30 Januari 2012

Pameran festival keranda bentuk unik

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PARA pelawat melihat keranda berbentuk kasut balet.

LONDON - Satu pameran tentang pelbagai bentuk keranda unik bagi memenuhi permintaan orang ramai apabila mereka meninggal dunia diadakan di London.

Pelbagai bentuk keranda seperti kapal terbang, gerabak kereta api lama, biola dan singa dipamerkan yang dihasilkan oleh pembuat keranda Crazy Coffins yang beribu pejabat di Nottingham, Britain.

"Saya tidak berfikir bahawa tiada benda yang kami tidak boleh lakukan," kata Pengarah Urusan Crazy Coffins, David Crampton.

"Para pelanggan merupakan pereka, kami hanya membuat apa yang mereka mahu.

"Kami menyatakan kepada mereka (para pelanggan), terdapat satu pilihan terakhir," katanya.

Firmanya itu membuat keranda dalam pelbagai bentuk seperti bot Viking, kereta Rolls-Royce, papan luncur dan layang-layang. - AFP

Akar pokok ganjil menyerupai jantung manusia

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA TINGGI – Siapa sangka hobi sepasang suami isteri di sini, yang gemar masuk hutan mencari akar kayu telah menemukan mereka dengan akar pokok ganjil menyerupai jantung manusia.

Pasangan berkenaan, Madon Ismail, 65, dan Fatimah Ibrahim, 55, yang tinggal di Kampung Tembioh pernah menolak tawaran sebanyak RM10,000 daripada rakan yang berminat mahu memiliki akar ganjil itu.

Madon berkata, keunikan akar ganjil itu membuatkannya mudah menolak tawaran daripada mereka yang mahu membelinya.

“Pertama kali apabila saya terjumpa akar ini iaitu pada tahun lepas, saya bersama isteri sedang mencari akar kayu di sebuah hutan berhampiran Bukit Aping,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, ketika sedang mendaki bukit, dia berasa aneh apabila ternampak akar pada sebatang pokok yang mempunyai bonggol besar di bahagian hujungnya.

“Didorong perasaan ingin tahu dan merasakan ia sesuatu yang ganjil, saya mengambil keputusan mengorek tanah berkenaan. Ternyata, usaha yang dilakukan tidak sia-sia apabila mendapati akar itu seakan jantung manusia.

“Dengan pertolongan anak-anak, kami berjaya membawanya pulang ke rumah. Namun, ia terpaksa mengambil masa selama dua hari ekoran akar berkenaan yang terlalu berat,” katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata, ekoran penemuan ganjil itu ramai saudara mara dan rakan yang datang ke rumah mereka untuk melihat sendiri akar itu.

“Ia adalah keajaiban ciptaan ALLAH SWT, malah kami juga tidak menyangka akan menjumpai akar seaneh ini. Setelah dibersihkan dan divarnis, akar berkenaan kini dijadikan hiasan di rumah dan sehingga kini ada sahaja kunjungan daripada rakan dan saudara yang ingin melihat sendiri akar itu,” katanya.

Menurutnya, kerana merasakan ia sesuatu yang unik dan sukar dijumpai terutama pada zaman ini, mereka lebih suka menjadikan ia sebagai koleksi perhiasan di rumah berbanding dijual.

“Kami berat hati untuk menjualnya malah telah banyak kali menolak tawaran daripada pelbagai pihak yang ingin membeli akar ganjil ini walaupun ditawarkan dengan harga yang lumayan,” katanya.

Sinar

PAS tidak iktiraf kewujudan Israel

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 30 Jan: Sekalipun atas nama untuk mengambil hati Amerika Syarikat demi masa depan Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, tidak sekali-kali wajar dan layak untuk pimpinan parti untuk menyokong Israel apa lagi untuk memberikan perlindungan kepada golongan yang dilaknak Allah SWT.

Itulah ketegasan yang diambil para pemimpin PAS dalam kontroversi yang dicetuskan melalui putar belit media terhadap artikel Wall Street Journal (WSJ) yang memetik kata-kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong segala usaha mempertahankan Israel.

Media milik Umno dan para pemimpinnya sedang giat menggunakan petikan kata-kata Anwar di WSJ yang berbunyi I support all efforts to protect the security of the state of Israel untuk melakukan serangan bertubi pada beliau sebagai penyokong zionis.

Ketua Umum PKR itu turut mengeluarkan satu kenyataan mengecam pihak-pihak yang memutarkan kenyataannya dan menjelaskan bahawa beliau ada menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi ketika ditemubual oleh WSJ pada hari Khamis, 26 Januari 2011.

“Saya juga mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati,” kata beliau, sambil menegaskan bahawa pendirian beliau selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative) yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai Two-State Solution.

WSJ turut menyatakan bahawa Anwar tidak berkata beliau akan membuka pertalian diplomasi dengan Israel.

Dalam reaksi spontan di Facebook, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi mengingatkan para pimpinan bahawa “Israel adalah sebuah entiti haram.”

“Ia terlalu besar dosanya terhadap ummat Islam seaqidah meskipun kita berada jauh di Tanah Melayu,” tegas beliau.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan pendirian PAS yang tidak mengiktiraf kewujudan Israel.

“Mereka mendapat tanah itu secara kejam, membunuh dan menghalau rakyat Palestine daripada buminya sendiri. Bukan menjajah, tapi secara merampas secara kejam bersama tentera Haganah pada tahun 1948.

PAS tidak akan mengiktiraf kewujudan Israel,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mahfodz Mohamad menegaskan pendirian Pakatan Rakyat adalah untuk berdiri di tempat orang yang ditindas, dan bukannya yang menindas, di mana dalam isu ini ialah Israel.

“Sejarah telah menunjukkan bahawa untuk meluaskan negerinya, Israel telah menghalau rakyat Palestine keluar daripada tanah mereka ketika peperangan meletus pada 1948.

Ramai rakyat Palestine dihalau keluar dari rumah mereka untuk membuka ruang kepada Israel. Mereka sampai hari ini masih dalam kesusahan. Sebagai warga Muslim, kita mesti bersama mereka, dan bukan sebaliknya,” tegas beliau yang dipetik News Straits Times.

Harakah Daily

Portfolio agama: Umno sengaja cetus provokasi

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 30 Jan: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Dr Ahmad Yunus Hairi berpendapat tindakan mempersoal kononnya PAS dipinggir ekoran tidak diberi portfolio agama di Selangor hanya permainan politik Umno.

Menyifatkan tuduhan itu liar dan tidak berasas, Dr Yunus yang memegang portfolio Belia, Sukan dan Adat Resam Melayu berkata, tindakan Umno itu juga sebagai cubaan melaga-lagakan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Beliau menjelaskan, keputusan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim untuk memegang sendiri portfolio agama Islam yang sebelum ini dipegang bekas exco Datuk Dr Hasan Mohd Ali adalah keputusan terbaik untuk negeri itu khususnya berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

"Ini antara strategi, dalam masa singkat untuk menghadapi pilihan raya sudah tentu Menteri Besar mempunyai pandangannya sendiri.

"Kalau kita lihat di beberapa negeri lain, seperti saya dapat maklumat di Johor dan Pahang pun potfolio agama ini secara automatik di bawah Menteri Besar. Jadi ini bukan sesuatu yang terlalu ada kelainannya," ujarnya dalam satu temubual dengan Harakahdaily di pejabatnya baru-baru ini.

Dr Yunus yang juga Adun Sijangkang dilantik menjadi exco Selangor pada 18 Januari lalu menggantikan Dr Hasan yang dipecat keahliannya dari PAS.

Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai pembantu Exco Belia dan Sukan yang dipegang oleh Tan Sri Khalid.

Bagaimanapun selepas perlantikannya sebagai exco, kerajaan Selangor membuat rombakan kecil portfilio exconya.

Melalui rombakan itu, portfolio Infrastruktur dan Hal Ehwal Agama Islam yang dipegang Dr Hasan sebelum ini dipegang olehnya sendiri manakala portfolio Belia, Sukan dan Adat Resam Melayu diberi kepada Dr Yunus.

"Saya lihat (pertikaian) ini hanya (datang) dari parti lawan khususnya Umno. Selepas saya dilantik exco, ada pemimpin Umno call, SMS kata kenapa PAS dipinggir..., padahal PAS berlapang dada dan menyambut baik keputusan Menteri Besar itu.

"Saya ada dipanggil oleh setiausaha kepada Presiden PAS yang memaklumkan bahawa perlantikan saya ini mendapat restu daripada PAS Pusat, dan beberapa pimpinan PAS juga mengirimkan SMS mengucapkan tahniah," katanya lagi.

Sementara itu beliau turut membidas cubaan pihak tertentu yang mengantung kain rentang dibeberapa kawasan di negeri itu kononnya Dewan Pemuda PAS Selangor membantah tindakan yang tidak memberikan portfolio agama itu kepada PAS.

Sedangkan, Dewan Pemuda PAS negeri sendiri telah menafikan kaitan mereka dengan kain rentang itu dan menyatakan sokongan penuh kepadanya.

"Saya lihat ini dibuat oleh golongan yang sengaja nak cetus provokasi.

"Saya yakin tohmahan-tohmahan ini hanya akan berlalu begitu sahaja," jelasnya.

Harakah Daily

Tawaran bijak dari Ustaz Hadi

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KURANG dari sebulan selepas Dato Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pilihannya untuk jadi nelayan biasa apabila ada calon Perdana Menteri yang dapat memenuhi kehendak politik Islam, beliau menyampaikan pula hasratnya jika disetujui untuk melepaskan salah satu dari kerusi wakil rakyat yang disandangnya – ADUN atau Anggota Parlimen.

Ia adalah perkembangan fikiran yang bijak dari seorang pemimpin yang masih mendapat kepercayaan penuh dari parti yang dipimpinnya dan dari penyokong dan pengundinya.

Tugas wakil rakyat bagi dua kerusi yang disandangnya adalah berat baginya ditambah pula oleh tanggungjawabnya sebagai Presiden PAS yang kian berperanan. Sekali pun ia dilihat berat untuk menggalas semua kerja oleh seorang sepertinya yang usia kian bertambah dan masalah kesihatan juga ikut mengiring usia yang bertambah itu, tetapi semua tugas dan tanggungjawab tidak terbeban sangat baginya kerana ia dapat diringankan oleh kekuatan parti dan penyokongnya yang berfungsi.

Parti dan penyokongnya bertanggungjawab berada di belakangnya mahu melihatnya berjaya melaksanakan tugasnya dan mereka berperanan memastikan beliau berjaya dengan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dan pemimpin parti Islam yang penting di rantau ASEAN.

Kekuataannya ialah dia bekerja secara berjamaah dan jamaah bekerja bersamanya. Sebagai pemimpin dan wakil rakyat beliau adalah simbol, dan kerjanya dibuyat oleh semua. Jika beliau kekal dengan dua kerusi itu, tidak banyak menambah beban jamaah dan jika dikosongkannya satu kerusi tidak pula mengurangkan kerja jamaah.

Tetapi dengan mengosongkan satu kerusi, ia adalah satu sikap tidak gila kuasa dan tidak sayang melepaskan kuasa serta tidak mahu memusatkan kuasa kepada satu orang.

Ia adalah tanda Ustaz Hadi percaya ada orang lain juga boleh membuat kerja seperti yang dibuatnya dan percaya ada orang yang boleh membuat apa yang sepatutnya dibuat oleh seorang wakil rakyat Islam, maka ketika itu beliau dapat membuat kerja lain.

Dengan Ustaz Hadi masih ada di rumahnya dan masih menjadi Presiden PAS, maka mana-mana kerusi yang dikosongkan tidak akan terasa ketiadaannya. Beliau tetap dirasakan berada di tengah mereka, cuma satu daripada kerjanya selama ini dibuat oleh orang lain.

Telah disebutkannya akan ada masa yang lebih baginya menumpukan tanggungjawab sebagai pemimpin parti dan ada peluang lebih masa untuk ke laut sebelum menjadi nelayan tetap.

Ke laut adalah hobinya. Menangkap ikan bukan sumber pendapatan dan mata pencariannya. Keutamaannya ada berdakwah. Bagi ulama berdakwah bukan satu mata pencarian. Abu Zar diberi pencen tetap sebagai sahabat awal generasi pertama oleh Khalifah Umar al-Khatab.

Tetapi Abu Zar tidak menjadikan pencennya sebagai sumber pencariannya. Saraan hidupnya adalah menganyam bakul. Logiknya Ustaz Hadi mahu beralih semasa masih bertenaga menjadikan hobi ke laut sebagai mata pencarian sambil terus berdawah.

Pilihannya itu adalah setelah memastikan Islam sudah dapat dijalankan oleh orang lain. Setelah lebih 40 tahun dalam dakwah politik tugas itu sudah boleh digalas oleh anggota jamaah yang ramai.

Parti boleh menimbang untuk menerima tawaran itu atau biar dulu. Yang penting Ustaz Hadi telah meringankan jamaah supaya memikirkan gantinya buat apa jawatan jua bila dirasakan perlu. Jamaah tidak lagi terikat bahawa calon adalah beliau juga. Beliau sekarang memberi peluang kepada jamaah, jangan teragak-agak untuk mencalonkan orang lain di salah satu kerusinya itu.

Dengan tawarannya itu tidak semestinya beliau tidak dicalonkan lagi, tetapi jika jamaah merasa wajar permintaannya diterima, maka boleh mencalonkan orang lain. Ia adalah kesempatan kepada jamaah memikirkan ganti Ustaz Hadi dalam semua kedudukan.

Apa yang disebut Ustaz Hadi itu satu permulaan bagi parti berfikir tentang pelapis. Politik di zaman Khalifah tidak bercakap tentang pelapis. Ganti khalifah dibuat apabila tiba masanya. Politik dunia demokrasi yang PAS ada dalam suasana itu, sekali pun politiknya adalah siasah syariyah, soal pelapis sentiasa menjadi perhatian penting.

Ustaz Hadi seperti mengajak semua berfikir ke arah itu. Ia perkembangan yang sihat.

Harakah Daily

PRU13: Ambil iktibar daripada politik semut

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BERA, 30 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajak rakyat, terutamanya orang Melayu menjadi ‘hakim’ dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang iaitu berani membuat keputusan.

Katanya, rakyat perlu berani berubah daripada keadaan sekarang di mana apabila tiba musim PRU seolah-olah sebagai pesta dan musim untuk mendapatkan wang.

Tambahnya, hasil daripada tidak memahami konsep sebenar politik dan pilihan raya inilah yang menyebabkan rakyat akhirnya boleh diperkotak-katikkan kerana mereka seolah-olah boleh dibeli.

“Sekarang sudah menjadi trend apabila menjelang pilihan raya, rakyat memikirkan berlumba-lumba nak dapat duit yang ditabur kerajaan dan peluang nak dapat durian runtuh tanpa menyedari kesilapan memilih kerajaan menyebabkan sengsara selama lima tahun selepas itu.

“Sepatutnya kesempatan yang ada diambil rakyat jadi hakim. Bila parti memerintah silap mereka tukar kerajaan seperti berlaku di England, Amerika, India, Indonesia dan lain-lain negara yang mengamalkan demokrasi. Maknanya mereka menjadi hakim.

“Malangnya di tempat kita sejak 50 tahun dulu, bila tiba musim PRU orang kita sibuk nak dapatkan duit menjadikan kuasa rakyat yang sebenar seolah-olah dapat dibeli,” katanya ketika berceramah dalam ucara kemuncak Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Parlimen Bera malam tadi.

Turut berceramah pada hari terakhir sambutan ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Anak, Mazlan Aliman, Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin dan Pengerusi DAP Negeri Pahang, Leong Ngah Ngah yang juga Adun Triang.

Abdul Hadi turut mengajak pendengar supaya mengambil iktibar daripada kisah politik semut pada zaman Nabi Sulaiman di mana apabila tentera melalui kawasan mereka, semut-semut yang lemah itu berfikir untuk menyelamatkan diri.

Tambahnya, kisah dalam Al-Quran ini sepatut boleh membuatkan kita berfikir bagaimana semut yang lemah menghadapi sebuah kerajaan.

“Cuba tengok orang kita bila orang besar datang, mereka sibuk berkerumun nak dapatkan duit tanpa sedar kuasa dan peranan yang kita ada. Jadi saya seru marilah menjadi rakyat yang bijaksana.

“Cukuplah kita beri peluang kepada Umno-BN memerintah. Selama 50 tahun merdeka masih banyak rakyat yang miskin, orang muda ramai yang menjadi penganggur.

“Maknanya selama ini masalah kemiskinan tak boleh selesai kerana kekayaan berlegar di kalangan kroni. Semua orang tahu bahawa hasil negara dan sumber mentah begitu mewah tetapi rakyat miskin,” tegasnya.

Harakah Daily

Kenapa barang murah di kedai 1Malaysia sahaja?

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BERA, 30 Jan: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan rasa kesal dengan stail pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan barangan murah di kedai satu Malaysia sahaja.

Katanya, sepatutnya tugas kerajaan ialah memastikan semua barangan murah di mana saja kerana kenaikan harga barang yang melambung tanpa kawalan menyebabkan rakyat sentiasa berada dalam kesempitan.

Mengenai isu di negeri ini, Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata isu yang sangat kritikal di kalangan rakyat ialah isu tanah.

“Ada yang menduduki dan mohon tanah memakan masa sama 30 tahun. Bahkan untuk mendapat tahu kelulusan tanah saja memakan masa bertahun-tahun dan terpaksa menempuh hampir 30 meja untuk proses itu saja. Sebab itu antara tawaran PAS pada PRU akan datang ialah memastikan tanah sekurang-kurangnya lot rumah untuk setiap isi keluarga.

“Kita akan contohi Kerajaan PAS Terengganu, apabila menang pada tahun 1999 kerajaan berjaya proses puluhan ribu permohonan tanah,” katanya ketika berceramah pada Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Parlimen Bera malam tadi.

Turut berceramah pada hari terakhir sambutan ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Anak, Mazlan Aliman, Pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin dan Pengerusi DAP Negeri Pahang Leong Ngah Ngah yang juga Adun Triang.

Berucap mengenai isu yang sama, Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, pihaknya akan mengedarkan borang permohonan tanah kepada rakyat dan projek perintis akan bermula di Johor bulan depan.

“Ini komitmen PAS sesuai dengan konsep Negara Berkebajikan yang mahu diketengahkan. Usaha ini kita buat awal kerana sekiranya Pakatan Rakyat berjaya ke Putrajaya pada PRU akan datang masalah tanah rakyat dapat diselesaikan segera,” ujarnya.

Harakah Daily

13 kereta disembur cat merah di bengkel di Kuantan

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Kesemua 13 buah kereta di sebuah bengkel di Taman Indera Sempura di sini telah disembur dengan cat merah semalam.

Kejadian tersebut disedari oleh pemilik bengkel itu selepas seorang pelanggan mengadu kepadanya kira-kira 8 pagi.

"Setelah diperiksa, pemilik berkenaan mendapati kesemua 13 kenderaan yang ditinggalkan di bengkelnya disembur cat merah," kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supt Mohd Haris Daud.

Mangsa dikatakan mengalami kerugian kira-kira RM20,000.

Motif sebenar kejadian masih disiasat.

Sementara dalam satu kes berasingan, seorang pencuri kasut kulit berjenama ditahan Sabtu lalu.

Mohd Haris berkata kecurian itu dikesan kira-kira 11 pagi oleh mangsa melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumahnya di Jalan Haji Ahmad di sini.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan menunjukkan rakaman CCTV berkenaan kepada polis sebelum suspek berjaya ditangkap pada 7 petang di kawasan berhampiran rumah mangsa," katanya.

Beliau berkata suspek kemudiannya mengaku telah memanjat rumah mangsa dan melarikan kasut tersebut yang kemudian disorokkan di kawasan pokok buluh di Jalan Beserah.

Suspek yang berumur 29 tahun dan merupakan seorang kalendan lori mempunyai empat kesalahan jenayah lampau.- Bernama

Sinar Harian

Kanak-kanak Orang Asli terbunuh dalam kemalangan di Tapah

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IPOH - Seorang kanak-kanaK Orang Asli berumur 12 tahun terbunuh dalam kemalangan di Km48, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Tapah
semalam.

Motosikal yang ditunggang Jesez Kial a/l Pandak dikatakan bergesel dengan sebuah kereta di hadapannya, menyebabkan dia terjatuh di atas jalan sebelum dirempuh sebuah kereta dari belakang.

Menurut Pemangku Ketua Polis Trafik Negeri, DSP Mohamad Roy Hashim, mangsa dari Kampung Batu Berangkai, Kampar meninggal di tempat kejadian yang berlaku kira-kira 6.45 pagi.

Beliau berkata mangsa dalam perjalanan dari rumahnya untuk ke pekan Tapah.

Dalam satu lagi nahas kira-kira 3.50 petang semalam, seorang warga emas Hwang Huai Hoi, 74, terbunuh selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan di Jalan Muzium, pekan Taiping.

Sementara itu seorang pemuda G. Munesh Paran, 24, turut terbunuh selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler di Jalan Batu 7, Sitiawan pada pukul 9.30 malam.

Seorang penunggang motosikal Andrew Tan Swee Choong, 32, juga terbunuh apabila motosikalnya terbabas ketika melalui selekoh di Km337, Jalan Gerik-Jeli pada pukul 11 pagi semalam. - Bernama

Sinar Harian

Curi duit bapa untuk ‘enjoy’, pelajar SPM berdepan penjara

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Dek kerana penangan siber kafe, seorang anak sanggup ‘mencilok’ duit bapanya sendiri bagi membolehkannya menghabiskan waktu bersama rakan-rakannya.

Bagaimanapun, tindakan pelajar yang kini sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu membawa padah apabila bapanya membuat laporan polis dan dia akhirnya didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang berusia 17 tahun itu telah didapati dengan niat curang mencuri wang tunai RM500 dan sebuah telefon bimbit pada 17 Januari kira-kira jam 7.10 pagi hingga 20 Januari kira-kira jam 8.30 pagi di Taman Permint Jaya, Chendering, dengan anggaran kerugian kira-kira RM540.

Oleh yang demikian, dia didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh di penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif, manakala pertuduhan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.

Selepas mendengar pengakuan tertuduh, Noradila menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebut semula dan menetapkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 8 malam pada 15 Januari lalu, pengadu, iaitu bapa tertuduh berumur 43 tahun dan bekerja dalam bidang pemasaran telah memasukkan RM500 ke dalam sampul surat serta diletakkan di atas rak kain.

Kali terakhir duit itu dilihat adalah pada 17 Januari lalu, kira-kira jam 7.30 petang manakala pada 20 Januari kira-kira jam 8.30 pagi, pengadu melihat semula wang itu dan mendapati ia telah tiada, dipercayai telah dicuri oleh anaknya sendiri.

Pada 17 Januari juga, iaitu kira-kira jam 7.10 pagi, bapanya juga mendapati telefon bimbitnya yang diletakkan di ruang tamu telah tiada dan mengesyaki anaknya juga yang mencuri.

Hasil siasatan polis mendapati, tertuduh mengaku mencuri telefon bimbit itu dan menjualnya pada harga RM30. Tertuduh juga mengaku mencuri wang tunai bernilai RM500 dan membelanja rakan-rakannya dan menghabiskannya di siber kafe.

Pelajar yang sedang menunggu keputusan SPM dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam kerana mencuri duit bapanya sendiri.

Sinar Harian

Hukuman jalin cinta terlarang

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SUNGAI PETANI: Akibat menjalin hubungan terlarang dengan isteri orang, seorang lelaki menerima padah apabila kedua-dua kaki dan tangannya hampir putus ditetak dengan parang oleh sekumpulan lelaki dalam pergaduhan di depan rumah kekasih mangsa di Jalan Kuala Ketil, dekat sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 2 pagi apabila mangsa yang berusia 30-an dan sudah berkahwin datang ke rumah kekasihnya itu untuk bersemuka dengan suami wanita berkenaan yang berusia 30-an bagi menjelaskan hubungannya dengan isteri lelaki terbabit.

Sebelum ini, mangsa didakwa menjalin hubungan sulit dengan isteri lelaki terbabit sehingga menimbulkan syak dan kemarahan suami wanita itu.

Berikutan itu, mangsa mengambil keputusan nekad untuk bertemu suami wanita berkenaan dan pertemuan itu dihadiri isteri lelaki itu sebagai saksi.

Sumber berkata, pertemuan yang berlangsung di luar rumah lelaki berkenaan bertukar tegang apabila berlaku pertikaman lidah antara mereka berdua sebelum disertai beberapa lelaki lain dipercayai rakan suami wanita itu.

metro/-

Presiden Yaman berubat di AS

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NEW YORK: Presiden Yaman Ali Abdullah Saleh, yang dijangka melepaskan jawatan bulan depan, tiba di Amerika Syarikat kelmarin dalam lawatan untuk mendapatkan rawatan perubatan bagi kecederaan akibat terkena bom sebelum ini.

Pesawat yang membawa pemimpin itu berlepas dari Oman untuk ke Amerika Syarikat, singgah di Lapangan Terbang Stansted London untuk mengisi petrol mengakhiri spekulasi sama ada beliau akan melakukan lawatan itu.

“Presiden Saleh tiba petang ini di Amerika untuk lawatan singkat bagi menjalani rawatan,” kata jurucakap Kedutaan Yaman di Washington, Mohammed Albasha dalam satu kenyataan.

Dalam perjalanan yang dianggap rahsia itu, tiada pengesahan di mana lokasi ketibaan Saleh.

Sumber British memberitahu AFP bahawa Saleh dalam perjalanan ke New York dan pesawat membawanya singgah di London untuk mengisi minyak.

Namun, walaupun media melaporkan bahawa Saleh akan dirawat di Hospital Presbyterian New York, jurucakap hospital itu, Kathy Robinson, memberitahu AFP: “Presiden ketika ini bukanlah pesakit,”

Selain menyediakan Saleh peluang untuk mendapatkan bantuan perubatan, pemergiannya di Amerika dilihat sebagai membantu memudahkan peralihan kuasa di negara itu daripada tiga dekad pemerintahannya.

Selepas beberapa bulan penentangan berdarah di Yaman, Saleh akhirnya menandatangani perjanjian peralihan kuasa pada November.

Di London, jurucakap Pejabat Luar Negara mengalu-alukan kedatangan pemimpin Yaman itu.

“Pada masa pergolakan dan di Yaman dan ancaman yang semakin meningkat, kita melihat ia membantu Presiden Saleh keluar dari negara itu menjelang pilihan raya presiden sementara pada Februari,” jurucakap British.

Saleh cedera parah dalam satu pengeboman di istana presiden di ibu negara Sanaa Jun lalu dan dihantar ke Arab Saudi untuk dirawat.

Beliau berada di Oman sejak Ahad lalu bersama isteri dan lima anaknya.
Awal minggu ini, laporan menyatakan beliau sudah meninggalkan negara itu tetapi ia tidak benar.

Pemerhati hak kemanusiaan mengutuk keputusan membenarkan Saleh memasuki Amerika.

“Sungguh mengerikan, Presiden Saleh tiba di Amerika untuk menerima rawatan kelas pertama, pada masa sama ratusan mangsa di Yaman dibiarkan tanpa rawatan perubatan dan pasti tiada keadilan bagi kekejaman dialami.

“Pentadbiran Presiden Barack Obama mesti menegaskan mereka yang bertanggungjawab bagi kekejaman di Yaman akan dibawa ke kandang tertuduh,” kata aktivis Majlis Keadilan Antarabangsa Balkees Jarrah.

Duta Amerika ke Yaman, Gerald Feierstein, berkata Saleh diberikan visa atas alasan perubatan semata-mata.

“Kami rasa ketiadaannya akan membantu peralihan, kami fikir ia akan membantu atmosfera,” katanya.

Saleh dijadualkan ke New York bagi rawatan akhir tahun lalu. – AFP

CCTV cegah ponteng sekolah

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

RAWANG – Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan belakang sekolah antara langkah yang akan diambil untuk mengatasi masalah ponteng sekolah dan pencerobohan orang luar.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Rawang (Semekar), Mohd Saufi Shafie berkata, perancangan tersebut dijangka dilakukan dalam masa terdekat.

Menurutnya, usaha tersebut dicadangkan ibu bapa dan pihak sekolah selepas selepas menerima banyak aduan kehilangan, kerosakan harta sekolah dan masalah disiplin pelajar.

“Pemasangan CCTV dibuat sebagai komitmen kita memastikan sekolah sentiasa selamat dan meyakinkan kepada ibu bapa bahawa PIBG sentiasa komited dalam menjaga kebajikan sekolah dan pelajar.

“Kita juga akan menaikkan infrastruktur dan prasarana yang dirasakan perlu untuk pembangunan pelajar dari semasa ke semasa,” katanya sewaktu mempengerusikan mesyuarat PIBG Kali Ke-32 SMK Rawang, kelmarin.

Selain itu katanya, PIBG sedang giat mengumpul dana berjumlah RM200,000 untuk memasang bumbung tempat perhimpunan.

“Setakat ini pihak sekolah hanya dapat mengumpul dana RM40,000 dan memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk memulakan projek tersebut.

“Pelan struktur bangunan telah dihantar kepada Jabatan Pelajaran Selangor dan masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Pelajaran untuk kelulusan dan dijangka diperoleh Februari ini,” katanya.

Justeru itu katanya, untuk merealisasikan pembinaan bumbung itu, PIBG bersama sekolah merencanakan pelbagai projek untuk mengutip dana.

“Kita merancang untuk mengadakan karnival dan program yang membolehkan kutipan dibuat selain mengedarkan borang sumbangan kepada orang perseorangan.

“Mesyuarat juga sebulat suara untuk meminta setiap ibu bapa menyumbang RM30 dan dijangka dapat mengutip melebihi RM80,000,” katanya.

Sinar Harian

Dasar sekular kerajaan punca gejala murtad

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 30 Jan: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Pusat Mengenai Murtad seperti yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Kami mendapati bahawa gejala murtad yang tidak boleh dinafikan berlaku di kalangan umat Islam perlu segera dibendung terutama ancaman sekularisme yang mendasari dasar-dasar kerajaan telah menjadi punca utama gejala ini semakin parah,” kata presidennnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, jawatankuasa yang ditubuhkan itu perlu memberi perhatian serius kepada punca murtad berlaku.

Menurutnya, murtad tidak boleh hanya dilihat dari sudut undang-undang semata-mata tetapi juga harus ditangani dari pelbagai faktor lain iaitu sosio-budaya, pendidikan dan ekonomi masyarakat.

Katanya, kebiasaannya mereka yang menjadi mangsa murtad ialah apabila mereka didekati oleh pihak lain yang sememangnya mempunyai hasrat untuk mempengaruhi agar mangsa dimurtadkan.

Tambahnya, kini sudah ujud kes murtad golongan remaja hanya kerana terpengaruh dengan perhubungan dalam facebook.

Menurutnya lagi, gejala perhubungan diluar pengetahuan ibubapa dan guru telah mendedahkan remaja kepada penukaran agama tanpa diketahui oleh sesiapapun.

“Kami sangat khuatir terhadap gejala mereka yang murtad tetapi terus berpura-pura masih Islam,” katanya kpada Harakahdaily.

Beliau berkata, kes ibu bapa dikejutkan dengan pengakuan anak-anak yang keluar dari Islam pernah berlaku dan hal ini sangat perlu diberi perhatian serius.

Kami memandang serius gejala murtad yang berkembang dikalangan anak muda akibat masalah keluarga yang tidak dapat dikendali dengan baik.

Justeru, ujarnya, Teras juga berpendapat adalah sangat penting jawatankuasa itu membantu negeri-negeri sama ada negeri yang sudah ada enakmen mengenai larangan menyebar agama lain dari Islam kepada orang Islam atau negeri yang masih belum ada enakmen berkenaan.

Katanya, kerjasama bersepadu dengan semua agensi hendaklah dilakukan jika jawatankuasa ini serius untuk mengatasi gejala murtad.

Menruutnya, isu penguatkuasaan undang-undang perlu diatasi segera kerana ia akan memberi imej kepada wibawa pihak berkuasa agama.

Ujarnya, jika enakmen yang ada tidak dikuatkuasa walaupun sudah terbukti pihak yang terbabit bersalah maka enakmen dan agensi yang wujud akan menjadi momokan masyarakat.

Jawantankuasa tersebut juga, ujarnya perlu memberi perhatian kepada mengkaji dan menyemak semua enakmen mengenai murtad yang ada di negeri-negeri.

Ini, katanya adalah kerana ada negeri yang maseh mempunyai kelonggoran dalam isu murtad sehingga pihak yang mahu memohon menukar nama dan agama dari Islam kepada bukan Islam boleh berbuat demikian di negeri tersebut.

“Kami juga sangat prihatin terhadap pelbagai kes taraf keislaman anak-anak bila salah seorang pasangan suami isteri memeluk Islam,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, kes suami atau isteri yang memohon untuk membatalkan pengislaman anak di mahkamah sivil akan membawa implikasi besar kepada status undang-undang Islam yang diputuskan di Mahkamah Syariah.

“Teras menggesa supaya Jawatankuasa ini juga memberi perhatian kepada pelbagai persoalan kebajikan mualaf yang masih belum diatasi dengan sempurna terutama dari sudut undang-undang,” ujarnya.

Harakah Daily

Al-Quran dibuang dalam guni

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Inilah sebahagian naskhah al-Quran yang dibuang di Kawasan Perindustrian Ringan Jerantut, Pahang semalam.

JERANTUT – Tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif. Itu yang berlaku apabila penduduk di sekitar Kawasan Perindustrian Ringan Jerantut di sini dikejutkan dengan penemuan naskhah al-Quran, muqaddam dan kitab agama dibuang bersama dengan sampah.

Keadaan itu mengundang rasa tidak puas hati mereka apatah lagi kitab suci berkenaan ditemui terbiar dalam guni besar di celah longgokan sampah di hadapan sebuah premis di kawasan tersebut petang kelmarin.

Selain 15 naskhah al-Quran, turut ditemui bersama longgokan sampah berkenaan ialah surah Yasin, serta kitab ilmu Tauhid dan Fiqah yang mengandungi ayat suci al-Quran.

Kesemua kitab suci itu ditemui bersama dengan buku rampaian sekolah, kertas dan fail yang dibuang di kawasan berkenaan.

KOSMO/-