16 Oktober 2012

Mat rempit gadai nyawa

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


Mat rempit gadai nyawa
 
Motosikal yang ditahan dibawa ke IPD Melaka Tengah untuk siasatan.
 
BANDA HILIR - Mat rempit sanggup melanggar dan merempuh anggota polis semata-mata mahu meloloskan diri daripada sekatan jalan raya.

Itulah aksi berani yang dapat dilihat dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Eye On Malaysia, petang kelmarin.

Operasi dilakukan 14 pegawai dan anggota polis cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, diketuai Pegawai Penguat Kuasa Trafik, Inspektor Abd Zaki Zainal, bermula kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Dalam operasi itu, seorang pelajar lelaki tingkatan lima turut ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya.

Sebanyak 14 motosikal disita dan pemiliknya turut dikenakan tindakan kerana membenarkan penunggang tiada lesen menggunakan motosikal terbabit dalam operasi yang dijalankan selama empat jam itu.  

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, 100 motosikal diperiksa dan 14 daripadanya disita kerana melakukan kesalahan menunggang  tanpa lesen.

“Dalam operasi sama, kita turut mengeluarkan 45 saman atas pelbagai kesalahan,” katanya.

sinar/-

9 GLC Kerajaan Rugi RM2.5 Bilion

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Laporan Audit Negara 2011 merumuskan sebanyak 23 syarikat kerajaan mencatatkan keuntungan RM255.8 bilion sepanjang tiga tahun antara 2008 dan 2010 manakala sembilan lagi mengalami kerugian terkumpul RM2.5 bilion. 
 
Dalam laporan itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang juga berkata, daripada 23 syarikat yang memperolehi keuntungan RM255.8 bilion, hanya 10 syarikat membayar dividen kepada kerajaan bagi tiga tahun berturut-turut iaitu sebanyak RM109.364 bilion manakala empat syarikat yang lain hanya membayar dividen bagi tahun-tahun tertentu.

“Sebanyak 20 daripada 25 syarikat telah membayar cukai bagi tiga tahun berturut-turut berjumlah RM81.382 bilion kepada kerajaan,” katanya dalam laporan yang diedarkan di Parlimen.

Seksyen 6(d) Akta Audit 1957 mengehendaki Ketua Audit Negara menjalankan pengauditan untuk menilai sama ada aktiviti kerajaan diuruskan dengan cekap, berhemat dan selaras dengan objektif aktiviti berkenaan.

Pengauditan tersebut melibatkan pelbagai aktiviti seperti pembinaan, infrastruktur, penyenggaraan, pengurusan aset, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan hasil, pelajaran, kesihatan, pertanian, modal insan dan program peningkatan sosioekonomi.

Katanya, laporan ini mengandungi perkara yang telah diperhatikan hasil daripada pengauditan terhadap 58 aktiviti atau projek di bawah 28 kementerian atau Jabatan Persekutuan dan pengurusan tujuh syarikat kerajaan.

“Pada umumnya, terdapat kelemahan seperti ‘improper payment’, kerja atau bekalan tidak mengikut spesifikasi atau tidak berkualiti atau tidak sesuai, kelewatan tidak munasabah, pembaziran, pengurusan hasil dan pengurusan aset kerajaan,” kata Ambrin dalam laporan kali ini.

Katanya, kelemahan tersebut adalah disebabkan oleh kecuaian dalam mematuhi peraturan atau prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan; kurang teliti semasa merancang program atau projek dan menetapkan skop serta spesifikasi tender; tidak memantau dengan kerap dan teliti kerja-kerja kontraktor atau vendor ataupun perunding; kurang kemahiran dalam pengurusan projek; lewat membuat keputusan mengenai perolehan; sistem maklumat jabatan atau agensi yang tidak lengkap dan tidak kemas kini; kurang memberi perhatian terhadap keberhasilan/impak sesuatu program atau projek; kekurangan peruntukan untuk penyenggaraan aset; dan kekurangan pegawai untuk mengutip hasil.

Ambrin berkata, bagi membantu kementerian atau jabatan atau syarikat kerajaan memperbetulkan kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2009 dan 2010, sebanyak 547 syor telah dikemukakan untuk tujuan tersebut.

Katanya, pemeriksaan susulan yang dijalankan setakat 30 April lalu mendapati 241 (96.4 peratus) daripada 250 syor yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2009 telah diambil tindakan dengan sewajarnya oleh pihak yang berkenaan.

“Manakala bagi tahun 2010, sebanyak 220 (74.1 peratus) daripada 297 syor yang dikemukakan telah diambil tindakan.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2011 ini pula, katanya, sebanyak 356 syor telah dikemukakan kepada Kementerian atau jabatan atau syarikat kerajaan berkenaan untuk tindakan pembetulan atau bagi mengelakkan kelemahan yang sama daripada berulang.

Jabatan ini akan membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak yang berkenaan terhadap syor tersebut dan akan melaporkan kedudukan terkininya dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012.

Laporan Audit Negara berkata, Pekeliling Perbendaharaan Bil. 11 Tahun 1993 menyatakan bahawa bayaran dividen sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keuntungan selepas cukai setiap tahun perlu dibayar kepada kerajaan sebagai pemegang saham.

Sekiranya keuntungan lebih diperoleh bagi sesuatu tahun kewangan, peratusan dividen perlu ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi tanpa menjejaskan kedudukan kewangan syarikat.

Laporan itu menambah, sehingga tarikh pengauditan pada bulan Mei 2012, adalah didapati 14 atau 29 peratus syarikat daripada 47 syarikat telah membayar dividen bagi tahun kewangan 2010 yang berjumlah RM49.488 bilion.

“Daripada jumlah tersebut 10 syarikat memperolehi keuntungan dan membayar dividen selama tiga tahun berturut-turut berjumlah RM109.364 bilion,” katanya.

Sepuluh syarikat yang membayar dividen sepanjang tiga tahun ialah Petronas RM109,000 juta, Felcra (RM13.50 juta), Perbadanan Nasional Berhad (RM30.04 juta), Amanah Raya Berhad (RM2.70 juta), Malaysian Kuwaiti Investment Corporation Sdn. Bhd. (RM14.04 juta), Prokhas Sdn. Bhd. (RM 6.75 juta), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM280 juta), Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (RM2.06 juta), Technology Park Malaysia Corporation Sdn. Bhd. (RM12.32 juta) dan Sirim Berhad (RM2.96 juta).

Gempar lima ‘bom’

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


GEMPAR...kakitangan Wisma KWSG  keluar dari bangunan sementara pemeriksaan dilakukan, semalam.

GEMPAR...kakitangan Wisma KWSG keluar dari bangunan sementara pemeriksaan dilakukan, semalam.
KUALA LUMPUR: Seorang telefonis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Kuala Lumpur Bandar di Wisma Kumpulan Wang Simpanan Guru-Guru (KWSG), Kampung Attap, di sini, menggigil sebaik menerima panggilan menyatakan ada bom untuk meletupkan bangunan itu jam 10.30 pagi, semalam.
Panggilan bom palsu yang dibuat seorang lelaki jam 9 pagi itu menyebabkan lebih 300 kakitangan di bangunan 21 tingkat terbabit diarah keluar.

Kakitangan KWSG, Aishah Salim, 40, berkata, beliau mengetahui mengenai panggilan itu sebaik pengawal keselamatan mengarahkan semua kakitangan mengosongkan bangunan dan berkumpul di depan bangunan.
“Saya diberitahu pemanggil terbabit memberitahu dia benci LHDN dan sudah meletakkan lima bom dalam bangunan yang akan meletup tepat jam 10.30 pagi.

“Kami semua meninggalkan bangunan dan membawa barang berharga sementara menunggu polis menjalankan pemeriksaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Pengarah LHDN Cawangan Kuala Lumpur Bandar, Zulkifli Mohd Tahir berkata, seorang telefonisnya menerima panggilan daripada seorang lelaki memberitahu dia meletakkan lima bom dalam bangunan.
“Telefonis itu memaklumkan kepada pegawai keselamatan lalu menghubungi saya yang ketika itu sedang bermesyuarat di Wangsa Maju. Saya arahkan beliau menghubungi polis dan minta kakitangan kosongkan bangunan,” katanya.

Menurutnya, selain LHDN, bangunan berkenaan turut menempatkan kakitangan jabatan kerajaan lain dan swasta.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.11 pagi dan sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian.

“Unit Pengesan Bom dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan dalam bangunan, namun selepas sejam, pemeriksaan tidak menemui bahan letupan dan bangunan terbabit disahkan selamat sebelum semua pekerja dibenarkan masuk,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

sinar/-


Tapir sesat dikejar anjing

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
 
Tapir yang ditemui sesat ke perkampungan Orang Asli Bukit Payung, kelmarin.
 
Tapir yang ditemui sesat ke perkampungan Orang Asli Bukit Payung, kelmarin.
 
ALOR GAJAH – Penduduk di perkampungan Orang Asli Bukit Payung, Taboh Naning, di sini, gempar apabila seekor tapir dewasa lari lintang-pukang masuk ke kampung itu akibat dikejar sekumpulan anjing, pagi kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, tapir berkenaan ditemui dalam keadaan cedera di badan dipercayai dicederakan binatang buas sebelum tersesat di kebun getah penduduk.

Penduduk, Mohd Erwan Ridwan Abdullah, 26, berkata, dia yang berada di rumah ketika itu terdengar bunyi riuh rendah dan mendapati seekor tapir dikejar sekumpulan anjing.

“Melihat tapir berkenaan dalam ketakutan, kami segera mengejarnya yang lari ke arah projek pembinaan landasan kereta api dan menghalau anjing dari terus mengejarnya.

“Kami mengepung tapir yang terperangkap di sebalik tembok pagar landasan namun tidak berani menangkap nya sebelum saya mengambil tali di rumah untuk menjerat kakinya,” katanya.

Menurutnya, sejurus kaki belakang sebelah kiri tapir itu masuk ke dalam jerat, penduduk segera menariknya namun kedudukan jalan yang bercerun mengakibatkan haiwan itu tergelincir dan tidak boleh naik ke atas.

“Melihat keadaan tapir yang tidak berupaya bergerak, kami ikat kedua belah kakinya dan menggunakan kayu untuk dijadikan kandar sebelum cuba membawanya naik dengan kekuatan 12 penduduk.

“Kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membawanya naik ke atas sebelum dimasukkan ke dalam pacuan empat roda dan ditambat di kawasan balai raya,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya penduduk sepakat untuk melepaskan semula tapir itu ke dalam hutan namun setelah melihat keadaannya yang cedera mereka segera menghubungi pihak berkenaan.

Ketua Operasi JPAM Alor Gajah, Hamidah Puteh berkata, tapir berkenaan diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada Perhilitan.

sinar/-


Kenderaan amfibia dijual di AS

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
 
DETROIT - Sebuah kenderaan amfibia yang boleh bergerak di permukaan air dijual di Amerika Syarikat (AS) pada harga AS$40,000 (RM122,279). 

Kenderaan itu dikeluarkan oleh syarikat Gibbs Sports Amphibians Incorporation di sini.
Pihak pengurusan syarikat itu berharap kenderaan tersebut yang bernama Quadski akan dijual di seluruh dunia menjelang 2014.

Ia menggunakan enjin yang dibekalkan syarikat pengeluar kenderaan BMW dan mempunyai satu tempat duduk.

Kenderaan itu boleh bergerak sejauh 72 kilometer sejam di daratan dan butang khas perlu ditekan jika penggunanya mahu ia bergerak di permukaan air.

Butang itu akan menyebabkan empat tayar kenderaan itu 'dilipat' bagi boleh membolehkannya bergerak di permukaan air pada kelajuan yang sama di daratan. - Agensi

Basikal kadbod dicipta

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

 
MOSHAV AHITUV, Israel - Seorang pencipta Israel, Izhar Gafni mencipta sebuah basikal yang hampir keseluruhan badannya diperbuat daripada kadbod. 

Menurut Gafni, basikal itu dihasilkan selepas menjalani banyak ujian.

Beliau yang berusia 50 tahun berkata, pengeluaran basikal itu akan bermula dalam tempoh beberapa bulan lagi dan akan dijual pada harga tidak lebih AS$20 (RM61.17).

"Semasa kami bermula (mencipta basikal tersebut) setahun setengah lalu, orang ramai ketawakan kami. Namun, kini kami menerima sebanyak 12 e-mel pada setiap hari untuk bertanyakan di mana mereka boleh membeli basikal itu," katanya.

Dia mencipta basikal itu di sebuah bengkel di sini.

Gafni meramalkan bahawa pada masa depan, kadbod mungkin digunakan dalam pembuatan kereta dan pesawat.

Kadbod dihasilkan daripada pulpa kayu yang dicipta pada abad ke-19. - Reuters

Curi besi landasan kereta api

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Logam
 
Curi logam - Gambar hiasan
 
PORT DICKSON - Besi landasan kereta api juga menarik minat pencuri logam untuk dijual.

Ini berlaku di Ladang Salak, Siliau, seperti dilaporkan Sinar Harian, tahun lalu dengan penemuan 36 batang besi di bawah timbunan pelepah kering kelapa sawit.

Dalam kejadian 13 Februari tahun lalu, sindiket dikesan memotong besi landasan kepada potongan yang lebih kecil bagi memudahkan logam itu di bawa keluar dari kawasan ladang dan dijual.

Wartawan Sinar Harian yang turut membuat siasatan berhubung kegiatan itu dengan mengambil masa hampir satu jam mengesan kawasan berkenaan menerusi bantuan pekerja ladang terbabit.

Hasilnya, wartawan dan pekerja ladang terbabit menemui kesan-kesan memotong besi landasan kereta api lama milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang kini tidak lagi digunakan, sebelum anggota polis dan kakitangan KTMB turun ke lokasi berkenaan sehari selepas itu.

Landasan berkenaan dipenuhi dengan semak samun dan terletak hampir dua kilometer daripada jalan raya utama Siliau-Lukut.

Anggota polis dan kakitangan KTMB turun ke lokasi berkenaan melakukan operasi mencari bahan bukti kejadian dan siasatan penuh dilakukan.

Operasi bermula 2.30 petang dan siasatan itu membawa penemuan 36 batang besi landasan kereta api yang disembunyikan di timbunan pelepah kelapa sawit kering kira-kira dua kilometer dari lokasi landasan kereta api berkenaan.

Setiap satu batang besi landasan itu mempunyai berat 80 kilogram dengan panjang kira-kira 1.2 meter. Operasi berkenaan berakhir kira-kira 4.30 petang dan kesemua batang besi landasan itu dibawa keluar ke laluan utama ladang dengan bantuan pekerja ladang menggunakan jentolak.

Besi landasan kemudian dibawa ke Balai Polis Lukut menggunakan van KTMB. Polis juga menemui sejenis peralatan dipercayai digunakan untuk memotong landasan besi itu 100 meter dari lokasi penemuan.

Mengikut sejarah, landasan kereta api di Port Dickson mula dicadangkan pembinaannya pada tahun 1891, satu landasan kereta api sepanjang 39 kilometer untuk menghubungkan Tanjung (kini Port Dickson) dan Sungai Ujong yang sekarang dikenali sebagai Seremban.

Menjelang tahun 1902, Port Dickson dikenali ramai kerana stesen kereta api di selatan Semenanjung serta kemunculannya sebagai pelabuhan terunggul.

Namun, sejak awal 1980-an landasan kereta api Port Dickson tidak lagi digunakan dan landasan itu sehingga kini masih kekal di tempatnya.

sinar/-

Lelaki ancam letup LHDN kerana benci

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

LHDN
 
Semua pekerja di Wisma KWSG diarah keluar dari bangunan selepas operator LHDN menerima panggilan daripada seorang lelaki yang ingin meletupkan bangunan itu.
 
KUALA LUMPUR - “Saya benci Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Saya nak letupkan bangunan ini jam  10.30 pagi.”

Demikian ancaman seorang pemanggil tidak dikenali yang menghubungi operator LHDN di Wisma Kumpulan Wang Simpanan Guru (KWSG) di Jalan Kampung Attap di sini, semalam.

Aishah Salim, 40, yang bertugas di bahagian sumber manusia berkata, operator yang menerima panggilan tersebut terus memaklumkan ancaman yang diterima itu kepada pihak pengurusan.

“Kami terus memberitahu kepada semua kakitangan berhubung ancaman tersebut.

Mereka diarahkan untuk mengosongkan bangunan.

“Keadaan terkawal sehingga sepasukan polis tiba bagi melakukan pemeriksaan di dalam dan sekitar bangunan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Aishah yang baru berkhidmat selama tiga bulan berkata, mereka menyambung semula tugasan setelah keadaan disahkan selamat oleh polis.

Katanya, Wisma KWSG setinggi 21 tingkat itu menempatkan pelbagai syarikat lain dan lebih 300 pekerja berada di dalam bangunan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada pengawal keselamatan LHDN, kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, pengawal keselamatan itu melaporkan seorang lelaki menghubungi operator LHDN dan memberitahu terdapat lima butir bom disimpan di dalam bangunan.

“Polis dari Unit Pemusnah Bom dikejarkan ke lokasi dan selepas pemeriksaan, kita tidak menemui sebarang bahan letupan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, polis sedang melakukan siasatan bagi mengesan lelaki yang membuat panggilan palsu tersebut.

sinar/-

Jamil tak jawab mekanisma naik gaji CEO Tabung Haji

 30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom didakwa gagal memberikan penjelasan berhubung kenaikan gaji Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai eksekutif (CEO) Tahung Haji Datuk Ismee Ismail.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Jamil hanya berkata kenaikan gaji Ismee itu mengikut peraturan yang ditetapkan namun tidak menjelaskan apakah mekanisme yang digunakan.

"Isunya menteri kata ikut peraturan tapi saya persoalkan peraturan apa yang diguna pakai tapi sampai sekarang menteri tak jawab.

"Saya tidak persoal peribadi Datuk Ismee Ismail sebagai CEO tapi yang saya persoalkan bagaimana mekanisme kenaikan gaji daripada 2011 sebanyak RM70,000 naik kepada RM85,000 pada 2012," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Naib Presiden PAS itu juga berkata, ketiadaan jawatankuasa penetapan gaji dalam Lembaga Pengarah Tabung Haji untuk menentukan kenaikan gaji CEO juga menimbulkan kecurigaan.

"Tak ada jawatankuasa penetapan gaji dalam lembaga pengarah tabung haji. Ada jawatankuasa soal pelaburan, ada enam jawatankuasa tapi tak termasuk soal penetapan gaji.

"Kalau menteri kata kenaikan ini mengikut peraturan, ini satu pembohongan yang dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Justeru Mahfuz berkata, beliau sedang merancang untuk menubuhkan badan bertindak untuk menyelamatkan Tabung Haji daripada sebarang penyelewengan.

"Saya akan bincang untuk menubuhkan badan bertindak untuk menyelamatkan tabung haji. Mungkin kita akan namakan badan ini sebagai penyelamat tabung haji," katanya.

Awal bulan lalu ketika berbahas di Parlimen, Mahfuz mendedahkan beliau mempunyai maklumat bahawa gaji Ismee dinaikkan dari RM70,000 pada 2011 kepada RM85,000 pada 2012.

Selain gaji, beliau juga mendakwa CEO Tabung Haji itu juga turut mendapat bonus RM700,000 serta gratuiti RM490,000.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana gaji seorang CEO berstatus kontrak memperolehi gaji sebesar itu berbanding CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berjawatan tetap tidak menikmati gaji selumayan itu malah gaji dan bonus itu sendiri lebih daripada yang diperolehi perdana menteri.

Apa yang dibimbangi kata Mahfuz, jika ada berlaku ketidaktelusan dalam agensi itu sehingga boleh menjejaskan simpanan pencarum yang lain.

harakahdaily/-

P Pinang surplus kerana rakyat, pentadbiran gigih

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


GEORGE TOWN: Pengesahan Laporan Ketua Audit Negara 2011 bahawa lebihan surplus yang paling tinggi dicatat dalam sejarah Pulau Pinang yang naik 312% kepada RM138 juta pada 2011 berbanding RM33 juta pada 2010 adalah usaha gigih rakyat Pulau Pinang dan semangat berpasukan semua anggota pentadbiran kerajaan negeri.

Demikian dinyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, pentadbiran Cekap Akauntabel dan Telus atau CAT kerajaan negeri PR telahpun membolehkan surplus naik RM105 juta dalam setahun kepada rekod RM138 juta berdasarkan kenaikan hasil yang dikutip yang naik RM192 juta atau 47% daripada RM411 juta pada 2010 kepada RM603 juta pada 2011 sungguhpun perbelanjaan mengurus naik RM88 juta atau 23% daripada RM377 juta pada 2011 kepada RM465 juta pada 2011.

Kerajaan negeri juga, kata beliau berterima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Pulau Pinang atas pengurusan kewangan baik negeri, khususnya dalam menaikkan kutipan hasil sebanyak 47% atau RM192 juta.

Menurutnya, sungguhpun prestasi kewangan adalah yang paling baik dalam sejarah negeri Pulau Pinang, maka kerajaan negeri menerima teguran Laporan Ketua Audit Negara dengan hati terbuka.

“Saya telahpun mengarahkan jawapan daripada semua jabatan berkenaan sekiranya ada kelemahan yang harus diperbaiki ataupun ada teguran audit yang tidak berasaskan fakta ataupun disebabkan oleh kesilapan pihak lain dan bukannya melibatkan kerajaan negeri.

“Di antara teguran audit yang saya hendak jelaskan di sini adalah bahawa daripada RM 557.25 juta yang diperuntukkan kepada 9 jabatan negeri untuk menjalankan 2,489 projek, hanya RM 171.05 juta telah dibelanjakan, ataupun RM386.2 juta tidak dibelanjakan,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sebenarnya, jelas beliau hanya RM23.9 juta yang tidak dibelanjakan dan bukannya RM386.2 juta.

Katanya, RM23.9 juta tidak dibelanjakan kerana projek bermula lewat dan jabatan telahpun diarahkan untuk memastikan kelewatan dapat dielakkan.

Beliau menjelaskan lagi, baki RM362.3 juta tidak dibelanjakan disebabkan oleh dua (2) perkara utama iaitu:

- RM100 juta yang diperuntukkan untuk pengambilan tanah hub pendidikan Asian Women Leadership University atau AWLU di Kampung Genting, Balik Pulau tidak dibelanjakan apabila AWLU bersetuju memilih tapak kerajaan negeri di Pondok Upeh. Oleh itu pengambilan tanah di Kampung Genting dibatalkan dan kos RM100 juta dijimatkan; dan

- RM262.3 juta diperuntukkan untuk membayar hutang pinjaman projek bekalan air yang tidak perlu lagi dibelanjakan selepas perjanjian penghijrahan aset air kepada kerajaan persekutuan menerusi Perbadanan Asset Air Bhd(PAAB). Ini adalah kerana kerajaan persekutuan diperlukan membina Empangan Air Mengkuang dan mengambilalih hutang pinjaman ini sebagai pra-syarat kerajaan negeri bersetuju menyerahkan aset air kepada PAAB.

Ahli Parlimen Bagan itu menambah, Laporan Ketua Audit Negara telahpun menyatakan bahawa daripada 2,489 projek yang telah diluluskan pada 2011, sebanyak 2,455 projek (iaitu  98.6%)  telah siap sepenuhnya.

Katanya, hanya dua perbelanjaan besar sebanyak RM362.3 juta tidak dijalankan seperti yang dijelaskan di atas.

Beliau berkata, daripada jumlah peruntukan  RM557.25 juta hanya RM23.9 juta tidak dapat dibelanjakan kerana lewat berjalan projek.

“Pada keseluruhannya ulasan Ketua Audit Negara adalah bahawa pencapaian yang  baik dari segi bilangan projek yang berjaya disiapkan,” ujarnya.

harakahdaily/-

[GILA] Bilik Kebal Rahsia Besar Simpan Perabot Lama - Laporan Audit

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam menerima teguran daripada Ketua Audit Negara kerana menyimpan perabot lama di dalam bilik kebal yang sepatutnya digunakan untuk menyimpan dokumen rahsia besar.

"Perenggan 58 Arahan Keselamatan antaranya menyatakan dokumen terperingkat Rahsia Besar merupakan dokumen yang perlu disimpan di dalam bilik kebal atau peti besi yang sepatutnya dipasang dengan kunci tatakira."

Bagaimanapun, lawatan Audit ke Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mendapati bilik kebal yang disediakan tidak digunakan mengikut fungsi bilik berkenaan.

"Sebaliknya, bilik tersebut telah digunakan untuk menyimpan perabot lama, peralatan pembersihan dan bekalan pejabat seperti ditunjukkan dalam gambar berikut," laporan itu dipetik.

Dokumen itu menyebut, amalan itu dikesan berlaku di kompleks Kementerian Dalam Negeri yang baru siap dibina pada Mac lalu di Johor bagi mengumpulkan kesemua agensi kementerian tersebut di bawah satu bumbung.

Laporan itu menyebut, jumlah bilik kebal tidak mencukupi untuk kegunaan jabatan lain di kompleks kementerian tersebut, menyebabkan dokumen terkawal disimpan di stor utama.

Ia antara lainnya mendapati, stor utama pejabat Jabatan Pendaftaran Negara tidak sesuai kerana berada di laluan paip kumbahan, dan tidak dilengkapi kemudahan mencegah kebakaran.

Stor yang digunakan Jabatan Imigresen Malaysia pula, menurut laporan itu, hanya berdinding kaca tanpa dilengkapi jeriji besi.

Maklum balas kementerian itu kepada jabatan audit pada Jun lalu menyebut, bilik kebal berkenaan telahpun dibersihkan.

grennboc/-

Lebih 20 dibunuh selepas tunai solat

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] - 
Pasukan perubatan membawa salah seorang mangsa yang parah ditembak penyerang.

Pasukan perubatan membawa salah seorang mangsa yang parah ditembak penyerang.
 
KADUNA - Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah perkampungan di utara Nigeria, menyebabkan 22 orang yang kebanyakannya baru selesai menunaikan solat terkorban, kelmarin.

Pegawai polis, Olufemi Adenaike berkata, serangan di sebuah kampung terpencil, Dogo Dawa dipercayai bermotifkan membalas dendam selepas empat ahli kumpulan bersenjata itu, ditahan anggota rukun tetangga kampung yang kemudian membawa mereka ke balai polis.

"Selepas kejadian itu, sekumpulan lelaki bersenjata dari kampung Kuyello menyerbu kampung ini, kemudian menembak penduduk kampung yang baru keluar dari masjid dan ada yang ditembak di rumah mereka," kata Dawa.

Daerah Kaduna sering diganggu oleh kumpulan pemberontakan Boko Haram sekali gus menyekat kebebasan penduduk yang terancam di tanah air sendiri.

Jenayah rompakan bersenjata dan perebutan kawasan sehingga mencetuskan situasi tembak-menembak, adalah perkara yang biasa berlaku di perkampungan penduduk miskin utara negara itu.
Pemimpin tradisional, Abdullahi Muhammad berkata, perkampungan yang bersebelahan dengan kawasan kerajaan tempatan, diserang oleh sekumpulan pemberontak yang terkenal.

"Kumpulan lelaki bersenjata yang beroperasi dari kem dalam hutan telah mengganas di kampung itu.
Mereka sering menyerang kampung-kampung dan pemandu kereta di sepanjang laluan sibuk Kaduna menghala ke lebuh raya Lagos," katanya. -Reuters

Pocong tanah kubur

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


BUKTI...Pandak melihat objek menyerupai pocong dicampak 
di depan rumahnya, semalam.

BUKTI...Pandak melihat objek menyerupai pocong dicampak di depan rumahnya, semalam. 
JOHOR BAHRU: Seorang pengamal perubatan tradisional tercampak sejauh tiga meter ketika cuba mengambil objek seakan-akan pocong yang dicampak di depan rumah Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Pandak Ahmad, 49, di Taman Mutiara Rini, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, selepas membaca ayat suci al-Quran selama beberapa minit baru pengamal perubatan Islam terbabit berjaya mengangkat objek yang dipercayai menjadi medium ilmu hitam itu.

“Saya tidak menyangka sihir digunakan terlalu kuat sehingga tubuh saya boleh tercampak,” kata pengamal perubatan berusia 50-an itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ustaz.

Menurutnya, selepas mengangkat objek sepanjang 45 sentimeter itu dan melakukan pemeriksaan, ia didapati penuh dengan serbuk pewarna merah, dicucuk jarum dan tulisan Siam.

Katanya, objek pocong itu dipercayai diisi menggunakan tanah kubur dan diwarnakan merah melambangkan darah manakala tulisan Siam yang tertera adalah sebahagian mantera.

sinar/-

Jumpa emas dalam sampah

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] - 

Siew Chin enggan wajahnya dirakam, membawa guni yang dipenuhi botol.

Siew Chin enggan wajahnya dirakam, membawa guni yang dipenuhi botol.
 
PERSIARAN GURNEY – Pengalaman terjumpa rantai emas dalam timbunan sampah tidak mungkin akan dilupakan seorang pemungut barangan terpakai, Boon Siew Chin, 65, dari Tanjung Tokong di sini.

Dia yang melakukan pekerjaan itu selama 12 tahun, berkata, ia adalah barangan berharga pertama dijumpainya di Pantai Persiaran Gurney.

“Setiap pagi saya akan ke sini untuk kutip botol, kotak dan juga barang-barang yang boleh digunakan semula, tetapi pada hari yang bertuah itu saya terjumpa kotak kecil dalam selut dan sampah.

“Selepas membukanya saya amat terkejut kerana ada rantai emas dan saya segera membawanya ke kedai emas untuk bertanyakan jika ia tulen atau tidak, rupa-rupanya memang emas tulen,” katanya.

Punca pendapatannya itu pernah dianggap gila oleh sesetengah sanak saudaranya kerana biasanya orang mengutip siput ataupun kerang di tepi-tepi laut ketika air surut, berbeza bagi Siew Chin yang lebih suka mengutip sampah.

Siew Chin memaklumkan rutinnya bermula setiap pagi iaitu seawal jam 7 hinggalah 10 pagi ketika air sedang surut.

“Ini kerja yang saya buat kalau orang tidak panggil saya untuk cat rumah atau baiki paip air. Kalau datang sini memang saya boleh punggah dua guni botol.

“Botol yang saya kutip ini banyak di permukaan selut. Daripada air laut telan botol ini, lebih baik saya ambil dulu dan jual. Boleh buat duit,” katanya.

Pantai di sepanjang Persiaran Gurney sememangnya menjadi tempat paling popular dikunjungi orang ramai, khasnya pada waktu malam.

Namun mendukacitakan apabila pada waktu siang keadaan lautnya begitu kotor dan menjijikkan dengan selut dan taburan sampah yang dibuang orang ramai.

sinar/-

Perut hancur digilis lori tanah

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - 


KESAN seretan jelas kelihatan di tempat kemalangan yang mengakibatkan Muhamad Fikri maut di Jalan Cheras-Kajang kelmarin.

KUALA LUMPUR – Malang berganda.Hanya itu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan mengenai satu kemalangan yang mengorbankan dua nyawa di Jalan Cheras-Kajang menghala ke pusat bandar berhampiran Taman Midah, Cheras di sini kelmarin.

Kejadian pukul 11.05 malam itu mengakibatkan Muhamad Fikri Khairol Anuar, 22, dan seorang lagi pejalan kaki yang belum dikenal pasti identitinya maut. Muhamad Fikri menunggang motosikal jenis Yamaha FZ.
Kemalangan berlaku apabila Muhamad Fikri yang merupakan juruteknik gagal mengelak lalu terlanggar lelaki warga asing tersebut yang tiba-tiba melintas di lorong kanan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, ekoran itu, Muhamad Fikri telah hilang kawalan lalu terjatuh hingga ke lorong tengah sebelum dilenyek oleh sebuah lori membawa muatan tanah dari arah sama.

Katanya, pemandu lori itu dipercayai tidak sempat membrek untuk mengelak daripada terlanggar mangsa yang terjatuh.

“Mangsa terseret beberapa meter hingga mengakibatkan bahagian dari perut ke kaki Muhamad Fikri hancur digilis.

“Pejalan kaki itu juga maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Kita percaya kejadian berpunca apabila pejalan kaki tersebut tidak menggunakan jejantas untuk melintas di jalan yang agak sibuk itu,” katanya.

Kosmo