17 Januari 2010

Benarkah 60 Peratus Daripada 7 Juta Responden Faham Tentang 1Malaysia ?

Usaha untuk menyakinkan rakyat dengan slogan 1Malaysia nampaknya semakin rancak dilaksanakan oleh kerajaan khususnya oleh pemimpin UMNO. Kalau dulu mereka bermati-matian dengan Islam Hadhari sekali ini mereka berhempas pulas membodek bossnya yang memperkenalkan 1Malaysia.

Akhbar arus perdana semacam diarah untuk membesarkan berita seperti dimuka hadapan edisi Berita Harian pada hari ini yang saya lihat dijual di stesen minya Petronas hentian sebelah Simpang Pulai dalam perjalan ke Serdang tengahari tadi. Dengan tajuk utama dipaparkan kononnya kira-kira 60 peratus daripada tujuh juta responden rakyat Malaysia didakwa memahami tentang konsep Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata maklum balas itu diterima melalui pungutan suara menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) baru-baru ini kepada kira-kira 14 juta pemilik telefon bimbit.

Persoalannya benarkah dakwaan itu dan sejauh mana ianya boleh dipercayai selepas Najib juga telah melancarkan program Juara Rakyat minggu lepas. Apakah agenda yang tersembunyi dengan pendedahan Rais tersebut ?

Bagi saya agenda yang sangat jelas dan mudah difahami dari isu ini tidak lain untuk menyakinkan rakyat bahawa pimpinan Najib sudah diterima oleh rakyat berbilang kaum di Malaysia. ianya adalah langkah dan satu suntikan kepada suasana yang betul-betul tidak memihak kepada kepimpinan Najib pada masa ini.

Bayangkan kalaulah diawal tahun rakyat sudah menerima pukulan BN iaitu barang naik dengan kenaikan harga runcit gula sebanyak 20 sen, selepas itu kekecohan di peringkat kementerian pelajaran bila bantuan makan diasarama dikurangkan dari 250 hari kepada 200 hari sahaja.

Kekecohan dan penolakan dan ketidak wajaran pemotongan itu telah menyebabkan ianya ditambah 40 hari lagi menjadikan 240 hari , namun masih tinggal baki 10 hari yang masih dipotong.

Walaupun tidak ada siapa yang jelas siapakah yang melemparkan bom dan menyerang 12 gereja setakat ini namun seperti kenyataan saya sebelum ini sekurang-kurangnya ianya lahir dari kemahuan UMNO sendiri setelah memerintah malaysia melebihi 50 tahun. penolakan pengamalan islam secara syumul oleh UMNO menyebabkan lahir masyarakat islam yang tidak faham kepada ajaran islam sehingga sanggup melakukan sesuatu yang diluar batas ajaran agamanya sendiri.Inilah berita yang sedang hangat diawal tahun 2010 ini.

Tiba-tiba Rais muncul dengan dakwaannya yang mengambarkan 1Malaysia sudah faham, namun yang tidak faham sebenarnya pemimpin UMNO termasuk rais sendiri. kalau benar 1 malaysia sudah difahami kenapakah UMNO masih mengapi-apikan semangat perkauman dan cuba melaga-lagakan antara kaum sekian lama.






Sebuah lagi gereja di Seremban jadi sasaran

1 Safar 1431

Sebuah lagi gereja di Seremban - Gereja Grace Global Prayer - menjadi sasaran apabila kaca sebuah tingkapnya dipecahkan.

Ia merupakan rumah ibadat di Seremban yang disasarkan - selepas Gereja Sidang Injil Borneo yang pintunya terbakar akibat perbuatan orang yang tidak dikenali.

Menurut laporan, insiden di Gereja Grace Global Prayer yang terletak di Rasah itu, berlaku antara jam 6 petang Khamis dan petang Jumaat, ketika gereja itu kosong. Demikian satu berita dipetik dari edisi malaysiakini hari ini.

Kejadian itu disedari oleh anggota Gereja Grace Global Prayer - yang terletak di sudut barisan rumah kedai dua tingkat - yang tiba untuk bersembahyang dan mendapati kaca sebuah tingkapnya pecah.

Ahli parlimen DAP bagi Rasah Anthony Loke dan ADUN Rahang MK Arumugam mengunjungi tempat kejadian itu malam tadi.

Ia merupakan gereja ke-12 yang menjadi sasaran ekoran keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan mingguan Katholik, Herald, menggunakan perkataan Allah dalam bahagian bahasa Malaysianya.

16 Januari 2010

Gerhana matahari.

PULAU PINANG, 15 Jan -- Gerhana matahari separa atau dikenali sebagai "gerhana matahari anulus" berlaku antara pukul 3 petang hingga 5.45 petang berikutan "sentuhan pertama" bulan ke cakera matahari. Sempena fenomena itu, umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat kusuf atau solat sunat gerhana matahari. -- fotoBERNAMA

Ai Wu Ji Wu : Jika Sayang kepada Seseorang, Burung Gagak di Atas Bumbung Rumahnya Pun Disayangi

1 Safar 1431

Asal Usul:

Pada abad ke-11 sebelum Masihi, Dinasti Shang yang sudah memerintah selama 600 tahun di China menjadi semakin lemah. Pentadbiran yang tidak adil, perang yang berlarutan bertahun-tahun lamanya, cukai dan beban yang dikenakan ke atas rakyat jelata yang semakin berat, serta tentangan daripada kalangan bangsawan yang semakin hebat, mengheretnya ke kancah kegawatan yang amat serius. Pada ketika itu, negeri Zhou, sebuah negeri yang ditadbir oleh Dinasti Shang, telah menjadi semakin kuat di Qishan, iaitu di Provinsi Shaanxi pada masa ini, sehingga akhirnya ia berjaya menumbangkan Dinasti Shang dan menubuhkan Dinasti Zhou.

Pada suatu hari, maharaja Dinasti Zhou, iaitu Raja Wuwang, memanggil pegawai-pegawai kanannya ke istana, dan bertanya kepada mereka, bagaimana menguruskan tawanan yang begitu ramai itu. Salah seorang daripada mereka menjawab:

"Hamba pernah mendengar orang berkata, jika sayang kepada seseorang itu, burung gagak yang bertenggek di atas bumbung rumahnya pun kita sayangi. Sebaliknya, kalau kita benci kepadanya, nampak dinding atau pagar rumahnya pun rasa meluat. Tawanan itu musuh kepada kita. Lebih baiklah kita bunuh mereka semua."

Raja Wuwang merasakan perbuatan sedemikian terlalu zalim, lalu menolak cadangan tersebut.

Seorang lagi pegawai mengemukakan cadangannya:

"Tawanan yang disahkan bersalah dan tidak bersalah patut diberikan layanan yang berbeza. Tuanku boleh membebaskan mereka yang tidak bersalah, tetapi mereka yang disahkan bersalah mesti dibunuh, kerana mereka inilah saki baki pejuang yang berbahaya yang mungkin mengancam negeri kita pada suatu hari nanti."

Raja Wuwang juga tidak berkenan dengan cadangan itu.

Kemudiannya, seorang lagi pula menampilkan diri, sambil berkata,

"Hamba rasa, semua tawanan patut dibebaskan. Berikanlah tanah kepada mereka supaya mereka dapat menggunakan tenaga sendiri untuk memulakan hidup baru. Selain itu, janganlah tuanku bersikap pilih kasih terhadap sesiapa pun ketika memberikan ganjaran atau hukuman kepada rakyat, baik dia orang biasa atau pun keturunan diraja. Jika negeri ditadbir mengikut lunas undang-undang, barulah dapat memenangi keyakinan rakyat."

Raja Wuwang berasa bahawa cadangan tersebut masuk akal. Maka, dengan memilih cara itu, baginda berjaya membangunkan negerinya sehingga menjadi sebuah negeri yang stabil, makmur dan kuat.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Ai Wu Ji Wu" ini membawa erti, jika sayang kepada seseorang itu, orang lain atau benda yang ada kaitan dengannya pun disayangi. CRI/-

Buang ayah tepi jalan....

1 Safar 1431

Kekadang sering orang bercakap berhati-hati pilih menantu nanti dapat hantu, namun ianya memang realiti dengan kisah benar yang dipaparkan didada akhbar tempatan kelmarin. Sebelum ini kerap kita dengar berita orang buang anak tetapi sekali ini lain pula iaitu cerita orang buang ayah. Semuga ianya menjadi teladan kepada kita semua.

KANGAR: Seorang bapa yang baru selesai menjalani pembedahan jantung terkejut apabila dengan tidak semena-mena dibuang anak sendiri yang sengaja meninggalkannya bersama bungkusan pakaian di tepi jalan raya berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Wan Ahmad, di sini.

Kejadian memilukan itu berlaku petang 7 Januari lalu sejurus Abdul Rahman Talib, 57, yang baru dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas menjalani pembedahan jantung, menjejakkan kaki di rumah anak lelakinya di sebuah taman perumahan dekat sini.

Anak lelakinya yang berusia 30 tahun bertindak demikian selepas mendapat tekanan daripada isterinya yang enggan menerima semula kehadiran bapa mentuanya dengan memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

“Saya hanya minta dia hantar ke pekan Kangar walaupun menyedari tiada arah dituju sebelum dia meninggalkan saya di tepi jalan raya berhampiran sekolah itu,” kata Abdul Rahman ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, ketika itu, dia hilang arah dan merayau-rayau di sekitar kawasan sekolah sebelum mengambil keputusan tidur di pondok bas berhampiran pada malam berkenaan.

Abdul Rahman berkata, keesokannya, anaknya datang menemuinya yang disangka menyangka mahu menjemputnya semula selepas menyesal dengan perbuatan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, andaian itu meleset sama sekali kerana anaknya cuma datang untuk menghantar basikal miliknya bagi memudahkannya bergerak.

“Menitis air mata saya ketika melangkah kaki keluar dari kenderaan milik anak saya kerana tak menjangka dia tergamak melakukan perbuatan ini selepas saya memelihara dan menjaganya bagaikan menatang minyak yang penuh,” katanya.

Menurutnya, pada hari kedua selepas dibuang anaknya, dia bernasib baik apabila bertemu seorang kenalan di belakang sekolah terbabit yang bermurah hati mempelawa bermalam di rumahnya.

Katanya, sejak tiga malam lalu, dia bertuah dapat menumpang berteduh di rumah berkenaan, tetapi tidak tahu berapa lama kenalannya itu mampu menumpangkan di rumahnya.

Mengulas kejadian itu, Abdul Rahman, bekas nelayan dari Kampung Belat Batu, Kuala Perlis berkata, dia sebelum ini menetap seorang diri di Pulau Langkawi selepas berpisah dengan bekas isterinya, Halijah Othman, iaitu ibu kepada anak lelakinya itu.

“Saya bekerja sebagai pembantu kedai makan di pekan Pokok Asam, Langkawi selama lima tahun, tapi anak saya ini minta saya pulang ke rumah menetap dan bekerja bersamanya.
“Lagipun, rumah berkenaan dibeli menerusi duit pampasan rumah yang dibina hasil titik peluh saya sendiri ketika menjadi nelayan satu ketika dulu. Rumah lama kami diambil kerajaan bagi pembinaan landasan kereta api,” katanya.

Abdul Rahman berkata, sebelum ini dia menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Langkawi, tetapi bantuan terbabit dihentikan selepas dia mengambil keputusan pulang dan menetap bersama anaknya sejak sebulan lalu.

Katanya, selepas menetap di situ, anak dan menantunya mula menunjukkan sikap dingin, malah dia terpaksa pergi seorang diri ke HPP untuk menjalani pembedahan jantung selepas pengsan di stesen bas di sini.

“Ketika bertarung dengan maut di HPP selama empat hari, anak dan menantu langsung tak menjenguk dan saya beranggapan mereka mungkin sibuk dengan perniagaan makanan yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

“Saya terkejut dan hampir tak percaya apabila anak saya itu minta saya keluar apabila pulang ke rumahnya,” katanya.

Abdul Rahman mempunyai seorang lagi anak perempuan yang sudah berkahwin dan kini menetap di Langkawi.

Difahamkan, kakitangan JKM Perlis datang mengambil warga emas itu di pondok bas berkenaan kira-kira jam 7 malam tadi dan dibawa Rumah Kebajikan Batu Bertangkup di Beseri dekat sini.

Pelancaran pertandingan bolasepak Piala Dato' Seri Nizar

1 Safar 1431
http://ajijoi.blogspot.com

Dato' Seri Ir Haji Nizar Jamaluddin selaku Presiden PAFA akan melancarkan pertandingan Piala Dato' Seri Nizar dengan melakukan 'kick off' pada jam 4.30 petang, Sabtu (16/1/10) sebelum perlawanan sebenar bermula di antara pasukan Melayu Perak mln LMS 'A' United.

Majlis pelancaran akan diadakan di Stadium Perak dan kesemua peminat-peminat bolasepak Perak adalah dijemput untuk memeriahkan lagi majlis ini.


Lain-lain perlawanan adalah seperti berikut jam 4.30 petang: Ipoh 'C' vs Kuala Kangsar 'A' di Padang Sultan Abdul Jalil, Ipoh 'A' vs Batu Gajah di Padang Ipoh 'A' dan Ipoh 'B' vs Slim River di Padang PCRC.

Manakala 4 lagi perlawanan yang akan diadakan pada hari Ahad (17/1/10) jam 4.45 petang ialah seperti berikut: LMS 'B' Harimau vs Kerian 'A' di Padang Esplanade, Taiping, India Perak vs Batang Padang di Padang Ipoh 'A', Kerian 'B' vs Kuala Kangsar 'B' di Padang Majlis Daerah Kerian dan Hilir Perak vs Manjung di Mini Stadium, Teluk Intan.

Semoga pertandingan bolasepak Piala Dato Seri Nizar ini akan lebih memeriahkan arena sukan dinegeri Perak serta dapat mencungkil bakat-bakat baru bagi mewakili pasukan negeri Perak suatu hari nanti.

Sekalung tahniah dari saya kepada Dato Seri Nizar yang memacu sukan bolasepak negeri menerusi PAFA serta para pegawai dan petugas yang melahirkan dan seterusnya menjayakan pertandingan berprestij ini.

Juga tidak lupa kepada pemain-pemain yang mewakili pasukan masing-masing dalam membawa semangat berpasukan dan kesukanan dinegeri Perak yang tercinta ini.

Pemangku Raja imam solat hajat di stadium

M Faqih Foto Rizal Tahir

KOTA BHARU, 15 Jan: Pernahkan anda melihat raja atau sultan mengimamkan solat bermakmunkan rakyat jelata, tentunya jarang sekali.

Kalau ada pun dahulu Sultan Johor pernah membaca khutbah Jumaat.

Lain pula di Kelantan malam tadi apabila Pemangku Raja, Tengku Mohammad Faris Petra mengimamkan solat hajat yang turut disertai ribuan rakyat Kelantan.

Menjadi makmun pada solat tersebut Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco, Mufti, Datuk Shukri Mohamad, Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Program tersebut juga mencatat satu sejarah baru di Kelantan apabila kelihatan hampir semua ketua jajahan dan pegawai tadbir negeri hadir.

Sedangkan sebelum ini padang bola di Stadium Sultan Mohammad Ke IV hanya dipenuhi penyokong PAS dan Pakatan Rakyat menghadiri program solat hajat dan ceramah di situ.

Malam tadi suatu kelainan disaksikan sepanjang PAS menerajui Kelantan hampir 20 tahun.

Sebelum itu solat Maghrib diimamkan mufti dan Ketua Hakim Syarie pula mengimamkan solat Isya.

Biar pun kehadiran pada program itu tidak mampu menandingi program politik dianjurkan PAS dan Pakatan, namun suatu kelainan dirasakan apabila ia turut dihadiri Pemangku Raja.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, satu sejarah baru berjaya dicetus di Kelantan malam tadi apabila Pemangku Raja menjadi imam solat hajat memohon kesejahteraan sultan dan kehidupan rakyat.

“Sepanjang usia ambo lebih 75 tahun tidak pernah melihat ada Pemangku Raja yang menjadi imam solat. Biarlah kita mulakan usaha murni ini di Kelantan.

“Kalau sebelum ini kita lihat Ketua Polis Negeri menyampaikan khutbah lengkap dengan pakaian polis di mimbar Jumaat.

“Kesemua perubahan itu berlaku di Kelantan,” katanya melahirkan rasa gembira ketika menyampaikan kuliah ringkas pada majlis tersebut.Harakahdaily/-

Jemputan Diskusi Usahawan Pas Perak 2010

29 Muharram 1431H
Email : Mehzalan Saran

Lajnah Ekonomi PAS Perak

Tempat : Hotel Sri Malaysia, Ipoh

Tarikh : 30 Jan 2010 ( Sabtu)

Masa : 8.30 pagi hingga 2.00 petang

Ucaptama & Perasmian oleh : AF. Ust. Abu Bakar Hussain ( Pesuruhjaya PAS Negeri Perak)

Anjuran : Lajnah Ekonomi & Pembangunan PAS Perak.

Terhad untuk 100 penyertaan sahaja:

Yuran Penyertaan : RM 40.00 ( Ringgit Malaysia Empat Puluh Sahaja)

Sila hubungi

1 Tn Hj Osman 013- 3 626 888 Seluruh Perak
2 Tn Hj Junus 019- 558 95 82 Gopeng
3 En .Fairus 013 530 52 37 Taiping/ Bukit Gantang/ Larut
4 En Rafie bin Md Yusof 019 5710 783 Tambun
5 En. Marzuki Hashim 016 3 58 98 28 Ipoh
6 En Mehzalan 019 560 51 42 Lenggong dan Grik

Kenderaan ke sekolah kanak2 india

29 Muharram 1431H
Email : roslan mohd



































































TMB: Kami tidak berpihak dalam masalah istana

29 Muharram 1431H

kemaskini 7.24pm Peringatan menteri besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung ketaatan kepada Pemangku Raja tidak bermaksud kerajaan negeri menyebelahi mana-mana pihak antara dua putera Sultan yang dilaporkan sedang bermasalah.

"Kenyataan itu dibuat secara umum. Apabila pemangku dipilih secara perlembagaan, kita mesti berikan ketaatan," kata timbalan menteri besar Datuk Ahmad Yakob.

Beliau menjelaskan sama ada kenyataan Nik Aziz semalam bermaksud kerajaan pimpinan PAS itu menyokong tindakan Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra yang menggugurkan adindanya Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry daripada Majlis Perajaan Negeri (MPN) baru-baru ini. Tindakan tersebut kini dicabar di mahkamah.

Dalam sidang media semalam, Nik Aziz dilaporkan berkata, kerajaan negeri yakin Tengku Muhammad Faris telah bertindak sehabis baik untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya.

Ketika dihubungi, Ahmad menyebut ringkas, tujuan kenyataan menteri besar tersebut dibuat "berhubung keadaan akhir-akhir ini".

Beliau juga menafikan kerajaan negeri tersepit akibat perselisihan terbuka dua putera Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang sedang gering dan mendapatkan rawatan di Singapura.

"Tidak ada tersepit apa," kata Ahmad kepada Malaysiakini petang semalam.

Ditanya sama ada berlakunya pergeseran antara kerajaan negeri dan Tengku Muhammad Fakhry, antaranya apabila beliau mempertikaikan kenyataan Nik Aziz sebelum ini berhubung rawatan untuk bapanya, Ahmad menjawab:

"Itu di luar daripada (bidang kuasa) kita. Itu beliau punya pasal. Kita tidak tahu perkara itu."

Kemelut dalam istana Kelantan mula muncul apabila Tengku Temenggong mempertikaikan di mahkamah kenyataan media istana berhubung krisis rumahtangganya dengan Manohara Odelia Pinot, yang kini melarikan diri di Jakarta.

Ia semakin ketara apabila Tengku Muhammad Faris, yang memangku tugas Sultan Kelantan, membuat beberapa rombakan dalam MPN, termasuk menggugurkan Tengku Temenggong daripada MPN melalui satu surat setiausaha majlis itu, September lalu.

Selepas itu, Tengku Muhammad Fakhry juga mendakwa mendapat perkenan ayahandanya untuk bertindak bagi pihak baginda sultan.

Perkara itu bagaimanapun disangkal Pejabat Sultan Kelantan yang menjelaskan hanya Tengku Muhammad Faris Petra berhak sepenuhnya menyampaikan titah sepanjang ketiadaan ayahandanya di negeri itu.

Dalam masa yang sama, pentadbiran Nik Aziz dipertikaikan oleh Tengku Muhammad Fakhry apabila berhasrat membawa pulang sultan Kelantan untuk mendapatkan rawatan di dalam negara.

Menteri besar mengumumkan laporan panel perubatan yang diwujudkan oleh kerajaan negeri berkaitan tahap kesihatan tuanku sultan.

Tengku Muhammad Fakhry Petra bagaimanapun mendakwa bahawa panel enam anggota itu tidak pernah melawat dan menjalankan pemeriksaan ke atas baginda.

Beliau juga dilaporkan berkata laporan seumpama itu juga tidak sepatutnya didedahkan kepada umum kerana ia hak peribadi baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, satu perhimpunan besar diadakan di Kota Bharu petang tadi melibatkan ribuan orang bagi menyatakan kesetiaan rakyat Kelantan kepada Tengku Muhammad Faris Petra.

Malaysiakini/-


Gereja disimbah cat merah di Kota Tinggi

29 Muharram 1431H

kemaskini 4.59pm Sebuah gereja Katholik St Elizabeth di Jalan Kota Kecil, di Kota Tinggi, dilempar cat merah yang dipercayai berlaku awal hari ini.

Ketua polis daerah Kota Tinggi Supt Osman Mohamed Sebot berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 8.30 pagi.

"Terdapat tujuh kesan dua jenis cat merah di gereja itu termasuk di pintu pagar utama, pintu masuk hadapan dan bahagian perkarangan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Osman berkata individu yang terlibat dalam kejadian itu didapati memasukkan dua jenis cat merah berkenaan ke dalam tujuh bungkus plastik sebelum melemparkan ke gereja tersebut, sama ada dari bahagian hadapan pintu pagar utama atau dari tepi.

Beliau berkata polis turut menemui dua tong cat, satu cat merah dan coklat, yang ditinggalkan di dalam longkang di luar pagar gereja itu.

Berdasarkan sebahagian cat yang masih basah, Osman berkata pihaknya percaya kejadian itu berlaku antara pukul 6 hingga 7 pagi tadi dan dilakukan oleh lebih daripada dua individu.

"Kita tidak mahu membuat spekulasi dan sedang menyiasat motif kejadian ini termasuk mengesan saksi kejadian.

"Mana-mana orang ramai yang melihat kejadian ini diminta tampil membuat laporan ke balai polis," katanya.

- Malaysiakini


Sembur Dr M: Nik Sapeia dipenjara 6 bulan

29 Muharram 1431H
M Yarisman

KOTA BHARU, 14 Jan: Selepas perbicaraan berlangsung lebih tiga tahun akhirnya Naib Presiden PPP, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff dijatuhkan hukuman penjara enam bulan.

Beliau didapati bersalah menyembur bahan pemedih mata ke arah mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2006 ketika menghadiri satu program di sini.

Nik Sapeia, seorang usahawan dalam bidang perkapalan dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Dr Mahathir, Datuk Ibrahim Ali dan beberapa orang lagi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada 28 Julai 2006.

Mahkamah Majistret Kota Bharu bagaimanapun membenarkan hukuman ke atasnya ditangguhkan sementara menunggu selesai proses rayuan.

Majistret Azman Mustaffa berkata, pelaksanaan hukuman terhadap Nik Sapeia ditanggguhkan sehingga rayuan dibuat di Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda, atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Nik Sapeia diwakili peguam bela Zainal Abidin Mustapha.

Kes tersebut mendapat perhatian ramai sebelum ini kerana ia membabitkan seorang negarawan.

Harakahdaily.net/-

Pakatan Rakyat gempur Kinabalu

29 Muharram 1431H
http://www.sabahdaily.com

DALAM kekalutan pelbagai isu yang melanda negara kini, Pakatan Rakyat terus memperkukuhkan tapak perjuangan dengan menghayun langkah 2010 ke negeri Sabah, untuk jelajah penerangan isu semasa dan menguatkan pakatan.

Dewan Pemuda PAS Pusat yang diketuai sendiri oleh Ustaz Nasaruddin Tantawi dan Timbalannya Ustaz Azman Sapawi akan bertemu warga di bawah bayu dengan beberapa siri pertemuan yang telah siap diatur oleh Pakatan Rakyat Negeri Sabah.

Program ini selaras dengan keputusan muktamar Dewan Pemuda PAS tahun lalu yang bertekad akan memberi perhatian serius kepada perkembangan dakwah dan perjuangan di negeri Sabah.

Sabah yang sekarang ini menjadi benteng terakhir UMNO untuk terus bertahan memerintah bakal berhadapan laluan sukar pada pilihanraya ke 13 sekiranya pengundi Sabah mendapat maklumat yang tepat dan sebenar daripada Pakatan Rakyat.

UMNO Sabah yang disifatkan UMNO jadian akan dapat dilumpuhkan jika strategi yang digunakan Pakatan Rakyat mengena.

Ini kerana rakyat Sabah telah membuktikan mereka berani dan berupaya menukar Kerajaan yang ‘rasuah’. Rakyat Sabah telah menjatuhkan Kerajaan USNO, Berjaya dan juga PBS.

Dua siri Ceramah Pakatan Rakyat dijangka akan diadakan serentak pada 15 Januari (jumaat) pada jam 8.30 malam.

Ustaz Nasaruddin Tantawi bersama Hj Ansari (PKR) dan Dr Hiew King Cheu (DAP) akan berceramah di Pejabat KeADILan Bahagian Tuaran, Kg Batangan.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Sapawi bersama wakil PKR dan DAP akan berceramah di Pusat Penerangan PAS dan PKR Sepanggar.

Penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat dijemput hadir untuk mendapat maklumat terus dan sebenar daripada pimpinan Pakatan rakyat.

Harakahdaily.net/-

YBK: Organisasi Kebajikan atau Perniagaan?

29 Muharram 1431H
http://azakiyamani.wordpress.com/

Bagaimana Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor mendapat tanah yang sebegitu besar, dilaporkan sehingga 1,642 ekar, di Serendah dan tidak membayar cukai tanah?

Dilaporkan juga hutang cukai tanah YBK kepada kerajaan negeri Selangor adalah lebih RM5 juta. Berapa yang telah dibayar oleh YBK kepada kerajaan negeri untuk mendapat pemilikan tanah-tanahnya?

Laman web YBK pada 8 Januari 2010, melaporkan kenyataan media Pengerusi YBK, Dato’ Zainal Abidin Sakom yang “merayu agar pihak koperat membantu YBK menyelamatkan tanah-tanah PYBK sebelum dirampas oleh Kerajaan Negeri Selangor kerana tunggakan cukai hampir RM6juta yang membolehkan kerajaan negeri merampas tanah YBK tersebut”.

Nampaknya banyak lagi tanah lain yang dimiliki oleh YBK. Apakah pertimbangan kerajaan negeri sebelum ini dalam membuat keputusan menganugerahkan begitu banyak tanah kepada YBK?

YBK, meski ditubuhkan untuk membantu usaha pembasmian kemiskinan di negeri Selangor, kini telah berkembang menjadi badan perniagaan dengan anak-anak syarikat yang terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk pembangunan, penjualan kereta dan sebagainya.

Apakah bantuan kerajaan negeri selama ini dimanfaatkan oleh YBK sepenuhnya untuk usaha membasmi kemiskinan atau dijadikan modal perniagaan?

Projek yang mendapat halangan kerajaan negeri sekarang ialah pembinaan kampus UiTM yang merupakan satu projek perniagaan YBK di bawah inisiatif modal persendirian (Private Finance Initiative).

Apakah YBK mempunyai modal untuk menyiapkan projek bernilai RM300 juta ini sedangkan cukai tertunggak RM5 juta tidak mampu dilangsaikan? Apakah YBK akan “berusaha sama” atau “menganugerahkan” pula projek ini kepada pihak lain dan mengaut untung atas angin?

Sekiranya projek ini adalah untuk kebaikan rakyat di Serendah, kenapa YBK tidak boleh berkompromi dengan kerajaan negeri dan menawarkan pegangan ekuiti kepada Kerajaan Negeri Selangor di dalam Permodalan YBK Sdn. Bhd. yang mahu membangunkan projek tersebut.

Perolehan daripada penjualan ekuiti ini (samada tunai atau pelupusan hutang) boleh dimanfaatkan untuk menyelesaikan masalah hutang YBK kepada Selangor. Kerajaan Negeri Selangor setelah itu boleh melantik Ahli Lembaga Pengarah sesuai dengan pegangannya di dalam syarikat tersebut. Ini adalah amalan biasa perniagaan.

Sebaliknya Zainal lebih rela “memohon YAB Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan supaya tawaran membangunkan kampus UiTM di Serendah dipindahkan ke negeri lain”.

Kenapa Zainal mengambil sikap jika dia tidak mendapat projek itu, biar Selangor tidak mendapat projek tersebut. Apakah pertimbangan sebenar Zainal mengusahakan projek tersebut?

Kini Najib cuba memberikan tekanan terhadap kerajaan negeri Selangor dengan mengatakan bahawa lokasi baru akan dicari sekiranya Selangor “tolak” lokasi Serendah untuk kampus baru UiTM.

Jika projek itu dipindahkan, apakah manfaat kepada rakyat “miskin” di Serendah?

Saya kira kerajaan negeri Selangor mesti bertindak tegas dalam kes sebegini. Kita faham sekiranya kerajaan bertolak ansur dengan rakyat miskin yang tidak mampu membayar cukai tapak rumah mereka.

Tetapi di dalam kes ini, sebuah entiti perniagaan yang besar telah enggan atau cuai membayar cukai.

Justeru tindakan menurut undang-undang seharusnya segera diambil — termasuk menyemak semula keputusan kerajaan negeri memberikan tanah-tanah kepada YBK dan merampas tanah-tanah terlibat jika perlu.

Perlu juga disiasat pihak berkuasa tempatan yang telah enggan atau cuai menguatkuasakan undang-undang untuk mengutip cukai sepatutnya daripada YBK.

Harakahdaily.net/-

Pemangku Raja terharu sambutan rakyat

29 Muharram 1431H
Salmah Mat Husain

PENGKALAN CHEPA, 14 Jan: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini penuh sesak dengan kebanjiran orang ramai bagi menyambut keberangkatan pulang Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Baginda tiba jam 4.28 petang dan ketika keluar dari bilik istirehat diraja, Pemangku Raja melambaikan tangan sambil mengucapkan terima kasih berulang kali kepada orang ramai.

Wajah Tengku Muhammad Faris jelas terharu dan kelihatan mengalir air mata dengan kehadiran rakyat jelata.

Baginda berpakaian baju Melayu berona merah terang.

Sebelum baginda berangkat ke istana, baginda dan pemimpin negeri mengaminkan doa dibaca Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Che Rahim Jusoh.

Keberangkatan pulang baginda disambut oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dun, Nasuruddin Daud, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Pengelola Istana D’raja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad bersama pegawai kanan istana juga kelihatan.

Dianggarkan lebih 5,000 berhimpun di terminal tersebut yang terdiri pelbagai lapisan rakyat. Turut kelihatan masyarakat Cina, India dan Siam.

Alim ulama termasuk pelajar pondok yang berpakaian jubah putih juga ramai. Anggota pasukan keselamatan yang diketuai Ketua Polis Kelantan, Datuk Rahim Hanafi mengawal keadaan.

Suasana agak tenang biar pun kesesakan berlaku di luar dan dalam bangunan terminal.

Turut dilihat banyak sepanduk yang bertulis ‘Rakyat Menjunjung Kasih dan Taat Setia Kepada Pemangku Raja’.

Ada juga sepanduk ‘Daulat Tuanku’ yang bertulis lambang Umno.

Difahamkan, sebaik tiba Pemangku Raja dijangka bertitah kepada orang ramai yang hadir menyambut keberangkatan baginda.

Pentas khas disediakan di luar bangunan terminal.

Orang ramai mulai tiba di lapangan terbang tersebut kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Ketika jam menghampiri 4 petang bilangan rakyat tambah ramai dianggarkan hampir 5,000 orang berkumpul di lapangan terbang.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu majlis sambutan Pemangku Raja dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama NGO.

Katanya, semua pegawai kerajaan negeri di peringkat jajahan, pihak berkuasa tempatan dan parti-parti politik turut menyambut keberangkatan pulang baginda bagi menzahirkan rasa kasih serta taat setia yang tidak berbelah bagi.

“Biar pun penerimaan rakyat terhadap baginda begitu baik, namun taat setia dari mereka dan kerajaan perlu diperjelaskan.

“Malam ini sekali lagi kita akan berhimpun di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V untuk menunaikan solat sunat hajat dan kita minta rakyat hadir pada majlis itu yang bermula solat Maghrib,” ujarnya.

Harakahdaily.net/-