22 Februari 2011

Gegaran kecil berlaku di Pusat Bandar Damansara

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA 22 Feb. - Satu gegaran kecil berlaku di dua daripada enam blok bangunan di kawasan sekitar bangunan pejabat di Pusat Bandar Damansara di sini tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai mengenai berlakunya gegaran kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

"Setibanya di lokasi, orang ramai di bangunan tersebut serta bangunan berhampiran telah mula menyelamatkan diri ke kawasan tanah lapang.

"Mereka mendakwa berlakunya gegaran di tingkat enam bangunan A dan E yang menempatkan sebuah kolej (Kolej Universiti MAHSA),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudian melakukan operasi pemantauan di tingkat lima, enam dan tujuh bangunan tersebut bagi mengesan sebarang gangguan namun tiada sebarang kerosakan harta benda berlaku

Pantai Lekir tercemar teruk: CAP

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini mendakwa kawasan perairan di Pantai Lekir di Sitiawan, Perak, kini tercemar teruk sehingga mengancam hidupan laut.

Presidennya,SM Mohamed Idris berkata pencemaran itu dipercayai akibat aktiviti pembuangan sisa industri oleh dua buah kilang iaitu ialah kilang sarung tangan dan kilang kelapa sawit di Sitiawan yang beroperasi sejak 10 tahun lalu. "Aktiviti pembuangan sisa industri ke kawasan laut mengakibatkan air sungai dan laut menjadi busuk dan dipenuhi dengan sisa bahan kimia yang mengancam hidupan laut dan menjejaskan pendapatan lebih 200 nelayan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Idris berkata, golongan nelayan berpangkalan di Sungai Tiram dan Parit Haji Dolah mengadu kepada CAP dan mendakwa pendapatan mereka merosot dari RM150 kepada hanya RM60 sehari akibat masalah pencemaran itu yang mengancam hidupan laut seperti ikan, udang dan siput.

Beliau berkata, CAP kesal dengan masalah berlarutan selama lebih 10 tahun itu dan menggesa kerajaan mengambil tindakan segera mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.BH/-

65 maut dalam gempa di Christchurch

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

CHRISTCHURCH, New Zealand: Gempa bumi kuat mengegarkan satu daripada bandaraya terbesar New Zealand hari ini, menyebabkan bangunan runtuh dan bas terhempap dan sekurang-kurangnya 65 orang maut dalam bencana alam terburuk negara itu.

Ia adalah gempa bumi kedua terkuat yang melanda Christchurch, bandaraya dengan 350,000 penduduk, dalam tempoh lima bulan walaupun gegaran bermagnitud 6.3 itu menyebabkan lebih banyak kerosakan berbanding gempa bumi bermagnitud 7.1 pada September tahun lalu. “Kemusnahan teruk boleh dilihat... Ini mungkin hari paling malang bagi New Zealand," kata Perdana Menteri, John Key. - AP

Christchurch seperti zon perang

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seperti zon perang. Itulah gambaran yang diberi pelajar Malaysia di Christchurch, New Zealand selepas gempa bumi dengan kekuatan 6.3 magnitud melanda wilyah itu hari ini.

"Keadaan seperti kena bom dan seolah-olah berada di zon perang. Saya tercampak beberapa meter dari tempat bekerja hingga menyebabkan kaki saya lebam teruk serta kasut koyak," kata Abdullah Mohd Nawi ketika dihubungi Bernama. Pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Canterbury itu berkata, beliau sempat berlindung di bawah meja bagi mengelakkan dihempap oleh benda yang jatuh.

"Sebaik keluar dari bangunan itu, saya agak hilang arah dan tidak tahu hendak ke mana, rasa takut jangan cakaplah apatah lagi apabila melihat keadaan sekeliling orang berlari-lari untuk selamatkan diri serta bunyi siren bomba, polis dan ambulans," katanya.

Beliau berkata, orang ramai berpusu-pusu melarikan diri ke kawasan lapang bagi mengelakkan diri daripada ditimpa runtuhan bangunan jika berlaku gempa susulan.

"Ketika itu, hendak jalan memang sukar kerana terpaksa mengharungi air yang keluar di sebalik rumput akibat gempa bumi dan difahamkan ia adalah air kumbahan yang pecah di bawah tanah dan bayangkan situasi ketika itu yang amat busuk," katanya.

Beliau juga dapat melihat beberapa orang yang masih terperangkap dalam bangunan meminta tolong dengan melambai-lambai menggunakan baju supaya dapat dilihat oleh pihak penyelamat.

Abdullah bagaimanapun tetap bersyukur kerana selain beliau, isteri serta dua anaknya yang berada di kediaman mereka juga terselamat.

Kejadian gempa yang melanda pada waktu tengah hari waktu tempatan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 65 terbunuh serta ramai terperangkap dalam bangunan yang runtuh.

Bagaimanapun Wisma Putra melaporkan semua rakyat Malaysia termasuk 390 pelajar berada dalam keadaan selamat.

Ini adalah kali kedua bandar raya itu dilanda gempa bumi dalam tempoh enam bulan, selepas gegaran sekuat 7.1 magnitud pada September lalu yang mengakibatkan kerosakan serius pada bangunan dan infrastrukturnya.

Sementara itu, bekas editor bersekutu The Star, Hah Foong Lian yang mengikuti pengajian peringkat PhD di sana berkata beliau tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Saya berada dalam keadaan baik. Agak terkejut dengan kejadian itu. Rumah yang saya diami juga masih utuh, tetapi di hujung jalan seorang wanita terbunuh di bawah runtuhan kedai buku," katanya menerusi emel kepada Bernama.

Katanya, laporan media menyebut 65 terbunuh manakala 100 lagi dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Seorang lagi pelajar PhD dari Universiti Lincoln, Tuan Ahmad Tuan Ismail berkata, situasi di sekitar bandar Lincoln yang terletak kira-kira 20 km dari Christchurch agak huru-hara.

"Jalan raya sesak, ada kawan saya tereprangkap dalam kereta selama tiga jam semasa hendak ambil anak dia di tadika...situasi kacau-bilau apatah lagi sudah keluar arahan darurat yang mana semua kena duduk di rumah dan tidak dibenarkan keluar," katanya.

Katanya, semua kedai dan pasar raya juga ditutup berikutan kejadian itu.

"Nasib baiklah saya baru beli baru-baru (keperluan harian) ini jadi adalah sedikit stok makanan," katanya. - BERNAMA

Juruteknik cedera parah ditetak isteri dipercayai cemburu buta

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

IPOH: Seorang Juruteknik Jabatan Kerja Raya (JKR) bukan saja parah ditetak dengan pisau pemotong sayur oleh isterinya yang dipercayai akibat cemburu buta tetapi dikurung di dalam rumah supaya mangsa tidak boleh mendapatkan rawatan dan meminta bantuan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam di rumah mereka di Taman Pinji Ria, Pengkalan, di sini, Jumaat lalu, mangsa dikatakan cuba ditetak di lehernya tetapi berjaya dihalang menggunakan tangan kiri mengakibatkan otot tangannya itu putus hingga tiga jarinya tidak dapat digerakkan selain menerima 15 jahitan. Tidak cukup dengan itu, suami berusia 30 tahun itu didakwa turut menerima ugutan bunuh daripada isterinya yang berusia 24 tahun ketika sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), keesokan harinya.

Mangsa yang baru keluar dari wad kelmarin dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh petang semalam, mendakwa kejadian berlaku selepas isterinya menyatakan tidak mempercayai beliau selepas mendengar cerita dari sepupunya bahawa mangsa seorang kaki perempuan dan pernah membawa balik wanita ke rumah sebelum mereka berkahwin kira-kira setahun lalu.

Dalam laporannya, mangsa mendakwa menelefon sepupunya yang kemudian menafikan ada memberitahu isterinya mengenai cerita berkenaan menyebabkan isterinya tidak berpuas hati dan terus ke dapur mengambil pisau.

"Saya hanya terdiam dan ketawa kerana memikirkan isteri saya hanya bergurau tetapi tekaan saya salah dan ayat terakhir daripadanya sebelum menetak saya ialah `abang sudah melampau'," katanya dalam laporan itu.

Mangsa berkata, dirinya diselamatkan oleh polis yang membawanya ke HRPB selepas berjaya membuat panggilan ke nombor 999 tetapi tidak faham kenapa polis tidak menahan isterinya ketika itu.

Sementara itu, mangsa yang ditemui mendakwa, isterinya seorang panas baran dan cemburu buta sepanjang perkahwinan mereka menyebabkan banyak berlaku perselisihan faham antara mereka.

"Walaupun sering bergaduh, saya masih sayangkan dia dan sentiasa berdoa sikapnya berubah. Memang sebelum ini saya dimaki hamun dan disepak terajang tetapi ia tidak pernah mengurangkan rasa kasih saya terhadapnya.

"Saya juga terkilan kerana sepanjang terlantar di HRPB, isteri saya tidak pernah menjenguk saya walaupun dia bertugas di hospital berkenaan," katanya.

Ketika ditanya adakah dia akan menceraikan isterinya berikutan kejadian itu, mangsa berkata dia masih sayang dan mahu memberi peluang kepada isterinya untuk berubah walaupun isterinya itu sebelum ini mahu berpisah.

"Saya tidak fikir penceraian sebagai jalan penyelesaian. Biarlah insiden yang menimpa saya ini menjadi pengajaran kepada yang lain sekali gus menginsafkan isteri saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, yang mengesahkan laporan itu berkata, isteri mangsa turut membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Putih di sini, selepas kejadian itu.

Berikutan itu, katanya, polis masih menyiasat kes berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan.BH/-

Syed Ibrahim calon BN untuk PRK DUN Kerdau

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TPM umumkan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, sebagai calon BN untuk PRK DUN Kerdau pada 06/03 ini

“RISALAH ISKANDAR SHAH DALAM KENANGAN”

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Risalah Iskandar Shah ialah kitab agama tulisan jawi yang telah dikarang sendiri oleh
Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke 30. Kitab
yang dihasilkan sekitar 1920-1921 ini membicarakan persoalan tauhid, feqah dan tasauf
serta mengandungi pengajaran, peringatan dan mutiara nasihat yang amat berharga
daripada seorang pemerintah negeri kepada rakyatnya.

Persatuan Waris & Kerabat Negeri Perak (PWKNP) berpendapat khazanah warisan
negeri Perak ini wajar diketengahkan semula, lebih-lebih lagi dalam suasana umat Islam

meraikan Maulidur Rasul, kerana ia mempamerkan ketaatan yang luar biasa seorang
pemerintah negeri kepada Tuhannya serta perasaan kasih sayang dan tanggungjawab
yang mendalam terhadap rakyat yang baginda naungi. Ini ketara dari doa almarhum yang
termaktub di dalam kitab ini – doa seorang Sultan pemerintah negeri yang menganggap
dirinya seorang hamba yang faqir di sisi Allah.

“Ya Allah, Ya Tuhanku, selamatkan isi negeri Perak dan negerinya dan Engkau jauhkan
dari segala bala dunia dan akhirat. Hai Tuhanku, bukakan hati kami, hamba-hamba
Engkau di dalam negeri Perak, taat menjunjung titah Engkau, Ya Allah. Engkau
panjangkan umur sekeliannya, taat mengerjakan yang Engkau suruh dan merentikan
yang Engkau tegah.

Ya Allah, Ya Rabb, Ya Junjunganku, Engkau kabulkan permintaan hambaMu, Iskandar
Shah.”
Faqir,Iskandar Shah,
Sultan Negeri Perak.

(muka surat 102-103, Risalah Iskandar Shah).
Dengan ini PWKNP menjemput pihak media ke sidang media anjuran kami dengan
butiran seperti berikut:

Masa, Hari & Tarikh : 9.30 pagi, Khamis, 24 hb Februari, 2011
Lokasi : Baitul-Izz,
No 1A, Jalan Istana,
Bukit Chandan,
33000 Kuala Kangsar,
Perak Darul Ridzuan.
(berhadapan Masjid Ubudiah)
Biro Penerangan & Publisiti,
PWKNP.

safarizal saleh

Kerdau: PAS tidak bimbang Umno dakwa Felda kubu kuat mereka

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Feb: "Kami akan terus mendedahkan penyelewengan dalam pengurusan Felda yang melibatkan pemimpin Umno," kata Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Beliau berkata demikian dalam reaksinya terhadap Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang mendakwa kawasan tanah rancangan Felda merupakan kubu kuat Umno.

"Umno boleh terus mendakwa apa sahaja yang mereka mahu, tetapi Anak mengambil tanggungjawab untuk terus menyedarkan masyarakat peneroka sama ada di Felda atau Fecra tentang hak-hak mereka yang telah dikhianati selama puluhan tahun.

"Kami akan meneruskan siri pendedahan ini di Kerdau dengan usaha yang lebih gigih lagi..di kawasan Ahmad Maslan kata kubu kuat mereka (Umno)," tambah Mazlan yang juga Pengerusi Lujnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Selain itu, walaupun Ketua Penerangan Umno itu cuba mengaitkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang baru-baru ini yang menyaksikan Umno menang di semua tanah rancangan Felda sebagai bukti peneroka masih memilih Umno, Mazlan berkata beliau tidak gusar dengan perkembangan tersebut kerana tidak mencerminkan realiti sebenar.

Sebaliknya beliau menyifatkan kemenangan yang diukur dalam sebuah PRK seperti itu hanya kemenangan palsu.

"Mereka menang dengan sogokan serta menakutkan para peneroka dengan pelbagai ugutan, adakah kemenangan seperti itu boleh menjadi ukuran tepat kawasan tersebut kubu kuat atau tidak.

"Saya cabar Umno turun dalam kempen pilihan raya sebagai anak jantan, tidak mengunakan jentera kerajaan dan membuka peluang sama rata...kita tengok selepas itu Felda kubu kuat siapa," ujar beliau.

Kata Mazlan lagi, dalam PRK juga PAS dan Pakatan Rakyat pernah kalah di kawasan-kawasan bandar dan kampung tradisi seperti di Galas dan Hulu Selangor.

"Kalau mengikut ukuran itu, bukan sahaja Felda kubu kuat Umno, kampung tradisi dan bandar juga kubu kuat Umno, tetapi dalam pilihan raya umum Pakatan Rakyat menang di kawasan tersebut dan Umno kalah. Jadi Ukuran dalam PRK ini tidak semestinya tepat," kata beliau.

Tambah Mazlan, dalam PRU 2008 lalu juga menyaksikan peningkatan sehingga 40 peratus undi daripada peneroka kepada PAS dan Pakatan Rakyat di beberapa kerusi dalam negeri Johor walaupun negeri itu sering dikatakan kubu kuat Umno.

Hari ini Ahmad dalam lawatan ke Felda Jengka 22 - satu daripada tiga kawasan Felda yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dilaporkan berkata peneroka Felda amat menyokong kerajaan kerana banyak usaha dilakukan bagi membantu mereka.

PRK DUN Kerdau akan diadakan pada 6 Mac ini ekoran Adunnya, Datuk Zaharuddin Abu Kasim meniggal dunia pada 12 Februari lalu akibat serangan jantung.

Terdapat tiga kawasan rancangan Felda di DUN Kerdau iaitu Jengka 22, Jengka 23 dan Jengka 25 yang pengundinya berjumlah 3,011 orang.

Selain itu Kerdau meliputi kawasan pinggir bandar, kampung tradisional Melayu, estet, pekan lama dan sebuah Fecra.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pihaknya akan memberi tumpuan khusus dalam kawasan Felda sebagaimana dilakukan dalam PRK-PRK kecil sebelum ini.

"Apa yang lebih penting kita mahu menyampaikan maklumat sebenar kepada para peneroka, lambat laun saya percaya mereka akan membuka mata dan bangkit membuat perubahan," katanya.

Bagaimanapun ditanya peluang mendapatkan undi peneroka dalam PRK Kerdau tidak lama lagi, Mazlan berkata beliau optimis peneroka mampu membuat kejutan, malah katanya ia pernah dilakukan oleh peneroka khususnya di Pahang ketika Pilihan Raya Umum pada tahun 1999.

"Dun Jengka, Dun Chini,Dun Tahan dan Dun Penor yang diliputi kawasan-kawasan Felda pernah di menangi oleh PAS dalam pilihan raya itu. Ini sekaligus membuktikan Felda bukan lah kubu kuat Umno cuma mereka (peneroka) ditekan, dikongkong dan cuba dipisahkan dari dunia luar," kata Mazlan.

Harakahdaily/-

Mee segera hingga bila-bila

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PENGUMUMAN projek baru dan pemberian berbagai perkara oleh kerajaan Barisan Nasional berlaku dalam setiap pilihan raya umum dan pilihan raya kecil sejak selepas merdeka.

Hadiah rasuah politik itu kini dikenali sebagai projek mee segera. Tetapi ia tidak pernah dikenali sebagai projek mee segera hinggalah berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terangganu yang dimenangi calon PAS, Mohamad Abdul Wahid Endut tidak lama selepas Pilihan Raya Umum yang lalu.

Dalam kempen di Kuala Terengganu itu, Datuk Seri Najib, masih lagi Timbalan Perdana Menteri masa itu mengisytiharkan, tiada lagi projek mee segera dibuat melalui kempen pilihan raya.

Pengumuman tentang mee segera oleh Datuk Najib itu, secara berani mengakui adanya amalan pemberian mee segera dalam setiap pilihan raya sebelum itu.

Tanpa menyatakan ia adalah satu perbuatan tidak bermaruah dalam pilihan raya, ia adalah untuk menyatakan bahawa perbuatan itu adalah tidak bermaruah, melanggar susila budaya pilihan raya dan ia adalah bersemangat rasuah.

(Gambar fail: Projek mee segera di Tenang)

Jika selama ini dibiar jalan di kampung berlubang dan berlopak, tetapi sebaik mati wakil rakyat jalan pun bertar – baru dan licin jalannya. Selama ini dibiarkan kantin sekolah dengan keadaan yang uzur, maka pada kempen PRK dikeluarkan bantuan segera membaharui bangunan kempen.

Dalam tahun 60an dulu ada kampung yang tidak ada bekalan air dan api dihantar alat-alat bagi membina projek itu menjelang pilihan raya atau sebaik bermula kempen pilihan raya. Orang dapat melihat berlonggok-longgok peralatan itu di tepi jalan.

Ada tempatnya bahan itu terus berlonggok di situ sehingga lama selepas pilihan raya, projek itu tidak pernah tiba. Dan ada pula di kawasan yang calon parti kerajaan kalah, bahan yang dilonggokkan itu dipunggah dibawa balik ke tempat asalnya. Projek mee segera itu tidak jadi dilaksanakan kerana pengundi kononnya tak mahu projek itu. Itulah sebabnya mereka tidak mengundi calon parti kerajaan.

Sehinggalah dalam kempen PRK di Kuala Terangganu yang Datuk Najib berkempen di kawasan yang ibu saudaranya – adik Tun Razak – sebok JKR menurap jalan dan sebagainya bagi menarik sokongan pengundi. Ia tidak dibuat sebelum kempen itu tetapi diadakan secara tiba-tiba bila tiba-tiba ada pilihan raya.

Itulah yang dikatakan projek mee segera. Mee segera itu ialah mee yang boleh diperolehi dan dimakan masa itu juga. Ia bukan mee yang sudah dimasak. Tetapi ramuan mee yang disediakan dalam kotak khas, dibeli dan dituang air panas dan boleh dimakan ketika itu juga.

Kata Najib, projek mee segera itu tidak akan ada lagi.

Orang pun tahu semua pengumuman mengenai projek secara tiba-tiba itu dipanggil projek mee segera. Dan calon BN Kuala Tereangganu itu kalah. Sebelumnya wakil rakyat BN yang mati itu dua kali menang di situ.

Orang pun menyangka seperti hendak bermulalah kempen pilihan raya yang sihat dan akan wujudkan kerajaan yang sihat. Kalau Najib nanti jadi Perdana Menteri, tiada lagilah barang-barang seperti mee segera itu.

Tetapi bila Najib menggantikan Abdullah Badawi, penyakit mee segera menjadi-jadi lebih teruk dari sebelumnya.

Dalam pilihan raya kecil di Manek Urai hampir dua tahun lalu, tidak pernah terfikir penduduk di situ untuk membina jambatan menyambung dua bahagian pekan. Tiba-tiba di tengah kempen itu menteri mengumumkan akan membina jamabatan di situ. Itulah janji projek mee segera.

Rancangan itu tidak ada. Ia diada-adakan saja. Sehingga ini belum ada apa-apa. Ia baru dikira sebagai satu wawasan. Entah bila hendak diadakan.

Dalam PRK di DUN Tenang baru-baru ini banyaklah kotak mee segera dibawa ke situ dan banyak pengumuman dan pemberian yang tidak pernah dibuat dan diberi kepada penduduk di situ disampaikan.

Makmur sekejap dan makmur segera penduduk kawasan itu oleh limpahan pemberian dan janji projek mee segera.

Sebaik selesai PRK Tenang orang beralih ke DUN Merlimau. Sebelum penamaan calon, mengikut Pengerusi badan pemantau pilihan raya bebas (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh, jalan-jalan di DUN itu mula diturap belaka. Pengumuman projek baru pun menjadi-jadi, ikut sedap mulut menteri dan Ketua Menteri.

Santa Klaus BN itu bersepah-sepah di Merlimau dan setengahnya berkampung pula di Dun Kerdau, Pahang membawa kotak mee segera dan projek tiba-tiba.

Kata Syed Ibrahim, ia melanggar peraturan pilihan raya. Janji Najib tiada lagi projek mee segera sudah tidak dipedulikannya sendiri. Betullah dia seorang pawang memecah timba. Mee segera ada bila-bila selagi ada Umno dan BN.

Oleh : Subky Latif.

Ikhwan mahu Kabinet serba baru

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KAHERAH: Pertubuhan Ikhwanul Muslimin Mesir menolak cadangan rombakan kerajaan semalam, sebaliknya menggesa pihak berkuasa mengetepikan saki-baki menteri Kabinet lama dilantik Hosni Mubarak.

Kelmarin, junta tentera menamakan beberapa tokoh yang tidak disenangi Hosni menduduki jawatan dalam kerajaan.

Bagaimanapun, jawatan penting seperti Menteri Pertahanan, Menteri Luar, Menteri Keadilan, Menteri Dalam Negeri serta Menteri Kewangan kekal di tangan tokoh lama.

Pada masa sama, junta tentera menyatakan, perlembagaan baru bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan dalam tempoh enam bulan hampir siap.

Perintah darurat akan ditamatkan sebelum pilihan raya berkenaan.

Pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, Essam el-Erian, berkata rakyat mahukan Kabinet yang baru sepenuhnya dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Hosni.

“Jika mereka menawarkan jawatan, kami akan tolak kerana apa yang dituntut rakyat adalah kerajaan baru yang langsung tiada kena-mengena dengan rejim terdahulu,” katanya.

Metro/-

Menang di kampus petanda baik projek kuburkan BN

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Kejayaan pelajar Pro Mahasiswa menguasai lapan daripada 13 kampus dalam pilihanraya semalam memberikan petanda baik kepada gerak kerja anti Barisan Nasional.

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh dalam satu kenyataannya melalui twitter berkata, kemenangan itu adalah petanda baik (untuk Pakatan).

Dalam pilihan raya kampus semalam, kumpulan Pro Mahasiswa menguasai kampus Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS),

Universiti Sains Malaysia kampus Kubang Kerian (USMKK), Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan (UMSL) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Hari ini pilihan raya untuk kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Teknologi Mara (UITM) sedang berlangsung.

Pro-M dijangka akan menang di UIA kerana mereka telah berjaya merampas 14 kerusi tanpa bertanding dalam kampus itu.

Berbanding sesi lalu, pilihan raya kali ini menyaksikan Pro Mahasiswa mencatatkan sejarah dengan menawan kepimpinan MPP di beberapa universiti selepas tempoh yang lama dikuasai Pro Aspirasi.

Pro Mahasiswa dikaitkan dengan sokongan kepada pembangkang manakala Pro Aspiras lebih cenderung kepada parti pemerintah kerajaan pusat.

Harakahdaily/-

Aksi melatah bukan bahan gurauan

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KAMPUNG CHAROK TALA - Setiap kali individu kerap melatah, dia sering mencuri tumpuan serta menjadi bahan usikan dalam mana-mana majlis hingga kadangkala memaksa mereka ditenangkan oleh rakan.

Seorang penduduk, Sara Hamid, 62, dari Kampung Kuala Jeneri berkata, secara kebetulan selain dirinya, sepupunya, Manis Man, 87, dan Siti Khatijah Sudin, 75, turut mengalami melatah.

Menurutnya, hinggakan apabila menghadiri majlis kenduri secara serentak, mereka tidak berani duduk berdekatan antara satu sama lain kerana takut aksi latah mereka akan berlarutan tanpa sedar.

“Jika diikutkan saya sendiri malu apabila melatah kerana terkeluar pelbagai aksi spontan tanpa sedar, apatah lagi apabila berada di khalayak ramai kerana orang akan ketawa sedangkan saya tidak tahu apa yang berlaku.

“Pernah terjadi satu peristiwa, saya tercampak anak kelima keluar tingkap kerana terkejut apabila lantai rumah tiba-tiba patah mujurlah ada jiran yang menyedarinya dan segera menyelamatkan anak saya,” katanya.

Sara berkata, dia sendiri tidak tahu sejak bila mula melatah kerana semuanya berlaku tanpa sedar, namun tahap melatahnya semakin teruk sejak akhir-akhir ini kerana ada kalanya boleh membahayakan nyawa.

“Mungkin ramai yang tidak percaya, disebabkan terkejut dengan kehadiran ular kapak ketika menoreh getah, saya tanpa sengaja terpegang kepalanya dan menggerakkan ular itu turun naik ke batang pokok getah itu, nasib baik saya tidak apa-apa.

“Bagi saya melatah bukan boleh dibuat bahan gurauan kerana orang tidak tahu, kami sering kepenatan terutamanya diusik dalam tempoh yang panjang tetapi mereka hanya mentertawakan sahaja,” katanya.

Rakannya, Rahmah Ahmad, 62, dari Kampung Masjid, berkata, dia juga turut mengalami nasib yang sama, walaupun seorang peramah tetapi kerana risau diusik dia sering memilih untuk duduk terasing daripada tempat orang ramai dalam majlis.

“Beberapa bulan lepas tangan jari tangan saya terkena mata kail ketika menemani anak pergi memancing, pada mulanya saya membuat keputusan duduk jauh tetapi sewaktu hasil tangkapan terkena pancing saya mempelawa diri untuk mengambil ikan.

“Mulanya tidak ada apa-apa berlaku, namun apabila terkejut melihat ikan bergerak-gerak tanpa sedar jari saya terkena mata kail dan terpaksa dibawa ke klinik untuk rawatan lebih lanjut,” katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu lebih memahami keadaan mereka dan tidak mengusik mereka secara keterlaluan sehingga keadaan menjadi bertambah buruk.

Sinar Harian/-

Siapa terima 1.5 bilion saham khas Bumiputra

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA, 22 Feb: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menyeru Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan sepenuhnya penerima 1.5 bilion saham khas Bumiputra yang diagihkan dalam tahun 2010.

Mustapa juga, katanya diminta mengumumkan rombakan mekanisme dan penambahbaikan kepada sistem agihan dan pemantauan saham khas Bumiputra untuk mengelakkan penyelewengan yang mengakibatkan kehilangan RM52 bilion saham Bumiputra tidak berulang.

Oleh itu, tegasnya mekanisme yang sama yang telah menyebabkan kerugian RM52 bilion saham Bumiputra ini perlu dirombak sama sekali.

“Saya akan membawa perkara ini dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang untuk memastikan ketelusan dan pertanggungjawaban pihak-pihak yang terbabit,” ujarnya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, PKR ingin menarik perhatian rakyat kepada pengumuman terbaru yang dibuat oleh Mustapa Mohamad mengenai pengagihan saham khas bumiputra melalui tawaran awam permulaan (IPO).

Mustapa menyatakan bahawa kerajaan Umno BN telah berjaya meningkatkan ekuiti Bumiputra dalam sektor swasta ke aras 22%; sebahagian besarnya melalui pengagihan saham khas bumiputra yang dilaksanakan oleh kementerian beliau.

Katanya, rakyat sudah tentu merasa janggal apabila kerajaan Umno BN mendabik dada apabila hanya berjaya meningkatkan ekuiti Bumiputra ke tahap 22% dalam tahun 2011, sedangkan ia gagal mencapai sasaran 30% yang ditetapkan untuk tahun 1990.

Tambahnya, selepas 21 tahun dan penyelewengan saham berjumlah puluhan bilion ringgit atas nama Melayu dan Bumiputra, kini Umno BN tidak lagi memikirkan persoalan maruahnya dan akan sanggup mendabik dada walau sekelumit mana pun peningkatan ekuiti Bumiputra.

Walau bagaimana pun, ujarnya kebimbangan sebenar PKR adalah berhubung pengurusan agihan saham khas Bumiputra memandangkan skim agihan yang sama telah menyebabkan sejumlah RM52 bilion dari RM54 bilion saham yang diagihkan kepada Bumiputra lesap begitu sahaja, seperti yang diakui Perdana Menteri sendiri.

Menurutnya, dalam tahun 2010 sahaja, sebanyak 1.5 bilion saham dari 18 tawaran awam permulaan diagihkan kononnya kepada pelabur Bumiputra.

Tahun 2010 juga, ujarnya menyaksikan apungan saham yang terbesar akhir-akhir ini, termasuklah yang melibatkan Petronas Chemical Group Berhad pada harga tawaran RM5.05 setiap saham dan Malaysian Marine and Heavy Engineering Holding Berhad pada harga tawaran RM3.61 setiap saham.

Beliau menambah, jika sebahagian besar dari 1.5 bilion saham yang diagihkan kepada pelabur Bumiputra itu datangnya dari saham-saham syarikat Petronas, maka saham yang bernilai berbilion ringgit telah pun diagihkan kepada pelabur-pelabur yang berselindung di belakang nama Bumiputra.

“Mekanisme agihan inilah yang telah gagal sebelum ini hingga mewujudkan budaya politik naungan yang mencari jalan mudah mendapatkan saham dengan berselindung di sebalik alasan mencapai sasaran 30% ekuiti Bumiputra.

“Akhirnya, berpuluh-puluh bilion ringgit saham yang diagihkan kepada individu-individu berkepentingan dijual dengan segera untuk mendapatkan kekayaan mudah, lalu mewujudkan golongan elit kaya Melayu yang sebenarnya menjadi kaya dengan menindas orang Melayu terbanyak,” ujarnya.

Beliau percaya bahawa teras pengupayaan ekonomi Bumiputra perlu beralih dari kegilaan mencapai sasaran 30% ekuiti kepada fokus untuk meningkatkan pendapatan isi rumah keluarga Bumiputra.

Mereka, ujarnya membentuk 75% daripada anggaran 11 juta rakyat termiskin di negara ini yang hanya mendapat pendapatan bulanan purata sebanyak RM1,500 sebulan sahaja.

“Kegilaan dengan 30% sasaran ekuiti seperti yang dimainkan Umno BN tidak akan berjaya menangani kemelut ekonomi rakyat terbanyak Bumiputra dan akan terus disalahgunakan oleh golongan elit pemerintah dan niagawan,” katanya.

Harakahdaily/-

Libya dikuasai penunjuk perasaan

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

GAMBAR yang disiarkan di laman Facebook semalam menunjukkan penunjuk perasaan mengibarkan bendera di bandar Benghazi, Libya.

PARIS - Beberapa buah bandar di Libya termasuk Benghazi dan Sirte dikuasai para penunjuk perasaan anti-pemimpin Muammar Gaddafi selepas pasukan-pasukan tentera dikatakan berpaling tadah dengan menyertai tunjuk perasaan, kata Persekutuan Hak Asasi Manusia Antarabangsa (IFHR) semalam.

Badan itu turut menyatakan jumlah kematian sejak protes bermula adalah sekitar 100 hingga 400 orang.

"Banyak bandar terutama di wilayah pantai barat telah dikuasai. Anggota-anggota tentera juga turut serta dalam kebangkitan menentang Gaddafi," kata Ketua IFHR, Souhayr Belhassen.

Dia yang berpangkalan di Paris sebelum ini menyatakan bilangan yang terkorban ialah 233 orang.

Maklumat tersebut kebanyakannya diperoleh daripada organisasi hak asasi manusia Libya.

Sementara itu, para penunjuk perasaan membakar bangunan pemerintah dan menceroboh sebuah stesen televisyen kerana marah disebabkan anak Gaddafi, Saif al-Islam memberi amaran negara ini akan terjerumus ke kancah perang saudara dan dilimpahi darah.

"Libya kini berada dalam persimpangan. Jika kita tidak bersetuju hari ini mengenai pembaharuan, sungai berdarah akan mengalir melalui Libya," katanya dalam satu ucapan menerusi televisyen.

"Kita akan memegang senjata. Kita akan berjuang sehingga ke peluru yang terakhir. Kita akan memusnahkan elemen-elemen hasutan.

"Jika semua orang bersenjata, ia akan menjadi perang saudara. Kita akan saling berbunuhan sesama sendiri. Libya bukan Mesir. Ia (Libya) bukan Tunisia," tambahnya.

Beberapa jam selepas kenyataan itu, para penunjuk perasaan di bandar Tripoli menceroboh pejabat stesen televisyen dan bangunan pemerintah.

Gaddafi memerintah Libya selepas beliau melakukan rampasan kuasa aman semasa pemerintahnya, Raja Idris mendapatkan rawatan di luar negara pada 1 September 1969.

Kosmo/-

'Selangor Terkini' Ada Bukti Umno Terlibat

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 22 FEB: Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Faekah Husin hari ini mendedahkan bukti terbaharu bahawa Umno menjadi dalang menerbitkan akhbar 'Selangor Terkini'.

Dalam satu sidang media di Shah Alam hari ini, Faekah memberitahu penglibatan ADUN Kuang, Abdul Syukur Idris.

Katanya, Ahad lalu pihaknya mengesan kalendar Syukur diedar bersama akhbar tersebut kepada penduduk setempat.

Syukur sebelum ini menafikan terlibat dalam penerbitan akhbar itu.

Faekah juga mengesa polis menyiasat segera perkara ini kerana tindakan pihak yang menerbitkan akhbar ini jelas melanggar undang-undang apabila menggunakan lambang kerajaan negeri dan gambar Sultan Selangor.

Pihak kerajaan negeri juga bersedia menyediakan penyiasat persendirian bagi membantu polis menyiasat perkara ini.

Tv Selangor/-