23 September 2011

Libya hargai Malaysia

25 Syawal 1432H. [MOD] -

ABU BAKAR menunjukkan bendera Libya selepas menerima kepemimpinan kerajaan baru diterajui NTC pada sidang media, di Kuala Lumpur, semalam.

ABU BAKAR menunjukkan bendera Libya selepas menerima kepemimpinan kerajaan baru diterajui NTC pada sidang media, di Kuala Lumpur, semalam.
Duta pelawa pelabur KL teroka peluang di Tripoli

KUALA LUMPUR: Kedutaan Libya di Malaysia mengumumkan misi diplomatik itu kini di bawah kepemimpinan kerajaan baru Libya yang diterajui Majlis Peralihan Nasional (NTC) dan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York sebagai pemerintah.

Sehubungan itu, Libya mempelawa pelabur dari Malaysia mengadakan jalinan kerjasama dan menghulurkan bantuan dalam pelbagai bidang menerusi draf perancangan pembangunan negara itu merangkumi pendidikan, industri perkhidmatan, latihan, pembinaan dan industri minyak.

“Kami jemput pelabur dari Malaysia dan negara Asia Tenggara lain untuk membantu Libya dalam pelbagai bidang yang memerlukan serta menyambung kembali kerjasama yang terhenti akibat perang selama enam bulan itu.

“Kami amat berterima kasih atas sokongan pemimpin dan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Libya,” kata Duta Libya ke Malaysia, Dr Abu Bakar Al-Mansori katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.

Mengenai kedudukannya di Malaysia, Abu Bakar menegaskan, misi diplomatik negara itu setia kepada NTC yang mewakili rakyat Libya.

“Kami di sini, mewakili NTC yang juga rakyat Libya,” katanya. Beliau memulakan khidmat sebagai duta ke negara ini sejak Januari lalu di bawah pemerintahan Muammar Gaddafi, sebelum pentadbiran diambil alih NTC selepas kejatuhan pemerintah kuku besi itu.

Sebanyak 140 negara sudah mengiktiraf kepemimpinan NTC di Libya menerusi undian di PBB dan banyak lagi negara dijangka menyertai undian itu dalam tempoh beberapa hari lagi.

Pengerusi NTC, Mustafa Abdel Jalil berucap pada PBB meyakinkan semua pihak yang Libya baru akan menjadi negara demokrasi, aman dan keselamatan terjamin dengan menghormati hak asasi manusia menerusi pilihan raya yang bakal diadakan dalam tempoh kurang lapan bulan dari sekarang.

Berhubung maklumat terbaru mengenai negaranya, beliau berkata, hampir keseluruhan bahagian di Libya sudah jatuh ke tangan NTC, manakala masih ada beberapa kawasan kecil berada dalam tangan penyokong setia Gaddafi.

“Kami (NTC) terpaksa berhati-hati menangani isu ini kerana mengutamakan keselamatan orang awam. Orang awam dipindahkan terlebih dulu sebelum serangan dilancarkan,” katanya.

Abu Bakar berkata, sejak enam bulan lalu, PBB membekukan aset Libya di luar negara dan ini amat membebankan, terutama untuk pembayaran yuran pengajian bagi penuntut Libya di Malaysia.

Masalah itu dapat diselesaikan kerana Kerajaan Malaysia membantu meringankan beban bayaran yuran dan sara hidup pelajar. Ketika ini, lebih 3,000 rakyat Libya menetap di negara ini yang kebanyakannya pelajar.

Bantuan Malaysia, katanya, bukan itu saja, malah sebaik selepas pembebasan Libya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia turut menghantar bantuan perubatan kepada rakyat Libya dan Malaysia mengiktiraf NTC sejak awal lagi dan pihaknya amat menghargai sokongan ini.

“Malah, setiap hari kami hantar laporan kepada Kementerian Luar Negara mengenai perkembangan di Libya,” katanya.

berita harian/-

PSC Tidak Bermakna Jika Tuntutan Bersih 2.0 Tidak Dilaksana

25 Syawal 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA 23 SEPT :Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) yang akan diadakan pada bulan hadapan bagi mereformasikan pilihan raya yang lebih adil dan saksama tidak bermakna sekiranya lapan tuntutan Perhimpunan Bersih 2.0 tidak ditunaikan,kata Jawatankuasa Pepandu BERSIH 2.0, Dr. Subramaniam Pillay.

Dr Subramaniam berkata Perdana Menteri, Najib Razak perlu benar-benar konsisten menyelesaikan segala tuntutan rakyat dalam Bersih 2.0 terlebih dahulu bagi memastikan matlamat penubuhan PSC tercapai sebelum PRU-13.

“Apa yang ingin kami perkatakan ialah apabila parlimen telah dibubarkan, dengan itu jawatankuasa parlimen khas perlu menyelesaikan semua cadangan dan tuntutan sebelum pilihan raya akan datang.

“Jadi sebarang tuntutan dan cadangan daripada rakyat perlu diambilkira sebelum mengadakan pilihan raya, jika tidak ia sia-sia sahaja,” katanya pada satu sidang media khas Bersih 2.0.

Subramaniam berkata jawatankuasa seliaan parlimen itu yang akan dibentuk Oktober depan sudahpun menerima pelbagai kritikan setelah Najib dilihat seolah-olah tidak serius dalam menambahbaik ketempangan sistem pilihan raya.

“Jadi selagi kami prihatin, PSC boleh diteruskan tetapi kerajaan tidak boleh mengadakan pilihan raya sebelum reformasi pilihan raya dilakukan,” tegasnya lagi.

Pada 9 Julai lalu Bersih 2.0 dilancarkan di sekitar ibu negara ekoran perhimpunan Bersih terdahulu yang mahukan satu reformasi pilihan raya yang adil dan pembersihan daftar pengundi masih lagi belum dipenuhi Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR).

Antara lapan tuntutan Bersih ialah supaya SPR membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor

Dalam sidang media itu, Bersih mengumumkan akan mengadakan kempen baru ‘Tunaikan 8 Tuntutan, Barulah PRU-13’ lanjutan kepada Bersih 2.0 lalu.

Kempen tersebut akan diadakan pada 30 September ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor yang akan berlangsung pada jam 8.30 malam.

tv selangor/-

Mayat jadi rebutan sudah dibakar

25 Syawal 1432H. [MOD] -

Ketika tubuh Lawrence Selvananthan masih menjadi rebutan antara jabatan agama Islam dan keluarga Kristiannya, rakan-rakan si mati dikatakan mengambil tindakan sendiri menyempurnakan mayatnya tengah hari semalam.

Difahamkan bahawa rakan si mati, yang membawa mayatnya ke gereja di Seremban untuk upacara pengkebumian, memutuskan membakarnya dan meyimpan abunya di Segamat.

NONESituasi itu bagaimanapun memungkinan mereka menghadapi tindakan undang-undang oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), menurut anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Port Dickson Ravi Munusamy yang bertindak sebagai orang tengah.

Ravi (kiri) berkata, pegawai polis muncul di kediaman keluarga Lawrence di Lukut sekitar waktu tengah malam untuk menyerahkan arahan mahkamah syariah, memaklumkan tindakan akan dikenakan pada mereka.

Status agama Lawrence, 33, yang baru meninggal dunia mencetuskan kekeliruan pada keluarganya apabila JHEINS datang ke rumah menuntut mayatnya semalam atas alasan si mati memeluk Islam tiga hari sebelumnya.

Situasi itu menimbulkan ketegangan antara keluarga dan kira-kira 30 pegawai pihak berkuasa agama dan pegawai polis.

malaysiakini/-

Umno Cuba Gadai Tanah Rezab Melayu

25 Syawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 23 SEPT : Umno Puchong didakwa cuba menjual sebidang tanah rezab Melayu di kawasan itu namun ia berjaya dihalang oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berdasarkan maklumat yang didedahkan di dalam portal Malaysia Waves, tanah rezab Melayu itu cuba dijual kepada sebuah syarikat Lagi Gemilang Development Sdn Bhd yang mana pemiliknya adalah 75 peratus bukan bumiputra.

Menteri Besar menerima permohonan berkenaan daripada pejabat Pengarah Tanah dan Galian Selangor pada tahun lalu. Dalam surat berkenaan juga dinyatakan syor Pentadbir Tanah Daerah Petaling yang menolak permohonan berkenaan atas alasan mengekalkan kouta bumiputera.

Manakala syor daripada Pejabat Tanah dan Galian pula menyatakan tidak disokong kerana pindah milik di antara pertubuhan bumiputera kepada syarikat bukan bumiputera.

Keputusan ini membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor masih menjaga perkara berkenaan hak-hak orang Melayu di negeri ini, sekali gus menolak dakwaan Umno selama ini bahawa KEADILAN dan PAS tunduk kepada DAP.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin ketika diminta mengulas perkara ini menggesa Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Satim Diman memberi penjelasan berkenaan cubaan menggadai tanah rezab Melayu yang berada di atas nama Bahagian Umno Puchong.

Katanya, ini membuktikan kegagalan mereka dalam memperjuangkan tanah-tanah simpanan Melayu di negeri ini.

“Dalam soal ini, mereka yang memperjuangkan hak Melayu, memperjuangkan hak simpanan tanah Melayu itu sudah jauh ketinggalan, sebab yang jelas, ribuan ekar tanah hak rakyat Selangor, gagal mereka pertahankan,” katanya.

Tambah Faekah lagi, sejak Pakatan mengambil alih Selangor, sudah banyak pendedahan yang dilakukan berkaitan soal tanah penganugerahan tanah yang tidak telus.

“Pada kita (kerajaan Selangor) sudah buktikan bahawa sebelum Pakatan mengambil alih pentadbiran, bahawa banyak tanah-tanah di negeri Selangor telah diberi sama ada secara pukal atau secara racik-racik kepada orang yang tidak memerlukan dan tidak sepatutnya dapat.

“Isu yang lebih besar tentang tanah ialah bagaimana ketika dahulu tanah-tanah diberikan kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri, selepas itu anak-anak syarikat pula mengagih-agihkan kepada syarikat lain.

"Itu modus operandi yang sangat ketara dan kalau saya sebut satu per satu, rakyat Selangor akan terkejut sebab saya sendiri terkejut perkara itu berlaku secara berleluasa,” jelas Faekah.

tv news/-

Gaddafi tinggalkan ribuan peluru berpandu

25 Syawal 1432H. [MOD] -


 BEBERAPA pejuang anti-Muammar Gaddafi duduk di atas sebuah peluru berpandu Scud di luar sebuah kampung dekat Sirte, Libya kelmarin.

PARIS - Ribuan peluru berpandu darat ke udara yang ditinggalkan rejim Muammar Gaddafi yang tumbang di Libya tidak mendatangkan ancaman besar seperti yang dibimbangi kerana kebanyakan kumpulan militan di Afrika kurang ilmu pengetahuan dan peralatan untuk melancarkan senjata itu, kata beberapa pakar.
Peluru berpandu mudah alih SA-7 buatan bekas negara Kesatuan Soviet (USSR) yang dilengkapi peledak kuat dan alat pengesan infra merah itu boleh mencetuskan ancaman serius di Sahel yang merupakan lokasi tempat sekutu kumpulan Al-Qaeda aktif beroperasi.
Beberapa orang bimbang peluru berpandu itu akan digunakan untuk menyerang pesawat komersial jika ia jatuh ke tangan orang yang salah.
Namun, beberapa pihak lain menyatakan, ia sukar digunakan dan jika tidak dijaga dengan baik, ia akan menjadi besi sekerap.
beberapa sumber menyatakan, kebanyakan peluru berpandu itu ditemui dalam pasaran gelap di rantau Sahara Afrika yang mungkin ditawarkan kepada kumpulan-kumpulan seperti Al-Qaeda.
"Kami menerima maklumat mereka sedang mencari buku panduan (untuk menggunakannya) dalam bahasa Arab," kata seorang pakar antikeganasan Perancis kepada agensi berita AFP.
Peluru-peluru berpandu itu ditinggalkan oleh rejim Gaddafi yang tumbang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu. - Agensi

20 Amalan Murah Rezeki..

25 Syawal 1432H. [MOD] -

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1.Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2.Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:

"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3.Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

"… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Riwayat at-Tirmizi)

4.Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Ar-Ra'd: 28)

5.Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." (Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:

"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya." (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." (Riwayat Bukhari)

7.Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…" (Riwayat Muslim)

8.Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.

9.Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:

"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."

10.Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11.Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:

"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Riwayat Bukhari)

12.Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:

"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki." (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13.Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14.Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .

15.Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16.Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: "… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)

17.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim." Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.

18.Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19.Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20.Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:

"Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) ." (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda:

"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri "jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

TAZKIRAH/-

Isteri Ahmad Sarbani Kesal SPRM Hebahkan Keburukan Orang & Tutup Keburukan Sendiri

25 Syawal 1432H. [MOD] -

Selama ini saya diam saja, tapi hari ini saya rasa terpanggil nak bagi tahu semua orang apa yang terpendam dalam isi hati saya. Mungkin dengan cara ini, saya boleh tenang..."

Demikianlah kata-kata Maziah Manap (gambar), balu Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed kepada MerdekaReview, apabila mengeluarkan satu kenyataan media pada hari ini, sebelum keputusan inkues diumumkan pada 26 September akan datang.

Maziah Manap terpanggil untuk menyanggah spekulasi peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Muhamad Shafee Abdullah, bahawa suaminya cuba melarikan diri.

"Saya sangat dukacita dan sedih dengan kenyataan akhbar SPRM tersebut yang merupakan satu lagi tohmahan yang sangat zalim terhadap Allahyarham dan keluarga saya. Saya terpanggil untuk menjawab kenyataan tersebut supaya masyarakat awam dapat menilai perkara yang sebenarnya kerana saya tidak terlarat lagi mendengar dan melihat cemuhan demi cemuhan yang dibuat semata-mata untuk melepaskan SPRM daripada dipertanggunjawabkan ke atas kematian suami saya," beliau berkata sedemikian dalam kenyataan medianya.

Beliau menambah, "Yang menambahkan lagi dukacita saya ialah propaganda yang digunakan oleh SPRM untuk menghebahkan keburukan orang-orang yang belum lagi terbukit bersalah. Sebaliknya, apabila sesuatu perkara membabitkan kecacatan, kecuaian dan keburukan SPRM, maklumat tersebut seolah-olah cuba disembunyikan atau dipadamkan daripada pengetahuan awam."

Selain itu, Maziah Manap yang beberapa kali menghadiri inkues kematian suaminya berkata, dirinya "confused" (terkeliru) dengan kenyataan yang berbeza daripada sesetengah pihak. Misalnya, Pengarah Wilayah Persekutuan SPRM pernah memberitahunya bahawa suaminya "rebah", namun berkata suaminya "jatuh" ketika di mahkamah. Maziah tidak mempunyai bukti, kerana beliau diberitahu melalui panggilan telefon, dan bukannya pesanan ringkas (sms).

Yang berikut adalah teks penuh kenyataan Maziah Manap

Saya adalah balu kepada Allahyarham Ahmad Sarbaini Bin Mohamed. Keluarga kami masih menanggung duka nestapa akibat kematian suami saya semasa dalam tahanan SPRM pada 6 April 2011. Beban sengsara dan kesedihan yang saya dan anak-anak alami menjadi lebih berat apabila kami diaibkan dengan tohmahan dan andaian bahawa Allahyarham adalah seorang pegawai Kastam yang korup.

Itulah gambaran dan kesimpulannya apabila peguam SPRM, Muhammad Shafee Abdullah, mengeluarkan kenyataan akhbar pada 12 September 2011 bahawa SPRM tidak boleh dipertanggungjawabkan kerana suami saya meninggal dunia apabila cuba melarikan diri untuk berjumpa kawannya supaya pernyataan mereka kepada SPRM dapat diselaraskan. Kenyataan akhbar tersebut dihebahkan secara meluas seolah-olah ianya suatu fakta hakiki.

Saya sangat dukacita dan sedih dengan kenyataan akhbar SPRM tersebut yang merupakan satu lagi tohmahan yang sangat zalim terhadap Allahyarham dan keluarga saya.

Saya terpanggil untuk menjawab kenyataan tersebut supaya masyarakat awam dapat menilai perkara yang sebenarnya kerana saya tidak terlarat lagi mendengar dan melihat cemuhan demi cemuhan yang dibuat semata-mata untuk melepaskan SPRM daripada dipertanggunjawabkan ke atas kematian suami saya.

Yang menambahkan lagi dukacita saya ialah propaganda yang digunakan oleh SPRM untuk menghebahkan keburukan orang-orang yang belum lagi terbukit bersalah. Sebaliknya, apabila sesuatu perkara membabitkan kecacatan, kecuaian dan keburukan SPRM, maklumat tersebut seolah-olah cuba disembunyikan atau dipadamkan daripada pengetahuan awam.

Baru hari ini telah keluar berita tentang penangkapan tiga orang pegawai tinggi SPRM termasuk seorang berpangkat Penolong Pesuruhjaya yang menyalahguna kuasa mereka dan "merompak" money changer di KLIA untuk sejumlah US$300,000 (RM900,000).

Kejadian pada 15 September 2011 hanya terdedah setelah dilaporkan oleh media alternatif. Sebaliknya cerita berkenaan suami saya dihebahkan secara meluas. Inikah ketelusan yang boleh diharapkan dari SPRM, PDRM dan media arus perdana?

Berhubung kenyataan peguam SPRM tentang teori kematian suami saya, saya perlu membuat penjelasan dan menyatakan secara tegas bahawa kenyataan SPRM tersebut tidak disokong oleh sebarang keterangan semasa Inkues dan merupakan satu tohmahan dan spekulasi oleh SPRM sehingga membabitkan nama-nama pihak ketiga.

Malahan hujahan bertulis dari peguam Zainal jelas menunjukkan bahawa:

a) tidak terdapat sebarang bukti bahawa Allahyarham terbabit dengan salah laku rasuah;
b) tidak terdapat sebarang sebab untuk Allahyarham takut dan cuba melarikan diri;
c) tiada asas kepada teori SPRM bahawa Allahyarham cuba melarikan diri untuk memberikan amaran kepada En. Zainal demi memastikan pernyataan mereka menjadi konsisten;
d) pengakuan Allahyarham yang kononnya telah diperolehi, adalah secara muslihat, perdayaan dan paksaaan dan amat bercanggah dengan pernyataan awalnya dimana Allahyarham secara tegas menafikan sebarang perlakuan rasuah; dan
e) pemadaman rakaman CCTV pada waktu kejadian selama tempoh lebih 22 jam seperti disahkan oleh pegawai forensik, ASP Fauziah Bte Che Mat, menunjukkan usaha SPRM untuk menyembunyikan kejadian sebenar.

Dalam kesedihan ini, saya hanya mampu mengharapkan supaya sebab sebenar kematian suami saya dapat diketahui dan pihak-pihak yang menyebabkan kematiannya dipertanggungjawabkan. Barulah maksud sebenar keadilan membawa erti kepada keluarga kami. -MR

Ulasan GB

Sama seperti kes Teoh Beng Hock, dimana Polis dan SPRM telah melakukan pelbagai tohmahan sehinggalah keluarga mangsa lansung tidak dapat pembelaan yang wajar sekalipun di peringkat inkues.

Keterangan-keterangan yang diberikan peringkat awal menutup segala ruang untuk kebenaran dan keadilan dibuka, sehinggakan tindakan SPRM dilihat paling betul dan wangi - ada menteri barua yang membuat pendirian serupa dengan pendirian pegawai tertinggi SPRM - bahawa Teoh Beng Hock membunuh diri.

Tetapi apabila siasatan Suruhanjaya Diraja diadakan, TERBUKTI bahawa pegawai-pegawai SPRM yang bertindak menyiasat Teoh adalah kejam, angkuh dan menyalahkan kuasa mereka.

Hal yang serupa kini berlaku ke atas kes Ahmad Sarbani.

GREEN BOX/-

Rakyat Palestin bantah ucapan, kecam Obama

25 Syawal 1432H. [MOD] -



RAMALLAH, Wilayah Palestin - Penduduk Palestin yang berang dengan ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama keluar untuk menunjuk perasaan di jalan-jalan raya di sini dan bandar Gaza semalam.
Mereka berhimpun untuk membantah ucapan Obama yang dibuat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York kelmarin yang disifatkan sebagai memihak kepada Israel.
Lebih 1,000 penduduk Palestin yang membawa sepanduk mengecam Obama berhimpun di luar ibu pejabat Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas di sini sebelum berarak ke pusat bandar dengan melaungkan ungkapan: "Amerika tidak tahu malu kerana menyokong penjajahan (Israel)."
Di Bandar Gaza, sekitar 300 wanita berhimpun di luar ibu pejabat PBB dengan melaungkan slogan anti-Obama dengan mereka diawasi oleh pasukan keselamatan Hamas.
Ucapan Obama pada Perhimpunan Agung PBB di bandar raya New York, AS kelmarin menerima kecaman hebat daripada seluruh penduduk Palestin.
Dalam ucapannya, Presiden AS berkenaan mengulangi bantahan Washington terhadap usaha Palestin untuk menjadi sebuah negara merdeka sebagai anggota penuh PBB.
Obama turut bersimpati dengan perjuangan Israel di rantau Asia Barat tanpa menyentuh sedikit pun tentang penjajahan Israel ke atas Palestin atau pembinaan penempatan-penempatan haram Yahudi oleh rejim Zionis. - AFP

Jangan terperangkap dengan isu yang sengaja diwujudkan

25 Syawal 1432H. [MOD] -

Muktakir ini, media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat. Isu ucapan Mohamad Sabu, isu bendera, isu hudud, isu sejarah kemerdekaan merupakan antara isu-isu yang sedang sengaja diwujudkan menjelang PRU akan datang.

Isu sedemikian diwujudkan untuk mengalihkan perhatian kepada isu-isu utama yang mempunyai kesan langsung kepada keselamatan negara seperti isu warga asing yang diberi kerakyatan mudah dan penyelewengan wang rakyat dan rasuah secara besar-besaran.

Demikian juga isu warga asing yang diberi hak mengundi, peningkatan kos hidup yang membebankan, cukai GST yang akan dilaksanakan selepas PRU ke 13, isu akta yang akan menggantikan ISA… semua ini adalah isu besar yang sepatutnya menjadi isu sebenar untuk PRU ke 13 kerana ianya mempunyai impak kepada rakyat secara langsung.

Dalam menghadapi PRU yang semakin hampir, rakyat sedang dan akan bakal saksikan bagaimana media perdana akan mengiatkan usaha untuk mengalihkan perhatian mereka sehingga isu-isu utama tenggelam dengan isu-isu yang sengaja diwujudkan.

Teknik mengalih perhatian dengan membawa isu yang sengaja diada-adakan terutama isu bangsa, agama dan pelbagai isu sensitif sememangnya menjadi hobi dan senjata BN untuk lima dekad yang lalu, terutamanya pada waktu timbulnya isu-isu yang tidak dijawab mereka.

Selain mengalihkan perhatian, sebenarnya tujuan asal BN sengaja mewujudkan isu ialah supaya rakyat lupa bahawa mereka perlu menjawab sesuatu isu besar yang dibangkitkan.

Teknik ini sentiasa digunakan tidak lain tidak bukan kerana BN mempunyai kuasa mutlak terhadap media perdana. Dulu ia sememangnya berkesan, akan tetapi pada zaman teknologi sekarang keberkesanannya boleh dikurangkan secara drastik bergantung kepada kebijaksaan Pakatan Rakyat menghadapi teknik ini.

Walaupun ada-kalanya kita terpaksa jawab isu-isu yang sengaja dibangkitkan, namun pada masa yang sama para pemimpin Pakatan Rakyat harus terus menekankan isu-isu utama yang membabitkan rakyat sehingga BN terpaksa menjawabnya.

Oleh itu, dalam masa menjawab tuduhan dan isu yang sengaja diwujudkan, Pakatan Rakyat mesti lebih bijaksana mengambil peluang untuk mengungkit semula isu-isu utama ini supaya rakyat tidak hilang fokus dan terpengaruh dengan taktik alih perhatian BN.

Pakatan Rakyat dinasihatkan untuk mengawal emosi apabila berdepan dengan provokasi sebegini. Ini kerana isu-isu yang sengaja dibangkitkan adalah untuk mengganggu emosi supaya PR terus berbalah dengan mereka dalam isu yang sengaja diwujudkan sehinggakan tiada ruang dan masa untuk mengungkit isu-isu yang lain yang lebih penting dan berbangkit.

Seluruh jentera Pakatan Rakyat diharap tidak terpengaruh dengan isu yang sengaja diwujudkan bagi mengalih perhatian kepada isu sebenar yang sedang dihadapi rakyat.

Sementara itu, Pakatan Rakyat juga hendaklah memastikan seluruh jentera parti dapat menumpukan kepada persiapan akhir untuk pertarung PRU-13 dengan mengemaskinikan segala maklumat penting.

Bilik gerakan mestilah dibuka segera, semakan daftar pemilih mesti dilakukan dan semangat pekerja-pekerja jentera parti mesti berada pada tahap optimum. Tindakan segera bagi mengesan kelemahan jentera dan pembekalan peralatan pilihanraya juga mesti disiapkan segera.

Kewangan dan dana pilihanraya mesti dikeluarkan dan dijana segera bagi melengkapkan peralatan asas yang perlu disediakan.

Gerak kerja rayuan undi, semakan daftar, peralatan pilihanraya dan cara penerangan isu-isu semasa mesti dilengkapkan sebelum parlimen dibubarkan.

Gunakan dana pilihanraya di semua peringkat sekarang, bukan setelah parlimen dibubarkan. Segala-galanya akan berubah bilamana parlimen bubar.

Untuk itu, jangan terpengaruh dengan isu yang sengaja diwujudkan bagi melekakan kita dari tugas sebenar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU akan datang.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
23 SEPTEMBER 2011

LUAS: SYABAS perlu lebih profesional dalam isu air

25 Syawal 1432H. [MOD] -

Pemantauan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di tujuh empangan dan sungai-sungai utama di Selangor mendapati kedudukan paras air di semua muka sauk bagi keperluan loji pembersihan air adalah baik dan tidak membimbangkan.

Pegawai penerangan LUAS, Ishak Kamaruzaman berkata, sumber air di Selangor masih dalam keadaan yang mencukupi dengan taburan hujan yang tinggi dicatatkan di banyak kawasan terutamanya kawasan tadahan air.

"Secara purata, paras air di empangan pada tahun ini adalah meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Oleh itu, katanya, dakwaan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) bahawa rizab air semakin menyusut adalah satu kenyataan yang tidak profesional kerana ianya telah memberi gambaran yang salah tentang kebolehdapatan sumber air di negeri Selangor.

Secara terperinci, kata Ishak, kedudukan tahap simpanan air empangan pada 20 September 2011 adalah seperti yang berikut :

1. Empangan Sungai Selangor pada tahap 78.34 peratus.

2. Empangan Sungai Tinggi pada tahap 85.78 peratus.

3. Empangan Batu pada tahap 100 peratus (melimpah).

4. Empangan Klang Gate pada tahap 100 peratus.

5. Empangan Tasik Subang pada tahap 95.64 peratus.

6. Empangan Sungai Langat pada tahap 100 peratus (melimpah)

7. Empangan Sungai Semenyih pada tahap 100 peratus (melimpah)

Berdasarkan pemantauan itu, tambahnya, dapat di buat kesimpulan seperti yang berikut:-

i) Purata paras air empangan pada tahun 2011 adalah meningkat berbanding tahun sebelumnya;

ii) Taburan hujan yang turun di kawasan tadahan air empangan adalah tinggi;

iii) Taburan hujan yang rendah bagi Empangan Sungai Selangor pada bulan Jun dan Julai adalah 48.11mm dan

49.26mm. Manakala taburan hujan yang rendah bagi Empangan Sungai Tinggi pada bulan Jun dan Julai adalah 182mm dan 110mm. Bagaimanapun pada bulan Ogos dan September taburan hujan kembali kepada keadaan purata iaitu 200mm;

"Semenjak 2011, semua empangan dalam keadaan yang baik dan cukup untuk membekalkan sumber air kepada semua loji-loji pembersihan air di Selangor yang dikendalikan oleh syarikat konsesi air dan diagihkan oleh SYABAS.

"Apa yang perlu ditegaskan di sini, bahawa SYABAS adalah pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan rizab air bersih dalam tahap 10 peratus. Namun apa yang pasti adalah rizab air bersih berada pada tahap 3 peratus hingga 5 peratus kerana loji tidak berupaya menambah pengeluaran.

"Sebagai syarikat konsesi yang bertanggungjawab untuk membekalkan air bersih kepada rakyat, SYABAS sepatutnya mengambil usaha untuk mengatasi masalah ketidakupayaannya dalam memastikan rizab air bersih berada dalam tahap yang baik," tegas Ishak.

SYABAS, katanya, perlu melihat teknologi terkini untuk merawat sumber air dan menaiktaraf loji-loji sedia ada bagi menambah kapasiti loji pembersihan air tersebut.

"Jika ada pun krisis air, ianya disebabkan oleh kegagalan loji pembersihan air untuk sentiasa memastikan bekalan air bersih mencukupi.

"Secara keseluruhannya, negeri Selangor mempunyai sumber air yang mencukupi untuk memenuhi permintaan.
"Langkah yang sewajarnya perlu diambil bagi meningkatkan keupayaan loji pembersihan air untuk memenuhi unjuran permintaan dan rizab air bersih," tambah Ishak.

MALAYSIAKINI/-

Pakatan perlu waspada taktik Umno BN alih isu

25 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Sept: Pakatan Rakyat dinasihatkan untuk bertindak secara lebih bijaksana dalam menghadapi teknik alih perhatian Umno Barisan Nasional (BN) supaya isu-isu utama yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat tidak ditenggelamkan begitu saja.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata muktahir ini, media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat.

Dalam menghadapi PRU yang semakin hampir, kata beliau, rakyat sedang dan akan bakal saksikan bagaimana media perdana akan menggiatkan usaha untuk mengalihkan perhatian mereka sehingga isu-isu utama yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat tenggelam dengan isu-isu yang sengaja diwujudkan.

Katanya, teknik mengalih perhatian dengan membawa isu yang sengaja diada-adakan terutama isu bangsa, agama dan pelbagai isu sensitif sememangnya menjadi hobi dan senjata Umno BN untuk lima dekad yang lalu, terutamanya pada waktu timbulnya isu-isu yang tidak dijawab mereka.

Selain mengalihkan perhatian, kata beliau sebenarnya tujuan asal BN sengaja mewujudkan isu ialah supaya rakyat lupa bahawa mereka perlu menjawab sesuatu isu besar yang dibangkitkan.

“Teknik ini sentiasa digunakan tidak lain tidak bukan kerana BN mempunyai kuasa mutlak terhadap media perdana.

“Dulu ia sememangnya berkesan, akan tetapi pada zaman teknologi sekarang keberkesanannya boleh dikurangkan secara drastik bergantung kepada kebijaksaan Pakatan Rakyat menghadapi teknik ini,” kata beliau.

Menurut Tuan Ibrahim, media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu, antaranya ucapan Mohamad Sabu, isu bendera, isu hudud, isu sejarah kemerdekaan bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat.

Isu sedemikian, kata beliau sengaja diwujudkan oleh Umno BN untuk mengalihkan perhatian kepada isu-isu utama yang mempunyai kesan langsung kepada keselamatan negara seperti isu warga asing yang diberi kerakyatan mudah dan penyelewengan wang rakyat dan rasuah secara besar-besaran.

Demikian juga, isu warga asing yang diberi hak mengundi, peningkatan kos hidup yang membebankan, cukai GST yang akan dilaksanakan selepas PRU ke 13, isu akta yang akan menggantikan ISA.

“Semua ini adalah isu besar yang sepatutnya menjadi isu sebenar untuk PRU ke 13 kerana ianya mempunyai impak kepada rakyat secara langsung,” kata beliau.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan walaupun ada-kalanya terpaksa jawab isu-isu yang sengaja dibangkitkan, namun pada masa yang sama para pemimpin Pakatan Rakyat harus terus menekankan isu-isu utama yang membabitkan rakyat sehingga BN terpaksa menjawabnya.

“Oleh itu, dalam masa menjawab tuduhan dan isu yang sengaja diwujudkan, Pakatan Rakyat mesti lebih bijaksana mengambil peluang untuk mengungkit semula isu-isu utama ini supaya rakyat tidak hilang fokus dan terpengaruh dengan taktik alih perhatian BN,” nasihat beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menasihatkan Pakatan Rakyat untuk mengawal emosi apabila berdepan dengan provokasi isu-isu yang sengaja dibangkitkan Umno BN.

Ini kerana, katanya isu-isu yang sengaja dibangkitkan adalah untuk mengganggu emosi mereka supaya terus berbalah dengan Umno BN dalam isu yang sengaja diwujudkan sehinggakan tiada ruang dan masa untuk mengungkit isu-isu yang lain yang lebih penting dan berbangkit.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim turut menyeru Pakatan Rakyat untuk tidak terpengaruh dengan isu yang sengaja diwujudkan bagi mengalih perhatian kepada isu sebenar yang sedang dihadapi rakyat dan menumpukan perhatian untuk memastikan seluruh jentera parti dapat menumpukan kepada persiapan akhir untuk pertarung PRU-13 dengan mengemaskinikan segala maklumat penting.

Katanya, bilik gerakan mestilah dibuka segera, semakan daftar pemilih mesti dilakukan dan semangat pekerja-pekerja jentera parti mesti berada pada tahap optimum.

Tambahnya, tindakan segera bagi mengesan kelemahan jentera dan pembekalan peralatan pilihanraya juga mesti disiapkan segera.

“Kewangan dan dana pilihanraya mesti dikeluarkan dan dijana segera bagi melengkapkan peralatan asas yang perlu disediakan,” nasihat beliau.

Selain itu, katanya gerak kerja rayuan undi, semakan daftar pemilih, peralatan pilihanraya dan cara penerangan isu-isu semasa semua parti mesti dilengkapkan sebelum parlimen dibubarkan.

“Gunakan dana pilihanraya di semua peringkat sekarang, bukan setelah parlimen dibubarkan. Segala-galanya akan berubah bilamana parlimen bubar.

“Untuk itu, jangan terpengaruh dengan isu yang sengaja diwujudkan bagi melekakan kita dari tugas sebenar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU akan datang,” nasihat beliau lagi.

HARAKAHDAILY/-

PRU 13: Melaka akan buat kejutan – Anwar

25 Syawal 1432H. [MOD] -

MELAKA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya rakyat negeri ini akan membuat kejutan besar pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, kelak.

“Ini firasat saya. Dalam dua, tiga bulan kebelakangan ini, kita nampak bibit-bibit kebangkitan yang ketara. Insya-Allah,” katanya.

Seperti Johor, Melaka dianggap kubu kuat Umno tetapi tanggapan itu kian meleset berikutan pertambahan drastik penyokong Pakatan Rakyat di kedua-dua negeri itu.

Ceramah itu bersempena program Pentas Angkatan Muda KEADILAN (AMK) di Markas KEADILAN Ranting Pengkalan, Alor Gajah di sini, malam semalam.

Kira-kira 2,000 penduduk tempatan mengikuti program yang berlangsung di perkarangan markas yang terletak di perkampungan Melayu.

Naib Presiden, N Surendran; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Johor, Datuk Chua Jui Meng dan Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin, hadir sama.

Pada ucapannya, Anwar yakin Melaka mampu ditawan walaupun negeri itu dilabel kubu kuat Umno berikutan keputusan PRU 12 menunjukkan banyak kubu kuat Umno dimenangi Pakatan Rakyat.

“Permatang Pauh kubu kuat Umno. Selangor juga kubu kuat Umno tapi, pada pilihan raya (umum) lalu, kita tawan. PRU 13 ini, Melaka boleh ditawan atau tidak?”

“Boleh!” sahut sorakan orang ramai dengan penuh semangat sambil sebahagian besar menjulang tangan.

Namun, kata Anwar, anak muda negeri itu perlu rajin mendapatkan maklumat sebenar penyelewengan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) untuk disebar kepada umum.

“Google. Cari sendiri. Nilaikan. Apakah ini (ucapan beliau) fitnah atau fakta yang cuba disorok kerajaan Umno. Kemudian, sebarkan,” katanya.

Terdahulu, kehadiran Anwar diganggu sekumpulan Pemuda Umno diketuai Lokman Adam tanpa dihalang, apatah lagi ditangkap walaupun kira-kira 50 anggota polis ‘berkawal’di Pusat Khidmat KEADILAN di Taman Asean.

Malah, ucapannya di dewan pusat khidmat itu juga disabotaj pihak tertentu apabila bekalan elektrik terputus ketika Anwar mengupas isu ketakutan Umno terhadap kebangkitan rakyat.

(Fazallah Pit)

Merokok Dari Pandangan Islam

25 Syawal 1432H. [MOD] -

1. Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:

i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.

ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan.

Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.

iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing,

buah pinggang, serviks, kolon dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:” Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.

v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:

a. Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

b. Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.

c. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)

d. Kaedah Usul Fiqh: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”
e. Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:

i. Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.

ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.

iii. Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.

vi. Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok.

Antaranya seperti berikut:

a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.
b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.
c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.

2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.

3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyahmenyatakan:

“ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”

“Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.”

Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.

Sumber: e-fatwa

Aset RM72.7b milik Gaddafi ditemui

25 Syawal 1432H. [MOD] -




Beberapa orang beratur di sebuah bank di Tripoli, Libya pada 29 Ogos lalu.

TRIPOLI, Libya - Pemerintah sementara Libya, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menyatakan, pihaknya mendapat durian runtuh apabila menemui aset berjumlah AS$23 bilion (RM72.7 bilion) di bank pusat Libya yang tidak digunakan oleh bekas pemimpin negara berkenaan, Muammar Gaddafi, lapor akhbar Financial Times semalam.
Penemuan tersebut yang dilaporkan Financial Times dapat membantu usaha NTC dalam membangunkan semula negara berkenaan.
Seorang pegawai kewangan NTC, Wafik Shater memberitahu wartawan di Dubai, bank pusat itu menyimpan wang kertas dinar Libya berjumlah beberapa bilion.
Satu bilion dinar Libya bersamaan sekitar AS$820 juta (RM2.58 bilion).
"Wang berkenaan mencukupi untuk membolehkan NTC mentadbir negara ini selama enam bulan," kata Shater.
"Kami berada dalam kedudukan kewangan yang lebih baik daripada jangkaan kami sebelum ini," tambahnya.
NTC sebelum ini merayu masyarakat antarabangsa supaya memansuhkan sekatan ke atas Libya serta membebaskan aset berjumlah sekitar AS$170 bilion (RM536.1 bilion) yang disimpan di luar negara.
Gaddafi kini dalam buruan askar-askar NTC selepas rejimnya tumbang menjelang Hari Raya Aidilfitri yang lalu selepas bertempur sejak Februari lalu. - Agensi

Konsep 1Malaysia jejaki nasib Islam Hadhari

25 Syawal 1432H. [MOD] -



KOTA BHARU, 22 Sept: Berbeza berbanding slogan 1Malaysia, konsep Bertani Satu Ibadah yang diperkenalkan di Kelantan dua tahun lalu lebih mudah difahami rakyat.
Sejak dilancar pada April 2009, 1Malaysia belum mampu memberi kefahaman jelas kepada masyarakat sehingga promosi terpaksa dilakukan secara berterusan melalui media elektronik.
Malah konsep 1Malaysia dilihat menjadi semakin kabur mungkin menjejaki nasib Islam Hadhari yang kini berkubur tanpa batu nisan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, Che Abdullah Mat Nawi berkata, rakyat lebih faham dengan pendekatan Bertani Satu Ibadah yang diperkenalkan di Kelantan.
“Rakyat boleh faham konsep itu menyebabkan mereka bersungguh-sungguh melaksanakan kerja di samping amanah dan menaruh pengharapan kepada Allah swt.
“Kita nak suruh faham dan ini berlainan dengan slogan 1Malaysia. Apa yang boleh kita faham, dan kalau pun kita faham namun apakah yang kita dapat dengan 1Malaysia.
”Tetapi apabila kita menyebut Bertani Satu Ibadah menjadikan rakyat Kelantan lebih dekat dengan amalan agama biar pun sibuk mencari rezeki di mana sahaja,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini petang semalam.
Sidang media itu diadakan sempena program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kelantan 2011 yang bermula 21 September hingga 2 Oktober ini.
Program dwitahunan itu diadakan di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke-IV. Tema tahun ini ‘Bertani Satu Ibadah Pemangkin Kecemerlangan Pertanian Kelantan’.
Lebih 100 usahawan tani termasuk dari negara jiran serta 35 gerai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan berkaitan pertanian menyertai program berkenaan.
Che Abdullah berkata, penghayatan rakyat terhadap Bertani Satu Ibadah semakin diterima meluas sekarang.
Namun anehnya kata beliau apabila ditanya kepada pelajar sekolah, konsep 1Malaysia tidak ramai yang mampu memberi jawapan.
H/daily