05 Ogos 2011

Gereja: Jangan buat kesimpulan melulu

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Ogos: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Cawangan Negeri Selangor menggesa semua pihak tidak membuat kesimpulan melulu dan memberikan tekanan kepada mana-mana pihak berhubung pemeriksaan yang telah dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Yang Dipertuanya, Khairun Abas berkata, pihaknya memandang serius berita berkenaan.

Pemeriksaan tersebut dimaklumkan oleh pihak berkuasa hasil daripada laporan terdapatnya unsur-unsur penyebaran agama lain kepada orang Islam yang bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan dalam artikel 11(4).

Dalam laporan awal yang dikeluarkan pihak Jais terdapat beberapa individu muslim menyertai majlis tersebut dan ia melanggar Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

“Abim menggesa semua pihak sewajibnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan telus dan mencari kebenaran di atas peristiwa yang telah berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Abim Selangor merasakan bahawa itulah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap warga Malaysia dalam mana-mana pertikaian yang wujud.

Menurutnya, mengambil pendekatan popular apatah lagi kesimpulan yang sempit terutamanya dalam hal-hal yang sangat rapuh seperti itu amat berlawanan dengan semangat kerukunan hidup dalam kepelbagaian masyarakat.

Beliau berkata, setiap institusi penguatkuasa yang wujud perlu dihormati selama mana mereka melaksanakan tugas yang diperuntukkan berlandaskan undang-undang.

Tambahnya, Abim Selangor juga berkeyakinan bahawa pihak berkuasa bertindak mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Justeru, ujarnya sebarang tekanan dan campur tangan di luar skop perundangan dibimbangi akan menjejaskan proses siasatan dan usaha-usaha mencari fakta dan kebenaran dalam hal ini.

“Pihak Abim Selangor juga kesal laporan akhbar yang membangkitkan kembali isu-isu penggunaan kalimah Allah, pengeboman gereja, sekatan Injil Bahasa Melayu yang mana ianya seolah-olah membangkitkan kembali rasa ketidakselesaan beragama yang telah kita nikmati selama ini,” ujarnya.

Katanya, Abim Selangor juga percaya sekiranya semua pihak bersikap tidak prejudis, terbuka dan yakin dengan proses perundangan sedia ada maka sebarang masalah mampu diatasi dan keharmonian hidup beragama yang dinikmati selama ini dipertahankan.

harakahdaily/-

‘Usah sentuh saya’

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SAAT BAHAGIA...Mazlan dan isterinya ketika perkahwinan mereka.

KUALA LUMPUR: “Kita akan begini selamanya...tidur berasingan dan saya tak benarkan awak sentuh saya sampai bila-bila!” Demikian tegas seorang isteri yang membuat ‘kejutan malam pertama’ kepada pengantin baru, Mazlan Mustaffa sejurus melangsungkan pernikahan, awal Jun lalu.

Berikutan itu, Mazlan, 26, berkata perkahwinannya hanya bertahan dua minggu apabila isteri pulang ke rumah mentuanya dan tidak pulang ke pangkuannya sehingga hari ini.

“Saya anggap ia dugaan Tuhan di bulan Ramadan dan akan menempuhinya dengan sabar. Bagaimanapun, saya akan failkan tuntutan ganti rugi dan saman malu terhadap isteri sebanyak RM30,000 kerana berasa dianiayai,” katanya.

Mengimbas kisah perkahwinannya, Mazlan yang berniaga pasar awam Padang Matsirat, Pulau Langkawi, Kedah, berkata perkenalan dengan isterinya diatur seorang kenalan ibunya Disember tahun lalu dan ia berterusan ke jenjang pelamin selepas direstui keluarga kedua-dua pihak.

Gembira untuk menamatkan zaman bujangnya, Mazlan membelanjakan lebih RM12,000 wang simpanannya untuk menjayakan dan menanggung sepenuhnya majlis kenduri sebelah pengantin perempuan, selain belanja kenduri di sebelah pihaknya.

my metro/-

Suhakam berhasrat temui semua anggota polis terlibat

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini berkata ia berhasrat menemui semua anggota polis yang didakwa bertindak ganas terhadap peserta perhimpunan BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lepas.

NONESuhakam pesuruhjaya James Nayagam (kanan) berkata ia adalah
bahagian penting yang perlu dibuat dalam siasatan awam yang akan
diadakannya untuk menyiasat dakwaan keganasan polis sewaktu perhimpunan tersebut.

"Kita perlu buat... Orang ramai tidak sedar, bila anda bercakap tentang siasatan awam, anda perlu bercakap dengan semua yang terlibat. Ia
mesti satu siasatan yang terperinci," katanya selepas menerima testimoni bertulis dan bukti video mengenai dakwaan keganasan polis.

Wakil dari BERSIH 2.0, Suaram, Tenaganita dan Peguam for Liberty, menyerahkan 17 video, 15 testimoni umum dan 17 testimoni khusus
mengenai dakwaan gas pemedih mata di tembak ke dalam perkarangan Hospital Tung Shin.

Suhakam sebelum ini meminta orang ramai tampil mengemukakan bukti mengenai dakwaan keganasan polis, kepada suruhanjaya itu sehingga 2 Ogos, tetapi tarikh itu dilanjutkan ke hari ini atas permintaan BERSIH 2.0 dan yang lain-lain.

malaysiakini/-

Mengapa Zambry nafi p’raya olok-olok di Perak

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

IPOH, 5 Ogos: “Adakah benar Umno BN Perak tidak melaksanakan pilihan raya olok-olok sepertimana pengumuman Tengku Adnan baru-baru ini?” tanya Ketua Penerangan Perak, Ahmad Nuri Al-Amin.

Sehubungan itu, PAS negeri berterima kasih kepada Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S. Subramaniam atas ulasannya yang berkeyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan kehilangan Negeri Perak dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, ulasan itu yang dibuat berikutan peningkatan sokongan rakyat terhadap BN bersandarkan pengumuman Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Isnin yang lalu hasil pilihan raya olok-olok yang dijalankan parti itu sejak Mei lepas.

“Ulasan ini juga jelas membenarkan berita bahawa memang telah berlaku pilihan raya olok-olok kendalian BN di seluruh negara termasuk di Perak, sesuatu yang sedang dinafikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir,” ujarnya dalam satu kenyatan.

Baginya, penafian Zambry terhadap pilihan raya olok-olok di Perak amat mengejutkan.

Katanya, laporan The Malaysian Insider yang menyebut BN mungkin akan tewas sekali lagi di Perak dan kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) BN yang dimenangi oleh Umno juga bakal tergugat dilihat telah menjadikan pemimpin BN celaru dan membuat kenyataan yang bertentangan.

“Jika hasil sebenarnya pilihan raya olok-olok tersebut bertentangan dengan apa yang telah di keluarkan dalam laman portal The Malaysian Insider, mengapa Zambry perlu menafikan apa yang diumumkan oleh Tengku Adnan?” soalnya.

Katanya, apa yang perlu Zambry lakukan hanyalah menyokong kenyataan Datuk Dr S. Subramaniam dan membidaskan laporan portal tersebut.

Apa yang pasti, katanya Zambry tentunya tidak akan merelakan imejnya tercalar dengan jangkaan kegagalan BN Perak untuk kembali menerajui Kerajaan Negeri Perak setelah tumbang pada PRU 12 tahun 2008 di bawah Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Mohamad Ghazali dahulu.

Malah, ujarnya laporan itu juga seolah mengesahkan bahawa BN dan Umno Perak yang diterajui oleh Zambry masih gagal memulihkan masalah dalaman mereka yang semakin meruncing.

“Bagi kami jika laporan tersebut tidak bertepatan, banyak ruang lain termasuk ruang perundangan yang boleh diambil oleh Zambry bagi membuktikan kepalsuan berita tersebut, dan bukan dengan hanya mengambil langkah mudah menafikannya tanpa ulasan munasabah,” katanya lagi.

harakahdaily/-

10 jam matikan 'rantai bom'

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

MADELEINE PULVER baring di atas sebuah pengusung beroda di sebuah hospital
di Sydney kelmarin untuk diperiksa oleh doktor.

SYDNEY, Australia - Seorang lelaki bertopeng yang merantai bom palsu pada leher seorang gadis dan meninggalkan nota tebusan selepas dia menceroboh kediaman sebuah keluarga kaya di sini dipercayai cuba melakukan peras ugut, kata polis semalam.

Dalam senario mirip adegan filem cemas Hollywood, skuad pemusnah bom kelmarin mengambil masa 10 jam untuk mematikan bom yang dipasang pada leher gadis tersebut, Madeleine Pulver.

Madeleine, 18, tidak cedera manakala polis kemudian mendapati bom tersebut tidak mengandungi bahan letupan.

Seorang pegawai polis tempatan, Luke Moore berkata, satu nota peras ugut dilekatkan pada bom itu.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan mesej ugutan tersebut.

"Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai percubaan memeras ugut yang serius," kata Moore.

Drama itu bermula tengah hari kelmarin di kawasan penempatan elit Mosman di sini apabila keluarga Madeleine menghubungi polis dengan menyatakan, anak perempuan mereka diserang dan terdapat alat ganjil yang dilekatkan pada mangsa.

Polis yang dibantu skuad pemusnah bom, beberapa detektif dan perunding tebusan kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

Kediaman-kediaman sekitarnya dikosongkan, beberapa jalan berhampiran ditutup manakala petugas bomba dan perubatan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Selepas Madeleine dibebaskan, dia memberitahu polis bahawa seorang lelaki bertopeng memecah masuk ke kediaman mereka dan menangkapnya semasa dia berada di dapur.

Remaja itu berkata, lelaki terbabit memaksa dia untuk tidak bergerak semasa memasang bom palsu itu pada lehernya.

Penyerang itu kemudian melarikan diri.

Madeleine kemudian dihantar ke sebuah hospital untuk diperiksa.

Bapa Madeleine merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat teknologi maklumat.

- Agensi

Kenapa IC merah bertukar biru kurang 24 jam

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 5 Ogos: PAS Selangor akan membuat laporan polis petang ini berhubung dakwaan Penduduk Tetap (PR) yang memegang kad pengenalan merah didaftarkan sebagai pengundi.

Sepanjang tempoh bantahan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku ke-2 tahun 2011 yang tamat pada 2 Julai lalu, PAS Selangor mengesan seramai 1,108 PR berdaftar sebagai pengundi.

Jumlah ini daripada 1,860 nama yang dibantah atas pelbagai sebab.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbohong kononnya nama-nama tersebut tidak dikemaskini oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"SPR kata guna Agency Link Up System (Alis) dengan JPN tapi kalau dalam JPN tak ada nama-nama ini sebagai pemegang kad pengenalan biru, bagaimana mereka boleh didaftar sebagai pengundi?" soalnya pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor mengesan nama-nama tersebut pada 1 Julai namun terkejut apabila mendapati kesemua mereka di dalam rekod JPN telah bertukar status sebagai warganegara keesokan harinya.

"Kenapa pemegang kad pengenalan merah boleh bertukar kepada biru dalam masa kurang daripada 24 jam?" Soalnya lagi.

Beliau juga kesal dengan pihak polis yang belum menyatakan hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat berhubung warga Indonesia dan Kemboja diberi kad pengenalan dan borang daftar pemilih yang berlaku di Dun Paya Jaras dalam Parlimen Subang.

Menurutnya, pihaknya menangkap seorang penduduk luar Selangor yang ditemui sedang mengedarkan kad pengenalan dan borang kepada sekumpulan warga Indonesia dalam sebuah rumah pada tengah malam.

Satu kes lagi ialah individu yang datang dari Johor mengedarkan kad pengenalan kepada rakyat Kemboja.

Kedua-dua kes ini berlaku pada Februari lalu manakala sekitar akhir bulan lalu,pihaknya mendapati warga asing mengambil kad pengenalan di Kuala Selangor.

"Kita sudah buat laporan polis tapi masih belum ada tindakan yang diambil dan kita tidak tahu kes ini disiasat atau tidak," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keselamatan negara dan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat negara ini.

"Jika kerakyatan sedang digadai untuk kemenangan BN, ini satu pengkhianatan yang sangat teruk.

"Bagi negara demokrasi, orang yang melakukan kerja ini boleh dihulum dengan hukuman berat," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III.

harakahdaily/-

Maut dicekik penyamun

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

IPOH: “Saya mengucap panjang melihat kaki manusia terjulur dari gulungan selimut ‘toto’ ditinggalkan di atas tangga bertentangan pintu rumah,” kata Azlina Abu Talib, 33.

Azlina jiran kepada Dr Rohani Kasim, 38, ditemui mati dicekik di kediamannya di tingkat satu Pangsapuri Permai Lake View di Tambun, dekat sini, awal pagi semalam.

Azlina berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 3 pagi semalam, selepas kecoh di luar rumahnya di tingkat bawah ketika bangun untuk bersahur.

“Saya terkejut mendengar bunyi bising dari arah tangga bertentangan pintu rumah saya dan keluar untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Saya seperti tidak percaya apabila diberitahu pengawal keselamatan di pangsapuri terdapat mayat di atas lantai tangga menuju ke tingkat bawah, betul-betul di hadapan kediaman saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia memberanikan diri naik ke tangga untuk melihat balutan tilam didakwa mengandungi mayat wanita itu dan terkejut apabila mendapati kaki manusia terjulur dari dalam tilam itu.

“Saya diberitahu pengawal keselamatan bertugas ternampak kelibat dua lelaki mengusung balutan tilam berkenaan ketika melakukan rondaan.

“Namun, suspek mencampak tilam itu ke lantai tangga sebaik menyedari kehadiran pengawal berkenaan. Dua lelaki itu melarikan diri melalui tingkap rumah berhampiran yang tidak berjeriji sebelum menuju ke arah sebuah kereta dipandu seorang lelaki tidak dikenali,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui seorang lelaki menetap di pangsapuri itu ditahan sejurus polis dimaklumkan kejadian itu. Azlina berkata, dia baru mengenali mangsa yang berpindah ke pangsapuri ini awal bulan lalu dan tidak sangka kejadian ngeri itu menimpanya.

Dia berharap polis memberkas segera penjenayah itu bagi mengelakkan penduduk dihantui ketakutan.

my metro/-

Lelaki ‘bersahur’ dengan anak gadis

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KAJANG: Seorang ibu yang mahu mengejutkan anaknya untuk bersahur tergamam sejurus mendapati seorang lelaki tidur nyenyak bersama anak gadisnya dalam kejadian di Batu 18, Hulu Langat, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika ibu mangsa masuk ke dalam bilik tidur anaknya yang berusia 14 tahun untuk mengejutkannya.

“Sebaik masuk, ibu mangsa terkejut apabila mendapati mangsa tidur bersama seorang lelaki warga Indonesia berusia 21 tahun yang dipercayai teman lelakinya.

“Lelaki terbabit yang terkejut dengan kehadiran ibu mangsa bingkas bangun lalu memohon maaf selain mengaku hanya tidur dan tidak melakukan apa-apa bersama mangsa,” katanya.

Katanya, ibu mangsa yang tidak berpuas hati dengan pengakuan lelaki itu mendesaknya untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Atas desakan berterusan ibu mangsa, lelaki itu mengaku sudah melakukan hubungan seks dengan mangsa ketika ahli keluarga lain sedang tidur. “Lelaki itu juga mahu bertanggungjawab atas perbuatannya.

“Ibu mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu yang melarikan diri membuat laporan di Balai Polis Batu 18, Hulu Langat,” katanya.

my metro/-

Majlis Peguam: Siasat 5 pegawai SPRM cuai sebabkan kematian Teoh

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Tidak seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja Siasatan (RCI) yang mendapati Teoh Beng Hock membunuh diri akibat disoalsiasat yang agresif dan berterusan, Majlis Peguam pula mengesyorkan kepada panel RCI supaya lima pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disiasat kerana menyebabkan kematian (homicide).

Lima pegawai itu ialah bekas timbalan pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim; ketua bahagian siasatan SPRM Selangor, Hairul Ilham Hamzah; pegawai penyiasat Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus serta penolong pegawai penguatkuasa SPRM Klang, Zulkefly Aziz.

RCI hanya mengaitkan tiga orang pegawai - iaitu Hishamuddin, Anuar dan Ashraf. Manakala Majlis Peguam mengesyorkan lima orang pegawai disiasat mengikut seksyen 304A atas dakwaan menyebabkan kematian Teoh melalui kecuaian.

Syor Majlis Peguam itu terkandung dalam hujahan bertulis setebal 337 halaman kepada panel RCI yang dipaparkan di lamanwebnya untuk tatapan ahli-ahli Bar Malaysia hari ini. Ini dibuat ekoran mesyuarat yang berlangsung tadi untuk membincangkan perkara tersebut.

Majlis itu juga mahu pihak berkuasa untuk menyiasat 10 pegawai SPRM, termasuk lima orang tersebut, atas konspirasi jenayah di bawah seksyen 120A Kanun Keseksaan.

Ia juga mencadangkan 10 pegawai disiasat kerana bersubahat atau cuba bersubahat dalam kematian atau menyembunyikan kematian Teoh.

Selain itu, ia juga mencadangkan 10 pegawai disiasat kerana memberikan keterangan palsu dan mereka keterangan di bawah seksyen 191 dan 192 Kanun Keseksaan.

Teoh ditemui mati ketika ditahan semalaman di ibupejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam di Shah Alam 16 Julai 2009.

malaysiakini/-

Satu ciri paling utama pada diri Azmin Ali ialah kesetiaannya yang tidak berbelah bagi kepada parti, kata presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Satu ciri paling utama pada diri Azmin Ali ialah kesetiaannya yang tidak berbelah bagi kepada parti, kata presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Namun, Azmin juga tetap menerima kritikan kerana pendekatannya yang disifatkan sebagai kasar dan juga kerana memendam cita-cita tinggi dalam parti.

NONEAzmin (foto kiri) kini mewakili kawasan parlimen Gombak dan juga kawasan DUN Bukit Antarabangsa selain menjawat kedudukan sebagai ketua PKR Selangor.

Kebangkitannya yang cepat dalam PKR menarik perhatian ramai namun dalam pada itu ia turut mencalar imejnya apabila beliau bertelagah dengan seorang lagi pemimpin kanan parti – Tan Sri Khalid Ibrahim.

Azmin turut menerima kritikan berhubung masalah yang dihadapi PKR berhubung pemilihan langsung yang dijalankan parti itu sehingga beliau dituduh memanipulasi pemilihan sehingga membolehkan beliau dipilih ke jawatan timbalan presiden,

Wan Azizah bagaimanapun berkata, pihak yang menyuarakan kritikan itu perlu melihat keremajaan Azmin dalam politik.

Kesetiaan Azmin

Walau dengan kelemahan itu, Azmin telah memberi sumbangan yang besar kepada parti dan kesetiannya juga tidak perlu diragui, kata Wan Azizah lagi.

NONE"Dia masih muda dan jika anda bandingkan dia dengan (bekas timbalan presiden) Senator Syed Husin Ali, tentulah ada perbezaan umur dan juga pengalaman. Tapi berilah masa, dia akan matang.

"Azmin pun sememangnya seorang pemimpin kanan dan dia telah mencapai kedudukan kedua tertinggi, jadi saya rasa berilah masa supaya lebih berpengalaman," katanya lagi yang berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Azmin setakat ini.

Azmin juga merupakan pengerusi jawatankuasa pilihan raya pusat dan bertanggungjawab ke atas rancangan PKR dalam menentukan agihan kerusi dengan anggota Pakatan Rakyat.

"Beliau melakukan semua itu dan memberikan kepada kami analisis mengenai rundingan kerusi dan memberi panduan kepada negeri-negeri lain," jelasnya.

Tindakan wakil rakyat PKR yang bertindak keluar parti sebelum ini juga dikaitkan dengan kepemimpinan Azmin dalam parti.

Lompat parti kerana tamak

Menyentuh soal berkenaan, Wan Azizah berkata wakil rakyat berkenaan bertindak demikian antara lainnya kerana sifat tamak mereka.

pkr election convention anwar ibrahim and wan azizah"Apabila Anwar keluar daripada penjara, ramai orang datang (ke dalam PKR). Mungkin mereka melihat bahawa kita akan mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya 2008 – itu yang menarik mereka.

"Apabila ia tidak berlaku dan ia tidak sesuai dengan kehendak mereka, mereka beredar.

"Jika anda lihat kembali sejarah mereka dengan dengan dalam, mereka daripada sebelah sana (Umno). Jadi saya agak selepas beberapa ketika, mereka tergoda dan membuat pilihan mereka," katanya.

Wan Azizah juga yakin bahawa anggota parti sedia ada akan kekal setia dengan perjuangan parti.

Bagi tujuan itu, barisan calon yang akan dipertaruhkan dalam pilihan raya umum ke-13 juga akan disaring dengan teliti, katanya lagi.

"Setakat ini, (calon) yang bersama kami adalah setia dan telah menunjukkan komitmen secukupnya. Kita ada kriteria, kita ada jawatankuasa untuk menanganinya," kata Wan Azizah.

malaysiakini/-

Peserta Bersih saman kerajaan secara berperingkat

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Ogos: PAS akan mengambil tindakan undang-undang atau saman secara berperingkat-peringkat terhadap Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia, berhubung tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap para peserta himpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Setelah langkah pertama dari segi perundangan dilakukan dengan tindakan saman pertama difailkan di Mahkamah Tinggi di sini sekitar jam 11.30 pagi semalam, Lajnah Undang-Undang PAS Pusat akan menyusuli dengan saman kedua minggu depan yang melibatkan tangkapan terhadap rakyat negeri Perak.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi menjelaskan, tindakan saman terhadap Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia yang akan difailkan oleh PAS melibatkan ratusan kes, sejajar dengan jumlah tangkapan besar yang dilakukan oleh pihak polis terhadap para peserta himpunan itu.

Menurut beliau, disebabkan jumlahnya agak banyak, Lajnah Undang-Undang PAS Pusat terpaksa mengambil langkah bijak dengan membahagikannya dengan beberapa pihak lain dalam mengendalikan kes-kes itu.

Katanya, kes yang membabitkan kepimpinan tertinggi PAS yang akan dikendalikan pihaknya melibatkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang juga merupakan kes pertama yang difailkan oleh pihaknya semalam.

"Selain Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, dalam PAS turut terdapat satu lagi agensi penting melibatkan undang-undang iaitu Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) yang berada di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat.

"Untuk memudahkan penyelarasan, pengendalian dan melancarkan perjalanan urusan, kes-kes tersebut terpaksa dibahagi-bahagikan oleh Lajnah Undang-Undang PAS Pusat dan Juham untuk dikendalikan," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini.

Isu tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap para peserta himpunan aman Bersih 2.0, menurut beliau, sememangnya diberikan perhatian serius oleh pihaknya dan Juham.

Untuk melancarkan urusan, katanya, kes-kes tersebut akan difailkan secara berperingkat-peringkat, dengan kesemua kes akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejajar dengan tangkapan pihak polis terhadap para peserta himpunan itu yang dilakukan di Kuala Lumpur.

"Setelah langkah pertama dimulakan dengan difailkan kes plaintif Razman Zakaria, pihak kami akan menyusuli pula dengan kes kedua minggu depan. Selepas itu akan disusuli pula dengan kes ketiga, keempat, kelima dan kes-kes seterusnya," katanya.

Kesemua kes berhubung tangkapan itu yang dikendalikan oleh pihaknya akan menamakan Ketua Polis Negara sebagai defendan pertama, manakala Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

Untuk memudahkan urusan, menurut beliau, pihaknya hanya akan mengendalikan kes-kes yang melibatkan tangkapan terhadap rakyat negeri Perak sahaja, manakala kes-kes melibatkan penduduk Kuala Lumpur, Selangor dan negeri-negeri lain akan dikendalikan oleh Juham.

"Jumlah kes yang akan dikendalikan oleh Lajnah Undang-Undang PAS Pusat atau pihak kami berjumlah sekitar 50 kes semuanya," jelasnya.

Kes yang membabitkan 2 orang Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, katanya, dijangka akan difailkan oleh pihak Juham pada Isnin ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pengendalian kes yang membabitkan kedua-dua Naib Presiden PAS itu yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dan Ahli Parlimen Kubang Kerian akan dilakukan bersama oleh peguam Zulhazmi Shariff.

"Kes membabitkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, akan dikendalikan oleh peguam Hanipa Maidin. Buat masa ini, saya sendiri tidak pasti bila kes membabitkan Mohamad Sabu itu akan difailkan sama ada minggu depan atau bila, tetapi saya yakin ia akan turut difailkan dalam masa terdekat," katanya.

harakahdaily/-

Turun teksi serah bayi

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

MELAKA: “Isteri saya tidak tahu apa-apa dan menerima bayi itu apabila diserahkan seorang wanita tidak dikenali petang Sabtu lalu,” kata pekerja syarikat konsesi pembersihan, Mohd, 59, berhubung kejadian isterinya menerima seorang bayi lelaki, Sabtu lalu.

Menurut Mohd, ketika kejadian isterinya menyapu sampah di halaman rumah apabila tiba-tiba sebuah teksi berhenti dan muncul seorang wanita tidak dikenali yang tergesa-gesa dan bertanya sama ada isteri saya mahu memelihara bayi.

“Dia menyerahkan bayi itu sehelai sepinggang, hanya berbalut kain batik apabila isteri saya bersetuju. Bayi itu sihat dan saya membeli semua barangan keperluannya termasuk susu, lampin dan pakaian,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Terdahulu, dia dan pasangannya memperoleh perintah jagaan sementara terhadap kanak-kanak itu selepas diputuskan Majistret Muhammad Hazri Hanafi, semalam.

Permohonan hak penjagaan sementara itu dipohon melalui Pelindung Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Tengah, Muslim Abdullah dan Nurhezlin Jaafar.

Pegawai itu memaklumkan mahkamah bayi terbabit adalah mangsa seperti dinyatakan dalam Perenggan 17(1) (e), Akta Kanak-Kanak 2001 yang disyaki dilakukan ibu kandung.

my metro/-

Tikus hidup ditemui dalam roti

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BRISBANE - Seorang wanita semalam mendedahkan dia terkejut selepas menemui tikus yang masih hidup di dalam bungkusan roti dibeli dari sebuah pasar raya Coles di Aitkenvale, utara Queensland pada Ahad lalu.

Wanita yang enggan mendedahkan identitinya mendapati terdapat lubang besar pada permukaan roti itu seakan kesan akibat dimakan haiwan perosak.

Mangsa akhirnya bertindak mengembalikan semula roti itu tetapi pihak pengurusan pasar raya tersebut enggan bertanggungjawab sebaliknya memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

Bagaimanapun, jurucakap pasar raya tersebut menyatakan satu siasatan dalaman sedang dilakukan memandangkan syarikat itu telah memenuhi piawaian keselamatan dan kebersihan makanan yang ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Townsville.

sinar harian/-

Mohon bantuan untuk anak yatim

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUBANG KERIAN, 5 Ogos: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub memohon kepada mereka yang bersimpati dapat membantu anak-anak yatim, yang nasib bagai jatuh ditimpa tangga di Kampung Chicha di kawasan parlimennya.

Beliau, yang juga Naib Presiden PAS semalam melawat 5 orang adik-beradik malang ini, yang ibu bapa mereka meninggal setahun yang lalu, kini tinggal sehelai sepinggang akibat rumah mereka terbakar hangus baru-baru ini.

“Saya insya Allah akan cuba membantu untuk mendirikan semua rumah untuk mereka berteduh.

Harap mereka yang bersimpati dengan nasib-nasib anak-anak buah saya ini juga dapat membantu,” kata beliau.

Kepada sesiapa yang berminat membantu, sila hubungi sembangnaibpresidenpas@gmail.com

harakahdaily/-

BN, Pakatan berlumba selesai isu rumah pengundi muda

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Ketika negara di ambang pilihan raya umum ke-13, kerajaan BN dan Pakatan Rakyat sedang berlumba untuk menunjukkan bahawa kedua-duanya serius untuk menyelesaikan satu daripada isu-isu yang paling mendesak yang dihadapi oleh pengundi - rumah mampu milik.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kedua-dua pihak memperkenalkan program perumahan yang mampu dimiliki di mana para penganalisis percaya ia untuk menarik sokongan, terutama di kalangan pengundi muda yang paling teruk menghadapi masalah tersebut.

NONEBagi BN, kata pensyarah sains politik di Universiti Malaya, Noor Sulastry
Yurni Ahmad, program tersebut adalah sebahagian daripada senarai pengumuman yang dilihat dibuat "tergesa-gesa" untuk tujuan tersebut.

"(Program itu) adalah satu strategi politik yang jelas untuk pengundi muda. Terdapat sekurang-kurangnya satu juta pengundi kali pertama, tidak termasuk mereka yang mengundi pada 2008."

Ketua eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Wan Saiful Wan Jan turut bersetuju dengan pandangan tersebut.

Walaupun beliau percaya pemberian pinjaman peratus kepada mereka yang tidak mampu membuat pembayaran balik adalah "berbahaya", tetapi Wan Saiful berpendapat BN "bijak" dalam mengumumkan skim tersebut.

malaysiakini/-