17 November 2011

Biskut beras terbesar di dunia

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BEBERAPA ahli Jawatankuasa Biskut Beras Terbesar Dunia bergambar dekat biskut beras terbesar di dunia di wilayah Chiba, Tokyo semalam.

TOKYO - Sekumpulan peminat snek di Jepun semalam mendakwa mereka mencatat rekod untuk biskut beras terbesar di dunia.

Memiliki diameter 160 sentimeter, biskut itu jauh lebih besar daripada biskut beras biasa yang dikenali sebagai senbei.

Senbei yang diperbuat daripada tepung beras, dimakan dengan meluas di Jepun.

Michihiro Yamaguchi yang merupakan seorang ahli Jawatankuasa Biskut Beras Terbesar Dunia di bandar Kioroshi, timur Tokyo menganggap ia adalah detik kejayaan buat mereka.

"Kami berjaya melakukannya. Inilah dendam yang amat manis," katanya selepas gagal dalam percubaan untuk berada dalam buku rekod dunia pada bulan lalu selepas biskut yang dihasilkan itu kurang tiga sentimeter daripada sasaran mereka. - AFP

Harimau jarang dilihat ditemui di Indonesia

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SEBUAH kamera tersembunyi merakamkan gambar seekor harimau batu di Bukit Tigapuluh, Sumatera pada 18 Mac lalu. - Reuters

JAKARTA - Kumpulan pemuliharaan Dana Hidupan Sedunia (WWF) semalam mendesak pemerintah Indonesia memulihara hutannya selepas gambar-gambar menunjukkan beberapa ekor harimau yang jarang dilihat berada di sebuah kawasan pembalakan.

Menurut WWF, gambar itu menunjukkan harimau Sumatera, harimau emas, harimau bintang, harimau akar dan harimau batu berkeliaran di sebuah kawasan hutan yang tidak dilindungi.

Ia menyatakan, harimau tersebut ditemui berada di antara Taman Negara Bukit Tigapuluh, Sumatera dan sebuah kawasan pemuliharaan haiwan liar.

Lebih tiga bulan dalam tahun ini, kamera WWF merakamkan 404 gambar harimau liar termasuk 226 ekor harimau Sumatera, 77 ekor harimau akar, 70 ekor harimau emas, empat harimau batu dan 27 harimau bintang. - AFP

Bekas Presiden Filipina dilarang berubat ke luar negara

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KERAJAAN Filipina mencabar sebuah Mahkamah Agong kerana membenarkan mantan presiden negara tersebut, Gloria Macapagal Arroyo untuk berlepas keluar negara bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Arroyo, 64 mendakwa dirinya menghidap penyakit tulang namun dihalang daripada meninggalkan negara lantaran tuduhan rasuah yang sedang dihadapinya.

Pihak berkuasa hari ini telah menghalang cubaan bekas presiden negara tersebut untuk berlepas keluar negara bersama suaminya dari lapangan terbang Manila.

Bagaimanapun, Mahkamah Agong telah mengeluarkan keputusan bahawa pengharaman itu adalah bercanggah dengan perlembagaan.

ARROYO dilihat menutup mukanya bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa

Arroyo kini menghadapi tuduhan-tuduhan rasuah yang sedang dibicarakan di mahkamah. Kerajaan semasa Filipina bimbang Arroyo akan menghilangkan diri jika dibenarkan berlepas keluar negara.

Jurucakap presiden, Edwin Lacierda berkata Arroyo yang sedang disiasat berhubung dakwaan rasuah dan penipuan pilihanraya akan dilayan dengan cara bermaruah.

"Namun kami akan tegas dengan keputusan untuk tidak membenarkan beliau meninggalkan negara" ujarnya tegas.

Lacierda berkata "ini semua hanyalah sandiwara, mereka hanya mahu mendapatkan simpati orang ramai".
Sumber: [Free Malays]

Bayar sarapan guna wang palsu

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

PERBANDINGAN wang RM10 palsu (atas) dan tulen (bawah) yang diterima oleh Zamri daripada satu pasangan di Kuantan, Pahang semalam.

KUANTAN – Seorang peniaga mendakwa dia menjadi mangsa penipuan kepada satu pasangan yang menaiki sebuah kereta mewah jenis Mitsubishi Lancer apabila menerima wang palsu RM10 ketika sedang sibuk melayan pelanggan yang datang ke kedainya di Kubang Buaya di sini semalam.

Zamri Kamal, 41, mendakwa, ketika kejadian pukul 8.30 pagi itu, dia tidak sempat untuk meneliti wang tersebut kerana pasangan yang berpenampilan kemas terbabit bertindak meninggalkan wang tersebut di atas meja kaunter bayaran dan terus meminta baki RM5.

Katanya, ketika itu, dia dan isteri sibuk melayan pelanggan dan hanya menyedari selepas kedainya agak lengang kira-kira setengah jam kemudian.

“Ketika kedai kami diserbu pelanggan, pasangan itu mengambil kesempatan untuk membayar harga makanan yang dimakan iaitu teh tarik, kuih dan nasi lemak. Kesemuanya bernilai RM5.

“Selepas mendapat baki, mereka yang menaiki kereta warna merah terus menuju ke arah Alor Akar di sini. Ketika itu, saya tidak mengesyaki apa-apa,” ceritanya yang telah lapan tahun berniaga.

kosmo/-

8 orang masuk hospital akibat minum susu 1Malaysia..

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

24 orang pelajar di Kuala Nerang, Kedah telah mengalami masalah setelah minum Susu 1Malaysia.

Daripada jumlah itu, katanya, 8 orang telah mengalami masalah serius sehingga terpaksa dimasukkan ke wad di Hospital Kuala Nerang.

"Saya difahamkan, Susu 1Malaysia itu diberikan kepada semua pelajar di seluruh negara. Diharap pihak kementerian menarik balik bekalan Susu 1Malaysia di sekolah-sekolah kerana ia tak baik kepada kesihatan," kata Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria- sumber cerita

Ini pula kisah SOS Cili 1 Malaysia

Standard users: Hentikan jualan sos cili 1Malaysia

Ujian makmal ke atas sos cili yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) mendapati tahap raksa dan plumbum melebihi paras yang dibenarkan dalam Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Dalam laporan draf penyelidikan perbandingan produk yang diperolehi oleh Malaysiakini, Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users) mendapati 3.64ppm plumbum dan 0.08ppm raksa atau merkuri dalam sos cili 1Malaysia.

Sedangkan, tahap yang dibenarkan untuk sos cili adalah 2ppm bagi plumbun manakala 0.05ppm untuk raksa.

Laporan itu membandingkan sos cili jenama 1Malaysia dengan tiga jenama lain, iaitu Tesco Value, Life dan Lingham. Semua jenama berkenaan didapati mematuhi had yang ditetapkan, malah kadar mereka juga jauh lebih rendah daripada yang dibenarkan oleh undang-undang.

Ujian bagi produk berkenaan dijalankan oleh Unipeq Sdn Bhd, sebuah syarikat yang ditauliahkan di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) oleh Jabatan Standard Malaysia.

Ketika dihubungi, ketua pegawai eksekutif, Standard Users, DN Ratna berkata, organisasinya telah menjalankan penyelidikan seumpama itu selama lebih tiga tahun dan memutuskan untuk memasukkan produk 1Malaysia dalam kajian kerana pengguna sedang digalakkan membeli produk itu.

Katanya, sampel sos cili berkenaan diperolehi dari kedai-kedai runcit dan pasar raya besar di sekitar Lembah Klang antara bulan Ogos dan September lalu.

Mengulas keputusan kajian itu, Ratna menggesa Kementerian Kesihatan untuk segera menghentikan jualan sos cili 1Malaysia.

"Kesan logam berat itu boleh menyebabkan keracunan. Jika seseorang menggunakan jenama itu bagi jangkamasa yang lama, logam itu akan terkumpul di rambut, tisu dan bahagian-bahagian badan yang lain ... Jika mereka orang yang terdedah itu tidak sihat, maka kesannya lebih cepat dan nyata.

"Ini berkaitan logam berat, mereka (Kementerian Kesihatan) sepatutnya tidak membenarkan jualan produk itu sehingga mereka sahkannya dengan ujian sendiri dan mengambil tindakan lanjut," katanya.

Menurut laporan itu, raksa yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem saraf pusat tunjang serta sistem endokrin, yang berpotensi membawa kepada kerosakan buah pinggang.

Sumber - Malaysiakini

32 pensyarah IAB dikesan jadi alat Umno BN

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Seramai 32 orang pensyarah Institut Aminuddin Baki (IAB) yang bertugas di Kelantan dikesan menjalankan kegiatan menyalahi peraturan dengan berkempen bagi pihak Umno BN.

Dalam siri-siri kempen yang diatur, mereka sering memburukkan PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat bagi mempengaruhi orang ramai supaya membenci kedua-dua parti itu.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Husain berkata, pensyarah-pensyarah terbabit ternyata menjadi alat Umno BN, manakala penempatan mereka di negeri itu memimbulkan tanda tanya kepada pelbagai pihak.

Menurutnya, sehingga kini Institut Aminuddin Baki masih belum dibina di Kelantan dan keadaan itu pasti merumitkan pensyarah-pensyarah terbabit melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

Katanya, disebabkan keadaan itu, pensyarah-pensyarah tersebut sehingga kini terpaksa di tempatkan mengajar di beberapa buah sekolah di negeri itu.

"Jadi saya ingin bertanya kepada pihak Kementerian Pelajaran, billakah Institut Aminuiddin Baki akan dibina di Kelantan?" katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Sekiranya institut tersebut akan dibina di Kelantan, beliau ingin tahu, bilakah pembinaannya akan siap sepenuhnya untuk membolehkannya digunakan dengan baik.

Langkah mendirikan institut tersebut di Kelantan, tegas beliau, tidak seharusnya dilengah-lengahkan oleh pihak Kementerian Pelajaran bagi membolehkan pensyarah-pensyarah terbabit melaksanakan tugasnya di institut itu sendiri.

Sebelum itu, beliau menyuarakan kekesalannya kerana pihak kementerian itu masih lagi belum memberikan sebarang perkapita kepada sekolah-sekolah agama di negeri itu.

Katanya, sekolah-sekolah agama yang masih diabaikan bantuan perkapita itu termasuk sekolah-sekolah Arab yang terdapat di Kelantan.

"Saya harap perkara ini diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kementerian bagi kepentingan sekolah-sekolah agama," katanya.

Beliau turut menyarankan pihak kementerian mengambil langkah menyelaraskan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan Sijil Tinggi Persekolan Malaysia (STPM).

harakahdaily/-

Mahasiswa UPSI berdemo lagi, tuntut jaminan posting

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam sekali lagi mengadakan piket aman menuntut isu 'posting' diselesai segera oleh pihak pentadbiran universiti tersebut.

Piket yang dinamakan 'Posting 2.0' merupakan rentetan daripada isu penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan keluaran universiti awam yang melanda mahasiswa.

Bercakap kepada Harakahdaily, Setiausaha Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Siti Nurul Piteriah Ab Halim menjelaskan, sehingga hari ini belum ada kenyataan konkrit dari pihak bertanggungjawab bagi menyelesaikan permasalahan mahasiswa pendidikan tersebut.

"Wakil mahasiswa telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pelajaran (Datuk Dr Wee Ka Siong) bagi mengetahui kedudukan sebenar serta maklum balas dari pihak kementerian namun sehingga kini kita tidak tahu kedudukan sebenar mahasiswa selepas mereka tamat pengajian di sini," jelasnya sambil menambah pertemuan tersebut dibuat pada 19 November lalu di parlimen.

Tambah Nurul Piteriah lagi Piket Posting 2.0 itu bermula pada jam 1.00 petang, di mana sekumpulan mahasiswa seramai 70 orang telah berarak dari Sudut Pidato ke bangunan Canselori untuk bertemu dengan pengurusan tertinggi univesiti.

"Mereka akhirnya disambut oleh Naib Canselor UPSI, Professor Zakaria Kasa di pejabat beliaunya. Pertemuan antara perwakilan Pro-Mahasiswa UPSI (Legasi Mahasiswa Progresif dan Mahasiswa Pendidik) dilaporkan berlangsung secara sihat dengan pihak universiti yang akhirnya akur dengan tuntutan mahasiswa dan berjanji akan menyelesaikan kemelut ini.

"Pihak universiti juga dikatakan telah menghantar nama-nama graduan yang belum mendapat penempatan untuk diuruskan oleh pihak berwajib," sambungnya.

Beliau memberitahu sebelum ini, mahasiswa tidak berpuas hati dengan sikap universiti yang tidak memberi sebarang maklum balas terhadap tujuh tuntutan yang diserahkan kepada pihak pentadbir universiti sebelum ini.

Tambahnya, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi (TNCP&I), Dr. Noraini yang menerima tuntutan tersebut sebelum ini telah berjanji akan menyelesaikan isu tersebut tetapi tiada penyelesaian sehinggalah pertemuan pada hari ini.

Sementara itu Koordinator Mahasiswa Pendidik, Mohd Zahar bin Mat Noor memberitahu piket ini bukan mahu buat kacau tetapi cuma mahu penjelasan dari Menteri supaya keresahan dan kepincangan dalam kalangan Graduan ISMP dapat diredakan dan pelajar-pelajar lain dapat meneruskan pelajaran dengan tenang.

Piket tersebut menyaksikan Bangunan Bitarasiswa sekali lagi menjadi medan bagi mahasiswa berhimpun.

Pada 2 November lalu, seramai 5,000 mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan universiti itu telah berhimpun menuntut Kementerian Pelajaran memberi jaminan penempatan sekolah kepada mereka sama seperti Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

harakahdaily/-

HUKUM ISLAM UNTUK KAWAL KADAR ANAK LUAR NIKAH

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) merasa bimbang dengan kadar kelahiran anak luar nikah di negara ini dari tahun 2008 hingga 2010, iaitu seramai 152,182 berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). DPPWP melihat jumlah ini sangat besar dan memalukan bagi sebuah negara umat Islam seperti Malaysia. DPPWP merasa khuatir dengan trend ini kerana ia menunjukkan tahap sosial, zina, serta pergaulan bebas generasi muda di negara ini sangat tidak terkawal.

DPPWP berpandangan lambakan pusat-pusat hiburan yang disogokkan kepada generasi muda di negara ini secara keterlaluan menjadi punca utama kelahiran anak luar nikah. Kebanyakan negeri yang mempunyai rekod kelahiran anak luar nikah tertinggi mempunyai bandar-bandar besar yang menawarkan pelbagai pusat hiburan, kelab-kelab malam, konsert, pesta, serta sambutan sempena peristiwa besar negara. Pusat hiburan adalah pusat segala maksiat yang disinilah berlakunya pergaulan bebas, arak, zina, pelacuran, bahkan dadah dan segala macam jenayah. Yang lebih dikesalkan adalah pusat-pusat hiburan semakin banyak bercambah, malah diberikan permit untuk beroperasi.

Selain itu, DPPWP juga kesal kerana budaya hiburan melampau melalui televisyen mudah mendapat tempat. Akhir-akhir ini pula, semakin galak pula artis-artis yang berpakaian mengghairahkan diberikan liputan media dalam media utama negara. Bahan berita mereka dengan aksi yang mendebarkan menjadi isu utama dalam media yang dibaca dan ditonton oleh jutaan anak-anak muda di negara ini.

DPPWP melihat sekiranya kerajaan serius mahu membendung gejala anak luar nikah, pusat-pusat hiburan perlu ditutup sama sekali. Alasan bahawa pusat hiburan menjadi tarikan pelancongan tidak berbangkit kerana pusat hiburan tidak menguntungkan rakyat. DPPWP yakin setiap agama dan adat resam inginkan yang terbaik untuk penganut mereka, justeru tidak salah jika pusat hiburan ditutup demi kebaikan semua pihak.

DPPWP juga mendesak agar konsert-konsert hiburan dikawal ketat agar tidak sewenang-wenangnya ia dibuat. Mana-mana artis yang berpakaian menjolok mata perlu diharamkan, sementara penonton pula diasingkan antara lelaki dan perempuan. Perlu ada garis panduan terhadap persembahan yang akan dibuat agar mematuhi budaya dan akhlak masyarakat di negara ini.

Akhir sekali, DPPWP menegaskan jika kerajaan benar-benar serius mahu menjadikan masyarakat di Malaysia jauh daripada gejala sosial, maka laksanakan Hukum Islam yang sebenar kerana ia adalah pencegahan paling utama. Cubalah buat perbandingan antara tahun-tahun yang tidak dilaksanakan hukum Islam dengan tahun-tahun yang ia dilaksanakan untuk tahu keberkesannnya hukum Allah ini.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua
Dewan pemuda PASWilayah Persekutuan

Tangkapan terbaru ISA, GMI selar Najib

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Penangkapan terbaru membabitkan sekurang-kurangnya 10 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah Isnin lalu membuktikan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya 'sandiwara'.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ianya secara jelas menunjukkan bahawa Najib sememangnya tidak ikhlas dengan pengumumannya sebelum ini untuk memansuhkan ISA.

"Penahanan terbaru ini menjadi satu singgungan yang kuat kepada rakyat.

"Ia tak memberi apa-apa makna kepada janji perdana menteri untuk memansuhkan ISA melainkan hanya sandiwara untuk mendapat sokongan rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas maklumat terbaru berhubung penahanan 10 aktivis Islam di bawah akta itu di Sabah, 14 November lalu.

Semalam, Pesuruhjayanya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman Omar.

Menurutnya, keluarga atau waris yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian bahawa mereka ditangkap di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA).

Menurut Syed Ibrahim, GMI bagaimanapun mendapat maklumat sekurang-kurangnya 11 hingga 14 orang yang ditangkap dalam operasi hari tersebut.

"(Dengan pengumuman Najib) Kita jangka tak ada lagi tangkapan besar-besaran seperti apa berlaku ini.

"Tapi malangnya kita lihat tindakan tidak menyokong janji yang dibuat," jelasnya sambil mendakwa akan mengeluarkan kenyataan rasmi GMI hari ini.

Sementara itu, GMI menurutnya akan mendapatkan maklumat lanjut dari waris mangsa tahanan untuk membuat tidakan susulan.

Beliau menyeru pihak keluarga terutamanya dan PAS Sabah memberi kerjasama untuk tujuan tersebut.

"Ramai yang ingat (selepas pengumuman Najib), tidak ada lagi mangsa yang ditahan, dan tiadak ada lagi yang akan ditahan.

"Sebenarnya masih ada yang belum dibebaskan dan masih berlaku tangkapan-tangkapan baru," jelasnya.

harakahdaily/-

Wakil Rakyat Sarawak Kurang Bersuara Dalam Parlimen

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -


Mengapa Ahli Parlimen (AP) Sarawak kurang bersuara dalam sidang parlimen terutama sekali AP dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang banyak menyumbang kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat. Jarang sekali kita mendengar suara AP dari Sarawak selain Tiong dari Bintulu yang banyak bercakap. Sepatutnya AP dari PBB yang perlu tampil ke depan untuk menyuarakan masalah kaum bumiputera dan rakyat Sarawak yang masih jauh ketinggalan dari segi infrastruktur dan kemudahan asas lebih-lebih lagi yang tinggal di kawasan luar Bandar.

Pandangan dari penduduk Sarawak antara lain katanya “ semasa perbahasan di Parlimen AP dari Sarawak semuanya tidur langsung tidak ada berucap maupun berdebat macam AP dari negeri-negeri lain macam AP dari sabah, bhg Kinabatangan yang lantang bersuara tetapi dari Sarawak semuanya lesu. Apa sik pandai bersuarakah atau sik mampu berucap baik beri orang lain ajak.Coba bawah ketengah sedikit masalah masalah di Sarawak di parlimen.”

Sepatutnya mereka yang dipilih sebagai wakil rakyat dan dilantik sebagai AP menyuarakan masalah rakyat di parlimen bukan sekadar duduk dan mengambil elaun saja. Perkara ini sudah lama kita perhatikan mengapa mereka kurang bersemangat untuk bersuara seolah-olah tiada masalah yang berlaku dalam Sarawak. Semua kita tahu bahwa Sarawak adalah antara yang termiskin dalam Malaysia dan masih jauh ketinggalan dari Semenanjung Malaysia sedangkan banyak sumber hasil datang dari Sarawak.

Sepatutnya inilah masanya suara AP dari Sarawak dan Sabah menuntut hak mereka seperti royalty minyak, masalah penggangguran anak tempatan, masalah perumahan yang semakin mahal untuk dibeli, masalah tanah rakyat yang kena rampas untuk kepentingan pihak tertentu dan sebagainya agar dapat di beri perhatian oleh kerajaan Pusat. BN Sarawak telah memberi sumbangan kerusi parlimen terbanyak untuk mengekalkan kuasa kerajaan BN di peringkat pusat maka mereka juga perlu berani tampil ke depan bukan hanya mendiam diri tanpa bersuara untuk kepentingan rakyat Sarawak.

Kita mendesak agar AP atau wakil-wakil rakyat dari Sarawak harus berani bersuara dalam parlimen dan jangan hanya membaca skrip dan mengikut telunjuk pihak yang mempunyai kepentingan atau hanya untuk kepentingan parti mereka saja tetapi suara rakyat langsung tidak diambil kira. Kita harap AP dari Sarawak jangan cepat melenting apabila rakyat menegur sikap AP Sarawak yang kurang bersemangat untuk menyuarakan masalah mereka di peringkat pusat (Parliament). Semua ini untuk kepentingan dan masa depan rakyat Sarawak agar terus maju dan bangun bersama arus pembangunan yang semakin pesat.

Jangan biarkan rakyat Sarawak menumpang di tanah sendiri dan tanah rakyat jadi mangsa arus pembangunan yang hanya mementingkan kepentingan pihak tertentu saja. Jangan biarkan rakyat terus hidup dalam keadaan daif dan menderita akibat arus pembangunan yang tidak seimbang dimana yang kaya bertambah kaya dan yang miskin terus hidup menderita.

Kalau sudah terpilih menjadi wakil rakyat sepatutnya bekerja untuk rakyat bukan untuk kepentingan diri sendiri, kalau sudah rasa susah sangat hendak berkhidmat untuk rakyat lebih baik jadi perniaga sepenuh masa dari membazir wang rakyat. Rakyat memilih wakil rakyat untuk menyuarakan masalah rakyat bukan sebaliknya. Jadi kita minta mereka yang bercita-cita hendak jadi wakil rakyat mesti ikhlas,jujur,amanah dan bersedia berkorban untuk kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

PAS Miri

Jofri Jaraiee


20 maut bas mini rempuh trak

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BEIJING - Sekurang-kurangnya 18 kanak-kanak pra sekolah dan dua orang dewasa maut hari ini apabila bas mini dengan 64 penumpang yang dinaiki mereka, bertembung dengan sebuah trak di wilayah Gansu di China, lapor media tempatan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, bas mini yang hanya boleh memuatkan sembilan penumpang itu merempuh sebuah trak yang sarat dengan muatan arang batu pada pukul 9.40 pagi waktu tempatan (8.40 pagi waktu Malaysia) di bandar Qingyang ketika kanak-kanak tersebut dalam perjalanan ke tadika.

Pengarah Pejabat Kecemasan Biro Keselamatan Kerja Wilayah Gansu, Fan berkata, lima terdiri daripada empat kanak-kanak dan seorang pemandu bas maut di tempat kejadian.

Katanya, 14 yang lain meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital atau di hospital.

Tambah beliau, seorang lagi mangsa dewasa ialah guru tadika.

Bas itu membawa seramai 64 penumpang dengan 62 daripadanya adalah kanak-kanak.

Seramai 45 kanak-kanak dihantar ke hospital dan 13 daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan serius, jelas Xinhua.

Kemalangan kerap berlaku di China akibat muatan berlebihan, sistem penyelengaraan kenderaan yang kurang memuaskan dan kecuaian pemandu. - AGENSI

Hayati 'Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali'

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 17 Nov: "Sesiapa yang ingin menjadi calon pada pilihan raya nanti perlu menghayati serta meresapi setiap isi kandungan di dalam buku ini, barulah layak untuk memikul tanggungjawab sebagai calon," jelas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menyatakan demikian pada program pelancaran buku hasil tulisan mantan Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berjudul 'Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali' di Shah Alam Convention Centre malam tadi juga memberitahu perjuangan yang ditunjukkan oleh Syed Husin adalah satu perjuangan politik bukannya bersifat peribadi.

"Jelas apa yang ditunjukkan dalam perjuang beliau bukan untuk kepentingan peribadi dan apa yang dilakukan olehnya perjuangan untuk sebuah landasan politik bagi mengembalikan arah politik negara.

"Ingat dalam kita menongkah arus perjuangan sekarang jangan kita lupa apa yang dulu kerana tanpa perjuangan dulu tidak akan yang sekarang," jelasnya.

Anwar berharap setiap pemimpin di dalam Pakatan Rakyat terutamanya PKR boleh meneliti setiap baris isi kandungannya kerana ia dapat memberi kesedaran pada setiap pembaca tentang langkah perjuangan yang sebenar.

Sementara itu Syed Husin menitik beratkan bukan pujian yang diperlukan oleh setiap individu jika ia merasakan dirinya seorang pejuang tetapi satu keikhlasan yang lahir dari jiwa individu tersebut.

"Bila menyebut tentang perjuangan nada yang sama kita akan katakan, saya ingin jelaskan kita mesti menteladani semangat perjuangan yang telah dilakukan oleh pihak sebelum kita.

"Perjuangan sebelum kemerdekaan kemudian timbulnya reformasi sehingga wujud tsunami politik negara pada pilihanraya yang lepas memberi isyarat yang jelas kepada kita bahawa Putrajaya sebenarnya sudah hampir dengan kita, jadi hayati perjuangan semoga impian kita tercapai," kata beliau.

Buku memoir itu merupakan kenangan hidup Syed Husin tentang perjuangan politiknya untuk menegak keadilan, kebajikan dan kebenaran bagi rakyat.

Ia juga menceritakan mengenai penyertaan, kegiatan, pengalaman dan pandangan beliau terutama berhubung beberapa peristiwa politik yang melibatkan rakyat.

Pendidikan, kegiatan akademik serta luar akademik diceritakan kerana sedikit sebanyak mempengaruhi sikap hidup Syed Husin, terutama terhadap bidang politik yang lebih setengah abad diceburinya.

Selain itu juga soal politik juga ditumpukan di dalam memoir itu berpusat kepada catatan-catatan tentang penyertaan dan pengalaman penulis serta sikap, pandangan dan fikirannya terhadap beberapa isu, perkembangan, peristiwa dan kontroversi politik yang berlaku dalam parti dan negara.

Memoir itu memberi latar belakang dan menjelaskan beberapa perkara seperti apa yang berlaku selepas kemenangan parti-parti pembangkang di lima negeri, pembentukan Pakatan, percubaan Umno-Barisan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan terutama Selangor, percubaan Anwar yang dianggap gagal berkaitan 16 September dan sebagainya.

Memoir itu mendedahkan banyak juga hal mengenai pertimbangan yang tidak diketahui umum tentang mengapa dan bagaimana sesetengah keputusan politik telah diambil

Turut hadir semasa majlis perlancaran buku itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan juga beberapa pemimpin-pemimpin di dalam PKR.

harakahdaily/-

Presiden Gerakan umum tak tanding PRU-13

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon hari ini mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang, baik di kerusi parlimen, mahupun di peringkat negeri.

Bercakap kepada wartawan di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, Koh berkata tindakan itu bagi memberi peluang kepada barisan pelapis kedua pemimpin Gerakan.

Ia juga sebahagian daripada strategi transformasi Gerakan yang dinamakan “Bergerak bersama rakyat’.

"Saya sendiri akan memimpin melalui teladan dan mengambil langkah pertama untuk pembaharuan.

"Saya telah memutuskan untuk tidak bertanding sebagai calon dalam mana-mana kerusi sama ada di parlimen mahupun negeri pada pilihan raya umum ke-13 nanti,” katanya.

malaysiakini/-

Anwar: Siasatan video seks untuk aibkan saya

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pasukan polis yang diperkudakan oleh pemimpin-pemimpin politik mereka sekali lagi cuba "mengaibkan" dirinya.

Bercakap kepada wartawan selepas memberi kenyataan di balai polis Kepong petang semalam, Anwar berkata siasatan itu berikutan laporan polis yang dibuatnya 22 Mac lalu terhadap trio 'Datuk T' yang telah menayangkan sebuah pita lucah yang didakwa membabitkan seorang lelaki yang miripnya.

"Saya telah buat laporan polis berhubung ugutan yang berkata 'jika Anwar dan (presiden PKR Dr) Wan Azizah Wan Ismail tidak meletakkan jawatan, mereka (Datuk T) akan mendedahkan segala-galanya'.

"Tetapi (di sebalik menyiasat ugutan itu, pihak polis menjalankan) siasatan ini, kononnya mahu untuk mengenal pasti siapa dalam video itu yang bertujuan untuk memalukan saya lagi.

“Jadi polis ini kerja dia dah jadi perkakas politik orang atasan. Tugas saya ke Parlimen, tapi dihalang. Penjenayah, pencuri lembu dan ratusan juta (wang rakyat) yang hilang tiada siasatan,” kata Anwar.

Beliau tiba di Balai Polis Kepong kira-kira 3.15 petang semalam dengan ditemani isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebelum memberi keterangan kepada polis selama sejam.

Menurut Anwar lagi, beliau dipanggil memberi keterangan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

“Ini cara kotor dan jahat Umno nak aibkan saya sekali lagi. Jenayah (rasuah) dan rompak ditutup. Jadi dimainkan kes seperti ini (untuk mengalih perhatian rakyat).

"Saya diminta hadir memberi keterangan kerana ada laporan oleh DSP Shanmugam (Moorthy) terhadap saya berhubung laporan (penafian terlibat dalam video seks) terdahulu. Oleh yang demikian, saya tampil untuk memberi keterangan," katanya.

Pada laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Mac lalu, Anwar juga menafikan bahawa beliau adalah lelaki dalam video tersebut.

malaysiakini/-

Fidlot: BN hadapi krisis keyakinan rakyat

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 17 Nov: Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa Umno BN kini sedang berdepan 'krisis keyakinan rakyat' yang teruk.

Menurut Mohd Amar, keadaan itu berlaku ekoran penyelewengan yang didedahkan melalui Laporan Ketua Audit Negara 2010 termasuk salah guna kuasa dalam isu National Feedlot Corporation membabitkan keluarga menteri kanan kerajaan.

"Keseluruhan kepimpinan Umno Barisan Nasional kini secara kolektifnya terjejas teruk.

“Mereka sampai kini tidak boleh menyelesaikan isu-isu yang ditimbulkan, bahkan sehingga hari ini Timbalan Perdana Menteri terpaksa meminta National Feedlot tampil membuat penjelasan sendiri.

“Ini bererti, penjelasan yang dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan juga beberapa orang lain, tidak boleh menyelesaikan masalah," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, bercakap kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Mesra Kaum 2011 di Dewan Perniagaan Cina di sini malam tadi.

“Jadi, ini satu benda yang besar.

“Isu ‘audit’ ini sendiri menjejaskan penghormatan rakyat kepada pemimpin Umno dan BN.

“Kita bukan kira satu dua orang individu, tetapi keseluruhan, kepimpinan Umno BN secara kolektifnya terjejas teruk,” dakwa Mohd Amar.

Terdahulu, majlis makan malam tersebut dirasmikan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri Dato Anuar Tan Abdullah.

National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd. dimiliki oleh keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Syarikat itu, sebelum ini, didakwa telah membelanjakan sebanyak RM250 juta dana awam yang diperuntukan dalam bentuk pinjaman mudah.

Sementara itu, mengulas kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, beliau berkata ‘Tuan Guru’ itu sendiri merupakan satu ‘kekuatan’ kepada PAS dan Pakatan Rakyat khususnya.

“Dan dari sudut lain, kita melihat corak kepimpinan Islam yang dibawa Tuk Guru ini boleh diterima seluruh lapisan masyarakat.

“Jadi pada pandangan kita, ini menunjukkan bahawa kepimpinan Islam ini bukanlah suatu benda asing dalam masyarakat terutama dalam konteks Kelantan,” katanya.

harakahdaily/-