17 Oktober 2011

Lelaki Maut Dihempap Lampu Jalan

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Gorgetown: Seorang penunggang motosikal maut apabila dihempap lampu jalan yang secara tiba-tiba terjatuh dalam satu kejadian di Jalan Patani, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa V Ganesan, 27, yang baru sebulan bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi dikatakan menunggang motosikal dari pejabat ke rumahnya di Sungai Pinang, di sini.

Menurut sumber, mangsa ketika itu menunggang berseorangan sebelum lampu jalan itu jatuh dan terkena leher menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh.

Difahamkan, mangsa cedera, manakala urat lehernya terputus.

“Selepas terjatuh, mangsa tidak sedarkan diri sebelum dibantu orang ramai yang kebetulan melihat kemalangan itu dan menghantarnya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia berikutan mengalami pendarahan teruk di leher,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, S Vadiveloo, 52, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum diberitahu seorang jiran, anaknya terbabit dalam satu kemalangan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

KELAB GREENBOC

Banjir Di Bangkok: Kilang Rakyat Malaysia Terjejas

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BANGKOK: Rakyat Malaysia Yeap Swee Chuan melihat kilang pengeluaran komponen kereta miliknya di Estet Perindustrian Hitech di Ayutthaya di tenggelami air hari ini, keprihatinan sebenarnya ialah terhadap impak banjir kepada industri kereta Thailand dan ekonomi negara itu.

Banjir pada Khamis lalu, menjejaskan sama sekali kilang Aapico Hitech Public Company Limited, salah sebuah pengeluar komponen automobil terbesar di Thailand.

Yeap yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penyenaraian awam ini menganggarkan mengalami kerugian kira-kira RM200 juta.

Namun bukan jumlah kerugian itu yang bermain di kepalanya.

"Kerugian RM200 juta tidak ada apa-apa. Ia hanya berupa kacang jika anda membandingkannya dengan kesan kepada industri automobil Thai dan ekonominya. "Saya boleh mendapatkan semula kerugian saya daripada syarikat insurans hari ini dan pergi makan angin pada esoknya, tetapi kesannya kepada industri automobil Thai akan menjadi semakin sukar pada bulan-bulan akan datang," katanya kepada Bernama.

Thailand yang juga dikenali sebagai Detroit Asia mengeluarkan kira-kira dua juta kereta setahun termasuk untuk pasaran eksport.

Toyota, Honda, Ford, General Motors, Isuzu, Mazda, Mitsubishi, Nissan dan Suzuki adalah antara jenama kereta yang dihasilkan di negara ini.

Yeap mempunyai sebab untuk merasa bimbang dengan kesan banjir kepada industri kereta Thailand kerana beliau merupakan pengeluar komponen kereta untuk semua pengeluar kereta di negara ini.

"Anda namakan, apa sahaja kereta yang dikeluarkan di Thailand memiliki komponen kami," katanya.

Kilang itu merekabentuk, mengeluar, memasang dan menghimpun komponen peralatan termasuk bahagian lantai, brek, enjin dan tangki minyak.

Aapico dengan modal berbayar 268,874,300 Baht (kira-kira RM26.8 juta) mencatat jualan komponen kereta RM1.2 bilion setahun daripada kilang seluas 28 hektar dan mempunyai lebih 1,000 pekerja, katanya.

Beliau berkata kesan terhadap industri kereta Thailand adalah teruk kerana kenderaan tidak boleh dipasang tanpa komponen.

"Malah jika satu komponen hilang walau semurah mana pun, anda tidak boleh mengeluarkan kereta dan ia akan menjejaskan rangkaian jualan di seluruh dunia termasuk Kuala Lumpur," kata belau. "Boleh anda bayangkan sekiranya pengeluar komponen kereta memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk memulakan semula pengeluaran mereka selepas banjir, kerana kira-kira 200,000 kereta tidak boleh dikeluarkan dari kilang," tambahnya.

Yeap tidak dapat menganggar berapa lama kilanganya akan berhenti beroperasi kerana semuanya bergantung kepada bila banjir akan surut dan kini kilang itu tenggelam pada paras 2.5 meter.

"Jika banjir surut kepada satu meter, mungkin kami boleh menjalankan kilang dengan membina benteng di luar kilang, mula mengepam air keluar dan membina jambatan untuk membawa komponen kami keluar," katanya.

Mengimbas kembali kejadian banjir pada Khamis lalu, Yeap berkata beliau terpaksa membina tembok banjir di bahagian utara, timur dan barat di zon perindustrian itu dengan jangkaan air banjir akan melimpah dari arah tersebut. "Saya menggunakan inisiatif saya sendiri dan wang untuk membina tembok tersebut kerana kami tidak mempunyai persatuan di sini, tetapi merasa kecewa kerana tembok di sebelah selatan runtuh," katanya.

"Saya mahu menyelamatkan estet perindustrian ini. Itu sahaja yang dapat saya lakukan untuk menyumbang kepada negara ini semasa masa sukar," kata Yeap yang telah menjalankan perniagaannya di Thailand sejak 25 tahun lalu. "Saya begitu kecewa kerana tembok yang dibina pemaju zon perindustrian ini sendiri yang runtuh," tambahnya.

Yeap yang juga Pengerusi Bersama Dewan Perniagaan Malaysia-Thai belum dapat memberi butiran mengenai kilang lain milik rakyat Malaysia yang terjejas oleh banjir yang sedang melanda Thailand.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum ini berkata kira-kira 10 kilang pengeluaran Malaysia yang terlibat dalam sektor automotif, elektrikal dan elektronik di Thailand terjejas dengan banjir secara berperingkat sejak 25 Julai.

Menurut Kementerian Perdagangan Thailand, lebih 900 buah kilang dengan seramai lebih 200,000 pekerja terjejas. -BERNAMA

Pemuda PAS Sabah lancar Kempen Selamatkan Pulau

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KOTA KINABALU, 17 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) yang komited dan serius terhadap isu penjualan pulau Sabah ke pihak asing melancarkan kempen Selamatkan Pulau-pulau Sabah di Pejabat PAS Putatan, semalam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Saudara Lahirul Latigu berkata, Pemuda PAS Sabah bersama-sama dengan Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Pemuda PAS Malaysia menganjurkan kempen bagi mengutip tandatangan rakyat Sabah bagi memberi sokongan membantah penjualan Pulau Montokud, Pulau Pandanan dan Pulau Mengalum.

“Pemuda PAS Sabah akan membuat satu petisyen bantahan untuk dihantar kepada Ketua Menteri selain membawa isu ini ke Parlimen untuk dibahaskan,” katanya pada satu sidang media.

Beliau juga memaklumkan bahawa, Sabah mempunyai hampir 500 buah pulau yang masih tidak bernama.

Pada 30 September yang lepas, DPPNS beserta Pemuda DAPSY dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah telah menghantar memorandum bantahan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Bagaimanapun memorandum tersebut hanya dapat diserahkan kepada Setiausaha kepada Setiausaha Politik Ketua Menteri berikutan ketiadaan Musa Aman ketika itu.

Sebelum ini, pendedahan oleh sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa ketiga-tiga pulau terbabit, Pulau Mengalum terletak di luar pantai Kota Kinabalu seluas 101 hektar ditawarkan pada harga US$18 juta, Pandanan dekat Semporna (empat hektar) US$2 juta dan Montukod, kira-kira satu kilometer di luar Kinarut (kira-kira tujuh hektar) dengan harga US$11.266 juta.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Negeri Sabah, Datuk Osman Jamal dilaporkan berkata kerajaan negeri sememangnya mengetahui iklan penjualan tiga pulau berkenaan, tetapi tidak boleh menghalangnya kerana pulau-pulau berkenaan milik persendirian.

Pelancaran tersebut turut dihadiri Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzan; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Saudara Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus; Pengarah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO, Pemuda PAS Malaysia, Yusni Md. Piah; Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa’ad Khizaimi; barisan peguam PAS Malaysia dan kepimpinan Pemuda PAS Sabah.

harakahdaily/-

Bahaya Su'u zhan

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
http://www.alsofwah.or.id

Zhan atau prasangka secara bahasa memiliki dua makna, yakin dan prasangka (dugaan). Zhan bermakna yakin seperti dalam firman Allah, artinya, “Iaitu orang-orang yang meyakini (يَظُنُّوْنَ), bahawa mereka akan menemui Rabb (Tuhan) mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.” (QS.al-Baqarah: 46)

Zhan bermakna prasangka seperti firman-Nya, artinya, “Barangsiapa yang menyangka bahwa Allah sekali-kali tidak akan menolongnya (Muhammad) di Dunia dan Akhirat…”(QS. al-Hajj: 15)

Secara istilah, zhan adalah mengetahui sesuatu, disertai kemungkinan yang kecil kalau pengetahuan dia itu salah. (Syaikh al-Utsaimin)

Zhan menurut para ulama ada tiga:

Zhan yang diharamkan, iaitu su’u zhan (prasangka buruk). Su’u zhan iaitu meyakini sisi buruk seseorang dan lebih menguatkannya dibanding sisi baiknya, dalam hal-hal yang mengandung dua kemungkinan (baik ataupun buruk).

Zhan yang diperbolehkan,

Iaitu seseorang yang ragu-ragu dalam jumlah raka’at shalat, maka dia boleh mengikuti zhannya (dugaannya) atau mengikuti keyakinannya. Demikian juga prasangka yang boleh adalah yang muncul di hati seorang muslim terhadap saudaranya disebabkan sesuatu yang menimbulkan kecurigaan/keraguan yang ia lakukan.

Zhan yang dianjurkan atau diperintahkan, seperti menyangka benar persaksian saksi yang adil, mengikuti zhan yang berlandaskan pada dalil dalam masalah fikih, berbaik sangka kepada Allah, dan kepada kaum muslimin yang adil dan lain-lain.

Bahaya Su’u zhan

Imam Ibnu Hajar al-Haitami memasukkan su’u zhan terhadap sesama muslim ke dalam golongan dosa besar yang tersembunyi (batin). Beliau berkata, “Dan dosa besar ini adalah salah satu dosa besar yang wajib diketahui oleh setiap mukallaf (hamba) supaya dia berusaha menghilangkannya. Kerana barangsiapa yang hatinya ada sebagian penyakit ini, tidak akan bertemu Allah –wal‘iyadzu Billah- dengan qalbun salim (hati yang selamat).”(az-Zawajir ‘an Iqtiraafil Kabair)

Su’u zhan meliputi su’u zhan terhadap Allah, dan terhadap kaum muslimin yang adil. Su’u zhan terhadap Allah hukumnya haram. Para ulama menyebutkan bahwa su’u zhan bertentangan dengan tauhid dan kesempurnaannya.

Syaikh Shalih al-Fauzan berkata dalam I’anatul Mustafid, “Sesungguhnya su’u zhan terhadap Allah bertolak belakang dengan tauhid atau bertentangan dengan kesempurnaannya. Ia bertolak belakang dengan pokok tauhid jika ia bertambah, banyak dan terus-menerus ada pada seseorang. Atau, ia bertolak belakang dengan kesempurnaan tauhid jika ia adalah sesuatu yang datang tiba-tiba atau sesuatu yang sedikit atau hanya terlintas dalam hati saja dan ia belum mengucapkan dengan lisannya. Adapun jika dia sudah mengucapkan dengan lisannya, maka menjadi sesuatu yang bertolak belakang dengan tauhid.”

Di antara bentuk su’u zhan kepada Allah adalah putus asa dari rahmat Allah, tidak menerima takdir, menganggap Allah tidak adil, doanya tidak akan dikabulkan, dosanya tidak diampuni, kaum Muslimin akan tetap dalam keadaan kalah dan kemenangan akan selama-lamanya berada di tangan orang-orang kafir dan lain-lain.

Ibnu ‘Abbas berkata, “Sikap penakut, kikir, tamak dan seluruh watak buruk, kesemuanya adalah termasuk prasangka buruk terhadap Allah.”(Adabusy Syar’iyyah: 47)

Dan di antara bentuk su’u zhan terhadap kaum muslimin yang adil adalah menuduh mereka dengan perbuatan buruk hanya dengan berdasarkan prasangka belaka, bukan berdasarkan pengetahuan dan bukti yang jelas.

Seorang yang adil adalah yang taat kepada Allah, mengikuti perintah-perintah-Nya, dan menghindari larangan-larangan-Nya, dan tidak bermaksiat kepada Allah, tidak terjatuh ke dalam perbuatan dosa besar dan sebagian dosa kecil.

Dan bukanlah yang dimaksud dengan adil, orang yang sama sekali terlepas dari seluruh dosa, tetapi seseorang yang secara umum adalah orang yang berpegang teguh dengan agama, bersungguh-sungguh dalam ketaatan. Sa’id bin al-Musayyib berkata, “Tidak ada seorang terhormat pun, atau pun orang berilmu dan tidak juga penguasa melainkan dia pasti memiliki aib. Namun sebagian manusia ada aibnya yang tidak harus disebutkan, barangsiapa kelebihannya lebih banyak dari kekurangannya, maka kekurangannya itu dianggap sebagai kelebihan.” (al-Kifayah: 79, dan al-Bidayah wan Nihayah: 9/100)

Imam al-Ghazali berkata dalam Ihya Ulumuddin (3/150), “Ketahuilah bahwa prasangka buruk (su’u zhan) adalah haram seperti halnya ucapan yang buruk. Sebagaimana haram atasmu membicarakan keburukan seseorang kepada orang lain, maka tidak boleh juga membicarakannya kepada dirimu (hatimu) sendiri dan engkau berprasangka buruk terhadap saudaramu. Dan yang aku maksudkan adalah keyakinan hati terhadap orang lain dengan keburukan. Adapun apa yang terlintas dan bisikan hati maka hal itu dimaafkan, bahkan keraguan juga. Akan tetapi yang dilarang adalah menyangka, dan prasangka adalah kata lain dari sesuatu yang dijadikan sandaran yang hati condong kepadanya.

Allah berfirman, artinya, “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah oleh kalian kebanyakan prasangka, (karena) sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa.”(QS. al-Hujurat:12)

Dan sebab pengharamannya adalah bahwa rahasia hati tidak ada yang mengetahui kecuali Dzat Yang Maha Tahu tentang hal yang ghaib. Tidak ada hak bagimu untuk meyakini keburukan orang lain, kecuali jika nampak jelas dengan mata, yang tidak menerima takwil (tafsiran), maka saat itu tidak ada hal lain bagimu selain meyakini apa yang engkau ketahui dan engkau lihat. Dan apa-apa yang tidak engkau lihat dengan mata, dan tidak engkau dengar dengan telinga, tetapi muncul dalam benakmu, maka sesungguhnya setanlah yang telah melontarkan prasangka itu kepada- mu, engkau harus mendustakannya, karena sesunggguhnya setan adalah makhluk yang paling fasik. Allah telah berfirman, artinya, “Wahai orang yang beriman, jika orang fasik membawa berita kepadamu maka periksalah.” (QS. al-Hujurat: 6)

Su’u zhan terhadap sesama muslim, juga termasuk salah satu dosa besar. Hal itu dikarenakan ia akan dipengaruhi oleh setan untuk meremehkan seseorang, tidak menunaikan hak-haknya, kurang memuliakannya, dan mengumbar lisan, melecehkan kehormatannya. Dan semua ini adalah hal-hal yang membinasakan.

Dan setiap orang yang berprasangka buruk kepada orang lain, menunjukkan aib orang lain, maka ketahuilah bahwa hal itu disebabkan buruknya batin dan watak. Karena seseorang yang beriman mencari udzur-udzur (alasan-alasan positif kenapa orang lain itu melakukan perbuatan tersebut) dan karena selamatnya hati mereka, sedangkan orang munafik, mencari-cari aib seseorang karena buruknya batin mereka.

Ibnu Qudamah al-Maqdisi berkata, “Tidak boleh engkau berprasangka buruk kepada saudaramu sesama muslim, kecuali jika terlihat sesuatu yang tidak mungkin lagi untuk ditakwil (dicari-cari alasannya). Jika seseorang yang adil mengabarkan kepadamu tentang hal itu, lalu hatimu condong untuk membenarkan maka engkau tidak bersalah. Karena jika engkau mendustakan, berarti engkau telah berburuk sangka terhadap orang yang mengabarkannya. Tidak pantas engkau berbaik sangka terhadap seseorang dan berburuk sangka terhadap orang lain, akan tetapi hendaknya engkau mencari tahu, apakah di antara keduanya ada permusuhan atau kedengkian. ”(Mukhtashor Minhajil Qashidin: 172)

Obat Buruk Sangka

Untuk mengobatinya Ibnu Qudamah al-Maqdisi berkata, “Setiap kali terbesit dalam hatimu sesuatu yang buruk terhadap sesama muslim, maka hendaknya engkau menambah perhatianmu kepadanya, dan doakan dia dengan kebaikan. Sungguh hal itu mengurangi pengaruh setan dan mengusirnya darimu. Dan jika terbukti kekeliruan (ketergelinciran) seorang muslim, maka nasihatilah dia dengan rahasia (empat mata). Dan ketahuilah sesungguhnya salah satu buah dari buruk sangka adalah sikap memata-matai, yang dapat merusak tirai penutup kaum muslimin.” [Disadur dari berbagai sumber oleh Sujono/http://www.alsofwah.or.id]

Beri IC kepada tak layak perbuatan jijik

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Pendedahan mengenai sindiket kad pengenalan (IC) cukup serius kerana jika benar laporan berkenaan membuktikan bahawa usaha untuk menjual negara kepada orang yang tidak bertanggungjawab semakin berani dibuat secara terbuka.

Pengerusi Majlis Politik Nasional Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Mohd Nazri bin Mohd Tahir menyatakan demikian sebagai respons kepada pendedahan yang telah dilaporkan oleh media alternatif berkaitan ‘sindiket IC’ yang melibatkan warga asing yang diselindungi dengan nama kursus keusahawanan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab baru-baru ini.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia pada Khamis lalu.

“Dalam hal ini pihak Gamis merasakan suatu sindeket yang tersembunyi yang didalangi oleh pihak yang berkepentingan telah melalukakan tindakan tidak bertamadun tersebut.

“Memberikan kad pengenalan negara kepada mereka yang tidak layak adalah usaha yang cukup jijik kerana harga kewarganegaraan bukan boleh dijual untuk kepentingan sesuatu pihak,” ujarnya yang juga Naib Presiden Gamis.

Justeru, ujarnya pihak Gamis mendesak agak Kementerian Dalam Negeri khususnya pihak PDRM dan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara mengambil isu ini secara serius supaya nilai negara kita tidak mudah tergadai sebegitu rupa.

Gesanya lagi, jalankan siasatan secara adil dan telus demi kebaikan negara dan rakyat.

Katanya, pendedahan oleh pengerusi SPR bahawa lebih 40,000 nama yang diragui sebagai pemilih dalam senarai daftar pemilih juga mungkin boleh disebabkan oleh ‘projek IC’ yang didedahkan itu.

“Kami cukup kecewa dengan program transformasi dan kemajuan teknologi pada hari ini tidak mampu untuk mengesan taktik kotor untuk menggadai maruah negara kepada warga asing ini.

“Sebagai mahasiswa, kami tidak rela maruah negara dicemari oleh usaha jahat dan kotor dengan menjual status warganegara kepada pendatang yang tidak punyai lansung nilai patriotik kepada negara.

“Lebih malang lagi jika hal ini benar terjadi, maka masa depan negara akan ditentukan oleh warga asing kerana mereka boleh mengundi setelah nama mereka tersenarai sebagai pemilih,” ujarnya.

harakahdaily/-

10 maut, 33 cedera bas pelancong terbalik di China

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BEIJING: Seramai 10 orang maut dan 33 mengalami kecederaan apabila sebuah bas pelancong yang membawa ramai penumpang warga emas terbalik ketika melalui lebuh raya di selatan China, petang semalam.

Tayar bas yang membawa 49 penumpang itu mungkin meletup menyebabkan kenderaan berkenaan terbalik dalam kejadian berdekatan bandar Zangjiajie.

Lebuh raya di China memang berbahaya kerana jumlah pemilik kereta dan kekerapan melancong pada beberapa tahun lalu meningkat memandangkan pendapatan juga naik.
Pada awal bulan ini, 35 mati selepas sebuah bas dan kereta bertembung di utara bandar pelabuhan Tianjin. - AP

Pemanas air mandi maut

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUCHING: Rasa pelik bunyi air pancutan dalam bilik mandi selama beberapa jam membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan alat pemanas untuk mandi, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang juga seorang juruteknik, Mohd Nesruddin Saji, 48, ditemui mati dalam bilik air rumahnya di Taman Seri Cahaya, Jalan Batu Kawa, di sini dengan sebahagian muka dan badannya melecur.

Mayatnya ditemui anak saudaranya yang curiga apabila mendapati pintu rumah tidak berkunci selain televisyen masih terbuka sebelum membuat pemeriksaan.

Menurut anak saudaranya, Stephen Ng Wee Chung, 18, dia terkejut ketika menemui bapa saudaranya itu sudah tidak lagi bernyawa dengan tangan kiri menggenggam pemegang pemanas air manakala bahagian kiri muka serta dada kehitaman seperti kesan terbakar.

“Ketika kejadian, bapa saudara saya seorang diri di rumah kerana ibu saudara pulang ke kampung di Serian. Rumah saya terletak berhampiran dan menjadi kebiasaan bagi saya dan ahli keluarga lain untuk menjenguknya setiap hari,” katanya.

Katanya, sebelum itu, adik lelakinya, Wee Kim, 16, ada ke rumah itu kira-kira jam 11 malam namun tidak mengesyaki apa-apa mencurigakan kerana memikirkan bapa saudaranya itu sedang mandi.

“Apabila adik saya ke rumah itu, dia mendapati televisyen masih terbuka dan terdengar bunyi air dari dalam bilik air. Adik ketika itu menyangka bapa saudara saya itu sedang mandi sebelum terus pulang semula ke rumah kami,” katanya.

Katanya, dia kemudian kembali beberapa jam kemudian untuk memeriksa keadaan namun berasa tidak sedap hati apabila tidak ternampak kelibat bapa saudaranya itu selain mendapati pintu rumahnya tidak dikunci.

“Saya berasa pelik kerana mendapati bapa saudaranya masih mandi dan memanggilnya beberapa kali namun tiada jawapan sebelum menolak pintu bilik air,” katanya.

Stephen berkata, dia percaya bapa saudaranya meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika mandi kerana dia turut merasainya ketika cuba mengalihkan pemegang pemanas air itu dari tangan bapa saudaranya itu.

Sementara itu, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terpaksa memotong wayar elektrik pemanas air berkenaan sebelum membawa mayat mangsa keluar dari bilik air.

Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk menjalankan bedah siasat.

metro/-

Aziz Bari akan saman Utusan

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Prof Dr Abdul Aziz Bari sedang mengkaji secara serius untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia dan beberapa media lain yang terbabit berikutan kecaman dan laporan polis yang dibuat setelah akhbar milik Umno itu menyiarkan pelbagai laporan yang menyifatkan beliau derhaka dan kurang ajar kepada Sultan Selangor.

Pakar perlembagaan itu telah pun berbincang dengan para peguam beliau mengenai tindakan membawa akhbar tersebut ke mahkamah.

"Saya hanya memberi komen tentang kewajaran Sultan Selangor mengeluarkan kenyataan dalam kontroversi Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) itu. Dalam komen itu saya akui kuasa Sultan memang ada dalam perlembagaan. Kuasa itu tidak pernah saya pertikaikan dan saya tidak nampak mengapa saya harus diserang berhari-hari hanya kerana komen pendek itu," jelasnya.

Aziz berkata jika pihak-pihak berkenaan tidak setuju dengan apa yang beliau komen mereka boleh memberikan tafsiran dan hujah mereka mengenai isu berkenaan.

"Mereka tidak harus mengutuk dan mempertikaikan kedudukan saya. Memberi komen atas kemahiran dan keilmuan kita berbeza dengan mengambil sikap menentang atau derhaka," katanya.

Rabu lalu, Senator Ezam Mohamed Noor dan pemimpin Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamizun Kamarudin membuat laporan polis terhadap Aziz. Dalam kenyataannya kepada media, Ezam mendakwa Aziz perlu diambil tindakan dan tidak berada di UIAM.

Kenyataan yang sama dibuat oleh Datuk Zulkifli Noordin yang mencabar Aziz supaya meletakkan jawatan dan masuk politik.

Profesor undang-undang UIAM itu berkata, beliau tidak berminat untuk masuk politik atau bertanding dalam pilihan raya. Cabaran itu cabaran yang mengarut kerana mereka sepatutnya mengulas atau mengemukakan hujah mengapa mereka tidak suka dengan komen beliau.

"Tunjukkan kesalahan komen saya itu," tegasnya.

Aziz telah menghasilkan banyak tulisan mengenai raja berperlembagaan termasuk sebuah tesis PhD berjudul 'The Development and Role of Constitutional Monarchy in Malaysia' pada 1996 di England.

Selepas itu beliau menerbitkan pula buku 'Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan Dalam Perlembagaan' yang dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Disember 2002.

Beliau juga menghuraikan kedudukan dan peranan Raja-Raja sebagai ketua agama dalam buku bertajuk Islam dalam Perlembagaan Malaysia yang diterbitkan pada 2005.

harakahdaily/-

Kediaman Gaddafi dirobohkan

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

TRIPOLI 17 Okt. – Dua buah jentolak yang dikawal sekumpulan lelaki bersenjata mula menjalankan operasi meroboh dinding-dinding sekitar kediaman bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di sini, semalam.

“Kami akan terus merobohkan semua yang pernah menjadi miliknya (Gaddafi).

“Kami mahu kawasan ini dibangunkan dengan organisasi keamanan atau kawasan awam,” kata seorang daripada kumpulan tersebut. – Reuters

Najib tidak tahu definisi pilihan raya adil

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan BN tidak pernah memanipulasi pilihan raya umum di Malaysia supaya kemenangan sentiasa berpihak kepada parti itu.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar) menganggap Najib terlupa sejarah pilihan raya umum di Malaysia yang menyaksikan bagaimana BN memainkan peranan bagi memenangi setiap pilihan raya berlangsung.

“Barangkali Datuk Seri Najib tidak mengerti definisi sebenar adil menurut perspektif yang betul,” katanya kepada Harakahdaily.

Untuk itu, ujarnya DPPM ingin menanyakan beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh Najib bagi membuktikan bahawa kenyataannnya betul.

Katanya, dalam sejarah pilihan raya umum berlangsung sejak dahulu sehingga sekarang, bilakah media milik kerajaan Umno BN benar-benar bersih daripada kongkongan parti pemerintah Umno BN.

Menurutnya, setahu DPPM, tidak pernah media rasmi negara bebas dalam melaporkan hal yang sebenarnya.

Beliau berkata, PAS dan Pakatan Rakyat sejak dahulu tidak pernah mendapat liputan yang adil daripada media rasmi, malah pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat selalu ditujah dan diserang dari pelbagai penjuru bagi memburukkan imej PAS di mata masyarakat.

“Pernahkah kerajaan Najib memberi kebebasan untuk pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat tampil di media rasmi negara bagi berkempen sebagaimana pemimpin Umno perolehi setakat ini?” tanya beliau.

Dalam soal undi pos, katanya PAS telah banyak mengemukakan bukti serta saksi betapa undi pos digunakan sebagai alat untuk memenangkan parti pemerintah.

PAS, jelasnya pernah membawa beberapa orang bekas anggota tentera yang mengaku pernah mengundi banyak kali dalam sesebuah PRU.

“Adakah Najib mahu menafikan lagi hal ini?” soalnya lagi.

Katanya, memang benar ada tempat yang undi pos memihak kepada PAS, tetapi berapa sangatkah jumlah keseluruhannya berbanding undi yang diperolehi oleh Umno BN.

Ujarnya, DPPM ingin bertanya, jika betul BN sebagai adil, bolehkah undi pos dimansuhkan dan digantikan dengan undi biasa sepertimana rakyat biasa yang lainnya.

Dalam soal berkempen, soalnya apakah Najib lupa bahawa Umno BN selalu bertindak berat sebelah di mana eluruh jentera kerajaan dikerah bagi berkempen dalam sesebuah pilihanraya, sama ada pilihanraya kecil atau umum.

Katanya, para guru, pegawai kerajaan, tentera, polis dan lain-lain digunakan sebagai alat berkempen, seolah-olah pilihanraya kecil atau umum adalah milik Umno BN.

“Adakah Najib mahu menafikan hal ini, dan adilkah sebuah kerajaan melawan sebuah parti pembangkang dalam pilihanraya?” tanya beliau.

Mungkin juga, katanya Najib terlupa takrifan projek ‘mi segera’ setiap kali pilihanraya berlangsung di mana secara tiba-tiba Dun atau Parlimen terbabit bertukar menjadi kawasan yang mendapat projek runtuh, sedangkan sebelum daripada itu tidak pernah kawasan tersebut dijenguk.

Bagi BN, ujarnya lagi ia adalah baik kerana untuk rakyat tetapi rakyat mentakrifkannya sebagai rasuah pilihanraya.

Tambahnya, agensi penting seperti SPR dan SPRM pula seakan buta melihat segala macam kebobrokan yang dilakukan oleh pemimpin BN.

“Mungkin ini adil menurut Najib,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, adil yang paling benar bagi Najib adalah merahsiakan tarikh pilihan raya umum, seakan suatu rahsia besar yang perlu dielak dari dikongsikan bersama rakyat Malaysia.

Ujarnya, biarlah pembangkang ‘terkulat-kulat’ membuat persiapan apabila secara tiba-tiba pilihan raya umum dipanggil pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Najib.

Katanya lagi, bagaimana jika Pakatan Rakyat melakukan hal yang sama, dan BN yang menjadi pembangkang pula dalam keadaan tidak bersedia apabila tiba-tiba berlaku PRU.

Riduan berkata, Pakatan Rakyat memenangi banyak negeri di Semenanjung bukan membuktikan BN itu adil, tetapi ia membuktikan bahawa rakyat telah melihat kebenaran.

Katanya, kebenaran tidak boleh disorok, maka kejahatan yang dibuat tidak mampu menenggelamkan kebenaran yang diterima rakyat.

“Ini adalah sedikit dari pelbagai bukti kepincangan yang berlaku dalam pilihan raya era BN,” katanya.

Najib, tambahnya seakan menghidap ‘sindrom penafian’ bahawa BN sejak sekian lama, merosakkan sistem demokrasi dan pilihan raya di negara ini.

“Buat Najib, belajarlah mengenal erti keadilan dari perspektif rakyat dan umum, bukan dari kacamata BN semata-mata!” ujarnya.

harakahdaily/-

Banduan kurung 60 tebusan di penjara Venezuela

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

CARACAS: Kira-kira 60 pekerja penjara Venezuela dikurung sepanjang hujung minggu oleh banduan yang mendesak mereka dipindahkan, kata pihak berkuasa dan kumpulan hak asasi dikenali Window of Freedom, hari ini. “Kira-kira 60 petugas dan pekerja penjara yang menjadi tebusan sejak petang Jumaat lalu oleh sekumpulan banduan di Penjara Minima, wilayah Carabobo,” kata penyelaras kumpulan pemantuan penjara, Carlos Nieto.
Sementara itu, temuramah dengan Menteri Pemulihan, Iris Varela yang disiarkan televisyen negara itu tetapi beliau tidak mengulas keadaan di Minima. - AFP

Aziz Bari: Siapa kurang ajar pada raja-raja Melayu?

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Pakar perlembagaan negara, Profesor Dr Abdul Aziz Bari, hari ini, menempelak mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membidasnya kerana mendakwa tindakan mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Shafaruddin Idris Shah adalah perlakuan kurang ajar.

“Kata Mahathir saya bersifat kurang ajar, tidak bermoral terhadap raja-raja. Adakah beliau betul?

“Cuba bandingkan, apa yang saya katakan dan tulis (mengenai Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan sebuah gereja di Damansara Utama) dengan apa yang diperkatakan dan dilakukannya pada tahun 1983 dan 1993,” kata Aziz dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Sebagai mengimbas semula, kenyataan Aziz yang bertajuk “Ehhh....look who's talking?” menceritakan bagaimana pada 1983, Mahathir meminda perlembagaan supaya undang-undang boleh digubal tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, kuasa menggistiyharkan darurat juga dipindahkan daripada Seri Paduka kepada Perdana Menteri. Semua pindaan itu mencetuskan krisis, katanya.

Menurut Aziz lagi, pada 1993, Dr Mahathir juga melucutkan kekebalan raja-raja Melayu dan mahu peruntukan undang-undang supaya baginda boleh diheret dan dibicarakan di mahkamah khas.

“Semua pindaan itu juga menimbulkan krisis.

“Dalam kedua-dua peristiwa itu, beliau juga menganjurkan perhimpunan di seluruh negara bagi membidas raja-raja (agar rakyat bangkit menyokongnya),” katanya.

Dr Mahathir selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-11 Universiti Teknologi Petronas (UTP), di Parit, semalam dilaporkan berkata tindakan Aziz mempertikaikan titah Sultan Selangor adalah perlakuan kurang ajar.

Ahkbar milik Umno, Utusan Malaysia juga memetik mantan perdana menteri itu berkata, walaupun ia mungkin tidak menyalahi undang-undang, tindakan Aziz yang enggan meminta maaf atas kesilapannya itu jelas bertentangan dengan prinsip moral.

“Kalau dalam bahasa Melayu, kita kata kurang ajar. Sama ada ia melanggar undang-undang, saya tidak tahu, tetapi dari segi moral, ia kurang ajar," kata Mahathir.

Bagaimanapun menurut Aziz, terpulang kepada rakyat menentukan siapa sebenarnya yang bersikap kurang ajar kepada raja-raja Melayu kerana umum tahu pendirian Dr Mahathir dan Umno yang seringkali tidak tetap dan akan memihak kepada keputusan yang menguntungkan mereka.

“Dua tahun lalu, dia (Dr Mahathir) kata OK bagi pihak Istana menyingkirkan (Menteri Besar Perak Datuk Seri) Nizar (Jamalauddin).

“Dan awal tahun ini pula, beliau berkata dirinya tidak pernah merampas kuasa sultan dalam pelantikan SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) Selangor (selepas Sultan bertitah baginda tidak lagi mempunyai kuasa melantik SUK).”

Pada 11 Oktober lalu, kenyataan Aziz yang berkata tindakan Sultan Selangor untuk campurtangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu, bukan sesuatu tindakan yang lazim mencetuskan kontroversi.

Katanya, tindakan Sultan Selangor itu tidak konsisten dan tidak selaras dengan ajaran Islam.

Berikutan itu, pemimpin BN, khususnya Umno dan media-media miliknya memperhebatkan bidasan mendesak Aziz memohon maaf dan dikenakan pelbagai tindakan kerana didakwa biadap dan derhaka kepada institusi raja-raja.

malaysiakini/-

16 Oktober 2011

60,000 pelajar hadap FB 4 jam sehari ?

18 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Anggota Parlimen Arau Datuk Ismail Kasim melahirkan rasa bimbang dengan fenomena masa kini yang menunjukkan ramai pelajar di negara ini menghabiskan masa melayari laman sosial tanpa kawalan dan mendapatkan maklumat yang diragui daripadanya.

Ada kajian menunjukkan lebih 60,000 pelajar menghadap komputer lebih empat jam sehari semata-mata untuk melayari laman sosial termasuk facebook, katanya tanpa menyatakan sumber kajian itu.

azlanBercakap kepada para pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan karaoke 1Malaysia di Kampung Kebun, Arau dekat Kangar malam tadi, beliau bimbang fenomena itu akan merugikan masa depan mereka.

Ismail berkata, ada pelajar yang berterusan membuang masa dengan laman sosial meskipun di saat menghadapi peperiksaan penting.

Antara kesan negatif melayari laman sosial tanpa kawalan termasuk ada kes pelajar lari daripada rumah kerana ingin bertemu rakan barunya yang dikenali dalam laman itu selain kemerosotan pelajaran, katanya.

Ismail yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Arau juga bimbang dengan sikap orang ramai yang gemar mendapatkan maklumat mengenai perkara terkini melalui sumber yang diragui di internet.

Menurutnya, mereka sepatutnya mematangkan diri dengan mendapatkan maklumat sebenar mengenai negara dan sesuatu perkara melalui media arus perdana dan sumber yang sebenarnya.

-- Bernama

Air banjir wilayah utara dan tengah dijangka melanda Bangkok hari ini

18 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BANGKOK: Air banjir dari wilayah utara dan tengah dijangka tiba di ibu kota ini sama ada hari ini atau esok.

Ketua Pengarah Pengairan Chalit Damrongsak berkata, air banjir itu dijangka pada ketinggian antara 2.3 dan 2.4 meter di atas paras purata laut.

Ketinggian tembok banjir di Bangkok ialah 2.5 meter.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar negara itu mengunjurkan sebelum ini bahawa 16 bilion meter padu air banjir akan tiba di Bangkok.

Lapan bilion meter padu air adalah dari wilayah Nakhon Sawan, enam bilion meter padu dari Ayutthaya, manakala dua bilion meter padu dari Phatum Thani.

Chalit juga berkata, keadaan air pasang laut yang tinggi ketika ini akan berterusan bagi tempoh dua hari akan datang.

Kira-kira satu pertiga daripada Thailand masih dibanjiri, dengan 2.3 juta penduduk dari lebih 10,000 kampung di 24 wilayah di utara dan tengah terjejas akibat banjir yang melanda negara itu secara berperingkat sejak 25 Julai lepas, dengan 297 kematian dicatat setakat ini. - BERNAMA

Bapa tembak mati empat ahli keluarga dan orang gaji di Filipina

18 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

MANILA: Seorang bapa menembak mati isterinya, tiga anak perempuan dan pembantu rumah sebelum menembak dirinya sendiri.

Polis berkata, Emmanuel Ponce dipercayai seorang pemabuk naik angin awal pagi tadi apabila bertengkar dengan isterinya, Melinda sehingga menyebabkan kejadian berkenaan di tengah bandar Talisay, Filipina.

Selepas menembak mati isterinya, Ponce menembak tiga anak perempuan mereka berusia 18 dan 26 tahun tetapi tidak membunuh anak bongsu mereka berusia 14 tahun.

Polis berkata, pembantu rumah keluarga itu turut dibunuh. - aFP