20 Disember 2011

Mangsa banjir Johor meningkat ke 1,000

24 Muharram 1433H. [MOD] -

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di lima daerah yang dilanda banjir di Johor meningkat kepada 1,011 orang setakat pukul 9 malam tadi.

Setiausaha Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor, Mohamad Yusri Hashim berkata sebanyak 18 pusat pemindahan banjir telah dibuka iaitu 12 di Kluang, tiga di Segamat dan masing-masing satu di Kota Tinggi, Batu Pahat dan Johor Baharu.

Daerah Kluang mencatatkan jumlah mangsa banjir paling banyak iaitu 754 orang daripada 193 keluarga dari Kampung Mengkibol, Kampung Muhibbah, Kampung Kolam Air, Kampung Berasau, Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kampung Punchor, Kampung Sri Cahaya, Kampung Contoh, Kampung Batu 4 Paloh, Kampung Melayu Mardi dan Perumahan Rakyat Yap Tau Sah, katanya.

Turut dipindahkan ialah 143 mangsa banjir dari Kampung Batu 10, Skudai di Johor Baharu.

Di Segamat, sebanyak 81 mangsa banjir dari Kampung Usaha Jaya; Kampung Paya Dalam dan Kampung Spangloi di Segamat kini ditempatkan di Balai Islam Kampung Paya Dalam, Balai Raya Spangloi dan Balai Raya Kampung Usaha Jaya.

Seramai 18 mangsa banjir dari Kampung Parit Haji Kamisan, Yong Peng, Batu Pahat dan 15 mangsa banjir dari Kampung Sungai Berangan, Kota Tinggi ditempatkan di balai raya kampung masing-masing.

- Bernama

Umno hidup atas tipu helah

24 Muharram 1433H. [MOD] -

Meskipun Umno menjadikan DAP sebagai sasaran utamanya dalam perhimpunan agung Umno 2011, target sebenarnya adalah untuk melemahkan PAS atau sekurang-kurangnya terus meletakkan parti Islam itu dilihat sebagai komponen terkecil dalam Pakatan Rakyat. Ia bagi memudahkan Umno memainkan emosi dan sentimen pengundi Melayu, serta menyuntik keraguan tentang keupayaan PAS untuk "menggantikan Umno" sebagai teras dalam kerajaan baru nanti.

Melalui kolum ini, agak kerap juga saya mengingatkan bahawa seteru politik Umno yang utama, daripada dahulu hingga sekarang, tetap sama, iaitu PAS. Justeru, walaupun ada suara pemimpin tertinggi Umno untuk mengajak PAS mengadakan persefahaman politik, seperti pada 1999 dan 2008 -- setiap kali sebaik saja keputusan pilihan raya yang menjejaskan Umno -- ia lebih kepada usaha terdesak parti itu bagi mengekalkan kuasa. (Menjelang pilihan raya 1990, yang menyaksikan persefahaman politik pembangkang yang menggusarkan Dr Mahathir Mohamad, PAS juga didekati dengan motif menggagalkan barisan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat, yang diketuai tengku Razaleigh Hamzah).

Demi survival kuasa, Umno bersedia melakukan apa jua, termasuk menyembah dan mengemis individu atau parti yang dimusuhinya sejak lama. Pada 1999, Dr Mahathir beberapa kali beria-ia memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor, untuk membincangkan isu-isu "perpaduan ummah". Ya, kita tidak boleh bayangkan bagaimana wajah Umno tanpa singgahsana kuasa. Benar, Umno tewas beberapa kali, di beberapa negeri, tetapi ia tetap dapat berpaut erat dengan kuasa kerajaan persekutuan, yang masih menjanjikan pelbagai "keasyikan". Kekayaan, prestij dan pengaruh terus terpelihara.

Apabila kedudukan Umno yang tergugat teruk dalam pilihan raya 1999, sehingga mencalarkan imejnya sebagai parti terbesar orang Melayu, telah dapat dipulihkan dalam pilihan raya 2004, maka tawaran atas nama "perpaduan ummah" itu tidak timbul lagi. PAS kembali digasak dan diasak. Pelbagai istilah dan label negatif yang dilemparkan sebelum itu timbul kembali. Aktivisnya seolah-olah menjadi warganegara kelas kedua, ditekan dan ditindas jika ada peluang berbuat demikian.

Sebaik saja kuasa Umno kembali terancam, seperti berlaku pada 2008, maka kedengaran kembali suara-suara merintih dan merayu untuk menjalin kerjasama dan muafakat, atas nama kepentingan bangsa dan memartabatkan agama. Seolah-olah selama ini Umno begitu prihatin dengan degup jantung penderitaan umat ... Didengungkan bahawa Melayu akan kehilangan kuasa politik sedangkan yang panik menanti saat-saat kejatuhan adalah Umno.

Namun, selepas ajakan atau pelawaan ditolak, secara tiba-tiba PAS akan dituduh sudah terpesong jauh, serta menyeleweng daripada prinsip dan perjuangannya yang asal, walhal selama ini Umno tidak pernah pula menghormati dasar Islam yang diasaskan sejak penubuhan PAS 60 tahun lalu itu.

Oleh kerana imej buruk DAP di kalangan masyarakat Melayu-Islam dikira masih belum dapat dibersihkan, maka wajah PAS akan dihodohkan dengan bermacam-macam dakwaan dan tohmahan seperti "PAS alat DAP", "PAS menjadi biro agama DAP", "PAS diperkudakan DAP". Segala perubahan pendekatan yang diambil oleh PAS -- sesuatu yang lazim bagi mana-mana parti politik yang dinamik -- akan dikaitkan dengan "ketamakan untuk berkuasa" dan "keghairahan untuk mendakap Putrajaya".

Kebetulan pula dalam PRU12, DAP menunjukkan prestasi paling cemerlang berbanding PAS dan KeADILan. Dalam masa sama, politik sering dikaitkan dengan bilangan atau nombor. Meskipun diakui bahawa dalam Pakatan Rakyat, tiada mana-mana parti, walaupun mempunyai kerusi lebih banyak, boleh memaksa kehendaknya kepada pihak lain, sepertimana Umno sering bertindak kepada komponen BN, namun real politik harus diambil kira.

Apa pun, tohmahan Umno tidak akan berhenti di situ. Misalnya, apabila PAS melancarkan Dokumen Negara Berkebajikan baru-baru ini, susulan daripada tema muktamar tahunan Jun lalu, strategis Umno terus menuduh bahawa DAP menjadi faktor utama PAS beralih daripada memperjuangkan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan.

Dalam berita Bernama TV, malam Jumaat lalu, Naib Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi melemparkan tuduhan sama. Katanya, perubahan dasar dalam PAS ditentukan oleh taukeh politiknya, DAP. Sedangkan tema Negara Berkebajikan ini bukan perkara baru. Model negara yang diiktibarkan daripada al-Quran dan Sunnah ini terakam sejak penubuhan PAS lagi, dengan ungkapan "Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur", bermaksud "Negara yang sejahtera dan (mendapat keampunan) Tuhan Yang Maha Pengampun".

Malah, tema manifesto PAS dalam pilihan raya 2008, yang dilancarkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di Pejabat Agung, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, pada 21 Februari 2008 adalah "Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih: Menuju Negara Berkebajikan". Harus diingat bahawa ketika itu belum lagi ditubuhkan Pakatan Rakyat, dan PAS juga tidak mengadakan kerjasama politik secara langsung dengan DAP, selepas parti itu keluar daripada Barisan Alternatif sebelum pilihan raya 2004.

Dalam ucapan pelancaran manifesto itu, Ustaz Hadio berkata, tanggungjawab menunaikan Negara Berkebajikan ini adalah lebih luas daripada istilah yang difahami di politik Barat 'welfare state'. "Walaupun sebahagiannya dilaksana oleh negara-negara Barat, objektif yang dimaksudkan oleh PAS dalam negara ini adalah lebih luas. Bagi merealisasikan tema ini PAS menonjolkan tiga ciri yang penting bagi pemerintahan dan pentadbiran negara iaitu beramanah, adil dan bersih," katanya.

Ternyata Umno bertungkus-lumus berusaha menyambung talian hayatnya di atas siri pembohongan dan penipuan ....

Harakah Daily

SPR cuba alih perhatian

24 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) seperti yang dinyatakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof belum ada hitam putih.


Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Wan Nik Wan Yusof berkata, walaupun SPR menyatakan persetujuan untuk menggunakan kaedah tersebut, ia belum ada kata putus daripada pihak kerajaan.

Menurutnya, pengumuman itu mungkin hanya untuk mengalih perhatian orang ramai kepada isu lain yang lebih serius seperti pertindihan daftar pemilih yang masih belum diselesaikan sepenuhnya.

“Setakat ini, kita lihat SPR akan bersandarkan kepada kabinet, menteri atau Parlimen, kita hanya boleh mempercayainya selepas ia diumumkan secara rasmi oleh kerajaan. Mungkin juga ia hanya untuk memberitahu kepada rakyat bahawa SPR melakukan sesuatu untuk menjadikan pilihan raya lebih adil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Aziz yang bersetuju memenuhi salah satu tuntutan Bersih 2.0 itu semalam.

Contoh dakwat kekal yang akan digunakan sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan kandungan sebelum dikemukakan kepada kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan untuk tindakan susulan.

Dakwat kekal ‘silver nitrate’ yang akan digunakan digunakan di beberapa negara bagi memastikan pilihan raya berjalan secara adil dan ianya berbeza dengan dakwat kekal yang disyorkan pada PRU 12.

Sementara itu, Timbalan Exco Negeri Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, rakyat mahukan PRU 13 berjalan adil dan bebas daripada sebarang bentuk keraguan.

“Buatlah apa saja asalkan rakyat berpuas hati dan penggunaan dakwat kekal hanya salah satu daripadanya sedangkan SPR sewajarnya terlebih dahulu menyelesaikan isu lain yang lebih besar,” katanya.

Katanya, aduan mengenai wujudnya pengundi hantu dalam daftar pemilih sehingga ke hari ini belum ada jawapan meyakinkan sehingga rakyat menilai sendiri kredibiliti SPR itu sendiri.

Sinar Harian

Dakwa Anak Dipukul Guru: Bapa Saman Tadika

24 Muharram 1433H. [MOD] -

Seorang bapa menyaman sebuah tadika selepas anaknya didakwa dipukul seorang guru hingga cedera ketika belajar di tadika Taman Cempaka, Ampang di sini pada 7 Mac lalu.

Lee Boon Hock, 35, seorang Jurujual Barangan Elektrik ketika ditemui di Mahkamah Majistret Ampang berkata tindakan itu diambil selepas kecewa dengan pengurusan Tadika Seri Cempaka yang tidak mengambil serius terhadap aduan dibuat berhubung insiden itu.

Beliau mendakwa, kejadian menimpa anaknya, Nicholas Lee, 4, adalah jelas selepas guru terlibat dikenali sebagai Nelly mengaku memukul anaknya hingga cedera menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada isterinya.

Menurutnya, dalam insiden itu anaknya didenda guru berkenaan berdiri atas meja dan ditarik rambut hingga kepala diketuk ke meja dan pehanya turut dipukul.

"Bila isteri saya hubungi guru itu, dia tak jawab. Keesokannya kami pergi ke sekolah, dia turut tidak mahu keluar dari pagi hingga petang. Lepas itu dia SMS beritahu dia menghadiri satu upacara kematian dan mengaku dalam SMS "adalah benar saya tarik rambut anak anda" tetapi lepas mengaku kita nak jumpa dia tak nak jumpa,"katanya.

Marah dengan keadaan itu, beliau membuat laporan polis di Ampang, tetapi guru berkenaan masih enggan beri kerjasama.

"Akhirnya saya tukar laporan saya dan saya nak saman sekolah itu," katanya kepada media di sini.

Menurut Lee, polis memaklumkan kini sedang menjalankan siasatan berhubung kes itu dan difahamkan guru tersebut juga direman satu hari sejurus pulang "makan angin" dari India beberapa hari selepas kejadian itu.

Beliau berkata, satu rakaman video juga sudah dibuat bagi mengumpulkan bukti bagi tujuan saman itu.

"Untuk bukti yang lebih kukuh bagi tujuan saman, saya ke (Balai Polis) Ampang dan menyuruh anak saya buat rakaman video di Bukit Aman. Dan kini kes itu sedang berjalan," katanya sambil mendakwa anaknya kini fobia selepas kejadian itu.

tv news/-

Kontraktor mati tergantung pada kipas siling

24 Muharram 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang kontraktor baru menikahi isteri kedua September lalu, ditemui mati tergantung pada kipas siling di rumahnya di Jalan Delima, di sini, kelmarin.

Mangsa Idrees Khan S Ibramshah, 45, dari Jalan Madrasah Jelutong, di sini, ditemui tergantung dengan leher terjerut tali nilon di kipas siling di sebuah bilik di tingkat atas, rumah itu oleh ahli keluarganya kira-kira jam 10 malam.

Mereka kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada polis.

Difahamkan, mangsa yang menceburi perniagaan besi buruk dan menjadikan tingkat bawah rumahnya sebagai pejabat dan stor untuk menyimpan barangan serta dokumen pejabat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan menerima laporan dan berkata, sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi melakukan siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian tidak membabitkan unsur jenayah dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Bagaimanapun, pihak polis akan menyiasat perkara berkenaan daripada pelbagai aspek termasuk masalah keluarga atau kemelut kewangan yang berkemungkinan dialami oleh mangsa. Setakat ini tidak dapat memastikan punca kematian mangsa lagi dan siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya di sini, semalam.

Sinar Harian

Isu IMF: PKR kemuka 3 dokumen jadi bukti

24 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – PKR semalam mendedahkan tiga dokumen rasmi Bank Dunia bersabit satu daripada empat pinjaman dari Bank Dunia berjumlah USD704 juta (RM2.2 bilion) diambil kerajaan, semasa menangani krisis kewangan 1997/1998.


Dalam kenyataan bersama Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli; Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi Biro Perdagangan PKR, Wong Chen mendakwa pendedahan tersebut membuktikan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berbohong, apabila mengaku menolak tawaran bantuan dari Bank Dunia ketika itu.

“Ketiga-tiga dokumen rasmi Bank Dunia berhubung pinjaman USD60 juta (RM191 juta) itu, membuktikan rundingan pinjaman berlaku, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, Tun Mahathir mengarahkan kerajaan memohon pinjaman Bank Dunia dan perjanjian ditandatangani pada 31 Mac 1999 di bawah persetujuan Tun Mahathir,” katanya.

Menurutnya, pentadbiran di bawah dan seliaan Tun Mahathir yang bertanggungjawab membuat permohonan mendapatkan bantuan kewangan Bank Dunia.

“Rujuk Kertas Maklumat Projek bernombor PID6999 bertarikh 23 Oktober 1998 di mana, laporan ini disediakan sebagai laporan awal oleh Bank Dunia untuk menilai permohonan pinjaman sesebuah negara.

“Tarikh 23 Oktober 1998 membuktikan proses rundi­ngan pinjaman tersebut bermula selepas Anwar dipecat dan dipenjarakan. Ia mustahil melibatkan Anwar seperti didakwa Tun Mahathir dan Umno,” katanya.

Katanya, fitnah terhadap Anwar, dilihat sebagai usaha memadamkan rekod pentadbiran kewangan yang baik di bawah Anwar.

“Malaysia berjaya mencapai lebihan belanjawan ketika memegang portfolio Menteri Kewangan sehingga berjaya melangsaikan hutang lebih awal dalam tahun 1993 hingga 1996, berbanding defisit belanjawan berpanjangan sejak Tun Mahathir mengambil alih jawatan tersebut pada 1998.

“Anwar juga bertanggungjawab menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Negara dan Kumpulan Wang Amanah Pencen, bertujuan menjaga kepentingan rakyat melalui dana amanah dikawal ketat dan bebas dari salah guna kerajaan. Malangnya, dana ini turut disalahgunakan dan menyimpang dari niat asal penubuhannya,” katanya.

Sinar Harian

Pemerkasaan tarbiah dan taadib di universiti

24 Muharram 1433H. [MOD] -

Pendidikan sering diertikan sebagai tarbiyah yakni proses yang berterusan dalam mendidik seorang insan berdasarkan acuan yang ingin dibentuk. Namun, Syed Naquib al-Attas telah mendefinisikan proses pendidikan itu sebagai taadib yang bermaksud penyemaian dan penanaman adab dalam diri seseorang. Syed Hussein Nasr juga mengikuti garis hujah yang sama dengan menekankan bahawa prinsip pendidikan itu bukan sekadar untuk melatih fikiran semata-mata, tetapi juga untuk melatih keseluruhan potensi manusia.

Secara prinsipnya, pendidikan dilihat sebagai instrumen penting dalam mempersiapkan manusia untuk memahami tentang tugas dan tanggungjawab yang akan dilaksanakan sama ada tanggungjawab sebagai seorang manusia yang mempunyai identiti pelbagai dalam konteks manusiawi seperti seorang anak, pelajar, ibu, bapa, warganegara dan ahli dalam masyarakat ataupun memenuhi tanggungjawab dalam konteks profesion dan skill dalam pekerjaan.

Sesungguhnya tugas yang paling penting bagi seorang manusia adalah sebagai seorang khalifah yang mampu mentadbir urus dunia sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surah Baqarah, ayat 30 dan juga seorang hamba-Nya yang menjulang ketaatan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Tanpa proses pendidikan yang disertai dengan proses adab, kedua-dua tugas ini tidak akan mampu untuk melahirkan produk-produk insan yang mempunyai perwatakan seorang khalifah tetapi berjiwa seorang hamba.

Hujah Syed Naquib berhubungan dengan konsep taadib melangkaui definisi pendidikan sebagai tarbiyah. Konsep taadib yang menuntut suatu proses yang berterusan di samping pemeliharaan adab sepanjang proses pengajaran dan penerimaan ilmu merupakan suatu definisi yang harus menjadi sarana yang jelas terhadap seluruh masyarakat yang benar-benar menjulang kemuliaan ilmu.

Proses taadib itu pula tidak dihadkan terhadap pengajar dan penuntut semata-mata, malahan dikembangkan sehingga mencakupi suasana mahupun pengurusan sesebuah institusi. Inilah perkara yang seringkali dilupakan, lantas, berlakulah penodaan ilmu dalam kalangan masyarakat yang membudayakan semangat keilmuan, seterusnya membawa kepada korupsi pendidikan yang ketara. Perkara yang perlu ditinjau oleh sebuah pengurusan di sebuah taman ilmu adalah mengenai kejujuran dan ketelusan dalam menguruskan proses kewangan serta hak-hak pembudayaan ilmu dalam kalangan para penuntut dan pengajar benar-benar terjamin tanpa sebarang campur tangan yang berkepentingan. Pengurusan inilah yang menjadi akar kepada seluruh pembentukan suasana keilmuan yang didasari dengan adab, semacam satu perumpamaan, andai mahu dilihat rakyat jelatanya, lihatlah pada pimpinannya.

Berbalik kepada soal pendidikan sebagai taadib, wahyu Tuhan yang pertama yang mendengungkan kalimah Iqra’ bukanlah semata-mata untuk dibaca berulang-ulang tanpa kesedaran. Namun, itu merupakan suatu petanda daripada Tuhan untuk menggalakkan proses pencarian ilmu itu berterusan dalam usaha untuk membentuk generasi ulul albab, yang mampu untuk menggunakan seluruh inderanya menghayati hakikat penciptaan dan pencipta dan seterusnya bermanfaat kepada alam yang merangkumi hubungan dengan manusia dan alam sekitar. Walaupun begitu, telah dijelaskan juga melalui firman-Nya dalam surah al-Alaq, ayat 6 dan 7 yang bermaksud: “Sekali-kali tidak! Sungguh manusia itu benar-benar melampaui batas, apabila melihat dirinya serba cukup.”

Inilah satu peringatan daripada Tuhan kepada manusia, ilmu itu harus disertasi dengan adab, yang tidak melahirkan golongan manusia yang bongkak dengan ilmu yang dimilikinya, apatah pula sehingga mengagungkan ilmu itu melebihi pemilik ilmu itu sendiri, sehingga merasakan dirinya adalah manusia yang cukup sempurna. Oleh kerana itulah, proses beradab dengan ilmu harus dititikberatkan dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Seorang pelajar harus mematuhi etika seorang pelajar serta menghormati pensyarah yang mengajar dengan menunjukkan kesungguhan dan komitmen sepanjang proses pembelajaran termasuk dari sudut kehadiran dan penyiapan tugas-tugas.

Manakala seorang pensyarah pula, seharusnya beradab terhadap ilmu termasuklah jujur terhadap pengetahuan yang dimiliki serta seringkali mampu untuk mengaitkan segala yang diajari itu dalam konteks sebagai seorang muslim. Perkara inilah yang harus dititikberatkan dalam proses membudayakan pembentukan adab dalam kalangan warga taman ilmu supaya graduasinya mereka daripada taman ini, menjadi manusia yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat melalui pengetahuan dan karakter yang dimiliki.

Sebagaimana yang telah dinyatakan pada awalnya, pemerkasaan adab dalam universiti tidak difokuskan kepada satu pihak semata-mata. Permasalahan utama adalah apabila seluruh pihak menunding jari hanya kepada pelajar apabila berlaku permasalahan dari sudut krisis adab sama ada dalam bentuk aplikasi ilmu atau dalam konteks mendalami ilmu, namun, harus diingatkan, pepatah Arab ada menyebut, setiap bekas akan mengeluarkan apa yang berada di dalamnya. Maka, proses taadib itu sendiri adalah suatu proses yang merangkumi semua pihak, bermula daripada pihak atasan universiti, pengajar mahupun penuntut.

Penulis ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA

Harakah Daily

AMK kecam pihak ugut mahasiswa

24 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia ingin mengingatkan pihak yang mengugut mahasiswa termasuk Pemuda Umno, samseng-samseng dan pihak universiti agar berhenti mengugut dan mengasari mahasiswa jika tidak mahu berhadapan dengan kebangkitan rakyat.

Pengarahnya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli menegaskan sejarah Indonesia pada Reformasi 98 telah membuktikan gerakan mahasiswa mampu menumbang sesebuah regim.

Tambahnya, tindakan pemerintah yang mengasari mahasiswa sehinggakan 3 orang mahasiswa Universitas Trisakti meninggal dunia mengakibatkan kebangkitan anak muda dan rakyat menentang kerajaan yang zalim.

Justeru, tegasnya lagi Biro Mahasiswa Angkatan Muda ingin memberi amaran bahawa bangkitan anak muda di Indonesia itu bakal berlangsung di Malaysia natijah daripada kebobrokan dan keangkuhan pemerintah Umno Barisan Nasional mentadbir Negara.

“Bebaskan mahasiswa dari segala ugutan dan berikan kebebasan mereka dengan mansuhkan Auku,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada Adam Adli Halim, pimpinan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) yang bertindak menurunkan bendera Perdana Menteri sebagai tindakan protes terhadap sistem pengajian tinggi yang tertutup dan menyekat para akademik dan mahasiswa yang telah menerima pelbagai ugutan termasuk ugutan bunuh, pukul, ludah dan caci maki yang menjatuhkan maruah.

Katanya, ugutan yang dihantar kepada Adam Adli termasuk daripada blogger-blogger pro Umno seperti Papagomo, PAS Beruk, Azmy Kelana Jaya, kiriman SMS malah video melalui Youtube yang dihantar oleh Pemuda Umno Petaling Jaya Utara yang mengugut ingin meludah dan memukul mahasiswa itu.

“Tindakan ini jelas menunjukkan budaya samseng melebar dalam Umno,” katanya.

Menruutnya, Umno cuba mewujudkan politik takut, politic of fear di kalangan mahasiswa yang pada hari ini celik menolak corak kepemimpinan Umno yang zalim dan jumud sebagai langkah untuk membentung mereka terus bangkit.

Katanya beliau, mahasiswa yang kini bangun menuntut agar diberi kebebasan dan keterbukaan untuk para mahasiswa bergerak dan berakademik.

Tambahnya lagi, tindakan menutup ruang mahasiswa jelas menunjukkan bahawa Umno tidak memahami hasrat dan inspirasi mahasiswa untuk melihat masa depan Malaysia yang lebih cerah.

Harakah Daily

Ramai pasangan muda bercerai di Perlis

24 Muharram 1433H. [MOD] -

KANGAR – Sebanyak 450 kes penceraian telah direkodkan di Perlis sepanjang sepuluh bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah Negeri, Jafperi Othman berkata, lebih merisaukan kebanyakan kes berkenaan melibatkan pasangan yang usia perkahwinannya di bawah sepuluh tahun.

Menurutnya, kelompok umur yang paling banyak dalam kes penceraian iaitu di bawah 40 tahun.

Katanya, tujuh punca utama menyebabkan berlaku penceraian telah dikenalpasti pihaknya.

“Antaranya, kurang pengetahuan ilmu agama dan rumah tangga, perkahwinan pada usia muda dan suami mengabaikan tanggungjawab.

“Selain itu, campur tangan pihak ketiga, suami berpoligami, masalah komunikasi dan ekonomi juga menjadi faktor,” katanya ketika menjawab soalan Mat Hassan (BN-Kuala Perlis) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-12 di sini semalam.

Menurut Jafperi, bilangan kes penceraian yang berlaku pada tahun lalu iaitu sebanyak 522 kes dengan kaum Melayu adalah yang paling banyak.

Bagi menangani kes penceraian daripada terus meningkat, pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Negeri serta agensi lain sentiasa melakukan pelbagai program.

“Contoh program berkaitan kekeluargaan yang tetap dan berjadual, kelas pengajian agama, seminar, ceramah umum dan banyak lagi,” ujarnya.

Kosmo

Pinjaman: Mahathir wajar buat pengakuan terbuka

24 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) percaya rakyat Malaysia tidak boleh menerima jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus berbohong buat kesekian kalinya.

Justeru, DPP Malaysia memandang berat dakwaan bahawa Malaysia pernah meminjam dari Bank Dunia pada tahun 1997/1998 ketika di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu.

“Dakwaan ini berdasarkan kepada dokumen lengkap yang dikemukakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu tiga dokumen rasmi Bank Dunia berhubung salah satu dari empat pinjaman berjumlah US$704 juta oleh kerajaan Malaysia,” ujar Ketua Penerangan DPP Malaysia, Riduan Mohd Nor kepada harakahdaily.

Katanya, ketiga-tiga dokumen yang didedahkan mendakwa pinjaman sebanyak US$60 juta telah dibuat oleh kerajaan Malaysia terhadap Bank Dunia.

Tambahnya, jika pinjaman itu benar-benar berlaku, DPP Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia merasa kesal kerana bekas Perdana Menteri itu tidak pernah mengaku pernah membuat pinjaman dengan Bank Dunia sebelum ini.

Malah, ujarnya sehingga kini Mahathir membuat penafian dengan cabaran agar pihak menuduhnya mengemukakan bukti beliau ada membuat pinjaman.

“Namun dengan dokumen yang lengkap dari Bank Dunia yang dikemukakan, apakah dalih lagi Tun Dr Mahathir mahu menafikan segala maklumat tersebut?” tanya Riduan.

Beliau berkata, rakyat di negara ini merasa tidak selesa kerana jumlah pinjaman yang didakwa itu terlalu besar, iaitu sebanyak US$60 juta.

Menurutnya lagi, meskipun perisitiwa itu berlangsung sudah 13 tahun lamanya, namun kesannya masih ada terhadap kedudukan ekonomi dan kewangan negara.

Persoalannya, kata beliau ke manakah duit hasil pinjaman tersebut digunakan dan mengapakah kerajaan Malaysia ketika itu terlalu terdesak sehingga terpaksa meminjam dari Bank Dunia sedangkan diketahui bahawa ada kesan negatif terhadap keselamatan dan kestabilan negara hasil dari perjanjian tersebut.

“Apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan dalam memastikan pinjaman itu dibayar sepenuhnya?” soalnya lagi.

Oleh itu, tegasnya DPP Malaysia mendesak Tun Dr Mahathir membuat penjelasan dan pengakuan sejujurnya berhubung dakwaan itu.

“Sekiranya benar pinjaman itu berlaku, beliau perlu menjelaskan satu persatu kemanakah duit itu digunakan, langkah kerajaan dalam membayar balik pinjaman tersebut dan apakah terma perjanjian antara Bank Dunia dengan kerajaan Malaysia.

“Jangan sampai penafian beliau boleh menghilangkan penghormatan rakyat terhadap beliau seperti yang beliau nikmati selama ini,” ujarnya.

Harakah Daily

Budak 13 tahun curi bas kilang

24 Muharram 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Suasana malam di Taman Rasa Sayang di Senawang di sini yang lazimnya aman damai bertukar kecoh semalam apabila seorang budak lelaki bertindak mencuri dan memandu sebuah bas kilang sebelum melanggar enam buah kereta yang diletakkan di kawasan taman itu.

Bunyi dentuman kuat akibat bas tersebut merempuh kereta milik penduduk pada pukul 12 tengah malam menyebabkan ramai penghuni yang sudah tidur terjaga.

Mereka yang meninjau dari rumah masing-masing terkejut apabila ternampak bas tersebut dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang oleh seorang budak lelaki berusia 13 tahun.

Suasana mencemaskan selama kira-kira 10 minit itu hanya berakhir selepas bas itu dikejar beberapa penduduk yang menunggang motosikal sebelum ia berhenti di sebuah kawasan rumah kedai di taman tersebut.

Budak lelaki itu memandu bas tersebut sejauh kira-kira satu kilometer dari lokasi bas itu dicuri.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Zulkifli berkata, ketika kejadian dia berada di sebuah masjid berhampiran sebelum terdengar bunyi satu dentuman kuat.

Ketika dia menjenguk keluar dari masjid, dia terkejut melihat sebuah bas dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sambil dikejar beberapa penduduk.

“Mereka lebih terkejut apabila melihat bas itu melanggar sebuah kereta penduduk yang diletakkan di bahu jalan.

“Bas itu terus bergerak sebelum ia melanggar lima buah kereta lagi yang diletakkan di hadapan sebuah restoran di taman itu,” kata Zulkifli ketika ditemui di sini semalam.

Kosmo

PRU13: SPR guna dakwat kekal

24 Muharram 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan menggunakan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, semalam.


Enggan memaklumkan sumber negara ia diimport, Abdul Aziz berkata, dakwat kekal itu telah digunakan di negara luar, bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar.

Beliau turut mengumumkan ‘pengundian awal’ diperkenalkan iaitu tiga atau empat hari sebelum hari pengundian khusus bagi anggota tentera, pasangan anggota tentera, polis (tidak termasuk pasangan) dan pasangan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

”Undi pos masih dikekalkan, namun pengundi terbabit perlu memohon kepada pegawai pengurus pilihan raya, ” katanya.

Menurutnya, kesemua perkara itu adalah cadangan dikemukakan Jawatan­kuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambah­baikan Proses Pilihan Raya.

Beliau berkata, semua pengundi wajib dicalit dengan dakwat kekal dan sekiranya enggan berbuat demikian, maka pengundi terbabit tidak beri kertas mengundi.

Abdul Aziz berkata, dakwat kekal tujuh peratus digunakan untuk pengundian awal iaitu hari pembuangan undi khas untuk anggota tentera dan pasangan, polis (tidak termasuk pasangan) dan pasa­ngan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), manakala dakwat kekal empat peratus bagi pengundian biasa.

Katanya, SPR juga sedang membincangkan status dan kaedah bagi memastikan petugas media turun mengundi.

Sinar Harian

Terowong SMART Ditutup Dari 11 Malam Rabu Ini

24 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Lebuhraya SMART akan ditutup kepada lalu lintas dari 11 malam Rabu ini sehingga pukul 6 pagi Khamis.

Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd (SMART) dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata penutupan itu bagi kerja-kerja penyelenggaraan terowong.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh hubungi talian bantuan SMART di 1-300-88-7188. - BERNAMA

Terbabas dekat perkuburan

24 Muharram 1433H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT (U) – Tindakan pantas daripada orang awam berjaya menyelamatkan nyawa seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan berhampiran Perkuburan Cina, Rimba Panjang, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, M Rajamorthi berkata, mangsa, Chong Kin Yung, 55 nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu terbalik di lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian berlaku pada kira-kira jam 7.40 pagi dan mangsa ketika itu sedang memandu seorang diri dari arah Sungai Siput ke Ipoh.

“Kami menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada jam 7.53 pagi dan telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Seramai lima anggota bersama satu jentera terlibat dalam operasi membantu serta menyelamat mangsa, dengan diketuai pegawai bomba, Nor Azam Abd Rahman,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Beliau turut berterima kasih kepada orang awam yang telah bertindak pantas mengeluarkan mangsa daripada keretanya, sekali gus telah menyelamatkan nyawa mangsa ketika itu.

Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta yang dipandu mangsa dipercayai gagal dikawal, lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan terbalik, serta melanggar tiang elektrik.

“Akibat kejadian itu, mangsa telah tersepit dalam kereta berkenaan dan telah diselamatkan oleh orang awam yang turut menyaksikan kejadian.

“Mangsa telah mengalami beberapa kecederaan pada bahagian badan dan telah dikejarkan ke Hospital Sungai Siput untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Katanya, punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti dan kejadian berkenaan masih lagi dalam siasatan.

Beliau turut memaklumkan, kereta yang dipandu mangsa turut mengalami kerosakan teruk akibat kejadian berkenaan.

Sinar Harian

Tengkorak, tulang manusia bersepah

24 Muharram 1433H. [MOD] -

Anggota polis menyiasat kawasan tengkorak dan tulang manusia dijumpai di Bukit Tinjau, Ampang Jaya semalam.

AMPANG JAYA – Seorang kontraktor terkejut apabila menemui tengkorak dan tulang beberapa bahagian badan manusia ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di cerun berhampiran Bukit Tinjau di sini semalam.

Tengkorak dan rangka manusia itu ditemui pada pukul 11 pagi ketika kontraktor bersama seorang rakannya turun ke kawasan cerun yang mempunyai kecuraman kira-kira 15 meter.

Kontraktor yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 40-an berkata, tengkorak itu ditemui di satu kawasan di bawah cerun bersama beberapa tulang yang berselerakan.

“Biasanya kawasan cerun ini ditakungi air apabila hujan namun hari ini (semalam) air telah surut menyebabkan rangka itu dapat dilihat dengan jelas.

“Sebaik menemui tengkorak dan tulang manusia itu saya segera memaklumkan kepada polis,” kata Mohamad.

Mohamad memberitahu, berdasarkan keadaan tengkorak tersebut, rangka itu dipercayai milik seorang wanita.

kosmo/-