17 Oktober 2011

Diabetes ancam golongan muda

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Kalangan pegawai perubatan yang menghadiri simposium setengah hari semalam.
BANDAR SERI BEGAWAN,

Gaya hidup yang kurang aktif dan pemakanan tidak seimbang adalah antara penyebab utama peningkatan kejadian penyakit diabetes di kalangan orang ramai.

Malah penyakit itu menunjukkan trend membimbangkan apabila jumlah penghidap penyakit diabetes di kalangan golongan muda semakin bertambah.

Jumlah penghidap penyakit diabetes dikhuatiri akan terus meningkat jika orang ramai tidak mengambil langkah mengubah gaya hidup mereka supaya lebih aktif dengan melakukan senaman, memakan makanan kurang lemak dan gula serta mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.

Perkara itu dijelaskan Pengarah Perubatan, Konsultan Kardiologi, Nobel Heart Center, Mt Alvernia Centre, Dr Soon Chao Yong ketika menyampaikan ceramah bertajuk Diabetes and The Heart dalam Simposium Kesihatan 2011 di Hotel The Empire and Country Club, Jerudong, hari ini.

Beliau menjelaskan perubahan gaya hidup pada masa kini yang mana generasi muda kurang mengamalkan kegiatan aktif dan perubahan dari segi saiz makanan yang dimakan menjadi antara penyebab meningkatnya diabetes.

Dr Soon menjelaskan mengenai masalah dan cara mengurangkan kadar penyakit diabetes.P
Beliau mengakui masalah diabetes tidak hanya terhad kepada negara-negara yang maju tetapi negara membangun termasuk rantau Asia turut mencatatkan peningkatan dalam jumlah penghidap penyakit diabetes.

Menurutnya, diabetes adalah penyakit yang disebabkan jumlah penduduk yang semakin menua, pemakanan tidak sihat, masalah obesiti dan gaya hidup kurang aktif.
Diabetes yang dikaitkan dengan pembangunan dijangka akan terus meningkat disebabkan pembangunan pesat di negara-negara membangun.

Menyentuh mengenai masalah diabetes pada pesakit jantung, Dr Soon berkata mereka yang mempunyai penyakit jantung dan diabetes mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami serangan atau kematian yang berkaitan dengan penyakit jantung.

Beliau mengongsi bahawa kaedah terbaik mengurangkan berlakunya diabetes adalah menerusi pengurangan faktor risiko iaitu mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, memastikan berat badan di tahap seimbang serta mengamalkan pemakanan seimbang.

Di samping itu, kempen kesedaran yang terus dilaksanakan bagi meningkatkan kefahaman dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit diabetes dan cara terbaik mencegahnya adalah antara usaha yang harus diketengahkan kerana mencegahnya adalah mudah.

Simposium kesihatan itu dihadiri 150 pegawai perubatan dan pegawai profesional kesihatan bersekutu kerajaan dan swasta. Tiga tokoh menyampaikan ceramah mereka termasuk Dr Soon, Konsultan Pusat Neurologi,

Neuroscience, Stroke and Rehabilitation (NSRC), Dr Christian Jacobi bertajuk Brain Attack-How to Manage? dan Pakar Psikologi Klinikal, Bahagian Psikologi Komuniti, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Dayang Syahmun Metassan bertajuk Resilience in Patients (Daya Pemulihan Pesakit).

Permata Online

Tiada ulasan: