09 November 2011

Doa elak risau, sedih, lemah, malas, takut, lokek, beban hutang

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Allah humma innii a’uu zubika minal hammi wal hazan, wa a’uu zubika minal ’ajzi wal kasasl,wa a’uu zubika minal jubni wal bukhl, wa a’uu zu bika min ghalabatid daini wa qoh rir rijaal.

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan risau dan sedih, aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat takut dan lokek, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.” (HR Abu Dawud)

tazkirah/-

Utusan rasis, Pakatan iktiraf kakitangan awam

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Pakatan Rakyat menyifatkan laporan akhbar harian Utusan Malaysia kononnya DAP akan mengurangkan saiz perkhidmatan awam yang didominasi orang Melayu sebagai satu lagi usaha jahat dan rasis.

Sebaliknya, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, cadangan untuk mengurangkan saiz perkhidmatan awam tidak terkandung dalam Buku Jingga dan Belanjawan Pakatan Rakyat 2012.

Umno BN dakwanya tidak cuba memahami kenyataan penuh Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua minggu lalu sebaliknya cuba memanipulasi kenyataan tersebut.

"Jelas apa yang dimainkan media Umno BN menjelang pilihan raya umum menjurus ke arah memujudkan kebencian orang Melayu terhadap DAP.

"Sedangkan dalam mana-mana dokumen Pakatan Rakyat tidak pernah sebut mengenai perkara ini," kata Salahuddin pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menafikan tuduhan jahat media milik Umno BN itu, Salahuddin menjelaskan, Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 mengiktiraf peranan utama yang dimainkan pegawai dan kakitangan awam dalam merealisasikan dasar yang ditetapkan.

Namun katanya, pegawai dan kakitangan awam mestilah melaksanakan tanggungjawab berdasarkan piawaian yang diaspirasikan oleh rakyat Malaysia, iaitu mereka perlu bertugas dengan gigih serta berkualiti tinggi, membantu melaksanakan dasar-dasar dengan penuh iltizam serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh peraturan kakitangan perkhidmatan awam.

"Kedudukan 1.2 juta pegawai dan kakitangan awam adalah terjamin seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia di bawab perkara 132: Perkhidmatan-perkhidmatan Awam dan Perkara 135: Sekatan mengenai pembuangan kerja dan penurunan pangkat," jelasnya.

Menyokong penjelasan tersebut, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara tersebut disebutkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Program Transformasi Kerajaan.

"Perkara 266 Fasa 31 ada disebutkan mengurangkan saiz kakitangan awam. Jadi jelas media punya niat jahat sedangkan perkara ini disebut sendiri secara hitam putih oleh Perdana Menteri," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor sambil menunjukkan buku Program Transformasi Kerajaan itu.

Justeru Salahuddin meminta Jabatan Perdana Menteri menerangkan maksud Perdana Menteri untuk mengurangkan saiz kakitangan awam itu.

"Saya minta JPM beri definisi apa maksud mengecilkan saiz kerajaan seperti yang terkandung dalam buku ini. Jangan lari daripada tajuk," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

harakahdaily/-

Hyundai Veloster di Malaysia pada tahun depan

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Model kereta coupe tiga pintu Veloster Hyundai dalam transmisi automatik dan manual bakal berada di pasaran tempatan menjelang suku pertama tahun depan.

Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM), Dennis Ho berkata, pihaknya telah menerima banyak pertanyaan berkenaan Veloster baharu itu daripada para penggemar kereta tempatan dan ia merupakan kereta coupe berevolusi yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Menurutnya, kemunculan model coupe ini menunjukkan komitmen Hyundai dalam memperkenalkan kenderaan premium moden yang memiliki ciri-ciri unik pada harga menarik yang ditawarkan kepada para pelanggan.

“HSDM akan memperkenalkan model coupe tiga pintu ini kepada umum buat pertama kalinya pada 12 dan 13 November ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, Jalan Duta di sini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Namun, Ho menjelaskan, spesifikasi lengkap kereta itu akan diumumkan pada pelancarannya kelak.

Tambah beliau, Veloster menyediakan ruang baharu dalam segmen kenderaan coupe kompak, dengan paparan gaya dan ciri-ciri pintar seperti pintu ketiga selinap yang menonjol dan menarik perhatian.

“Bahagian unik depan model ini boleh dilihat pada gril heksagon Hyundai, perincian hud, kedudukan unik lampu LED yang menjadi pengenalan jenama itu dan bumbung matahari yang panoramik,” katanya.

Ho menambah, Veloster menggabungkan gaya sebuah model coupe dan fungsi yang dimiliki oleh sebuah kenderaan hatchback.

“Profil kereta ini yang rendah dan kontur yang kemas turut mempertingkatkan sifat aerodinamik yang seterusnya menjimatkan penggunaan bahan api.

“Coupe bergaya ini juga dilengkapkan dengan ciri-ciri premium ini didatangkan dengan enjin 1.6L Gamma II yang menghasilkan 132 kuasa kuda dan transmisi enam kelajuan,” jelasnya.

Kosmo

Berlusconi bersetuju untuk berundur

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

ROME: Silvio Berlusconi hari ini berkata beliau akan berundur sebagai Perdana Menteri Itali sebaik saja pembaharuan utama bagi menangani krisis ekonomi diterima bulan ini selepas pakatan yang diterajuinya kehilangan majoriti di Parlimen.

“Selepas menerima pakai kestabilan undang-undang yang mengandungi hak membuat keputusan oleh zon Eropah, saya akan meletak jawatan," katanya kepada rangkaian Canale 5.
Berlusconi berkata, Presiden Itali, Giorgio Napolitano dijangka akan membubarkan Parlimen, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya umum lebih awal.

Perdana Menteri Itali yang mengalami krisis rentetan skandal terhadapnya sepanjang beliau memegang tampuk pemerintahan selama dua dekad kelihatan terperanjat dengan keputusan undi Parlimen dan memaksanya untuk meletak jawatan susulan masalah hutang di negara itu. - AFP

Majlis Korban PAS Bagan Datoh Meriah

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -





BAGAN DATOH, 9 Nov: Pas Kawasan Bagan Datoh sekali lagi pada tahun ini berjaya melaksanakan program bagi memenuhi tuntutan ibadah korban sempena sambutan Aidil Adha di sini kelmarin. Program yang dikelolakan sepenuhnya oleh Majlis Tindakan DUN ( MTD ) Rungkup tersebut, melibatkan 8 ekor lembu dikorbankan dengan penyertaan daripada 49 orang peserta bertempat di perkarangan Markaz Tarbiyyah PAS, Selekoh di sini.

Turur hadir pada majlis korban tersebut, Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Perak merangkap Yang Dipertua PAS Bagan Datoh, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki bersama ahli PAS dan penduduk setempat bergotong - royong menyembelih dan melapah lembu yang dikorbankan pada kali ini.
Menurut Pengarah MTD Rungkup, Ustaz Ahmad Sharkazy Imani berkata penyertaan peserta korban pada kali ini meningkat dan mendapat sambutan sangat memberangsangkan. Katanya lagi ini adalah merupakan perkembangan positif dan baik kerana umat Islam sedar bertapa pentingnya dan mulia ibadah korban yang ikhlas dilaksanakan.


" Pembabitan peserta yang ramai kali ini membuktikan penghayatan ibadah korban yang dituntut Islam di kalangan umat Islam hari ini amat baik," ujarnya lagi juga selaku ketua program korban tersebut.

Pada majlis tersebut juga, Ustaz Misbahul Munir mengambil kesempatan untuk menyembelih beberapa ekor lembu serta turut mengagihkan daging korban tersebut kepada mereka yang terlibat. Semangat gotong - royong di kalangan penduduk setempat turut memeriahkan dan melancarkan lagi majlis korban pada tahun ini.

Pertandingan ‘Selamatkan Perak’ sempena PRU13

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

IPOH, 9 Nov: PAS Negeri Perak akan mengorak langkah dalam persiapan pilihan raya Umum ke 13 dengan memberikan ruang kepada rakyat mengeksprestasikan pandangan dan keprihatinan mereka terhadap suasana politik negeri ini melalui satu pertandingan poster dan montaj bertemakan 'Selamatkan Perak di Pilihanraya Umum ke 13'.

Ketua penerangannya, Ustaz Nuri Al-Amin berkata, penyertaan rakyat Perak khasnya dan seluruh rakyat amnya akan dapat menzahirkan hasrat sebenar rakyat Perak yang disalurkan secara kreatif melalui pertandingan tersebut.

Menurutnya, pertandingan tersebut telah dilanjutkan kepada 30 November ini, sebulan daripada tarikh asalnya kerana atas permintaan ramai dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Pertandingan telah menyediakan saguhati kepada pemenang-pemenang kedua-dua kategori itu nanti.

Hadiah wang tunai bagi kategori poster untuk tempat pertama ialah RM300, kedua (RM200) dan ketiga (RM100).

Manakala dalam kategori montaj video yang tidak lebih lima minit, hadiah untuk tempat pertama ialah RM500, kedua (RM300) dan ketiga (RM200).

PAS Perak mengharapkan penyertaan yang kreatif dari rakyat nanti akan menyemarakkan lagi bahang pilihanraya umum ke 13 nanti dengan bentuk penerangan yang lebih pelbagai dan menarik bagi meneruskan momentum rakyat Perak yang tidak redha dengan tragedi rampasan kuasa oleh BN, katanya.

"Kita berharap agar pertandingan ini akan membuka ruang kepada golongan celik teknologi maklumat (IT) terutama golongan muda yang kreatif untuk menyumbang bagi memastikan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) akan kembali memerintah Perak nanti.

"Sebarang penyertaan boleh diemelkan ke jomselamatkanperak@gmail.com , " katanya lagi.

harakahdaily/-

Semoga PM, isteri berubah selepas dapat haji mabrur

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

PAS mendoakan agar seluruh jemaah haji termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Haji Najib Razak dan isteri, Datin Seri Hajah Rosmah Mansor mendapat haji mabrur, kerana itulah yang menjadi cita-cita setiap orang yang mengerjakan haji.

Haji mabrur yang dijanjikan oleh Rasulullah ialah "haji mabrur tiada balasan lain di sisi Allah, melainkan syurga.”

Inilah cita-cita yang mendorong setiap umat Islam menunaikan haji selain ianya sebagai rukun Islam.

Haji mabrur yang mengubah amalan seseorang dari sebelum mengerjakan haji dan selepasnya, dengan kata lain, mereka yang memperolehi haji mabrur dapat dilihat perubahan amalan sehariannya, daripada yang kurang baik kepada baik dan lebih baik.

Dalam erti kata lain, rakyat menaruh harapan tinggi dan menanti perubahan yang bakal dihayati oleh PM dan isteri dalam melaksanakan amanah memimpin negara ini.

Antara agenda besar yang rakyat ingin lihat hasil daripada mendapat haji mabrur sudah tentulah ialah tindakan susulan PM terhadap banyak penyelewengan samada daripada kroni Umno, serta pelbagai pihak lain yang terlibat yang memperolehi pelbagai projek seperti yang ditegur oleh Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya.

Rakyat benar-benar kecewa setiap tahun bilamana teguran Laporan Audit Negara langsung tidak menjadi bekas bagi kerajaan BN dalam usaha untuk memperbaiki pengurusan kewangan negara.

Kalau tahun lalu, mungkinlah masih tak sedar kerana masa tersebut, PM tak pergi haji lagi.

Namun tahun ini, sudah tentu tidak akan sama, kerana PM yang baru balik haji dengan semangat melontar jumrah sehebat melontar sifat mazmumah dalam diri, sudah pasti akan membawa pelbagai perubahan samada dalaman dan luaran, kerana ia antara tanda-tanda haji mabrur.

Lebih besar dari itu, rakyat yakin PM yang dapat haji mabrur akan hanya mengadakan pilihanraya setelah segala penyelewengan sistem pilihanraya dapat diperbaiki.

Mana mungkin mereka yang dapat haji mabrur sanggup mengadakan pilihanraya dengan penipuan, ketidakadilan dan daftar pemilih yang tidak bersih?

Bahkan, demi membuktikan kesan haji mabrur, PM diyakini akan mencadangkan agar celup jari dilaksanakan dalam PRU akan datang untuk menghalang penyelewengan dalam bentuk undi hantu dan undi berganda. Kesemua ini petanda haji mabrur, selain amalan peribadi yang bertambah baik dengan amalan tahajud, zikrullah dan munajat berterusan.

Begitu jugalah dengan isteri PM, rakyat sudah pasti berharap dapat menyaksikan perubahan besar dari sudut kesederhanaan dalam kehidupan seharian beliau. Diyakini selepas pulang kali ini, diharap beliau tidak terpalit lagi dengan cerita beg tangan berjenama mahal, rantai mutiara, cincin mahal yang menjadi lambang persepsi rakyat terhadap pemborosan beliau, kerana semua ini diyakini akan dapat dikikis dengan haji mabrur.

Yang lebih penting, rakyat sedang menanti dengan penuh debar melihat keterampilan wajah baru isteri PM dengan bertudung sepanjang masa di luar rumah, selaras dengan kesan haji mabrur. Di samping itu, mungkin tiada lagi kedengaran desas desus campurtangan beliau dalam dalam pentadbiran negara.

Perubahan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dilaksana kerana sepanjang berada di Mekah dan Madinah, beliau sentiasa bertudung lingtup menutup aurat semasa menjalankan ibadah haji.

Kalau semua ini berlaku, jangan terkejut kalau ada rakyat yang cukur kepala, bayar nazar atau ada kambing yang kena sembelih sebagai tanda kesyukuran. Namun, jangan sembelih dahulu, sehingga kita dapat lihat tanda-tanda haji mabrur itu berlaku.

Ketua Penerangan PAS Pusat
9 November 2011

Perdana Menteri berlepas pulang dari Arab Saudi

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

JEDDAH 9 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rombongannya berlepas dari Arab Saudi untuk kembali ke tanah air awal hari ini.

Pesawat yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta rombongan itu berlepas dari terminal Royal Pavilion Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di sini kira-kira pukul 1 pagi (6 pagi waktu Malaysia).

Antara yang berada di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan ialah Timbalan Gabenor Wilayah Mekah Dr. Abdulaziz Al Khedheiri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Duta Besar Malaysia di Arab Saudi Prof Datuk Syed Omar Al-Saggaf, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Mohd Khalid Abdul Razak serta beberapa barisan pemimpin Lembaga Tabung Haji.

Najib bersama rombongan beliau, yang antara anggotanya termasuk bondanya, Tun Rahah Mohamad Noah serta adiknya, Datuk Mohamed Nazim dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, tiba di Arab Saudi pada 31 Oktober lepas untuk menunaikan ibadah haji.

Rabu lepas, Najib dan Rosmah sempat meluangkan masa mengunjungi ibu pejabat Tabung Haji di bangunan Hotel Abraj Al Janadiriah di sini, dan beramah mesra dengan para jemaah haji Malaysia yang menginap di hotel berkenaan.

Isnin lepas, Najib bersama pemimpin Islam lain yang berada di tanah suci untuk mengerjakan ibadah haji, diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi Putera Mahkota Naif Abdul Aziz. - Bernama

Asteroid sebesar kapal lintas Bumi

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -



FOTO daripada NASA ini menunjukkan imej asteroid 2005 YU55 yang dirakam pada 7 November lalu.

LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Sebuah asteroid sebesar sebuah kapal induk bergerak menuju ke arah Bumi semalam.

Saintis-saintis Program Objek Dekat Bumi Pentadbiran Aeronautik Kebangsaan (NASA) yang mengesan asteroid dan komet menyatakan bahawa objek tersebut tidak akan menerjah Bumi.

Mereka menggunakan peluang tersebut untuk mempelajari lebih lanjut tentang asteroid berkenaan yang dikenali sebagai 2005 YU55.

Kali terakhir bahan kosmik sebesar ini bergerak menghampiri Bumi ialah pada 1976. Kejadian ini tidak akan berlaku lagi hingga tahun 2028.

Sejak minggu lalu, rangkaian antena balai cerap Deep Space Network di California telah memantau pergerakan asteroid selebar 0.4 kilometer itu ketika ia semakin menghampiri Bumi dari arah matahari.

Balai Cerap Arecibo di Puerto Rico pula merancang merakam asteroid berkenaan ketika ia melintasi Bumi pada jarak 325,072 kilometer (km) semalam iaitu lebih dekat daripada jarak Bumi dengan bulan.

Bulan berada pada jarak 384,400 km dari Bumi. - Agensi

Doa Elak Musibah

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Dari Aban bin Osman, bahwa Nabi saw. bersabda: “Sesiapa membaca ‘BISMILLAAHIL LAZII LAA YADURRU MA’AS MIHI SYAI’UN FIL ARDI WALA FIS SAMAA’ WAHUWAS SAMII’UL ‘ALIIM’ (dengan nama Allah, dengan nama-Nya tidak akan berbahaya sesuatu yang ada di bumi mau pun yang ada di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali,

maka dia tidak akan ditimpa musibah hingga malam hari, dan sesiapa membacanya di waktu malam maka tidak akan ditimpa musibah hingga pagi hari, dengan izin Allah.” (HR Ahmad no 497)

Satu ketika Aban bin Osman telah ditimpa musibah mendadak di mana dia telah ditimpa penyakit lumpuh. Sahabat hairan mengapa Aban boleh mengalami musibah mendadak, padahal dia yang telah meriwayatkan hadis doa menolak musibah. Maka Aban bin Usman dengan jujur mengakui bahwa pada hari itu dia telah terlupa membaca doa tersebut.

Subhanallah.

tazkirah/-

Mana peruntukan RM426.5 juta parlimen Pakatan?

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, PAS hari ini mahu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan kenapa dana RM426.5 juta yang diperuntukan kepada semua kawasan parlimen, tidak diberikan kepada parlimen Pakatan Rakyat.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub pada sidang media di parlimen hari ini mempersoal, ke mana sebenarnya wang itu disalurkan kerana semua ahli parlimen pakatan rakyat tidak diberikan wang tersebut.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, jawapan bertulis perdana menteri terhadap soal beliau di parlimen hari ini menyatakan setakat 26 September 2011, dana tambahan sebanyak RM426.5 juta diperuntukan kepada semua kawasan parlimen untuk melaksanakan projek melibatkan kepentingan rakyat.

“Malangnya, peruntukan untuk kawasan parlimen pembangkang tiada kerana sehingga kini kami tidak menerima satu sen pun dari dana tambahan itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Salahuddin, ini bukan kali pertama kerajaan Umno BN menafikan hak kawasan pembangkang mendapat peruntukan dan sudah diamal sejak puluhan tahun lalu.

“Secara matematiknya, setiap satu kawasan Parimen BN, mereka mendapat peruntukan sebanyak RM3.025 juta.

“Malangnya, Ahli Parlimen pembangkang dinafikan hak walaupun kami merupakan ahli parlimen yang sah dipilih oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, Pakatan Rakyat memberi jaminan setiap Parlimen akan menerima hak mereka jika gabungan itu diberi mandat sebagai kerajaan selepas pilihan raya akan datang.

Ini kerana setiap wang itu merupakan wang pembayar cukai dan mereka berhak mendapatnya melalui peruntukan kepada setiap ahli Parlimen yang mereka pilih dalam mana-mana pilihan raya.

harakahdaily/-

20 Penjenayah Rompak Enam Sekeluarga Sedang Tonton TV

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Hutan Melintang – Enam sekeluarga yang leka menonton televisyen dengan pintu rumah terbuka dikejutkan dengan kehadiran kira-kira 20 tetamu tidak diundang merompak rumah mereka di Ladang Alfa Bernam dekat sini kelmarin.

Gambar: Letchumanan yang cedera dirompak ketika menonton televisyen di rumahnya di Ladang Alfa Bernam, Hutan Melintang malam kelmarin.

Semasa kejadian pada pukul 11 malam, M. Letchumanan, 56, cedera parah ditetak di kepala dan dada oleh kumpulan penyamun yang turut disertai empat wanita.

Letchumanan memberitahu, dia, isteri dan empat anaknya tergamam melihat kehadiran penjenayah itu yang masing-masing bertopeng dan bersenjatakan parang atau besi mengepung mereka di ruang tamu rumah.

Penjenayah yang kelihatan bengis itu kemudian mengarahkan dia sekeluarga supaya diam dan mengikut arahan mereka.

“Ketika itu, penjenayah itu menggeledah seluruh rumah kami dan melarikan wang tunai berjumlah RM5,000, barangan kemas dianggarkan bernilai RM5,000 dan beberapa telefon bimbit,” kata Letchumanan ketika ditemui Kosmo! di Hospital Teluk Intan (HTI) di sini semalam.

Sebelum kumpulan penjenayah itu beredar, mangsa memberitahu, dia yang geram melihat rumahnya digeledah cuba melawan menyebabkan berlaku pergelutan antara dia dengan seorang penjenayah itu.

Namun dalam pergelutan itu, Letchumanan cedera parah akibat ditetak dengan parang di kepala dan dada.

Tiga anaknya juga cedera ringan terkena libasan parang penjenayah terbabit ketika cuba menyelamatkannya.

Letchumanan dikejarkan ke HTI sebelum kejadian itu dilaporkan di Balai Polis Hutan Melintang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, setakat ini empat wanita berusia lingkungan 26 hingga 57 tahun telah ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Menurut beliau, baki 16 lagi suspek sedang diburu dan kes tersebut diyakini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat. -kosmo

Sumber haram halang haji mabrur

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Jemaah haji sedang menyelesaikan ibadat haji mereka. Hampir 3 juta umat Islam setiap tahun menunaikan ibadat haji. Usai kerja haji mereka dan pulang ke tanahair, diucapkan kepada mereka: ‘Moga haji anda mabrur.’ Doa itu baik. Sebagaimana doa yang diucap di waktu yang lain ‘Taqabbalallahu minkum‘ (Moga Allah terima amalan kamu).

Tapi adakah haji dan amalan itu sebenar-benarnya diterima Allah? Terima tak terima hanya diketahui oleh Allah dan Dia membalasnya. Tapi tanda terima itu ada. Solat yang sebenar boleh mencegah perkara keji dan munkar. Puasa yang sebenar boleh menghasilkan taqwa. Haji yang BERSIH boleh menjadi mabrur.

Di antara tanda haji mabrur, ia berubah menjadi lebih baik. Dari tak menutup aurat kepada menutup aurat. Dari menentang perjuangan Islam kepada menyokong perjuangan Islam. Dari menggunakan seni untuk fasiq kepada menggunakan seni sebagai wasilah dakwah. Dari sekat royalti kepada beri royalti. Dari boros kepada jimat. Dari beramal dengan rasuah kepada membanteras rasuah. Pendekata dari segala sifat mazmumah kepada sifat mahmudah. Dari jiwa yang kotor kepada jiwa yang BERSIH.

Apakah perkara yang menghalang mabrurnya haji? Dalam hadis, Nabi menyebutkan tentang perkara fasiq dan berbalah yang menghalang mabrurnya haji. Dalam hadis lain, Nabi menyebutkan tentang seorang yang punca rezekinya dari perkara haram sehingga doanya tidak diterima. Bukankah dalam ibadat haji penuh dengan doa? Mulai doa musafir ke Mekah hingga doa kembali dari musafir. Buku doa Tabung Haji pun tak lekang dari tangan.

Sumber pendapatan yang haram juga boleh menghalang dari mabrurnya haji. Rasuah, tipu angka, tipu orang, tipu rakyat, rompak harta awam (syarikat, agensi, negara), samun harta jemaah haji secara terhormat (contohnya BEDAL haji bukannya BADAL haji), hasil dari judi, Toto, 4D, rezeki dari riba, hasil seni yang haram dan pelbagai sumber yang kemudiannya digunakan untuk ke tanah suci menghalang mabrurnya haji.

Haji mabrur besar pahalanya.Pahala yang besar tidak diberikan melainkan kepada mereka yang layak menerimanya. Mereka yang layak menerimanya tentunya mereka yang bersedia tunduk kepada Allah, bukan sahaja di hadapan Kaabah tetapi dalam setiap aspek kehidupan seperti yang ditunjukkkan oleh Nabi Ibrahim.

Pergi ke tanah suci, belum bererti jiwa suci. Menuju ke tanah suci, belum bererti sumber rezeki menujunya suci. Selesai menunaikan haji dan mendapat title haji, tidak bermakna mabrurnya haji. Kalau nak tengok hajinya mabrur, tengok sikap si HAJI/ HAJJAH itu, makin baik dan berubahkah ia sekembalinya dari Mekah?

Kemaman, Terengganu

Anwar: Bajet Wang Luar Jangka RM1.4 bilion lesap

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Pakatan Rakyat hari ini mendakwa kira-kira RM1.4 bilion daripada Bajet Wang Luar Jangka atau peruntukan kecemasan Perbendaharaan Negara telah lesap.

Dana itu dbekalkan mengikut Perkara 103 Perlembagaan Persekutuan, bagi peruntukan tambahan RM1.5 bilion, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, peruntukan itu dinyatakan dalam Laporan Perbelanjaan Persekutuan 2010/2011 yang dibentangkan bersama-sama dengan Bajet 2012.

Perkara 103 menyatakan: "Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi mewujudkan suatu Kumpulan Wang Luar Jangka dan memberi kuasa Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi kewangan,

jika berpuas hati bahawa telah timbul keperluan perbelanjaan yang mendesak dan di luar jangkaan yang baginya tiada peruntukan lain wujud, untuk membuat pendahuluan daripada Kumpulan Wang Luar Jangka itu untuk memenuhi keperluan itu.

“Jika apa-apa pendahuluan dibuat mengikut Fasal (1), suatu anggaran tambahan hendaklah dikemukakan dan suatu Rang Undang-Undang Perbekalan dibawa dengan seberapa segera yang mungkin bagi maksud menggantikan amaun yang didahulukan itu.”

Anwar pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini berkata: "Walau bagaimanapun, Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan bahawa hanya terdapat baki RM79.147 juta daripada dana negara itu.

"Ke mana perginya wang itu? Lebih serius lagi, di mana RM1.4 bilion telah lesap? Saya tidak fikir Jabatan Audit (membuat kesilapan), mereka lebih teliti apabila membabitkan perakaunan."

Bagi Anwar, kelewatan 17 hari Laporan Ketua Audit Negara, tahun ini dibentangkan mungkin ada kaitan dengan perkara berkenaan.

malaysiakini/-

Wang RM316,000 dalam ATM lesap

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Mesin ATM (dalam bulatan) yang hilang dari sebuah bank di Taman Midah, Cheras semalam.

CHERAS – Tindakan tekad sekumpulan penjenayah melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berbaloi apabila mereka berjaya memecah mesin ATM itu dan melarikan kesemua wang berjumlah RM316,000 dari dalam mesin yang disamun di sebuah bank di Taman Midah di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi, kumpulan yang dipercayai terdiri daripada enam lelaki berusia 30-an bertindak nekad dengan menarik serta menyeret sebuah daripada lapan buah mesin ATM yang berada di bank itu.

Win Movie Tickets now! Just click and answer an Easy Survey.

Penjenayah tidak bertopeng itu menyasarkan mesin ATM yang terletak berhadapan dengan pintu cermin bagi memudahkan mereka menarik keluar mesin tersebut.
Semasa kejadian, bank tersebut tiada pengawal keselamatan.

Suspek-suspek yang mengambil masa kurang 10 minit untuk merompak itu dipercayai menggunakan lori atau kenderaan pacuan empat roda bagi menarik keluar mesin itu.
Selepas lapan jam kejadian itu, mesin ATM tersebut ditemui di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Taman Pinggiran Hulu Klang, Ampang Jaya dekat sini.

Jarak antara mesin ATM itu disamun dan ditemui semula kira-kira 15 kilometer.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, kecurian mesin ATM itu disedari oleh polis yang melakukan rondaan di Taman Midah sebelum ternampak pintu kaca di bank itu pecah.

“Pemeriksaan mendapati sebuah mesin ATM yang terletak di tengah-tengah daripada lapan mesin hilang,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, siasatan mengesyaki lima hingga enam suspek melarikan mesin tersebut dengan menarik dan mengheret berkemungkinan menggunakan lori atau kenderaan pacuan empat roda.

Mohan memberitahu, mesin itu ditemui semula pada pukul 11 pagi apabila polis menerima maklumat orang awam yang hairan melihat mesin itu di tepi jalan di MRR2.
Bagaimanapun, kata beliau, pemeriksaan terhadap mesin ATM tersebut mendapati kesemua wang berjumlah RM316,000 lesap.

“Polis sedang menyiasat bagaimana mesin itu mampu dipecah sehingga wang boleh diambil,” kata beliau dengan memberitahu semasa kejadian alat penggera di bank itu tidak berbunyi.

Tambah Mohan, kejadian melarikan mesin ATM di bank di situ merupakan yang pertama.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi talian 03-9284 0083 atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Norliza Murad di talian 012-5413005 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Pada 22 Jun 2008, seorang lelaki berjaya melarikan mesin ATM di sebuah stesen minyak di Batu 6 1/2, Jalan Klang Lama-Puchong di sini.

Dalam kejadian pukul 5.30 pagi itu, suspek merempuh cermin hadapan stesen minyak sebelum ‘menyodok’ dan menarik keluar mesin ATM berkenaan menggunakan jengkaut.
Bagaimanapun, polis tidak dapat menentukan nilai wang yang ada dalam mesin ATM yang dilarikan malah mesin itu juga belum ditemui.

Kosmo