15 Oktober 2012
Aidil tekad tebus kekecewaan
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - "GOL di pentas final sahaja mampu mengubati kekecewaan saya". Itu reaksi penyerang tampan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Aidil Zafuan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 menentang Kelantan, Sabtu ini.
Pada aksi separuh akhir kedua menentang Lions XII di Selayang minggu lalu, pasangan kembar kepada Mohd Zaquan Adha itu gagal menyempurnakan sepakan penalti kedua ATM.
"Memang hampa pada mulanya, namun saya akan gunakan peluang yang ada di final nanti untuk menebus semula kesilapan itu.
"Ini juga kali keempat saya ke final dalam empat tahun berturut-turut, Insya-Allah mungkin kali keempat ini bakal menjadi rezeki buat saya dan anak-anak," katanya yang sebelum ini pernah menjulang Piala Malaysia ketika bersama Negeri Sembilan pada 2011.
Agency
Padah jual VCD, DVD cetak rompak
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Hukuman denda tidak kurang RM5,000 atau maksimum RM30,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, menanti seorang peniaga pasar malam, Syed Razman Syed Abd Rashid, 36.
Hukuman itu boleh dijatuhkan kepadanya yang berasal dari Kampung Gong Kiat, di sini, selepas mengaku salah menjual cakera padat digital (VCD) dan cakera video digital (DVD) pelbagai tajuk cetak rompak di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret/Sesyen, Rosli Ahmad, di sini, semalam.
Syed Razman mengaku salah menjual sebanyak 76 keping VCD pelbagai tajuk dan 65 DVD pelbagai tajuk atau bahan publisiti yang belum diluluskan Lembaga Penapisan Filem.
Dia mengaku melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi rakannya yang sudah pun dihukum pada 9 Oktober lalu oleh Mahkamah Majistret, Jaafar Mamat, 47, di tapak pasar malam Wakaf Tengah, Batu Rakit, di sini, pada 9 November 2008 jam 8.45 malam.
Dengan itu, Syed Razman mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (2) (a) Akta yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sejurus pengakuan Syed Razman direkodkan, Rosli menetapkan 24 Oktober depan untuk jatuh hukum yang akan disebut di Mahkamah Majistret, di sini, dan membenarkan dia diikat jamin RM3,500 oleh seorang penjamin.
Sinar Harian keluaran 10 Oktober melaporkan rakannya, Jaafar dikenakan denda RM6,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan oleh Mahkamah Majistret, di sini.
Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu selepas Jaafar mengaku salah menjual VCD dan DVD cetak rompak bersama Syed Razman yang semasa itu masih bebas dan sedang diburu.
Agency
Ibu 9 anak kerugian RM73,000
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - TUMPAT – Sebelas sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Kok Keli dekat sini, hangus dalam kebakaran tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, kebakaran itu turut memusnahkan sebuah kereta Proton Saga dan sebuah motosikal milik keluarga terbabit.
Mangsa, Noraizan Abdullah, 38, berkata, dia menyedari rumahnya terbakar apabila terlihat asap tebal dari salah satu bilik tidur anaknya, selepas dia selesai membasuh pakaian di bilik air.
“Selesai membasuh, saya naik ke atas rumah tetapi dikejutkan dengan kepulan asap tebal dari bilik tidur anak.
“Pada masa sama saya nampak api mulai marak membakar kelambu dan dinding rumah,” katanya yang mempunyai sembilan anak.
Menurutnya, dia yang dalam keadaan panik cuba memadamkan api di bilik tersebut dengan menyimbah air yang diangkut dengan baldi.
Katanya, sambil cuba memadamkan kebakaran dia juga sempat memeriksa semua empat bilik tidur khuatir ada yang terperangkap kerana seorang anaknya, Mohd Hisyam, 12, tidak ke sekolah.
“Mujur ketika kebakaran itu Mohd Hisyam keluar ke rumah kawannya, manakala tiga anak saya yang berusia tiga tahun, enam dan 16 bulan sedang bermain di halaman rumah.
“Lima anak yang lain berusia 17 hingga lapan tahun ke sekolah,” katanya.
Menurutnya, apabila api semakin marak dia terpaksa keluar menyelamatkan diri sehelai sepinggang bersama anak-anaknya.
Noraizan terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan kereta yang di parkir di halaman rumah kerana ketika kejadian itu, suaminya, Che Ibrahim Abah, 49, keluar ke kolam itiknya di Kampung Kutan.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Zakaria Hussien berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.58 tengah hari.
“Tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba Tumpat dan Pengkalan Kubor ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Kebakaran dapat dikawal pada jam 1.20 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan kira-kira RM73,000, apabila motosikal dan kereta mangsa turut terbakar,” katanya.
Agency
Tiga sekeluarga maut
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - LEDANG – Hasrat seorang lelaki pulang ke kampung keluarganya di Bukit Pasir, Muar untuk mengambil buah jambu bersama serbuk asam, tidak kesampaian apabila terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 5 Jalan Muar-Tangkak, dekat sini kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 4.45 petang membabitkan sebuah kereta dengan lori yang sarat membawa muatan tong gas menyebabkan tiga daripada lima penumpang kereta Perodua Kancil iaitu Mohd Adzhar Abu Bakar, 29, dua anaknya, Mohd Wahyu, 3, dan Nursyifa Qistina yang berusia dua tahun mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kesemua mangsa dilaporkan kritikal dan disahkan meninggal dunia beberapa jam ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Menurutnya, Mohd Wahyu meninggal dunia jam 6 petang, diikuti Nursyifa Qistina jam 9 malam dan Mohd Adzhar meninggal dunia pada jam 3 pagi semalam.
“Pemandu kereta merupakan isteri kepada Mohd Adzhar, Shahlasiah Abd Malik, 29, kini dirawat di HPSF dan keadaannya stabil. Manakala adik pemandu, Safawi Abd Malik, 20an, dilaporkan kritikal.
“Siasatan awal dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu hilang kawalan lalu memasuki laluan lori dari arah bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pemandu lori, Mohd Shahril Abu, 27, tidak dapat mengelak lalu bertembung dengan kereta berkenaan sebelum terbabas di bahagian kanan jalan.
“Akibat rempuhan kuat itu menyebabkan kereta Kancil remuk teruk di bahagian hadapan dan Mohd Adzhar tersepit di tempat duduk sebelah pemandu.
“Kita meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shahril berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata apabila kereta kancil tersebut tiba-tiba masuk ke laluannya sebelum merempuh lorinya secara berdepan.
“Mujur lebih 20 tong gas yang saya bawa tidak meletup dan hanya bahagian depan dan tepi lori remuk,” katanya.
Difahamkan, kemalangan tersebut membuatkan jalan berdekatan Parit Bunga itu sesak sepanjang hampir satu kilometer.
Agency
Dua maut kenderaan bertembung
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - BALING - Dua pemandu maut ketika dalam perjalanan ke hospital setelah kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa bertembung di Kampung Kembai dekat sini kira-kira 3.15 petang, kelmarin.
Mangsa, Muhamad Khusani Abdul Majid, 43, dari Kampung Kemelong, Sik manakala Mujahid Sallehuddin, 23, dari Kampung Parit Panjang maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, Mujahid Sallehuddin yang memandu kereta jenis Satria cuba memotong kenderaan lain sebelum bertembung kereta jenis Waja yang dipandu Khusani.
Menurutnya, rempuhan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Sementara itu, dalam kejadian lain, seorang penunggang motosikal turut maut di tempat dan hari yang sama pada jam kira-kira 8.50 malam selepas merempuh sebuah motosikal di hadapannya.
Mohd Nizam Idris, 18, dari Kampung Guar Tinggi maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala penunggang motosikal yang dirempuh itu mengalami kecederaan ringan.
Mat Daud berkata, rempuhan itu mengakibatkan mangsa terjatuh sebelum terhantuk di atas jalan raya.
Mangsa yang tidak menggunakan topi keledar itu mengalami kecederaan teruk iaitu keretakan di bahagian kepala sehingga mengakibatkan kematian.
Mat Daud berkata, mayat Mohd Nizam dan Mujahid dihantar ke Hospital Baling, manakala Muhamad Khusani dihantar ke Hospital Sungai Petani untuk dibedah siasat sebelum jenazah dituntut oleh ahli keluarga masing-masing.
Agency
Bas rempuh rumah kedai
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - TAMPIN - Orang awam yang berada di deretan rumah kedai berusia puluhan tahun di sempadan Tampin, Negeri Sembilan dan Tampin, Alor Gajah gempar seketika apabila sebuah bas henti-henti merempuh bangunan berkenaan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, lokasi terletak di sempadan dua negeri yang juga merupakan lokasi lampu isyarat di tengah-tengah bandar Tampin itu menyebabkan aliran trafik sesak seketika.
Menurut saksi, Ng Siew Fah, 55, berkata, ketika kejadian, dia sedang melayan pelanggan terkejut mendengar bunyi dentuman kuat sehingga menyebabkan premis kedainya bergegar.
“Akibat dentuman itu juga, batu bata terpelanting sehingga ke kaki lima bangunan dan saya terus keluar kedai sebelum mendapati bas itu terperosok ke dalam premis bersebelahan.
“Disebabkan bimbang rumah kedai berusia 80 tahun ini runtuh, saya menutup kedai selama kira-kira sejam,” katanya, semalam.
Sementara itu, Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu bas berusia 40-an gagal kawal kenderaan, lalu merempuh bangunan kedai hingga menyebabkan pintu dan tembok premis itu pecah.
“Bas berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari perhentian bas di pekan ini ke pejabat syarikat yang terletak di kawasan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Kuala Ina, Alor Gajah.
“Sebaik sahaja tiba di lampu isyarat di persimpangan Pulau Sebang-Tampin iaitu di tengah-tengah bandar Tampin, pemandu bas terbabit yang ingin membelok ke kanan hilang kawalan lalu merempuh kedai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan insiden berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Agency
HPA ketengah rawatan herba
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - Suatu ketika dahulu, HPA Industries Sdn Bhd (HPA) sememangnya menjadi pilihan umum khususnya dalam kalangan Bumiputera menerusi pelbagai produk berasaskan herba.
Selepas empat tahun melalui zaman kegemilangannya, HPA diuji apabila terpaksa melalui era kejatuhan dalam perniagaan.
Bagaimanapun, ia tidak pernah menjadi penghalang kepada syarikat untuk bangkit semula dalam masa tiga tahun.
Berkat kesabaran dan kesungguhan itu, HPA kini mampu berdiri teguh selari dengan syarikat lain yang telah menempa nama dalam industri perniagaan perubatan tradisional.
Sejarah dan kejatuhan HPA
Pengarah Urusan Kumpulannya, Ismail Ahmad berkata, HPA mula ditubuhkan sejak 1986 dan hanya diusahakan secara kecil-kecilan dengan bantuan keluarga.
Ismail berkata, berikutan ketika itu dia masih bergelar penjawat awam maka perniagaan tersebut hanya dijadikan sebagai kerja sampingan.
“Pada 1995, saya tekad melepaskan jawatan disandang bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap perniagaan diusahakan.
“Kejatuhan HPA empat tahun selepas menempa nama dalam industri perubatan herba dan terpaksa mengambil masa tiga tahun untuk membangunkan semula,” katanya kepada Sinar Harian.
Gabungan perubatan Tibun Nabawi
Menurut Ismail, HPA memperkenalkan perubatan Jawi iaitu Al Wahida yang berdasarkan kepada perubatan Tibun Nabawi dengan gabungan dua sumber seperti alamiah dan ilahiyah.
Katanya, hanya dua kaedah tersebut digunakan kepada mereka yang mendapatkan rawatan.
“Selain itu, HPA juga telah membina kilang berteraskan Good Manufacturing Practice (GMP) bagi memproses produk yang dipasarkan menerusi konsep pemasaran bertingkat.
“Sehingga kini, HPA telah mengeluarkan lebih 40 produk berasaskan herba yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan melebarkan sayap dengan memperkenalkan makanan halal,” katanya.
“Tidak hanya tertumpu pada produk herba, bermotokan Produk Halal Tanggungjawab Bersama, HPA turut melibatkan diri dalam semua bidang termasuk perhotelan, makanan halal dan keperluan harian,” katanya.
Ismail berkata, HPA kini mempunyai 120 cawangan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak malah berjaya menembusi Indonesia, Thailand, Kemboja, Vietnam, Brunei serta Singapura.
Kekal perolehan, tingkat pengeluaran
Menurut Ismail, kolaborasi bersama pasaran luar telah dimulakan lebih 10 tahun dan Indonesia menjadi negara pertama ditembusi sejak 2000 bagi produk dan pendidikan herba.
Katanya, HPA sentiasa melakukan inovasi terhadap produk yang dikeluarkan sama ada dalam bentuk latihan dan jualan.
“Bagi mengukuhkan lagi kedudukan dan jenama HPA dalam industri, penstrukturan semula syarikat dilaksanakan.
“Komitmen setiap warga kerja menyumbang kepada kejayaan HPA dengan mencatatkan perolehan sebanyak RM100 juta bagi 2011.
Syarikat bukan hanya akan mengekalkan perolehan bagi 2012, sebaliknya meningkatkan pengeluaran dengan penambahan penggunaan mesin serta warga kerja," katanya.
Perancangan bagi 2013
Ismail berkata, HPA kini lebih memberi tumpuan kepada program Pelancongan Sihat yang akan dimulakan Januari 2013 di Langkawi.
Beliau menambah, program itu akan menjadi antara platform untuk mengembangkan syarikat sekali gus menjadi mekanisme penyembuhan yang akan dilakukan melalui kursus, pendidikan dan perkembangan minda.
"Perubatan herba kini lebih menekankan program pemulihan secara motivasi dan menjadikan Langkawi sebagai antara lokasi selain berpeluang beristirahat," katanya.
Agency
Penyamun kebas RM100,000 dari kedai emas
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LIPIS - Empat lelaki bertopeng bersenjatakan pistol melarikan pelbagai jenis barang kemas bernilai RM100,000 dalam satu rompakan di sebuah kedai emas di Merapoh, di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian itu, kumpulan terbabit turut melepaskan dua das tembakan untuk memecahkan cermin kaca pameran barang kemas di kedai berkenaan sebelum seorang lagi menghentak cermin terbabit dengan menggunakan sebilah kapak.
Menurutnya, keempat-empat suspek dipercayai ke kedai berkenaan empat jam sebelum kejadian itu dengan berpura-pura menjadi pelanggan.
“Empat suspek dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Waja yang diletakkan tidak jauh dari premis itu.
“Hasil pemeriksaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik kedai emas berkenaan, polis mendapati empat penyamun bertopeng berkenaan melepaskan dua das tembakan pada rak cermin kaca sebelum menetak cermin itu dengan menggunakan sebilah kapak,” katanya di sini, semalam.
Abdul Razak berkata, buat masa ini pihak polis sedang meneliti rakaman CCTV di kedai itu.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit supaya tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,” katanya.
Sementara itu pemilik kedai emas, Azmi Mohamed, 41, berkata ketika kejadian, dia dan isterinya, Manih Mamat, 36, bersama empat anaknya yang berusia tiga hingga 13 tahun berada di dalam premis berkenaan.
“Empat suspek masuk secara tiba-tiba, salah seorang daripada suspek mengacukan sepucuk pistol kepada saya..
“Suspek kemudiannya melepaskan dua das tembakan pada cermin kaca.
“Dalam tempoh kira-kira dua minit, mereka kemudiannya melarikan barangan kemas, kerugian dianggarkan RM100,00,” katanya yang berniaga emas sejak 11 tahun lepas.
Agency
Curi seguni rambai: Buruh berdepan penjara 7 tahun, denda
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Gara-gara 'merembat' seguni buah rambai di sebuah kebun milik seorang peneroka di Felda Belara, di sini, seorang buruh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh, Rosli Abd Malek, 41, yang juga anak jati Felda tersebut boleh dikenakan hukuman itu selepas dia mengaku mencuri seguni buah rambai milik Bek Jusoh, 76, pada Rabu lalu.
Dengan itu, Rosli atau lebih dikenali dengan nama Jamsari oleh penduduk di Felda berkenaan mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan itu.
Dia mengaku mencuri seguni buah rambai bernilai RM25 dengan seorang lagi rakannya yang masih bebas, dikenali ‘Muda’ di dalam kebun milik warga emas berkenaan pada 10 Oktober lalu kira-kira jam 7 petang.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret/Sesyen, di sini, Rosli Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun, selepas pengakuannya direkodkan, Rosli menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukum yang akan diputuskan di Mahkamah Majistret, di sini dan membenarkan dia diikat jamin RM2,500 oleh seorang penjamin.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pemilik kebun, Bek sedang berada di rumahnya sebelum ternampak dua lelaki dikenali iaitu Rosli bersama rakannya sedang menunggang motosikal masuk ke dalam kawasan kebun buah rambai miliknya.
Hampir sejam kemudian, kedua-duanya keluar sambil membawa seguni berisi penuh buah rambai dan melihatkan situasi itu, Bek yakin buah rambai di dalam guni dibawa adalah hasil curi dari kebunnya.
Tanpa membuang masa, Bek terus memaklumkan kepada penduduk sebelum berjaya menangkap Rosli manakala rakannya berjaya melarikan diri.
Agency
Suami dijel 15 bulan, dua sebatan
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KOTA BHARU- Padah mencederakan isteri menggunakan kelewang, seorang pemandu jengkaut menerima pembalasan apabila Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhi hukuman penjara 15 bulan dan dua sebatan terhadapnya.
Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Sabry Zawawi, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dilakukannya pada Ogos lalu.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 12 Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, pada 12 Ogos lalu, Mohd Sabry didakwa dengan sengaja melibas kelewang terhadap Nurul Elmiza Kadir, 22, di Lot 1062, Kampung Aril Pauh Lima, di sini pada jam 3.30 petang.
Oleh itu, tertuduh dari Kampung Hj Saman Gunong, Bachok itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan jika didapati bersalah.
Sebelum itu, tertuduh merayu kepada mahkamah memohon hukuman diringankan dengan alasan dia sudah benar-benar insaf dengan kesalahannya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamed memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Agency
Bekas raja Kemboja Sihanouk meninggal dunia
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - BEIJING - Bekas raja Kemboja, Norodom Sihanouk yang terkenal di peringkat antarabangsa dan disegani ramai, meninggal dunia di sebuah hospital di sini awal pagi ini.
Mendiang yang berusia 89 tahun dilaporkan meninggal dunia kerana diserang sakit jantung.
Dipetik agensi berita Kyodo, pembantu khas Sihanouk, Putera Sisowath Thomico berkata, bekas raja itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.25 pagi tadi.
Mendiang menaiki takhta pada 1941 dan membawa kepada kemerdekaan negara daripada Perancis pada 1953.
Sihanouk turun dari takhta pada 2004 ekoran masalah kesihatan yang berpanjang.
Agency
Bekas diplomat dipilih PM baru Libya
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - TRIPOLI - Bekas diplomat, Ali Zidan dipilih sebagai Perdana Menteri baru Libya, semalam.
Beliau menggantikan Mustafa Abu Shagur yang dipecat minggu lalu selepas gagal membentuk sebuah kerajaan.
Beliau diberi tempoh dua minggu untuk mengemukakan barisan Kabinet.
Ali yang memperoleh 93 undi pernah berkhidmat sebagai diplomat ketika era Muammar Gaddafi, yang digulingkan tahun lalu, sebelum menyertai pembangkang yang berada dalam buangan ketika itu.
Agency
Curi logam: Gadai nyawa demi wang
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - CURI logam bukan satu cerita baru. Mungkin kerana besi, timah, keluli atau tembaga yang berharga 'bersepah' di mana-mana 'tukang curi' kelabu mata untuk mendapatkan wang segera.
Tanpa peduli impak kepada orang lain, waima keselamatan diri sendiri. Bukan setakat penutup longkang, penghadang jalan, pagar rumah yang dicuri, malah ada yang mengangkut besi rel kereta api. Paling tragis sanggup menggadai nyawa jadi 'super hero' memanjat pencawang elektrik untuk mencuri kabel bagi mendapatkan tembaga untuk ditukar menjadi duit.
Rentung terkena gencatan ketika ghairah memotong kabel, badan putus tersepit di atas pencawang antara padah yang menimpa si pencuri logam. Walaupun sudah banyak kes ngeri sebegini berlaku, tetapi kejadian curi logam masih berleluasa.
Agency
Turki larang semua pesawat Syria
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - ANKARA - Turki pula mengambil tindakan balas dengan melarang kesemua pesawat Syria daripada menggunakan ruang udaranya - keputusan diambil sehari selepas Damsyik mengambil langkah yang sama kelmarin.
Tindakan terbaru ini, yang menggambarkan peningkatan ketegangan kedua-dua negara jiran itu, diumumkan oleh Kementerian Luar Turki semalam.
Menurut jurucakap kementerian itu, larangan ini merangkumi penerbangan pesawat awam dan tentera.
Malah, Turki juga menasihatkan pesawat-pesawat awam negaranya agar mengelak daripada menggunakan ruang udara Syria.
Agency
Berapa tahanan ISA terkini, bila dibebaskan
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd. Yusoff minta Menteri Dalam Negeri menyatakan kedudukan terkini mangsa tahanan ISA yang masih ditahan dan bila mereka akan dibebaskan setelah Akta ISA dihapuskan.
Beliau mengemukakan pertanyaan bagi jawan lisan itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Pertanyaan-pertanyaan daripada ahli-ahli parlimen PAS hari ini sebagaimana di bawah.
Mohd. Nasir Zakaria [Padang Terap] minta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air menyatakan:-
(a) tarif terkini elektrik untuk semua kategori pengguna; dan
(b) bila dan bagaimana pelarasan tarif dilakukan oleh TNB dan nyatakan tahun pelarasan dilakukan.
Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta Menteri Kerja Raya menyatakan jenis bantuan yang diberikan bagi membantu Kerajaan negeri Kelantan membina lebuh raya Kota Bharu - Kuala Krai dan sebuah stadium bola sepak yang bersesuaian dengan keperluan negeri itu sekarang.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor] minta Perdana Menteri menyatakan tindakan Kerajaan mengenai kekhuatiran Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) tentang kedudukan bekalan (availability) perumahan yang mampu milik (affordable housing RM150,000-RM300,000) khususnya di Lembah Klang, sementara menyaksikan penggunaan tanah-tanah milik kerajaan membangunkan projek-projek mewah bersifat 'high-end' termasuk projek multi-bilion Tun Razak Exchange.
Datuk Taib Azamudden Md Taib [Baling] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri menyatakan:-
(a) pencapaian yang telah diperoleh SME CORP Malaysia, SME Bank dan MARA dalam pembangunan IKS di Baling; dan
(b) senaraikan program-program usahawan dan kerjasama strategik jabatan-jabatan Kerajaan berkaitan bagi menjayakan pencapaian ini.
Salahuddin Ayub [Kubang Kerian] minta Menteri Luar Negeri menyatakan mengapa Kerajaan menyerahkan Blok L & M kepada Brunei Darussalam sedangkan dalam Production Sharing Contract Petronas dengan jelas menunjukkan bahawa Blok L dan M telah diberikan kepada Murphy Oil oleh Petronas untuk diterokai dan adakah penyerahan kepada Brunei itu berlaku kerana Petronas cuai atau adakah Kerajaan Malaysia yang melakukan kesalahan.
Tuan Mohd Firdaus bin Jaafar [Jerai] minta Menteri Pengangkutan menyatakan berapakah jumlah pelaburan dua (2) syarikat yang mengendalikan pemasangan kamera untuk Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara.
Harakah Daily
Langgan:
Catatan (Atom)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)

