17 Oktober 2011

Himpunan anti murtad: PAS beri sokongan bersyarat...

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PAS Selangor akan hanya menyokong konvensyen Himpunan Sejuta Umat pada 22 Oktober ini jika penganjurannya bertujuan memantapkan akidah umat Islam dan bukannya menimbulkan ketegangan agama di negara ini.

Bercakap pada sidang akhbar hari ini, pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berkata PAS berharap penganjuran himpunan itu tidak dijadikan agenda politik yang bertujuan menyerang kerajaan Pakatan Rakyat.

“Sebarang usaha untuk melaga-lagakan antara penganut-peganut pelbagai agama dengan tidak terdapat sebarang bukti kesalahan yang diputuskan di mahkmah perlu dijauhi.

“Tindakan seperti ini hanya bertujuan untuk menutup masalah yang menimpa umat Islam, di mana akidah mereka dicemari oleh fahaman sekularisme dan sebagainya dan sebaliknya meletakkan kesalahan itu kepada pihak lain,” katanya.

Abdul Rani yang juga ADUN Meru berkata PAS pada dasarnya menyokong usaha memanatpkan akidah umat Islam kerana ia satu-satunya cara membina kekuatan Islam.

Bagaimanapun, pihak penganjur sepatutnya memfokus kepada ancaman sebenar Islam seperti “perkauman, sekularisme dan materialisme” dan membincangkan penyelesaian berhubung ancaman itu.

“Adalah diharap pihak penganjur tidak akan terpengaruh dengan usaha pihak tertentu untuk menimbulkan ketegangan di antara agama di negeri Selangor ini.

“Tindakan sedemikian adalah satu agenda politik dan bertujuan menyerang kerajaan Pakatan Rakyat,” katanya.

Sekumpulan NGO Islam akan menganjurkan sebuah majlis yang dinamakan Himpunan Sejuta pada Sabtu ini dengan tema “Selamatkan Akidah Umat “.

Menurut laman web kumpulan itu, antara objektif himpunan itu adalah “mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan di kalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011.”

Pada 3 Ogos lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat pemeriksaan di premis gereja Methodist di Damansara Utama berikutan terdapat maklumat usaha memurtadkan umat Islam akan dilakukan.

Premis gereja itu digunakan oleh sebuah NGO, Harapan Komuniti bagi majlis makan malam yang turut dihadiri oleh beberapa umat Islam.

Setakat ini, 25 NGO telah mengikrarkan sokongan terhadap Himpunan Sejuta Umat yang dijadualkan di Stadium Shah Alam, termasuk PAS.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: