17 Oktober 2011

Maut ditelan ombak besar

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ALOR GAJAH: “Saya cuba lempar pelampung ke arah lelaki itu sekuat mungkin, tetapi disebabkan angin kuat serta berombak, pelampung itu tak sampai kepadanya dan saya serta beberapa penduduk melihat mangsa tenggelam timbul dan terkapai-kapai sebelum hilang ditelan ombak besar,” kata Abu Hurairah Jantan, 54,

saksi awal kejadian seorang lelaki yang dikatakan kurang siuman yang ditemui mati lemas ketika bermain air di pantai Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, di sini, kelmarin.

Katanya, mereka terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan mangsa, Azman Jaidin, 37, yang amat disenangi penduduk di kawasan itu.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Azman berada kira-kira 10 meter dari pantai.

Abu Hurairah berkata, dia yang baru tiba kira-kira lima minit di tempat kejadian dan menunggu hasil laut terlihat mangsa melambai tangan dan menjerit sekuat hati di tengah laut.

“Saya maklumkan kejadian itu kepada seorang penduduk sebelum kami cuba membantunya dengan mencampakkan satu pelampung kepadanya, namun usaha kami gagal,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, bapa mangsa, Jaidin Bidin, 70, berkata, sebelum kejadian, anaknya keluar dari rumah jam 7 pagi untuk minum di kedai berdekatan dan pulang semula ke rumah.

Katanya, anak bongsu daripada lima beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kerap keluar pagi dan balik semula ke rumah untuk makan tengah hari sebelum keluar semula pada sebelah petang.

“Selepas makan, arwah akan ke pantai setiap hari dan setiap kali keluar, dia membawa sedikit duit dalam poketnya untuk membeli rokok atau minum di warung.

“Kebiasaannya arwah keluar rumah tanpa memberitahu ahli keluarga, tetapi akan balik semula ke rumah,” katanya yang sebak.

Dalam perkembangan sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, R Bajiyen, berkata pihaknya menerima panggilan jam 10.35 pagi dan bergegas ke lokasi mencari mangsa dengan kerjasama anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Dengan kekuatan 20 anggota unit skuba bomba dan anggota, 16 anggota JPAM dan 16 anggota polis bergabung tenaga menjalankan operasi mencari mangsa yang mengambil masa sejam setengah sebelum ditemui jam 12.30 tengah hari.

“Mangsa dijumpai terapung berdekatan lokasi awal dipercayai tempat mangsa lemas dengan jarak kira-kira 25 meter dan dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepada polis,” katanya ketika ditemui selepas kejadian.

metro/-

Tiada ulasan: