20 Disember 2011

Twitter terima pelaburan Putera Alwaleed RM954.3j

24 Muharram 1433H. [MOD] -

GAMBAR fail menunjukkan Twitter dan seorang pengguna laman itu menerusi telefon bimbit. Gambar kecil Putera alwaleed.

DUBAI, Emiriah Arab Bersatu (UAE) - Bilionair Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal dan syarikat pelaburannya menyatakan semalam bahawa mereka akan melabur sebanyak AS$300 juta (RM954.3 juta) ke atas laman web perkongsian sosial Twitter.

Pelaburan bersama dengan Syarikat Kingdom Holding (KHC) milik Putera Alwaleed dibuat selepas rundingan selama beberapa bulan dengan ia mewakili kepentingan strategik dalam Twitter.

Putera Alwaleed yang telah lama membuat pelaburan dalam sektor media dan tekonologi berkata, urus niaga berkenaan mencerminkan minat pelaburan dalam perniagaan yang berdaya maju dan memberikan impak global.

Twitter membenarkan penggunanya menghantar mesej pendek hingga 140 huruf.

Ia menjadi alat penting yang menghubungkan penunjuk perasaan dan untuk menyampaikan maklumat semasa kebangkitan rakyat di rantau Arab pada awal tahun ini.

"Kami percaya bahawa media sosial akan membawa perubahan besar dalam lanskap industri media dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Twitter akan menguasai dan menjana keuntungan daripada trend positif ini," kata Pengarah Eksekutif KHC, Ahmed Halawani dalam satu kenyataan.

Putera Alwaleed merupakan anak saudara pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah.

Twitter memiliki lebih 100 juta pengguna aktif yang menghantar sekitar 250 juta mesej yang dikenali sebagai tweets pada setiap hari.

Putera Alwaleed disenarai sebagai orang ke-26 terkaya di dunia oleh majalah Forbes.

Pada September lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Dick Costolo menyatakan pelaburan tunai akan membolehkan syarikat itu menentukan hala tuju laman itu. - AGENSI

Umno tidak boleh dipakai lagi - bekas Pengarah Pendidikan

24 Muharram 1433H. [MOD] -

BUTTERWORTH, 20 Dis: Bekas Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Adnan Ibrahim yang juga pelakun bersiri 'Cucu Opah nak kahwin lagi' rasa terpanggil untuk bersama turun padang memberikan penjelasan kenapa perlu rakyat tolak Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Jelas sekali ujarnya, Umno dan BN mempunyai kepimpinan yang sudah korup dan tidak releven lagi untuk memegang tampuk pemerintahan ekoran terlalu banyak skandal sehingga boleh membawa negara ke arah kehancuran.

"Saya walaupun tidak sihat, rasa bersalah sekiranya tidak bersuara mengatakan yang hak sebab itu saya datang untuk menyampaikan apa yang terpendam dalam lubuk hati selama ini.

"Umno dan BN tidak boleh pakai lagi apatah untuk kita bergantung harap membela nasib orang Melayu, " ujarnya ketika ditemui selepas program ceramah perdana di Pekan Darat, Butterworth semalam.

Apa guna dirinya yang diberikan kesihatan sihat tinggal diam di rumah padahal penyelewengan terus berlaku dengan memperdayakan rakyat miskin sebagai 'kambing hitam' bagi mengaut undi, katanya.

"Kerajaan BN memang begitu, mereka akan membahagikan harta kekayaan sesama kroni dengan membiarkan rakyat berputih mata terutamanya bagi mereka yang sememangnya mempolopori bidang tertentu.

"Kes lembu membabitkan Menteri Wanita, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil sungguh memalukan kerana ia bukan pendedahan golongan yang mencari kesempatan sebaliknya didedahkan Audit Negara yang telus dan profesional," terangnya.

Tambah beliau, akibat terlalu banyak penipuan dan penyelewengan membuatkan rakyat mempertikaikan keikhlasan BN yang sanggup memberikan wang RM500 kepada setiap keluarga sedangkan negara terus dicengkam bebanan hutang yang tinggi.

Jika kerajaan terlalu prihatin terhadap rakyat bukan sekarang mereka mulakan pemberian RM500 itu tetapi sejak dulu lagi sebab kemiskinan rakyat sudah lama, katanya.

"Jika BN benar-benar mahu bantu rakyat kenapa hari ini baru nak bagi RM500. Mereka buat secara mendadak semata-mata dengan tujuan yang tersembunyi," tambahnya.

Pemberian itu pun, bagi beliau, disebabkan timbul perasaan irihati setelah rasa tergugat dengan pemberian beberapa skim oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

"Adalah tidak lojik lagi, rakyat yang sudah matang masih tidak berani buat perubahan demi kebaikan semua pihak serta negara," kata Datuk Adnan.

Menceritakan kesungguhan dirinya untuk turun berkempen di mana sahaja sekiranya dijemput beliau yang ada pertalian dengan pejuang kemerdekaan Leftenan Adnan menambah, semua itu dibuat untuk membuang perasaan bersalah dalam dirinya yang bekerja untuk kerajaan sedangkan kerajaan yang disanjung melakukan penindasan, penipuan dan penyelewengan yang ketara memalukan.

Peliknya, ujar beliau, kenapa mereka yang ada jawatan tinggi dalam kabinet tidak langsung timbul perasaan bersalah atau meletakan jawatan bila gagal sebagai menteri sebaliknya terus bangga dengan kesalahan yang dibuat.

Beliau bertanya apakah kapasiti mereka yang asyik melakukan penyelewengan mengaku sebagai Umat Islam sedangkan mereka memakan daging saudara sendiri.

"Pesanan saya kepada rakyat gunalah otak, guna akal, guna jari, guna perasan dan gunakanlah kesempatan yang ada untuk menegakan yang hak memerangi yang batil. Jangan takut buat perubahan yang menguntungkan semua pihak," tegasnya lantang.

Program anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor itu turut menyaksikan penyerahan 15 keping borang permohonan menjadi ahli PAS di sekitar kubu kuat Umno di Permatang Binjai.

Kemasukan itu diketuai bekas Ketua Pemuda Umno Cawangan Permatang Binjai, Saudara Hasni.

Borang diserahkan kepada Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang dijemput khas memberikan ucaptama bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man dan Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man.

Harakah Daily

SBPA: Jangan rosakkan masa depan rakyat, negara

24 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Dis: PAS kesal dengan sikap kerajaan yang sentiasa mengambil langkah tergesa-gesa dalam menentukan sesuatu polisi.

“Terkini ialah dengan memaksa kakitangan kerajaan untuk menandatangani skim Saraan Baru Perkhimatan Awam (SBPA) yang diumumkan oleh kerajaan,” kata AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar).

Katanya, seperti yang diketahui, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) masih perlu berunding dengan kakitangan kerajaan untuk menyetujui skim tersebut.

Tetapi hari ini, katanya pihak guru-guru telah diminta untuk menandatangani segera skim tersebut, walaupun tempoh akhir masih belum sampai iaitu pada 31 Disember 2011.

PAS, jelasnya telah melalui pengalaman di mana pihak kerajaan telah menyekat bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menyebabkan banyak SAR terpaksa ditutup.

Tambahnya, tujuan kerajaan ialah supaya mereka menyerah diri kepada skim Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dalam rangka pihak kerajaan menguasai pendidikan Islam dalam negara ini.

Menurutnya, pada 2006, PPSMI telah dipaksa kepada rakyat dan ternyata PPSMI telah membawa kepada kerosakan kepada kemajuan pendidikan kebangsaan yang berasaskan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Justeru, katanya apabila skim-skim yang membabitkan pendidikan dilaksanakan tanpa rundingan yang sebaik-baiknya dengan pihak kerajaan, PAS bimbang akan banyak lagi masalah yang akan timbul dalam bidang pendidikan yang akan merosakkan falsafah pendidikan di negara ini.

“Memadailah ibu bapa bimbang terhadap akhlak anak-anak mereka disebabkan kegagalan dasar pendidikan moral atau kelemahan dasar dalam pendidikan akhlak,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, PAS berharap kerajaan menyelesaikan segera isu-isu besar seperti ini di samping membuat perancangan yang betul dalam bidang pengurusan, kerana perancangan semasa yang dibuat secara tergesa-gesa telah menyebabkan banyak kerosakan termasuklah soal penempatan guru-guru lepasan institusi pengajian tinggi dalam bidang pendidikan yang gagal diselesaikan sehingga hari ini.

“Begitu juga apabila SBPA mahu dilaksanakan, pastikan ia membawa kebaikan kepada rakyat keseluruhan, bukan untuk sesuatu kepentingan yang boleh merosakkan masa depan rakyat dan negara,” ujarnya.

Harakah Daily

Penjual ayam didenda RM1,600 miliki daun ketum

24 Muharram 1433H. [MOD] -

SIK - Mahkamah Majistret Sik, semalam, mengarahkan seorang penjual ayam membayar denda RM1,600 atas kesalahan memiliki sejumlah 2.01 kilogram (kg) daun ketum.

Muhamad Syafik Sobri, 20, dituduh memiliki daun tumbuhan yang mengandungi Mitragynine, iaitu bahan bahan yang disenaraikan dalam jadual pertama dan ketiga (bahan-bahan Psikotropik) Akta Racun 1952.

Muhamad Syafik didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (pindaan 2003) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(35) akta sama, kira-kira jam 2.50 petang, 27 Ogos lalu, di jalan Padang Awam, kawasan Kampung Mandul, Sik.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun, atau kedua-duanya sekali.

Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin mengarahkan Muhamad Syafik membayar denda RM1,600 atau penjara lima bulan jika gagal membayar jumlah denda ditetapkan.

Terdahulu, Muhamad Syafik dalam rayuannya memohon agar dikenakan hukuman paling minimum atas alasan hanya bekerja sebagai penjual ayam dengan pendapatan RM30 sehari selain tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan sebelum ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi.

Sinar Harian

Pemuda PAS Perak perkukuh hubungan dlm PR Perak

24 Muharram 1433H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Angkatan Muda Keadilan PKR Negeri Perak bagi mengukukuhkan hubungan antara kedua parti yang kini dalam Pakatan Rakyat di Negeri Perak.

Rombongan Pemuda PAS Perak diketuai oleh Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss bersama 10 orang Ahli Jawatankuasa Kerjanya. Angkatan Muda Perak pula diketuai oleh Ketuanya, Dr Meor Ahmad Isharra Ishak bersama Ahli Jawatankuasa Kerjanya menyambut kedatangan Pemuda PAS Perak.

Perbincangan lebih kearah untuk mengukuh peranan anak muda di dalam PR Perak bagi memastikan PR akan kembali memerintah Negeri Perak setelah dirampas dengan cara kotor awal Februari 2009 yang lalu. Perbincangan hampir sejam tersebut banyak membincangkan persiapan jentera pilihanraya kedua-duanya.

Pemuda PAS Perak juga akan bertemu selepas ini dengan Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda Sosialis DAP Negeri Perak dalam masa terdekat untuk meneruskan agenda mengukuhkan hubungan dengan parti tersebut menjelangnya persiapan jentera Pilihan Raya Umum ke - 13 nanti.

SAFARIZAL SALEH
Penolong Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Futsal Pemuda PAS Perak meriah

24 Muharram 1433H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melalui Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) telah menganjurkan kejohanan Futsal tahun 2011 kali ini.

Sebanyak 33 pasukan telah menyertai kejohanan kali ini yang datang daripada seluruh Negeri Perak. Pasukan yang telah menyertai kali ini dipilih oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan seluruh Perak.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pilihanraya PAS Perak, Haji Asmuni Awi. Manakala kehadiran daripada kepimpinan Pemuda PAS Perak terdiri daripada Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss dan Setiausahanya, Salman Saleh.

Kejohanan kali ini diserikan dengan cabutan bertuah yang menarik berikutan hadiah-hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur menarik minat hadirin untuk tunggu hingga ke saat akhir.

SAFARIZAL SALEH
Penolong Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Minta kaji faktor jenayah meningkat

24 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Pas meminta kerajaan mengkaji faktor yang mempengaruhi peningkatan kes jenayah membabitkan penuntut antarabangsa, khususnya dari Afrika yang belajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) di negara ini.

Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik berkata, kes-kes jenayah seperti sindiket penipuan dan pemalsuan dokumen yang dikaitkan dengan pelajar negara terbabit dilihat membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, perkara paling utama, katanya, adalah memastikan pengambilan pelajar luar negara terutama Afrika benar-benar menepati syarat kemasukan ke IPT dan kesan daripada tindakan undang-undang yang telah diambil oleh pihak kerajaan.

“Walaupun banyak operasi telah dilakukan tetapi jumlah kes yang disiarkan tidak pernah berkurangan, malah semakin meningkat. Justeru, perlu dikaji sebab-sebab berlaku dan meningkatnya jenayah tersebut khususnya yang dilaporkan dalam akhbar,” katanya.

Dalam laporan media tempatan baru-baru ini, seramai 89 warga Afrika termasuk lima wanita ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selain ada yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan antarabangsa.

Menurutnya, kes-kes jenayah membabitkan pelajar dari negara Afrika terutama di sekitar Lembah Klang dilihat tidak berkurangan, malah semakin meningkat.

Katanya, keadaan itu secara tidak langsung membabitkan isu keselamatan negara yang perlu diberi perhatian segera.

Sinar Harian

9 dicekup asyik laga ayam

24 Muharram 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Kemaruk bermain laga ayam di dalam estet kelapa sawit mengundang padah apabila sembilan individu yang leka bermain dicekup dalam satu operasi di Jalan Estet, Kampung Bahagia, di sini, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohd Zaki Harun berkata, operasi berjaya dilakukan hasil maklumat orang awam dan risikan anggotanya sebelum menyerbu lokasi kaki judi berkenaan.

Katanya, ketika serbuan dilakukan sekumpulan orang awam yang asyik bermain permainan laga ayam terkejut dengan kehadiran polis dan mereka cuba melarikan diri.

Namun mereka dikepung dan polis berjaya menahan sembilan lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun yang disyaki terlibat dengan aktiviti laga ayam di kawasan ini.

“Selain itu, kami turut merampas 13 ekor ayam yang dikatakan digunakan untuk aktiviti laga ayam,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mohd Zaki berkata, kesemua suspek yang dipercayai orang luar daerah ini dibawa ke IPD Hilir Perak untuk siasatan lanjut.

Katanya, pihaknya juga akan menyiasat dalang di sebalik aktiviti itu yang dipercayai dijalankan oleh penduduk tempatan.

Sinar Harian

Polis cari Samuel Thangaraju

24 Muharram 1433H. [MOD] -

IPOH – Polis mencari seorang pemandu lori yang terlibat dalam satu kemalangan maut pada 17 Mac lalu, membabitkan kenderaannya dengan sebuah motosikal, supaya hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini.

Individu dikenali sebagai Samuel Thangaraju a/l Jebamony, 38, beralamat Jalan Sungai Pari Buntong di sini, tidak pernah hadir ke mahkamah tetapi diwakili peguamnya. Waran tangkap juga telah dikeluarkan.

Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal maut dan pemboncengnya cedera.

Samuel Thangaraju diminta hadir ke mahkamah pada jam 8 pagi di hadapan Hakim Datuk Zainal Adzam Abd Ghani.

Orang ramai yang mengetahui dan dapat memberi maklumat individu berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Inspektor Hanum di talian 010-3915581 atau 05-2451546.

Sinar Harian

Penjual surat khabar disamun

24 Muharram 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang penjual surat khabar rugi lebih RM200 apabila disamun seorang lelaki tidak dikenali di Singapore Street, di sini, kelmarin.

Thien Yuen Yin, 63, yang sibuk berkemas untuk pulang terkejut didatangi seorang lelaki, yang disangkanya mahu membeli surat khabar.

Menurutnya, sebaik sahaja lelaki terbabit menghampirinya, suspek terus menolak basikalnya dan melarikan sebuah beg plastik berisi wang tunai serta beberapa barang berharga.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang," katanya.

Menurutnya, beg plastik berkenaan mengandungi wang hasil jualan surat khabar dan beberapa kotak rokok untuk dijual.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Champbell, di sini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komosioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat di bawah Sesyen 379 kerana mencuri.

Sinar Harian

Jangan sensasi isu masjid

24 Muharram 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Orang ramai dinasihatkan tidak mensensasikan isu Masjid Kariah Mantin yang disimbah cat Khamis lalu kerana kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, spekulasi yang ditimbulkan orang ramai dikhuatiri akan mewujudkan suasana tegang.

“Kita mohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kes ini kerana siasatan masih dijalankan.

“Setakat ini, kita telah mengambil keterangan beberapa orang saksi kejadian ini. Kita yakin siasatan akan selesai dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Sinar Harian, se­­ma­lam.

Hamdan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian, diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan perbuatan khianat.

Sementara itu, wakil pe­ngurusan Masjid Kariah Man­tin yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 50-an berkata, pihaknya akan melakukan kerja pembersihan dan mengecat semula tembok serta dinding masjid berkenaan yang dicemari cat merah, hari ini.

“Pihak pengurusan masjid telah mendapatkan kebenaran untuk membersihkan dan mengecat semula masjid daripada pihak polis.

“Kerja-kerja pembersihan akan dilakukan secara gotong royong,” katanya.

Sinar Harian

Fuziah sedia pertahan kerusi

24 Muharram 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bersedia mempertahankan kedudukannya di tempat yang sama jika dikekalkan di peringkat pusat dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13).

Menurutnya, pemilihan kerusi Kuantan diserahkan kepada peringkat pusat sama ada untuk mengekalnya atau memilih calon lain sebagai ganti.

“Saya telah lakukan yang terbaik, di sini tempat di mana saya dibesarkan hinggalah saya mencurahkan bakti saya kepada setiap masyarakat yang memerlukan.

“Jadi saya sentiasa bersedia untuk terus berkhidmat di sini dan mempertahankan pencalonan jika masih mempunyai laluan. Namun jika ada calon lain dirasakan lebih layak, saya akan menyokong kerana calon-calon yang ada semuanya terbaik.

“Selain itu, saya juga telah berjaya meletakkan Kuantan sebagai tempat yang baik jadi sangat yakin mereka yang terpilih boleh meneruskan usaha saya selama ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi.

Sementara itu, Fuziah sering turun padang bertemu masyarakat tanpa mengira waktu sama ada menjelang pilihan raya atau sebaliknya turut yakin dengan pendekatan yang digunakan ini.

Fuziah berkata, keadaan masih tidak membimbangkan kerana pengundi di sini nampaknya masih memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

“Selepas saya menang hingga kini, saya tidak berhenti bekerja dan turun padang bertemu dengan masyarakat dan rakyat di sini, khususnya. Ini kerana sistem kerja yang saya amalkan tidak berkala, jadi rakyat boleh nampak saya di mana-mana bersama mereka dan boleh meminta bantuan tidak mengira masa.

“Dengan itu, jika melihat kembali perjalanan kerja saya, rasanya pengundi sekarang sudah bijak menilai sendiri dalam memilih wakil rakyat yang layak,” katanya.

Sinar Harian

Pas perbanyak program komuniti

24 Muharram 1433H. [MOD] -

POKOK SENA - Pas Kawasan Pokok Sena akan memperbanyakkan Program Pemimpin Bersama Komuniti tahun hadapan, dalam usaha mengenal pasti masalah penduduk dan golongan sasaran yang memerlukan.

Yang Dipertua Pas Kawasan Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, program itu diadakan setiap dua minggu dan kini mula menampakkan hasil.

Menurutnya, melalui program itu pelbagai masalah dapat dikesan dan Majlis Ketua Kampung (MKK) akan memanjangkan masalah itu kepada wakil rakyat, seterusnya ke pengetahuan Kerajaan Negeri untuk tindakan lanjut.

“Pemimpin setempat seperti MKK yang akan mengenal pasti terlebih dahulu masalah yang dihadapi penduduk dan mengenal pasti individu yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada wakil rakyat dan Kerajaan Negeri.

“Kita juga akan memperbanyakkan lagi program turun padang seperti yang kita lakukan ini pada tahun hadapan kerana ia mampu mendekatkan pemimpin dengan masyarakat komuniti di seluruh kawasan Pokok Sena,” katanya kepada Sinar Harian semasa turun padang di Kampung Bukit Lada.

Lima kampung berjaya dilawati iaitu membabitkan Kampung Bukit Lada, Kampung Bukit Payong, Kampung Palas, Kampung Mata Air dan Kampung Lenchut Emat.

Mahfuz, yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menekankan peranan belia dalam menyumbangkan perubahan kepada kampung masing-masing

Menurutnya, peranan belia sangat penting untuk membawa perubahan kepada kampung kerana mereka mampu menyumbangkan tenaga dan juga buah fikiran.

“Generasi lama sudah tidak berkeupayaan lagi, maka generasi muda iaitu barisan pelapis bersama kita turun padang memperlihatkan komitmen, keupayaan dan kemampuan mereka yang sangat menyerlah dalam mengetahui masalah utama di kawasan mereka,” katanya.

Tambahnya, sambutan masyarakat pada program yang dianjurkan sebelum ini membuktikan program berbentuk sedemikian sememangnya dinantikan rakyat.

Sinar Harian

Tadika PASTI Pilihan Terbaik Rakyat Malaysia

24 Muharram 1433H. [MOD] -

IPOH: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) merupakan tadika berteraskan Islam yang menawarkan peluang pendidikan kepada kanak-kanak yang berusia 4 hingga 6 tahun di negara ini. Dengan kurikulum yang komprehensif, sistem pendidikan yang progresif dan guru-guru yang terlatih, PASTI telah menjadi pusat pendidikan kanak-kanak yang terbaik di Malaysia.

Sewaktu berucap merasmikan Hari Anugerah Kualiti PASTI Peringkat Kebangsaan di Hotel Seri Malaysia, Ipoh baru-baru ini, Muhammad Sabu, Timbalan Presiden PAS menyatakan bahawa PASTI ditubuhkan oleh PAS bagi melahirkan insan soleh yang pintar di negara ini.

Ia merupakan tanggungjawab PAS kepada masyarakat dalam bidang pendidikan bagi melahirkan generasi yang bertaqwa dan bijaksana. PASTI yang telah wujud lebih 25 tahun di negara ini mempunyai rangkaian cawangannya yang banyak bagi memudahkan masyarakat mendapatkan pendidikan yang lengkap untuk anak-anak mereka. Di PASTI, murid-murid dididik dan diasuh dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang dapat membangunkan rohani, intelek, emosi dan jasmani mereka mengikut acuan Islam.

Menurut Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Hassan Ahmad, ibu bapa yang menghantar anak-anak ke PASTI sebenarnya telah membuat keputusan yang bijak dan tepat kerana PASTI terbukti telah berjaya mendidik dan membimbing serta menanamkan asas-asas Islam yang kukuh kepada kanak-kanak.

Dalam menghadapi situasi gejala sosial yang semakin menjadi-jadi di negara ini, ibu bapa sepatutnya menghantar anak-anak mereka ke PASTI supaya anak-anak mereka memiliki sahsiah dan benteng agama yang mantap. Tambah beliau lagi, misi PASTI adalah mahu menjadikan murid-murid mampu menguasai 5M, iaitu `membaca, menulis, mengira, menghafal dan mengamal’.

PASTI akan melaksanakan beberapa inovasi dan program baru untuk murid-muridnya seperti program Pra-Tahfiz PASTI, solat dhuha, kaedah dan teknik pengajaran-pembelajaran terkini dan sebagainya. “PASTI berhasrat menjadi pusat pendidikan kanak-kanak terunggul di negara ini dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia’, tambah beliau.

Kejayaan PASTI kerana kehebatan kurikulumnya dan kemahiran guru-gurunya. Kurikulum dan kandungan pendidikan yang disampaikan oleh PASTI jelas lebih jauh kehadapan dalam sistem pendidikan prasekolah yang ada di negara ini.

Sempena Hari Anugerah Kualiti PASTI Malaysia tersebut, persembahan khutbah dan nasyid oleh murid-murid PASTI serta pelancaran Manual Pengurusan PASTI turut diadakan.

Bagi ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka yang berusia 4 hingga 6 tahun ke mana-mana PASTI di negeri Perak ini, pendaftaran masih dibuka. Untuk maklumat lanjut, dapatkan maklumat dengan menghubungi 017-5525949 (En.Ridzuan Rashid) atau email: pastiperak@yahooo.com, Facebook: pastimalaysia.

Dengan kurikulum yang komprehensif, sistem pendidikan yang progresif dan guru-guru yang terlatih, PASTI telah menjadi prasekolah berteraskan Islam yang terbaik di Malaysia. Misi PASTI adalah mahu menjadikan murid-murid mampu menguasai 5M, iaitu `membaca, menulis, mengira, menghafal dan mengamal’.

SAFARIZAL SALLEH/-

Tarik anak muda ceburi politik

24 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA KLAWANG - Media baru menjadi salah satu faktor penarik bagi golongan muda menceburkan diri dalam arena politik, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Aziz.


Nik Abduh berkata, situasi sekarang tidak seperti zaman pasca kemerdekaan di mana politik hanya menarik minat golongan tua kerana mereka hanya cenderung membaca akhbar yang diterbitkan pada masa itu.

Menurutnya, anak muda hari ini bukan sahaja berhibur dengan muzik atau filem kegemaran mereka, malah mula memberi tumpuan kepada arena politik.

“Jika dahulu anak muda sering melakukan kerja yang tidak ada kaitan dengan politik dan ia menjadi asing bagi mereka.

“Tetapi kini berbeza, di tangan mereka ada beratus-ratus maklumat dan berita mengenai politik yang mereka baca dari seluruh dunia,” katanya pada Majlis Ceramah Umum Pas yang diadakan di Balai Islam Kampung Kuala Pah, se­ma­lam.

Hadir sama, Adun Paroi, Mohamad Taufek Abdul Ghani; Pesuruhjaya Pas Me­laka, Adly Zahari; Ketua De­wan Pemuda Pas Negeri Sembilan, Khairul Anuar Wafa dan Yang Dipertua Pas Kawasan Jelebu, Kateran Marman.

Nik Abduh berkata, Pas turut memberi kepercayaan kepada golongan muda untuk menjawat jawatan pesuruh­jaya Pas negeri.

Menurutnya, hal itu dibuktikan dengan kedua-dua jawatan tersebut disandang oleh golongan muda di Melaka dan Negeri Sembilan.

“Tidak ada di tempat lain jawatan pesuruhjaya ini disandang oleh orang muda kecuali Melaka dan Negeri Sembilan.

“Ini membuktikan Pas percaya orang muda mampu meneruskan perjuangan Pas dan membuat kerja-kerja untuk parti bagi mencapai matlamat perjuangan,” katanya.

Beliau berkata, Pas adalah parti Islam dan perjuangan Pas mudah iaitu mahu membawa orang Melayu kembali kepada agama Islam.

“Namun ada segelintir mengatakan Pas membawa Islam yang tidak betul. Apabila orang mendengar seruan kembali kepada Islam, adakah ia tidak berguna?,” katanya.

Katanya, kepercayaan diberikan rakyat di kedua-dua buah negeri itu me­nunjukkan mereka yakin dengan perjua­ngan Pas meskipun diketuai oleh golongan muda.

Sinar Harian