17 Oktober 2011

Banjir Di Bangkok: Kilang Rakyat Malaysia Terjejas

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BANGKOK: Rakyat Malaysia Yeap Swee Chuan melihat kilang pengeluaran komponen kereta miliknya di Estet Perindustrian Hitech di Ayutthaya di tenggelami air hari ini, keprihatinan sebenarnya ialah terhadap impak banjir kepada industri kereta Thailand dan ekonomi negara itu.

Banjir pada Khamis lalu, menjejaskan sama sekali kilang Aapico Hitech Public Company Limited, salah sebuah pengeluar komponen automobil terbesar di Thailand.

Yeap yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penyenaraian awam ini menganggarkan mengalami kerugian kira-kira RM200 juta.

Namun bukan jumlah kerugian itu yang bermain di kepalanya.

"Kerugian RM200 juta tidak ada apa-apa. Ia hanya berupa kacang jika anda membandingkannya dengan kesan kepada industri automobil Thai dan ekonominya. "Saya boleh mendapatkan semula kerugian saya daripada syarikat insurans hari ini dan pergi makan angin pada esoknya, tetapi kesannya kepada industri automobil Thai akan menjadi semakin sukar pada bulan-bulan akan datang," katanya kepada Bernama.

Thailand yang juga dikenali sebagai Detroit Asia mengeluarkan kira-kira dua juta kereta setahun termasuk untuk pasaran eksport.

Toyota, Honda, Ford, General Motors, Isuzu, Mazda, Mitsubishi, Nissan dan Suzuki adalah antara jenama kereta yang dihasilkan di negara ini.

Yeap mempunyai sebab untuk merasa bimbang dengan kesan banjir kepada industri kereta Thailand kerana beliau merupakan pengeluar komponen kereta untuk semua pengeluar kereta di negara ini.

"Anda namakan, apa sahaja kereta yang dikeluarkan di Thailand memiliki komponen kami," katanya.

Kilang itu merekabentuk, mengeluar, memasang dan menghimpun komponen peralatan termasuk bahagian lantai, brek, enjin dan tangki minyak.

Aapico dengan modal berbayar 268,874,300 Baht (kira-kira RM26.8 juta) mencatat jualan komponen kereta RM1.2 bilion setahun daripada kilang seluas 28 hektar dan mempunyai lebih 1,000 pekerja, katanya.

Beliau berkata kesan terhadap industri kereta Thailand adalah teruk kerana kenderaan tidak boleh dipasang tanpa komponen.

"Malah jika satu komponen hilang walau semurah mana pun, anda tidak boleh mengeluarkan kereta dan ia akan menjejaskan rangkaian jualan di seluruh dunia termasuk Kuala Lumpur," kata belau. "Boleh anda bayangkan sekiranya pengeluar komponen kereta memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk memulakan semula pengeluaran mereka selepas banjir, kerana kira-kira 200,000 kereta tidak boleh dikeluarkan dari kilang," tambahnya.

Yeap tidak dapat menganggar berapa lama kilanganya akan berhenti beroperasi kerana semuanya bergantung kepada bila banjir akan surut dan kini kilang itu tenggelam pada paras 2.5 meter.

"Jika banjir surut kepada satu meter, mungkin kami boleh menjalankan kilang dengan membina benteng di luar kilang, mula mengepam air keluar dan membina jambatan untuk membawa komponen kami keluar," katanya.

Mengimbas kembali kejadian banjir pada Khamis lalu, Yeap berkata beliau terpaksa membina tembok banjir di bahagian utara, timur dan barat di zon perindustrian itu dengan jangkaan air banjir akan melimpah dari arah tersebut. "Saya menggunakan inisiatif saya sendiri dan wang untuk membina tembok tersebut kerana kami tidak mempunyai persatuan di sini, tetapi merasa kecewa kerana tembok di sebelah selatan runtuh," katanya.

"Saya mahu menyelamatkan estet perindustrian ini. Itu sahaja yang dapat saya lakukan untuk menyumbang kepada negara ini semasa masa sukar," kata Yeap yang telah menjalankan perniagaannya di Thailand sejak 25 tahun lalu. "Saya begitu kecewa kerana tembok yang dibina pemaju zon perindustrian ini sendiri yang runtuh," tambahnya.

Yeap yang juga Pengerusi Bersama Dewan Perniagaan Malaysia-Thai belum dapat memberi butiran mengenai kilang lain milik rakyat Malaysia yang terjejas oleh banjir yang sedang melanda Thailand.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum ini berkata kira-kira 10 kilang pengeluaran Malaysia yang terlibat dalam sektor automotif, elektrikal dan elektronik di Thailand terjejas dengan banjir secara berperingkat sejak 25 Julai.

Menurut Kementerian Perdagangan Thailand, lebih 900 buah kilang dengan seramai lebih 200,000 pekerja terjejas. -BERNAMA

Tiada ulasan: