14 Mac 2011

Tiada Peruntukan Khusus FLOM, Siapa Tanggung Kos Lawatan Rosmah ?

09 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 14 MAC : Menteri di Jabatan perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menjelaskan tiada sebarang peruntukan khusus diberikan kepada isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan juga Jabatan Wanita Pertama Malaysia atau FLOM.

Nazri juga mengesahkan jabatan itu tidak pernah wujud. Kenyataan Nazri itu menimbulkan pelbagai kekeliruan dikalangan rakyat apabila FLOM sebelum ini dilihat menghiasi laman web rasmi perdana menteri.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin bingkas mempersoalkan sumber dana yang digunakan kerajaan bagi menampung kos keseluruhan lawatan rasmi Rosmah ke luar negara yang berjumlah lebih RM134'000 ?

"Jadi, kalau tidak menggunakan peruntukan dari Bahagian Wanita Pertama (FLOM), dari mana datangnya wang itu?" soal Zuraida.

Zuraida kemudian bingkas mempersoalkan adakah Nazri takut atau sekadar mahu menjaga air muka Rosmah justeru memberikan sedemikian.

"Ini adalah jawapan yang berdolak dalik. Menteri tidak memberikan jawapan yang tepat. Apakah kerana dia takut kepada Rosmah ?," ujar Zuraida.

Zuraida menegaskan kenyataan berbelit- belit oleh pihak menteri tidak menjernihkan keadaan malah ia turut mendatangkan kekeliruan kepada rakyat.

“Saya rasa sebenarnya kerajaan Malaysia masih tidak jelas untuk menyelesaikan masalah kedudukan yang mengaku dirinya first lady. Menteri sebenarnya ingin menyatakan kebenaran tapi sebenarnya takut,” katanya.

Nazri ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Sungai Petani turut menjelaskan tindakan Rosmah yang menggelarkan dirinya sebagai Wanita Pertama.

Nazri berkata, gelaran wanita pertama merupakan gelaran tidak rasmi dan ini merupakan amalan lama.

“Gelaran wanita pertama merupakan gelaran tidak rasmi yang tidak berasakan kepada sebarang peruntukan perundangan tapi berasaskan kepada amalan atau kelaziman," kata Nazri.

"Dalam kontes malaysia ialah yang amat berhotmat isteri perdana menteri," tambahnya lagi.

Tindakan Rosmah menggelarkan dirinya sebagai Wanita Pertama dipertikai banyak pihak lantaran gelaran itu dilihat lebih layak diberikan kepada Raja Permaisuri Agung.

Turut dipertikaikan jabatan yang diilhamkan Rosmah itu memenuhi ruang laman sesawang yang dikhususkan kepada pejabat rasmi perdana menteri.

Tv Selangor/-

Bekas Adun Salor kembali ke rahmatullah

09 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 14 Mac: PAS Kelantan kehilangan seorang lagi tokoh apabila bekas Adun Salor, Buni Amin Hamzah, 55, meninggal dunia petang Jumaat lalu.

Allahyarham menjadi wakil rakyat Dun berkenaan selama dua penggal iaitu pada 1999 dan 2004, difahamkan meninggal dunia secara mengejut ketika berada di Jertih, Besut.

Beliau juga merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian dan pernah mengetuai Dewan Pemuda PAS di Nilam Puri.

Dilahirkan di Kampung Bagan Bawah, Pulai Chondong. Mendapat pendidikan tinggi di Universiti Malaya dan pernah berkhidmat sebagai pegawai Fama pada 1980 hingga 1999.

Ketika berkhidmat sebagai wakil rakyat beliau begitu petah membahas semasa persidangan Dewan Undangan Negeri. Beliau mampu mengetengahkan beberapa istilah dalam bahasa asing berkaitan isu tertentu.

Malah ketika kerajaan PAS Kelantan agak genting kerana hanya kelebihan satu kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) pada 2004-2008, Allahyarham berjaya menyelamatkan kerajaan.

Arwah pernah disebut pihak lawan akan meninggalkan PAS berikutan ada masalah tertentu, namun beliau tetap istiqomah dalam perjuangan sehingga meranapkan impian Umno.

Solat ke atas jenazahnya diadakan pada pagi Sabtu lalu diimamkan Ustaz Hussin Ibrahim dari Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas. Kini jasadnya disemandikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Larak. Arwah meninggal dua balu.

Turut menziarahi jenazahnya termasuk Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin-pemimpin PAS serta pegawai kerajaan.

Naib Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kepulangan Buni Amin ke rahmatullah merupakan kehilangan besar kepada PAS Kelantan.

Katanya, arwah mempunyai jasa yang besar sehingga berjaya menyelamatkan kerajaan PAS ketika suasana genting pada penggal lalu.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan berada bersama golongan yang beriman.

Harakahdaily/-

Terus masuk hospital

09 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

IPOH – Remaja sakit misteri, Muhammad Nur Hakim Hasram, 15, telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejurus selepas menerima kunjungan dari Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di Taman Klebang Jaya, Chemor, di sini, kelmarin.

Bapanya, Hasram Mohd Jamal, 51, berkata, anaknya dimasukkan ke HRPB dengan sebuah ambulan bagi mendapatkan rawatan segera.

“Ambulan datang 30 minit selepas menerima kedatangan Ahli Parlimen Tambun, semalam. Kini, Muhammad Nur Hakim di tempatkan di wad 2A untuk mendapatkan rawatan rapi.

“Dia telah menjalani X-ray dan saya bersyukur apabila semua pihak mengambil berat terhadap anak saya. Bagaimanapun, saya tidak mengetahui sampai bila dia ditahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Kontroversi Injil: Hishamuddin Lepas Tangan

09 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 14 MAC : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin dibidas kerana dilihat cuba lari daripada tanggungjawabnya menyelesaikan kontroversi penahanan 35'000 kitab Injil berbahasa Melayu di Perlabuhan Klang dan Perlabuhan Kuching dan meletakkan beban itu dibahu Peguam Negara, tan Sri Gani Patail.

Selepas dikritik hebat pelbagai pihak, Hishamuddin akhirnya berkata pihaknya menunggu nasihat daripada Gani dalam mengambil sebarang tindakan.

EXCO Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab, Hishamuddin harus berani membuat keputusan dan tidak bersikap lepas tangan.

"Saya tidak tahu pula hal ini kena dibawa kepada Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan sebagainya. Hishamuddin harus bertanggungjawab pada kuasa yang dia ada. Dia tidak boleh suruh orang lain tentukan bidang kuasa dia dalam isu ini,

"Jadi sekarang ini kita nampak Hishamuddin lari dari tanggungjawab dia. Tak tahu dia takut ke ape. Sekarang orang sarawak tunggu saja," kata Xavier.

Kontroversi penahanan kitab itu sudah berlarutan sejak tahun 2009 lagi apabila 5,000 naskah kitab tersebut ditahan di Perlabuhan Klang, walhal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan untuk kitab tersebut dibawa masuk ke negara ini.

Terbaru, sebanyak 30,000 naskah kitab yang sama sekali lagi ditahan di Perlabuhan Kuching atas alasan ia boleh memudaratkan keselamtan negara.

Hishamuddin dalam reaksinya turut mendakwa penahanan itu dibuat kerana ia berkait dengan isu penggunaan kalimah Allah yang masih berada di Mahkamah Rayuan.

"Tidak timbul isu penggunaan perkataan Allah dan sebagainya. Buku- buku ini sekarang kemana ? Buku ini akan diedarkan kepada siapa ? Jika buku ini akan dibawa kepada orang Melayu, ambillah tindakan. Kita ada perlembagaan ada akta yang tetap yang boleh diambil tindakan," tambahnya lagi.

Sikap Najib yang berdiam diri berhubung isu ini mendapat kritikan pelbagai pihak. Sekaligus slogan 1Malaysia yang sebelum ini gagah dipertahannya mula dipersoalkan.

"1Malaysia tu slogan kosong. tidak bermakna. Isu- isu sebegini tidak diselesai menggunakan slogan ini, macamana hendak selesai masalah ini ? Ini isu 1Malaysia. Semua orang ada hak sama rata,

"Najib takut nak komen. Dia mainkan isu perkauman sekarang. Bukan isu pentadbiran," ujarnya lagi.

Xavier ketika ditanya apakah penyelesaian tuntas untuk isu ini berkata, kitab terjemahan itu harus dikeluarkan dari negara ini dan hanya dibekalkan kepada penganut agama Kristian sahaja.

"Semua orang ada hak untuk beragama. Kitab injil masuk melalui Sarawak sebab ramai rakyat negeri itu menganut agama Kristian,

"Keluarkan kitab Injil ini. Hanya bagi pada orang yang mahu gunakan kitab ini sahaja," katanya.

Lebih 10 peratus daripada rakyat Malaysia beragama Kristian dengan sebilangan besar daripada mereka menetap di Sabah dan Sarawak yang menggunakan Bahasa Melayu untuk majlis- majlis sembahyang.

Tv Selangor/-

160 disyaki terkena radiasi

09 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO - Pihak berkuasa Jepun melaporkan, kadar radiasi didapati telah melepasi had yang dibenarkan di loji Fukushima Daiichi 1, 240 kilometer dari utara Tokyo kesan daripada gempa bumi yang berlaku pada Jumaat lalu.

Menurut beberapa pegawai, penemuan tersebut sekali gus meningkatkan kebimbangan akan berlaku kebocoran radiasi dan kemungkinan berlaku kecairan teras loji nuklear.

Loji itu sebelum ini meletup menyebabkan asap menjulang tinggi ke udara sehingga mengakibatkan 45,000 penduduk dipindahkan kerana takut terkena ancaman radiasi.

Agensi Nuklear Jepun melaporkan bahawa bilangan orang yang terdedah akibat radiasi itu mungkin meningkat kepada 160 orang.

Sejumlah kakitangan perubatan melakukan ujian imbasan terhadap penduduk yang tinggal berhampiran dengan loji berkenaan bagi mengesan jika mereka terkena radiasi.

Para pekerja itu melakukan pakaian kalis radiasi semasa melakukan pemeriksaan ke atas penduduk.

Loji tersebut terletak berdekatan dengan pusat gempa yang berlaku kira-kira 130 kilometer dari Sendai pada kedalaman 24 kilometer dalam laut.

Arah tiupan angin kini menjadi tumpuan ahli-ahli meteorologi dan pihak berkuasa nuklear Jepun.

Menurut para pegawai meteorologi Jepun, arah angin itu kini bergerak ke laut selepas ia didapati bergerak ke arah kawasan penduduk pada Sabtu lalu.

Penentuan arah angin itu penting bagi mengetahui kemungkinan berlakunya kerosakan terhadap alam sekitar akibat radiasi yang bocor dari loji berkenaan.

Sementara itu, kekuatan gempa bumi itu dinaikkan menjadi 9.0 pada skala Richter berbanding 8.9 pada skala Richter yang diumumkan oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat pada Jumaat lalu.

Agensi Meteorologi Jepun mengumumkan peningkatan kekuatan itu selepas ia menyatakan bahawa kekuatan gempa tersebut ialah 8.9 pada skala Richter. Gempa bumi itu mencetuskan tsunami setinggi 10 meter.

Gempa bumi itu telah menyebabkan lebih 10,000 dikhuatiri orang terbunuh yang merupakan krisis kemanusiaan yang paling besar pernah berlaku di Jepun sejak Perang Dunia Kedua yang berlaku pada 1945.

kerabu bersuara

Sejarah membuktikan PAS tidak khianat

09 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Baru-baru ini sebuah akhbar harian tempatan memetik kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Ustaz Dato’ Harun Taib bahawa PAS bersedia bekerjasama dengan DAP, kerana parti berkenaan dapat menerima dasar dan konsep perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Presiden Umno Najib Tun Razak yang berpandangan bahwa PAS sewajarnya bekerjasama dengan Umno, sebuah parti Melayu Islam berbanding dengan DAP yang bukan Islam.

Kata Ustaz Harun walaupun Umno mahu bekerjasama dengan PAS namun Umno terang-terang menolak konsep dan dasar perjuangan PAS. Berbeza dengan DAP yang walaupun sebuah parti sekular namun tidak menolak konsep dan dasar perjuangan PAS.

Sesungguhnya sejarah poitik tanahair telah membuktikan bahawa PAS konsisten dengan konsep dan dasar perjuangannya. Sejak ia ditubuhkan lebih 50 tahun dahulu dan sejak menyertai Pilihanraya Persekutuan yang pertama pada tahun 1955 begitulah PAS, jatuh dan bangun bersama Islam sehingga pernah tinggal cuma sebuah kerusi Parlimen iaitu Pengkalan Chepa dan dua kerusi DUN di Kelantan ia kekal demikian. Dan kini menang bersama Pakatan Rakyat di empat buah negeri dan bersama menafikan dua pertiga majoriti BN di Dewan Rakyat ia tetap juga begitu.

Kecakalan berpegang pada Islam inilah yang telah mengundang segan dan penghormatan kawan dan lawan terhadap PAS.

Parti-parti yang berkawan dengan PAS memahami perkara ini dan menghormati pendirian PAS. Malah rakyat rata-rata memberikan penghormatan kepada PAS lantaran iltizamnya pada Islam dan ini akan terus kekal selagi mana PAS tidak cuai atau lalai.

Benar Umno adalah sebuah parti Melayu Islam. Namun tidak seperti PAS, Umno mengambil Islam lebih secara selektif atau berpilih-pilih dan bukan sebagai konsep dan dasar perjuangan parti berkenaan. Tidak keterlaluan jika dinyatakan apa sahaja yang berbaur Islam yang tidak merugikan ia dari segi politik maka Umno akan bersedia mempertahankannya, sebaliknya jika ia merugikan khasnya dari kacamata politik maka Umno tidak teragak-agak akan menyisih atau menjauhkan diri darinya.

Contih terbaik adalah pengharaman judi di negeri Kelantan yang dikuasai PAS sejak tahun 1990. Baru-baru ini kerajaan negeri Kelantan bertindak ke atas premis yang menjual loteri “bigsweep”, dan tindakan berkenaan telah disensaikan khasnya oleh komponan BN iaitu MCA. Ketua Pemuda PAS Pusat Ustaz Nasaruddin Tantawi mengeluarkan kenyataan menyeru kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat agar mengambil langkah yang sama seperti Kelantan malah menyeru agar kerajaan negeri yang diterajui Umno turut berbuat demikian.

Saya yakin kerajaan negeri-negeri BN tidak akan memberikan respon kerana ternyata ia bakal merugikan mereka dari sudut politik walaupun jelas ia haram di sisi Islam.

PAS tidak pernah mengendurkan cita-cita perjuangannya samada dalam keadaan ia kalah apalagi ketika ia menang. Parti-parti yang berkawan denga PAS sejak dari tahun 50an dahulu seumpama Parti Negara yang bersama membentuk kerajaan negeri Terengganu tahun 1959, dan kemudiannya Parti Melayu Semangat 46 ketika PAS membentuk kerajaan negeri Kelantan tahun 1990 masing-masing sedar akan tuntutan perjuangan PAS.

Dan kini PKR dan malah DAP juga sedar akan keadaan demikian. Kerana itu kita lihat pentafsiran Islam dalam pentadbiran lebih jelas dan ketara di negeri-negeri yang PAS turut berperanan walaupun hakikatnya kawan-kawan PAS di negeri-negeri itu termasuklah DAP merupakan parti yang Umno sering cap sebagai anti Melayu dan Islam.

Sebagai kawan DAP sedar akan kemampuan PAS. Dalam Pakatan Rakyat, PAS lah parti yang paling “senior” dari sudut usia. Dan dari sudut organisasi dan kekuatan akar-umbi tidak dapat dinafikan jentera PAS lah yang antara penyumbang besar kearah kemenangan luar biasa Pakatan Rakyat dalam PRU tahun 2008 lalu. Hakikat ini disedari oleh semua pihak.

Sejarah membuktikan PAS tidak pernah mengkhianati rakan-rakannya. Parti Negara pada tahun 1960an berpaling tadah sehingga mengakibatkan kerajaan PAS tumbang di Terengganu ketika itu. BN pula pernah tendang keluar PAS sebagai rakannya di zaman Allahyarham Tun Hussien Onn sebagai PM. Rekod menunjukkan PAS lah rakan yang paling jujur sehingga dalam kerajaan PR hari ini pun tidak ada seorang pun wakil rakyat PAS berpaling tadah tidak seperti wakil-wakil dari DAP dan PKR.

Umno mungkin menyedari hakikat ini tetapi ia tewas apabila enggan jujur dalam memberikan pengiktirafan sebenar pada Islam. PAS bukannya menuntut pangkat dan kedudukan, tetapi sejak awal penubuhannya, memartabatkan Islam itulah agenda utama perjuangannya. Dengan sikap Umno yang selektif terhadap Islam ternyata rakyat lebih mengharapkan pada PAS kiranya Islam terancam atau mahu diketengahkan dalam satu-satu isu atau keadaan.

DAP kini faham keutamaan PAS setelah berkesempatan berkerjsama dengannya. Walaupun ia tidak mengiktiraf konsep Negara Islam namun sebagai sebuah parti demokratik, kiranya majoriti rakyat disesebuah negeri itu member mandat terbesar pada PAS, saya yakin DAP akan akur.

Dalam isu kontroversi loteri “Bigsweep” di Kelantan contohnya, ahli parlimen DAP dari Segambut, Lim Lip Eng menyatakan bahawa jika majoriti rakyat Kelantan mahukan pengharaman itu maka rakyat yang minoriti harus menghormatinya kerana itulah prinsip demokrasi.

Kerana itu tepatlah apabila Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu menyatakan lebih mudah bekerjsama dengan DAP yang tidak menganggu Islam berbanding dengan Umno yang lebih mengutamakan keuntungan politik lebih dari yang lain-lain. Sekurang-kurangnya apabila berkawan dengan PAS pemahaman DAP terhadap Islam dapat disemai, dipupuk dan dibentuk oleh pimpinan dan ahli-ahli PAS. Tidak mustahil apabila dasar dan prinsip perjuangan Islam dapat difahamkan bukan hanya DAP malah sesiapa sahaja akan dapat memahami dan menerimanya secara terbuka demi kebaikan umat sejagat.

AKHBAR MINGGUAN SIASAH BIL.0255

40 tayar kereta dipancit, kerja puak mana lagi kalau bukan puak tu

09 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Lebih 40 buah kereta dipancitkan malam ceramah Kedah Sejahtera

ALOR SETAR, 13 Mac - Beribu risalah perkauman ditabur di sekitar Stadium Darul Aman dan berpuluh buah kenderaan orang ramai yang hadir mendengar ceramah dipancitkan tayarnya. Begitulah senario malam keempat Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera yang diadakan di sini.

Ceramah Perdana pada malam ini menampilkan Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Abd Khalid Ibrahim dan bekas Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Abdul Hadi Awang yang diadakan di dalam Stadium Darul Aman.

Orang ramai yang mahu pulang sebaik sahaja program ceramah berakhir terkejut apabila mendapati banyak kenderaan yang dipancitkan tayarnya. Sehingga berita ini ditulis sekurang-kurangnya 40 buah kenderaan didapati tayarnya dipancitkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.Kesemua kenderaan tersebut diletakkan di tempat letak kenderaan yang dibenarkan serta tidak menghalang laluan.

Sementara itu Briged Amal dapat mengumpul kesemua risalah politik yang berbaur perkauman sebelum ia sempat teredar secara meluas kepada orang ramai. Antara isi kandungan risalah itu ialah fitnah jahat terhadap parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Menurut Encik Shaharudin Omar dari Pokok Sena, beliau terkejut mendapati dua buah tayar kenderaannya kempis sewaktu menghampiri kereta. "Rupanya sederet empat buah kereta berhampiran saya mengalami nasib yang sama," ujarnya.

Orang ramai percaya peristiwa mempancitkan tayar kenderaan dan penyebaran risalah perkauman adalah angkara pihak yang sama.

"Mungkin sambutan hebat rakyat terhadap program Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera telah menggusarkan mereka, sehingga tenggelam punca lalu mengarahkan budak-budak jahat untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu," ujar seorang pengunjung dari Jitra.

Himpunan berita politik Pakatan Rakyat

Terapung atas atap dua hari

09 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

HIROMITSU (berselimut) diselamatkan Pasukan Pertahanan Maritim Jepun di perairan Fukushima, semalam.

Ombak tsunami hanyutkan lelaki bersama rumah ke laut

TOKYO: Seorang lelaki Jepun yang dihanyutkan 15 kilometer ke laut berikutan kejadian tsunami yang melanda Jumaat lalu dilaporkan selamat selepas ditemui berpaut pada sampah yang hanyut.

Pasukan Pertahanan Maritim menyelamatkan Hiromitsu Shinkawa, 60, selepas menemui lelaki terbabit terapung pada sekeping atap di perairan wilayah Fukushima, dua hari selepas bencana melanda.

Mangsa dari Minamisoma dihanyutkan bersama rumahnya selepas tsunami kuat yang melanda timur laut Jepun itu berikutan gempa bumi berukuran 8.9 Ritcher yang melanda ibu negara Jepun Jumaat lalu.

Beliau dalam keadaan sedar dan ‘baik’ selepas diselamatkan jam 12.40 waktu tempatan semalam, kata pihak berkuasa kementerian sambil menambah mangsa dihantar ke hospital dengan helikopter.

“Saya lari selepas menyedari tsunami datang,” kata Shinkawa kepada penyelamat, berdasarkan Jiji Press.

“Tetapi berpatah semula untuk mengambil sesuatu dari rumah apabila saya kemudian turut dihanyutkan bersama ombak besar. Saya diselamatkan ketika berpaut pada sekeping atap daripada rumah saya sendiri.”

Kerajaan berkata, sekurang-kurangnya 1,000 penduduk dipercayai maut dalam bencana alam terbabit dan polis menganggarkan lebih 215,000 berada di pusat pemindahan sementara.

Berita Harian/-

Satu lagi laporan Polis terhadap Taib

09 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SARAWAK 14 MAC : Pergerakan untuk Perubahan Sarawak (MoCS), pimpinan Francis Siah telah membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud atas dakwaan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.

Bagaimanapun, pelawaannya pada 4 Mac kepada Taib supaya hadir

di balai polis pusat (CPS), tempat Francis membuat laporan polis, tidak disambut - di mana Taib ataupun wakilnya tidak datang.

Siah (kiri - tengah) mahu Taib datang ke CPS jam 1 tengahari supaya mereka sama-sama membuat laporan polis.

Siah secara rasmi membuat laporan itu pada jam 1.15 tengahnya kepada Koperal Norsiti Raffidah. Beliau juga mengemukakan kompilasi siri laporan yang dipetik dari Sarawak Report, Bruno Manser Fund dan portal berita.

Siah berkata, kenyataannya akan diambil oleh pegawai penyiasat Inspektor Mohd Enzry, minggu depan.

“Saya membuat laporan polis jenayah pengubahan wang haram, rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Tv Selangor/-

Wanita Pertama: Nazri putar belit fakta Perlembagaan

08 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Mac: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebenarnya dangkal dan cuba menghina Perlembagaan negara berhubung Wanita Pertama Malaysia.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana jelas diperuntukkan dalam Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan dalam Bab 1 berkaitan jelas menyatakan hak gelaran Wanita Pertama Malaysia adalah kepunyaan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Beliau yang juga Ketua Wanita PKR menyatakan demikian sebagai respons kepada jawapan Mohamed Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini berkenaan soalan ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkaitan takrifan wanita pertama dan penyediaan peruntukan berkaitan boleh disifatkan sebagai sekadar play-safe statement, penuh niat putar belit dan berunsur manipulasi terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, jawapan Nazri yang mendakwa bahawa penggunaan gelaran Wanita Pertama hanyalah sebagai kod amalan menunjukkan bahawa beliau sebenarnya dangkal dan cuba menghina Perlembagaan negara.

Menurutnya, Perkara 32 (2) berbunyi, "Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong".

“Jika benar penggunaan gelaran Wanita Pertama hanyalah sebuah kod amalan seperti yang didakwa, maka saya pasti bahawa isteri Perdana Menteri juga tertakluk dibawah Kod Protokol yang ditetapkan Jabatan Perdana Menteri, dengan mengambil kira beliau hanya sebagai seorang pegawai kakitangan buat Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Namun, jika demikian, soalnya bagaimanakah sejumlah peruntukan sebanyak RM4.5 juta boleh diluluskan buat seorang ‘'kakitangan' untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Wanita Pertama.

Beliau juga mempersoalkan bagaimanakah seorang ‘'kakitangan' biasa boleh diberikan peruntukan untuk melancong ke seluruh dunia.

“Apakah seorang ‘kakitangan’ juga dibenarkan berkempen dan membuat pelbagai janji secara melampau dengan menggunakan wang kerajaan sewaktu pilihan raya, yang sehingga kini satu pun tidak tertunai?

“Adakah wujud pula Kod Protokol istimewa dan khas, yang hanya terpakai untuk Isteri Perdana Menteri?” soalnya.

Maka, beliau menggesa agar Mohamed Nazri agar berani untuk segera menjawab dengan jujur, berpaksikan fakta dan realiti yang tepat bagi membuktikan bahawa beliau benar-benar bebas daripada tekanan mana-mana pihak dalam menjalankan tugasnya.Harakahdaily/-

Ulasan MOD.

Semuga apa yang dilakukan oleh Nazri memungkin dia dapat bertahan lagi sebagai menteri dimasa akan datang, itupun kalau Najib masih PM dan Rosmah akan terus menjagi pengacau kepada Kerajaan Malaysia.

Rumah, pejabat 2 ADUN PKR dipecah masuk

ADUN Teja, YB. Chan Lih Kang sedang memberi keterangan kepada Polis.

08 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Dua wakil rakyat PKR menjadi mangsa kecurian apabila presmis mereka masing-masing dipecah masuk sehingga melibatkan kerugian sebanyak RM10,000.

Kejadian di rumah ADUN Teja Chang Lih Kang di Ipoh malam tadi, disyaki dilakukan "pencuri profesional" kerana sudah dua kali berlaku sebelum ini.

Manakala ADUN Batu Uban V Raveentharan pula yang pusat khidmat masyarakatnya yang disedari dipecah masuk pagi tadi kehilangan sebuah monitor dan Unit Pemprosesan Pusat (CPU) komputer.

Menurut Chang, kejadian di rumahnya malam tadi berlaku antara jam 8 hingga 11 malam semalam sewaktu beliau dan keluarganya tidak berada di tempat kejadian.

Tambahnya, selepas memeriksa, beliau mendapati sebuah telefon, sebatang pen berjenama, dua beg tangan ibunya dan wang tunai RM800 - kesemuanya dianggarkan RM10,000 - sudah lesap ketika mereka pulang.

"Ini adalah kejadian (kecurian) kedua berlaku dalam tempoh tiga bulan. Kali pertama berlaku pada 27 November tahun lalu," katanya dengan nada kecewa.

Chang juga tidak mengesyaki perbuatan itu bermotifkan politik dan telah membuat laporan polis sejurus selepas kejadian.

Gambar, fail penting hilang

Sementara itu, Raveentharan pula berkata kejadian di pejabatnya di Bayan Baru itu disedarinya oleh seorang pembantunya yang tiba ke pejabat pada jam 10 pagi tadi.

"Banyak gambar dan fail-fail penting dalam komputer itu. Ada (juga) fail surat menyurat dalam komputer itu," kata Raveentharan kepada Malaysiakini.

Wakil rakyat PKR itu bagaimanapun mengesyaki kejadian itu berlaku semalam atau kelmarin ketika tiada sesiapa di pejabat kerana bercuti hujung minggu.

Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati, pintu pusat khidmat itu - yang baru lima bulan digunakan - terdapat kesan kopakan, dipercayai dilakukan oleh pencuri.

Bagaimanapun, tambahnya, keadaan pejabat kekal tersusun dan seperti tidak disentuh.

Pihaknya kini sedang membuat laporan polis berdekatan.Malaysiakini/-

Ulasan Mod.:-

Nampaknya semua ADUN dan Ahli parlimen PR serta pimpinannnya mestilah meningkatkan langkah keselamatan dari sekarang dari mengelakkan dari kejadian seumpamanya berlaku.

Tsunami@Jepun : 3,200 korban termasuk mangsa hilang di Jepun

08 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO 14 Mac - Jumlah korban akibat tsunami yang melanda Jepun Jumaat lalu meningkat kepada lebih 3,200 orang, menurut agensi polis kebangsaan.

Jumlah itu termasuk mangsa yang masih hilang, pihak berkuasa tempatan menganggarkan jumlah tersebut akan meningkat dari masa ke semasa.

Pihak berkuasa ketika ini telah mengenalpasti sebanyak 1,597 mangsa, 1,481 secara rasminya masih hilang, angka tersebut tidak termasuk 200 hingga 300 mangsa yang telah ditemui di pantai Miyag .

Tsunami@Jepun : Gunung berapi kembali aktif di Jepun

08 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO 14 Mac - Sebuah gunung berapi di sebelah selatan Jepun hari ini kembali menghamburkan debu dan asap tebal ketika negara ini sedang bergelut dengan kejadian tsunami dan gempa bumi besar.

Menurut Agensi meteorologi kebangsaan, aktiviti gunung berapi Shinmoedake kembali aktif setelah beberapa minggu tenang.

Gunung berapi tersebut terletak di Pulau Kyushu kira-kira 1,500 kilometer dari pusat gempa sekuat 8.9 Jumaat lalu yang menyebabkan tsunami dan memusnahkan sebahagian besar pantai timur laut negara ini. - Agensi

Tsunami@Jepun : Loji nuklear ketiga Fukushima meletup

08 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO: Satu letupan kuat merosakkan loji nuklear ketiga Fukushima, dengan asap tebal dan api menjulang di reaktor berkenaan, sebentar tadi.

Jurucakap Ketua Kabinet Jepun, Yukio Edano, berkata maklumat yang diperoleh dari pegendali reaktor, TEPCO menyebut ia bagaimanapun tidak membawa kesan kebocoran radiasi yang besar. Agensi Keselamatan Nuklear Jepun berkata, letupan itu di reaktor ketiga di Loji Nuklear 1 Fukushima dipercayai disebabkan tekanan hidrogen. Letupan hidrogen juga berlaku di reaktor nombor satu di loji sama Sabtu lalu, sehari selepas berlaku gempa kuat dan tsunami di perairan timur laut negara itu.

Pihak berkuasa sehingga kini sudah mengisytiharkan zon pemindahan di kawasan lingkungan 20 kilometer dari loji berkenaan dengan 210,000 orang sudah dikeluarkan. - AFP

Tsunami@Jepun : Lagi gempa 5.8 magnitud landa Jepun

08 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO: Gempa berkekuatan 5.8 magnitud melanda perairan timur laut Jepun, di Ibaraki, awal pagi ini menyebabkan bangunan tinggi bergegar di ibu negara Tokyo.

Bagaimanapun, menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), gempa yang berlaku di 140 kilometer di perairan timur laut Tokyo itu tidak menyebabkan ancaman tsunami. Setakat ini belum ada laporan mengenai kerosakan dan mereka yang cedera. - AFP