29 September 2012

Bajet 2013 : Apa kata pimpinan Pakatan Rakyat.

13 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Berikut petikan beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat berhubung pembentangan Pembentangan Bajet 2013.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua pembangkang


anwar ibrahim interview with malaysiakini 5
Belanjawan biasanya memberikan unjuran berdasarkan senario antarabangsa dan keupayaan domestik. 

Kedua-dua ini nampak tak disentuh sangat tapi nampak beberapa gimik politik yang agak keterlaluan.

Tentunya ada beberapa isu kita boleh jawab umpamanya disentuh tentang perumahan yang besar tetapi tidak pernah dicapai seperti kita harapkan."

Lim Guan Eng, ketua menteri Pulau Pinang

Jelas bajet ini bajet pilihan raya kerana ia tidak mengambil kira keadaan fiskal atau keadaan kewangan negara.

Kalau kita lihat belanja tahun lepas ia telah lebih belanja RM20 bilion.... Kalau kita lihat. Hutang naik 456 bilion tahun lepas kepada 502 bilion untuk akhir tahun ini.

Jadi jelas ia bajet pilihan raya untuk beli undi tapi kita harap bukan sekadar beli undi tapi menjadikan kroni-kroni kaya sahaja.

Kita lihat di sini yang dapat manfaat kroni-kroni dengan projek yang dijanjikan. Kita lihat kalau tahun depan Pakatan menang ini mungkin akan buat kita lebih susah lagi.

Tan Sri Khalid Ibrahim, menteri besar Selangor

NONEIa (belanjawan) masih berkisar soal isu makro dan bukan isu-isu berkaitan rakyat.

Salahuddin Ayub, naib presiden PAS

Asas kekuatan ekonomi tidak disentuh secara kukuh dalam bajet kali ini. Banyak fokus yang menjurus kepada pemberian undi. Kena kembali kepada asas dan pecahkan sistem monopoli.

"Bajet yang sangat jelas menjurus kepada pemberian undi yang tidak dapat dielakkan ekoran terlalu banyak pengumuman pemberian tunai.

"Bajet Pakatan lebih bersifat fundamental dan punya objektif yang kukuh untuk menyelesaikan masalah rakyat jika memilih Pakatan.

Datuk Mahfuz Omar, naib presiden PAS

NONE
Ini bajet panik kerajaan kerana ia berasaskan pemberian yang diumumkan dan di akhirnya memang menyeru harapan rakyat supaya bagi peluang kepada Umno-BN sekali lagi.

Kerajaan panik dengan gelombang kebangkitan rakyat. Bajet yang tidak mengetengahkan reformasi kepada struktur ekonomi.

Ada lagi unsur ketirisan dan nak kayakan kroni bukan untuk rakyat.

Dengan hutang negara telah mencecah RM476billion hutang negara, kerajaan masih tidak mengemukakan langkah untuk membawa pulang semula RM1.08 trilion ke dalam negara.

Anthony Loke, ketua Pemuda DAP

Ia untuk membeli pengundi dari pelbagai sektor. Gula-gula paling jelas ialah rebat pembelian telefon pintar RM200. Ia jelas mensasarkan pengundi pertama kali. Begitu juga dengan baucar dan sebagainya.

Penjawat awam dengan bonus sebulan setengah... Ini pertama kali bonus untuk penjawat awam naik kepada sebulan setengah.

Tujuannya untuk mendapatkan sokongan kelompok ini dalam pilihan raya.

Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor)

NONE
Jelas bahawa bajet PM seolah-olah tidak mengambil latar belakang fizikal dan hanya disusun untuk mendapatkan undi.

Ini kita sudah jangkakan. Perbelanjaan sepatutnya bertanggungjawab dan ini berlaku sebaliknya.

Segala pemberian one-off bermakna Najib hanya mahukan undi untuk pilihan raya umum.

Ringkasnya, walaupun bajet PM dan belanjawan Pakatan bersifat popular dan populis - opular untuk memenuhi kesejahteraan rakyat - populis hanya memberikan beban pada rakyat.

Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera)

Belanjawan ini tiada idea baru dan hanya mengulangi dasar memberikan wang di sana sini serta membeli undi.

Kenapa saya kata tiada idea? Ia seperti memberitahu pelajar "saya beri kamu wang untuk tuisyen" daripada memperbaiki kualiti pendidikan

Sumber asal: Malaysiakini/-

Intipati Belanjawan 2013

13 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


Petang semalam Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak hari ini membentangkan Belanjawan 2013 yang dinanti-nantikan rakyat Malaysia.


Berikut intipati pembentangan beliau:



1. Pertumbuhan ekonomi diunjur berkembang kukuh pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus. * KDNK nominal dijangka melepasi paras RM1.0 trilion.
2. Peruntukan RM251.6 bilion bagi program dan projek pembangunan, dengan fokus terhadap kesejahteraan rakyat.
3. Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan 2013 dianggarkan meningkat kepada RM208.6 bilion.
4. Pelaburan swasta dijangka meningkat kepada RM148.4 bilion.
5. RM3.0 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan (EPP) bagi tahun 2013.
6. Penyediaan Dana Strategik Pelaburan Domestik berjumlah RM1.0 bilion di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan.
7. Penyediaan dana sebanyak RM1.0 bilion di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank.
8. SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta untuk membiayai modal kerja PKS terlibat.
9. Skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan had maksimum RM5,000 dengan peruntukan RM16 juta setahun.
10. Perbadanan Nasional Bhd menyedia kemudahan pinjaman hingga RM25,000 bagi pemegang lesen dan RM500,000 bagi penyedia lesen menerusi program Transformasi Perniagaan. * Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus untuk 10 tahun bagi aktiviti penapisan produk petroleum kepada yang layak.
11. Program Insentif Global bagi Perdagangan (GIFT) ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi tempoh tiga tahun pertama operasi.
12. Perbelanjaan menerbitkan AgroSukuk diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh empat tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.
13. DanaInfra Nasional Bhd akan terbitkan bon runcit bernilai RM300 juta akhir tahun 2012 untuk biayai pembangunan MRT.
14. Perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit akan diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.
15. Pelabur individu diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon dan sukuk runcit.
16. Suruhanjaya Sekuriti perkenal inisiatif Graduate Representative Program dengan sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan.
17. Peruntukan modal Danajamin ditambah sebanyak RM400 juta dalam tempoh dua tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara RM4.0 bilion hingga RM6.0 bilion.
18. RM100 juta disediakan kepada Yayasan Pasaran Modal melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti.
19. Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus Tun Razak Exchange, pengecualian duti setem berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah.
20. Yayasan Wakaf Malaysia, di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat dengan mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri.
21. RM9.0 bilion atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.
22. Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah RM1.0 bilion akan disediakan oleh SME Bank untuk membantu PKS membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual.
23. Skim Jaminan Modal Kerja akan dilanjutkan sehingga Disember 2013, dan diperluaskan kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi serta kelayakan manakala dana pemegang saham syarikat ditingkatkan kepada RM20 juta.
24. Pembiayaan TEKUN bagi usahawan kecil dan sederharna diberi peruntukkan RM350 juta termasuk RM50 juta bagi Skim Usahawan Masyarakat India.
25. Skim Dana Pembiayaan Harta Intelek berjumlah RM200 juta akan ditawarkan oleh Malaysia Debt Ventures dengan kerajaan memberi subsidi kadar faedah sebanyak dua peratus dan jaminan 50 peratus melalui Credit Guarantee Corporation bagi membolehkan PKS menggunakan harta intelek sebagai nilai komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan.
26. Peruntukan sebanyak RM19 juta bagi program latihan penilai harta intelek tempatan kendalian Perbadanan Harta Intelek serta mewujudkan platform pasaran harta intelek.
27. Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan.
28. Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun.
29. Potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya.
30. Dana Skim Pembiayaan Teknologi Hijau akan ditambah sebanyak RM2.0 bilion lagi dan tempoh permohonan skim ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2015
31. Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada tiga peratus menjelang 2015
32. Sistem percukaian negara akan diperkukuhkan dengan sistem cukai yang menyeluruh dan saksama
33. Perolehan kerajaan dan pembelian adalah berdasarkan prinsip “nilai untuk wang”
34. Peruntukkan RM6 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi. Antara projek yang dikenal pasti termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah, klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan sukan.
35. Peruntukkan RM1.9 bilion bagi membina 123,000 unit rumah pada harga berpatutan di kawasan strategik, dan akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Bhd dan Jabatan Perumahan Negara.
36. Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ke atas keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun mulai tarikh perolehan dikenakan pada kadar 15 peratus, bagi tempoh pegangan melebihi dua hingga lima tahun dikenakan pada kadar 10 peratus dan bagi tempoh pegangan melebihi lima tahun tidak dikenakan CKHT.
37. Peruntukan RM100 juta kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai
38. Insentif cukai pemulihan rumah terbengkalai untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta
39. Kadar cukai pendapatan diturunkan satu mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 sehingga RM50,000.
40. Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan antara satu dan tujuh mata peratusan bagi semua kumpulan pendapatan bercukai.
41. Felda akan membangunkan 20,000 projek perumahan dalam kawasan Felda, membaiki rumah-rumah kampung tradisi, program latihan dan latihan kemahiran.
42. Yayasan 1MDB akan menyediakan RM300 juta bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah untuk pelajar prasekolah di kawasan pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif.
43. Syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan RM500 juta untuk menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam sekitar.
44.  Melalui Pakej Komunikasi Belia, rebat one-off sebanyak RM200 akan diberikan bagi pembelian satu unit telefon pintar 3G daripada peniaga yang dibenarkan. Inisiatif ini adalah untuk belia yang berusia antara 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3, 000 dan ke bawah. Sejumlah RM300 juta diperuntukkan memberi manfaat kepada 1.5 juta belia.
45. Bantuan Rakyat Satu Malaysia atau BR1M 2.0 diberi kepada yang layak, kriteria sama seperti BR1M pertama iaitu pendapatan RM3,000 ke bawah. Sebagai tambahan BR1M 2.0 diperluaskan kepada individu bujang 21 tahun ke atas dan pendapatan bawah RM2,000 akan memperolehi RM250 seorang membabitkan peruntukan kerajaan RM3 bilion.
46. Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku Satu Malaysia kepada setiap pelajar IPTA dan pra-universiti. Untuk itu, nilai baucar akan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250.
47. Bakal haji yang mencarum di KWSP, kini dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang. Inisiatif ini terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga RM3,000.
48. Bonus penjawat awam sebulan setengah gaji secara berkala tiga 3 bulan.

28 September 2012

Beli IPP: Umno BN sangat berbahaya kepada negara

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak bertanggungjawan kerana menyifatkan perbelanjaan besar membeli penjana kuasa bebas (IPP) buruk sebagai perkara tidak penting, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Baru-baru ini, melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kerajaan membeli dua IPP buruk dari dua syarikat kroninya, Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dan Mastika Lagenda Sdn Bhd dengan harga masing-masing RM8.5 bilion dan RM2.55 bilion.

Apabila perkara itu dibangkitkan kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui, beliau menyifatkan perkara itu tidak penting kepadanya.

"Sangat tidak bertanggungjawab dan jenis apa ini? Berbilion ringgit wang rakyat digasak untuk membeli IPP buruk itu, tiba-tiba menteri itu kata 'not really our great concern' atau tidak begitu penting bagi mereka," katanya.

Salahuddin menyifatkan sikap itu sekali lagi membuktikan bahawa Umno dan BN sangat berbahaya kepada negara ini.

"Berbilion ringgit duit rakyat dihabiskan untuk membeli barang buruk yang mengalami susut nilai yang teruk dan menanti masa untuk digantikan, itu tidak penting bagi kerajaan BN.

"Nampak benar kerajaan BN adalah 'no concern government' yang tidak mempedulikan kepentingan rakyat," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Bagi Salahuddin, penyelenggaraan barang buruk itu meningkatkan lagi kos dan kemungkinan yang paling besar ialah kenauikan tarif elektrik.

"Kita tidak mahu tarif elektrik dinaikkan apabila TNB dipaksa membeli bekalan mahal dari penjana-penjana buruk itu," katanya.

Beliau yakin, selepas 15 tahun, penjana-penjana buruk itu tidak lagi ekonomik dan kerajaan sengaja menganiaya rakyat dengan membeli barangan buruk itu.

"Selepas 15 tahun, pemilik asal sudah membuat untung menggunung tinggi. Maklumlah, TNB dipaksa membeli dalam perjanjian yang berat sebelah.

"Sekarang, jual kepada 1MDB pula, untung lagi Yang pasti akan menanggung kerugian ialah rakyat yang menjadi pengguna dan penanggung beban apabila wang mereka dibelanjakan untuk perkara tersebut," katanya.

Salahuddin juga menjangkakan, 1MDB mungkin terpaksa menggantikan dengan yang baru selepas mengambil alih.

"Akhirnya, 1MDB hanya membeli status penyenaraian semata-mata dengan harga berbilion ringgit wang rakyat," katanya.

Beliau juga hairan mengapa 1MDB tidak memohon lesen IPP baru,.

"Kalau 1MDB mohon lesen IPP baru, 100 peratus milik kerajaan. Beli penjanakuasa baru dengan teknologi terkini dan lepas itu senaraikanlah," katanya.

Salahuddin juga menyifatkan kroni-kroni Umno BN yang memiliki IPP sebagai beban kepada rakyat.

"Ini semua antara beban kepada rakyat seperti projek kereta nasional yang merupakan industri yang menyusahkan rakyat," katanya.

harakahdaily/-

Ibu pejabat tentera Syria diserang

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Ibu pejabat tentera Syria diserang
 
Bom yang diubah suai diletakkan di dalam bangunan ibu pejabat ketenteraan Syria.
 
DAMSYIK - Sebanyak empat pengawal keselamatan terbunuh dalam dua letupan bom di bangunan ibu pejabat tentera Syria dekat sini, kelmarin.

Menurut pihak berkuasa, serangan berlaku di tingkat dua bangunan, menyebabkan 14 orang parah.

Menteri Informasi, Omran Al-Zoubi berkata, alat letupan yang diubah suai itu kemungkinan diletakkan di dalam bangunan ibu pejabat dan meletup beberapa minit kemudian sebelum pukul 7 pagi waktu tempatan sehingga menghancurkan tingkap-tingkap berdekatan bangunan dalam daerah Dataran Umayyad.

Sementara itu, jurucakap kumpulan pemberontak Tentera Bebas Syria mengaku bertanggungjawab dan mendakwa berpuluh maut susulan serangan itu tetapi Zoubi mengesahkan letupan itu hanya menyebabkan berlakunya kerosakan peralatan bangunan.

"Saya mahu memaklumkan bahawa semua anggota tentera yang berada di dalam bangunan Kementerian Pertahanan berkeadaan baik.

"Berita yang disampaikan oleh kumpulan pemberontak adalah salah dan misi mereka telah gagal," kata Zoubi.

Agensi televisyen tempatan melaporkan, kejadian tercetus selepas sebuah kereta berisi bom dan alat letupan yang diubai suai meletup di luar bangunan berkenaan.

Sebagai langkah waspada, pihak berkuasa melaksanakan sekatan di beberapa jalan utama di ibu negara selain beberapa buah ambulans menuju ke lokasi kejadian.-Al-Jazeera.

sinar harian/-

Takziah kepada keluarga Abdul Ghani Minhat

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan takziah di atas kematian lagenda bola sepak Malaysia, Tan Sri Abdul Ghani Minhat (gambar) pada pagi ini.
“Bagi DPPM, pemergian Tan Sri Ghani ditangisi kerana negara kehilangan sebutir lagi bintang berharga dan kehilangan beliau sukar dicari ganti,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Sesungguhnya, kata beliau sumbangan besar dan jasa beliau dalam dunia sukan khususnya bolasepak amat besar sehingga berjaya mengharumkan nama negara.

Di zaman keemasan beliau, ujar Riduan negara banyak menempa kejayaan yang membanggakan di pentas antarabangsa.

Malah, tambahnya jarang ada insan hebat mampu mencapai tahap kehebatan seperti mana yang pernah beliau kecapi.

“Nama almarhum Tan Sri Abdul Ghani Minhat terpahat dalam sejarah sukan bolasepak negara antara pemain yang begitu cemerlang dan terhebat sepanjang zaman di negara ini setanding dengan pemain antarabangsa lainnya.

“Bahkan, sumbangan beliau selepas era persaraannya juga besar sehingga berjaya membantu negara dalam mengharungi pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa. Sewajarnya pemain generasi muda negara ini mewarisi kehebatan beliau serta mencontohi langkah kejayaan seperti mana yang beliau lalui,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, beliau berkata di atas jasa-jasanya yang begitu tinggi ini, DPPM merasakan almarhum Tan Sri Abdul Ghani Minhat wajar diberi penghormatan tertinggi.

Tambahnya, DPPM mendoakan semoga roh Almarhum ditempatkan di kalangan insan yang soleh dan diredahi di sisi-Nya.

DPPM, ujarnya turut mendoakan semoga keluarga almarhum tabah menghadapi ujian yang berat ini. Alfatihah

harakahdaily/-

Bob Lokman tidak mahu tanding PRU13

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
Bob Lokman Setelah melalui segala jalan syahwat, ALLAH SWT memberi aku gambaran akhirat. Maka aku mencari kebenaran dengan masuk ke gerbang hijau yang bertonggak ulama dan ditakuti pencinta dunia,” demikian luah Bob L
okman selepas mengambil keputusan menyerahkan borang ahli Pas kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, awal tahun ini.

Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman, 48, yang mengakui terabai dengan kefahaman Islam walaupun lahir dalam keluarga Islam keturunan ulama, bersyukur kerana diberi petunjuk untuk berjuang bersama Pas.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak pernah berhasrat bertanding dalam pilihan raya atau menjadi wakil rakyat.

“Menawarkan diri untuk menjadi wakil seperti meletakkan sebelah kaki ke dalam neraka dan saya sememangnya tidak pandai menjadi wakil rakyat.

"Biarlah saya terus membantu Pas mengikut kemampuan,” katanya pada Majlis Jalinan Mesra Muslimat Pas Kawasan Pasir Puteh bersama Bob Lokman di sini, kelmarin.

Bob Lokman memang dikenali dalam industri hiburan dan keputusan beliau menjadi ahli Pas memulakan fenomena penyertaan ramai selebriti ke dalam parti itu seperti Aishah, Abby Abadi, Renggo Arrow dan Hairie Othman.

Ketika diminta mengulas fenomena itu, beliau berkata, mereka membuat pilihan tersebut kerana menyedari Pas lebih baik berbanding parti lain di negara ini.

“Apabila usia meningkat, pemikiran semakin matang lalu mereka memilih untuk menyokong kebenaran dan peribadi baik Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga merupakan faktor orang tertarik untuk bersama Pas.

“Saya berharap lebih ramai rakan artis menyertai Pas pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengakui menghadapi pelbagai cabaran selepas menyertai Pas, namun dianggap lumrah kerana bertekad menjadikan Pas sebagai wadah perjuangan untuk mempopularkan ALLAH SWT, seperti dicatat dalam blog beliau, 'Demi ALLAH'.

Bob yang terkenal sebagai pelakon, pelawak dan penulis lirik juga berkata, beliau tidak akan meneruskan aktiviti seni kerana menganggap bidang itu mengundang banyak keburukan.

“Saya sudah lama bergelumang dalam bidang ini dan saya mengakui secara jujur bahawa hiburan memudaratkan, tidak perlu beri alasan kerana seni,” katanya. SH

sinar harian/-

Penternak hilang pelanggan, akibat jalan tidak berturap, berlopak

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Penternak hilang pelanggan, akibat jalan tidak berturap, berlopak
 
Yusri bersama anaknya menunjukkan keadaan jalan ke kolam ikan miliknya di Kampung Pulau, Labu.
LABU - Gara-gara jalan tidak berturap selain berlopak menyebabkan seorang penternak ikan air tawar berhadapan risiko kehilangan pelanggan.

Yusri Abdul Latif, 41, berkata, dia menjalankan kegiatan menternak ikan sejak lebih lima tahun lalu. Menurutnya, kolam ikan itu terletak di sebelah rumahnya yang sudah didiami sejak lapan tahun lalu.

"Malah sejak saya mula-mula tinggal di sini, keadaan jalan itu memang tidak pernah berturap sehingga kini. Saya sudah membuat aduan dan permohonan pada Mac 2009 kepada ketua kampung dan wakil rakyat kawasan namun jawapan yang diberi mengecewakan," katanya kepada Sinar Harian.

Yusri berkata, mereka sering memberi jawapan tiada peruntukan untuk menurap jalan.

"Saya kesal kerana beberapa penduduk lain turut menerima kemudahan turap jalan sedangkan mereka memaklumkan peruntukan tiada," katanya.

Katanya, sepanjang mengusahakan perniagaan itu, dia bukan sahaja mempunyai pelanggan dalam kalangan penduduk Kampung Pulau, tempatnya tinggal malah turut menerima kunjungan luar Negeri Sembilan termasuk dari negara jiran seperti Brunei Darussalam.

"Saya sering menerima rungutan daripada pelanggan mengatakan keadaan jalan yang lecak merosakkan kenderaan mereka.

"Bagi yang pertama kali datang ke sini pasti akan terkejut. Selain itu ada di antara mereka tidak mahu lagi datang membeli malah ada juga meminta saya menghantar ikan sendiri. Ia tidak berbaloi kerana saya terpaksa menanggung kos minyak kereta selain harga ikan yang sama," katanya.

Malah katanya, selain masalah jalan, Yusri pernah memohon untuk membina jambatan yang menghubungkan kolam ikan utama dan rumahnya.

"Saya terpaksa membina titi dari kayu pokok untuk menyeberang anak sungai bagi mengambil ikan yang dipesan pelanggan.

“Pernah tiga kali saya terjatuh ke dalam anak sungai kerana tergelincir semasa membawa ikan. Keadaan ini menyukarkan saya untuk berniaga,” katanya.

Sepanjang kariernya sebagai penternak, Yusri pernah mengalami kerugian RM10,000 apabila banjir besar berlaku pada 2010 yang memusnahkan ternakan ikannya seperti keli, tilapia dan baung.

“Jalan tersebut hanya sepanjang 300 meter dan kos membinanya tidak sampai RM10,000 begitu juga dengan jambatan yang kosnya tidak begitu tinggi.

“Justeru saya harap masalah ini mendapat perhatian kerana ia menjejaskan perniagaan dalam jangka masa panjang,” katanya yang tidak membuat sebarang pinjaman untuk memulakan perniagaan ikan air tawar itu.

sinar harian/-

Jurulatih PLKN tuntut janji

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Roslan
Roslan menunjukkan senarai 185 jurulatih yang layak menerima skim gaji berdasarkan gaji akhir sebelum bersara.
 Roslan
 
Roslan menunjukkan surat yang dikeluarkan oleh SPA kepada JLKN bertarikh 13 Mei 2011.
 
IPOH – Jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menuntut Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memberi penjelasan berhubung penetapan gaji permulaan bagi pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pembantu kesatria S17 yang hingga kini didakwa masih belum selesai.

Seorang jurulatih yang mahu dikenali sebagai Roslan Darus berkata, SPA seharusnya memberikan maklum balas dan mengikut Perkara 46 Penetapan Gaji Pesara dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil 2/2008 yang dikeluarkan sendiri oleh SPA.

Beliau kecewa kerana sehingga kini SPA dikatakan tidak mengikut pekeliling yang dikeluarkan itu dan menafikan hak jurulatih PLKN.

“Pekeliling itu secara jelas menunjukkan setiap pesara tentera yang menjadi jurulatih PLKN layak menerima gaji terakhir semasa perkhidmatan namun mengapa SPA sehingga ke hari ini tidak menempatkan kami kumpulan jurulatih kedua ini dalam skim itu.

“Surat bertarikh 13 Mei 2011 yang dihantar kepada Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sebelum ini menyatakan seramai 185 jurulatih pesara ATM diluluskan untuk menerima skim gaji terakhir semasa perkhidmatan sedangkan kami juga termasuk dalam skim itu namun hingga kini tidak kesampaian,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

Roslan mendakwa sudah menulis surat kepada JLKN dan SPA bagi mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu sehingga kini SPA masih berdiam diri.

“Kami semua sudah panjat pejabat SPA dan JLKN sendiri sudah menghantar dokumen yang diperlukan tetapi hampa. Terbaru kami ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan jawapan sendiri namun gagal malah jawapan yang diberikan seolah-olah mempersoalkan kami tidak layak untuk skim berkenaan.

“Selepas gagal di SPA, kami ke JLKN untuk mendapatkan kepastian mengapa jurulatih kumpulan kedua tidak diletakkan dalam skim itu dan JLKN menyatakan surat jawapan dari SPA tidak boleh dikeluarkan kepada jurulatih. Berkemungkinan dalam surat itu dinyatakan sebab mengapa kami tidak dimasukkan ke skim itu tapi mereka tak bagi tengok,” katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa hanya kumpulan pertama sahaja yang layak menerima sedangkan kumpulan lain turut menjalankan kewajipan menabur bakti melahirkan generasi yang berakhlak tinggi.

“Kami hanya menuntut apa yang dirasakan hak kami memandangkan perkara itu telah dipersetujui sendiri oleh kedua-dua pihak iaitu JLKN dan SPA sendiri tetapi persoalannya mengapa sehingga ke hari ini tertangguh.

“Kenapa sebelum ini SPA boleh meluluskan pembayaran gaji terakhir dan tunggakan kepada 185 jurulatih di seluruh kem PLKN namun permohonan kami seolah-olah ‘disekat’ oleh tangan-tangan ghaib sedangkan kami layak menerimanya,” katanya yang menggesa SPA memandang serius perkara itu

sinar harian/-

OKU Ikrar Bantu PR Tawan Putrajaya

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) berikrar untuk membantu Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Lontaran ini disuarakan oleh Ketua Penggerak Kempen OKU Bangkit 2012, Mohammad Faizal Che Yusof dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, kempen ini merupakan satu mekanisme bagi mengetengahkan permasalahan OKU agar lebih diberikan perhatian oleh semua pihak.

“Diharapkan parti politik akan peka mengenai OKU dalam menifesto pilihanraya akan datang.

Kita bersedia untuk membantu PR memenangi Putrajaya InsyaAllah,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan perlu memberikan elaun kecacatan kepada OKU secara menyeluruh tanpa mengikut jenis kecacatan dan gaji pekerja OKU.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan tambahan kewangan kepada OKU yang bekerja sehingga mencapai pendapatan RM1,500 sebulan dan RM150 kepada OKU yang tinggal di rumah.

“Pembangunan OKU perlu dibuat secara menyeluruh. Satu portfolio OKU perlu dimartabatkan di peringkat kementerian di persekutuan dan exco di peringkat negerim.

“Kita harapkan dalam Bajet 2013 ada sesuatu untuk OKU,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS, Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya akan terus mendokong segala usaha pembangunan kepada golongan OKU di seluruh Malaysia.

Katanya, penubuhan sekateriat ini juga merupakan langkah awal bagi membantu kemenangan PR bagi membangunkan OKU kelak.

“Pihak kami akan mengikhtiarkan sebuah pusat khidmat atau sehenti OKU nasional bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih signifikan kepada OKU termasuk kajian berkaitan OKU, advokasi, perancangan dan perlaksanaan pembangunan.

“Meskipun belum memerintah, kami akan mengikhtiarkan yang terbaik untuk mereka,” katanya. -selangorku

Jemaah haji Malaysia mula tiba di Mekah

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

MEKAH 27 Sept. - Kumpulan pertama seramai 312 jemaah haji Malaysia selamat tiba di kota suci Mekah dari Madinah awal hari ini. 

Mereka tiba kira-kira pukul 1 pagi Rabu (7 pagi waktu Malaysia) di Hotel Janadiriyyah yang merupakan satu daripada 15 hotel di sini yang disewa oleh Tabung Haji bagi menempatkan hampir 28,000 jemaah haji Malaysia sepanjang musim haji kali ini.

Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, kumpulan pertama itu bertolak dari Madinah dengan bas pada pukul 5 petang Selasa (11 malam waktu Malaysia) dan selamat tiba di Mekah selepas mengharungi perjalanan selama lapan jam.

Beliau berkata, selepas berehat dan bersarapan pagi, jemaah haji yang berpakaian ihram kemudian berjalan beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram yang terletak kira-kira 1 kilometer dari tempat penginapan mereka dengan diketuai oleh seorang mutawif atau pembimbing serta petugas Tabung Haji bagi melaksanakan ibadah umrah.

Syed Saleh berkata, berbeza dari tahun sebelumnya, bagasi milik jemaah haji tiba sehari lebih awal di Mekah dan dimasukan ke dalam bilik jemaah haji seperti yang ditetapkan.

"Ini membolehkan jemaah fokus kepada soal ibadah sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah," katanya kepada wartawan Malaysia di Hotel Janadiriyyah yang juga dijadikan pusat pentadbiran Tabung Haji ketika musim Haji.

Syed Saleh berkata, buat masa sekarang keadaan dalam Masjidil Haram masih belum sesak dan jemaah haji Malaysia dapat melaksanakan ibadah umrah seperti tawaf dan saie dengan selesa.

Beliau berkata, ekoran cuaca panas di Mekah yang mencecah hampir 30 darjah celcius, maka jemaah haji diminta supaya tidak terlalu lama terdedah dalam panas cahaya matahari.

Katanya, seramai 350 petugas haji berada di Mekah dan jumlah itu akan bertambah sehingga 600 orang apabila tiba musim haji nanti. - BERNAMA

83 murid keracunan makanan

 

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
  
Seramai 83 murid Sekolah Kebangsaan Parit Setongkat di sini mendakwa mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah dipercayai keracunan makanan selepas minum susu kotak 1Malaysia hari ini. 

Kejadian membabitkan murid tahun satu hingga enam yang mengadu mengalami simptom-simptom berkenaan selepas minum susu kotak berkenaan pada waktu rehat antara pukul 9.30 dan 10 pagi.

Berikutan itu, seramai lima kakitangan Pusat Kesihatan Muar telah dikejarkan ke sekolah tersebut untuk memberi rawatan kecemasan termasuk suntikan.

Bagaimanapun, tiada murid yang dimasukkan ke hospital disebabkan kejadian tersebut.

Seorang murid tahun empat yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, dia merasa pening dan muntah sebanyak tiga kali selain cirit-birit setelah setengah jam minum susu itu.

UTUSAN MALAYSIA/-

Mayat pelombong gagal dikeluarkan

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -



KUCHING – Misi mengeluarkan mayat pelombong emas haram yang mati dihempap dua bongkah batu sebesar kereta Perodua Kancil di kaki Gunung Tabai dekat sini awal pagi kelmarin, dihentikan terus petang semalam atas faktor keselamatan.

Ia ekoran operasi semakin rumit selepas berlakunya runtuhan baharu bongkah batu dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Mohd. Sabri Zainol berkata, operasi selama dua hari tersebut dihentikan kira-kira pukul 4 petang kerana masih banyak lagi bongkah batu yang tidak dapat dialihkan.

Menurutnya, disebabkan struktur terowong tersebut tidak stabil dan diburukkan lagi dengan runtuhan terbaharu, misi mengeluarkan mayat mangsa, Lee Sze Chun, 37, di kaki gunung tersebut terpaksa ditamatkan serta-merta.

“Pasukan menyelamat terpaksa dikeluarkan dari terowong terbabit selepas berlaku runtuhan kerana kita tidak mahu berlakunya kehilangan nyawa membabitkan anggota penyelamat.

“Pada masa yang sama, saya mewakili pasukan mencari dan menyelamat memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa kerana gagal membawa keluar mayat Sze Chun.

“Bukan kita tidak mampu menggalas tugas itu tetapi kita juga perlu memikirkan keselamatan anggota penyelamat,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian dekat sini semalam.

KOSMO/-

Peniaga di tanah KTM tuntut pampasan

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Sekumpulan peniaga di Simpang Renggam, Johor menuntut sejumlah pampasan seperti yang diterima penduduk di Tanah KTM, Layang-Layang, Simpang Renggam.

Tuntutan itu dibuat berikutan pembahagian pampasan atau ex-gratia yang tidak diberikan secara standard kepada penduduk dan peniaga di tanah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik dan Penyewa Kedai Tanah KTM, Layang-layang, Samin Mohamed, berkata beliau dan para peniaga telah tinggal dan berniaga di situ lebih 30 tahun.

Malah, kedai yang mereka dirikan juga menjadi tempat tinggal, yang kini pihak KTM meminta mereka keluar dri kawasan tersebut bagi tujuan pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor.

"Kami diarahkan keluar dari kedai ini sehingga 31 Mac 2012. Namun kami tidak diberi sebarang pampasan atas alasan bahawa kami adalah pekedai, bukannya pemilik rumah dan alasan itu tidak boleh dierima," kata beliau pada satu sidang media, di parlimen, hari ini.

Beliau menambah, penduduk menerima pampasan sebanyak RM8,200, di mana RM1,000 untuk wang perpindahan, RM7,200 untuk wang sewa bagi tempoh tiga tahun (RM200 sebulan).

Malah, katanya pada 1 Ogos lalu, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah memaklumkan penduduk bahawa mereka akan mendapat bayaran ex-gratia sebanyak RM42,000.

"Persoalannya, mengapa kami yang juga tinggal di kawasan ini dinafikan hak untuk mendapat pampasan yang setimpal dengan kami?" soal beliau lagi.

Samin turut mengecam alasan pihak KTM yang mengatakan peniaga tidak layak mendapat pampasan kerana mereka sudah mendapat keuntungan dari kedai di atas tanah KTM.

Alasan tersebut, kecam beliau tidak munasabah kerana dalam perniagaan terdapat masa untung dan rugi.
"Ada masanya kami untung, dan ada masanya kami rugi. Sedangkan penduduk sentiasa untung kerana tinggal secara percuma di atas tanah KTM. Dalam hal ini, kami rugi sebanyak tiga kali - rugi dalam perniagaan, rugi tiada pampasan dan rugi tidak dapat wang perpindahan," tegas beliau.

Pada sidang media tersebut, para peniaga tersebut bertindak menyerahkan memorandum tuntutan mereka untuk dipanjangkan kepada pihak bertanggungjawab.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Pokok Sena dan Kuala Krai, Datuk Mahfuz Omar dan Dr. Hatta Md. Ramli serta Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat.

HARAKAHDAILY/-

Penyelam tanda ikan jerung paus di Galapagos

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -



KEPULAUAN GALAPAGOS, Equador – Pihak Taman Negara Galapagos, Yayasan Charles Darwin dan Universiti California melaksanakan operasi penandaan ikan paus jerung di sekitar kepulauan ini.
Beberapa penyelam daripada tiga organisasi tersebut melekatkan penanda elektronik ke sirip spesies ikan terbesar di dunia itu.

Penanda elektronik tersebut dihubungkan dengan sebuah satelit bagi memudahkan lokasi ikan tersebut dikesan.

Projek berkenaan bertujuan untuk memudahkan saintis-saintis memahami proses migrasi spesies itu secara lebih mendalam pada peringkat tempatan, serantau dan global. 

Kepulauan Galapagos yang merupakan milik Equador terletak di Lautan Pasifik timur, sekitar 972 kilometer ke barat pantai negara berkenaan di rantau Amerika Selatan. – Agensi

Penipuan Pilihanraya Semakin Parah - SAMM Desak Bubarkan SPR Sebelum Bubar Parlimen

Nama pelik abjad istimewa 'apostrophe' 
12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) terus membongkar sebuah lagi penipuan dan persediaan untuk menipu secara besar-besaran oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). 
Unit Pengesan Penipuan SPR (UPPSPR) sebuah sayap SAMM yang ditubuhkan dalam Rapat SAMM Kebangsaan yang lalu telah berjaya mengesan satu perkembangan tidak sihat telah diusahakan oleh jabatan-jabatan kerajaan untuk menutup kerja kotor SPR yang bertujuan mengekalkan kuasa regim Barisan Nasional. 
Berikut adalah penemuan baru yang berkaitan, membuktikan SPR bukan sahaja tidak melaksanakan salah satu daripada lapan tuntutan BERSIH iaitu membersihkan senarai pengundi, malah SPR didapati berusaha lebih gigih untuk memastikan regim terus berkuasa apabila berganding bahu dengan JPN;
1. Nama pelik dalam carian senarai pengundi yang tertulis hanya sebuah abjad istimewa 'apostrophe' telah ditemui selain daripada ribuan nama pelik yang didedahkan sebelum ini, tidak lagi boleh diusul periksa dalam sistem carian kad pengenalan dalam laman web JPN. Lihat keratan di bawah untuk kes terbaru nama abjad istimewa 'apostrophe' yang dikesan dalam sistem carian SPR;
2. Cubaan UPPSPR untuk mendapatkan nama sebenar pemilik no kad pengenalan '781220135703' yang juga penama abjad istimewa 'apostrophe', dalam laman web yang disediakan JPN menemui jalan buntu apabila laman asal sistem pencarian telah diubah. Sistem carian kad pengenalan sebelum ini yang beralamat URL "http://www.jpn.gov.my/semakic/" - memaparkan nama dan status apabila dimasukkan nombor kad pengenalan tetapi URL laman tersebut gagal ditembus. Lihat contoh carian di bawah, ia adalah carian pada bulan Ogos 2011 ketika menemui nama pelik yang mempunyai 2 nombor kad pengenalan;
Sistem carian yang lama mempunyai ruangan nama
Alamat URL sistem carian yang lama gagal ditembus

3. Namun demikian, UPPSPR mendapati JPN telah menukar sistem carian baru di alamat URL "http://semakan.jpn.gov.my/semak_kpt/" yang tidak memaparkan nama pemilik kad pengenalan setelah nombor KP dimasukkan. Perubahan yang dilakukan JPN seolah-olah dirancang untuk menggagalkan sebarang usaha untuk mengesan penipuan SPR. Ia jelas satu langkah ke belakang apabila saki baki ketelusan sebelum ini dinafikan sama sekali. Lihat laman yang diperbaharui dalam gambar di bawah;
Laman baru, apabila dimasukkan nombor IC, hanya tertulis status permohonan
4. Perkembangan ini sangat membimbangkan selain menggambarkan sebuah kerjasama hebat telah terjalin di antara SPR dan JPN untuk mengambus penipuan pilihanraya. 
Justeru itu, SAMM mendesak agar JPN tampil menjawab apakah alasan dan tujuan mengubah sistem carian daripada yang lebih telus terperinci seperti sebelum ini kepada sistem carian yang menyembunyikan nama pemegang kad pengenalan.
SAMM melihat penemuan terbaru nama abjad istimewa 'apostrophe' membuktikan SPR tidak pernah berusaha membersihkan senarai pengundi sepertimana yang dituntut sejak tahun 2006. Ribuan nama pelik yang tidak dijustifikasi malah disusahkan lagi pencariannya dalam sistem carian JPN, berpuluh ribu nombor KP yang ada dalam senarai pengundi SPR tetapi tiada dalam sistem pangkalan data JPN, beratus ribu pengundi berada dalam kategori satu alamat diduduki ratusan pengundi pelbagai bangsa, semua ini masih tidak dibersihkan lagi oleh SPR dan tiada usaha konstruktif ke arah pembersihan senarai pengundi.
Apalagi yang boleh diharapkan dari SPR yang semakin hari semakin mengarut? Desakkan terhadap timbalan dan pengerusi SPR yang dikenalpasti sebagai ahli Umno supaya segera meletakkan jawatan tidak diendahkan. Jawatan tertinggi SPR sepatutnya diserah kepada individu lebih layak yang tidak menyertai mana-mana parti politik.
SAMM juga melihat SPR sebagai badan yang tiada kredibiliti lagi selain tidak berintegriti dalam memastikan ketelusan menjalankan kerja-kerja pengurusan pilihanraya. Rakyat yang mengimpikan demokrasi sudah hilang kepercayaan terhadap SPR. 
Dengan ini, SAMM mendesak keras agar SPR dibubarkan terlebih dahulu sebelum parlimen dibubarkan. SAMM menyeru rakyat seluruh negara, NGO dan NGI bersama bergerak mendesak SPR dibubarkan. Tekanan hebat harus diberikan kepada SPR supaya menyerahkan tanggungjawab menjaga perihal pilihanraya kepada badan lain yang lebih profesional dan punya integriti dalam menjalankan tanggungjawab.
Ayuh semua, gerakan mendesak SPR dibubarkan sebelum parlimen Malaysia dibubar harus diperhebat demi menjamin demokrasi dan masa depan negara.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)