat MCA dia kata PAS akan melaksanakan dasar Islam jika PR memerintah," katanya.

Sementara itu Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam satu kenyataan hari ini menuduh Najib menggunakan "kepalsuan dan retorik" untuk orang mengapi-apikan kemarahan pegawai kerajaan daripada kalangan orang Melayu.

Pua yang juga anggota Parlimen Petaling Jaya Utara juga menyifatkan kenyataan Najib itu menggambarkannya "sebagai hulu balang Perkasa sebenar".

Sebab itu kata Pua, Najib mengambil pendirian tidak mengkritik Perkasa biarpun NGO tersebut didakwa ekstrem dan rasis.

Harakahdaily/-

Memo taubat kerja orang jahat, kecewa

10 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Mohd Ali Hashim

PENANTI, 17 Okt: Pengerusi PKR Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman menyifatkan tindakan sekumpulan pemuda yang mendakwa menyerahkan memorandum taubat kepada ibu pejabat Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah kerja orang jahat yang kecewa.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan bagi meraikan 105 orang bakal jemaah haji dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, petang tadi.

"Mereka ini adalah orang upahan yang telah diasuh untuk mencemarkan imej baik Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini bukanlah perkara baru yang berlaku setelah melihat kekuatan yang ada pada PKR semakin menggugat kekuatan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Dakwaan mereka adalah sebagai mengisi kehendak orang atasan bagi memenuhi hasrat mencemarkan Pakatan Rakyat (PR) menjelangnya pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi. Tidak menghairankan banyak lagi desperado yang akan muncul sepertimana skrip yang telah mereka rancang, " ujarnya yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Semalam sekumpulan pemuda yang mendakwa dari Cabang PKR Pulau Pinang dan Perak telah menyerahkan memorandum taubat meminta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya segera bertaubat.

Memorandum satu muka surat itu didakwa telah dihantar oleh 60 ahli dari tiga cabang yang mewakili Pulau Pinang dan Perak.

Namun begitu, Mansor berkata bahawa sebenarnya hanya enam orang sahaja yang mengiringi menghantar memorandum tersebut. Manakala Nor Hilmi Ismail yang mendakwa mewakili 3 cabang PKR adalah anak kepada seorang pegawai khas Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

"Mereka ini bukannya ahli PKR dan tindakan ini adalah dipercayai didalangi oleh sebahagian dari mereka yang kalah dan kecewa dalam mencapai hasrat mereka.

“Oleh kerana itu satu siasatan akan dilakukan bagi memastikan kesahihan dakwaan keahlian mereka terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan susulan dilakukan," tambahnya lagi.

Mansor menyangkal dakwaan pihak terbabit dan menyeru masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan yang semakin liar cuba direncanakan oleh pihak lawan bagi menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

Menurutnya lagi, menjelang pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dun Galas, maka pelbagai dakwaan akan timbul sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini, termasuklah keluar parti beramai-ramai dan pengakuan sumpah palsu yang sudah menjadi lumrah dan mainan Umno BN.

Harakahdaily/-

Air: Umno takut penyelewengan terbongkar

10 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Mohd Ali Hashim

PERMATANG PAUH, 18 Okt: Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah membidas Umno negeri yang cuba menjadi juara dalam memburukkan kerajaan negeri setelah penyelewengan dalam isu air didedahkan.

Katanya, kenaikan tarif air di negeri Kedah adalah suatu pelarasan yang telah dilakukan setelah 17 tahun lalu bagi menampung kos yang semakin meningkat dalam pengurusan air tersebut.

Pada akhir September yang lalu Syarikat Bekalan Air Darul Aman (Sada) telah mengumumkan kenaikan tarif air di negeri Kedah setelah mendapat kelulusan dari Kerajaan Pusat.

"Kerajaan Pusat melalui Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air dan Kadar Bekalan Air Negeri Kedah 2010 telah menetapkan tarif air ini. Mereka juga yang memberi kelulusan terhadap kenaikan ini.

"Oleh kerana itu Umno tidak harus menuding jari kepada Kerajaan Negeri. Sebenarnya mereka takut penyelewengan yang telah mereka lakukan terbongkar," ujarnya lagi ketika menyampaikan ceramah isu semasa di markas PAS Kampung Pelet, Penanti, kelmarin.

Amiruddin yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, antara penyelewengan yang telah dikenal pasti berlaku ialah kos pembinaan loji pembersihan air di Lubuk Buntar dan Padang Sanai.

Bagi projek pembinaan di Lubuk Buntar kos sebenar adalah dalam lingkungan antara RM25juta hingga RM30 juta sahaja. Namun begitu apa yang tertera ialah peningkatan mendadak sehingga RM65 juta.

Kos pembinaan loji pembersihan di Padang Sanai pula apa yang menjadi kesangsian ialah kos yang sebenarnya antara RM50 juta hingga RM60 juta, telah melambung sehingga RM155 juta.

"Ini semua adalah antara penyelewengan yang berlaku semasa Kerajaan Negeri belum dikuasai oleh Pakatan Rakyat lagi. Oleh kerana itu kita amat mengharapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersikap adil dan cekap dalam menangani masalah ini setelah ianya dipaparkan melalui pelbagai sumber dan saluran," tegasnya lagi.

Harakahdaily/-

18 Oktober 2010

Drs. Khalil : Kebajikan DUN Titi Serong tetap diteruskan.

10 zulkaidah 1431H.
Hafizi Pauzi

TITI SERONG, 17 Oktober:- Tugas Pejabat Pusat Khidmat untuk memberi bantuan dan kebajikan kepada rakyat tetap diteruskan seperti biasa, agenda kebajikan rakyat tetap menjadi perkara pokok, walaupun kerajaan negeri Perak tidak lagi di bawah Pakatan Rakyat, demikian menurut ADUN Titi Serong , Drs. Khalil Idham Lim yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Perak semasa ditemui disini.

Menurutnya dengan sokongan pelbagai pihak dan masyarakat yang prihatin, sumbangan yang diterima telah banyak membantu kerja-kerja kebajikan di DUN ini.

Beliau ditemui untuk menjawab desas desus yang disebarkan oleh pihak tertentu mengenai pejabat Pusat Khidmatnya yang telah ditutup sejak kerajaan Pakatan Rakyat perak jatuh pada Januari 2009.

"Sejak rampasan kuasa sehinggalah sekarang pejabat saya masih berfungsi sebagaimana biasa, cuma yang tiada adalah peruntukan kerajaan negeri yang dikuasai oleh BN, oleh itu pandai-pandailah pihak kami dan dengan bantuan dari PAS Kawasan Parit Buntar untuk meneruskan kerja-kerja kebajikan" Tegasnya.

Selain itu beliau menyatakan pejabatnya setiap hari dikunjungi oleh penduduk DUN Titi Serong yang mengadu masalah masing-masing disamping mengadakan lawatan langsung ke lokasi tertentu sekiranya menerima aduan rakyat.

Ditanya apakah program yang masih berbaki untuk tahun 2010, beliau menyatakan terdapat 2 program besar yang berada dalam perancangan Pejabat ADUN , namun beliau tidak mahu menjelaskan secara khusus apakah bentuk programnya.

"Tunggulah kalau sampai masa media akan siarkan beritanya nanti" katanya.

Dengan sokongan rakyat yang terus menerus, Drs. Khalil yakin, rakyat inginkan perubahan yang lebih besar lagi selepas ini iaitu melihat Pakaran Rakyat kembali berkuasa di Perak dengan kemenangan yang lebih besar,

Berhubung dengan Pusat khidmat ADUN Pakatan Rakyat Perak yang lain beliau menjelaskan semua Pusat Khidmat mereka berfungsi seperti biasa.

“saya mengajak agar seluruh Ahli Yang Berhormat dari Pakatan Rakyat mengiatkan lagi usaha dengan program mendekatkan diri dengan rakyat supaya rakyat kenal dengan lebih rapat lagi siapakah pemimpin meraka”.

Wasiat Imam Syafie

9 Zulkaidah 1431H.
Email : misada misada

Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya.

Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: “Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”

1: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

3 : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

4: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

5 : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

6: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

7: HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibubapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

8: HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

9: HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

10: HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Banggakah anda sekadar jadi Muslim?

9 Zukaidah 1431H.
Oleh Ahmad Baei Jaafar

Kita harus berasa bangga kerana dilahirkan daripada keluarga Islam, nama sudah pun direkodkan sebagai Islam, dan pasti kalau mati pula akan dikebumikan secara Islam di tanah perkuburan Islam. Dan kita juga harus bersyukur kerana sebaik sahaja kita boleh mendengar dan bercakap kita sudah dibiasakan dengan perkataan Allah.

Kita tidak susah untuk mencari Islam kerana semuanya sudah tersedia buat kita. Sedangkan kawan-kawan kita ada yang terpaksa bersusah payah mencari Islam, dan dalam pada itu mereka dihalang dan dihina malah disisihkan keluarga. Namun mereka tetap bersyukur kerana telah diberi hidayah walaupun sudah agak terlambat daripada kita.

Walau bagaimanapun kedudukan kawan kita itu kadang-kadang lebih baik daripada kita yang sudah lama beragama Islam. Kita hanya boleh berbangga dengan keislaman yang kita milik, tetapi kita tiada upaya menjaga iman dan agama kita. Kita belum bebas dan terselamat daripada gangguan syaitan yang tugasnya untuk menyesatkan kita.

Tahukah anda setelah kita mengucap dua kalimah syahadah maka secara rasmi kita telah digelar sebagai seorang Muslim. Bagi yang Muslim keturunan, sejak baligh dan mendirikan solat, mereka sudah direkodkan sebagai muslim secara rasmi. Tetapi setelah bergelar Muslim banyak kemungkinan boleh berlaku, ada yang boleh meningkat menjadi Mukmin atau berubah menjadi kafir atau musyrik atau munafiq.

Dalam ruang yang terbatas ini, saya cuba untuk menghuraikan kemungkinan itu semoga kita boleh berhati-hati dalam kehidupan ini:

1.Apabila anda kuat hubungan dengan Allah, tauhidnya mantap, taqwa kepada Allah pada tahap tinggi, perintah Allah dilaksanakan dan larangannya ditinggalkan, maka terbinalah sebahagian mukmin pada diri anda. Seterusnya dikuatkan hubungan dengan manusia; akhlaknya, muamalatnya, dan toleransinya sesama manusia, maka sempurnalah mukminnya.

2.Apabila anda mula meragui kekuasaan dan kehebatan Allah; perintah Allah diabaikan seolah-olah mencabar hukum Allah, dan larangan Allah dibuat secara sedar seolah-olah tidak takut kepada hukuman Allah, ketika itu jadilah anda seorang kafir.

3.Apabila anda menyembah Allah tetapi pada masa yang sama anda turut memperakui tuhan-tuhan lain setaraf dengan Allah. Anda memperakui ubat yang dimakan mampu menyembuhkan sakit anda. Meyakini bahawa jin boleh memberikan sakit dan sihat terhadap seseorang manusia. Dan juga sanggup tunduk sujud kepada manusia yang bertaraf pemimpin atau pembesar. Sedangkan semua kelakuan itu hanya layak untuk Allah, maka mereka yang berbuat begitu telah dikira musyrik.

4.Apabila anda bersifat talam dua muka, sering bermuka-muka dengan seseorang kerana sesuatu kepentingan maka anda termasuk dalam kalangan orang munafiq. Anda tahu kebenaran pada seseorang, tetapi anda selewengkan maklumat kerana hendak menjatuhkan orang itu, sahlah anda bukan Muslim yang jujur. Ketahuilah golongan itu terdapat tiga sifat berikut: Apabila berkata-kata dengannya dia berbohong; apabila dia berjanji dia akan mungkiri; dan apabila diberi amanah dia akan khianati.

Dalam sebuah hadis, ditambah satu sifat lagi iaitu sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafiq yang jelas. Sesiapa melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafiq hingga dia meninggalkannya, iaitu apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengetepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan kemungkinan di atas, mampukah kita sekadar berbangga sebagai seorang Islam atau Muslim? Anda janganlah mudah terpengaruh dengan jaminan Rasulullah bahawa setiap yang mengucap dua kalimah syahadah akan dimasukkan ke dalam syurga. Janganlah berasa senang hati dengan tawaran bahawa seseorang Islam pasti akan masuk syurga juga akhirnya.

Memang betul ada jaminan dan tawaran itu, tetapi kita perlu ingat, seorang Muslim dalam kategori kafir itu akan dicampakkan ke dalam neraka terlebih dahulu. Entah berapa tahun di situ, bukan sehari dua. Kemudian kalau masih ada terselit kalimah syahadah pada dirinya, mungkin bolehlah setelah dibakar hagus dipindahkan ke dalam syurga. Walaupun akhirnya masuk ke syurga, sanggupkah anda dibakar dalam neraka sebegitu lama?

Seorang musyrik pula, Allah memberi jaminan bahawa dosanya tidak akan diampunkan. Dosa lain boleh ampunkan tetapi dosa syirik tidak boleh diampunkan begitu sahaja. Hal ini kerana syahadahnya sudah terbatal, maka perlu diulangi syahadah yang baru. Bagaimana kalau anda mati sebelum mengucap syahadah? Kadang-kadang kita mati mengejut, tidak sempat hendak bertaubat? Apakah masih ada jaminan ke syurga? Jadi, insaflah segera.

Seterusnya seorang munafiq, mereka ini akan diazab dalam neraka jahanam pada bahagian bawah sekali. Entah berapa lama mereka akan disimpan di situ. Kalaupun mereka ada peluang ke syurga (bergantung kepada syahadahnya kalau masih ada, tentu ada peluangnya, tapi kalau tiada, melepaslah) tentulah mereka itu orang yang paling akhir masuk syurga. Mahukah begitu, orang lain sudah bersenang hati menikmati syurga, anda baru hendak bermula.

Jika anda rasa tidak senang hati dengan keadaan dan kedudukan itu, pastikan anda tidak memilih tiga jalan di atas. Sebaliknya pilih yang satu iaitu mukmin. Tidak susah untuk menjadi seorang mukmin kerana Allah hanya memberi tiga syarat untuk menjadi mukmin sejati iaitu:

1. Apabila disebut nama Allah gementar hatinya;

2. Apabila dibacakan ayat Allah bertambah imannya;

3. Dan kepada Allah mereka berserah diri.

Mungkin kita boleh menilai diri sendiri, adakah ketika kita berbuat dosa, hati kita boleh tersentak apabila diingatkan kawan atau sahabat bahawa Allah sedang memerhatikan perbuatan kita? Barangkali kita boleh tersentak apabila diberitahu bahawa polis ada membuat sekatan jalan raya, tatkala lesen kereta kita sudah tamat tempoh. Kalau begitulah keadaannyaa, taraf mukmin anda masih rendah.

Kita selalu membaca al-Quran, tetapi berapa kali anda terasa iman meningkat ketika membaca al-Quran itu. Iman boleh meningkat kalau kita faham apakah teguran Allah terhadap kita, apakah sindiran Allah terhadap kita, dan apakah pengajaran yang disampaikan kepada kita. Tetapi kebanyakan kita tidak faham mesejnya, lalu dibacakan begitu sahaja. Bolehkah dengan cara itu boleh meningkat iman? Inilah yang perlu difikirkan semula.

Seterusnya setelah berusaha dan berikhtiar dalam kehidupan ini, kita harus berserah kepada Allah, bertawakal mengharapkan kejayaan. Hasil dan keputusan sama ada jaya atau gagal hanya Allah yang menentukannya. Jadi, sebagai seorang mukmin kita perlu redha dengan apa yang tentukan Allah.

Sehingga di saat ini, di manakah anda sekarang? Anda boleh pilih mana yang anda suka tetapi ingat, Allah hanya mahu hamba-Nya berada di tempat yang terbaik di dunia dan akhirat.

Gempa Laut Banda tak ancam tsunami ke M'sia

9 Zukaidah 1431H.

Gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter melanda Laut Banda pada 11.44 malam tadi.

Kenyataan Jabatan Meteorologi hari ini menyebut gempa itu berpusat di 485km tenggara Ambon, Indonesia dan 1,575km tenggara Tawau, Sabah.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia, menurut kenyataan itu.

Muzakarah juga dihadiri oleh 2 wakil Kedutaan Indonesia.

9 Zulkaidah 1431H.

IPOH : Muzakarah PAS dan UMNO juga dihadiri oleh 2 orang wakil. Dalam ucapan ringkas dan pandangan yang diberikan salah seorang darinya mengesahkan di Indonesia tidak ada kasus lompat parti dan beranggapan di Indonesia faham itu adalah amanah.

Nizar : BN halalkan rampasan kuasa dengan alasan tanpa bukti.

9 Zulkaidah 1431H.

IPOH : Rampasan kuasa di Perak dihalalkan dengan alasan saya derhaka kepada Sultan dan menjatuhkan kerajaan negeri yang jadi boneka kepada Cina. Namun sehingga sekarang sudah 2 tahun kita belum terima bukti yang mengatakan saya boneka kepada Cina.Demikian antara penegasan MB Perak yang disingkirkan, DS. Muhammad Nizar jamaluddin dalam Muzakaran PAS dan UMNO di sini hari ini.

Kata DS. Nizar lagi kalaulah benar pentadbiran yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat adalah boneka kepada DAP, mana ada bukti kertas kerja dari DAP cadang buat bandar DAP, jalan DAP dan sebangainya..

Menurutnya lagi kerana memahami dengan Perlembagaan Negeri Perak menyatakan jawatan MB boleh terlucut dengan 3 cara iaitu pertama dengan meletakkan jawatan, kedua dengan undi tidak percaya dan ketiga bila ada pembubaran DUN dan dengan itulah saya "pohon sembah derhaka" dengan Sultan Perak.

Nizar juga menceritakan bagaimana hasratnya yang dipohon dari Sultan Perak pada 4 Februari 2009. "Kerana itu bila saya terima semboyan dari Istana untuk mengadap pada 5 Februari 2009 sebenarnya saya memeikirkan itu(bubar DUN)".

PJ Perak : Rampasan kuasa di Perak bercanggah dengan Islam.

9 Zulkaidah 1431H.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ust. Abu Bakar Hussain menegaskan bahawa dalam Islam tidak memisahkan antara Islam dengan politik. Beliau menegaskan sedemikian semasa memberikan ulasan dalam Muzakarah PAS dan UMNO di sini hari ini.

Namun begitu semua pimpinan UMNO yang dijemput tidak hadir, selain mereka juga tidak menghantar wakil.

Selain itu beliau menegaskan apa yang berlaku di Perak adalah bercangah dengan hukum Islam..

Ust. Bakar menjelaskan kepada perserta muzakarah bahawa prinsip yang dipegang oleh PAS ialah Islam dan iannya tidak berubah. Termasuklah kepada semua 6 ADUN PAS di Perak asas yang dipegang oleh mereka ialah Islam dan kerana itu mereka tidak melompat.

Menyentuh ketidak hadiran wakil dari UMNO beliau mengatakan perkara itu tidak sepatutnya berlaku. "datanglah dahulu dan kalah menang kira kemudian dan terimalah kenyataan yang sebenarnya" katanya lagi.

Sementara itu wakil Dewan Ulamak PAS Perak, Ust. Ibrahim Zakaria menegaskan seorang yang tidak puas hati dengan parti dia kena letak jawatan bukannya dengan melompat. Kerana yang melompat dipilih berdasarkan lambang parti.

Apalagi mereka yang dipilih telah berjanji untuk setia kepada Pakatan Rakyat dan ada surat.

Mengimbau apa yang berlaku kepada Tok Guru Nik Aziz yang sepatutnya tidak ada pertandingan dan dia boleh menang percuma, tetapi menolaknya dan mohon supaya diterima pencalonan lawannya untuk menguji sokongan rakyat terhadapnya.

Sivakumar : Lompat parti adalah khianat dan menipu rakyat.

Jawapan dari Mufti Perak yang boleh dinilai oleh semua pihak.


9 Zulkaidah 1431H.

IPOH : Lompat parti merupakan satu pengkhinatan dan saya hairan kalau Mufti Perak mengatakan bukan khianat dan dianggap tidak bersalah. Demikian Ulasan dari ADUN Tronoh, V. Sivakumar semasa menyampaikan pandangan dalam Muzakarah UMNO dan PAS yang diadakan disini pagi ini..

Alasan Sivakumar,mereka yang melompat telah menipu rakyat kerana saya menangpun kerana orang memilih lambang. kalau atas nama saya mungkin dapat 300 undi sahaja. Kerana itu yang melompat adalah menipu dan pecah amanah.

Kerana itu selayaknya mereka yang terlibat meletakkan jawatan dan menyerahkan kepada rakyat untuk memeilih semula wakil rakyat mereka, kerana mereka sebenarnya telah ditipu.

Muzakarah UMNO dan PAS : Zambry tidak hadir.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ust. Abu Bakar Hussain sedang memberikan pandangannya. Berbaju kuning, Dato Thasleem penganjur program

9 Zulkaedah 1431H.

IPOH, 17 Okt.:- Saya menegaskan bahawa tindakan saya menganjurkan program kita pada hari ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana parti politik seperti dituduh oleh beberapa pihak. Tetapi saya menganjurkan muzakarah ini atas tanggungjawab sebagai seorang muslim dan anak Perak.. Demikian kenyataan Dato Thasleem Mohamed bin Ibrahim Al Haj sebagai penganjur Muzakarah Bersama Umno dan PAS (Pecah Amanah Pengundi) yang diadakan disebuah hotel di sini hari ini.

Muzakarah tersebut diadakan oleh Dato Thasleem itu dihadiri oleh Menteri Besar Perak yang telah disingkirkan , Dato. Seri Muhamaad Nizar Jamaluddin, Speker PR Perak, V. Sivakumar, ADUN PR, Khalil Idham Lim/Titi Serong, Muhd Zainuddin/Lubok Merbau, dan Anuar Sudin/Changkat Jong. Hadir sama Pesuruhjaya PAS Perak, Ust. Abu Bakar Hussain dan Timbalannya Dr. Khairuddin Dato Abdul malik.

Sekitar 15 orang rakan media yang datang dan selain itu peserta muzakarah lain ialah dari para NGo dan wakil-wakil parti politik .

Dato Thasleem juga menyatakan dalam ucapan alu-aluan itu ialah mengenai usahanya menghubungi semua pihak antaranya PM Malaysia, Timbalannya, MB Perak, Dr. Zambry, Mufti Perak, Dr. Harun Din dan semua parti politik seperti MCA, MCA, PPP dan beliau menunjukkan longgokan salinan surat yang telah dikirim.

Mengenai surat kepada Dr. Zambry beliau telah menghantar surat pertama sejak bulan September namun hanya mendapat jawapan pada 15 Oktber yang lepas dengan faks menyatakan tidak dapat hadir.

"Tetapi takkan tidak ada wakil dan penasihat agama yang boleh mewakili beliau pada hari ini" jelasnya dalam nada kesal.

17 Oktober 2010

Timbalan: Pertandingan 3 penjuru - Azmin, Zaid, Mus

8 Zulkaidah 1431H.

Persaingan merebut jawatan nombor dua PKR adalah pertandingan tiga penjuru membabitkan naib presiden parti itu, Azmin Ali, ketua Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dan ketua Perak Mustaffa Kamil Ayub.

Azmin yang juga adalah ketua Selangor, merupakan calon pertama mengemukakan borang penerimaan pencalonan manakala Zaid pula mengesahkan bahawa beliau akan bertanding menerusi blognya.

"Pada tepat jam 11.05 pagi tadi, dengan penuh keinsafan, saya menerima pencalonan sebagai timbalan presiden.

"Saya berharap anggota terus memberi sokongan dan selepas pemilihan ini parti (kita) akan lebih kuat, anggota menjadi matang, demokrasi akan terus subur dan reformasi ditegakkan di Putrajaya," katanya.

Turut berada di atas pentas, adalah exco Selangor Dr Xavier Jayakumar yang menyokong Azmin. Beliau pula pula menawarkan diri untuk bertanding naib prtesiden.

Zaid kemudiannya menghantar wakil untuk mengemukakan penerimaan pencalonannya.


Menurut sumber parti, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan puteri reformasi PKR yang juga ahli parlimen Nurul Izzah Anwar dijangka menolak pencalonan masing-masing.

Dipercayai anak ketua umum PKR dan presiden parti itu akan bertanding merebut satu daripada empat jawatan naib presiden yang dipertandingkan.

Sementara itu, Mustaffa Kamil Ayub juga mengumumkan untuk bertanding jawatan tersebut.

Beliau menyerahkan borang tawarannya itu kira-kira jam 12.50 pagi di ibu pejabat parti.

"Saya tawarkan diri untuk berkhidmat dengan parti kerana saya yakin demokrasi ada dalam parti.

"Saya akan meneruskan agenda kepimpinan dan kekuatan dalam parti sehingga ia terus diyakini," katanya dalam ucapan selepas mengemukakan penawarannya.

Menurutnya lagi, beliau mempertaruhkan segala pengalaman beliau sewaktu memimpin pertubuhan belia Islam dan selaku bekas setiausaha politik Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan perjuangan reformasi.

Tambahnya, beliau menawarkan politik baru yang menekankan politik nilai yang berteraskan profesionalisme dan menolak politik perkauman.


Sementara itu, ahli parlimen Batu, Tian Chua, yang juga merupakan bekas naib presiden PKR telah memilih untuk tidak bertanding jawatan timbalan presiden meskipun telah mendapat lima pencalonan.

Beliau juga seperti Nurul Izzah, dikatakan akan merebut jawatan naib presiden.

Semua calon mempunyai masa sehingga jam 5 petang ini untuk mengesahkan sama ada mereka menerima pencalonan untuk bertanding jawatan masing-masing. 24 Oktober ini telah ditetapkan sebagai tarikh pengumuman calon yang sedia bertanding.

Penerimaan pencalonan dibuka mulai jam 10 pagi ini di luar pusat pencalon yang ditubuhkan di ibu pejabat parti di Tropicana, Kuala Lumpur.

Penyokong Azmin dilaporkan penuh sesak sebagai sokongan moral kepadanya.

Suasana di sana dilaporkan bagaikan pesta dengan lima kanopi besar dipasang untuk proses pengambilan borang penerimaan calon.

Sejak beberapa hari kebelangkangan ini, terdapat usaha sengit bagi mengatur percaturan dalam usaha menentukan kepimpinan PKR.

Jawatan naib presiden juga dijangka amat sengit dengan hampir 30 calon yang layak bertanding meskipun ramai dijangka akan mengundurkan diri.

“Hari penerimaan calon Pemilihan Pimpinan PKR. 252 dicalonkan untuk pelbagai jawatan. Ramai akan tarik diri. Tentu ada memeranjatkan,” kata timbalan presiden PKR Syed Husin Ali yang tidak akan mempertahankan jawatannya menerusi tweeter.

Bagi kerusi Pemuda - AMK, - ketuanya sekarang Shamsul Iskandar Mohd Akin akan mempertahankan jawatannya.

Shamsul sebelum ini dikatakan berminat menjawat jawatan lebih tinggi dalam PKR tetapi menukar hasratnya kerana dipercayai sedar bahawa peluangnya agak tipis.

Dipercayai Shamsul akan dicabar oleh Badrul Hisham Shahrin, yang lebih dikenali sebagai Chegubard, dan Rafizi Ramli.

Malaysiakini/-