17 Oktober 2011

Hudud sebagai pendekatan tangani gejala sosial

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 17 Okt: Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK) merujuk kepada hasrat kerajaan Negeri Kelantan yang ingin melaksanakan sistem berteraskan hudud adalah suatu langkah yang baik.

“Pihak kami mewakili suara pelajar mahasiswa Islam di Kelantan menyambut baik hasrat tersebut,” kata Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Syahiran Muhammad.

Jelasnya, hudud merupakan satu tuntutan syariat dan aqidah bagi umat Islam.

Katanya, perintah perlaksanaan hudud adalah bersifat qati’e atau mutlak iaitu kewajipan yang mesti dilaksanakan yang harus diterima oleh umat Islam negeri ini.

“Pihak kami yakin hudud boleh dilaksanakan di Kelantan atas sebab majoriti masyarakat di negeri ini adalah beragama Islam dan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukuman Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993 hanya tinggal untuk digerakkan sahaja dengan kelulusan kerajaan pusat,” ujarnya.

Beliau mengetuai penyerahan memorandum PPIK yang menyokong hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud kepada Menteri Besar Kelantan yang diwakili Dr Fadzli Hassan, Exco Kerajaan Kelantan, semalam.

Namun demikian, katanya pendidikan serta penerangan mengenai hudud harus dibuat secara kosisten kepada masyarakat terutama kepada yang bukan Islam, agar masyarakat dapat menerima perlaksanaan ini dengan berteraskan ilmiah, bukan sekadar sokongan politik semata-mata.

PPIK, tegasnya mengecam tindakan pihak yang mempolitikkan isu hudud demi kepentingan politik mereka dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menggambarkan hukuman itu zalim dan tidak adil yang turut dimomokkan kepada orang bukan Islam.

Jelasnya, sedangkan perlaksanaan hudud hanya melibatkan orang Islam dan yang bukan Islam boleh diberikan alternatif lain.

Ini, katanya sebagaimana kisah pasangan orang Yahudi yang telah berzina dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda merujuk kepada kitab mereka iaitu Taurat dan didapati dalam itu juga menyatakan hukuman bagi penzina adalah rejam.

“Ini adalah kenyataan atau gambaran perlaksanaan hudud kepada bukan Islam dan pihak kami amat kesal dengan orang Islam yang lebih mementingkan kedudukan politiknya dengan memburuk-burukan agamanya sendiri.

“Pihak kami juga yakin bahawa perlaksanaan hudud ini menjadi satu pendekatan baru dalam menangani kes-kes dan gejala sosial yang berlaku di Kelantan,” katanya.

Ini, ujarnya lagi boleh dijadikan kajian (eksperimen) bagi membuktikan sejauh mana kesan perlaksaan hukuman itu yang akan dirujuk oleh negeri-negeri lain dan seterusnya ke peringkat negara.

“Akhir sekali pihak kami menegaskan bahawa Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK) merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan keIslaman dan pendidikan serta mewakili suara pelajar mahasiswa di Kelantan yang tidak mempunyai pertalian dengan mana-mana parti politik, mendesak agar pihak kerajaan pusat yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agama membenarkan hudud ini dilaksanakan di Negeri Kelantan,” katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: