27 April 2011

Pertempuran Thai-Kemboja berterusan

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

PHANOM DONG RAK - Ketegangan semakin memuncak di sempadan Thailand dan Kemboja selepas tentera kedua-dua negara meneruskan serangan pada hari kelima pertempuran, semalam.

Kerajaan Thailand dilaporkan turut menghantar tentera bantuan ke kawasan sempadan, kelmarin, selepas pertempuran berdarah selama empat hari yang mengorbankan sekurang-kurangnya 13 pegawai tentera kedua negara.

Tentera Thailand memaklumkan orang awam yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak didapati berada di pangkalan operasi tentera Kemboja di sekitar kuil purba Preah Vihear yang menjadi rebutan kedua negara.

Kerajaan Thailand menggesa konflik perebutan kawasan di sempadan itu ditamatkan segera melalui perbincangan dua hala tetapi Kemboja enggan memberi kerjasama sebaliknya mahu ia diselesaikan dengan campur tangan Asean.

Sinar Harian/-

Gaddafi terus bertahan

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

TRIPOLI - Serangan udara oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dilihat langsung tidak memberi kesan kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang muncul di kaca televisyen, kelmarin.

Mesyuarat antara Gaddafi dan pemimpin puak di Libya ditayangkan di televisyen beberapa jam selepas serangan Nato ke atas kediaman beliau, kelmarin.

"Serangan itu bertujuan menakutkan Gaddafi sekali gus membuktikan Nato mempunyai agenda politik tersembunyi," menurut jurucakap kerajaan.

Sementara itu, Itali mengumumkan negara itu bersedia melancarkan serangan udara ke atas Libya jika diperlukan.

Sinar Harian/-

Pemimpin Kanan al-Qaeda Maut

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KABUL: Tentera Nato di Afghanistan berkata, mereka membunuh ‘seorang pemimpin kanan al-Qaeda’ yang menjadi tokoh kedua paling dikehendaki di negara itu, semalam.

Menurut Tentera Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), Abu Hafs al-Najdi - turut dikenali sebagai Abdul Ghani - terbunuh dalam serangan udara di wilayah Kunar, timur Afghanistan, 13 April lalu.

Kata pertubuhan itu, Abu Hafs bertanggungjawab menyelaras sejumlah serangan berprofil tinggi.

Bagaimanapun, jurucakap ISAF berkata, mereka tidak dapat menyatakan butiran serangan itu atas alasan keselamatan.

Dia juga tidak mendedahkan siapa tokoh paling dikehendaki dalam senarai mereka atas alasan perundangan.

Menurut ISAF, Abu Hafs biasanya beroperasi dari Kunar dan sering keluar masuk Pakistan. 

AFP

Kereta Baru dipakai Rosak

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


PUTRAJAYA – Kegembiraan seorang pegawai tadbir Universiti Tenaga Nasional (Uniten) memandu sebuah kereta Proton Persona 1.6 baharu, berkecai apabila ia mengalami kerosakan tidak sampai 24 jam digunakan.

Nur Wahida Nazli, 26, berkata, kereta tersebut dibelinya daripada syarikat Pelangi Inovative Sdn. Bhd. yang beroperasi di Taman Connaught, Cheras dekat sini pada tahun lalu.

NUR WAHIDA menunjukkan surat perintah TTPM supaya dia diberikan ganti rugi berikutan masalah kerosakan pada kereta yang baru dibelinya di Putrajaya 

Katanya, kereta berharga RM53,900 itu diserahkan kepadanya pada 22 Disember setelah membuat tempahan kira-kira dua minggu.

“Setelah membawa pulang kereta tersebut, saya baru menyedari bahawa lampu depan kereta dan lampu belakang sebelah kanan tidak menyala malah lampu isyarat enjin juga sentiasa menyala.

“Kesemua kerosakan itu saya kesan pada hari yang sama saya menerima kereta tersebut,” katanya.

PERKASA HANYA GIMIK DAN MODAL POLITIK UMNO UNTUK MENGGANGGU PENTADBIRAN DI NEGERI PAKATAN RAKYAT : PEMUDA PAS

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

IPOH, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Tambun, Ustaz Mohd Hafez Sabri, dalam kenyataan medianya mempertikaikan agenda perjuangan PERKASA yang kononnya berjuang untuk orang Melayu.

Motif yang diperjuangkan kononnya untuk membela nasib orang Melayu dengan mengadakan demontrasi jalanan dan menyemai sentimen perkauman secara melampau mengundang pelbagai persoalan. Malahan PERKASA hanya dilihat vokal dan lantang di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat sahaja.

Beliau menyatakan, kita serba maklum bahawa demontrasi dan memorandum bantahan yang dikemukakan oleh PERKASA adalah sekadar gimik politik yang dipimpin oleh ahli politik umno yang semakin dipinggirkan dalam arena politik negara. Isu untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu juga seolah-olah hanya wujud di negeri-negeri Pakatan Rakyat sedangkan PERKASA perlu tegas dan berani membawa tuntutan kepada kerajaan pusat yang kini di bawah UMNO/BN.

Beliau juga mempersoalkan apakah relevennya kemujudan PERKASA ini, sedangkan hak dan keistimewaan orang-orang Melayu telah termaktub dan dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Malahan isu mengenai kedaulatan Raja-Raja Melayu yang kononnya PERKASA perjuangkan sebenarnya lebih banyak terhakis hilang hak keistimewaan tersebut di bawah pemerintahan UMNO/BN semenjak 50 tahun sebelum ini.

Selain itu beliau juga menyatakan PERKASA ingin dilihat kononnya berjuang membela nasib orang-orang Melayu yang katanya kian terpinggir. Namun, ia sebenarnya lebih sekadar gimik dan modal politik yang diperkudakan untuk meraih populariti di kalangan orang-orang Melayu apabila jelas UMNO kini semakin ditolak oleh rakyat dan orang-orang Melayu sendiri.

Beliau menyatakan lagi, pihaknya melihat jika PERKASA mahu membela nasib orang Melayu di Negara ini, terlebih dahulu PERKASA perlu memberi desakan dan tuntutan kepada parti pemerintah negara ini yang mana jelas dan nyata selama ini gagal membangunkan dan memperkasakan kekuatan bangsa Melayu daripada aspek ekonomi, sahsiah, minda dan politik sejak 50 tahun lepas.

Memetik ucapan beliau, “ Kami selaku Anak Muda Generasi baru melihat agenda politik yang membawa fahaman berjuang sekadar untuk membela nasib sesuatu kaum adalah bersifat untuk kepentingan sendiri dan elit-elit tertentu sahaja.

Sedangkan agenda memperkasakan rakyat pelbagai bangsa di negara ini perlu menjadi keutamaan bagi memastikan negara ini hidup bersama secara harmoni dan berkasih-sayang.”

“ Malahan agenda pembanterasan jenayah rasuah dan memperkukuh nilai keadilan dalam pentadbiran adalah keutamaan untuk membina negara ini memacu pertumbuhan dan kemakmuran negara.”

Beliau mempersoalkan apakah PERKASA adalah perkakas kepada UMNO, jika dilihat mirip dan modus operandi apa yang kononnya diperjuangkan adalah sama sahaja iaitu sentimen perkauman yang menebal dalam agenda perjuangannya.
“ Kita mempertikaikan apa motif PERKASA yang hanya lantang di negeri-negeri Pakatan Rakyat tetapi membisu, lesu dan kaku apabila berada di negeri-negeri di bawah kerajaan UMNO/Barisan Nasional.

“ Ke manakah suara pembelaan PERKASA apabila melihat nasib Bahasa Melayu semakin dipinggirkan? Ke manakah pembelaan PERKASA tatkala undang-undang Islam dipermain-mainkan apabila Mahkamah Syariah dianggap tidak setaraf dengan Mahkamah Sivil? Ke manakah suara-suara vokal PERKASA apabila pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO yang berbangsa Melayu terpalit dengan pelbagai skandal moral, rasuah dan penyelewengan kuasa? “ soal beliau

Justeru,ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Tambun itu sekali lagi mengingatkan agar rakyat bijak dan pintar menilai agenda sempit yang dibawa oleh PERKASA dari masa ke masa.

Bangsa Melayu kian terpinggir dalam dunia persaingan sejagat adalah berpunca dari kegagalan UMNO sendiri selaku pentadbir negara selama 50 tahun ini kerana gagal menterjemahkan Islam sebagai cara hidup atau serta tidak melaksanakan ajaran Al-Quran dan Sunnah sepenuhnya di negara ini.

mohd hafez sabri

Polis Tembak Isteri

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



BANDUNG: seorang anggota polis ditangkap selepas dia menembak isterinya di kediaman mereka di Tasik Malaya.

Menurut polis, kejadian belaku sejurus selepas tengah malam ketika anggota terbabit membersihkan pistolnya.

Polis berkata, mereka masih menyiasat sama ada kejadian itu dilakukan dengan senjaga atau sebaliknya.

Bagaimanapun, satu sumber polis berkata, pasangan itu bertengkar sebelum kejadian. “Mereka bertengkar sebelum si suami bertindak melepaskan tembakan pada isterinya,” kata sumber itu. 

Agensi

Coretan terakhir guru sebelum ajal

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

TAIPING – “Saya tidak sangka coretan ‘Mempunyai firasat yang tidak berapa elok’ tertulis di laman web sosial Facebook Abdullah Zubair Ismail seakan petanda dia akan meninggalkan kami,” kata rakan sekerja, Mohd Noor Hisham Baharom, 48.

Abdullah Zubair, 27, yang berasal dari Taman Jitra, Kedah seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII mengajar bahasa Melayu dan sejarah serta guru Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) telah berkhidmat di sekolah terbabit selama setahun setengah.

Mohd Noor berkata, mereka menyedari kehilangannya apabila tugas arwah untuk memasang sistem siar raya (PA System) bagi perhimpunan sekolah tidak dilakukan seperti biasa dan diganti dengan guru lain.

“Kami sedih dengan pemergiannya kerana arwah seorang guru muda yang rajin dan komited dengan kerjanya, di samping tidak pernah merungut.

“Ini adalah kali keempat arwah ke bukit terbabit dan tidak menyangka ia kali terakhir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, mangsa dipercayai tergelincir di kawasan curam sejauh 30 meter dan dijumpai dalam keadaan tertiarap.

Menurutnya, terdapat kesan luka di dahi mangsa mungkin disebabkan hentakan dan mangsa ditemui lima kilometer dari kaki Bukit Larut.

“Mangsa ditemui jam 10.30 pagi dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya.

Seorang saksi, Wan Solahuddin Wan Abdul Kadir, 46, berkata, awalnya dia bersama pasukan Jabatan Hutan menemui mangsa, tetapi tidak menghampirinya.

Menurutnya, setelah mengesahkan itu mangsa, mereka menghubungi rakan sukarela lain untuk membantu.

“Kami nampak kesan tergelincir di batu, manakala kasut sebelah kanan mangsa tertanggal,” katanya.

Isteri mangsa, Norziah Zulkifli, 26, berkata, dia tidak menyangka minggu lalu adalah kali terakhir dia bertemu suaminya, ketika arwah menghantarnya pulang ke Tanjung Karang, Selangor.

Norziah berkata, arwah menghubunginya pada malam Sabtu lalu memberitahunya, ingin ke Bukit Larut tetapi dia melarang.

“Arwah ketika itu akur dengan permintaan saya supaya tidak pergi, bagaimanapun pada pagi Ahad, arwah telefon semula beritahu dia hendak pergi makan, tetapi tidak beritahu akan ke bukit itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Taiping, semalam.

Menurutnya, dia yang melangsungkan perkahwinan pada November 2009, kini mengandung empat bulan bekerja sebagai guru praktikal di SMK Sungai Burung, Tanjung Karang akan menamatkan praktikalnya Jun depan.

Sinar Harian/-

Lelaki Mati Kali Kedua

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


BUKIT MERTAJAM: Selepas 13 hari tidak sedarkan diri di unit rawatan rapi (ICU), seorang lelaki yang menggemparkan Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, apabila tiba-tiba hidup kembali selepas diisytiharkan meninggal dunia pada 14 April lalu, menghembuskan nafas terakhirnya semalam.


Ng Swee Hock, 65, meninggal dunia di hadapan isterinya, Lim Siew Hua, 56, serta anak lelakinya, Ng Kean Hooi, 27, dan Ng Kean Liong, 25, di rumah mereka di Kampung Tok Elong, Tanah Liat di sini, kira-kira jam 10.50 pagi semalam.

Mendiang dibawa pulang ke rumahnya semalam, menggunakan ambulans kira-kira jam 10.40 pagi dan selepas perbincangan, keluarganya meminta jururawat mencabut alat bantuan pernafasan walaupun mengetahui peluang untuk Swee Hock hidup tipis tanpa alat itu.

Upacara sembahyang yang dipercayai untuk memudahkan roh mendiang ‘pergi’ secara aman dilakukan keluarga sebelum jururawat menanggalkan alat pernafasan dan dia menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.50 pagi.

Siew Hua berkata, mendiang suaminya tidak sedarkan diri sepanjang menerima rawatan di HSJ dan doktor juga menyatakan peluang suaminya untuk hidup, tipis.

Katanya, hospital membenarkan mendiang keluar hospital kelmarin tetapi disebabkan nasihat ketua agama, mereka membawanya pulang semalam.

“Saya dan ahli keluarga tidak sanggup melihatnya terus menderita, hari ini (semalam) selepas tiba di rumah kami meminta jururawat menanggalkan bantuan oksigen,” katanya.

Dalam kejadian 14 April lalu, Swee Hock dibawa ke HSJ selepas dia tiba-tiba berhenti bernafas di rumahnya dan pasukan perubatan melakukan ‘ardio pulmonary resuscitation’ selama 45 minit tetapi tidak pulih sebelum dia disahkan meninggal dunia.

Namun, selepas beberapa jam, Swee Hock menunjukkan tanda bernafas dan dimasukkan ke ICU.

Tujuh Terkorban Bas Terbalik

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


RAMADI, Iraq 27 April - Tujuh warga Pakistan terbunuh manakala 19 lagi cedera apabila bas yang mereka naiki terbabas dan kemudiannya terbalik.

Menurut pengarah Hospital Ramadi, Iyad Arak, seramai tujuh penumpang terkorban apabila bas berkenaan hilang kawalan lalu terbalik ketika dalam perjalanan dari Amman ke Baghdad, kira-kira 260 kilometer barat Baghdad.
Gambar hiasan

Sementara itu, seramai 19 penumpang turut cedera dalam kejadian itu dan semua mangsa terdiri daripada pekerja asing. 

AFP

Eropah Gesa Syria Tamatkan Konflik Keganasan

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



AMMAN 27 April - Pemimpin-pemimpin kerajaan Eropah menggesa Syria agar menamatkan keganasan menentang pemberontak selepas Presiden Bashar al -Assad menghantar kereta-kereta kebal dalam serangan ke atas pemberontak di bandar Deraa semalam.

Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi ketika mengadakan persidangan akhbar bersama Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy di Rom berkata, Eropah telah menggesa pihak berkuasa Syria agar segera menamatkan pergolakan yang berlaku.

Dalam pada itu, antarabangsa turut mengkritik pergolakan yang berlaku di Syria yang telah mengorbankan kira-kira 100 penunjuk perasaan Jumaat lalu dalam pertempuran dengan pihak berkuasa. 

Reuters

Macam-macam: Rambut Pula Jadi Sasaran Pencuri

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



CHICAGO: Polis masih pening kepala dalam menyelesaikan kes kecurian rambut manusia di syarikat pengeluar barangan kecantikan. 

Polis berkata pihaknya menganggap rambut yang dicuri awal pagi Ahad oleh perompak di kedai Beauty One, adalah kerana ia sangat berharga.

Pihak berkuasa berkata penjenayah itu membuka pintu besi besar yang dikunci dengan dua kunci, sebelum mencuri rambut itu.
Belum ada penjelasan mengapa pencuri mahukan rambut itu. 

AP 

Datuk Maut Jatuh Hotel

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

MELAKA TENGAH: Seorang lelaki bergelar Datuk, ditemui mati di sebuah resort di Tanjung Kling, dekat sini, pagi kelmarin, dipercayai terjatuh dari tingkat 14 bangunan berkenaan. 


Mangsa yang juga mualaf keturunan Cina, Datuk Mohd Alif Abdullah, 53, dari Skudai, Johor ditemui pekerja resort itu pada jam 10.30 pagi dalam keadaan berlumuran darah.

Gambar hiasan

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata Datuk terbabit yang juga peniaga ayam di Pasar Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah ditemui dengan berpakaian kemeja-t putih dan berkain pelekat.

“Mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian,” katanya di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, semalam. 

Chua berkata, siasatan awal mendapati kematian lelaki terbabit tidak mempunyai unsur jenayah, tetapi tidak menolak kemungkinan berpunca daripada masalah kewangan. 

Man United Hampiri Final Tumpaskan Schalke 2-0

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -




LONDON: Manchester United hampir melayakkan diri ke final Liga Juara-Juara Eropah selepas menang selesa ke atas kelab Jerman, Schalke 04 pada pertemuan separuh akhir pertama di Stadium Arena AufSchalke, sebentar tadi.

Kemenangan di tempat lawan itu amat berharga sebelum United melayan Schalke di Stadium Old Trafford, mingggu depan dengan kelebihan dua gol di tempat lawan.

United membuka jaringan menerusi Ryan Giggs pada minit ke-67 manakala Wayne Rooney dua minit kemudian.
Kelab Inggeris itu mendominasi hampir keseluruhan permainan terutmama pada separuh masa pertama tetapi gagal memperoleh jaringan.

Separuh akhir kedua membabitkan dua gergasi Sepanyol pula akan diadakan pagi Khamis antara Real Madrid dengan Barcelona. 

Milan Menghitung Hari

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


ROM - Jurulatih AC Milan, Massimiliano Allegri kini memberi tumpuan untuk mengutip empat mata yang diperlukan bagi menghadiahkan gelaran Seria A buat kali ke-18 kepada kelab Itali itu.

Milan mendahului Seria A dengan kelebihan lapan mata ketika saingan berbaki empat perlawanan.

ALLEGRI semakin hampir untuk memenangi gelaran Serie A bersama AC Milan

Selepas kelebihan memihak kepada pasukan itu dalam rekod pertemuan dengan jiran setempat, Inter Milan, skuad Rossoneri itu hanya memerlukan empat mata lagi untuk ditabalkan sebagai juara.

Malah mereka mampu menjuarai gelaran tersebut sekiranya menewaskan Bologna di gelanggang sendiri pada Ahad ini manakala juara bertahan, Inter tumpas kepada Cesena di tempat lawan sehari sebelum itu.

"Mungkin Ahad ini masih belum cukup (menghadiahkan kejuaraan), jadi kami harus fikir bagaimana untuk mengutip empat mata ini dan seterusnya menjuarai gelaran," kata Allegri.

Milan juga berpeluang merangkul gelaran berganda apabila beraksi dalam separuh akhir Piala Itali meskipun mereka diikat 2-2 oleh Palermo di San Siro.

Satu-satunya kegagalan yang mencalar rekod Allegri musim ini ialah Milan tersingkir awal dalam kempen Liga Juara-Juara.

Setelah menduduki tempat kedua dalam kumpulan di belakang Real Madrid, mereka kemudian disingkirkan oleh Tottenham pada pusingan kedua.

"Kami telah buat setakat yang mampu," katanya.

"Sudah tentu kami sepatutnya menewaskan Tottenham. Kami gagal melakukannya tetapi tiada apa lagi yang patut diperkatakan.

"Buat masa sekarang, kami tidak sepatutnya memikirkan tentang musim depan, kami hanya perlu tumpukan kepada kejuaraan.

"Peluang juga masih ada dalam Piala Itali, jadi kami akan cuba memburu dua misi (liga dan piala) ini yang mana sangat penting buat kelab di Itali," katanya. 

AFP

Thailand dan Kemboja Sedia Runding Gencatan Senjata

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



PHANOM DONG RAK, Thailand - Thailand dan Kemboja semalam bersiap-sedia untuk satu rundingan gencatan senjata selepas pertempuran terburuk di sempadan kedua-dua buah negara berlaku semalam mengakibatkan 13 orang askar terbunuh.

Berpuluh-puluh ribu orang awam terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing kerana askar-askar Thailand dan Kemboja melepaskan tembakan senjata berat seperti mortar, sekali gus menggoyah perdamaian sementara yang dipersetujui sejak Februari lalu.

"Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Banh telah bersetuju untuk bertemu rakan sejawatannya dari Thailand di Phnom Penh untuk membincangkan proses gencatan senjata antara kedua-dua belah pihak," jelas Kementerian Pertahanan Kemboja dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwon menyatakan kesediaan sama. "Kami akan berpeluang untuk berbincang. Saya fikir situasi akan reda dalam tempoh beberapa hari," kata Wongsuwon.

Askar Thailand dan Kemboja saling berbalas serangan selama 30 minit berhampiran kuil Preah Vihear berusia 900 tahun yang menjadi fokus ketegangan selepas lokasi itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2008.

Pada 10 Februari lalu, sepuluh orang terbunuh berhampiran kuil tersebut, membuatkan PBB mendesak gencatan senjata tetap dikuatkuasakan. 

AFP