19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
SEREMBAN: Mayat hampir reput ditemui terapung di permukaan air di sebatang sungai di Jalan Bukit Kadir, Nilai, di sini, awal kelmarin oleh seorang pemancing.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pemancing berusia 30-an itu terperanjat apabila mengetahui objek terapung yang terapung di sungai itu sebenarnya mayat dan terus menghubungi polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, sejurus menerima maklumat itu, beberapa anggota polis bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.
Menurutnya, pihaknya kini sedang menunggu laporan bedah siasat daripada pihak Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) sebelum membuka kertas siasatan. “Saya difahamkan, mayat berkenaan akan dibedah siasat hari ini (semalam) bagi mengetahui punca kematian dan identiti mangsa,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, pihaknya gagal mengenal pasti mayat itu berikutan keadaan fizikal yang reput.
“Tambahan pula, tiada pengenalan diri ditemui dan jantina mangsa juga tidak diketahui,” katanya.
“Setakat ini, kita mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut, Bagaimanapun, kita akan buka kertas siasatan sekiranya laporan hospital menunjukkan ada unsur jenayah terhadap mangsa,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan